Khamis, 2 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Lima tahun jadi Menteri Pendidikan, Muhyiddin terbukti gagal

Posted: 02 Oct 2014 07:16 AM PDT

Roketkini.com


universiti-universiti di malaysia

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan wajib menjelaskan kegagalannya meningkatkan pencapaian universiti-universiti tempatan di peringkat antarabangsa, walaupun selepas lima tahun memegang jawatan itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak Muhyiddin memberi kenyataan kementerian (ministerial statement) di Parlimen minggu hadapan.

Kit Siang merujuk laporan terbaru Times Higher Education (THE) yang sekali lagi menunjukkan kegagalan universiti di Malaysia untuk masuk ke dalam senarai 200 universiti terbaik dunia.

"Sudah lima tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan. Mengapa semua usaha selama lima tahun ini gagal memulihkan reputasi dan kecemerlangan Malaysia di peringkat antarabangsa, seperi era 50-an dan 60-an.

"Sehingga lima tahun berturut-turut, tiada satu pun universiti kita masuk ke dalam Kedudukan 200 Universiti THE.

"Justeru beliau perlu membuat satu kenyataan kementerian ketika Parlimen bersidang Selasa depan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika universiti tempatan gagal mendapat tempat, kedudukan dua universiti Singapura; National University of Singapore dan Nanyang Technological Universiti terus berjaya meningkatkan kedudukan, masing-masing daripada tangga 34 dan 174 kepada 25 dan 61.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga membangkitkan kembali cabaran yang dikemukakan Datuk Seri Najib Razak ketika sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Malaya pada 2005, untuk meningkatkan kedudukannya daripada 89 (2004) kepada dua puluh teratas menjelang tahun 2020.

"Jadi Muhyiddin perlu jelaskan bagaimana untuk mencapai cabaran Najib dalam lima tahun akan datang, ketika tiada satu pun universiti kita yang mampu masuk ke senarai 200 terbaik," katanya lagi.

Jawapan Muhyiddin, katanya lagi, amat mendesak memandangkan universiti di negara juga semakin ketinggalan dengan negara serantau dalam banyak senarai, antaranya 100 Universiti bawah 50 tahu terbaik THE dan 100 Universiti Asia terbaik THE. – Roketkini.com

Taraf hidup lebih baik cuma satu lawak jenaka

Posted: 02 Oct 2014 07:12 AM PDT

 
Umno dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang kenamaan.


najib-malaysian-flag


PETALING JAYA: Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak mengambil kisah kebajikan rakyat Malaysia dan gagal dalam mengurus ekonomi negara, kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, pentadbiran Najib tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang 'Mendahulukan Rakyat' apabila mereka tanpa ragu-ragu boleh membebankan masyarakat yang paling lemah.

Dakwaan dibuat berikutan semalam kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu "hadiah" iaitu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen. Harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter dan diesel kepada RM2.20 seliter.

Tambah beliau, ini merupakan kesan sampingan terbaru akibat sikap kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kisah atas kebajikan rakyat Malaysia dan kegagalannya untuk mengurus ekonomi negara.

"Sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula. Walhal, hakikatnya sangat menyedihkan kerana ramai rakyat Malaysia bergantung kepada harga minyak yang mampu dibeli, daripada pekerja di bandar yang perlu ke kerja kepada para nelayan yang perlu ke laut untuk mencari rezeki.

"Pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar. Apatah lagi, implementasi GST yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah," katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Katanya, inilah bukti yang jelas bahawa kenyataan kerajaan Persekutuan yang menyatakan rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar satu lawak jenaka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh dari PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, dengan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, akan berlaku lebih banyak pemborosan dan pembaziran duit rakyat oleh kerajaan bermula tahun hadapan.

Beliau berkata, secara teori, dengan pendapatan yang lebih banyak kerajaan akan cenderung untuk berbelanja dengan jumlah yang lebih besar dalam keadaan sikap dan kualiti urus tadbir kerajaan yang ada pada hari ini yang boleh dipertikaikan.

"Sebanyak mana pun jumlah yang berjaya dipungut atau 'dijimatkan' dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi diesel dan petrol.

"Jika kerajaan tidak berintegriti dan tidak beramanah dalam menguruskannya, jumlah itu tidak bernilai lagi dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat serta kebaikan kepada rakyat," katanya menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan GST bermula April 2015 dikatakan akan menambah pendapatan negara sebanyak RM23 bilion.

"Pelbagai kebaikan telah dikemukakan oleh kerajaan kepada rakyat bagi menjelaskan tentang kebaikan GST, antaranya mendidik rakyat supaya tidak bergantung kepada kerajaan, mengawal kedudukan fiskal negara dengan lebih berkesan dan menambahkan pendapatan negara yang membolehkan kerajaan memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

"Alasan yang diperlihatkan positif ini tidak lebih daripada untuk mengkaburi dan menutup mata rakyat dan menampakkan secara jelas sindrom penafian oleh kerajaan," ujarnya.

Azmin nafi dakwaan Kerajaan Negeri tampung subsidi minyak

Posted: 02 Oct 2014 07:06 AM PDT

 
Sebaran di media sosial konon Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 billion untuk menangani kenaikan harga minyak adalah tidak benar dan palsu.


Azmin nafi


PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan yang dibuat bahawa pihak Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1 billion bagi menampung penarikan subsidi yang dilakukan adalah Kerajaan Pusat.

Azmin di dalam Facebook miliknya telah menyatakan bahawa sebaran yang dilakukan itu tidak benar.

"Sebaran di media sosial konon Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 billion untuk menangani kenaikan harga minyak adalah tidak benar dan palsu," tulisnya di Facebook.

Perkara itu disebarkan oleh sebuah portal di dalam portal Facebooknya beberapa jam yang lalu. Sepanjang tempoh itu, ia telah dikongsi seramai 163 pengguna Facebook yang lain.

Bagi pengguna Facebook, Cindy Hui Ting, beliau meminta supaya Menteri Besar yang baru sahaja dilantik agar bertindak melakukan saman kepada blogger tersebut, "Sue this blogger!!!," tulisnya.

Manakala, bagi pengguna Aiman Aery, dia menyeru supaya Kerajaan Negeri menghapuskan dahulu tol di negeri Selangor, "hapuskan TOL dulu, Selangor negeri banyak TOL," tulisnya.

Kaji Semula Pengurangan Subsidi, Kenaikan Bebankan Rakyat

Posted: 02 Oct 2014 06:57 AM PDT

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM 
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Kerajaan didesak mengkaji semula harga baharu petrol RON95 dan diesel yang masing-masing naik 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam Rabu akibat pengurangan subsidi kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Desakan tersebut dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui mStar Online pada Khamis menghargai langkah kerajaan yang masih memberikan subsidi bahan api itu kepada rakyat tetapi berharap harga tersebut dikaji semula kerana kenaikan itu memberi impak besar untuk tempoh jangka masa panjang.

Pada Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Terkejut dengan pengurangan subsidi tersebut, seorang jurutera, Mohd Azman Othman, 45, berkata, keputusan untuk mengurangkan subsidi tidak dilakukan pada waktu yang sesuai kerana umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.

"Pengumuman tersebut menyebabkan beberapa peniaga akan menggunakan faktor kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan terutamanya barangan keperluan asas untuk menyambut Aidiladha.

"Dahlah nak balik kampung... kena keluar duit pula untuk beli barang yang harganya pasti akan naik... orang yang akan terbeban adalah rakyat, kerajaan patut fikir" katanya.

Deretan kenderaan memenuhi stesen minyak di ibu negara selepas kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam Rabu.

Eksekutif Francais , Zulaikha Zahid, 29, pula mencadangkan agar pemberian insentif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dimansuhkan bagi menampung pengurangan subsidi minyak supaya semua lapisan masyarakat boleh menikmati faedahnya.

"Pemberian BR1M hanya disalurkan kepada golongan yang dikelaskan berpendapatan rendah tapi apa nasib golongan berpendapatan sederhana yang semakin tertekan apatah lagi kebanyakan mereka tinggal di bandar-bandar besar di negara ini," katanya.

Zulaikha berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk menangkis beban kenaikan ini bukan memberi pujukan berbentuk BR1M untuk meredakan kemarahan rakyat.

Sementara itu, pemandu lori, Sivalingam Ramasamy, 50, berkata, dia tiada pilihan lain dan terpaksa menaikkan caj perkhidmatan pengangkutan kepada pelanggan disebabkan kenaikan harga minyak.

"Jika dulu perjalanan ke Sungai Buloh dengan menggunakan lori 1 tan hanya sekitar RM300, kini kita terpaksa menaikkan kadar sewa lori sebanyak RM80 hingga RM100. Ia untuk menampung bayaran bulanan lori dan juga kos petrol," katanya.

Walaupun pelanggan akan merungut dengan bayaran sewa lori yang jauh lebih mahal, Sivalingam berkata, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kos yang ditanggung juga meningkat.

"Apabila harga minyak naik, kos juga meningkat, jadi kami terpaksa naikkan caj perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan," katanya.

Eksekutif Jualan, Carmen Wong berkata, kenaikan sebanyak 20 sen bagi petrol RON95 dan diesel akan dirasai sepenuhnya apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan berkuat kuasa April depan.

"Mungkin sekarang impak itu belum jelas lagi, tapi dalam tempoh enam bulan akan datang, rakyat akan mula merasai bebanannya. Saya minta kerajaan perhalusi harga baharu itu supaya rakyat tidak akan merasa tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Suri rumah, Bori Ellen, 28, berkata pengurangan subsidi minyak itu turut memberi kesan kepada perbelanjaan dapur.

"Suri rumah terlibat secara langsung menguruskan perbelanjaan keluarga dan apabila berlaku kenaikan harga barangan, kami perlu mengurus secara bijak selain berjimat cermat.

"Walaupun hakikatnya, suami mencari rezeki tetapi perancangan ekonomi keluarga adalah tanggungjawab suri rumah. Kami amat terasa perbezaan berbelanja sekarang dengan dahulu terutamanya perbelanjaan dapur," katanya.

Mat Sabu Masuk Hospital, Disyaki Denggi

Posted: 02 Oct 2014 06:52 AM PDT


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


Gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan Mat Sabu sedang dirawat di sebuah hospital.
 
 
 
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dikejarkan ke hospital dipercayai akibat demam denggi.

Sekeping gambar yang mula tersebar di laman sosial sejak pagi Khamis menunjukkan Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu diperiksa oleh seorang doktor.

Beliau yang berkemeja hitam kelihatan berada dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.

Berita mengenai keadaan Mohamad turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menerusi Twitternya, Khalid memberitahu bahawa Mohamad kini dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Saya diberitahu, saudara Mat Sabu telah dimasukkan ke hospital TAR Klang disyaki denggi. Harap doakan semoga Allah sembuhkan beliau," katanya.


Paparan skrin Twitter milik Khalid Samad.

Harga Minyak Naik: Pelbagai Cara Rakyat Luahkan Kemarahan

Posted: 02 Oct 2014 03:14 AM PDT

KELAB GREENBOC



 

Pelbagai cara rakyat luahkan kemarahan akibat pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan semalam. Baca dan tengoklah:

PANTUN SELOKA MINYAK NAIK 20 SEN SAJA

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi rakyat hidup menderita,
Nak jimatkan duit di mana,
Kalau barang semuanya naik belaka.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi kerajaan jangan lupa,
Elaun menteri kena potong juga,
Barulah adil sama-sama.

Minyak naik 20 sen saja,
Tetap kena bayar juga,
Walaupun belanjawan belum tiba,
Tak semena-mena naik tak diduga.

Minyak naik 20 sen saja,
Kata menteri tahun ini tak naik la..
Ini dikira tipu rakyat jelata,
Rakyat didahulukan kena slogannya.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi kehidupan kena terus juga,
Takkan nak makan batu pula,
Segala belanja kena jimat sentiasa.

Minyak naik 20 sen saja,
Rakyat kenalah perlu biasa,
Jika nak membantah siapalah kita,
Tetap mencari rezeki untuk keluarga.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi banyak juga jika dikira,
Itu dihitung 1 liter cuma,
Jika 10 liter berapa jadinya.

Minyak naik 20 sen saja,
Makan dan minum kena jaga,
Jangan mewah dengan harta,
Lama-lama boleh kurang juga.

Minyak naik 20 sen saja,
Berdoa pada Yang Maha Berkuasa,
Semoga dimurahkan rezeki sentiasa,
Agar diberkati dan dirahmati hendakNya.


SELOKA HARGA MINYAK

Umpama timun hendaknya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami yang hina

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadap setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh ditolak
Diusul kami tuan amuk sampai koyak
Kami senyum lihat tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh menjadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan dari kami
Naiknya tuan dari kami
Jatuhnya tuan juga dari kami.




[KISAH MASYARAKAT] Astagfirullah, Ini Kerja Manusiakah Atau Kerja Binatang?

Posted: 02 Oct 2014 03:10 AM PDT

KELAB GREENBOC



Bayi melecur di rumah pengasuh

 
Melaka: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan melecur teruk di sebahagian punggungnya dipercayai didera pengasuhnya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tangga Batu, dekat sini, Selasa lalu.

Sebahagian punggung bayi itu dipercayai dicucuh dengan benda panas sehingga melecur ketika dijaga pengasuhnya.

Bapa bayi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Asmadi, 28, mendakwa, bayinya itu dihantar ke rumah pengasuh oleh isterinya seperti biasa sebelum ke tempat kerja pagi Selasa lalu.

"Isteri menjemput anak kami itu di rumah pengasuh jam 6.50 petang dan ketika dalam perjalanan pulang, dia kelihatan merengek dan gelisah.

"Sebaik tiba di rumah, bapa mendukung anak saya sebelum tiba-tiba meraung kesakitan apabila punggungnya disentuh. Pelik dengan perkara itu, bapa menyelak lampin pakai buang sebelum melihat kesan seolah-olah terbakar di punggung anak," katanya, di sini, semalam. -HM

ULASAN GB

Terlewat sedikit GB temui berita ini. Asyik layan bab politik jer...

Perkataan pertama yang keluar ialah KEJAM... begitu kejam sekali Ya Allah manusia yang melakukan hal demikian kepada seorang bayi yang tak mengerti apa-apa.

Kita berharap pelakunya segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan...

Minyak naik: Umno BN tidak boleh diharap bela rakyat

Posted: 02 Oct 2014 03:04 AM PDT


Oleh AHMAD FADHLI SHAARI


Berita berkenaan kenaikan harga minyak atas nama rasionalisasi subsidi hakikatnya mengejutkan banyak pihak. Namun, jika dilihat kepada gaya berbelanja kerajaan Umno/Barisan Nasional, tidak ada yang pelik dengan tindakan mengurangkan subsidi ini yang menyebabkan harga minyak RON95 dan diesel mengalami kenaikan sebanyak 20 sen.

Tindakan ini wajib dikutuk pada saat rakyat sedang terbeban dengan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang sedang diperkenalkan.

Tidak ada sebarang sebab musabab ia diperkenalkan pada saat ini kecuali sebagai satu hadiah kepada rakyat khususnya di Pengkalan Kubur kerana terus memberikan kemenangan kepada calon Umno 25 September yang lepas.

Jika sebelum ini, kerajaan kebiasaannya mewar-warkan bahawa kenaikan minyak berlaku selaras dengan kenaikan minyak dunia. Namun, pada kali ini, kenaikan minyak dunia tidak boleh dijadikan alasan. Semakan di laman http://www.infomine.com/ mendapati bahawa harga minyak dunia bukan setakat tidak mengalami kenaikan bahkan mengalami penurunan ketara semenjak akhir-akhir ini.

Untuk rekod, pada 1 Oktober 2013 yang lalu, minyak mentah (crude oil) direkodkan pada harga USD108 / barrel. Namun pada 30 September 2014 iaitu semalam, harga minyak mentah ditutup dengan harga USD97.14 / barrel. Adakah kerajaan Umno mahu menggunakan alasan penurunan harga minyak menyebabkan perniagaan Petronas kurang untung sehingga menyebabkan pengurangan subsidi?

Kerajaan perlu bertindak selaras dengan kemampuan rakyat. Hakikatnya, bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang nampak popular tetapi mengakibatkan kenaikan harga minyak wajib dipertimbangkan semula.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri pada 2 September 2013 yang lepas sewaktu mengumumkan pengurangan subsidi minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, kerajaan berjaya jimatkan sebanyak RM1.1 billion. Ia boleh dirujuk di akhbar Utusan Malaysia pada 3 September 2013. Ini bermakna, pengurangan subsidi sebabnyak 20 sen menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1.1 billion!

Walaupun tidak dinyatakan angka penjimatan kerajaan untuk kenaikan minyak pada kali ini, namun berdasarkan pemotongan subsidi sebanyak 20 sen, boleh dianggarkan bahawa penjimatan kerajaan pun sekitar RM1.1 billion.

Malangnya, untuk Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2014, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.6 bilion bagi diberikan seacara tunai kepada rakyat. Bayangkan jika BR1M ini tidak dilaksanakan, di atas kertas kerajaan boleh meningkatkan subsidi minyak sebanyak 80 sen (20 sen = RM1.1 billion)!

Kita bukannya anti terhadap BR1M, namun jika untuk memberikan bantuan one-off seperti itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga minyak berlipat kali ganda, sewajibnya kerajaan Umno/Barisan Nasional bertindak dengan akal yang waras. Perlu diingatkan, kenaikan harga minyak tidak dapat tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang kesemuanya bergerak menggunakan minyak.

Rakyat perlu bangkit. Sedar dan insaf bahawa Umno/Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk menjadi pembela rakyat. Walaupun mereka menghulurkan ketuhar microwave secara percuma pada hari pengundian, ia sebenarnya tidak lebih melainkan hanya untuk memanggang rakyat sendiri di kemudian hari!

Lakukan bantahan. Jika boleh berkempen, lakukan. Jika boleh sebarkan risalah maka sebarlah. Dan selemah-lemah bantahan ialah menolak Umno/Barisan Nasional di kertas undi nanti

PAS: Harga petrol naik tapi pasaran dunia turun

Posted: 02 Oct 2014 03:00 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 tengah malam tadi sedangkan harga minyak mentah dunia terkini mengalami penurunan mencecah USD90.73 setong.

Berdasarkan semakan yang dilakukannya juga, ahli parlimen Pokok Sena turut mendapati harga minyak mentah dunia pada Julai berharga USD103 setong.

Kecewa dengan tindakan terkini kerajaan, Mahfuz berkata tidak sewajarnya kerajaan bertindak merasionalisasi subsidi petrol sewaktu rakyat boleh menikmati "berita gembira" ekoran penurunan harga minyak mentah dunia.

"Saya minta kerajaan memberi penjelasan mengapa harga minyak dunia jatuh, tetapi secara tiba-tiba kerajaan menaikkan harga minyak di negara ini.

"Sepatutnya kejatuhan (harga minyak dunia) itu memberi berita gembira (kepada kita)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Berdasarkan situasi semasa, pesuruhjaya PAS Kedah turut meramalkan harga pasaran minyak mentah dunia akan menurun lagi pada masa akan datang.

Mahfuz turut mempersoalkan kualiti minyak diesel negara "tidak mencapai" tahap standard antarabangsa yang ditetapkan pada kadar "Euro 5" sedangkan kini berada di tahap "Euro 2".

"Jadi kedua-dua Malaysia tak ikut (standard). Harga tak turun walau harga minyak mentah dunia turun dan tak ikut kualiti minyak antarabangsa," katanya yang juga ketua whip PAS di parlimen.

Mahfuz bersetuju dengan kenaikan minyak akan meningkatkan kenaikan harga barang dan inflasi sekalipun kerajaan menaikkan peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dijangka memberi bonus kepada penjawat awam.

"Walaupun BR1M akan ditambah dan bonus diberikan, tapi ia tak diberikan setiap bulan. Ia tidak mengubah dan memberi kesan kepada penurunan kos sara hidup," katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel akan naik 20sen seliter menjadikan harga pasaran kini RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Tergesa-gesa, kata Pemuda PAS

Sementara itu, Pemuda PAS pula menganggap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak memberi peluang kepada rakyat memberi pandangan balas.

Sayap kanan parti Islam itu juga mempersoalkan sama ada kerajaan sudah kering idea dengan menaikkan harga minyak untuk menampung perbelanjaan negara.

"Harga minyak adalah domino buat harga barang keperluan lain. Jika harga minyak naik bererti harga barangan lain akan turut naik," kata ketuanya Suhaizan Kaiat (kanan).

"Mustahil kerajaan mampu mengawal kenaikan harga barang keperluan kerana sebelum ini pun harga barang tetap naik melambung walaupun telah diberi jaminan penguatkuasaan dan pemantauan ketat kerajaan terhadap peniaga dan pembekal."

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan hanya seperti melepas batuk di tangga kerana ia sekadar bantuan jangka pendek.

'GST, harga minyak jadikan 2015 tahun dahsyat'

Posted: 02 Oct 2014 02:48 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap  2015 sebagai tahun "amat dahsyat" bagi rakyat marhaen yang menetap di bandar dengan pendapatan rendah dan pertengahan.

Katanya, hal demikian disebabkan kenaikan harga barang dan inflasi susulan kenaikan harga minyak semalam, ditambah pula dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April depan.

"Kerajaan usahlah perbodohkan rakyat lagi dengan langkah-langkah mendenda bagi menghalang peruncit, pemborong dan pengusaha restoran untuk menaikkan harga.

"Impak kepada inflasi akibat kenaikan RM0.20 ini bakal dirasai sepenuhnya dalam jangka tiga bulan.

"Perkara ini akan diburukkan lagi apabila GST dilaksana pada bulan April," katanya.

Beliau mengulas langkah kerajaan merasionalisasi subsidi petrol,  menyebabkan kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20, demi memastikan kedudukan kewangan negara kukuh.

Bagi mengukuhkan hujahnya, Tuan Ibrahim memetik laporan "2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges", yang menyebut bahawa inflasi bakal meningkat mendadak dalam dua tahun pertama cukai itu dilaksanakan.

Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata Malaysia "tidak akan terlepas" untuk berdepan kenaikan inflasi seperti yang dialami Australia, Singapura dan China selepas dua tahun pertama cukai itu dilaksanakan.

Katanya, di Australia, sebelum GST dilaksanakan, kadar inflasinya hanya 1.8 peratus tetapi melonjak kepada enam peratus selepas GST dilaksanakan, tetapi menurun kepada 2.9 peratus selepas dua tahun dilaksanakan.

"Tetapi masih sekali ganda lebih tinggi daripada sebelum GST terlaksana.

"Begitu juga di Singapura dan China. Sebelum GST dilaksanakan, (masing-masing) inflasi hanya sekadar 0.8 peratus dan 10.5 peratus.

"Pada tahun GST dilaksanakan, inflasi di Singapura melonjak ke 5.4 peratus manakala China 24.2 peratus sebelum turun ke 2.3 peratus bagi Singapura dan 12.7 peratus bagi China selepas dua tahun," katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi perkara itu dan menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,000 - purata  RM83.33 sebulan - tidak dapat membantu rakyat marhaen menghadapi inflasi.

"Ditambah pula dengan kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak sekarang, tahun 2015 dijangka menjadi sangat dahsyat kepada rakyat marhaen," katanya.

Dr M: Arab pun harga minyak lagi tinggi

Posted: 02 Oct 2014 02:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20sen berkuat kuasa hari ini disifatkan wajar bagi mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan bahan subsidi itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata jika subsidi tidak dikurangkan, bahan bakar itu akan berterusan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan menerusi kegiatan penyeludupan ke luar negara terutamanya di kawasan sempadan.

"Minyak cukup murah di sini (Malaysia). Di negara yang keluar minyak macam di Arab pun lebih tinggi harga dia, macam mana kita boleh jual murah? Itu yang orang curi minyak kita.

"Hari-hari orang curi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Peri Pentingnya Bahasa Inggeris di Abad Ke-21, Zaman Digital" di Kolej Wadi Sofea di Kota Baharu, Khamis.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Pengetua Kolej Wadi Sofea Datuk Hassan Harun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Rabu mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi Khamis.

Harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Dr Mahathir berkata pengurangan subsidi minyak itu tidak boleh dikaitkan sebagai faktor utama berlakunya kos peningkatan sara hidup.

"Kos mesti meningkat sepanjang masa. Kita tidak boleh minta gaji dinaikkan dan kos diturunkan. Gaji minimum pun sudah naik kepada RM900. Kos untuk mengeluarkan barang meningkat kerana gaji dinaikkan," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas pergolakan politik di Selangor, Dr Mahathir berkata Umno Selangor perlu bangkit semula dan perlu berbuat sesuatu.

Secara sinis, Dr Mahathir berkata: "Saya sedih terdapat pergolakan dalam Pakatan (Rakyat) namun tidak nampak Umno dapat nikmat.

"Apa jadi pada Umno? Umno pun lemah dan tidak boleh nak pulih semula, nak jadi kerajaan di Selangor. Apa jadi? Dulu kita menguasai Selangor tetapi orang berpecah pun kita tidak ada peluang," katanya.- Bernama

Menang di mahkamah, permit Mkini tetap ditolak

Posted: 02 Oct 2014 02:42 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Walaupun dua kali menang di mahkamah, kerajaan masih tidak meluluskan permohonan Malaysiakini untuk menerbitkan akhbar bercetaknya sendiri.

Penolakan itu dinyatakan dalam surat yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran minggu lepas daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.

KDN memberikan alasan ia bagi mengelakkan penerbitan yang "boleh menimbulkan kegusaran dan menggemparkan fikiran orang ramai", "menimbulkan isu sensitif" dan "mungkin menimbulkan kebencian terhadap pemimpin negara".

Surat itu membangkitkan lima tulisan di Malaysiakini, yang terdiri daripada tiga laporan berita, sebuah ulasan daripada sebuah badan pemikir dan kompilasi komen pembaca dalam ruangan "YourSay".

Turut dibangkitkan ialah laporan sebuah NGO yang mempersoal Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam isu perebutan kes jagaan pasangan berbeza agama serta laporan berkaitan penahanan seorang exco Pulau Pinang berkaitan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

KDN juga menyenaraikan kompilasi komen pembaca yang dikumpulkan dalam sebuah tulisan berjudul "How much will Najib spend to keep Terengganu?" yang sudah disaman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno.

Turut dibangkitkan ialah laporan mengenai jet kerajaan yang dilihat di bandar percutian Eropah.

Berikut tulisan yang dijadikan contoh itu:

Surat itu juga memaklumkan, KDN tidak meluluskan permohonan Malaysiakini ekoran berita yang dipaparkan di portalnya"sering menimbulkan kontroversi serta tidak berlandaskan neutrality".

"Semakan juga mendapati ketua pengarang bagi Malaysiakini online dan akhbar Malaysiakini secara bercetak yang dipohon merupakan individu yang sama yang mana berita yang akan dicetak sudah pasti adalah dalam bentuk yang sama," menurut surat itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu membatalkan arahan KDN untuk tidak mengeluarkan lesen penerbitan kepada penerbit Malaysiakini,  Mkini Dotcom Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) pada 1 Oktober 2012 membatalkan keputusan KDN kerana ia "tidak wajar dan tidak rasional".

Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober 2013 sebulat suara menolak rayuan KDN terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolak dan hakim bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Apabila kerajaan tidak membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini - Malaysiakini telah mengemukakan permohonan baru kepada KDN awal tahun ini.

Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan, yang tidak terkejut dengan keputusan terbaru KDN itu, berkata Malaysiakini akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Katanya, Malaysiakini akan sekali lagi mencabar keputusan menteri dalam negeri itu, dan "kami berharap kali ini mahkamah akan mengarahkan kerajaan untuk memberikan kita permit penerbitan."

Syarikat itu memohon menerbitkan akhbar harian dinamakan Malaysiakini dengan edaran 40,000 naskhah di Lembah Klang untuk dijual dengan harga RM1.

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, yang tidak terkejut dengan perkembangan itu, berkata pihaknya akan membawa kembali perkara itu ke mahkamah.

"Malaysiakini akan sekali lagi mencabar keputusan tidak masuk akal oleh Kementerian Dalam Negeri ini, dan kami berharap kali ini mahkamah akan mengarahkan kerajaan mengeluarkan permit penerbitan kepada kami."

Tarik subsidi: Bukti kelemahan ekonomi negara

Posted: 02 Oct 2014 02:34 AM PDT


RON95
 
 
SHAH ALAM – Pengumuman mengenai pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter lewat malam tadi hanya akan menaikkan kemarahan rakyat sekali gus akan boleh mengancam survival politik Umno-BN pada PRU14.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary mendakwa, tindakan kerajaan pada saat akhir hanya mencerminkan ketidakupayaan Umno-BN untuk terus kekal menerajui Putrajaya pada penggal akan datang.

"Ia akan membawa kepada keputusan bersama bahawa negara ini tidak lagi layak ditadbir oleh Umno-BN.

"Pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah sangat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Mulai 12.01 tengah semalam, RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen dan perkara itu diumumkan oleh KPDNKK melalui kenyataannya, semalam.

Tambahnya lagi, pengurangan subsidi bahan api itu sekali gus menyanggah kenyataan pemimpin Umno-BN yang mengatakan prestasi ekonomi negara dalam keadaan baik.

"Setiap rakyat yang beratur panjang di stesen pam minyak seluruh negara adalah bukti betapa ramai rakyat yang terhimpit ekonomi mereka walaupun di saat pemimpin Umno-BN berdegar-degar berbangga dengan dakwaan prestasi ekonomi negara yang baik.

"Setiap rakyat pasti membantah pengurangan subsidi ini dan mempersoalkan di manakah menteri atau wakil rakyat UMNO," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut melahirkan rasa kesal ke atas kenaikan harga minyak secara tiba-tiba yang diumum kerajaan petang semalam.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, kerajaan sepatutnya memberikan notis awal kepada pengguna bagi mengelakkan suasana panik menyelubungi rakyat Malaysia.

"Keputusan menaikkan harga minyak petrol RON95 sebanyak RM0.20 sen dan diesel mulai 1 Oktober menjadikan harga petrol RON95 RM2.30 seliter sementara diesel dijual pada harga RM2.20.

"Apa yang mengecewakan adalah tindakan kerajaan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel dalam keadaan tergesa-gesa tanpa notis awal kepada rakyat sehingga timbul suasana panik dan kelam kabut untuk mengisi minyak sebelum jam 12.00 malam tadi," katanya.

Suhaizan melalui satu kenyataan hari ini turut mempersoal punca pengurangan subsidi minyak yang diumum kerajaan semalam.

"Adakah pemimpin negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat?

"Bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak tetapi rakyat tetap dibebankan dengan kenaikan minyak?" soalnya.

Warga Malaysia yang terpaksa bergelut menyara hidup

Posted: 02 Oct 2014 02:27 AM PDT



Oleh Ng Kee Seng


Kerajaan persekutuan gemar hidup dalam dunia sendiri, memberitahu bahawa segala-galanya bagus untuk semua rakyat Malaysia, dari segi kewangan dan ekonomi. Tetapi golongan miskin bandar dan luar bandar, dan kini golongan berpendapatan sederhana, sedang bergelut untuk menyara hidup.

Kos sara hidup sedang melambung, membesarkan anak-anak, memberi mereka makan dan pendidikan yang baik merupakan suatu tekanan.

Kemewahan seperti kereta dan motosikal, hubungan telekomunikasi dan peralatan IT berada di luar kemampuan ramai.

Dan bagaimana pula dengan kos memiliki tempat tinggal?

Rakyat kebanyakan mengetahui dan merasakannya. Mereka tidak boleh tertipu mengenai realiti ke atas kos sara hidup.

Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan terus menyebarkan dan menenangkan rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa kesemuanya adalah baik-baik sahaja.

Tetapi statistik global dari Indeks Kos Sara Hidup Generasi Y (GYCLI) telah membawa pendedahan. 
Laporan Knight Frank Global Cities 2015 yang julung kali diadakan, yang diterbitkan pada 25 September mendedahkan bahawa tiada bandar Asia yang berjaya mendapat tempat 10 teratas.

Ini bermakna, Generasi Y berhempas pulas mencari rezeki setiap hari tanpa dapat menyimpan. Kuala Lumpur tidak pun berada dalam tangga 20 teratas.

GYCLI menilai kos sara hidup di bandaraya-bandaraya global kepada golongan profesional muda.
Hong Kong muncul sebagai bandar yang paling kurang berpatutan manakala Frankfurt mengungguli indeks itu. Semua tujuh bandaraya-bandaraya global Asia Pasifik berada di bawah tangga 10 teratas. 

Keputusan laporan CLI ini menunjukkan bahawa graduan muda yang tinggal di Frankfurt mempunyai paling banyak pendapatan boleh guna, dengan kira-kira 60 peratus daripada gaji bersih mereka masih berbaki pada akhir setiap bulan, berbanding dengan 4.61 peratus defisit bagi graduan-graduan Hong Kong.

GYCLI memberi tumpuan kepada graduan muda di daerah-daerah perniagaan pusat (CBD), dengan menggunakan pembolehubah seperti gaji permulaan graduan, kos penginapan, bil, sewa serta harga satu pain bir, secawan kopi dan barang-barang runcit.

Laporan itu menganalisis kos sara hidup di daerah-daerah yang baru muncul di sekitar CBD tradisional dunia di bandar-bandar terkemuka global, seperti kawasan sekitar Square Mile di London, atau Downtown New York.

Ketua penyelidikan perdagangan Knight Frank, James Roberts berkata: "Banyak daerah-daerah yang baru muncul di sekeliling CBD tradisional telah membangun sebagai tempat bertenaga dan canggih untuk didiami, dan sering menarik siswazah-siswazah muda untuk memulakan kerjaya mereka di situ.

"Bagaimanapun, apabila populariti kawasan-kawasan ini meningkat, harga akan naik dan graduan muda sering bergelut untuk kekal mendiami kawasan itu. 

"Ia tidak boleh lagi dianggap bahawa pekerja-pekerja yang lebih berumur mahu berpindah ke pinggir bandar, sebaliknya mereka turut sukakan gaya hidup bandar yang bertenaga, jadi persaingan bagi mendapatkan tempat kediaman di kebanyakan lokasi-lokasi bergaya menjadi semakin panas. Satu cabaran di kebanyakan bandar-bandar global adalah bagi mengimbangi permintaan bercanggah bagi menempatkan gelombang firma baru, dan pekerja-pekerja mereka, dalam kawasan yang sama yang menjadi tumpuan ramai." 

Kos Sara Hidup Generasi Y (disusun mengikut kemampuan)

Sumber: Laporan Knight Frank Research/Newmark Grubb Knight Frank, Global Cities 2015, Mukasurat 93

Di bandar-bandar Malaysia, seperti ibu kota persekutuan Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru, graduan Gen Y tertekan dari segi kewangan.

Jangan disebut mengenai makan mewah atau bufet dalam suasana berhawa dingin di hotel untuk memikat gadis, atau bakal pelanggan.

Adakah sesiapa yang terfikir mengapa di Lembah Klang, kedai-kedai nasi campur tradisional ekonomi sudah tidak lagi ekonomi. Sepinggan nasi boleh menelan harga RM10 atau lebih!

Set makan tengah hari/malam nasi beriani boleh dikenakan caj sehingga RM18 bagi seorang! 
Nasi Kandar dan daun pisang? Jangan tanya. Anda minta pelayan untuk mengira sebanyak tiga kali, dan dia akan memberikan anda tiga harga yang berbeza.

Dengan kenaikan yang akan berlaku terhadap harga bahan api dan kadar tarif kuasa, ditambah pula dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April akan datang, apa yang boleh rakyat Malaysia jangkakan tahun depan?

Ramai yang pasti akan menjawab bahawa kos sara hidup di Singapura adalah lebih tinggi daripada di Malaysia. Ini tidak tepat atau benar.

Sepinggan nasi lemak di pusat penjaja makanan di Singapura (dengan sepotong ayam, telur, kentang dan sayur-sayuran) hanya berharga S$3.50. 

Bagaimana pula di Malaysia? Sudah tentu anda tidak boleh menukar matawang dan menyatakan yang ianya adalah lebih mahal daripada di Malaysia, apabila anda memiliki dolar Singapura.

Selain itu walaupun kos sara hidup di Singapura adalah lebih tinggi, tetapi pendapatan individu juga telah meningkat secara berkadar. Seorang guru sekolah menengah dibayar lebih daripada $10,000, belum termasuk bonus. Bandingkan ini dengan guru-guru di Malaysia.

Jadi, apakah masalah-masalah sosio-ekonomi sebenarnya di Malaysia? Kerajaan atau rakyat? -http://bm.theantdaily.com

Ng Kee Seng percaya bahawa tuhan sentiasa membantu mereka yang menolong diri mereka sendiri. Dalam sebuah demokrasi yang sihat, setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam politik dan negara.

Petrol naik lagi, rakyat jadi korban

Posted: 02 Oct 2014 02:22 AM PDT

Oleh JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK

 
KETIKA saat umat Muslim hendak menyambut Hari Raya Qurban atau lebih dikenali sebagai Idul Adha tiba-tiba dikejutkan dengan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen seliter.  Pada 2 September 2013 yang lalu harga RON95 dan diesel pun naik sebanyak 20 sen.

Sekarang sekali lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 2 Oktober 2014.

Dengan ini harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. Harga pasaran bagi petrol RON95 pada sebelum ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.

Apabila harga petrol naik sudah pasti kos barangan keperluan lain juga akan meningkat disebabkan oleh pengurusan rantaian bekalan (SCM) iaitu pengurusan aliran barangan. Ia termasuk pergerakan dan penyimpanan bahan mentah, inventori kerja dalam proses dan barangan siap dari tempat asal ke titik penggunaan, saling berhubungan atau rangkaian saling berkaitan, saluran dan perniagaan nod terlibat dalam penyediaan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna akhir dalam rantaian bekalan.

Dari sinilah ianya melibatkan kos semua barangan yang hendak dihantar kepada pengguna. Untuk sampai kepada pengguna, pihak pengilang terpaksa mengguna pengangkutan yang melibat kos petrol yang digunakan oleh kenderaan pengangkutan. Secara tidak langsung semua harga barang keperluan pasti akan naik disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel.

Begitu juga kos pengangkutan ke luar bandar dan nasib penduduk kampung yang masih menggunakan generator untuk menghidupkan bekalan elektrik yang terpaksa menggunakan petrol dan diesel pasti akan terkesan dengan kenaikan harga petrol ini. Bukan semua penduduk di luar bandar di Sarawak menikmati bekalan elektrik.

Belum pernah kita melihat pihak kerajaan menurunkan harga petrol RON95 dan diesel apabila harga pasaran antarabangsa turun.

Walaupun BR1M mungkin dinaikkan, belum tentu semua pihak yang akan menikmati hasil pemberian tersebut, sedangkan dengan kenaikan harga petrol, semua akan terkesan kecuali mereka yang kaya raya serta ada kemudahan elaun seperti para menteri dan mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan.

Rakyat jadi korban akibat kenaikan harga petrol ini kerana ini bukan masanya menaikan harga petrol ketika rakyat menghadapi inflasi yang boleh menyebabkan rakyat akan terus menangung hutang yang berpanjangan.

Kita menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kesan dari kenaikan harga petrol ini kepada rakyat lebih-lebih lagi yang berpendapatan kecil dan juga pengguna di luar bandar.

Apa Kesudahannya Kritikan Bertali-Arus Mahathir Terhadap Najib?

Posted: 01 Oct 2014 04:47 PM PDT

shahbudindotcom


Sejak akhir-akhir ini kemunculan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad di pelbagai program lebih kerap berbanding biasa. Hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya selang dua atau tiga hari, ada saja program yang dihadirinya yang tentunya turut menjadi tumpuan media.

Berbanding beberapa bulan sebelum ini di mana beliau kerap dimasukkan ke IJN untuk mendapatkan rawata, penampilan Mahathir kebelakangan ini juga menunjukkan beliau semakin sihat dan segar. Ramai yang mendoakan beliau terus diberikan kesihatan yang baik di ketika suasana politik negara semakin tidak baik dan kedudukan UMNO pula tidak sihat-sihat berbanding dulu.

Sejak mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap kepimpinan Najib Razak lebih sebulan yang lalu, pantang ada kesempatan, sasaran kritikan Mahathir tidak lain ialah Perdana Menteri.

Selain dasar dan polisi Najib dalam mengurus kerajaan yang berkaitan hubungan kaum, ekonomi dan kewangan yang dipertikaikannya, perkara lain yang kerap disentuh oleh Mahathir ialah mengenai 1MDB yang diragui pelaburannya serta sikap ahli UMNO yang kini tidak lagi berani menegur pemimpin.

Dalam teguran terbarunya hari ini, beliau berkata, ahli UMNO perlu melakukan pembaharuan dengan lebih berani mengkritik pemimpin mereka.

Beliau kesal kerana budaya dalam UMNO sekarang ialah hanya menyokong pemimpin secara membuta-tuli tanpa menyoal sebarang perkara sedangkan seseorang pemimpin perlu diberitahu mengenai pandangan lain juga dan tidak semestinya boleh melakukan apa saja yang disukainya.

Walaupun menafikan teguran dan penarikan balik sokongannya bertujuan memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan, tetapi dengan kekerapannya menegur dan meluahkan perasaan tidak puas hati, jelas menunjukkan ada sesuatu yang terbuku dalam hati bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi seperti mana kata A. Kadir Jasin dalam blognya, dilema Mahathir ialah meskipun UMNO lemah di mata rakyat tetapi Najib mempunyai kedudukan yang kukuh sebagai peneraju parti itu.

Ini bermakna jika Mahathir bermaksud mahu menjatuhkan Najib, ia bukanlah semudah seperti yang pernah dilakukannya terhadap Abdullah Badawu dahulu.

Tambahan pula, tiada pemimpin UMNO yang kelihatan berani ke depan menyanggah Najib ketika ini. Muhyiddin yang diharapkan berbuat demikian juga sudah hilang keberaniannya ketika ini.

Sejak Mahathir mengumumkan sikapnya tidak lagi menyokong Najib, dalam masa yang sama telah wujud beberapa kumpulan dalam UMNO yang bertujuan mahu membawa sikap dan pendirian bekas Perdana Menteri itu ke arah yang lebih jauh lagi iaitu mahukannya berundur sebagai Perdana Menteri. Hujahnya ialah selagi Najib memimpin parti dan kerajaan, peluang UMNO dan BN ditumbangkan dalam pilihanraya lebih mudah lagi kerana beliau dianggap terlalu lemah dan banyak isu peribadi yang boleh dimanipulasi oleh pembangkang.

Mahathir sendiri dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO baru-baru ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai kehilangan kuasa itu jika Najib terus berkuasa lagi.

Ini secara umumnya memberi gambaran bahawa teguran dan kritikan itu adalah bertujuan memastikan UMNO dan BN terus berkuasa melalui sama ada Najib dipaksa berubah atau diubah kedudukannya.

Beberapa perjumpaan dan mesyuarat difahamkan telah pun diadakan, namun sehingga ini tiada kata putus mengenai kaedah bagaimana untuk memaksa Najib berundur. Najib bukan saja dilihat kebal kerana sokongan pemimpin UMNO masih kukuh terhadapnya, banyak juga kesimpulan yang mengatakan sebahagian kekuatan Najib adalah terletak pada Rosmah Mansor.

Sejauh mana peranan dan bagaimana Rosmah memainkan peranannya di sisi Najib tidak pula begitu dijelaskan tetapi daripada suara-suara yang kedengaran adalah jelas beliau begitu berpengaruh dalam memastikan Najib terus kekal dan tidak mengalah dengan sebarang asakan, termasuk daripada Mahathir.

Kumpulan tertentu yang menemui Muhyiddin pula mendapati Timbalan Perdana Menteri itu langsung tidak menunjukkan keberanianya sepertimana yang pernah dilakukannya kepada Abdullah Badawi dahulu, walaupun pengharapan sebahagian ahli UMNO terhadap beliau tidak boleh dinafikan.

Apakah Muhyiddin akan terus tidak berani sehingga ke penghujung kariernya atau beliau boleh dijadikan berani melalui sokongan yang beransur-ansur ditonjolkan terhadapnya?

Semua ini akan menjadi kebarangkalian selagi Mahathir terus bersuara dan mengkritik Najib dan tidak mustahil sesuatu yang di luar jangkaan dan tak terduga turut berlaku.

Jenazah lima lagi mangsa tiba Jumaat ini

Posted: 01 Oct 2014 04:44 PM PDT

SINAR HARIAN


Liow Tiong Lai Liow Tiong Lai
 
 
 
KUALA LUMPUR - Jenazah lima lagi mangsa nahas pesawat  Malaysia Airlines (MAS), Penerbangan MH17 akan tiba di Malaysia Jumaat ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.30 pagi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan di sini hari ini, berkata ini merupakan ketibaan kali keenam jenazah yang dibawa pulang ke Malaysia dari Amsterdam.
  
"Jenazah berkenaan akan diberikan penghormatan ketenteraan sepenuhnya," katanya.
  
Jenazah Muhammad Afruz Tambi, anggota keluarga terakhir keluarga Allahyarham  Tambi Jiee yang terkorban dalam tragedi itu, akan tiba bersama-sama jenazah Liew Yau Chee, Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam.
  
Tiong Lai berkata dengan ketibaan lima jenazah itu, 42 daripada warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17, dibawa pulang dan diserahkan kepada waris mereka.
  
 "Setakat ini 27 penumpang dan 15 anak kapal telah dikenal pasti daripada sejumlah (43) rakyat Malaysia dalam penerbangan itu," katanya.
  
Tiong Lai, yang juga Presiden MCA, menggesa semua rakyat Malaysia supaya menghormati privasi anggota keluarga dan waris mangsa MH17, ketika mereka melalui waktu sukar itu.
  
"Tatkala mereka mengebumikan dan menyemadikan orang tersayang mereka, kami berdoa bahawa mereka akan mendapat keberanian dan kekuatan untuk melalui kehilangan tragik ini," katanya.
  
Tiong Lai berkata Malaysia akan terus berusaha memastikan baki mayat akan dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin untuk dikebumikan.
  
Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak  dan terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai.
  
Selain warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - Bernama

Kalimah ALLAH: Gereja SIB dibenar semak

Posted: 01 Oct 2014 04:42 PM PDT

SINAR HARIAN

mahkamah
 
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) atau Borneo Evangelical Church untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah ALLAH dalam semua penerbitan agamanya.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Rohana Yusuf sebulat suara membenarkan rayuan gereja itu untuk meneruskan prosiding permohonan semakan
kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan gereja telah memenuhi syarat untuk mendapatkan kebenaran itu.

Hakim Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan gereja bagi kebenaran itu.

Beliau menetapkan 16 Oktober bagi sebutan semula perkara itu di Mahkamah Tinggi. Berikutan keputusan itu, perkara itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit permohonan semakan kehakiman oleh gereja yang memohon perisytiharan bagi 12 perkara, termasuk hak gereja dan jemaahnya yang bertutur Bahasa Malaysia menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible terjemahan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, dan semua penerbitan dan bahan bacaan lain agama itu.

Gereja itu juga memohon perisytiharan untuk mereka dibenar mengimport buku agama Kristian yang mengandungi kalimah ALLAH, dan hak gereja itu dan  jemaahnya untuk mengamalkan agama mereka.

Ia juga memohon perisytiharan bahawa keputusan kerajaan melarang penggunaan empat perkataan, ALLAH,  Baitullah, Solat dan Kaabah adalah salah di sisi Perlembangaan.
\Dalam keputusannya, Hakim Rohana berkata, keputusan Mahkamah dalam kes penerbitan mingguan Katolik 'The Herald' tidak lagi mengikat Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes gereja SIB.

Katanya, ini kerana Mahkamah Persekutuan telah mendengar kes itu dan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ALLAH bukan perkara teras dalam kepercayaan agama Kristian, dianggap sebagai 'obiter' (pendapat tidak mengikat).

Pada 5 Mei tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof menolak permohonan gereja SIB bagi kebenaran mengemukakan semakan kehakiman, menyatakan Mahkamah Tinggi terikat oleh keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ALLAH bukan perkara teras dalam pegangan agama Kristian.

Hakim Rohana berkata semakan kehakiman oleh gereja SIB adalah isu penting walaupun ia (gereja) telah menarik balik tuntutannya bagi perintah certiorari dan mandamus supaya dipulangkan semula buku agama kanak-kanak yang mengandungi kalimah ALLAH, yang digunakan untuk pendidikan agama di gereja it.

Buku berkenaan dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri pada 15 Ogos 2007 tetapi telah dipulangkan kepada gereja itu pada 25 Januari 2008.

Gereja itu dan presidennya Reverend Jerry W.A. Dusing @ Jerry W. Patel, memfailkan permohonan bagi kebenaran mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pada 10 Disember 2007.

Terdahulu, peguam Lim Heng Seng berkata, keputusan Kementerian Dalam Negeri merangkumi dua bahagian; pertamanya, keputusan spesifik melarang pengimportan buku agama kanak-kanak dan keduanya keputusan umum melarang semua penerbitan lain menggunakan empat perkataan yang digunakan dalam agama Islam iaitu ALLAH, Baitullah, Solat dan Kaabah.

Beliau berkata, rampasan buku itu dilakukan susulan perintah dikeluarkan kementerian itu pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan itu dalam penerbitan bukan Islam.

Lim berkata, pada hakikatnya keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah ALLAH telah menjejaskan gereja itu dan ia mempunyai hak untuk memohon perisytiharan berhubung keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, oleh kerana pihak gereja telah menarik balik tuntutannya bagi perintah certiorari dan mandamus, mereka tidak lagi boleh memohon perisytiharan itu kerana perkara pokok dalam kes itu tidak lagi wujud.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Dusing berkata beliau lega bahawa kebenaran itu diberikan tetapi berkata ia akan mengambil masa yang lama sambil menegaskan gereja hanya mahukan penyelesaian yang adil. - Bernama

Saudara Karpal disiasat menghasut

Posted: 01 Oct 2014 04:40 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pelajar undang-undang Dalbinder Singh Gill dari Pulau Pinang ditahan malam tadi di bawah Akta Hasutan kerana posting Facebook beliau yang didakwa mempersoalkan hak bumiputera dan institusi beraja.

Dua anggota polis dari Unit Jenayah Siber di Bukit Aman datang ke rumah Dalbinder di Jesselton Heights malam tadi tetapi dia tidak ada di rumah.

Dalbinder (kiri), anak saudara mendiang Karpal Singh, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani pada jam 10.45 untuk disoal siasat.

Dalbinder, 24, memberitahu Malaysiakini dia dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Beliau ditemani ibunya, dua rakan, seorang peguam dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, yang bergegas dari Permatang Pauh ke balai polis tersebut.

"Saya diberitahu, polis yang membuat laporan terhadap saya, mendorong mereka menahan saya," kata Dalbinder.

"Polis merampas iPhone dan iPad saya untuk membantu siasatan, mereka bawa saya kembali ke rumah saya untuk mendapatkan iPad saya," katanya ketika dihubungi.

"Saya perlu lapor diri semula di balai polis itu dalam masa sebulan. Mereka mengambil cap jari dan gambar saya," katanya.

Aziz Bari disiasat sejam, pilih berdiam diri

Posted: 01 Oct 2014 04:39 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pakar perlembagaan dan profesor undang-undang Abdul Aziz Bari disoal siasat selama sejam oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan hari ini, tetapi beliau memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab sebarang soalan.

Abdul Aziz disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Sabak Bernam pagi ini ekoran laporan polis dibuat terhadapnya berhubung komennya dalam dua artikel yang disiarkan dalam The Malaysian Insider.

Artikel pertama bertajuk 'Sultan Selangor terikat deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari' dan satu lagi artikel bertajuk 'Only God, not Sultan, has absolute powers, says legal expert'

Dua wartawan The Malaysian Insider telah diambil kenyataan mereka berhubung dua artikel tersebut.

Menurut salah seorang peguamnya, Afiq M Noor dari Lawyers for Liberty, Abdul Aziz memutuskan untuk menggunakan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang membenarkan seseorang itu untuk berdiam diri.

Dr Dheeraj Bar merupakan seorang lagi peguam yang menemani Abdul Aziz ke balai polis.

"Kami tidak diberitahu apakah langkah seterusnya. Mereka akan memaklumkan kepada kami," kata Afiq kepada Malaysiakini, sambil berkata sesi soal siasat itu berakhir pada kira-kira jam 12.30 tengahari.

Nasrudin kesal kes pukul bekas qari kebangsaan

Posted: 01 Oct 2014 04:27 PM PDT

KHAIRIL ABDUL RAHIM 



Nasrudin meneliti dokumen yang mengesahkan ladang tersebut milik Shafii.
 


TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan melahirkan rasa kesal di atas tindakan kekerasan terhadap imam masjid Ustaz Shafii Lebai Hanafiah yang dipukul beramai-ramai di ladangnya di sini.

Katanya, tidak sepatutnya pihak terbabit menyelesaikan masalah dengan bertindak melulu menggunakan kekerasan apa lagi imam berkenaan mengambil hasil tanaman di atas tanahnya yang sah.

Serentak dengan itu beliau mencadangkan supaya Shafii mengambil tindakan mahkamah sebagai pengajaran supaya perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Setelah saya melihat kepada semua dokumen dan fail-fail yang ditunjukkan, saya yakin kes ini berpihak kepada kepada tuan imam kerana tidak melakukan kesalahan, jadi kenapa dihalang dan dipukul? Jadi saya cadang dibawa kes ini ke mahkamah supaya lepas ini tidak timbul masalah lagi.

"Jika tidak, akan datang akan timbul lagi isu-isu lain pula. Jadi kes kekasaran ke atas tuan imam ini mestilah dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika melawat Shafii di rumahnya.

Shafii ialah qari kebangsaan pada tahun 2006 pada Majlis Tilawah al-Quran dan mendapat tempat ketiga peringkat antarabangsa pada tahun yang sama.

Beliau yang juga guru al-Quran, pernah mewakili negeri Pahang sebanyak 8 kali di majlis tilwah tersebut.

Dalam kejadian Khamis minggu lalu, Shafii mendakwa beliau telah dipukul beramai-ramai di ladangnya di lot 8053 Felda Lakum, Lanchang.

Menceritakan kejadian tersebut, beliau berkata mula masuk ke ladang jam 8 pagi melihat pekerja memotong buah sawit di tanahnya yang dibelinya dari arwah Yusof, peneroka di Felda yang sama. Kemudiannya pukul 10 sawit tersebut dimasukkan ke dalam lori untuk dipunggah ke kilang.

Kira-kira pukul 10.30 pagi penyelia ladang datang dan kejadian pertengkaran dan kekasaran berlaku jam 11 pagi apabila pengurus dipanggil datang.

"Pada mulanya penyelia itu kata tak boleh ambil buah sawit di ladang yang saya beli itu. Saya kata saya dah tanya hakim mahkamah, tanah ini saya dah bayar habis, dah sah milik saya jadi saya boleh ambil hasillah di tanah saya.

"Tak lama kemudian pengurus technoplant tiba. Bila dia sampai saya pun hidupkan motosikal untuk beredar balik. Ketika itu dia menjerit ke arah saya bertanya mana geran.

"Saya jawap geran ada di rumah, takkan nak bawa ke ladang. Setelah seketika bertengkar saya diterkam. Kemudian lima buah motosikal lagi datang mengugut saya dan menghalang tak bagi balik. Saya pecut motor nak lari balik dan merempuh sehingga sama-sama jatuh," ceritanya.

Shafii berkata, selepas itu beliau menerima rawatan bengkak-bengkak di klinik akibat jatuh dan dipijak-pijak dan turut membuat laporan polis.

Shafii berkata, beliau membeli tanah berkenaan pada tahun 2003 dan telah diselesaikan bayaran mengikut undang-undang, jadi tidak sebab Felda mengaku tanah tersebut milik mereka. - HARAKAHDAILY

Stesen minyak di Lembah Klang sesak luar biasa

Posted: 01 Oct 2014 04:25 PM PDT

HARAKAHDAILY



 


KUALA LUMPUR: Kesesakan luar biasa berlaku di stesen minyak di Lembah Klang berikutan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel mulai tengah malam ini.
  
Pengumuman kenaikan harga itu dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini berikutan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Okt 2014.
  
Sehubungan itu harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
  
Harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.
  
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak Petronas, Shell, Petron dan Caltex di sini mendapati orang ramai berpusu-pusu dan beratur panjang sejak pukul 8.30 malam. (Foto atas dipetik dari blog Omak Kau)
  
Kebanyakan pengguna menerima realiti kenaikan harga bahan api itu namun berharap kerajaan mengumumkan lebih awal agar senario kesesakan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak tidak berulang.
  
Seorang kakitangan kerajaan, Hasbullah Ahmad, 25, berkata beliau segera ke stesen minyak sebaik mendengar pengumuman kenaikan harga itu.
  
"Jadi bila dapat tahu saya terus keluar isi minyak dan terpaksa menunggu giliran kira-kira 20 minit, itupun saya bernasib baik kerana sampai (ke stesen minyak) lebih awal," katanya kepada Bernama.
  
Pensyarah sebuah kolej swasta, Noraisha Abdul Razak, 23, berkata beliau terkejut dengan pengumuman itu kerana tidak mendengar ura-ura kenaikan harga minyak sebelum ini.
  
"Saya hanya mengetahui kenaikan ini setelah melihat suasana sesak dan banyak kenderaan mengerumuni stesen minyak," katanya.  
  
Juruteknik, Amirul Haslam, 22, pula meluahkan kebimbangan kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan harga keperluan asas turut meningkat sekali gus menjejaskan kos sara hidup.
  
"Selalunya kalau harga minyak naik, harga barang lain pun naik, ia akan bebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.
  
Peniaga kuih, K.Selvi, 50, pula berkata beliau juga risau kenaikan harga minyak itu turut memberi kesan kepada perniagaanya.
  
"Harap kerajaan beri insentif untuk bantu kenaikan kos ini," katanya.
  
Seorang pegawai bank, David Lim, 30, pula berharap tiada kenaikan lagi akan berlaku dalam masa terdekat.
  
"Kita terpaksa menerima kenaikan itu tetapi berharap kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi ekonomi bagi memastikan pemberian subsidi dapat dikekalkan kepada rakyat," katanya. -

Tiada ulasan: