DIALOG RAKYAT |
- MH17: Petugas bergerak ke lokasi nahas
- Boleh sekat dagangan dengan Israel jika mahu
- MB: “Saya sudah balas surat tunjuk sebab PKR”
- PKR hanya usul nama Wan Azizah, kata Lim Guan Eng
- Rakyat Sarawak dipelawa sertai program ‘Mengenal DAP’ di Kuching, Sabtu ini
- DAP bantah pembalakan haram di tapak projek Tawau Green Energy
- Zahid: Siasatan MH17 capai tahap 50 peratus
- 'Kami enggan komen isu MB, tunggu selesai mesyuarat 10 Ogos' - Pemimpin PAS
- Tukar MB: Risiko hilang S'gor berbaloi, kata Rafizi
- Kemelut gugurkan Khalid tak ubah konspirasi jatuhkan Anwar
- Sidang media sokong Azizah sebagai MB Selangor kecoh [TONTON VIDEO]
- Sudahkah PKR mendapat persetujuan Sultan untuk lantik MB baru? - Gerakan
- 150 mayat, 300 anggota badan telah dibedahsiasat
- Apa fatwa bagi hubungan dagang M'sia-Israel?
- PKR tidak dayus menghadapi krisis cetusan Khalid Ibrahim
- PKR kecam perang saraf guna surat palsu
- Pegawai MB S'gor bersemuka dengan Rafizi
- Rayuan tuduhan rasuah Khir didengar 28 Ogos
- Nik Aziz tak berganjak, mahu Khalid kekal MB
- 'Pakatan tak bantai LGE isu terowong RM4.63b'
- SPRM diminta siasat dakwaan salahlaku terhadap MB S'gor
- Polis kenal pasti 15 peserta sukan bogel
- Analisis ringkas perang di Gaza (Ramadhan-Syawal 1435H)
- Bunuh remaja: 'Rambo Bentong' dihukum mati
- Isu MB: Wartawan Pelik Kenyataan Media Bercanggah
MH17: Petugas bergerak ke lokasi nahas Posted: 06 Aug 2014 03:58 PM PDT SOLEDAR - UKRAINE. Seramai 40 petugas penyiasat nahas MH17 yang diwakili oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Belanda dan Australia bergerak ke lokasi nahas pada jam 7.30 pagi waktu tempatan. Perkara itu disahkan melalui akaun sosial Facebook rasmi milik pihak PDRM pada hari ini. Difahamkan, daripada jumlah itu, tujuh petugas dipertanggungjawabkan untuk menemui penduduk tempatan berdekatan lokasi nahas. Melalui kenyataan itu lagi, petugas MH17 dikehendaki mendapatkan maklumat berkenaan barang-barang milik mangsa dan mayat sekiranya masih ada di kawasan nahas. Pergerakan pasukan tersebut ke lokasi nahas melibatkan 14 buah kenderaan yang terdiri daripada sebuah kenderaan polis untuk tugas mengiring, dua buah bas mini coster, dua kenderaan bagi pasukan perubatan, sebuah van K9, sebuah lori refrigerator untuk membawa pulang mayat dan lain- lain kenderaan |
Boleh sekat dagangan dengan Israel jika mahu Posted: 06 Aug 2014 03:56 PM PDT SHAH ALAM - Malaysia boleh menyekat hubungan dagangan dengan Israel tanpa memberi kesan yang signifikan kepada ekonomi negara. Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, nilai dagangan bukan secara langsung itu terlalu rendah untuk memberi kesan kepada ekonomi negara. "Nilai dagangan itu tidak banyak sangat dalam anggaran RM4.8 bilion saja. Jadi, kalau ada sekatan sepenuhnya sekalipun, dari segi ekonominya, nilai itu terlalu rendah untuk memberi kesan yang terlalu signifikan kepada Malaysia. "Bagi saya, ini bukan satu perkara yang perlu kita bimbang. Paling penting adalah kita menunjukkan tanda protes terhadap kezaliman yang berlaku di sana. Tindakan itu (sekat dagangan) amat bernilai dari segi sokongan moral," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau menegaskan, sekatan itu boleh berlaku sekiranya kerajaan benar-benar mahu melakukannya. "Saya rasa ini satu lagi perkara melibatkan 'political will'. Kalau sekiranya nak dibuat, saya pasti ia memang boleh dibuat. "Kita antara negara yang tidak mempunyai hubungan politik dengan Israel. Ini merupakan satu lagi peluang untuk menunjukkan protes atas kekejaman yang dilakukan. "Kalau ada kehendak, saya rasa cara itu memang boleh dicari. Kalau nak buat memang boleh buat. Masalahnya kalau ada keraguan antara nak buat atau tidak, maka pelbagai alasan akan timbul," katanya. Bagi tahun 2013, Malaysia adalah destinasi eksport ke-11 bagi Israel, dengan nilai eksport hampir AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion), seperti laporan Biro Statistik Pusat Israel. Sementara penganalisis politik, Prof Madya Dr Abu Suffian berkata, urus niaga yang berlaku antara Malaysia dengan Israel adalah secara tidak langsung melalui pihak ketiga. "Kita memang tak ada urus niaga secara langsung dengan Israel. Kalau kita nak eksport atau import adalah secara langsung dengan negara-negara yang ada hubungan diplomatik sahaja. "Sebagai contoh kita eksport produk kepada Eropah dan mereka eksport pula kepada Israel, itu terpulanglah. Itu bukan tanggungjawab kita. Begitu juga jika kita jual produk kepada Denmark dan mereka membungkus semula dan meletakkan logo mereka serta dijual kepada Israel," katanya. |
MB: “Saya sudah balas surat tunjuk sebab PKR” Posted: 06 Aug 2014 03:54 PM PDT Oleh: AFIX REDZUAN KLANG,: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan beliau sudah membalas surat tunjuk sebab dihantar Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan dakwaan timbulnya soal integriti beliau termasuk kes yang membabitkan Bank Islam. Abdul Khalid turut memaklumkan pegawai kanannya menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan salah laku integriti seperti yang didedahkan sebelum ini. "Saya sudah balas tersebut apabila mereka mendapat surat tersebut atas dasar ketelusan, dia akan memuat turun surat itu untuk perhatian ahli parti PKR. "Saya sudah hantar dokumen penuh yang ditulis PKR kepada SPRM, adalah lebih baik saya tidak ulas memandangkan nama Bank Islam disebut dalam perkara ini. "Saya secara peribadi akan menulis kepada Bank Islam berkenaan perkara ini," katanya kepada media. Mengulas berkenaan desakan beliau untuk meletakkan jawatan selepas terdapat sokongan untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , Abdul Khalid berkata akan mengadakan sidang media, selepas 10 Ogos ini. "Saya merasakan itu kenyataan sendiri. Saya akan membuat sebarang tindakan selepas saya dapati kesahihan dan keputusan. "Difahamkan 10 Ogos ini akan ada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat dan saya akan buat kenyataan akhbar selepas itu. Abdul Khalid berkata, beliau menganggap situasi kini sebagai asam garam politik dalam negara ini. "Seronok berhadapan desakan kini. Apa yang sana nak lakukan memberikan saya azam untuk bekerja bagi rakyat Selangor. "Desakan begini membuatkan saya perlu melakukan tugas dengan lebih cepat, tertib dan lebih betul," katanya. Baca jawapan surat tunjuk: klik di sini EZY |
PKR hanya usul nama Wan Azizah, kata Lim Guan Eng Posted: 06 Aug 2014 03:49 PM PDT Roketkini.com GEORGE TOWN: PKR hanya mengusulkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon Menteri Besar (MB) Selangor yang baru, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. "Nama yang dicadangkan hanya seorang sahaja oleh PKR, iaitu Wan Azizah. Sehingga hari ini DAP tidak menerima sebarang pencalonan daripada rakan parti dalam Pakatan. "Kita tidak menerima sebarang pencalonan (yang lain) daripada PKR," katanya dalam satu sidang media semalam. Kata Guan Eng, tidak ada mana-mana pihak lain yang mencalonkan nama lain sebagai MB, namun sekali lagi menegaskan semua pihak perlu mengisytiharkan terlebih dahulu bahawa calon wanita layak untuk memegang jawatan itu. Dalam kenyataannya minggu lalu, Guan Eng meminta semua parti menerusi Presiden masing-masing untuk menyatakan bahawa mereka tidak menentang mana-mana wanita untuk memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri di Malaysia. Beliau merujuk Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi berdasarkan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam sebarang jawatan awam. Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, '…Tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina… kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran… yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan." Tegas Guan Eng lagi, persepsi bahawa wanita tidak layak memegang jawatan sebagai menteri atau mana-mana jawatan tinggi dalam pentadbiran adalah kolot dan ketinggalan zaman. Guan Eng pada 2 Ogos lalu dalam satu kenyataannya memberikan sokongan penuh kepada mana-mana wanita untuk diangkat menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri. "Kita kena selesaikan isu ini dahulu, kemudian baru boleh cerita tentang calon MB," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi. Menurut laporan Sin Chew Daily 5 Ogos lalu, beberapa pemimpin PAS ingin mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok daripada PKR, Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk jawatan itu. |
Rakyat Sarawak dipelawa sertai program ‘Mengenal DAP’ di Kuching, Sabtu ini Posted: 06 Aug 2014 03:46 PM PDT Roketkini.com KUCHING,: Sebuah program bengkel 'Mengenal DAP' yang bermatlamat memberi kefahaman berhubung sejarah dan perjuangan parti akan diadakan pada hari Sabtu ini, 9 Ogos 2014 bertempat di Pusat Khidmat DAP Tupong, Sarawak. Program yang dianjurkan dengan kerjasama DAP Sarawak dan Pemuda DAP Kuching dengan nama tema 'Ros Merah: Ideologi perjuangan DAP' turut menampilkan penceramah popular, Dr Hew Kuan Yau, atau lebih dikenali dengan nama 'Superman'. "Kebelakangan ini perbincangan dan pencarian makna demokrasi telah kembali rancak. Dengan pelbagai cabaran baru, mendesak anak-anak muda menjadi warga yang sedar dan mula mendalami erti demokrasi dan segala yang terkait dengannya. "Banyak lagi persoalan perlu kita jelajahi, kemudian perlu diterjemahkan pula dalam kehidupan seharian," menurut kenyataan penganjur program. Dalam kenyataan tersebut penganjur turut memaklumkan, antara sesi yang disediakan kepada peserta dalam program termasuk latihan, selain sesi penerangan dengan menggunakan simulasi berkomputar. Peserta program turut berpeluang berbincang dan bertanyakan soalan berkaitan struktur organisasi, ideologi dan garis politik Sosial Demokrasi yang menjadi pegangan parti DAP dalam sesi yang dijalankan selama tiga jam. Menurut penganjur, program 'Ros Merah: Ideologi perjuangan DAP' akan bermula pada jam 2 petang dan setiap sesi akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Program yang tidak mengenakan sebarang bayaran ini bertempat di Pusat Khidmat DAP Tupong, Tingkat 1, Lot 9663, Jalan Matang Taman Lee Ling Commercial Center, Fasa 23, 93050, Kuching Sarawak. Kepada mereka yang berminat untuk menyertai program ini, terutamanya anak muda yang tinggal di sekitar bandaraya Kuching digalakkan untuk menghubungi wakil penganjur di talian 019-8949087 (Aziz). – Roketkini.com |
DAP bantah pembalakan haram di tapak projek Tawau Green Energy Posted: 06 Aug 2014 03:45 PM PDT Roketkini.com KALABAKAN: Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin membantah keras aktiviti pembalakan haram di tapak projek kilang geoterma Tawau Green Energy (TGE) yang menyebabkan banjir hingga menjejaskan kehidupan lebih 600 penduduk. Berikutan pelbagai aduan, Chan sendiri turun ke tapak kilang dan mendapati antara punca berlakunya banjir adalah pembersihan tapak dengan melakukan pembalakan sehingga mencemarkan sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk tempatan. Chan dalam tinjauannya bersama seorang pemimpin Umno tempatan Andrassy Amissain Latip memaklumkan, kesan langsung akibat dari pembalakan haram adalah banjir kilat di kawasan sekitar lokasi kilang TGE terutamanya selepas hujan. "Penduduk bergantung penuh kepada bekalan air dari sungai kerana bekalan dari Jabatan Bekalan Air (JBA) tidak konsisten. "Amissain sendiri telah rasa tidak puas hatinya terhadap projek TGE dan menyelar tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang menyalahguna kuasa dengan memberikan projek tersebut kepada anaknya sendiri," kata Chan dalam satu kenyataan. Menurutnya, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Sam Mannan sebelum ini mendakwa, pembalakan dilakukan untuk mengosongkan kawasan itu bagi pembinaan jalan raya. Justeru beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah menegaskan, tiada keperluan untuk mengosongkan kawasan tersebut kerana jalan sepanjang 18 kilometer telah sedia ada untuk digunakan. Anugerah projek kepada kroni yang tidak berkelayakan Dalam pada itu, berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati, pemegang saham majoriti TGE adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Sipitang Yamani Hafez iaitu anak Musa Aman. Namun pemegang saham utama kini bertukar kepada Timbalan Ketua Pemuda Umno Sandakan Awang Kading Tang. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini, Chan mempersoalkan sama ada syarikat tersebut layak dianugerah projek tersebut kerana tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam industri tersebut. Ketua Menteri Musa Aman dalam jawapannya menyatakan bahawa pengkhususan bidang dan kepakaran berhubung teknologi tersebut akan disumberluar (out source) kepada pihak lain. Tambah Chan, tindakan menganugerah projek TGE kepada pihak tidak berkelayakan turut dibantah oleh Ahli Parlimen Kalabakan dari BN, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh. "Adakah ini bermakna bahawa sesiapa saja boleh membentuk sebuah syarikat untuk melobi bagi Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dan kemudian disumberluar kepada orang lain? "Saya tidak menentang pembangunan tenaga bersih, tetapi ketelusan dan akauntabiliti perlu dipatuhi," tegasnya. – Roketkini.com |
Zahid: Siasatan MH17 capai tahap 50 peratus Posted: 06 Aug 2014 03:35 PM PDT KL TODAY SEPANG – Siasatan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 sehingga kini sudah mencapai tahap 50 peratus berdasarkan bahan bukti yang diperoleh di kawasan insiden serta keterangan saksi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata selain barangan peribadi, pasukan penyiasat antarabangsa telah pun menemui kokpit pesawat di kawasan ladang penternakan ayam berdekatan lokasi nahas. "Siasatan awal mendapati terdapat kesan tembakan pada kokpit berkenaan namun pasukan penyiasatan antarabangsa mungkin mengambil masa tiga minggu lagi untuk mengeluarkan serpihan pesawat itu dari lokasi kejadian," katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Ukraine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Beliau berkata buat masa ini juga hasil siasatan masih belum menemui baki mayat mangsa, oleh itu siasatan diperluaskan di kawasan tasik berdekatan lokasi nahas bagi mencari mayat mangsa yang belum ditemui. Justeru itu, katanya, pasukan penyelam terdiri daripada sepuluh orang dari negara Belanda, Australia dan Malaysia akan menjalankan operasi di tasik berkenaan. "Operasi mencari di tasik telah bermula pada pukul 7.30 pagi tadi waktu tempatan, namun belum menemui sebarang bukti mahupun mayat mangsa," katanya. Setakat ini, 62 lagi mayat mangsa belum ditemui sejak pesawat MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas. Ahmad Zahid berkata pasukan penyiasat antarabangsa hanya diberikan masa sejam setengah untuk berada di lokasi nahas dan zon siasatan telah diperluaskan daripada empat zon kepada enam zon. "Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah cuba memasuki lokasi nahas tetapi cuma dibenarkan berada sejam setengah dan berada di dalam lingkungan 20 kilometer sahaja," katanya. Sehingga kini terdapat 87 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di Soledar, Ukraine bagi meneruskan misi sisatan. Mengenai sama ada jenazah akan dibawa pulang secara berperingkat atau serentak, beliau menjelaskan perkara itu bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – dipercayai ditembak jatuh namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang tersebut. |
'Kami enggan komen isu MB, tunggu selesai mesyuarat 10 Ogos' - Pemimpin PAS Posted: 06 Aug 2014 08:43 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed PutraKUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan PAS mengambil sikap serta pendirian berdiam diri dan enggan memberi penjelasan lanjut berhubung polemik pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Rata-rata pemimpin PAS yang dihubungi Antarapos mengambil sikap berdiam diri dan lebih selesa membicarakan isu lain kerana enggan membiarkan isu ini terus menerus menjadi polemik. Malahan mereka juga bertegas akan hanya membuka mulut selepas mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos ini yang akan membincangkan kemelut politik di Selangor melibatkan isu untuk menggugurkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Saya tak nak komen apa-apalah, tunggulah 10 Ogos nanti. "Saya tak nak komen apa-apa buat masa ini," kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Siti Mariah Mahmud. Untuk rekod, kemelut politik di Selangor meruncing apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengan bulan lalu menamakan isterinya yang juga presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid. Bagaimanapun, cadangan itu mengundang pelbagai reaksi di kalangan komponen pakatan sendiri termasuk ada yang menyokong Khalid. Krisis Menteri Besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam Pakatan Rakyat selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau pun tidak. Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja juga enggan menjawab apa jua persoalan berkaitan dengan desakan PKR yang mahu menggugurkan Khalid. "Saya tidak akan jawab apa jua soalan yang berkaitan dengan isu itu. "Saya tak akan jawab, nanti bila perkara itu sudah selesai mungkin saya akan komen," katanya. Selain itu pemimpin-pemimpin PAS juga enggan mengulas laporan akhbar berbahasa Cina bahawa pemimpin parti itu menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk mengakhiri krisis calon Menteri Besar Selangor. Akhbar itu turut menyebut bahawa Khalid tidak mempunyai bantahan jika Dr Idris dicalonkan untuk menggantikan beliau. Pemimpin PAS enggan buka mulut, elak isu diperbesarkan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli juga memberi respons serupa dengan alasan tidak mengetahui perkara itu. "Tiada dalam pengetahuan saya, saya tidak tahu," katanya mengulas laporan mengatakan PAS menamakan wakil rakyat PKR sebagai calon alternatif untuk kerusi Menteri Besar Selangor. Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Zaharuddin Mohamad berkata beliau akan memberikan komen selepas mesyuarat pucuk pimpinan pada 10 Ogos nanti. "Setakat ini saya tak nak beri komen apa-apa. "Biarlah selepas mesyuarat pada 10 Ogos dulu," katanya. Ditanya mengenai desakan berterusan Anwar terhadap PAS, menantu kepada presiden parti Islam itu turut mengambil sikap berdiam diri. "Pasal itu pun saya tak mahu komen lagi," katanya. Turut enggan mengulas polemik itu ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad. "Saya tidak tahu...saya tak tahu pasal itu. "Maaf," jawabnya ringkas. Krisis di Selangor bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar Pakatan tersebar. Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. |
Tukar MB: Risiko hilang S'gor berbaloi, kata Rafizi Posted: 06 Aug 2014 08:41 AM PDT MALAYSIAKINI Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata risiko kehilangan Selangor itu berbaloi asalkan PKR berjaya menukar menteri besar yang kurang berintegriti. Beliau berkata PKR tidak mempunyai kelebihan seperti ahli yang ramai atau kewangan dan hanya memiliki kelebihan integriti. "Biarlah kami hilang Selangor sekalipun asalkan kami tidak khianat kepercayaan rakyat terhadap kami," kata beliau selepas sebuah forum di Kuala Lumpur semalam. Rafizi mendedahkan betapa PKR sebenarnya memang mahu menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejurus selepas memenangi 34 dari 56 kerusi Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tahun lalu tetapi dibantah oleh rakan sekutunya DAP dan PKR. Hal itu juga diakui beliau menyebabkan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali marah kerana sepatutnya beliau yang dilantik sebagai menteri besar. Bagaimanapun Rafizi berkata hal ini berlaku kerana "PKR sentiasa mendengar konsensus bersama Pakatan Rakyat." "Keputusan tukar ADUN itu hak PKR tapi keputusan tukar menteri besar itu adalah milik Pakatan. "Kalau ada seorang ADUN yang DAP dan PAS setuju kita dah dapat menteri besar baru dua tahun lalu," kata beliau. Sukar dapat konsensus Anggota Parlimen Pandan mengakui kesukaran mendapat konsensus dan persetujuan dari parti lain terutamanya PAS menyebabkan PKR melakukan "Langkah Kajang" awal tahun ini secara solo pada awalnya. Beliau mendedahkan betapa PAS ketika di ambang PRU 13 turut mencadangkan anggota Parlimen Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan memenangi pilihan raya. "Kalaulah saya bincang dengan PAS untuk kosongkan kerusi ADUN dan ganti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai hari ni tak tukar menteri besar. "Bincang nak tukar perdana menteri pun enam tahun tak selesai, apa yang buat anda berfikir perbincangan (tukar mb) akan berlaku dengan cepat," kata beliau. Hal ini menyebabkan seorang lagi panelis ahli jawatankuasa PAS Hanipa Maidin memohon maaf kepada PKR dan Rafizi dan menegaskan beliau tidak mengetahui langsung perkara tersebut dan menganggap perkara tersebut tidak patut berlaku. "Walaupun saya ahli jawatankuasa PAS pusat, secara terus terang saya tak tahu apa yang dikatakan Rafizi itu. Jika saya tahu saya akan menentang habis habisan. "Hal ini tidak beretika dan tidak Islam. Bagaimana boleh cadangkan org luar pakatan sebagai perdana menteri?" katanya. |
Kemelut gugurkan Khalid tak ubah konspirasi jatuhkan Anwar Posted: 06 Aug 2014 08:31 AM PDT ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Gerakan menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tidak ubah seperti konspirasi menggulingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hasan. Nasruddin kemudiannya mempertikaikan arahan parti yang mengarahkan ahlinya 'menutup mulut' bersabit usaha PKR menukar Menteri Besar Selangor. Ujarnya Khalid wajar dibela sepertimana Anwar yang dipecat daripada jawatan nombor dua kerajaan Persekutuan pada 1998, ekoran tuduhan liwat. "Apakah Tan Sri Khalid Ibrahim (TKSI) akan diperlakukan oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagaimana Tun Mahathir (Mohamad) melakukannya ke atas beliau? "Apa skandal dan salah laku beliau yang memaksa TSKI dipecat dari PKR lalu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor ? "Apakah perkara ini mahu dilihat hanya perkara dalaman PKR dan rakyat tidak perlu bangkit membela TSKI (Tan Sri Khalid Ibrahim)?" tulis Nasrudin dalam laman Facebooknya. Mengimbau gerakan membela Anwar sewaktu krisis pemecatan dengan penubuhan GERAK yang diketuai Presiden PAS ketika itu Fadhil Nor, Nasrudin berkata sokongan yang sama perlu ditunjukkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. "Rakyat bangkit dan membela DSAI. Mereka tidak anggap ini masalah dalaman Umno sebaliknya mereka anggap ini satu kezaliman dan fitnah. "DSAI mesti diberi pembelaan. Termasuklah yang membela DSAI ialah PAS. "Saya kira andai TSKI disingkir oleh DSAI dari kerusi menteri besar sekarang dengan pelbagai tuduhan, sewajarnya PAS yang dipimpin oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bangkit membela TSKI yang dizalimi dan diaibkan melalui GERAK 2!" kata Nasrudin. |
Sidang media sokong Azizah sebagai MB Selangor kecoh [TONTON VIDEO] Posted: 06 Aug 2014 08:27 AM PDT Oleh Wan Anis Ilyani W. M. AzharPETALING JAYA: Sidang media Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bagi menyatakan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu kecoh seketika apabila seorang petugas PKR mengedarkan kenyataan media yang bercanggah. Kenyataan media yang dikatakan daripada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor bertajuk "MPN Selangor Cadang Dua Nama untuk Selesai Kemelut MB" yang mahu PKR menimbang nama timbalan presidennya, Azmin Ali untuk jawatan itu, selain Azizah. Kenyataan bercanggah itu menyebabkan Zuraida panik seketika sebelum meminta pemberita menggunapakai kenyataannya dan mengabaikan kenyataan media kononnya daripada MPN Selangor itu. "Siapa yang beri kenyataan itu? Siapa yang edar tolong ke depan. Gunakan kenyataan sidang media saya sahaja, yang baru diedar itu abaikan," katanya kepada pemberita. Kenyataan MPN Selangor itu berkata Azmin layak untuk jawatan berkenaan kerana berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat, telah lama berkhidmat bersama Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim serta terlibat dalam kepimpinan parti. "Kita memerlukan seorang pemimpin yang lebih tangkas, berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan, berhemah dalam pengurusan ekonomi dan mempunyai daya tahan dan juang untuk berdepan asakan Umno-BN. "Azmin diyakini mampu mencorakkan halatuju Pakatan Rakyat dan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh pentadbiran PR yang berteraskan tata kelola yang baik dan peduli rakyat," ujar kenyataan itu. Zuraidah yang ditemui di luar bilik sidang media tidak menolak kebarangkalian kenyataan media kedua sengaja diedar untuk mensabotaj PKR sekali gus mewujudkan rasa tidak puas hati dalam parti. "Saya nafikan kenyataan itu, dan mungkin juga wujud sabotaj," ujar Ahli Parlimen Ampang itu. Di dalam situasi kelam kabut itu, seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Ketua Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mah Shari mendakwa petugas media yang mengedarkan kenyataan kedua itu. Namun setelah ditempelak oleh wartawan, beliau bertindak menarik balik tuduhan tersebut. "Anda yang terima, siapa yang edar? Mungkin juga wartawan edar sebab kita duduk depan. Kita tak salahkan wartawan, bukan tuduh sebab yang duduk di belakang adalah wartawan. "Wartawan ambil kenyataan dari sumber rasmi saja, yang tak rasmi tak perlu buatlah," katanya Yahya. |
Sudahkah PKR mendapat persetujuan Sultan untuk lantik MB baru? - Gerakan Posted: 06 Aug 2014 08:25 AM PDT ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengingatkan PKR bahawa usaha mereka untuk menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Dr Wan Azizah adalah menyalahi perlembagaan kerana tidak mendapatkan persetujuan Sultan Selangor. "Jika perkara ini PKR masih belum lakukan, maka adalah terlalu awal untuk PKR menuntut Khalid meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Jika tidak, kerajaan negeri akan melalui satu tempoh tanpa menteri besar," kata Tan dalam satu kenyataan kepada FMT. Beliau berkata demikian merujuk kepada surat tunjuk sebab PKR kepada Khalid mengancam beliau dengan tindakan disiplin jika terus berkeras tidak meletak jawatan sebagai MB Selangor. Tan berkata, "Pemuda Gerakan mengambil berat bahawa pertelingkahan dalaman semasa dalam PKR akan mempunyai implikasi yang serius dalam pentadbiran negeri Selangor. Jika perkara ini dibiarkan berpanjangan, ia akan menjejaskan keyakinan pelabur semasa dan masa depan negeri ini. " Sambil mendesak PKR untuk mematuhi dan menghormati peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor, Tan berkata, "Di bawah Perkara 53 perlembagaan negeri Selangor, pelantikan Menteri Besar Selangor adalah hak Sultan. "PKR harus mengelak daripada mewujudkan krisis perlembagaan negeri, sebagai tambahan kepada masalah dalaman semasa mereka," Tan mengingatkan. Dalam surat tunjuk sebab itu, PKR menyatakan bahawa keputusan untuk menggantikan MB sekarang dibuat pada mesyuarat diadakan pada 21 Julai dan tindakan disiplin akan diambil terhadap Khalid jika beliau gagal untuk meletakkan jawatan. |
150 mayat, 300 anggota badan telah dibedahsiasat Posted: 06 Aug 2014 08:19 AM PDT MALAYSIAKINI Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) telah menjalankan bedah siasat terhadap 150 mayat sempurna dan 300 pelbagai anggota badan tidak sempurna mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 sehingga semalam. "Daripada 226 keranda yang selesai dibuka ada 600 bahagian... pemeriksaan telah dibuat ke atas 450 bahagian iaitu 150 ialah mayat sempurna manakala 300 pula anggota pelbagai badan tidak sempurna," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. Menurutnya, satu keranda yang baru tiba di Kem Tentera Hilversum, Amsterdam pada 4 Ogos, sedang dalam proses pemeriksaan bedah siasat. "Jangkaannya dalam seminggu dua ini semua pemerikaaan (bedah siasat) siap dijalankan, selepas itu proses mengenal pasti (pemadanan) akan dijalankan daripada keputusan DNA yang kita hantar daripada ahli keluarga terdekat," katanya. Bercakap dalam sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca kementerian di sini hari ini, beliau berkata proses mengenal pasti mangsa mayat pula dijangka siap selewat-lewatnya dalam tiga minggu lagi. Dr Subramaniam berkata selepas segala proses rumit itu selesai, kerajaan akan membuat keputusan berhubung proses membawa balik mangsa mayat itu ke negara ini dengan mengambil kira pandangan waris mangsa. "Sebab ada pelbagai pandangan, ada yang tidak mahu ianya dibawa balik, ada yang nak dibakar di situ dan ada juga yang mahu membawa balik secepat mungkin. Tiap-tiap pandangan akan diambil kira oleh kerajaan," katanya. Beliau berkata buat masa ini pasukan DVI Malaysia dan DVI antarabangsa berada dalam fasa pemadanan data pemeriksaan antemortem dan post mortem bagi tujuan pengesahan secara positif identiti mangsa. Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas. Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. Sementara itu, komuniti Islam tempatan di Belanda bersedia memberikan bantuan kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengurusan pengendalian jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas MH17. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata persediaan untuk menguruskan jenazah oleh enam imam daripada Jakim juga berjalan lancar dengan bantuan serta hubungan baik dengan komuniti tempatan itu. "Persiapan pengurusan jenazah di sana (Belanda) serta di sini berjalan lancar. Setibanya di sini (Malaysia) pengurusan jenazah akan dilakukan oleh saya serta Jakim bagi jenazah Islam manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan Islam," katanya kepada pemberita hari ini.- Bernama |
Apa fatwa bagi hubungan dagang M'sia-Israel? Posted: 06 Aug 2014 08:17 AM PDT MALAYSIAKINI ULASAN Palestin mula menjadi perhatian antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin. Penubuhan jawatankuasa ini berakhir dengan pembahagian wilayah Palestin kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, sementara Baitulmaqdis diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB tidak boleh diharap dalam menyelesaikan isu Palestin. Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir bahkan semakin teruk walaupun beberapa perjanjian damai, persidangan, perundingan semuanya menemui kegagalan. Dan rakyat Palestin memilih jalan lain, iaitu dengan penentangan dan perjuangan jihad bagi membebaskan tanah air mereka yang dijajah secara rakus oleh Yahudi Zionis. Umat islam dunia harus sedar bahawa setiap inci tanah Palestin adalah milik mereka setelah ia diwakafkan oleh Saidina Umar Al-Khattab sejak dahulu lagi dan tiada hak bagi Yahudi mendiami Palestin walaupun sejengkal. Fatwa 63 ulama Ulama Islam telah mengeluarkan fatwa yang jelas bahawa keseluruhan tanah air Palestin hanyalah untuk umat Islam sebagaimana termaktub dalam fatwa ulama-ulama antaranya fatwa Kesatuan Ulama Dunia yang diadakan di India pada tahun 1935, fatwa ulama Iraq pada tahun 1937 dan fatwa ulama Al-Azhar pada tahun 1947. Kebanyakan fatwa yang masih dipegang oleh seluruh ulama dunia sehingga ke hari ini ialah fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1988 dan ditandatangani oleh 63 orang ulama seluruh dunia. Ia antaranya dipersetujui oleh Dr Najmudin Arbakan, Syeikh Mustafa Mashur, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Qadhi Husain Ahmad, Rashid Ghanushi, Dr Fathi Yakan, Syeikh Mohammad Al-Ghazali dan Dr Wahbah Al-Zuhaili. Fatwa itu menegaskan: "Jihad (dengan senjata) adalah cara kita (umat Islam) berdepan dengan Yahudi untuk membebaskan Palestin. Haram sama sekali memberi hak walau satu inci sahaja daripada tanah Palestin kepada Yahudi. "Begitu juga haram bagi orang perseorangan atau mana-mana institusi atau kerajaan yang membenarkan Yahudi menjajah bumi Palestin." Fatwa ini perlu disambut oleh seluruh institusi fatwa dunia termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia selain umat Islam wajib membuat pemulauan segala barangan Yahudi zionis. Kaedah pemulauan adalah cara berkesan yang dilakukan Rasulullah SAW ketika baginda mentadbir Madinah. Rasulullah boikot pasar Yahudi Baginda SAW mengarahkan umat Islam agar membina pasar sendiri dan bekerja dengan gigih serta meninggalkan pasar Qainuqa' yang dimonopoli oleh kaum Yahudi pada masa itu. Tekanan yang sama perlu dimainkan oleh seluruh umat Islam dunia bahkan menjadi kewajipan para ulama, mufti mengeluarkan kenyataan rasmi memulau barangan mereka dengan disenaraikan secara rasmi barangan tersebut setelah disahkan oleh pihak berkaitan. Kerajaan Malaysia juga perlu memutuskan dengan kadar segera hubungan dagang dengan Yahudi Israel walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Hentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit kepada mereka kalau benar kerajaan Malaysia ikhlas ingin membantu Gaza. Kami menuntut kerajaan Malaysia jangan hanya pandai menyalurkan sumbangan kepada rakyat Gaza dalam masa yang sama terus melantik perunding yang didalangi Israel sebagai penasihat kerajaan. Kenyataan menteri perdagangan antarabangsa dan industri beberapa hari lepas yang menyatakan kerajaan perlu mengkaji untuk memutuskan hubungan dagang adalah tidak tepat dalam situasi dunia menyaksikan kekejaman Yahudi Zionis ke atas umat Islam Gaza. Kalau Britain RedRat boleh umumkan secara rasmi penamatan kontrak mereka dengan Israel kenapa tidak kita Malaysia! MOHD ASRI MAT DAUD adalah naib ketua Pemuda PAS Kelantan. |
PKR tidak dayus menghadapi krisis cetusan Khalid Ibrahim Posted: 06 Aug 2014 08:15 AM PDT Oleh Abdul Rahman Malik[ULASAN] Yang pasti PKR tidak mungkin rela digelar parti dayus. Jika lekat persepsi itu pada perjuangannya, ia akan menjadi petanda buruk bagi parti politik berusia lima belas tahun itu. Justeru dalam mengharungi ujian politik paling getir berhubung isu mahu menukar Menteri Besar Selangor, sudah tentu ia akan menggembleng segala kebijaksanaan dan kudrat untuk menyelesaikannya dengan tenteram. Kekecohan pemilihan pimpinan 2014 yang dipalit dengan dakwaan campurtangan samseng, tuduhan salahguna kuasa dan ketidakadilan sudah cukup mencalar wibawa dan kemampuan pimpinan parti. Lantas jika ditakdirkan kempen Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meraih sokongan daripada PAS untuk mengekalkan kerusi Menteri Besar Selangor berjaya, sudah tentu citra politik PKR dilihat semakin hodoh. Ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan-pilihan raya akan datang kerana ia mungkin dianggap sebagai parti yang tidak wajar diberi kepercayaan memimpin; baik di peringkat negeri apatah lagi persekutuan. PKR mula 'tembak' Khalid kiri dan kanan Justeru PKR perlu mengambil langkah tegas dalam menangani ini. Malam Isnin lalu Majlis Pimpinannya bersidang dan memutuskan untuk keluarkan surat tunjuk sebab kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengapa beliau enggan letak jawatan. Tempoh yang diberikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong kepada Khalid ialah pada 4.30 petang 8 Ogos (Jumaat) ini. Jika tidak, Khalid mungkin dipecat daripada PKR! Berikutan itu PKR mengambil tindakan lebih terbuka dan berani. Pada Isnin lalu, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ketika mengumumkan tarikh Kongres PKR ke 10, mengambil kesempatan menyelitkan enam dalil "dosa politik" Khalid. Dosa-dosa kepada parti, rakyat dan kerajaan negeri itu disusun untuk menjadi bahan rujukan bagi PAS khususnya, dan DAP mengapa PKR mahu menggantikan Khalid dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Berikutan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli "menghuraikan" lebih panjang lebar dosa Khalid itu di Kelang dan Pengerusi Pemilihan PKR 2014, Datuk Johari Abdul pula "membentangkan" dalil mengapa Khalid perlu dipecat di Permatang Pauh. Kempen ini dijangka menular sehingga isu ini selesai. Khalid kini akan jadi "pariah" dalam politik PKR. Banyak pihak, termasuk dalam PKR sendiri, yang agak kaget dan kurang senang dengan serangan-serangan terbuka terhadap Khalid kerana menganggapnya kurang beradab. "Tetapi apa pilihan yang PKR ada. Khalid secara terbuka mendabik dada enggan letak jawatan. Walhal keputusan berhubung perkara itu dibuat oleh pimpinan parti sejak 15 Januari lalu. "Jika Khalid sendiri benar-benar beradab, beliau seharusnya akur. Ini keputusan parti. Maka tak perlu penjelasan terbuka begini dibuat," kata seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan. Kedegilan Khalid memaksa PKR guna cara jijik jatuhkannya Khalid nampaknya yang memaksa pimpinan PKR mengambil tindakan "kurang sopan" itu apabila mengacah dan mencabar pimpinan PKR bertindak ke atasnya apabila berdegil mahu terus menjadi Menteri Besar hingga pilihanraya umum ke-14 pada 2018! Satu lagi faktor yang memaksa PKR "menelanjangkan dosa" Khalid ialah tindakannya melobi sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS supaya menyokongnya kekal sebagai Menteri Besar. Kisah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertandang ke kediaman Khalid selepas tarawih Ramadan lalu dan kemudian mengeluarkan kenyataan peribadi mahu Khalid kekal sebagai menteri besar kerana "tiada dosa politik dan tidak khianat pada amanah" yang diberikan kepadanya menjadi pendorong kepada tindak tanduk kasar PKR ini. Apabila beberapa pemimpin PAS lain seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengekori pandangan Hadi, PKR tersudut dan wajib membentangkan hujah mengapa Khalid perlu diganti secara bertulis. Soal sama ada tindakan PKR itu beradab atau tidak bukan persoalan apabila Khalid sendiri secara terbuka menunjukkan penentangannya terhadap wibawa pimpinan parti secara terbuka terlebih dahulu. PKR anggap Khalid permainkan maruah parti Soal sama ada Khalid mungkin menyaman Saifuddin atau PKR sendiri juga bukan isunya. Bagi PKR ini soal maruah dan soal wibawa barisan pimpinannya. Jika ia tidak bersikap tegas dengan gelagat Khalid ini boleh menconteng arah pada wibawanya. Maka PKR wajar terus menekan Khalid supaya sebelum Jumaat ini beliau perlu berundur sebagai menteri besar. Bagaimanapun jika beliau berdegil, lebih banyak "kotoran politiknya" akan tersebar. Sudah tentu PKR tidak mahu mengalah dan tidak boleh kalah dalam perang persepsi ini. Ia adalah soal hidup matinya wibawa parti. PKR sudah menunjukkan selera menyahut cabaran Khalid. Maka demi kesinambungan kerjaya politiknya, Khalid perlu memilih hari dan ketika lain untuk mencabar, mengaib dan menjatuhkan PKR pula. Kini dokumen PKR berhubung dosa politik Khalid sudah di tangan PAS. Ia menceritakan bahawa Khalid juga ada "kecurangan" politik. Ahad ini ia akan memutuskan untuk mempercayai atau tidak hujah PKR itu. Namun yang lebih penting sebelum membuat sebarang ketetapan Ahad ini PAS perlu jelas mengapa ia mahu pertahankan Khalid? Atau, adakah PAS ia sebenarnya tidak senang siapa calon yang akan menggantikan Khalid? Atau, PAS sendiri mahu calonnya yang mengisi kerusi yang patut dikosongkan Khalid. PAS kena sambar peluang untuk menyatakan pendiriannya dengan "sopan dan berani". PAS perlu setegas PKR dan jujur dalam isu ini. PKR enggan dianggap dayus. Sanggupkah PAS pula menghadapi tuduhan bahawa ia juga turut "berdosa" mencambahkan lagi krisis Menteri Besar Selangor ini? |
PKR kecam perang saraf guna surat palsu Posted: 06 Aug 2014 08:11 AM PDT MALAYSIAKINI Perang saraf antara pihak bertelagah dalam PKR ekoran isu sekitar jawatan menteri besar Selangor semakin rancak dengan penyebaran sepucuk surat yang didakwa dari PKR kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Surat itu, yang disahkan palsu oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil (bawah), mendakwa PKR menawarkan Khalid bayaran sebanyak RM30,000 sebulan sekiranya beliau melepaskan jawatan menteri besar Selangor. Surat dengan tajuk "Penyelesaian bersama Langkah Kajang" itu menawarkan imbuhan itu buat Khalid yang akan dilantik sebagai penasihat ekonomi Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatannya sekarang. Surat yang dipalsukan dengan tandatangan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution itu turut menawarkan Khalid jawatan pengerusi jawatankuasa penstrukturan air Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatan MB. "Saya menghubungi Datuk Saifuddin (setiausaha agung PKR) dan mendapat pengesahan bahawa beliau tidak mengeluarkan surat tersebut. "Malah nombor rujukan yang digunakan juga adalah nombor rujukan palsu; "JKD" merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin, dan Datuk Saifuddin tidak menandatangani surat jawatankuasa tersebut," kata Fahmi Fadzil dalam kenyataannya. |
Pegawai MB S'gor bersemuka dengan Rafizi Posted: 06 Aug 2014 08:09 AM PDT MALAYSIAKINI Seorang pegawai pejabat menteri besar Shazni Munir Mohd Ithnin tampil bersemuka dengan Rafizi Ramli di sebuah forum di ibunegara malam tadi di mana pengarah strategi PKR itu menjelas sebab mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu ditolak. Di hadapan kira-kira 300 hadirin yang rata-rata menentang Khalid, Shazni bertanya kepada Rafizi bagaimana keputusan menukar Khalid diputuskan pada Januari sedangkan penyelesaian luar mahkamah kes hutangnya dengan bank Islam hanya berlaku pada Februari. Beliau merasakan ianya pelik untuk PKR menjadikan kes penyelesaian hutang itu sebagai sebab utama untuk menolak Khalid kerana tiada bukti jelas dan konkrit kerana menurutnya ia hanya bersandarkan kepada persepsi semata-mata. "Tolong beritahu adakah ia hanya andaian," tanya Shazni dengan hadirin bersorak menyokong Rafizi. Rafizi kemudianya mengakui kaitan antara Khalid dan seorang peguam yang rapat dengan Umno hanya disahkan minggu lalu menerusi kenyataan seorang setiausaha politik menteri besar itu sendiri. "Kerana buat keputusan Langkah Kajang itulah berlaku rentetan tindakan yang dibuat itu timbulkan keraguan integriti beliau (Khalid). "Kepada Shazni, penyelesaian hutangnya berlaku dua minggu selepas itu, mana satu andaian jahat? "Mana satu yang lebih masuk akal? Kerana hal itu beliau percepatkan perjanjian dan penyelesaian luar mahkamah," kata Rafizi. Rafizi turut ditujukan soalan oleh beberapa hadirin lain mengapa Khalid masih diberi peluang bertanding sekiranya Pakatan sebelum ini telah mengesyaki beliau. Rafizi menyatakan sekiranya perkara tersebut diumumkan lebih awal, Khalid akan menggunakan peluang ini untuk menyerang Pakatan Rakyat. "Kalau tukar Khalid awal-awal sebelum pilihan raya, saya tak yakin Khalid tidak akan masuk TV menentang kita," kata beliau. Dokumen 91 halaman Dalam dokumen penjelasan 91 halaman kepada PAS dengan salinan kepada DAP, PKR antaranya memaklumkan terdapat "keraguan munasabah" dalam isu penyelesaian hutang RM59.5 juta. Dokumen itu membangkitkan bagaimana rundingan penyelesaian tuntutan hutang luar mahkamah dipercepat selepas PKR mengumumkan Langkah Kajang pada 28 Januari lalu. Dalam bentuk kronologi, dokumen itu juga memperincikan kes itu bermula keputusan mahkamah dan persoalan integritinya selepas pelupusan hutangnya secara mengejut. Sementara itu Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengkritik Khalid kerana tidak efisien. Beliau berkata banyak projek terbengkalai seperti projek pembersihan Sungai Klang bernilai RM10 juta yang diumumkan pada 2009 dan projek ternakan babi berpusat yang diumumkan pada 2008 yang masih tidak disambung sehingga sekarang. Beliau berkata sampai masanya orang lain diberi peluang untuk memulihkan imej Pakatan di Selangor. "Ya, ini penggal terakhir Khalid, saya tak mahu ia jadi penggal terakhir Pakatan," kata beliau. Menariknya beliau langsung tidak menyentuh isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dimainkan DAP sebelum ini. Aktivis politik Hishamuddin Rais pula yakin Khalid telah dikawal oleh Umno berdasarkan perkembangan sejak selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lalu. Beliau berkata sesiapa yang disokong oleh media milik Umno, tidak boleh dipercayai Pakatan. |
Rayuan tuduhan rasuah Khir didengar 28 Ogos Posted: 06 Aug 2014 08:05 AM PDT MALAYSIAKINI Rayuan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan rasuah akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Ogos. Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply memaklumkan kepada media hari ini mengenai tarikh berkenaan. Pada 15 April tahun ini, mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan itu ke suatu tarikh yang belum ditetapkan memandangkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Khir menghadiri satu persidangan di Jepun. Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 23 Disember 2011, mendapati Dr Khir, 49, bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isterinya suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam empat tahun lalu dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 bulan ke atasnya. Mahkamah juga memerintahkan Dr Khir melucut hak harta tersebut dan menyerahkannya kepada kerajaan. Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Bekas anggota dewan undangan negeri Sungai Panjang itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 47, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni. Kesalahan itu dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.-Bernama |
Nik Aziz tak berganjak, mahu Khalid kekal MB Posted: 06 Aug 2014 07:50 AM PDT MALAYSIAKINI Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini sekali lagi mempertahankan kenyataannya agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor. Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan berkata tidak ada sebab baginya untuk mengubah pendirian berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor itu. "Saya cakap sekali sahaja, bukan dua kali. Anda boleh 'check' (periksa) kenyataan saya dahulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Bharu. Beliau yang kelihatan sedikit uzur menasihatkan pihak lain yang menuduh Abdul Khalid terbabit dengan salah laku semasa memegang jawatan itu agar tidak berterusan memburukkan Menteri Besar itu. "Sebarang tuduhan sesama sendiri boleh membawa kesan yang tidak baik. Tidak elok untuk membuka keaiban orang lain," katanya. Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Datuk Saifuddin Nasution baru-baru ini mendakwa Abdul Khalid perlu ditukar kerana terdapat masalah keraguan integriti susulan isu penyelesaian hutang Abdul Khalid dengan sebuah bank. Nik Abdul Aziz dalam kenyatannya sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mahu menggugurkan Abdul Khalid daripada kedudukannya sebagai Menteri Besar. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mempertahankan Abdul Khalid untuk mengekal jawatan berkenaan kerana menurutnya Abdul Khalid tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat. Turut bersama menyokong adalah Dewan Ulama PAS Pusat yang menegaskan Abdul Khalid patut dibenarkan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor sehingga ke akhir penggal kerana tiada sebarang alasan syarie yang kukuh dikemukakan setakat ini untuk mewajarkan penukarannya. Kemelut itu semakin memuncak apabila Abdul Khalid dilaporkan diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menjawab surat tunjuk sebab kenapa beliau ingkar untuk berundur dari jawatan itu.-Bernama |
'Pakatan tak bantai LGE isu terowong RM4.63b' Posted: 06 Aug 2014 01:36 AM PDT MALAYSIAKINI MP PAS, Nasruddin Hassan berkata beliau hairan kerana Tan Sri Khalid Ibrahim "dibantai teruk" berhubung projek lebuh raya Kidex, tidak seperti reaksi ke atas projek terowong bawah laut di Pulau Pinang. Sedangkan, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion di negeri dipimpin DAP itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus. "Di manakah suara pimpinan Pakatan dalam menegur sikap Lim ini? Bukankah kita menentang rundingan terus satu ketika dahulu "Saya pelik kenapa Khalid dibantai teruk kerana projek yang bukan bawah bidang kuasanya. "Namun dalam masa yang sama, tidak berlaku kepada Kerajaan Pulau Pinang bawah pimpinan Lim," katanya. Projek terowong 6.5km itu berbeza dengan Kidex, yang merupakan projek kerajaan Persekutuan, katanya. Malah Selangor juga tidak berhak untuk menolak permohonan pengambilan tanah demi kepentingan awam, kata MP Temerloh itu. "Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak terikat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terikat dengan mana-mana pihak. Namun kenapa (dibuat melalui) rundingan terus?," katanya. Beliau turut menggariskan bahawa projek terowong itu menerima bantahan memandangkan jambatan kedua Pulau Pinang itu sudahpun memadai untuk menampung beban lalu lintas. Projek itu juga dijangka akan menyebabkan kesesakan lebih teruk dengan kemasukan lebih banyak kenderaan ke pulau tersebut, katanya. Sedangkan, kesesakan teruk di Pulau Pinang akan dapat diatasi jika satu sistem keretapi transit dibina dengan kos hanya RM 120 juta sekilometer, katanya. "Namun tindakan Lim ini tidak langsung di kecam oleh pimpinan Pakatan sepertimana Khalid dikecam dan didesak meletakkan jawatan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook. Beliau seterusnya membangkitkan kemampuan Pulau Pinang membiaya projek berkenaan memandangkan kerajaan negeri itu – yang mencatat bajet defisit untuk tahun keenam. "Apakah agaknya yang difikirkan Lim sehingga berani berbelanja besar dengan kewangan yang kritikal itu pada perkara yang tidak perlu? "Dimanakah suara pimpinan PR dalam menegur sikap Lim ini?," katanya. |
SPRM diminta siasat dakwaan salahlaku terhadap MB S'gor Posted: 06 Aug 2014 01:26 AM PDT MALAYSIAKINI Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh kumpulan penyokong Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menyiasat dakwaan mengenai salah laku integriti beliau seperti yang didakwa partinya PKR. Permintaan terkandung dalam laporan yang dibuat oleh ketua setiausaha sulit beliau, Mohamad Yazid Bidin di pejabat SPRM Shah Alam petang ini. Mohamad Yazid turut menyerahkan kepada SPRM dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Katanya, mereka meminta SPRM membuat siasatan tersebut bagi memastikan sama ada dakwaan terhadap Khalid itu betul atau sebaliknya. Difahamkan, ia bertujuan untuk membersihkan nama Khalid daripada dakwaan salahlaku tersebut. Turut kelihatan ialah kedua-dua setiausaha politiknya Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin, bekas senator Syed Shahrir Syed Mohamud, calon ketua pemuda AMK Khairul Anwar Zainuddin serta beberapa lagi kakitangan dan beberapa ahli PKR. |
Polis kenal pasti 15 peserta sukan bogel Posted: 06 Aug 2014 01:23 AM PDT MALAYSIAKINI Tujuh rakyat Malaysia adalah antara 15 individu yang dirakam terlibat dalam sukan bogel di Hutan Simpan Taman Negara di Teluk Bahang, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi hari ini. Rahim berkata, polis telah merakam kira-kira 10 kenyataan daripada individu berkenaan untuk membantu siasatan perkara itu, yang rakamannya telah dimuat naik di YouTube. Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, 15 orang itu termasuk tujuh rakyat Malaysia, empat warga Singapura, dua warga Myanmar, seorang warga India dan Filipina. Menurutnya, pihak polis bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang dalam siasatan tersebut. Bagaimanapun, Rahim enggan mendedahkan butiran mengenai penganjur acara itu yang dikenali sebagai Penang Nude Sports Games 2014. Bagaimanapun, beliau berikrar akan menahan mereka yang bertanggungjawab di sebalik penganjuran acara itu. |
Analisis ringkas perang di Gaza (Ramadhan-Syawal 1435H) Posted: 06 Aug 2014 01:13 AM PDT PERANG di Gaza bukanlah satu fenomena baru. Sejak Hamas berjaya menguasai sepenuhnya wilayah seluas 360 km persegi itu pada tahun 2007, Gaza telah menjadi sasaran utama Zionis Israel dalam usaha mengekang kebangkitan intifada Palestin. Israel menyerang Gaza untuk mengingatkan rakyat Palestin bahawa kebangkitan mereka akan hanya berakhir dengan kematian anak-anak dan isteri mereka. Israel akan memastikan kebangkitan mereka terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. Perang baru yang tercetus di Gaza pada 10 Ramadhan lalu (8 Julai 2014) – Perang Asfim Ma'akul (nama yang diberikan pejuang Hamas) atau Operation Protective Edge (nama yang diberikan rejim Zionis Israel), merupakan yang ketiga seumpamanya dalam tempoh 6 tahun. Perang pertama - Perang Furqan atau Operation Cast Lead, berlaku pada Disember 2008 dan berlarutan hingga Januari 2009. Perang kedua - Perang Hijaratus Sijjil atau Operation Pillar of Clouds, berlaku pada November 2012. Dalam ketiga-tiga perang ini, Zionis Israel telah membuat provokasi dan mencipta alasan untuk menghalalkan serangannya ke atas Gaza. Provokasi dan Justifikasi Israel Melancarkan Perang Baru Media antarabangsa rata-rata mengaitkan insiden kehilangan 3 remaja Yahudi di Hebron, Tebing Barat pada 12 Jun lalu sebagai punca kepada serangan terbaru Israel ke atas Gaza. Israel pantas menuduh Hamas sebagai dalang di sebalik insiden ini sungguhpun tanpa bukti kukuh lantas melancarkan Operation Brother's Keeper selama 18 hari (13-30 Jun 2014) yang menyaksikan lebih 13 orang rakyat Palestin terkorban, 1,000 cedera dan lebih 600 orang ditahan (60% adalah ahli dan pemimpin Hamas). Hebron dikenakan perintah berkurung sementara 2,100 rumah dan premis digeledah. Kerugian dianggarkan mencecah hampir 3 juta dolar Amerika. Operasi Brother's Keeper mendedahkan muslihat sebenar Israel memulakan perang pada hari ini iaitu untuk memberikan tekanan kepada Hamas dan menggagalkan perdamaian Hamas-Fatah. Kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian as-Shati' pada 23 April lalu bagi menamatkan perseteruan mereka dan berusaha ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan Palestin. Perdamaian ini menyebabkan Israel hilang rakan damainya (Fatah) dan meningkatkan kemungkinan pengukuhan kedudukan Hamas. Tembelang Israel akhirnya terbongkar apabila siasatan mengesahkan bahawa 3 remaja Yahudi yang hilang dan kemudian dijumpai mati itu bukan angkara Hamas. Namun, Israel mendapat momentum baru apabila price-tag attack kumpulan ekstremis Yahudi yang ingin membalas dendam kematian 3 remaja Yahudi yang hilang sebelum ini berakhir dengan kematian tragis remaja Palestin, Muhammad Abu Khdeir, 16 tahun yang diculik dan dibakar hidup-hidup. Insiden ini telah menaikkan kemarahan penduduk Palestin yang bertindak balas melancarkan rusuhan di seluruh Tebing Barat dan serangan roket dari Gaza. Respons ini telah dijadikan justifikasi oleh Israel untuk melancarkan perang baru ke atas Gaza seperti yang kita lihat pada hari ini. Israel Sasar Keluarga dan Kanak-kanak untuk Lemahkan Sokongan Rakyat ke atas Hamas Sejak hari pertama Perang Asfim Ma'akul, tentera Zionis Israel dilihat sengaja mensasarkan serangan ke kawasan penempatan awam yang menyaksikan banyak keluarga dan golongan kanak-kanak terkorban. Setakat hari ke-20 (27 Julai 2014), Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa Israel telah mensasarkan serangan ke atas 52 keluarga Palestin yang mengakibatkan 285 korban. Antara keluarga yang menjadi sasaran Zionis Israel ialah keluarga al-Astal (15 orang, Khan Younis), al-Batsh (17 orang, Bandar Gaza), Abu Jame (26 orang, Khan Younis), Siyam (11 orang, Rafah) dan al-Hilw (11 orang, al-Shujaiyyah). Statistik setakat hari ke-28 (4 Ogos 2014 bersamaan 3 Syawal 1435H) menunjukkan 426 daripada 1,865 (22.8%) jumlah korban dan 2,877 daripada 9,563 (30%) jumlah mereka yang cedera adalah dari kalangan kanak-kanak. Malah hampir 70% yang tercedera dijangka akan menderita kecacatan kekal kesan penggunaan senjata haram oleh Israel. Jika statistik ini tidak cukup menjadi bukti Israel sengaja mensasarkan kanak-kanak, insiden pengeboman 4 orang kanak-kanak di pantai (16 Julai), 3 orang di atas bumbung rumah (18 Julai) dan 8 orang di taman permainan (28 Julai/1 Syawal) sudah cukup untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Statistik sehingga hari ini juga menunjukkan 475,000 orang warga Gaza kini terpaksa menjadi pelarian sama ada akibat rumah musnah atau bimbang menjadi sasaran serangan Israel. Serangan Israel setakat hari ke-28 telah memusnahkan 10,604 buah rumah, 24 buah hospital, 188 buah sekolah, 134 buah masjid, 22 pertubuhan kebajikan, 8 buah pusat sistem kumbahan dan 6 buah universiti. Kerugian setakat ini dianggarkan mencecah 5 bilion dolar Amerika (RM15.5 bilion). Wewenang Israel Dalam Tempoh Gencatan Senjata Data daripada UNOCHA, Jerusalem Fund dan AntiWar.com jelas membuktikan tindakan Israel yang sering mengapi-apikan suasana dan mengajak Hamas beradu kekuatan bagi menguatkan tuduhan dan label pengganas ke atas Hamas. Ancaman roket Hamas sengaja dibesar-besarkan sedangkan statistik jelas menunjukkan penurunan mendadak jumlah roket yang dilancarkan ke arah Israel sejak gencatan senjata pasca Perang Hijaratus Sijjil pada 2012. Kalau ada pun roket yang dilancarkan, ia hanyalah serangan balas fraksi-fraksi mujahidin selain Hamas berikutan provokasi Israel. Sebelum perang hari ini, Israel sudah lebih 200 kali mencabuli gencatan senjata yang ditandatangani pada November 2012. Dari November 2012 hingga Februari 2014, provokasi Israel telah menyebabkan 8 orang rakyat Palestin terkorban, 120 cedera, berpuluh-puluh rumah dirobohkan, tanah dirampas, ladang dimusnahkan dan sekatan ke atas keperluan harian (bahan api, air bersih, makanan, bahan binaan) diteruskan bertentangan dengan syarat-syarat gencatan senjata juga undang-undang antarabangsa. Dengan kata lain, Israel telah lama mencabuli gencatan senjata 2012 dan menggunakan hubungan istimewanya dengan Amerika Syarikat untuk memastikan tindakannya sentiasa dibela. Pencabulan-pencabulan ini tidak mendapat perhatian pihak media kerana naratif berbeza akan dikecam sebagai antisemitik dan pro-keganasan oleh kumpulan lobi Israel. Fokus hanya diberikan kepada tindakan (baca: serangan) Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan roket Hamas yang mengancam keamanan mereka. Dalam perang kali ini, Israel telah bertindak lebih kejam dengan mempermain-mainkan malah melakukan penipuan dalam waktu gencatan senjata kemanusiaan. Bermula dengan sandiwara mereka bersetuju secara unilateral dengan tawaran gencatan senjata dari pihak Mesir pada 14 Julai 2014, Israel meneruskan kelicikan mereka dengan menyerang Gaza di pinggir waktu (beberapa jam atau minit sebelum dan selepas) gencatan senjata kemanusiaan (humanitarian ceasefire) hingga menyebabkan beratus-ratus rakyat Palestin terkorban dalam waktu yang singkat. Terbaru, Israel memperdaya seluruh dunia untuk menghentikan serangan selama 72 jam bermula pada 1 Ogos (5 Syawal 1435H) tetapi mereka bertindak mencabuli gencatan senjata ini seawal jam pertama atas alasan tentera mereka, Hadar Goldin diculik oleh Hamas. Bukti kemudian mengesahkan Hadar terkorban dan bukannya diculik. Sumber: 1. It Turns Out Hamas May Not Have Kidnapped and Killed the 3 Israeli Teens After All: http://nym.ag/UsIhlZ 2. Israel's war on the Palestinian people in Gaza: http://bit.ly/1m0DfDx 3. Israel's Operation Protective Edge: Why now?: http://bit.ly/UY49Wt 4. Operation Protective Edge: Reading between the lines: http://bit.ly/1s8Acyi 5. Israel, not Hamas, is the serial truce-breaker: http://bit.ly/1kow48O 6. Euromid Observer for Human Rights: https://www.facebook.com/euromid 7. List of families targeted by Israeli shellings, airstrikes: http://bit.ly/1qdPv7u 8. Israel is using three internationally banned weapons in Gaza: http://bit.ly/1pVajPD 9. Gaza plastic surgeons overwhelmed by war injuries: http://bit.ly/1uhtPtL 10. Israel has caused '$5 billion' damage to Gaza homes, infrastructure: http://bit.ly/1zO8xH6 11. Ceasefire ends amid intense Rafah clashes: http://bit.ly/UF5H83 12. Israel says missing soldier killed in battle, body still missing: http://bit.ly/1o8f0Kz |
Bunuh remaja: 'Rambo Bentong' dihukum mati Posted: 06 Aug 2014 01:08 AM PDT TEMERLOH: 'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun, lima tahun lepas. Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati. Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. Dalam penghakimannya, Abdul Karim berkata tertuduh yang memberikan keterangan bersumpah dan merupakan satu-satunya saksi pembelaan dalam kes itu hanya memberikan keterangan bersifat penafian. "Tertuduh juga hanya memberikan keterangan ringkas sepanjang perbicaraan berlangsung di mana sesi soal balas hanya dijawab dengan jawapan 'tidak ingat' dan mengambil masa yang lama untuk memberi keterangan. "Daripada cerita pembelaan tertuduh, ia hanyalah keterangan bersifat penafian atau 'after thought', dia menafikan mengenali mangsa dan menafikan pernah pergi ke rumah mangsa, jadi penafian ini tidak menimbulkan keraguan kepada kes pihak pembelaan," katanya. Beliau berkata kesan darah yang ditemui pada pakaian mangsa adalah sepadan dengan darah milik tertuduh selain profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada kemaluan mangsa juga sepadan dengan profil DNA milik Rabidin. Rabidin yang berkerusi roda dan diwakili peguam Richard Bong Chong Fook hanya mendiamkan diri ketika jurubahasa Kadazan Dusun menterjemahkan keputusan itu kepadanya. Pada 5 Feb 2013, Rabidin dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan setelah mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan seks luar tabii yang dilakukan antara 2009 hingga 2011. Bagaimanapun, pada 29 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24 sebatan. Pada 21 Mac tahun lepas, dia turut dikenakan hukuman 18 tahun penjara setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada 2012. Hukuman dia bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah. Rabidin dikenali sebagai Rambo Bentong kerana dia tinggal di hutan bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut menyerang mangsa. - Bernama |
Isu MB: Wartawan Pelik Kenyataan Media Bercanggah Posted: 06 Aug 2014 01:01 AM PDT Syafiq Yaacob DAMANSARA - Kekecohan berlaku di lokasi sidang media PKR Selangor di Ibu Pejabat PKR di sini apabila dua kenyataan dengan isi yang bercanggah diedar kepada wartawan. Satu dari kenyataan media menyatakan PKR Selangor turut mencadangkan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali sebagai calon menteri besar sebagai penyelesaian kemelut antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Bagaimanapun kesemua anggota PKR Selangor diketuai oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang hadir pada sidang media menafikan mereka yang mengedarkan kenyataan media mencadang nama Azmin tersebut. Wartawan kemudiannya meminta wakil PKR mengulas mengenai insiden yang mengelirukan itu namun kesemuanya enggan berbuat demikian dan terus menamatkan sesi sidang media. Sementara itu, Zuraida yang ditemui pemberita selepas sidang media tersebut terus menafikan cadangan untuk turut mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar dibuat oleh ahli-ahli PKR Selangor. "Saya tidak tahu dari mana datangnya kenyataan terbabit disebabkan itu saya terus menafikan kenyataan itu datang dari saya sendiri. "Yang bersetuju dengan kami untuk menyatakan pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah selaku menteri besar yang baru seperti yang saya cakap sebentar tadi iaitu, Ketua-Ketua Cabang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen PKR di Selangor," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan