Isnin, 6 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Nota Kepada Ahmad Maslan: Pada 2009 Najib Bukannya Turunkan Harga Minyak, Tapi Perkenal Ron 95

Posted: 06 Oct 2014 05:30 AM PDT

shahbudindotcom.

 
Dalam mempertahankan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen lagi baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan menyatakan bahawa Najib Razak juga adalah satu-satunya Perdana Menteri yang berani menurunkan harga minyak sebanyak 90 sen pada tahun 2009.

"Apabila berkaitan dengan penurunan adakah sesiapa tampil berterima kasih kerana beliau berbuat demikian? Ada tak? Atau mereka buat-buat tak ingat?," tanya beliau dalam laman makro twitternya.

Tindakan Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO mempertahan dan memuji Perdana Menteri ini dipercayai berikutan meningkatnya serangan dan kecaman terhadap Najib mengenai kenaikan harga minyak kali ini memandangkan kenaikan itu dilakukan hanya tiga hari menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Sudah tentunya kenaikan itu telah dan akan menyebabkan meningkatnya harga barangan pengguna di pasaran dan menambahkan lagi sengetnya beban bahu rakyat di musim perayaan ini.

Memanglah diakui bahawa sebaik Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, beliau kemudian bertindak menurunkan harga minyak sebanyak 90 sen pada September tahun yang sama.

Beliau menurunkan harga minyak itu berikutan mantan Perdana Menteri, Abdullah Badawi sebelum itu telah menaikkan harga minyak secara mendadak sebanyak 30 sen pada 2006 dan kemudian 78 sen pada 2008.

Kenaikan paling tinggi yang dilakukan oleh Abdullah Badawi yang menyebabkan harga petrol menjadi RM2.70 seliter itu kemudian menjadi antara punca penolakan rakyat terhadap kepimpinannya yang akhirnya menyebabkan beliau bersetuju mengadakan peralihan kuasa kepada Najib Razak.

Jika Ahmad Maslan terlupa, ingin diingatkan bahawa Najib menurunkan harga petrol sebanyak 90 sen ketika itu ialah dengan memperkenalkan minyak Ron 95 yang lebih rendah kualitinya dan diperkenalkan Ron 97 yang terus dikekalkan pada harga biasa.

Hakikatnya, pada 2009 itu Najib bukan pun menurunkan harga minyak, cuma menawarkan minyak lain yang berkualiti rendah saja iaitu Ron 95 dengan harga pengenalan RM1.80 seliter.

Apakah dengan memberi kualiti minyak yang lebih rendah dengan harga yang murah, ia boleh dianggap penurunan dan kita juga perlu memberi pujian melangit terhadap Najib?

Untuk makluman Ahmad Maslan yang didapati merupakan pemimpin UMNO yang paling kerap memuji Perdana Menteri sejak merdeka pada 1957, setelah memperkenalkan Ron 95 dengan harga RM1.80 pada 2009 itu, Najib juga sudah menaikkannya sebanyak 50 sen hanya dalam tempoh 5 tahun.

Kalau ada pun ucapan terima kasih kepada Najib kerana menurunkan harga minyak, nilainya cuma tinggal 40 sen saja lagi.

Oleh itu, sementara kebanyakan menteri lain kekal berdiam diri, biarlah Ahmad Maslan saja yang terus unggul tampil memuji-muji kelemahan Najib ini.

Penyelidik: Daun betik terbukti rawat denggi

Posted: 06 Oct 2014 05:23 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Penggunaan daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu meningkatkan platelet dalam darah, menunjukkan kesan positif dan terbukti berkesan membantu merawat demam denggi.

Sebelum ini beberapa institusi menjalankan kajian terhadap daun betik yang pada awalnya untuk melihat keberkesanannya dalam merawat beberapa jenis penyakit termasuk diabetes, namun ia dilihat lebih sesuai untuk merawat demam denggi.

Seorang penyelidik dari AIMST University Dr VS Kathiresan berkata pihaknya memulakan penyelidikan pada 2008 untuk melihat bagaimana daun betik dapat meningkatkan platelet dalam darah tikus.

"Kajian kami dalam ujian praklinikal menunjukkan dalam tempoh empat jam, bilangan platelet dalam darah setiap tikus meningkat tiga kali ganda. Daun betik mempunyai banyak enzim yang membantu meningkatkan platelet darah.

"Penyelidikan ini sebenarnya pernah disiarkan dalam 'The Middle European Journal of Medicine' pada 2009, dan hasil penyelidikan ini sebenarnya menjadi asas kepada mereka yang menjalankan kajian berkaitan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di universiti itu dekat Sungai Petani.

Dr Kathiresan berkata walaupun kajian itu dilakukan lebih awal dan pernah dihebahkan menerusi media massa, namun tidak ramai yang berani mengamalkannya kerana belum lagi terbukti secara klinikal.

"Ia pernah disiarkan dalam akhbar The Star pada 31 Ogos 2011 dan mendapat liputan Bernama pada 2010, namun ramai yang beri reaksi negatif, tetapi bila Institut Penyelidikan Perubatan buat pendedahan, kita tahu yang ia tidak bahaya.

"Kajian awal yang kita jalankan tidak melibatkan masyarakat, namun ia kini terbukti secara klinikal. Selepas itu tidak ada susulan (selepas penyelidikan awal) sebab ujian praklinikal melibatkan tikus, tidak ada masalah, tetapi apabila ujian melibatkan manusia, terdapat peraturan tertentu yang perlu
dipatuhi,' katanya.

Dr Kathiresan berkata penggunaan daun betik untuk membantu merawat demam denggi adalah mudah kerana selain senang diperoleh, ia juga tidak perlu melalui proses yang rumit, sebaliknya boleh dimakan seperti ulam.

"Melalui ujian praklinikal, daun betik dikeringkan, dicarik kecil-kecil dan dikisar menjadi serbuk halus sebelum diuji ke atas tikus.

"Bagi manusia, kita boleh makan terus dan daun betik yang dimakan itu akan menunjukkan perbezaannya dalam tempoh empat jam. Bagaimanapun peningkatan platelet dalam darah boleh dilihat dalam tempoh sejam," katanya.

Dr Kathiresan berkata lebih 20 pesakit demam denggi pernah menghubunginya dan beliau menyarankan mereka supaya mengambil dua hingga tiga helai daun betik, dua kali sehari, untuk diamalkan dan ia tidak memberi kesan sampingan walaupun kepada kanak-kanak.

"Mereka menghubungi saya semula dan memaklumkan bahawa selepas makan selama tiga atau empat hari, mereka sudah sembuh. Bagi kes denggi, ia lebih sesuai untuk pesakit mengalami demam denggi peringkat awal.

"Perlu diingatkan, daun betik yang akan dimakan secara segar perlu dicuci getahnya sehingga bersih, dan daunnya pula tidak terlalu muda atau tidak terlalu tua," katanya.

Dr Kathiresan sudah melakukan lebih 30 penyelidikan, kebanyakannya melibatkan penggunaan bahan terbuang untuk dijadikan bahan berfaedah.

"Kami kini mengorak langkah untuk menguji dengan menyeluruh pohon, daun, kulit buah yang hijau dan kuning, batang serta akar betik. Kita akan lihat kesan semua bahagian ini, malah kita juga akan lihat dari segi variasi, buah tempatan dan buah dari negara lain," katanya. - Bernama

'Demo 8 Okt sebab rakyat tak tahan lagi'

Posted: 06 Oct 2014 05:20 AM PDT

MALAYSIAKINI



Pemuda PAS hari ini menyeru orang ramai menghadiri protes menentang kenaikan harga minyak di parlimen pada 8 Oktober ini.

Ketuanya Suhaizan Kaiat (bawah) menyeru orang ramai menunjukkan kemarahan mereka dalam perhimpunan itu kerana rakyat sudah tidak tertahan lagi dengan peningkatan bebanan hidup.

"Saya sendiri bersama pimpinan exco Pemuda PAS akan turun bersama bagi menyatakan sokongan terhadap (NGO) PROTES.

"Saya juga ingin mengajak seluruh anak muda supaya dapat hadir bersama-sama dalam himpunan ini," katanya.

PROTES, sebuah kumpulan yang rapat dengan PAS pada 2 Oktober lalu mengumumkan perhimpunan bantahan itu pada pagi 8 Oktober 2014di pintu hadapan parlimen di Kuala Lumpur.

Jurucakap Sekretariat PROTES Aiman Athirah Al Jundi mengumumkan acara itu sebagai bantahan terhadap "kemelut ekonomi yang bertimpa-timpa", daripada kenaikan harga minyak kepada pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan.

Aiman Athirah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkir janji apabila menaikkan harga minyak walaupun manifesto dan janji pilihan raya BN terdahulu menyebut sebaliknya.

Kesan berantai

Beliau juga berhujah, kenaikan 40 sen seliter dalam tempoh setahun sangat besar jika dilihat kepada kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan dalam keadaan pergerakan tangga gaji hampir tiada.

"Sehingga kini kerajaan gagal memberikan alasan yang munasabah dan meyakinkan rakyat," kata Aiman Athirah (bawah, berucap) dalam kenyataannya pada hari pertama kenaikan harga minyak.

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan berkata, sudah tiba masanya rakyat digerakkan bangkit membantah kenaikan harga minyak.

Katanya,sebagai negara pengeluar minyak petroleum, rakyat berhak menikmati pelbagai kemudahan hasil kekayaan bumi di negara sendiri.

Lebih menyedihkan, kata Suhaizan, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol di negara, harga minyak petrol di Eropah jatuh merudum di kebanyakan negara.

Harga minyak petrol RON95 dan diesel naik 20sen seliter berkuat kuasa 2 Oktober lalu.

RON95  naik daripada 2.10 kepada RM2.30 seliter dan diesel pula daripada RM2 kepada RM2.20.

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen atas antaranya atas alasan memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Maut terperosok bawah lori

Posted: 06 Oct 2014 05:18 AM PDT


Mangsa yang terperosok di bawah lori mengalami cedera teruk di kepala dan kaki kiri. Mangsa yang terperosok di bawah lori mengalami cedera teruk di kepala dan kaki kiri.
 
 
LIMBONGAN - Seorang pesara tentera maut di bawah lori selepas motosikal ditunggang merempuh bahagian kanan lori berkenaan di Jalan Limbongan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mangsa Norhafendy Othman, 37, maut di tempat kejadian selepas kepalanya terhantuk di bahagian badan lori jenis Nissan sebelum terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, mangsa datang dari pusat bandaraya menghala ke persimpangan lampu isyarat Limbongan sebelum berlanggar dengan lori muatan bateri dan lampu kalimantang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori dipandu lelaki berusia 34 tahun yang datang dari arah Hotel Formosa Garden hendak keluar simpang membelok ke kanan menuju pusat bandar.

"Namun pada masa sama datang motosikal jenis Yamaha 15LC ditunggang Norhafendy sendirian dari arah pusat bandar melanggar bahagian tepi kanan lori berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Razali berkata, mangsa yang cedera teruk di bahagian kepala dan kaki kiri maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Waris Norhafendy yang berasal dari Machap Umboo, Alor Gajah ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka bagaimanapun enggan ditemu bual berikutan terlalu sedih dengan kejadian menimpa mangsa.

MP gesa bangkit tolak 'pesta arak' Carlsberg

Posted: 06 Oct 2014 05:10 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Semua pihak diseru bangkit menentang penganjuran pesta Octoberfest Carlsberg yang akan berakhir pada 12 Oktober ini kerana kemungkaran mesti dicegah, kata anggota parlimen PAS Nasrudin Hassan.

Katanya, cegahan itu harus dilakukan kerajaan pusat, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pihak berkuasa agama di semua peringkat kerana bala Allah apabila turun akan mengenai semua pihak.

"Jangan hanya memberi alasan kononnya perkara ini berada di luar bidang kuasa sedang akibatnya kelak akan melanda umat tanpa mengenal di mana kuasa dan kedudukan mereka.

"Bangkitlah sebelum terlewat," kata wakil rakyat Temerloh itu.

Beliau membangkitkan sebuah hadis Ali bin Abi Thalib yang antaranya mengebut, balasan Allah akan turun apabila arak sudah diminum secara berleluasa.

Menulis di Facebook beliau hari ini, Nasrudin berkata, walaupun arak boleh diminum oleh penganut agama yang membenarkannya, ia tidak harus dilakukan secara terbuka dan dipromosi besar-besaran.

"Pesta arak yang dipromosi besar-besaran ini telah menjadi mungkar terbuka meskipun ia dilakukan dalam ruang bangunan tertutup. Sekali gus ia mencabar sensitivit umat Islam.

Katanya, ia sama seperti hubungan seks luar nikah (pelacuran) yang dipromosi kepada umum dan wajib ke atas pihak berkuasa dan seluruh umat Islam bangkit mencegahnya.

"Jangan biarkan negara membangun dengan budaya mungkar dan maksiat. Kelak binasa tamadun dan maruah pula hilang keberkatan justeru dimurkai Allah SWT," katanya.

Tweet PM diserang sindiran 20sen

Posted: 06 Oct 2014 05:04 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Akaun rasmi Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menjadi sasaran kritikan dan sindiran mengenai kenaikan minyak RON95 dan diesel 20 sen seliter minggu lalu.

Malah tweet beliau mengenai bot tentera laut yang hilang semalam turut mendapat reaksi sama.

Dalam tweet terbaru beliau, Najib mengucapkan selamat memandu kepada mereka yang pulang selepas berhari raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

"Tentu ramai yang akan bertolak pulang hari ini setelah selesai beraya. Pandu dengan cermat, Insya-Allah akan tiba di destinasi dengan selamat," tulis beliau.

Tweet tersebut bagaimanapun dibalas dengan pelbagai sindiran.

Pengguna Twitter Daniel Yahya berkata "Kau bolehlah cerita. Minyak kereta kau poket rakyat yang tanggung."

Seorang lagi pengguna bernama "Aya" pula menulis: "Macam mana nak bertolak pulang kalau isi minyak pun tak cukup duit. Naik kereta lembu lah macam ni. Selamat hari raya Jib."

Dalam tweet pagi tadi, Najib menyatakan beliau terkejut dengan kehilangan bot milik Tentera Laut DiRaja Malaysia dan berdoa akan kesemua tujuh krew bot tersebut selamat.

Tetapi hal itu tetap mendatangkan reaksi sinis pengguna Twitter.

Muhammad Izzat Ammar menulis: "Saya lagi terkejut dengar subsidi minyak kena potong 20sen, Pak Cik."

Tulisan Najib 4 Oktober lalu mengucapkan umat Islam selamat Hari Raya Aidiladha turut mendapat pelbagai komen dengan beberapa menyatakan mereka "berdoa" perdana menteri dapat mengurangkan harga minyak dan meringankan beban mereka.

Harga Petrol minyak rakyat RON95 dan Diesel naik 20sen pada 2 Oktober lalu.

Najib mempertahankan kenaikan itu dan menyatakan walaupun ia tidak popular, ia perlu dilakukan demi manfaat rakyat dan negara untuk jangka masa panjang.

KKMM pantau laman sosial 'dark site'

Posted: 06 Oct 2014 04:59 AM PDT


SINAR HARIAN

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
 
 
KEMAMAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia melakukan pemantauan berterusan bagi membanteras penyalahgunaan media sosial bagi tujuan keganasan dan merekrut keanggotaan pengganas antarabangsa.  

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, masyarakat dunia perlu sedar dan melihat secara serius bahawa media sosial boleh sewenang-wenangnya dijadikan platform bagi kebebasan bersuara yang dikhuatiri mendatangkan kemudaratan.

Beliau berkata, sebahagian negara maju sudah tentu telah mengambil langkah sewajarnya dengan mempertingkatkan keupayaan untuk memantau bagi mengekang aktiviti keganasan yang mampu menggugat ketenteraman sesebuah negara.

"Pemantauan bukanlah sesuatu yang mudah kerana bilangan pengguna media sosial sekarang sudah mencecah ratusan juta dan pengguna setiap hari menghantar (memuat naik) gambar dan membuat komen.

"Malah kita dapati terdapat banyak laman sosial 'dark site' yang tidak boleh diakses secara biasa kerana ia dibenarkan kepada pengguna-pengguna tertentu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban anjuran Parlimen Kemaman di dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Kubu dekat sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyalahgunaan media sosial bagi penganjuran aktiviti keganasan antarabangsa.

Menurutnya laman sosial 'dark site' itu bertambah kompleks kerana ada sesetengahnya mempunyai kod khas yang hanya membenarkan pengguna tertentu sahaja mendapatkan sesuatu yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan dadah, senjata dan perkara berkaitan aktiviti keganasan.

Justeru, perkara ini memerlukan kepakaran yang dipertingkatkan oleh semua pihak, katanya. - Bernama

Bimbang Pulau Pisang senasib Pulau Batu Puteh

Posted: 06 Oct 2014 04:56 AM PDT


Pulau Nangka
 
 
NAMA Pulau Pisang mungkin tidak sepopular Pulau Batu Puteh yang pernah mendapat tumpuan dunia di mana rebutan ke atas pulau itu dibawa sehingga ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) beberapa tahun lalu.

Namun nasib Pulau Pisang dibimbangi serupa dengan Pulau Batu Puteh yang akhirnya diputuskan jatuh ke tangan Singapura pada 23 Mei 2008 lalu.

Di Pulau Pisang ini terdapat sebuah rumah api setinggi 53 meter yang dikendalikan oleh Singapura menerusi perjanjian antara Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim dengan Kerajaan British pada tahun 1900.

Pulau Pisang yang berkeluasan 178.4 hektar itu sudah tidak berpenghuni lagi namun terdapat dusun-dusun buah-buahan yang masih dijaga dan dikunjungi sekali-sekala oleh pemiliknya.

Melalui laporan sebuah media tempatan, pulau tersebut disahkan bekas Menteri Besar Johor sebelum ini, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa pulau itu milik kerajaan negeri Johor.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, melahirkan tentang kebimbangannya terhadap nasib pulau itu pada masa akan datang.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan Pulau Pisang akan turut dituntut Singapura seperti negara republik itu menuntut Pulau Batu Puteh.

"Setakat ini pihak di sana 'in good face' tidak ada apa-apa tuntutan tapi kita tak tahu pada masa akan datang.

"Saya bimbang dengan adanya resit-resit, rekod gaji pekerja, dokumen penyelenggaraan yang semuanya dibayar oleh Singapura, mereka akan jadikan bukti untuk tuntut pulau itu di mahkamah antarabangsa (ICJ) kerana mereka kata mereka yang jaga rumah api itu

"Sama juga berlaku dengan Pulau Batu Puteh. Perkara itu boleh berulang," katanya kepada Sinar Harian Online ketika diminta pandangan dari sudut perundangan terhadap segala kemungkinan yang boleh berlaku terhadap Pulau Pisang, Pontian itu.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Johor itu turut memberi senario mudah yang paling hampir dengan masyarakat umum.

"Apabila rumah kita, setiap tahun orang lain bayarkan bil api, bil air, upah orang datang bersihkan, bayar cukai tanah...lama-lama dari generasi ke generasi, sudah lupa siapa pemilik asal.

"Pihak yang menjaga hanya menunjukkan bukti bahawa selama berpuluh tahun yang menjaga rumah kita itu adalah pekerja yang dibayar oleh dia, jiran tetangga sekeliling pun tengok bukti betul, akhirnya mereka akan tuntut rumah kita itu.

"Jadi, sama juga. Ini yang mungkin akan berlaku kepada pulau itu," katanya.

Tegasnya, pemerintah wajar mengambil langkah perundangan bagi mengisytiharkan siapa pemilik mutlak pulau tersebut.

"Pemerintah sepatutnya mengambil langkah-langkah perlu di sisi undang-undang untuk memastikan kesahihah hak milik mutlak pulau itu...mendokumentasikan, isytiharkan (atau ada) hitam putih.

"Dan ambil langkah perlu untuk akhirnya menggantikan atau membenarkan hanya rakyat Malaysia saja yang bekerja di sana. Sekiranya rakyat Singapura datang kerja, mereka perlu mempunyai permit kerja yang sah," katanya.

Beliau juga menyarankan agar pihak berkuasa mengkaji semula sistem kawalan keselamatan di kawasan perairan tersebut.

"Sudah sampai masanya pihak berkuasa kita kaji semula sistem kawalan keselamatan dan jika perlu, ambil alih sepenuhnya.
"Biarlah kita yang mengawal sepenuhnya kerana saya bimbang pulau itu akan dituntut oleh generasi-generasi selepas ini.

"Sekarang mungkin kita ada kesefahaman tapi akan datang kita tak tahu mungkin apa yang berlaku kepada Pulau Batu Puteh akan berulang," katanya.

Difahamkan pulau yang mula diteroka sejak 1806 oleh penduduk sekitar Benut itu pernah didiami kira-kira 500 keluarga Melayu.

Namun, pulau itu sudah lama tidak berpenghuni selepas semuanya berhijrah ke kawasan darat sekitar Pontian.

Tujuh kru CB204 ditemui selamat - PTL

Posted: 06 Oct 2014 04:52 AM PDT

SINAR HARIAN


Abdul Aziz Abdul Aziz
 
 
KUALA LUMPUR - Bot tempur CB204 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang hilang pagi semalam, sudah ditemui dengan semua tujuh anak kapalnya dilaporkan selamat.

Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar memaklumkan perkara itu dalam laman Twitter beliau pada 6.10 petang ini.

Beliau berkata, komander bot itu, Leftenan Azri Bakar membuat panggilan melalui radio untuk memaklumkan semua anak kapal CB204 berada dalam keadaan selamat.

"Bot CB204: Lt Azri, Komander Bot, memaklumkan KD Ganas melalui Ch16, Bot dan semua warga selamat tetapi kelaparan. Alhamdulillah," kata Abdul Aziz dalam laman Twitter.

Dalam kenyataannya malam tadi, Abdul Aziz berkata bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi, ketika dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah. - Bernama

MCA tetap pertahan sekolah vernakular

Posted: 06 Oct 2014 04:50 AM PDT

SINAR HARIAN

Chew Mei Fun
 
 
GEORGETOWN - MCA akan terus mempertahankan hak masyarakat Cina dalam memastikan sekolah vernakular Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terus wujud di negara ini, kata Naib Presidennya Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata, MCA tidak akan sesekali berkompromi dengan cadangan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad supaya Perwakilan Umno membahaskan untuk mengekalkan atau memansuhkan SJKC pada Perhimpunan Agung Umno, November ini.

Mohamad Azli mendakwa sistem sekolah vernakular dijadikan alat oleh pembangkang untuk menabur sentimen perkauman dan antikerajaan.

"Ini tidak betul untuk menghalang mempelajari bahasa ibunda kerana ia adalah satu hak di bawah Perlembagaan," kata Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang dianjurkan MCA Pulau Pinang dan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia cawangan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Chew menyeru semua kaum perlu saling menghormati bahasa ibuanda masing-masing dan isu ini tidak patut dibangkitkan kerana tidak ada masalah dengan sekolah vernakular Cina sejak merdeka 57 tahun lepas.

Beliau berkata saranan untuk memansuhkan sekolah vernakular Cina bukan dasar dan pandangan majoriti pemimpin Umno tetapi ia hanya pendirian segelintir pemimpin yang tidak faham bahawa pelbagai budaya, bahasa dan kaum adalah kekuatan Malaysia bukannya kelemahan.

"Oleh itu, saya yakin kekuatan bahasa ini harus diteruskan dan ia akan mendatangkan manfaat kepada perkembangan ekonomi negara dalam menarik pelaburan asing ke Malaysia khususnya dari China," katanya.

Berikutan itu, Chew berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Mohamad Azli oleh Pemuda MCA Petaling Jaya kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau. - Bernama

Tak perlu politikkan, Pulau Pinang juga banjir waktu BN tadbir

Posted: 05 Oct 2014 08:31 PM PDT

Wong Hon Wai

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow diingatkan untuk tidak perlu mencipta isu kononnya pembangunan berlebihan di negeri tersebut sebagai punca banjir kilat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam Wong Hon Wai berkata, banjir besar turut melanda kawasan Thean Teik, Air Itam pada tahun 1990-an, semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

"Banjir besar berlaku pada masa itu ekoran pembangunan yang diluluskan oleh BN dan menyebabkan banjir besar setinggi lapan kaki. Banjir tersebut menyebabkan kerosakan harta benda kepada rumah dan sekolah sekelilingnya.

"Banjir begitu besar sehingga keranda terapung apabila satu keluarga yang sedang menguruskan upacara kematian tidak sempat lari apabila banjir melanda. Itu betul-betul banjir besar angkara pembangunan berlebihan Barisan Nasional," kata Wong dalam kenyataannya hari ini.

Hujan yang turun berterusan semenjak jam 6 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di George Town, Pulau Pinang dilanda banjir kilat dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Antara kawasan yang terbabit ialah Jalan Transfer, Jalan Gurdwara, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Scotland dan Jalan Mount Erskine.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata paras air dianggarkan antara 0.3m hingga 0.9m.

Menurut Chow, ukuran hujan di kawasan Bukit Bendera, Batu Lanchang dan Sungai Pinang adalah di antara 51.5mm hingga 71.5mm dan difahamkan, sehingga 11 malam, banjir masih belum surut, namun tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.

Menurut Wong, Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat turut meluluskan projek-projek perumahan sepanjang Lebuhraya Thean Teik semenjak 2008.

Ujarnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan menetapkan pemaju membina saliran air termasuk longkang dan kolam takungan air terlebih dahulu bagi setiap projek pembangunan.

"Walaupun hujan amat lebat, tetapi hanya menyebabkan kenaikan air beberapa inci sepanjang Jalan Thean Teik dan Lebuhraya Thean Teik. Air surut dengan cepat dan tidak pun memasuki rumah atau sekolah," kata Wong yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Kenyataan Teng silap dan cuba menangguk di air keruh. Saya perlu mengingatkan beliau tentang sejarah banjir besar Thean Teik angkara pembangunan berlebihan BN dan janganlah putar-belit (isu banjir), " tegasnya. – Roketkini.com

Teguran 'keras' Hadi semasa muktamar bersebab, ahli PAS perlu patuh - Hashim Jasin

Posted: 05 Oct 2014 08:18 PM PDT

Oleh Syed Mua'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Veteran PAS Hashim Jasin tidak menolak kemungkinan teguran 'keras' presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dibuat kerana merasakan diri diketepikan selain kecil hati dengan sikap pemimpin PKR-DAP dan ahli parti walaupun telah bertolak-ansur dalam banyak perkara.
 
"Saya tak naklah nak kat PKR atau apa pun tapi orang buat kepada dia teruk.
 
"Selama ini dia terima...terima...terima tapi dia dikebelakangkan maka sepatutnyalah ada sebab-sebab tertentu yang saya yakin presiden mempunyai alasan yang kukuh dan bertanggungjawab dengan Allah atas apa yang disampaikan," katanya. 
 
Untuk rekod, dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS kali ke-60 pada 20 September lalu Abdul Hadi menghantar isyarat yang jelas dan keras terhadap rakan komponen Pakatan Rakyat yang memperlihatkan komitmen parti itu untuk konsisten meneruskan tahaluf siyasi dalam gabungan itu terus. 
 
Sebelum ini Pakatan berantakan akibat percanggahan pendirian dalam memilih calon Menteri Besar Selangor yang turut menjadi punca perbalahan dalaman PAS kerap berulang.
 
**Ahli dan pimpinan wajib pegang kaedah wala'**
 
Tegas Hashim yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulama ini, selaku pemimpin Abdul Hadi tidak perlu menjelaskan tentang sebab dan alasan teguran tersebut dibuat.
 
"Itulah, yang pertama saya nampak agak keras sikit ucapan presiden dibandingkan pada masa-masa yang lalu ," katanya kepada Antarapos.
 
Sebaliknya jelas beliau, ahli-ahli PAS perlu akur dengan teguran dan arahan yang dibuat oleh Abdul Hadi itu.
 
"Itu sesuatu yang kita terimalah tetapi kita tak pernah bertanya kenapa perkara ini berlaku, dah tentu ada sebab-sebabnya dan tak perlu presiden menceritakan.
 
"(Kerana) kita pegang pada kaedah mesti bagi wala' (ketaatan) kepada pemimpin dan pemimpin tidak bertanggungjawab hanya pada pengikut tapi dia (pemimpin) ada tanggungjawab lebih besar dengan Allah," katanya menyentuh aspek ketaatan kepada pemimpin PAS. atau wala'.
 
Ucapan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sarat dengan nasihat, teguran, kritikan, persoalan dan pendirian untuk mempertahankan parti Islam itu daripada cubaan mengikis imej Islam dan perlembagaannya apabila melakukan kerjasama politik bersama PKR dan DAP.
 
Muktamar tahunan kali ke-60 itu juga telah menyerlahkan belang sebenar Abdul Hadi, pimpinan dan perwakilan yang sebulat suara mahu menepis anasir luar termasuk rakan komponen dalam menentukan hala tuju PAS, sedang tahaluf siyasi membenarkan mereka mengamalkan ideologi masing-masing.
 
Abdul Hadi juga turut memberi amaran kepada rakan tahalufnya supaya tidak menjadikan PAS sebagai tempat persinggahan demi mencapai tujuan dan matlamat politik mereka.
 
**Abdul Hadi ada sebab dan alasan tersendiri**
 
Bagi menjelaskan konsep wala', Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengambil contoh kisah Saidina Khalid Al Walid yang diturunkan jawatan panglima perang oleh  Saidina Umar Al Khattab  ketika sedang bertugas dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah.
 
"Sebagai contoh ketika Saidina Umar Al Khattab memecat Khalid Al Walid yang mengetuai peperangan dengan Rom.
 
"Dia buat keputusan semasa tengah berperang, tiba-tiba dia pecat Khalid dan tiada siapa bantah kerana dia gunakan dia bertanggungjawab dengan Allah," katanya.
 
Tambah Hashim, Khalid Al Walid akur dengan keputusan pertukaran itu, tanpa sebarang bantahan.
 
"Dia gunakan kuasa yang diberi kepadanya itu kerana dia buat sesuatu itu dia ada sebabnya dan tak perlu cerita kepada orang lain tapi akhirnya orang baru nampak kenapa Umar berbuat demikian.
 
"Kalau Nabi itu tak apalah kerana Nabi dah ada bimbingan Allah tapi ini sahabat (Nabi), Umar pun dah menunjukkan dia bertanggungjawab dengan Allah maka dia tahu mengapa dia buat begitu. 
 
"...dan saya yakin ustaz Abdul Hadi juga apabila dia keluarkan kata-kata yang agak keras itu kita tak tahu apa di sebalik yang menyebabkan ia begitu," katanya.
 
Semasa sesi penggulangan muktamar aspek ketaatan kepada pemimpin PAS atau wala' turut diberi penekanan oleh Abdul Hadi kepada pimpinan semua peringkat dan ahli parti Islam itu dalam ucapan penggulungannya.
 
Menurutnya, tindakan pemimpin dan ahlinya yang tidak wala' adalah bertentangan dengan prinsip berjemaah dalam parti itu, dan wala' kepada pihak lain adalah haram dalam jemaah Islam.
 
Begitu juga katanya dengan tindakan membocorkan rahsia mesyuarat parti serta membawa agenda pihak lain ke dalam parti.
 
"Wala' dengan pihak lain diharamkan, kita kena pegang kepada jati diri Islam," katanya.
 
Menurut Hashim lagi, buat masa ini semua ahli dan pimpinan PAS perlu ikut semua nasihat Abdul Hadi.
 
"Bagi kita sebagai ahli biasa, selama mana dia tak mengajak kita menderhaka kepada Allah maka wajib kita taat.
 
"Banyak hadis-hadis yang menunjukkan tentang perkara itu," katanya.
 
Ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang ini, teguran dan arahan Abdul Hadi itu perlu dilihat dari sudut positif bukannya negatif.

Saari gesa PKR, DAP 'maafkan' PAS

Posted: 05 Oct 2014 08:15 PM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SUNGAI BULOH: ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dilaporkan menggesa DAP dan PKR 'memaafkan' PAS di atas perilaku parti itu dalam menangani krisis jawatan Menteri Besar Selangor.
 
Saari adalah antara dua ADUN PAS yang diselar oleh presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menyandang kerusi MB itu.
 
"Bagi pihak parti saya, saya memohon maaf. Saya amat berharap anda semua boleh memaafkan PAS," kata beliau pada majlis kutipan derma di sini malam tadi.
 
Beliau menggesa penyokong DAP dan PKR untuk mengorak langkah ke depan dalam memperkasakan semula Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14, lapor Malay Mail.  
 
Saari dan ADUN Morib Hasnol Baharuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat PAS selepas mereka dikatakan menyanggah Hadi dan Majlis Syura apabila menyokong Wan Azizah bagi jawatan MB.
 
Tindakan  mereka membolehkan  presiden PKR itu mendapat sokongan majoriti dalam DUN Selangor  dengan sokongan baki 13 ADUN PKR dan 15 ADUN DAP.
 
Bagaimanapun  Sultan Selangor akhirnya memilih timbalan presiden PKR Azmin Ali menjadi MB baru,  menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat PKR di atas tuduhan tidak berwibawa.  
 
Hadi dan Majlis Syuara menyifatkan Wan Azizah tidak layak menjadi MB dan sebaliknya mencadangkan tiga nama lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad untuk jawatan itu.
 
Pada muktamar PAS lalu, Hadi dilapor menyifatkan dua ADUN itu sebagai barua dan dibeli oleh PKR.
 
Saari dan Hasnul mempertahankan tindakan mereka menyokong Wan Azizah sebagai  mempertahankan kewibawaan Pakatan Rakyat dan PAS sendiri.

Masjid Negeri tidak sekadar berdakwah, laksana program tingkat penghayatan

Posted: 05 Oct 2014 08:12 PM PDT

Oleh AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Mimbar Aidiladha hari ini menyentuh soal tanggungjawab menangani gejala sosial yang semakin meruncing.

Dalam khutbah Aidiladha bertajuk 'Pengahayatan Aidiladha' yang disampaikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menyentuh sikap masyarakat yang menjauhi syariat Islam disebalik kemewahan dan kesenangan yang dikecapi.

Mengulas khutbah hari ini, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang baru, Ustaz Farhan Wijaya berkata masjid mengambil peranan melalui beberapa program sempena cuti sekolah bagi menerapkan penghayatan masyarakat kepada nilai-nilai keagamaan.

Ustaz Farhan"Masjid mengambil peranan mengenai gejala sosial dan kita menyediakan pelbagai persiapan-persiapan sempena cuti sekolah bagi menangani bersama gejala sosial yang berlaku.

"Kita mengingatkan kepada masyarakat supaya gejala sosial ini dapat di atasi bersama dan masjid mengambil peranan yang besar khususnya di Shah Alam bagi meningkatkan akhlak remaja malah kesemua akhlak umat Islam supaya bersama-sama menghayati sejarah Akhlak Nabi Muhamad SAW," katanya kepada Selangor Kini.

Menceritakan pengalaman pertama melihat majlis ibadah korban yang dilakukan di Masjid Negeri beliau melahirkan kegembiraan dengan perjalanan program yang berlangsung baik seperti yang dirancangkan.

"Alhamdulillah hari ini majlis berjalan lancar seperti yang dirancangkan dengan baik. Kita nampak (majlis) kali ini lebih teratur malahan ia telah berlaku setiap tahun.

"Alhamdulillah peningkatan peserta dan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan majlis ibadah korban untuk tahun ini," katanya lagi.

Sebagai saranan sempena Aidiladha beliau berkata orang Islam perlu berkorban kerana Allah SWT.
"Hari raya korban bukan bererti korban binatang semata-mata tetapi mengorbankan jiwa raga kita, penat lelah, masa, duit kepada Allah dan korbankan juga nafsu kita supaya perpaduan di Selangor ini terjalin lebih baik," tambahnya lagi.

Ustaz Farhan Wijaya menerima surat lapor diri untuk bertugas di Masjid Negeri pada 1 Oktober lalu menggantikan Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10 Jun lalu.HM

Lupakan sasaran emas Rio 2016

Posted: 05 Oct 2014 08:10 PM PDT


Chong Wei disaran tidak terlalu memikirkan sasaran memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016. Chong Wei disaran tidak terlalu memikirkan sasaran memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016.
 
 
TIMBALAN Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria berharap Datuk Lee Chong Wei tidak terlalu memikirkan mengenai harapan negara untuk menghadiahkan emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Menurut Norza, beliau tidak mahu sebarang tekanan akan dihadapi Chong Wei bagi memastikan emosi dan fokus pemain nombor satu dunia itu tidak terjejas.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak akan memaksa Chong Wei untuk beraksi sekiranya merasa kudratnya sudah tidak mampu bersaing pada kejohanan berprestij itu.

"Chong Wei perlu fikir yang terbaik dalam hal ini. Malah BAM juga perlu berhenti meletakkan beban kepadanya dan jangan terlalu fokus kepada Chong Wei semata-mata.

"Sekarang kita mesti mempunyai program yang melihat lebih jauh dari Chong Wei," katanya.

Kata Norza, meskipun pada hakikatnya BAM masih belum berjaya mencari pemain pelapis yang berkaliber seperti Chong Wei, namun semua pihak perlu realistik dan memahami bahawa kerjaya Chong Wei sudah sampai ke penghujungnya.

"Kita harus beri Chong Wei rehat kerana dengan umurnya bukan mudah untuk dia  mendapat kembali stamina seperti sebelum ini.

"Jangan terus bebani Chong Wei dengan harapan yang tinggi dan berilah masa untuk dia memikirkan mengenai diri sendiri.

"Namun, semuanya terpulang kepada BAM untuk menentukan langkah seterusnya," katanya.

Sebelum ini, Chong Wei mengakui tertekan kerana sering diberikan harapan utama memburu kejuaraan di setiap kejohanan.

Namun dia tidak mahu menjadikannya alasan sebaliknya mahu fokus untuk membawa pulang emas Olimpik dalam tempoh dua tahun lagi.

Pemuda Pas cari penyokong muda

Posted: 05 Oct 2014 08:04 PM PDT


Ahmad Fadhli Shaari Ahmad Fadhli Shaari
 
 
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan akan mempergiatkan lagi usaha untuk meraih sokongan anak muda bagi persediaan PRU14 akan datang walaupun berdepan kekalahan semasa PRK Pengkalan Kubor, baru-baru ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ada beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dan pihaknya juga akan mengadakan satu 'post-mortem' untuk membaiki kembali kelemahan-kelemahan yang ada.

"Kita menyedari banyak faktor kekalahan baru-baru ini, terutamanya ialah kita berhadapan dengan jentera kerajaan pusat, sekali gus memperlihatkan sokongan terutamanya daripada golongan muda semakin menurun.

"Insya-ALLAH melalui 'post-mortem' itu, banyak perkara kita akan baiki nanti, kita secara terbukanya menerima teguran, selepas ini kita akan pergiatkan lagi usaha untuk menambah penyokong muda di seluruh Malaysia," katanya kepada Sinar Harian selepas ceramah sesi pertama Kuliah Mingguan Medan Ilmu semalam.

Beliau turut diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang didakwa berkata rakyat sepatutnya bersyukur dengan tindakan kerajaan dan bukannya mengadakan bantahan ke atas kenaikan harga bahan api yang diumumkan kerajaan.

Ahmad Fadhli mendakwa, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin kerana ia mencerminkan sikap pemimpin yang tidak menyelami hasrat hati rakyat.

Beliau berkata, walaupun kenaikan tersebut hanya RM0.20 sen sahaja, namun ia tetap akan memberi kesan kepada rakyat apabila terpaksa berhadapan dengan kenaikan barangan keperluan lain juga selepas itu.

"Apa yang menjadi masalahnya ialah ia berlaku di saat minyak dunia mengalami penurunan yang agak banyak, dan ketara. Kebiasaannya harga minyak naik apabila pasaran minyak dunia pun naik.
"Bagi saya, ia merupakan satu tindakan yang tidak wajar, dan satu tindakan yang membebankan rakyat tambahan pula dengan GST dan sebagainya," katanya.

Ahmad berkata, kerajaan perlu bertindak selaras dengan kemampuan rakyat dan hakikatnya, bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang nampak popular tetapi mengakibatkan kenaikan harga minyak juga wajib dipertimbangkan semula.

Jika Pas tolak, siapa calon Timbalan Speaker?

Posted: 05 Oct 2014 07:50 PM PDT


Hannah Yeoh Tseow Suan Hannah Yeoh Tseow Suan
 
 
SHAH ALAM - Sidang Dun Selangor pada bulan depan bakal memuktamadkan pemilihan calon bagi jawatan Timbalan Speaker setelah penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada wakil Pas menduduki kerusi itu.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata, pelantikan jawatan itu akan melalui proses undian dalam sidang Dun pada November depan.

"Kedudukan Timbalan Speaker akan ditentukan oleh Dun Selangor bila bersidang pada November ini, ahli-ahli dewan negeri akan melantik seorang Timbalan Speaker.

"Buat masa sekarang memang jawatan itu dikosongkan, sehingga sidang Dun akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas kemungkinan Pas akan menolak jawatan tersebut, Hannah berkata, sudah tentu PR mempunyai calon lain dan pelantikan itu mestilah mengikut prosedur.

"Selalunya PR akan mempunyai calon tersendiri, calon itu akan dicalonkan dan pelantikan akan dijalankan dalam dewan.

"Jadi saya tak nak komen dulu perkara tersebut.

"Buat masa sekarang memang tiada sebarang pencalonan dan jawatan tersebut masih kosong," katanya lagi.

Peletakkan jawatan Nik Nazmi pada 26 September lalu dibuat bagi membolehkan Adun Seri Setia itu dilantik sebagai salah seorang daripada 10 Exco Selangor yang baharu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata jawatan Timbalan Speaker itu akan diambil alih oleh wakil Pas selepas kuota Exco parti itu dikurangkan dari empat kepada tiga.

Bot tempur TLDM dikhuatiri hilang di perairan Sabah

Posted: 05 Oct 2014 07:46 PM PDT

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Sebuah bot tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikhuatiri hilang semasa cuaca buruk di perairan Pulau Mengalum, Sabah.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata bot tempur jenis CB90 itu terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah.

Dalam satu kenyataan Ahad malam, beliau berkata bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada pukul 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring tersebut pada pukul 11.15 pagi.

Bot tempur itu ditugaskan untuk beroperasi di stesen berkenaan, katanya.

Abdul Aziz berkata operasi mencari sedang dijalankan oleh aset-aset TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), namun ia masih belum ditemui.

Tujuh orang krew yang diketuai Leftenan Azri Bakar berada di atas bot tempur itu, kata beliau.

Operasi mencari kini diteruskan mengikut prosedur sedia ada, katanya. - Bernama

Turunkan BN untuk turunkan harga minyak

Posted: 05 Oct 2014 07:44 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ketika dunia sedang mengalami kemerosotan harga minyak, satu-satunya negara yang tetap menjual minyak pada harga yang tinggi ialah Malaysia.

Bendahari PAS Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tidak cukup dengan itu, kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib tanpa segan silu menaikkan harga minyak sebagai 'hadiah' istimewa kepada rakyat selepas mereka memenangi PRK Pengkalan Kubor.

"Ini adalah satu berita yang sangat menyedihkan bagi rakyat Malaysia," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, tambah menyedihkan rakyat, ketika perayaan hari raya korban ingin disambut meriah, dicemari pula dengan jawapan yang sungguh tidak bertanggungjawab oleh pimpinan kerajaan, termasuklah perdana menteri.

"Saya ingin tegaskan pengurangan subsidi minyak, bukan sahaja langkah yang tidak popular, malah ia adalah langkah yang amat menyeksa rakyat dan juga status ekonomi negara," ujarnya lagi.

Menurutnya, peningkatan inflasi yang akan berlaku bukan hanya memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan rakyat, malah aliran ekonomi negara juga akan terjejas.

Katanya lagi, negara berpendapatan tinggi tidak sepatutnya dinilai pada kocek pimpinan atau peti simpanan wang negara.

"Apalah erti kekayaan negara jika rakyat terus terhimpit dan hidup menderita," katanya.

Bahkan, ujarnya kocek dan tabung yang tiris itu tidak akan penuh sekali pun diisi dengan semua harta rakyat Malaysia.

Menurutnya lagi, melalui respons yang diberikan oleh pimpinan negara dalam isu harga minyak ini, menunjukkan mereka bukan sahaja sampai hati menindas rakyat, malah mereka juga sampai hati merendah-rendahkan pemikiran rakyat marhaen.

Justeru, tegasnya mesej yang jelas ialah jika mahu turunkan harga minyak, Umno BN perlu diturunkan terlebih dahulu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: