Ahad, 17 Ogos 2014

.

.


MB Selangor sama ada Azizah atau Azmin terserah kepada PKR

Posted: 16 Aug 2014 09:58 PM PDT

RUMUSAN TENGAHARI                                                                

Mohamad Sabu
Keputusan Pas menamakan Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti Abdul Khalid Ibrahim tanpa menggugurkan nama Dr Wan Azizan Ismail yang dipilih oleh parti berkenaan dikira satu keputusan penuh profesional dan tepat dengan kehendak orang ramai khasnya pendokong Pakatan Rakyat.

Menamakan Azmin Ali sebagai pengganti Khalid dan tanpa menggunakan nama Wan Azizah merupakan tiga subjek yang dicapai dalam mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pagi ini.

Dua lagi ketetapan atau sikap diambil Pas seperti mana diumumkan dalam kenyataan akbhar ditanda tangani Presiden Pas Abdul Hadi Awang, dan dibaca timbalannya Mohamad Sabu ialah Pas tetap akan komited untuk bersama Pakatan Rakyat meneruskan "tahalul syiasi" dengan PKR dan DAP.

Satu lagi subjek Pas bersetuju empat orang Exco daripada Pas terus berada dalam kerajaan Selangor untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas. Pas juga mengulangi mereka tidak akan tuntut kerusi MB.

Perjalanan mesyuarat hari ini dilaporkan lancar dan tidak ada pergeseran pandangan. Abdul Hadi bersama Majlis Syura Ulamak (MSU) sebelum ini menyatakan sokongan kepada Khalid akur dengan keputusan majoriti dan ia merupakan tindakan penuh berhikmah.

Mengenai siapa pengganti Khalid sama Dr Wan Azizah atau Mohamed Azmin Ali kini terpulang kepada PKR yang akan mengadakan mesyuarat petang ini. Sebaiknya PKR menerima dan menghormati cadangan daripada Pas bagi mengelakkan parti itu tidak bercanggah dengan Pas.

Kesediaan Abdul Hadi mengendurkan cadangannya mempertahankan Khalid memberi gambaran presiden Pas itu bersikap terbuka (tasamuh) dan sedia menerima pandangan umum. Tanggapan beliau menggunakan kuasa proregetifnya sebelum ini kurang tepat.

Perubahan sikap Abdul Hadi itu dilihat satu pengorbanan besar beliau dan kebijaksanaan dalam menjaga semangat setiakawan dalam Pakatan dan juga Pas sendiri. Selain itu Abdul Hadi juga tidak termakan dengan dendangan dan pywar yang dilakukan oleh golongan mukallaf politik dimana lebih bersikap

Apa yang dapat dikutip dari rumusan mesyuarat hari ini ialah, Dewan Syura Ulamak (MSU) yang sebelum ini excited dalam membuat keputusan awal berhubung kedudukan Khalid Ibrahim hendak menilai kembali sikap dan pendirian mereka yang kurang tepat dengan kedudukan badan itu merupakan badan tertinggi dalam Pas.

Kekecohan dan kekeliruan yang berlaku sebelum ini disebabkan badan berkenaan tergesa-gesa membuat keputusan mendahului eksekutif parti. Untuk masa depan MSU perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan mengambil sikap politik bagi menjamin ia sebuah badan yang dihormati.

Disebabkan kerana kurang hemat itu martabat MSU sedikit terjejas kerana pandangan dan sikapnya dalam hal Khalid ini dialpakan begitu sahaja. Cara MSU bertindak sebelum ini juga kurang "izzah" dimana ia memberi gambaran mereka yang menganggotai dewan itu tidak memahami kondisi mereka.

Yang penting apa yang dicapai oleh mesyuarat hari ini hendaklah diterima semua pihak terutamanya dalam Pas tanpa dakwa dan takwil. [wm.kl.12:56 pm 17/08/14]

Mesyuarat Pas selesai, persepakatan Pakatan Rakyat diteruskan

Posted: 16 Aug 2014 09:35 PM PDT

TERBARU                                                                                          

Mesyuarat Pas yang menjadi perhatian dunia hari ini telah pun selesai dan mencapai keputusan yang tidak mengejutkan. Waktu ini sidang media diberikan oleh Presiden Abdul Hadi Awang sedang berlangsung. Antara yang dicapai ialah bersetuju dengan pengguguran Khalid Ibrahim sebagai MB, tetapi penggantinya tetap bukan Dr Wan Azizah.

Pas juga terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Mesyuarat berlangsung selama 1 jam setengah dalam suasana harmoni dan mahabbah. Ulasan selanjut selepas ini. [wm.kl.12:34 pm 17/08/14]

Debaran nanti hasil mesyuarat Pas

Posted: 16 Aug 2014 06:32 PM PDT

KEMBANG PAGI                                                                               

Beberapa jam saja lagi kita semua akan dapat jawaban dan penentuan daripada Pas berhubung kemelut yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Selangor yang kini sudah merebak dan membusuk ke seluruh negara. Jam 10:00 pagi ini Pas akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju Pas dan juga mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlaku kini. Keptusannya mendebarkan.

Teta teki bermain di kepala orang ramai ialah apakah keputusan yang akan diambil dan dibuat oleh Pas kelak. Ia juga dilihat penting kerana mesyuarat pagi ini bakal menentukan masa depan Pakatan Rakyat. Rakyat di luar sana menanti dengan penuh debaran. Mereka yang mempercayai Pakatan Rakyat satu pakatan keramat yang boleh meruntuhkan Umno-Barisan Nasional (UBN), sangat berharap Pas tidak akan mengambil keputusan memeranjatkan.

Apa yang mereka harapkan Pas akan kekal bersama PKR dan DAP bagi memantapkan Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan UBN sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang. Pemerhati dan pendokong Pakatan Rakyat yakin dalam PRU ke-14 kelak UBN akan runtuh dan jatuh. Keyakinan ini berpandukan kepada pencapaian memberangsangkan dua pilihan raya lepas, dimana kedudukan atau "jiha" Pakatan semakin menyerlah.

Atas hakikat itulah juga rakyat menjadi sayang dan meletakkan harapan kepada Pakatan Rakyat untuk mengubah nasib dan negara. Kalau Pakatan Rakyat terpaksa direlaikan mereka sedih, kesal dan amat mengecewakan. Mereka merasakan sokongan yang diberikan sejak hampir 10 tahun lalu sia-sia sahaja. Kehancuran Pakatan Rakyat akan memberi kekuatan baru kepada UBN dan parti itu akan terus tenggala tanah "tigatujuhkosong" ini sesuka hati dengan rakusnya.

Hendaknya mesyuarat Pas pagi ini memberi keyakinan baru kepada semua pendokong dan rakyat. Keputusan bakal diambil juga akan meletak semula keyakinan rakyat kepada Pas sebagai parti agama dan Melayu sebagai mengganti Umno. Beberapa keputusan atau pendirian pemimpin Pas sebelum ini ada sedikit mengilan dan menyedihkan. Tetapi ia tidak bermakna akan membawa kemudaratan. Pas boleh menyelamatkan keadaan dengan memutuskan sesuatu yang adil dan saksama. Selamanya Pas bermusyawarah berlandaskan prinsip dan hukum agama.

Persoalan yang menjadi tanda tanya dan dinanti-nantikan hari ini apakah Pas akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat. Persoalan ini rasanya tidak perlu diragui sekiranya kenyataan dan jaminan diberikan pemimpin Pakatan Rakyat boleh dipercayai. Tidak ada mana-mana pemimpin Pas yang menyatakan mereka ingin meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dua Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub memberi jaminan agar jangan bimbang dengan kesetiaan dan kesungguhan Pas bersama Pakatan Rakyat. Manaka Husam Musa pula memberi peringatan yang Pakatan Rakyat perlu dipertahankan untuk tidak melihat Pas gagal selama 30 dekat lagi.

Cuma kalau ada pun yang mahu Pas meninggal Pakatan Rakyat dan bersedirian keluar dari pendokong atau ahli parti yang tidak mukallaf.

Pas tidak seharusnya menerima pandangan dan cadangan daripada mereka yang tidak mukallaf. Mereka yang mahukan agar Pas meninggalkan Pakatan dan bergabung dengan Umno, adalah mereka yang berkepentingan. Mereka yang seronok dan mengecapi nikmat dunia dengan kedudukan yang sedia ada dan mahu mengekalkan kedudukan itu. Mereka membuat perhitungan mudah sekiranya Pas bergabung kuasa dengan Umno, maka kedudukan dan jawatan yang mereka sandang kini akan kekal.

Misalnya kalau mereka kini ahli parlimen atau Adun atau pun memegang sesuatu jawatan di GLC dengan elaun puluhan ribu, mereka inilah yang mahukan bersama Umno atas keyakinan mereka dapat mengekalkan kedudukan mereka.

Jadi orang seperti ini adalah bukan pejuang sebenar tetapi mereka adalah oportunis dan pengkhianat. Mereka yang ikhlas berjuang tidak akan memikirkan soal kepetingan diri lebih awal dan akan meletakkan soal kepentingan pejuangan di hadapan. Mereka juga sedia untuk meninggalkan jawatan atau kehilangan gaji, elaun dan segala bayaran asalkan perjuangan mereka dapat ditegakkan.

Pas harus waspada dengan makhluk seperti ini yang berselindung dan mempertahankan kepentingan diri dengan ayat-ayat Tuhan dan hadith-hadith Nabi.

Besar kemungkinan masalah keluar daripada Pakatan Rakyat tidak akan dibincang pagi ini. Ia tidak perlu dibangkit dan berbangkit. Cadangan atau pandangan dari luar yang terbit dari hati mereka yang frustasi tidak wajar dilayan.  Topik ini hendaklah dijauhkan daripada terbetuk dalam kepala mana-mana 38 orang ahli jawatankuasa kerja Pas.

Selain itu tumpuan mesyuarat pagi ini ialah kepada soal masalah Abdul Khalid Ibrahim yang liat untuk meletak jawatan. Seperti mana dikatakan Pas terutamanya Presiden Abdul Hadi Awang tidak relevan lagi untuk terus mempertahankan Khalid Ibrahim kerana beliau sudah dipecat daripada PKR. Mempertahan Khalid sepertilah Pas ingin mencari balah. Khalid bagi Pas kini samalah dengan sebutir permata yang sudah tertanggal dari bingkai (palam). Mempertahankan Khalid bermakna Pas sengaja mahu sakitkan hati PKR.

Terbaik Pas kena kemukakan calon baru kepada PKR. Dan apabila Pas mengemukakan calon alternatif, jangan pula PKR menolaknya dan masih berkeras mahukan Dr Wan Azizah Wan Ismail. PKR perlu bersikap terbuka dan menghormati cadangan Pas. Kita yakin Pas juga ada alasan munasabah kenapa mereka berkeras tidak mahukan kepada Dr Wan Azizah.

Mengenai Wan Azizah sebagai calon ini MB, Setiausaha Agun Pas, Mustafa Ali menjelaskan yang Pas tolak Azizah bukan kerana beliau perempuan, tetapi sebab-sebab lain. Apakah sebab-sebab itu Pas tidak menjelaskannya. Tanpa menjelaskan menyebabkan timbul berbagai persoalan dan prejudis kepada Pas. Ada yang menganggap Pas berdegil dalam soal ini dan tidak menghormati kepada demokrasi. Dalam satu posting saya sudah menjelaskan walaupun Azizah mendapat sokongan majoriti, Khalid tidak akan mudah untuk turun?

Biarlah di sini saya berterus terang memberi tafsiran kenapa Pas tidak boleh menerima Wan Azizah. Bukan semata-mata kerana Wan Azizah seorang perempuan, tetapi kerana pihak Istana tidak sedia untuk menerima Dr Wan Azizah menjadi MB. Pihak istana sudah memberi isyarat awal mengenai hal ini apabila menolak untuk menerima Wan Azizah menghadap.

Mereka yang tahu bahasa istana dapat mengagak apa yang telah berlaku. Jadi atas hakikat itulah maka Pas tidak bersedia menerima Azizah sebagai MB kerana Presiden PKR itu ada masalah. Kalau Pakatan mengemukakan juga Wan Azizah sebagai calon MB mungkin ianya tidak diperkenankan sultan. Pas tidak ada keupayaan untuk menyelesaikan ini, lagi pun Pas lebih mengutamakakan kepada keselamatan Pakatan Rakyat.

Barang kali tidak perlu dijelaskan lebih lanjut apakah sebab musababnya. Sesiapa yang ingin tahun boleh telefon saya dan ajak minum tea tarik.

Dalam soal ini Pas agak berhemah. PKR atau mana-mana jua pihak tidak boleh meletakkan kesalahan kepada Pas tetapi pihak yang perlu dipersalahkan ialah istana. Apakah kita berani? Dan Pas boleh dipersalah atau diludah sekiranya parti itu mengambil pendirian untuk berpisah dengan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu Pas sudah pasti akan mengemukakan calon lain sebagai alternatif kepada Dr Wan Azizah. Untuk menyenangkan cerita dan menamat segala sengketa, PKR dan DAP perlulah menerima calon dikemukakan oleh Pas kelak. Jangan cuba mencari alasan untuk menolaknya. Perkara paling penting dan perlu diutamakan oleh PKR, DAP dan Pas ialah memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan selamat.

Dan mesyuarat MPT PKR petang hendaklah menerima solusi Pas itu. [wm.kl.9:31 am 17/08/14]

Tiada ulasan: