Isnin, 27 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


[KEMASKINI] Anwar, Azizah tiba beberapa minit selepas pagar UM tumbang dirempuh mahasiswa

Posted: 27 Oct 2014 07:55 AM PDT

Oleh Shuhainiza Said
Post Pic



BANGSAR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Universiti Malaya (UM), beberapa minit selepas pagar utama institusi itu tumbang dirempuh gerombolan mahasiswa.

Mereka kini diarak dengan pacuan empat roda menuju ke Dataran Tunku Canselor (DTC), yang terletak dalam kampus tersebut.Turut kelihatan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM),  Fahmi Zainol.



Terdahulu, gerombolan mahasiswa itu bersorak gembira apabila berjaya menumbangkan pagar utama UM sekaligus membolosi kawalan keselamatan di perkarangan UM.

Pasukan keselamatan UM dilihat langsung tidak berkompromi dengan tuntutan mahasiswa walaupun diprovok mahasiswa yang berhimpun sejak Maghrib tadi.



Terdahulu, pihak keselamatan berjaya memujuk beberapa mahasiswa yang enggan keluar daripada perkarangan kampus UM.

Kawalan keselamatan UM juga dilihat amat ketat sehingga menyukarkan usaha mahasiswa itu melepasi pagar utama institut pengajian tinggi awam  (IPTA) itu.



Turut kelihatan ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom sebagai pemantau.

Tinjauan wartawan Antarapos mendapati jalan menghala ke Bangsar sesak teruk akibat kenderaan peserta yang hadir pada Pidato Anwar Ibrahim, '40 Tahun Daripada Ke Penjara', diletakkan di sepanjang bahu jalan di luar kampus itu.

Pidato ini adalah yang terakhir bagi Ketua Umum PKR itu, sekiranya Mahkamah Persekutuan pada Rabu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
 

Mejar Zaidi diperintah bela diri dua tuduhan

Posted: 27 Oct 2014 07:51 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia Mejar Zaidi Ahmad diperintah membela diri terhadap dua daripada tujuh pertuduhan pindaan yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini.

Dua tuduhan tersebut ialah melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961 - di bawah perenggan 3 dan perenggan 13.

Perenggan 13 tuduhan membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa kelulusan Kementerian Pertahanan.

Perenggan 3 pula merujuk kepada tuduhan menyiarkan kawat tumpangan razmi kepada media tanpa kelulusan pihak Majlis Angkatan Tentera.

Mahkamah memutuskan untuk mengugurkan pertuduhan keempat sehingga ketujuh terhadap Zaidi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Zaidi.

Yang Dipertua Mahkamah Tentera, Kolonel Saadon Hasnan berkata panel mahkamah bersetuju dengan hujah peguam bela Zaidi bahawa dakwat kekal bukan satu subjek yang perlu disiasat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Setuju hujah pendakwa

Bagaimanapun jelasnya, panel juga bersetuju dengan pendakwaan bahawa Zaidi gagal mendapat kelulusan dari Kementerian Pertahanan sewaktu memberi keterangan tentang dakwat kekal yang "berkaitan dengan hal kerajaan".

"Mahkamah mengarahkan tertuduh Mejar Zaidi Ahmad dipanggil membela diri terhadap pertuduhan kedua dan ketiga," kata Saadon sewaktu membacakan penghakiman panel selama kira-kira 50 minit.

Zaidi kini akan membela diri terhadap tuduhan pindaan memberi kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa kelulusan Kementerian Pertahanan di perkarangan surau IPD Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Mei 2013.

Beliau juga berdepan tuduhan menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada media tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera pada 3 Mei 2013 di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Jika sabit kesalahan, Zaidi bakal berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Mahkamah akan bersidang semula pada 5 November ini jam 9 pagi.

Siswa, penyokong Anwar rempuh pintu UM

Posted: 27 Oct 2014 07:32 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Ribuan mahasiswa dan penyokong PKR merempuh pintu pagar Universiti Malaya membolehkan mereka memasuki kampus itu bagi mengikuti pidato Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka merempuh pintu pagar Kuala Lumpur yang berkunci dan dirantai oleh pihak keselamatan sambil melaungkan "buka, buka" dan kemudiannya memasuki kawasan kampus.

Kemudian, mereka berhentikan berarak ke Dewan Tunku Canselor kira-kira 200 meter dari pintu pagar bagi menunggu ketibaan Anwar.

Sementara itu, kira-kira jam 9.40 malam Anwar bersama keluarganya sampai dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan mereka mula berarak ke Dewan Tunku Canselor.

Menyampaikan ucapan atas pacuan empat roda itu di depan dewan itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol mencerita sejarah perjuangan mahasiswa UM untuk rakyat.

Beliau juga bersedia berdepan tindakan displin daripada pentadbiran universiti selepas ini.

"Saya tahu pihak UM marah dengan saya. Saya sedia menerima hukuman termasuk dibuang universiti," katanya.

Kemudian, Anwar pula memulakan ucapannya dengan mempersoal pentadbiran kampus mahu menghalang beliau berucap di kampus itu

"Saya dihina dan dikeji 16 tahun. Apa salah saya datang bercakap di sini?" katanya sambil mengucap terima kasih dan tahniah kepada Fahmi dan pelajar UM.

Sebelum itu, keadaan hujan rintik-rintik mereka berkumpul di situ memandangkan pihak keselamatan kampus menutup pintu masuk ke kampus perdana untuk sebarang lalu lintas.

Ada juga di kalangan mereka membuka payung masing-masing.

Pentadbiran kampus itu tidak membenarkan pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya itu kerana tiada permohonan dibuat.

Antara pemimpin yang dilihat hadir MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sean bersama beberapa penyokong PKR menaiki sebuah kereta dan  memasang sistem audio.

Turut kelihatan ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom sebagai pemantau.

Mahasiswa dan penyokong Anwar turut melaungkan "student power" dan "hidup rakyat" sambil meminta pihak keselamatan membuka pintu pagar.

Ini kerana kelihatan sekumpulan pelajar dilarang meninggalkan kawasan kampus menyebabkan siswa yang di luar pintu pagar melaungkan:

"Lepaskan mereka, mereka juga mahu bersama dengan kami," kata mereka.

Pelajar yang awalnya dilarang keluar bagaimanapun dilepaskan selepas perbincangan diadakan.

Kepala tersepit di celah dua batang besi katil

Posted: 27 Oct 2014 07:27 AM PDT


 Kanak-kanak berusia empat tahun yang tersepit kepalanya di celah besi katil. Kanak-kanak berusia empat tahun yang tersepit kepalanya di celah besi katil.
 
 
BANDARAYA MELAKA - Anggota bomba dan penyelamat terpaksa menenangkan seorang kanak-kanak empat tahun sebelum berusaha mengeluarkan kepalanya yang tersepit di celah besi katil semalam.

Dalam kejadian berkenaan, anggota bomba menggunakan 'bolt cutter' untuk memotong besi katil bagi mengeluarkan kepala Muhammad Amirul Syahir Amir Hamzah yang tersepit di celah dua batang besi.

Muhammad Amirul Syahir dikatakan sedang bermain dengan abangnya di dalam bilik berkenaan ketika kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang di kediaman mereka di Balai Panjang di sini semalam.

Menurut ibu kanak- kanak berkenaan, Rafidah Anuar,  33, dia hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anak bongsunya itu memanggil.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang berada di dapur, menjenguk ke dalam bilik dan terkejut melihat kepala  anaknya tersepit di antara dua besi katil.

Katanya, dia cuba meregangkan dua batang besi itu dalam usaha melepaskan anaknya tetapi gagal.

"Saya tidak menyangka mereka berdua akan bermain di dalam bilik kerana sebelum kejadian, mereka sedang leka menonton televisyen.

"Tilam katil itu sudah saya buang sejak lima bulan lalu dan semenjak itu mereka tidak pernah bermain di situ," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, anggota bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian memotong besi katil  menggunakan 'bolt cutter' bagi membebaskan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan  Penyelamat Jalan Kubu dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan kira-kira jam 3 petang semalam.

Usaha Anwar tidak sia-sia

Posted: 27 Oct 2014 07:25 AM PDT


Tian Chua Tian Chua
 
 
SEREMBAN - Naib Presiden PKR, Tian Chua tetap optimis perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tersia-sia, walaupun seandainya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada Ketua Umum PKR berkenaan pada Rabu ini.

Secara tidak langsung, kata beliau, pemenjaraan Anwar mampu mencetuskan satu kesedaran baharu dalam kalangan generasi muda yang mampu merangsang mereka untuk bangkit menegakkan keadilan.

"Dahulu pun, beliau (Anwar) pernah dipenjarakan dan tidak memimpin secara fizikal. Bagaimanapun, Anwar terus menjadi inspirasi bagi kita semua untuk berjuang bersungguh-sungguh sehinggalah beliau bebas dan berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat (PR).

"Sekiranya mereka (kerajaan) fikir boleh kurangkan pengaruh Anwar dengan memenjarakan beliau, itu satu kesilapan besar. Dalam penjara sekalipun, Anwar masih boleh memimpin dan kita yakin pengaruhnya akan lebih tinggi berbanding sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri program solidariti untuk Anwar di Kampung Lambar Hilir, Labu, di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, mengulas tindakan Timbalan Ketua PKR Cabang Petra Jaya, Idris Bohari yang mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta pula, beliau beranggapan perkara itu sengaja ditimbulkan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kes Anwar.

"Ada pihak cuba memberi gambaran, seolah-olah parti (PKR) sudah kehilangan sokongan. Mereka cuba mengelirukan orang ramai dengan perkara sebegini. Tetapi, kita akan buktikan persepsi itu tidak benar," katanya yang menyifatkan tempoh 48 jam sebelum keputusan mahkamah diumumkan sebagai cukup getir dan kritikal.

Dapatkah MAS harungi semula zaman gemilang?

Posted: 27 Oct 2014 07:20 AM PDT

Dr Syed Raisudin Syed Abdullah


mas
 
 
KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia (MAS) menerbangkanpuluhan ribu penumpang setiap hari dan ramai memilih syarikat penerbangan ini kerana ingin menikmati kehebatan "Kemesraan Malaysia".

Sepanjang tempoh lebih 30 tahun perkhidmatannya, MAS memenangi banyak anugerah dan yang paling menyerlah adalah bidang perkhidmatan dalam pesawat di samping menjadi syarikat penerbangan pilihan dalam kalangan para penumpang dan pelancong antara benua.

Tetapi sejak kebelakangan ini pencapaian membanggakan MAS nampaknya tinggal sejarah ekoran kerugian besar yang dialaminya dan dua insiden malang membabitkan pesawatnya.

Syarikat penerbangan ini mencatatkan kerugian rekod sebanyak RM2.5 bilion pada 2011 dan kerugian berterusan pada 2012 dan 2013 dengan tahun ini sahaja penganalisis menjangka syarikat ini akan melaporkan kerugian operasi hingga RM2 billion.

Imej MAS terus tercalar pada 2014 dengan kehilangan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac dengan pesawat itu masih belum ditemui hingga hari ini dan penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.

Sejarah MAS melalui zaman gelap sejak formula pengswastaan pada 1990-an tidak dapat bertahan dan terpaksa diambil alih oleh Kerajaan Malaysia.

Walaupun dalam keadaan serba longlai, MAS terus melangkah menghadapi pelbagai rintangan. Nasib tidak menyebelahi MAS apabila pada lewat 1990-an dan selepas alaf baru syarikat-syarikat penerbangan kos rendah yang berpangkalan di Indonesia, Singapura dan di Malaysia sendiri mula beroperasi dan dalam ertikata lain merebut penumpang yang dahulunya "milik MAS".

Ternyata dilema syarikat penerbangan ini semakin dirasai. MAS dilihat mula menilai tinggi atau rendah kedudukannya berbanding syarikat penerbangan lain di dunia, dan kedudukannya sebagai entiti korporat.

Namun, fakta dan hakikatnya adalah industri penerbangan tidak menyebelahi MAS. Industri penerbangan menjadi begitu mencabar dalam dua dekad kebelakangan ini.

Faktanya ialah keuntungan terkumpul industri penerbangan global selama 30 tahun (1970 sehingga 2000) lesap dalam 10 tahun (2000 sehingga 2010) kerana kerugian yang dialaminya.

Persaingan menjadi amat getir dan semakin menebal. Kebanyakan syarikat penerbangan menstruktur semula operasi masing-masing untuk memastikan kelangsungan kewujudan mereka.

Rata-rata, Cathay Pacific, SIA dan Japan Airlines (JAL) bertindak menstruktur semula, namun hasilnya agak sedikit.

BERGIAT DALAM SEKTOR YANG MENCABAR

Industri penerbangan tidak berkembang dengan lonjakan berganda. Ia hanya melalui "rudimentary growth". Penyelidikan menunjukkan antara 50 hingga 70 peratus penumpang udara didorong oleh harga rendah.

Walaupun pesawat penuh, tetapi keuntungan yang dicatat hanyalah sedikit. Meskipun ada pelbagai strategi diskriminasi harga dengan tujuan mengoptimum penumpang dan keuntungan namun ternyata tipis pulangannya.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh kewujudan pengendali penerbangan kos rendah, dan ini adalah realiti industri penerbangan zaman ini. Ini sangat ketara bagi sektor domestik, dengan pengendali penerbangan kos rendah menguasai sebahagian besar pasaran penumpang di mana sahaja mereka beroperasi.

Abad ke-21 juga menyaksikan pelbagai peristiwa dan kejadian dahsyat yang mempengaruhi perjalanan orang ramai. Peristiwa 9/11 2001, wabak SARS, MEIRS, dan kini EBOLA, campurtangan Amerika Syarikat di Iraq dan Libya, dan keganasan Israel di Gaza secara umumnya meninggalkan kesan negatif kepada industri penerbangan.

Paling terkini, dua insiden membabitkan pesawat MAS memburukkan lagi keadaan.

MAS TETAP BERSEMANGAT    

MAS wajar dipuji kerana walaupun berhadapan dengan kritikan dan cemuhan, ia terus melangkah penuh bersemangat. Ini dapat dilihat apabila pengurusan dan pemiliknya, Khazanah Nasional, menunjukkan semangat juang yang tinggi melalui pelan pemulihan syarikat penerbangan ini.

Pelan pemulihan itu juga menjanjikan jenama "Malaysia Airlines" terus menghiasi ruang udara dengan megahnya. Ia adalah satu jaminan bahawa MAS akan memiliki peluang untuk terus wujud dan beroperasi sebagai syarikat yang mampu terus bersaing dan memberi impak kepada industri penerbangan terutama di Asia dan dunia.

Perancangan ini wajar dilihat daripada segi sejauh mana ia praktikal. Peruntukan RM6 bilion adalah wajar untuk menstruktur syarikat penerbangan ini dan ia jelas memperlihatkan keazaman politik dalam membantu MAS meneruskan usaha sebagai sebuah entiti korporat.

Langkah pengurangan pekerja kepada 14,000 daripada 20,000 orang adalah juga wajar kerana entiti baru MAS kelak harus diberi peluang supaya mempunyai kapasiti seimbang dan tidak berat sebelah.

Ini membantu mencapai nisbah modal insan yang mantap. Semua ini adalah langkah-langkah wajar. MAS perlu dibantu dan diberi impak lonjakan berganda agar produktivitinya meningkat dan ia dapat berfungsi sebagai penyambung agenda sektor penerbangan negara.

PELAN PEMULIHAN WAJAR DIBERI PELUANG

MAS juga perlu diberi peluang untuk menyerlahkan penampilan baru yang penuh kredibiliti dan integriti. Ringkasnya, MAS mesti dibantu dengan bersungguh-sungguh.

Selaras dengan perancangan kerajaan untuk memperkasa MAS adalah disaran supaya masyarakat umumnya menjadi pemerhati dan hakim dalam memberi kritikan yang bernas, adil dan tidak berat sebelah.

Tidak salah membuat teguran dan kritikan bercorak rasional dan objektif. Hakikatnya industri penerbangan sememangnya penuh dengan liku dan ranjau. Ia amat dipengaruhi oleh pelbagai fenomena global. Namun, kelemahan dalam organisasi tetap perlu diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan.

Pada masa yang sama syarikat penerbangan itu hendaklah menggariskan satu sistem keutamaan yang bertepatan dengan keperluan organisasi serta pemantauan dibuat tanpa henti. Ia sebaiknya diselaraskan supaya konsisten dengan langkah" pengurusan terbaik" dan "amalan terbaik" syarikat-syarikat penerbangan terkemuka dunia.

"MAS juga perlu memastikan terdapat mekanisme untuk memantau kesemua perniagaannya supaya segala-galanya konsisten dan wajar selaras dengan kewujudannya".

Akhirkata, langkah pemulihan ini akan membolehkan MAS menampilkan strategi tersusun kemas dengan langkah-langkah penambahbaikan. Ia dilihat beriltizam untuk wujud sebagai sebuah syarikat penerbangan negara yang akan beroperasi dengan lebih berkesan dan berdaya saing di mana destinasi Asia akan lebih diutamakan.

Pelan pemulihan ini menjanjikan keseragaman wawasan dalam membantu MAS kembali "terbang tinggi" seperti yang diharapkan semua pihak di Malaysia.

•    Dr Syed Raisudin Syed Abdullah ialah lulusan Doktor Falsafah di bidang Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan seorang Konsultan Pembangunan Organisasi. - Bernama

Hampir 1,000 pelajar tunggu Anwar depan UM

Posted: 27 Oct 2014 07:10 AM PDT


Sebahagian pelajar sedang berkumpul di hadapan pintu masuk UM.  - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM Sebahagian pelajar sedang berkumpul di hadapan pintu masuk UM. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
 
 
PETALING JAYA - Peserta himpunan yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa mula membanjiri pintu pagar utama Universiti Malaya (UM) sejak selepas maghrib.

Jalan sekitar menghala Bangsar sesak teruk kerana dipenuhi kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan.

Setakat ini, hampir 1,000 mahasiswa sudah mula membanjiri pekarangan UM.

Keadaan masih lagi terkawal, namun berlaku sedikit provokosi apabila pihak penganjur Solidariti bersama Anwar melaungkan laungkan provokasi yang berbunyi "buka-buka, buka pintu, mahasiswa hendak bersama", sehingga mencetuskan sedikit ketegangan kerana pihak keselamatan UM tidak membenarkan mereka berada di dalam kawasan universiti untuk keluar.

Namun kira-kira jam 9.20 malam tadi pihak keselamatan UM memberi kebenaran untuk mahasiswa keluar.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum tiba di sini untuk menyampaikan pidatonya.

Difahamkan beliau sedang dalam perjalanan ke UM.

Pesuruhjaya PAS Selangor persoal kewajaran ahli PAS serta Pasma

Posted: 27 Oct 2014 12:26 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad mempersoal kewajaran ahli-ahli dari parti itu menyertai Persatuan Ummah Sejahtera (Pasma).
 
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah disalah tafsir dan dijadikan pentas untuk menghentam pemimpin parti berkenaan.
 
"Ahli-ahli PAS wajar mematuhi nasihat dari Majlis Syura Ulamak PAS agar mereka menjauhkan diri dari NGO Pasma.
 
"Tidak wajar bagi pemimpin parti mengkritik satu sama lain menggunakan pentas Pasma. Ramai berpandangan Pasma ditubuhkan bukan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat tetapi untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin tertentu," katanya melalui kenyataan medianya hari ini.
 
Pasma yang ditubuhkan pada 10 Ogos lalu diterajui pemimpin PAS, ADUN Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi. 
 
Pasma terbuka kepada semua pihak tanpa mengira latar politik tetapi mahu turut serta berbincang dan menyuarakan pandangan mereka mengenai isu membabitkan pengukuhan Pakatan Rakyat di luar konteks parti politik.
 
Ia dikatakan akan memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.
 
Mengulas lanjut Iskandar melihat penubuhan NGO tersebut lebih kepada mendedahkan pengurusan PAS kepada umum.
 
"Oleh yang demikian nasihat Majlis Syura agar ahli-ahli PAS menjauhkan diri dari Pasma adalah tepat malah ahli-ahli tidak sepatutnya memberi kerjasama kepada Pasma untuk menganjurkan program mereka," demikian menurutnya.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi PAS, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan tidak ada keperluan untuk ahli-ahli parti itu menyertai Pasma.

Apa perkembangan terkini Institut Islam Hadhari

Posted: 27 Oct 2014 12:01 AM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini Institut Islam Hadhari.

"Apakah fungsinya kini kepada kemajuan serta perkembangan agama Islam dalam negara?" ujarnya dalam pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.  

Institut Islam Hadhari diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi digabungkan dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini sebagaimana di bawah.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha-usaha yang dibuat bagi mempromosikan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TEVT) sebagai pilihan utama pelajar memandangkan bidang itu dikatakan mempunyai prospek kebolehpasaran yang tinggi selepas menamatkan pengajian.  

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan berapakah purata pendapatan yang diperoleh oleh petani dalam Parlimen Bachok daripada hasil tanaman kenaf berbanding tembakau yang pernah memacu ekonomi petani Bachok.  

Dr. Haji Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan jalan-jalan kampung yang akan dinaiktarafkan bagi tahun 2014 dan 2015 di Parlimen Pengkalan Chepa.  

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah tindakan penyelesaian kemendapan tanah sambungan kepada jalan dengan kepala jambatan seperti di laluan 145 Seksyen 1, Km 3 Jambatan Sungai Ruang dan Km 4 Jambatan Sungai Teluk Kalung Jalan Chukai - Dungun.  

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan bilakah harga kereta akan mula diturunkan seperti yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Ke-13.  

Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan rasionalnya Kerajaan bercadang untuk membawa masuk 1.4 juta orang Bangladesh dan akan diberi kad pengenalan khas. Apakah kesan jika keselamatan negara dikuasai oleh bangsa asing.  

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah jaminan Kerajaan agar pekerja-pekerja MAS yang akan dibuang kerja ekoran penstrukturan semula MAS tidak menghadapi tekanan ekonomi dan menambahkan pengangguran.  

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Pendidikan menyatakan kejadian soalan bocor pada kertas peperiksaan utama di Malaysia kerap kali kedengaran. Terkini ialah apa yang berlaku kepada kertas mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris 1 & 2 untuk peperiksaan UPSR. Pada pandangan Kementerian, di manakah sebenarnya kelompangan pada sistem penyediaan dan pengagihan soalan sehingga ia boleh diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membocorkannya dan apakah mekanisme yang dibentuk bagi menjamin perkara sama tidak akan berulang. - HARAKAHDAILY

Keputusan kes Mejar Zaidi dijangka petang ini

Posted: 27 Oct 2014 12:00 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tentera dijangka akan memutuskan sama ada wujud prima facie terhadap kes Pegawai Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad jam 2 petang ini.

Menurut kenyataan Bersih 2.0 keputusan itu dibuat di Kompleks Mahkamah Tentera, Pangkalan TUDM Sungai Besi.

Mejar Zaidi dari Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan media di dua tempat pada dua masa yang berlainan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan dakwat kekal yang digunakan dalam undian awal Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau juga didakwa menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan. Menurut pertuduhan tersebut, isu itu seharusnya disiasat melalui TUDM dan memerlukan kebenaran Kementerian Pertahanan.

Mejar Zaidi didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksima penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Peguambela dan pendakwaraya telah memberi hujahan penggulungan pada 20 Oktober lalu. - HARAKAHDAILY

Hadi masih kabur matlamat tubuh PASMA

Posted: 26 Oct 2014 11:58 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) adalah di luar pengetahuan pihaknya dan beliau sendiri masih kabur dengan matlamat penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu.
  
"Kita tak tahu lagi, kita pun tak tahu itu Pasma ini dari spesies mana," katanya kepada pemberita selepas membuat penggulungan serta menutup Seminar Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Terengganu semalam.

Beliau turut membidas Pasma yang mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS berhubung larangan ke atas ahli parti itu menyertai pertubuhan tersebut.
  
Beliau berkata tindakan MSU berhubung perkara itu kerana wujud aduan di negeri-negeri mengenai salah laku anggota pertubuhan terbabit termasuk berkempen kepada ahli Pas supaya jangan menghadiri mesyuarat peringkat cawangan parti berkenaan.
  
Beliau mengulas isu pertembungan antara MSU PAS dengan PasMa yang semakin serius berikutan kenyataan Presiden Pasma Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa majlis tersebut tidak berhak melarang ahli Pas menghadiri program Pasma.

Kelmarin, Phahrolrazi berkata MSU tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk berbuat demikian kerana ia di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.- Bernama

Jabatan Meteorologi nafi amaran puting beliung

Posted: 26 Oct 2014 11:57 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)malam ini menafikan ia mengeluarkan amaran puting beliung dijangka berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) jabatan itu Alui Bahari berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan maklumat itu, yang kini tersebar dalam Whatsapp.
  
"Ia maklumat palsu...hentikan penyebaran maklumat itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
  
Maklumat itu mendakwa kononnya ribut petir selaju 80 hingga 100 kilometer sejam (km/j) akan melanda Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 27 hingga 30 Okt, yang  dijangka boleh menyebabkan fenomena puting beliung di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Kedah dan Pulau Pinang yang dijangka berterusan sehingga awal hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu, lewat malam tadi, keadaan yang sama dijangka berlaku di perairan Selat Melaka Utara sehingga awal pagi ini.
  
"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot kecil," katanya.-Bernama

iBR1M 2014: Tuntutan RM42 juta tapi bayar RM350 juta?

Posted: 26 Oct 2014 11:45 PM PDT

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi maklumat mengenai individu atau pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan iBR1M kepada kerajaan.

Ini kerana katanya, sehingga 24 September 2014 jumlah bayaran perlindungan takaful yang dituntut oleh penerima BR1M 2014 hanya RM42 juta sahaja.

Sedangkan katanya, jumlah bayaran premium iBR1M 2014 yang dibayar adalah RM350 juta iaitu bayaran RM50 bagi setiap penerima BR1M yang berjumlah 7 juta orang.

"Bayaran premium ini dibayar kepada konsortium syarikat-syarikat takaful insurans.

"Dengan jumlah tuntutan yang hanya berjumlah RM42 juta sahaja sehingga akhir September 2014, ini bermakna Kerajaan Persekutuan telah membayar lebih RM300 juta dalam bentuk keuntungan bersih kepada syarikat-syarikat insurans," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Tegasnya, sekiranya Kerajaan Persekutuan membuat unjuran yang betul dan dapat menjangkakan jumlah penerima BR1M 2014 yang akan membuat tuntutan secara realistik maka kerajaan hanya perlu membayar RM42 juta bukannnya RM350 juta.

Skim khairat kematian seperti ini, katanya telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kerajaan Selangor di bawah Skim Mesra Usia Emas dan tidak menelan belanja yang merugikan rakyat seperti ini.

"Saya yakin ada unsur mengambil keuntungan oleh pihak tertentu dengam menggunakan nama rakyat sebagai alasan. Hakikatnya skim perlindungan takaful telah dihentikan bermakna kerajaan pun mahu menutup perkara ini dari ketahui umun," katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Rafizi turut mendesak kerajaan mendedahkan nama syarikat yang mendapat komisen memperkenalkan iBR1M kepada konsortium syarikat insurans dan berapa komisen yang dibayar kepada syarikat ini.

"Kelalaian kerajaan Persekutuan membenarkan sehingga RM350 juta tiris kepada syarikat-syarikat besar adalah satu kesalahan yang perlukan tanggungjawab untuk memastikan sama ada ia ada unaur kecuaian semata-mata atau ada unsur rasuah," katanya. - HARAKAHDAILY

NGO: Dunia tumpu Mahkahmah Persekutuan dengar kes Anwar

Posted: 26 Oct 2014 11:39 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dunia sedang menunggu untuk menyaksikan sama ada mahkamah tertinggi Malaysia akan mengekalkan standard antarabangsa bagi perbicaraan yang adil apabila rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan tuduhan liwat terhadapnya, bermula esok.

Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH) dan organisasi anggotanya Suaram berkata, mahkamah tertinggi itu "mesti mengenepikan politik dari dewan mahkamah dan menamatkan lebih 15 tahun penganiayaan kehakiman" terhadap Anwar.

Menurut mereka, penghakiman Mahkamah Persekutuan merupakan satu ujian muktamad terhadap badan kehakiman Malaysia.

Oleh itu, politik mesti diketepikan dari dewan mahkamah jika Malaysia mahu membantu memulihkan reputasi sistem keadilannya, kata Presiden FIDH, Karim Lahidji dalam satu kenyataan bersama dengan Pengarah Eksekutif Suaram Yap Swee Seng hari ini.

"Adalah penting bahawa Malaysia menghormati standard antarabangsa bagi perbicaraan yang adil, termasuk hak untuk didengar oleh sebuah tribunal yang kompeten, bebas dan tidak berat sebelah."

Mereka menyenaraikan beberapa isu yang serius sepanjang pendengaran kes Liwat II terhadap Anwar di mana beliau telah dibebaskan setahun sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013, tetapi didapati bersalah setahun kemudian ekoran rayuan yang dibuat.

IGP serah pada UM benar Anwar hadiri pidato

Posted: 26 Oct 2014 11:33 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Polis menyerahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) sama ada membenarkan ataupun tidak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke universiti itu bagi menghadiri program pidato  dijadualkan malam ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
  
Beliau berkata polis tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti itu.
  
Bagaimanapun, katanya polis akan memantau dan menempatkan anggota di kawasan luar universiti itu khususnya di sekitar Masjid Ar-Rahman untuk memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.
  
"Itu tanggungjawab kita (polis) untuk memastikan keselamatan awam di kawasan luar universiti. Tetapi dalam universiti saya serahkan kepada pihak universiti. Kita akan menempatkan anggota secukupnya kerana hendak memastikan kaedah keselamatan, tidak ada gangguan dan sebagainya," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghormatan Kepada 'Wira Yang Tidak Didendang' Pasukan Penyelamat MH17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Pengetua SMK Seri Ampangan Mohd Sazali Sam.

Khalid berkata terpulang kepada pihak universiti itu sama ada mahu membenarkan Anwar menghadiri program itu atau sebaliknya.
  
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sebelum ini dilaporkan akan meneruskan program pidato Anwar di kampus itu malam ini walaupun pengurusan kampus mengeluarkan larangan menerusi Timbalan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.
  
Sementara itu, berhubung pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok dan lusa, Khalid menasihati semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati proses undang-undang.
  
"Ini adalah proses undang-undang biasa. Saya minta pihak yang tidak berkenaan tidak perlu ganggu keadaan atau perjalanan perbicaraan mahkamah. Biarkan mahkamah bersidang dengan aman damai dan membuat keputusan.
  
"Kita (polis) bagaimanapun, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.-Bernama

PKR jemput pemerhati a'bangsa dalam kes Anwar

Posted: 26 Oct 2014 11:32 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PKR membidas pihak yang mendakwa mereka keluar negara untuk memalukan Malaysia beberapa minggu sebelum keputusan kes liwat II melibatkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ketua Biro Antarabangsa PKR Gooi Hsiao Leung berkata mereka ke sana untuk menjemput beberapa pemerhati undang-undang antarabangsa bagi memastikan proses itu berjalan dengan adil dan bebas tanpa sebarang campur tangan.

"Kita bekerjasama dengan beberapa pertubuhan antarabangsa dan pihak kedutaan, begitu juga pengamal undang-undang daripada Australia, United Kingdom, Perancis, Indonesia dan lain-lain.

"Pertubuhan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH), Pertubuhan Undang-undang Asia Pasifik (Lawasia), Inter-Parliamentary Union (IPU), Australian Law Council dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan untuk menghantar pemerhati mereka esok," katanya dalam sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

'Pidato Anwar diteruskan walau di luar pagar UM'

Posted: 26 Oct 2014 11:30 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol berkata pihaknya tetap akan meneruskan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun pun beliau tidak berjaya masuk ke kampus itu.

Mahasiswa itu berkata jika hal demikian berlaku, pemimpin pembangkang itu akan menyampaikan pidatonya bertajuk '40 Tahun Dari UM Ke Penjara, Signal Kebangkitan Mahasiswa' di luar pintu pagar utama Kuala Lumpur.

"Di peringkat kami sekiranya tidak boleh, kami tidak akan mengambil tindakan yang radikal. Kita mahasiswa kita bijak menilai.

"Kita akan buat di luar pintu pagar Kuala Lumpur untuk beliau memberi pidato," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

Tiada ulasan: