DIALOG RAKYAT |
- Penduduk Rungus tuntut pampasan
- DAP Kedah gesa ROS buat kenyataan rasmi
- Warga Emas Dan Anak Disamun Malam Aidiladha
- Kematian Remaja Perempuan 18 Tahun Penuh Misteri
- Polis Sabah Perluas Siasatan Isu Sabah Keluar Dari Malaysia
- Faekah jelaskan spekulasi Khalid mahu kosong kerusi
- Abdul Khalid kosongkan kerusi Dun?
- Kerajaan perlu henti dasar ‘tidak peduli ranking’ universiti dunia
- Banteras rasuah untuk kurangkan defisit, bukan naikkan harga minyak
- Islam tanpa syariat
- Pesakit Parkinson Pertama Jalani Pembedahan Otak Di UKM
- Resepsi Anak Sharifah Aini, Aliff Omar Meriah
- Remaja Perempuan Lari Rumah Gara-Gara Telefon Bimbit
- Guru dipercayai dibunuh suspek dikenali
- Enam sekeluarga maut, kereta rempuh bas
- NUJ lulus usul keahlian wartawan portal berita
Penduduk Rungus tuntut pampasan Posted: 05 Oct 2014 07:11 AM PDT Wakil penduduk yang terjejas berkata prospek untuk menerima pampasan seolah-olah tidak ada. PITAS: Projek sudah siap beberapa tahun yang lalu. Jalan raya sudah diguna, namun ramai penduduk kaum Rungus di sini mendakwa pampasan yang dijanjikan kerajaan kerana merobohkan rumah mereka, masih belum diterima sehingga sekarang. Penduduk Kampung Eloi, Manggis dan Datong di sini mendakwa tanah, rumah dan tanaman terjejas akibat kerja-kerja memperbesarkan Jalan Pitas-Bongkol-Telaga dan mereka masih menunggu pampasan yang dijanjikan kerajaan. Wakil penduduk yang terjejas berkata, walaupun surat dan panggilan telefon ditujukan kepada agensi kerajaan, termasuk Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun prospek untuk menerima pampasan seolah-olah tiada. "Saya sudah lupa berapa kali saya menghubungi pegawai-pegawai mereka mengenai perkara ini. Setiap kali menghubungi, saya diminta untuk menunggu," kata jurucakap itu yang mana kayu rumah miliknya telah dikenal pasti untuk dirobohkan untuk membuka jalan fasa kedua projek menaik taraf jalan raya. Beliau mendakwa bahawa beberapa rumah, yang terletak bersebelahan dengan jalan utama, sudah dirobohkan semasa projek jalan raya yang lebih awal yang siap empat tahun lalu. Katanya, wang hasil titik peluh untuk membina rumah hilang begitu sahaja. "Tanaman kami seperti pisang dan pokok buah-buahan lain juga ditebang sebelum majlis rasmi pecah tanah bagi fasa kedua projek itu, yang diadakan pada Februari 2010," dakwanya. Sebanyak 31 rumah dikenalpasti untuk dirobohkan, tetapi beberapa rumah masih dihuni kerana kekangan kewangan mereka untuk mencari tempat tinggal lain. "Kami bukan pendatang tanpa izin hingga dilayan dengan cara ini. Kami tergolong dalam kumpulan etnik Rungus yang layak mengundi di Sabah," katanya menambah penduduk kampung terpaksa berjalan jauh untuk ke jabatan kerajaan di bandar untuk bertanyakan status tuntutan pampasan, tetapi diberitahu untuk menunggu. Ditanya sama ada rumah-rumah yang terjejas dibina atas geran Tanah Adat (NT), beliau berkata banyak didaftarkan di bawah geran itu. "Walaupun ada rumah dibina atas tanah yang didaftarkan di bawah Permohonan Tanah (LA), itu tidak bermakna kami tidak berhak untuk dibayar ex-gratia daripada kerajaan. Kami sebelum ini diberitahu akan diberi pampasan sewajarnya berdasarkan kerugian yang dialami," katanya. Beliau berharap kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan akan mempercepatkan proses untuk membayar ganti rugi penduduk kampung yang sebelum ini diserahkan kepada JKR. |
DAP Kedah gesa ROS buat kenyataan rasmi Posted: 05 Oct 2014 07:08 AM PDT "Ramai ahli DAP Kedah berada dalam kekeliruan dan kami mahukan kenyataan hitam putih daripada ROS. Kini, DAP di Kedah mempunyai kembar siam, satu pihak kami dan satu lagi DAP Interim," ALOR SETAR : Setiausaha Organisasi DAP Kedah, Law Theng Hooi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat kenyataan rasmi berkenaan status mesyuarat agung tahunannya yang diadakan pada 11 Julai lalu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan anggotanya. Memetik daripada laporan Bernama, beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada ROS berkenaan perkara itu selepas mesyuarat selesai diadakan, tetapi hingga kini pihaknya masih belum menerima maklum balas. "Ramai ahli DAP Kedah berada dalam kekeliruan dan kami mahukan kenyataan hitam putih daripada ROS. Kini, DAP di Kedah mempunyai kembar siam, satu pihak kami dan satu lagi DAP Interim," katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah. Beliau menambah, pihaknya memahami ROS akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kenyataan rasmi, tetapi keputusan sama ada mesyuarat agung tahunan itu sah atau tidak perlu diketahui segera. Sementara itu, mengulas berkenaan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini yang menyatakan bahawa kemelut DAP Kedah telah selesai, adalah tidak tepat. "Macam mana boleh selesai kemelut ini kerana pihak ROS tidak memberi sebarang pengesahan berkenaan status mesyuarat agung tahunan pada 11 Julai lalu dan kami tidak akan bubarkan DAP Kedah selagi ROS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya. Katanya, perkara tersebut harus diselesaikan segera bagi menjaga nama baik parti dan kepentingan anggotanya. |
Warga Emas Dan Anak Disamun Malam Aidiladha Posted: 05 Oct 2014 07:04 AM PDT Malah kejadian itu turut menyebabkan ibu kepada pengadu yang merupakan seorang warga emas cedera dan patah beberapa batang gigi akibat ditarik ke luar rumah hingga terjatuh sebelum penyamun tanpa belas kasihan meragut barangan kemas milik mangsa lalu melarikan diri. Ketika kejadian, Zaleha Awang, 42, bersama ibunya Mek Che Mat, 85, sedang mengemas rumah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna kelabu. "Seorang daripada suspek itu meluru masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah kelewang panjang walaupun saya cuba menghalangnya daripada masuk,"katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad. Ekoran itu, terjadi pergelutan antara suspek dan mangsa hingga menyebabkan teman suspek yang menanti di dalam kereta turut naik ke rumah dan mengacukan kelewang di dada Zaleha sebelum meragut gelang tangan emasnya. Zaleha berkata ibunya pula ditarik suspek hingga ke tepi longkang rumah sebelum gelang tangan emasnya direntap dengan kasar hingga menyebabkan luka dipergelangan tangan manakala beberapa batang giginya pula patah akibat terjatuh ditarik suspek. Katanya kedua-dua suspek melarikan diri dengan dua utas gelang emas yang dianggarkan bernilai RM20,000. Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut Supritendan Khaled Che Lah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan berkata warga emas itu serta anaknya dibawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan. Katanya siasatan masih dijalankan dan setakat ini operasi mengesan kedua-duapenyamun itu sedang dipergiatkan. |
Kematian Remaja Perempuan 18 Tahun Penuh Misteri Posted: 05 Oct 2014 07:03 AM PDT Remaja tersebut yang dikenali dengan Gita, jatuh di atas bumbung sebuah kereta Proton Saga pada pukul 5.15 petang, namun masih bernyawa ketika itu. Dia dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Salah seorang penduduk Pangsapuri Desa Mentari di Kampung Medan berkata, remaja perempuan itu ada memberitahu bahawa dia ditolak oleh seseorang dari tingkat 15. Bagaimanapun, abang mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, Gita tidak mempunyai sebarang masalah. Mangsa merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik dan meninggalkan sekolah menengah pada usia 13 tahun sebelum bekerja di sebuah kedai berhampiran. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassom berkata, pihak polis memerlukan lebih banyak maklumat sebelum mengklafikasikan kes ini sebagai mati mengejut atau kes bunuh. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan. |
Polis Sabah Perluas Siasatan Isu Sabah Keluar Dari Malaysia Posted: 05 Oct 2014 07:00 AM PDT Katanya beliau tidak dapat mendedahkan apa-apa kerana perkara itu adalah sulit. "Polis telah kembangkan (siasatan) ke peringkat lebih luas dan lebih tinggi termasuk mendapatkan bantuan beberapa pihak untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis jamuan Aidiladha di Masjid NurIslam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini. Wanita itu yang dikenali sebagai Doris Jones, mempunyai akaun Facebook yang mencadangkan Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Ketika ditanya sama ada wanita itu masih berada di luar negara, beliau berkata: Ya. Sebelum ini, dilaporkan polis sedang mengesan wanita itu bagi membantu siasatan berhubung isu Sabah keluar daripada Malaysia. |
Faekah jelaskan spekulasi Khalid mahu kosong kerusi Posted: 05 Oct 2014 03:10 AM PDT KUALA LUMPUR: Dakwaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu mengosongkan kerusi Dun Pelabuhan Klang adalah tidak benar. Selangor Kini melaporkan pegawai khas kepada Adun Pelabuhan Klang, Faekah Husin berkata majikannya tidak pernah menyatakan hasrat meletak jawatan. "Tan Sri tidak pernah menyatakan hasrat letak jawatan," katanya menerusi sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) kepada Selangor Kini. Speaker Dun Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh juga menafikan menerima notis peletakan jawatan itu. "Saya tidak dengar apa-apa pun, saya juga tidak terima apa-apa notis," katanya. Reaksi itu sebagai respons kepada spekulasi mantan Menteri Besar Selangor itu mahu melepaskan jawatan sebagai Adun Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. |
Abdul Khalid kosongkan kerusi Dun? Posted: 05 Oct 2014 03:06 AM PDT Abdul Khalid Ibrahim SHAH ALAM - Khabar angin kini bertiup kencang mengatakan kerusi Dun Pelabuhan Klang bakal dikosongkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat. Menurut sumber terdekat bekas pemimpin Selangor itu, Abdul Khalid pernah meluahkan hasratnya untuk melepaskan jawatan yang dimenanginya pada PRU13 lalu susulan tekanan yang diterimanya selepas dipecat dari PKR. "Sebelum Tan Sri Khalid meninggalkan pejabat SUK baru-baru ini, beliau ada merancang untuk meletak jawatannya sebagai wakil rakyat di Selangor sebaik sahaja pulang dari bercuti di luar negara. "Beliau mungkin akan mengumumkan peletakan jawatannya sebelum Dun Selangor bersidang pada bulan depan," katanya kepada Sinar Harian Online ketika diminta mengulas desas-desus mengatakan Abdul Khalid bakal meletakkan jawatan tidak lama lagi. Bagaimanapun khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dinafikan Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh sambil mengatakan pihaknya belum menerima sebarang notis peletakan jawatan Adun Pelabuhan Klang itu. "Saya tak dengar apa-apa pun, saya juga tidak terima apa-apa dokumen (notis letak jawatan) daripada beliau, tak ada," katanya. Ditanya mengenai keperluan memanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung gesaan mengkaji semula semua perjanjian yang ditandatangani pentadbiran lalu, beliau berkata semakan itu tidak dilakukan Selcat sebaliknya ia sedang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). "Tiada lagi, yang mengatakan hendak menyemak (perjanjian air) ialah menteri besar dan Exco, bukan Selcat. "Sekarang, tiada apa-apa rancangan untuk Selcat memanggil mengenai isu ini, buat masa sekarang, pihak eksekutif atau menteri besar yang sedang menyemak perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini. Beliau bagaimanapun berkata, jika semakan itu mendapati wujudnya unsur penyelewengan dan salah laku, Selcat boleh bersidang dan memanggil sesiapa sahaja termasuk Abdul Khalid. "Selcat akan dipanggil jika ada keperluan itu, jawatankuasa itu akan bermesyuarat, sekarang memang tiada keperluan sebab pihak eksekutif menjalankan tugas membuat semakan," katanya. Ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Abdul Khalid pada sidang Dun Selangor akan datang, Hannah bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. |
Kerajaan perlu henti dasar ‘tidak peduli ranking’ universiti dunia Posted: 05 Oct 2014 03:02 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dan kerajaan harus menilai semula dasar 'tidak peduli ranking' universiti dunia seperti yang ditunjukkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. Beliau berkata, ini bagi menunjukkan negara sentiasa serius dalam usaha mengembalikan reputasi antarabangsa dan kecemerlangan akademik universiti Malaysia. Beliau mengulas kenyataan Naib Cancelor UM Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jamaludin bahawa universiti itu tidak menyertai kajian Times Higher Education (THE) berhubung universiti terbaik dunia kerana universiti itu tidak memiliki kemampuan kewangan yang cukup untuk bersaing dengan universiti lain yang lebih kaya dan tua. "Kecuali jika ada sebab munasabah yang mana harus dinyatakan kepada awam. "Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memastikan UM dan UKM menyertai kajian itu pada masa akan datang," katanya sambil menyifatkan alasan itu tidak memadai. Beliau memberi contoh beberapa universiti yang ditubuhkan lebih lewat daripada UM, namun mampu bersaing dan mencatat kedudukan yang baik dalam kajian itu. Antaranya adalah Pohang University of Science and Technology (Postech) pada tangga ke-66 (ditubuhkan 1986), Hong Kong University of Science and Technology di tangga ke-51 (ditubuhkan 1991) dan City University of Hong Kong pada tangga ke-192 (ditubuhkan 1984) Beliau juga mempersoalkan kebisuan kerajaan dan media di kawalan mereka di saat negara lain sibuk membincangkan laporan itu. "Amat pelik dan tidak normal. Di setiap negara yang sedar dengan kepentingan pendidikan, laporan THE 2014 menguasai ruang awam dan perdebatan, sama ada meraikan kejayaan atau pun mengkritik prestasi yang menurun. "Namun, Muhyiddin dan pemimpin BN lain bersama-sama media kawalan mereka kekal membisu, dan buat-buat tidak tahu," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. Katanya lagi, suasana itu ternyata berbeza berbanding pada tahun 2005, ketika UM meraikan kejayaannya mendapat tempat ke-169 dalam senarai universiti terbaik THE pada tahun itu. Dalam tempoh lima tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, tiada satu pun universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik dunia THE. – Roketkini.com |
Banteras rasuah untuk kurangkan defisit, bukan naikkan harga minyak Posted: 05 Oct 2014 03:00 AM PDT Roketkini.com GEORGE TOWN: Kerajaan sepatutnya menggandakan usaha melawan rasuah jika benar-benar ingin mengurangkan defisit negara, bukannya menaikkan harga minyak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. "Jika kerajaan ingin mengurangkan defisit dan hutang, kurangkan dahulu rasuah sebelum bercakap tentang subsidi. Mengapa tidak berbuat demikian? "Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilantik untuk membanteras rasuah ternyata telah gagal," katanya dalam satu kenyataan. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 2 Oktober lalu mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 daripada RM2.10 kepada RM2.30, manakala diesel daripada RM2 kepada RM2.20. Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempersoalkan kenaikan itu, di saat ada negara lain yang menurunkannya ekoran kejatuhan harga minyak dunia. Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 15 September lalu melaporkan, pasaran niaga hadapan minyak Amerika Syarikat mendekati harga terendah buat kali kedua dalam tempoh 16 bulan. Menurut laporan itu lagi, harga per-tong bagi Oktober 2014 adalah USD 92,92 (RM302.42), turun 13 peratus berbanding paras tertinggi tahun ini pada Jun 2014. "Mengapa ketika harga minyak dunia jatuh, di Malaysia pula sebaliknya?" katanya, sambil memetik India dan United Kingdom yang masing-masing menurunkan harga minyak sebanyak 65 paise (4 sen) dan 5 pence (27 sen). Mengecam tindakan kerajaan itu, beliau turut menyatakan rasa bimbang terhadap kenaikan harga barangan berikutan kenaikan harga minyak. – Roketkini.com |
Posted: 04 Oct 2014 10:40 PM PDT Islam tanpa syariat Ya, ia adalah konspirasi musuh Islam antarabangsa. Gerakan Islam yang istiqamah berjuang menegakkan agama dan syariat Islam mestilah dilumpuhkan. Di sisi mereka, inilah musuh Yahudi yang akan mengancam survival mereka dan sekutu mereka. Mereka telah lakukannya di Mesir. Sehebat mana Mursi memilih laluan demokrasi yang sempurna tetapi beliau telah menggunakannya untuk memperkenalkan Islam yang benar dan adil. Itu ditakuti barat. Justeru Mursi mesti ditumbangkan lebih awal sebelum auranya merebak ke seluruh dunia Islam. Ikhwanul Muslim yang mengepalai perjuangan menegakkan syariat Islam hari ini dipenjarakan daripada aktif di laluan demokrasi besi. Mereka juga telah melakukannya di Syria. Penentangan dan jihad yang dimulakan oleh fatwa para ulama muslimin yang membenarkan jihad bersenjata ke atas penghisap darah Bashar Al-Asad mestilah disekat kerana ia pasti akan berakhir dengan kemenangan kumpulan Islam yang menyeru kepada sistem syariat Islam yang adil dan berjaya. Mereka membawa masuk perang mazhab Sunni-Syiah dan golongan ekstrimis terlarang seperti ISIS. Maka Syria hancur dan fitnah ugama berterusan memporak perandakan Syria, negara yang dipenuhi para ulama besar. Mereka telah cuba menghancurkan HAMAS di Palestin. Bilionan wang ringgit telah dibelanjakan walaupun terpaksa menerima hakikat kekalahan kepada singa-singa Allah yang kian mendekati Baitul Maqdis. Mereka sesekali tidak akan berputus asa. Perang di Palestin akan terus dicetuskan walaupun dengan alasan nyamuk sehinggalah mereka berjaya menghancurkan HAMAS. Di Turki, mereka membenarkan Erdogan dan partinya bergerak dalam perjanjian yang mengikat. Tiada Syariat Islam dan tiada seruan ke arah itu. Tentera Turki yang jauh lebih sekular daripada tentera Mesir memerhati dengan tajam. Di Yaman, Syeikh Abdul Majid Zindani dan parti Islahnya mesti ditumbangkan sebelum harum auranya memikat seluruh negara Yaman. Mereka membakar dan menghasut kumpulan Syiah Houthi Zaidiyah yang tidak pun dimusuhi oleh Syeikh Zindani agar memberontak dan menggempur Sana'a. Universiti sarat ilmu Syeikh digempur sedangkan kedutaan Amerika tidak pun disentuh walaupun slogan mereka adalah 'Maut buat Amerika'. Begitulah perancangan jahat musuh Islam antarabangsa bagi menyekat kebangkitan Islam yang semakin diterima rakyat. Semuanya dilakukan samada secara perang memerangi pengganas atau lebih licik, menimbulkan fitnah ke atas gerakan Islam daripada dalam. Misi mereka adalah menukar laungan perjuangan menegakkan syariat Islam kepada perjuangan Islam tanpa syariat. Ya, mereka menerima hakikat umat Islam sedang kembali kepada ugama dan sedang meninggalkan pemikiran warisan penjajah yang sedang nazak bersama parti-parti politik mereka yang korup. Tetapi mereka mesti melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam yang mereka boleh terima dan berkompromi dengannya. Maka dijaja projek Islam tanpa Syariat. Dijadikannya manis dan harum dengan seruan ke arah maqasid syariah yang bermatlamatkan keadilan buat semua. Mereka bercakap mengenai keadilan untuk semua. Inilah Islam. Apa yang dilihat adil oleh mereka, maka itulah Islam walaupun ianya diukur sebaliknya oleh syariat Islam. Mereka bersedia dengan akalan untuk mentakwilkan maksud nas dan hukum ugama. Akhirnya lenyaplah seruan ke arah syariah Islam yang merupakan maksud sebenar bicara mengenai Maqasid Syariah dan Siyasah Syar'eiyah. Begitulah fitnah melanda gerakan Islam di seluruh dunia. Fitnah krisis identiti. Di Malaysia, PAS konsisten berjuang menegakkan ugama di dalam negara. Mengekalkan kebaikan yang sudah sedia ada dan berjuang menyeru kepada syariat dan sistem Islam yang menyeluruh berpandukan al Quran dan al Sunnah yang tidak diimani atau diragui oleh pemerintah. Itulah maksud sebenar Islam sebagai ugama persekutuan. Ini telah merimaskan barat dan musuh Islam antarabangsa. Justeru dengan BN yang semakin tua dan di ambang kejatuhan, kehadiran PAS sebagai pemain utama dalam pakatan pembangkang adalah cukup merimaskan. PAS mesti diserang. Ia mesti dipinggirkan daripada menjadi kekuatan utama dalam PR. Ia mesti dilemahkan daripada dalam. Kekuatannya mesti diragut dan dibiarkan hidup dengan kekuatan baru yang bersedia menolak seruan ke arah syariat Islam. Mereka menemukan kekuatan asal itu berpaksi dan berpangkal di dalam institusi Majlis Syura Ulamak PAS yang diketuai al Mursyidul Am dan kehadiran para ulama yang memimpin parti PAS diketuai Presiden PAS. Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan TGHH dan memperlekeh Majlis Syura Ulamak PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, YA. Ahli dan pendukung PAS mestilah dalam kesedaran yang tinggi. Selamat menyambut Eidul Adha. Semoga Allah menerima amal kita pada hari-hari 10 Zulhijjah yang agung ini. (*) Penulis ialah AJK PAS Pusat. |
Pesakit Parkinson Pertama Jalani Pembedahan Otak Di UKM Posted: 04 Oct 2014 10:31 PM PDT Oleh: NURBAITI HAMDAN "Dia (pesakit) kini berada dalam keadaan baik dan kami akan membantunya untuk tidak bergantung kepada ubat-ubatan secara beransur-ansur," kata pakar bedah Dr T.Jegan. Beliau dan pakar neurologi, Datin Dr Norlinah Mohamed Ibrahim mengetuai pasukan pakar pembedahan ke atas pesakit berusia 67 tahun itu pada 26 September lalu. Prosedur yang dikenali sebagai pembedahan rangsangan otak dalaman (DBS) itu mengambil masa selama tujuh jam 30 minit. Pada masa ini, DBS hanya digunakan untuk pesakit yang menghidapi simptom tertentu yang tidak boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang mencukupi. "Pelbagai kajian di seluruh dunia membuktikan bahawa jika dibandingkan dengan kos penjagaan pesakit Parkinson untuk tempoh jangka masa panjang, DBS adalah jauh lebih murah kerana pesakit akan mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan secara beransur-ansur," kata Dr Jegan pada sidang media di hospital tersebut pada Jumaat. Beliau berkata, pesakit tersebut dari semasa ke semasa menanggung kesan sampingan daripada rawatan yang diterima selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2004. "Ini mendorong beliau untuk mempertimbangkan kaedah DBS yang merekodkan kejayaan sebanyak 80%," kata Dr Jegan sambil menambah pesakit tersebut menerima pembiayaan daripada kerajaan. DBS dilakukan sebanyak beratus-ratus kali terhadap pesakit Parkinson di seluruh dunia untuk memperbaiki keadaan mereka tetapi kaedah itu jarang dilakukan di Malaysia kerana kos yang tinggi. Sebuah bateri (alat perentak jantung) dan elektrod berharga antara RM80,000 dan RM86,000. Kebanyakan pesakit Parkison mengalami simptom seperti gegaran, kekejangan, pergerakan yang perlahan dan masalah untuk berjalan. Kaedah DBS mencatatkan peningkatan purata sebanyak 60% hingga 70% dalam naik turun motor dan dyskinesia (kategori gangguan pergerakan) dan terapi perubatan yang terbaik dalam meningkatkan kualiti kehidupan seseorang. Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai prosedur itu, Dr Jegan berkata, pasukan pembedahan memasukan dua elektrod berukuran diameter 1.27mm setiap satu ke dalam kawasan sasaran di dalam otak pesakit warga emas. Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-9145 5555 atau layari www.ppukm.ukm.my/web. |
Resepsi Anak Sharifah Aini, Aliff Omar Meriah Posted: 04 Oct 2014 10:17 PM PDT Majlis bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyaksikan hampir 1,000 tetamu memenuhi ruang dewan tersebut terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis. Antara selebriti yang hadir ialah Datuk M.Nasir, Datuk Dahlan Zainuddin, Azmil Mustapha, Joe Flizzow, Herman Tino, Datuk DJ Dave, Salimah Mahmood dan Uji Rashid. Memilih konsep persandingan sederhana, Aliff, 32, dan isterinya Athirah, 28, tampil anggun dengan busana warna merah jambu. Kedua-dua pasangan pengantin berarak masuk ke dalam dewan utama diringi ahli keluarga terdekat untuk ke pelamin utama. Bagaimanapun tiada sebarang acara merenjis dilakukan. Sepanjang berlangsungnya majlis, pasangan pengantin dan tetamu dihiburkan oleh sekumpulan adik beradik, The Siblings. Sementara itu, menurut bapa Aliff iaitu Ali Bakar, dia bersyukur apabila hasrat mahu melihat anaknya beristeri sudah tercapai. "Alhamdulillah, mereka menjalinkan hubungan selama dua tahun. Selepas 44 hari arwah (Sharifah Aini) meninggal dunia, Aliff terus membuat persiapan perkahwinan. "Tambah pula Aliff mahu majlis yang sederhana, jadi kami tunaikan permintaannya. Semoga perkahwinan mereka kekal hingga akhir hayat, InsyaAllah," katanya. Pada Jumaat lalu, Aliff, sah bergelar suami kepada Athirah, yang merupakan seorang doktor gigi dengan sekali lafaz pada pukul 11.20 pagi di Pusat Konvensyen Shah Alam. Aliff merupakan anak tunggal Sharifah Aini, hasil perkahwinannya dengan penganjur konsert, Ali Bakar pada tahun 1981. |
Remaja Perempuan Lari Rumah Gara-Gara Telefon Bimbit Posted: 04 Oct 2014 10:15 PM PDT Oleh: OH CHIN ENG ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun melarikan diri dari rumahnya kerana salah faham terhadap sebuah telefon bimbit. Bapanya, Khor Ooi Seen,48, tidak dapat menahan kesedihan ketika sidang akhbar yang diadakan bagi mencari anaknya yang melarikan diri itu. Ooi Seen yang bertugas sebagai pembantu dapur menangis ketika ketua Skuad Bantuan Bencana MCA (CRSM) Alor Setar, Daniel Tan membaca surat yang ditulis Yi Qian (gambar) sebelum melarikan diri pada 30 September lalu. Remaja tersebut meminta maaf kerana melarikan diri, namun dia kecewa dengan keluarganya yang tidak memberi peluang kepada dirinya. Yi Qian juga memberitahu bapanya bahawa dia akan pergi ke' satu tempat yang jauh' dan meminta keluarga agar tidak mengganggu kawan baiknya sepanjang kehilangannya itu. Sambil mengesat air mata, Ooi Seen lebih banyak mendiamkan diri pada sidang media tersebut yang diadakan di Pekan China pada Sabtu. Isterinya, N.Sithara Dewi,46, berkata, anaknya itu yang belajar di Tingakatan Empat mungkin melarikan diri selepas menganggap keluarga tidak mengendah untuk mengambil balik telefon bimbitnya yang dirampas oleh pihak sekolah pada 25 September. Sithara berkata, dia telah pergi ke sekolah pada 28 dan 30 September untuk cuba dapatkan kembali telefon tersebut. "Namun guru besar tidak ada di sekolah pada dua tarikh itu," katanya sambil menambah anak perempuannya itu menunggu seseorang sekitar pukul 7 malam di rumahnya di Taman Bahagia sebelum melarikan diri. "Dia keluar menerusi pintu belakang selepas memeluk dan mengambil duit RM50 dengan kakaknya. "Kami mendapati bajunya hilang dan sekeping surat untuk bapanya," tambah Sithara. Mereka membuat laporan polis pada Khamis lalu. Yi Qian merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik tidak menghubungi keluarga sejak hari itu. Bapanya percaya, remaja ini masih berada di sekitar negeri ini. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja perempuan ini boleh menghubungi polis atau talian CRSM di 010-565 2011/2012/2013/2014. |
Guru dipercayai dibunuh suspek dikenali Posted: 04 Oct 2014 10:03 PM PDT MALAYSIAKINI Polis percaya kes kematian seorang guru sekolah rendah di Kundasang, Ranau, pada Jumaat lepas berpunca daripada rompakan dan samun oleh suspek yang dikenali mangsa. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya rumah mangsa dipecah masuk suspek yang dikenalinya sebelum membunuh mangsa. Bagaimanapun motif sebenar kejadian masih disiasat, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidiladha di Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan di Kota Kinabalu hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, Masinah Samadi, 50, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala dan badan di sebuah rumah berhampiran kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd, Kundasang, Ranau. Mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh suaminya yang baru pulang daripada kerja.- Bernama |
Enam sekeluarga maut, kereta rempuh bas Posted: 04 Oct 2014 10:01 PM PDT MALAYSIAKINI Enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang menyambut Hari Raya Aidiladha maut setelah Perodua Alza yang dinaiki dipercayai terbabas lalu merempuh sebuah bas dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin malam tadi. Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu turut melibatkan sebuah kenderaan lain jenis Perodua Myvi. Katanya setakat ini tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Azhar Mat Ali, 43, Zaliha Johar, 42, masing-masing dari Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nenas, Johor dan Siti Habibah Kasbon, 43, dari Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor. Tiga lagi mangsa belum dapat dikenal pasti, katanya ketika dihubungi. Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dari arah Segamat menuju ke arah Kuantan itu hilang kawalan. "Kenderaan itu kemudiannya masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang tiada penumpang dari arah bertentangan," katanya. Menurutnya, pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang berada di belakang Perodua Alza itu tidak sempat mengelak dan turut terbabas di tepi longkang di tepi jalan berkenaan. "Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.- Bernama |
NUJ lulus usul keahlian wartawan portal berita Posted: 04 Oct 2014 09:59 PM PDT MALAYSIAKINI Mesyuarat Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) meluluskan usul meminda perlembagaannya bagi menerima wartawan portal berita dan stesen televisyen satelit sebagai anggota. Usul berkenaan diluluskan dalam mesyuarat dwitahunan luar biasanya semalam, kata presiden NUJ, Chin Sung Chew. Bagaimanapun, perkara itu perlu mendapat kelulusan Pendaftar Kesatuan Sekerja terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan, katanya ketika dihubungi Malaysiakini. "Kami menerima banyak pertanyaan dari wartawan portal berita yang berminat untuk menyertai NUJ. "Jadi sekarang kami perlu mendapat mandat untuk meminda perlembagaan – dan ia perlu dibawa kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja," kata Chin. Kenyataan yang dikeluarkan NUJ hari ini menyebut, keanggotaan tersebut meliputi organisasi yang diiktiraf oleh Kementerian Dalam Negeri. Keputusan baru hari ini dicapai susulan kemunculan gagasan baru, Badan Wartawan Malaysia (IoJ) dan Gerakan Media Marah (Geramm). Sejak penubuhannya, IoJ dan Geramm dikenali lantang dengan kenyataan berhubung isu dan tindakan undang-undang yang mengganggu kerja-kerja kewartawanan. Mekanisme kemasukan anggota dalam kategori baru itu setakat ini belum dapat dipastikan, namun lazimnya NUJ mensyaratkan setiap anggota menyertai badannya melalui cawangan di organisasi masing-masing. Dalam kenyataan medianya, NUJ turut menuntut agar undang-undang yang menindas penerbitan berita serta mengekang maklumat dihapuskan dengan segera. "Perwakilan antara lain meluluskan usul untuk terus menuntut penghapusan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. "Pada masa sama kami menggesa kerajaan agar melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat dan bertindak atas isu kesatuan...," kata Setiausaha NUJ, Schave Jerome De Rozario dalam kenyataan itu. Pemilihan yang dijalankan dalam mesyuarat hari ini turut menyaksikan Chin Sung Chew mempertahankan jawatannya untuk penggal 2014-2016. Wartawan kanan akhbar Sin Chew Daily itu menggantikan bekas presiden, Hata Wahari pada tahun 2011. Beliau menewaskan Osman Lisut dari New Straits Times (NST) dengan majoriti 270 undi. Turut mempertahankan jawatan mereka adalah naib presiden, basir Baharom dari NST dan Mohd Taufek Razak (Utusan Melayu). Schave Jerome De Rozario (The Star) pula menang tanpa bertanding untuk jawatan setiausaha NUJ. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan