"BERANI KERANA BENAR!" |
- 10 App Terbaik Untuk Windows Phone
- Saya tidak sentuh dadah
- Pesanku pada hujan
- Perodua unjur 30,000 Axia dijual tahun ini
- Tengku Abdullah tinggalkan MHC
- Kunyit pakej lengkap untuk kesihatan
10 App Terbaik Untuk Windows Phone Posted: 19 Aug 2014 07:37 AM PDT Berubah selera ke platform Windows Phone? Persekitaran aplikasi (app) WP mungkin agak asing bagi pengguna baru, jadi kami paparkan 10 app terbaik untuk membantu transisi anda ke telefon Windows. 1. 6tag Aplikasi pihak ketiga untuk Instagram. Walaupun sudah ada aplikasi rasmi untuk Instagram, ia masih dalam Beta dan kurang beberapa fungsi berbanding 6tag, terutamanya video. 2. Metrotube Alternatif terbaik untuk app rasmi Youtube setelah Google menghentikan sokongan untuk platform telefon Windows. 3. IM+ Integrasi platform-platform chat popular seperti Facebook, Google dan Yahoo. 4. Facebook Facebook ialah... Facebook? 5. Camera 360 Kamera kosmetik popular. Ia menawarkan semua fungsi dan 'filter' seperti Camera 360 untuk platform-platform lain. 6. Evernote Aplikasi mengambil nota yang amat berguna. Jika anda pernah menggunakannya di Android atau iOS, pasti tiada masalah untuk mengadaptasi penggunaannya di telefon Windows. 7. UC Browser Pelayar web minimalis yang pantas, mudah dan fleksibel. Membolehkan pengguna memuat turun fail dan menonton video secara offline. 8. Bing Translator Fungsi terjemahannya tak kurang hebat, lebih-lebih lagi fungsi terjemahan secara langsung menggunakan kamera. 9. One Drive Integrasi akaun One Drive anda di telefon pintar. 10. Photosynth Merakam momen dalam bentuk panorama 3D. |
Posted: 19 Aug 2014 07:32 AM PDT NAMANYA tiba-tiba saja menjadi perhatian apabila ditahan dalam serbuan pihak berkuasa beberapa bulan lalu. Bagaimanapun ketika itu, Along Eyzendy gagal dihubungi pihak media untuk mengesahkan kejadian tersebut. Hampir beberapa bulan berlalu, Hits berjaya menemui Along di tayangan perdana filem terbarunya Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa. Menjelaskan kejadian itu Along tidak menolak dia berada di tempat kejadian, bagaimanapun kontroversi yang mengatakan dia terlibat dengan dadah itu sama sekali tidak benar. Kepada wartawan Aida Rizmariza Kamaruddin, dia memberitahu sehingga kini masih ralat apabila ada pihak yang terus mengaitkan dia dengan benda haram tersebut. Hits: Apa sebenarnya yang berlaku malam itu? Along: Saya ke pusat hiburan itu dengan niat untuk menemani rakan saya yang juga salah seorang pembantu produksi. Jadi tujuan kami ke sana adalah untuk melihat kawasan tersebut yang akan dijadikan sebagai lokasi untuk penggambaran. Tidak sampai lima minit saya berada di dalam pusat hiburan tersebut, tiba-tiba sahaja pihak polis membuat serbuan. Hits: Kemudian? Along: Saya diminta untuk menjalani prosedur biasa, seperti ujian air kencing. Tetapi terbukti saya memang tidak mengambil sebarang bahan terlarang. Jadi malam itu juga saya dibebaskan. Oleh kerana ujian kencing itu negatif, saya dibebaskan serta merta. Hits: Masalahnya, kenapa Along mengambil masa yang lama cerita benda ini? Along: Memang saya cuba diamkan diri sementara perkara ini sejuk, tetapi pihak pengurusan (MIG) tahu apa yang sebenarnya yang berlaku. Apa yang saya ralat apabila tulisan yang terus menghentam saya tanpa usul periksa sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli keluarga saya sendiri. Saya akui memang saya berada di tempat kejadian, namun saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang tersebut. Hits: Apa yang Along belajar dari kejadian tersebut? Along: Saya belajar jangan mudah percayakan orang, mungkin melalui kejadian ini juga sebenarnya membuka mata saya. Selain itu juga, apa yang saya tahu kini sejak bergelar pelakon dari tahun 2000, adalah cerita-cerita seperti ini senang mendapat tempat di media berbanding kerjaya saya. Benda ini memang mendewasakan saya, buat saya lebih berhati-hati. Hits: Penurunan berat badan juga seperti menguatkan lagi, kisah bahan terlarang ini. Sebab sehingga kini ada pihak yang tidak sudah-sudah mempertikaikannya, apa solusi Along untuk keadaan ini? Along: Orang akan terus bercakap, sebagai pelakon saya tahu ini adalah normal. Memang berat badan saya sebelum ini 120 sekarang 75, tetapi kalau mereka tidak puas hati mereka boleh memeriksa saya. Saya tidak kisah, sebab saya tahu diri saya. Saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang tersebut. Hits: Bagaimana kerjaya Along kini, adakah kesannya masih menghantui? Along: Syukur pihak pengurusan saya tahu apa sebenarnya yang berlaku. Soal kerjaya, masih lagi berjalan seperti biasa, malah saya kini juga sedang sibuk menyiapkan sebuah skrip filem. Masa depan saya masih lagi terlalu jauh, sebab itu saya sangat serius dalam soal ini. |
Posted: 19 Aug 2014 07:27 AM PDT Berita penutupan pusat sejak beberapa bulan lalu bukan obralan. Atau sembang politik di warung kopi. Ia adalah satu kepastian. Sesungguhnya perkembangan yang berlaku di pusat tahanan itu sangat ketara. Satu petanda yang jelas ialah akhir-akhir ini tiada lagi kemasukan tahanan baru. Sejak itu aku tahu pusat tahanan hanya menunggu hari untuk ditutup. Seperti kata hikayat-hikayat lama, pusat kini sunyi sepi bagai dilanggar garuda. Hanya tinggal tiga orang saja yang menghuni pusat tahanan - Datuk S, Kiai Mutalib dan aku. Hanya kami yang masih berdegil. Aku tidak lagi ke pusat sumber untuk membaca surat khabar atau novel-novel. Kantin juga sudah tidak beroperasi sejak minggu lalu. Aku akan merindukan laksa dan pulut intinya yang hebat. "Minggu depan kami tutup..." jelas Pak Ucip operator kantin yang dipilih oleh pusat. "Cukuplah...dah lima belas tahun di pusat ini," sambungnya, tanpa diminta. Itulah kali terakhir aku minum di kantin pusat bersama Datuk S. "Tentu mereka akan gantikan kamu tempat lain..." celah bekas YB, Datuk Ribuan. Aku memanggilnya Datuk S. Bahasa Datuk S memang kasar. Dia memanggilku "kau" mungkin disebabkan umurku yang jauh lebih muda daripadanya. Kadang-kadang dia memanggilku "orang muda" dan pada ketika-ketikanya dengan kependekan "Om" sahaja. Aku tidak pernah ambil hati. "Saya balik kampung. Dah jemu berniaga makan ni. Saya nak rehat. Lagipun anak-anak dah lepas semuanya. Yang bongsu pun dah tahun akhir universiti...dah pandai berdikari." "Kiai tak sarapan?" tanya Pak Ucip kerana kebiasaannya Kiai datang sarapan awal. Dan kami bertiga tinggal di blok yang sama. "Atas sejadah kut...dhuha..." sambut Datuk S selamba. Aku tidak pasti kenapa Datuk S perlu mengandai-andai begitu. Kalaupun benar Kiai masih solat sunat, Datuk S tidak sepatut mempersendakannya. Orang politik memang begitu, fikirku. Datuk S petah orangnya. Tetapi kepetahannya kadang-kadang disalahgunakan. Dan mulutnya lancap. Lebih-lebih jika ada hal yang dia tidak tahu atau yang merunsingkan fikirannya. Dan panggilan Datuk S yang kuberikan kepadanya adalah salah satu daripadanya. "Apa yang kau maksudkan dengan S?" "Tak ada apa-apa, hanya huruf..." "Mana boleh tak ada apa-apa..." bentaknya. Namun tentangannya mati setakat itu saja. Tetapi daripada air mukanya aku tahu dia tidak menyukai nama baru yang kuberikan kepadanya. Kiai Mutalib juga pernah bertanyakan hal itu kepadaku. Kepadanya juga kuberikan jawapan yang sama, tetapi dengan sedikit tambahan. "Tak ada apa-apa Kiai...ramai orang politik di luar sana tu patut pakai nama "S". Kiai nampak terkebil-kebil dengan penjelasanku. Sesungguhnya pengasingan yang berlaku ke atas diriku memberikan banyak pengajaran berguna, terutama sekali aku sudah mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Benarlah seperti kata orang-orang lama - "teman ketawa ramai, teman menangis susah dicari". Ada yang menganjurkan kepada isteriku supaya dia menuntut fasakh. "Apa yang diharapkan pada laki kau lagi. Dia akan reput di pusat tahanan." Wanita itu seorang ustazah yang ada "bau serai bau kemangi" dengan isteriku. Mujurlah Rehan masih taat kepadaku walaupun berdepan dengan berbagai kepayahan. Walaupun kini gajiku ditahan oleh jabatan, tetapi Rehan juga seorang guru. Gajinya cukup untuk menanggung tiga orang anakku yang bersekolah. "Macam mana?" tanya Rehan ketika melawatku bulan lalu. "Ada syarat-syarat yang tak masuk akal, jadi abang tetap tolak." "Datuk S dan Kiai?" "Mereka pun macam abang juga. Kami mahu bebas tanpa syarat. Barangkali kami akan ditempatkan di pusat tahanan lain...entahlah.." II "Ism nasionalime sudah jumut, sudah kojol, sama seperti komunisme, sosialisme..." "Kapitalisme?" pintasku. "Itu pun laksana industri matahari terbenam..." tegas Datuk S. "Habis?" "Di mana-mana orang mahukan kebebasan...tak perlu lagi acuan lama. Itu yang terbaik..." "Datuk, bikinan manusia tidak pernah sempurna...tetap ada cacat celanya." Hujah pendekku membuatkan Datuk S tersentak. Kiai yang menyepi sejak tadi turut mencelah. "Kebebasan hanyalah suatu ilusi, seperti angan-angan..." "Dunia sekarang bukan lagi dunia pondok, tapi sudah tanpa sempadan. Teropong di langit sudah dapat mengira bulu hidung Kiai!" Datuk S menyerang Kiai pula. "Dunia pondok memang cara lama Datuk, tapi yang melahirkan LGBT adalah dunia moden dan dunia tanpa sempadan..." "Manusia harus bebas..." balas Datuk S. "Tapi janganlah sampai martabat manusia jadi lebih rendah daripada kambing..." tukas Kiai Mutalib. "Apa maksud Kiai?" Datuk S merasakan sukar untuk memahami analogi Kiai. "Kambing pun kenal yang mana jantan dan yang mana betina..." Datuk S menghirup baki kopinya dan meninggalkan kantin. Sudut pandangan Kiai Mutalib terhadap sesuatu memang keras dan sukar diubah. Dia juga orang berilmu, belajar di Timur Tengah. Sewaktu remaja pernah belajar agama di sebuah pesantren di Jawa Timur. Sekembalinya ke tanah air dia menentang kalangan liberalime dan LBGT habis-habisan. Berkali-kali dia ditahan kerana mengajar di surau dan masjid tanpa tauliah. Akhirnya apabila dia dan pengikut-pengikutnya mula menyerang dan mencederakan kalangan LBGT secara fizikal, dia terpaksa ditahan di bawah ISA kerana menimbulkan keresahan awam. Berubah-ubah Aku merasakan apa saja yang terpancut dari mulut Datuk S adalah berita-berita yang dikutipnya daripada surat khabar. Seringkali dia menceritakannya semula tanpa suntingan. Dia terlupa tentang konteks situasi. Jika dia berucap di kampung, agaknya sudah ramai yang bertepuk dan memuji-mujinya. Dua penggal sebagai wakil rakyat dia gagal belajar sesuatu. Cakapnya berubah-ubah. Semalam lain, hari ini lain, esok lain, tulat lain. Tonggeng sudah pasti lain. Sekejap dia berketayap putih, sekejap dia bersongkok, dan kalau perlu dia bertarbus dan bertopi koboi. Dia bertukar warna dan menjadi apa saja. Dan dia memasang strategi untuk bertanding bagi kali ketiga. Namun hajat besar itu akhirnya terbang bagai debu di kaki petang apabila dia ditangkap berkhalwat dengan janda beranak dua. "Aku mangsa sabotaj dan konspirasi politik!" dia mengaum bagai harimau hilang anak. Sayang, dia tidak pernah mengakui bahawa dia ditumpaskan oleh nafsu gelojohnya sendiri. "Hari ini ism yang paling popular ialah SSB," kataku pada Datuk S. "Ha? SSB bukankah hanya untuk kakitangan kerajaan. Orang politik pun pakai SSB?" "Orang politik sudah lama menerima pakainya..." "Iya? Apa dia?" "Nanti kalau kita berjaya keluar tanpa syarat, saya akan terangkan," jawabku ringkas. Mata Datuk S nampak terkedip-kedip. Tetapi Datuk S tidak serik. Selepas kes khalwat dia menghadapi tuduhan rasuah kerana menggunakan nama keluarga dan orang-orang tertentu bagi mendapatkan tanah industri. Skandal tersebut mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik kerana melibatkan nilai jutaan ringgit. Namun, kononnya oleh sebab tiada bukti lengkap, dia ditahan di bawah ISA. Maklum, kalau didakwa di mahkamah terbuka, nanti ada pula nama-nama besar akan terpalit. Lagipun Datuk S masih memegang jawatan ketua bahagian parti dan pengaruhnya masih kuat. Datuk S. tidak menganalis secara ilmiah fenomena-fenomena yang sedang merubah geopolitik dunia. Ya, geopolitik dunia dan warisan ketamadunan sudah berubah. Konsep global telah menjahanamkan semua yang telah terbangun selama ini. Dunia maya telah mengambil alih dunia nyata. Orang boleh diwakili oleh ikon dan lambang - tidak perlu nama, tidak perlu identiti. III "Abang hanya seorang guru yang giat menulis...." aku seakan-akan merintih. "Dosa abang ialah menjadi seorang nasionalis, bukan disebabkan abang giat menulis. Nasionalis tidak mungkin apologetik. Dan nasionalis tulen membangkitkan sejarah silam dan meniupkan lagu bangsa dengan jujur..." Rupa-rupanya Rehan juga pandai bercakap tentang siasah tanah air. "Kau sudah layak bertanding pilihan raya,.." "Mungkin..." "Sudah ada partinya?" "Saya akan bertanding sebagai calon bebas - dengan cap kuda teji!" Kami berdua ketawa sambil menikmati pisang abu rebus di beranda rumah kayu pesaka ayahku. Itulah sedikit kenangan ketika aku masih bebas menulis dan berceramah tentang nasionalisme dan riwayat bangsaku. "Akhirnya kalian juga yang membunuhku..." dia menujukan kata hatinya kepada kawan-kawan anggota kanan sebuah parti yang dominan. Aku tidak dapat bergerak di pentas yang sama dengan mereka kerana mereka tidak menghargai budaya intelektual. Mereka memainkan lagu etnik dari piring hitam yang sama, tetapi hanya untuk membangkitkan perasaan asabiah yang sempit. Bagiku, nasionalisme tidak pernah sirna. Hanya bangsaku yang tidak tahu mencari makna nasionalisme dan kaitannya dengan ibu pertiwi. Retorik agama, bangsa dan tanah air belum cukup untuk memperjelas terma keramat itu. Ia menyangkut tasawur bangsa dan seluruh kompendium ilmu yang terhimpun di sepanjang koridor sejarah bangsaku. "Abang hentikanlah berceramah dulu. Ini musim pilihan raya. Bahangnya luar biasa. Nanti abang disalah anggap. Ada desas-desus cawangan khas sedang mengekori abang..." "Abang bukan menentang kerajaan. Abang hanya memberi penerangan kepada orang ramai bahawa pemansuhan ISA itu satu keputusan yang silap." IV Aku nasionalis tulen. Aku sayangkan tanah air dan institusi-institusi yang diwariskan oleh nenek moyang sejak turun-temurun. "Apakah orang lain itu sayangkannya, atau sekurang-kurangnya menghormati institusi-institusi tersebut - perlembagaannya, kesultanannya dan kontrak sosial yang sudah termeterai sejak lama? Saudara harus faham, atas janji-janji tersebutlah satu juta orang asing itu diberikan kewarganegaran menjelang kemerdekaan," hujahku kepada pegawai kementerian yang baru kukenali. "Kita membina bangsa Malaysia," ujarnya. "Saya harap saudara dapat membezakan antara bangsa dan negara bangsa. Apakah orang Australia bercakap bahasa Australia dan orang Amerika menggunakan bahasa Amerika? Bukankah kedua-duanya menggunakan bahasa Inggeris?" aku memberikan analogi. Walaupun itu pertama kali aku berbual dengan pegawai dari kementerian di kantin sekolahku, namun aku tidak peduli. Bagiku, hujah tidak sama dengan hasutan. Guru besar memberitahu guru-guru bahawa pegawai itu datang dari Kuala Lumpur untuk membuat penilaian bagi kenaikan gred sekolah. V "Kau menjolok sarang tebuan," getus seorang sahabat lama yang juga AJK sebuah parti yang dominan. Kata sahabatku ceramah penentangan terhadap pemansuhan ISA yang kulakukan minggu lalu mengundang padah. Apatah lagi ceramahku bertembung dengan lawatan PM ke daerahku bagi merasmikan sebuah hospital. "Aku bersedia kena sengat," balasku. Ketika aku dibawa untuk disoal siasat di ibu pejabat polis di ibu negeri, aku seakan-akan ternampak seseorang yang seiras dengan pegawai kementerian yang pernah berbual denganku di kantin sekolah. Orang itu mengalihkan mukanya apabila mata kami bertembung. Ah, pandai kau berlakon...detak hati kecilku. VI Aku bangun awal pagi itu. Selepas solat subuh kubawa beg-begku, dua buah kesemuanya, ke ruang menunggu. Semua urusan menandatangani borang-borang dan surat akujanji sudah dilakukan semalam. Surat-surat peribadi, dompet, beberapa buah buku dan gambar-gambar famili sudah kuambil semula dari pejabat pentadbiran. Akhirnya pusat tahanan bersetuju membebaskan kami bertiga tanpa syarat - kecuali syarat-syarat biasa seperti melapor diri setiap bulan ke balai polis terdekat dan memberitahu balai jika hendak meninggalkan kawasan. Dengan kata lain, KDN menggugurkan semua pertuduhan terhadapku. Aku bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kekuatan kepadaku. Kata pengarah, Kiai Mutalib telah dijemput keluarganya pada awal pagi. Mulai tengah malam semalam hujan turun mencurah-curah. Begitulah sejak seminggu lalu. Kalau tidak hujan malam, hujan akan turun di sebelah petang, menjadikan hawa di sekitar pusat tahanan sejuk dan nyaman. Anehnya kata warder majlis perbandaran akan memulakan catuan air kerana kolam takungan surut secara mendadak. Aku tidak dapat mewaraskan tindakan majlis perbandaran. Siapakah yang harus dipersalahkan? Hujan, kolam takungan atau politik yang mentadbirkan majlis perbandaran? Mujurlah beberapa jam lagi aku akan mengucapkan selamat tinggal pada pusat tahanan. VII Ketika menghayun langkah ke luar pusat tahanan, aku ternampak seekor sesumpah yang agak besar di daun akar sekentut yang melilit pagar pusat tahanan. Hijau kekuningan warnanya. Aku tahu ia juga boleh bertukar menjadi biru kemerah-merahan. Atau kuning, atau coklat. Memang itu sifat semula jadinya - boleh menukar warnanya, bergantung kepada keadaan dan persekitarannya. Matanya tidak berkedip. Sesekali lidahnya disorong sentapkan. Sebaik-baik limosin Datuk S dan pemandunya sampai, Datuk merapatiku dan dengan suara yang perlahan menuntut janjiku kepadanya. "Jangan lupa janji OM tentang SSB..." "Oh, itu....Sapu Sementara Berkuasa," terangku, juga dengan nada suara yang sengaja kuperlahankan. Tanpa menoleh ke arahnya lagi, aku terus melangkah ke kereta kecil yang berhenti betul-betul di belakang limosin Datuk S. Rehan dan tiga orang anakku melambai-lambai. Aku nampak Datuk S terpegun seketika sebelum melangkah masuk ke limosinnya. Mujurlah dia tidak bertanyakan kepadaku makna huruf "S". "Tak nak pesan apa-apa pada istana hinggap abang," gurau Rehan sebaik saja dia memotong limosin Datuk S. "Sudah," jawabku. "Apa?" "Abang dah pesan pada hujan. Suatu masa nanti, ketika pusat ini sudah tiada lagi, kau basuhlah semua kesan, termasuk air mata dan jejakku..." Rehan menjeling ke arahku. Di matanya ada tanda tanya. |
Perodua unjur 30,000 Axia dijual tahun ini Posted: 19 Aug 2014 07:18 AM PDT KUALA LUMPUR- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengunjurkan untuk menjual kira-kira 30,000 buah kenderaan mampu milik dan cekap tenaga (EEV) paling murah dalam pasaran, Perodua Axia sepanjang tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Perodua Axia merupakan kereta yang memberi penanda aras baharu di dalam kualiti, versatil dan pengalaman pemanduan. Katanya, kereta baharu ini dicipta dengan memberi penjimatan minyak yang membolehkan pemandu melakukan perjalanan sehingga 21.6 kilometer/ liter selain menawarkan ruang yang lebih luas. Jelasnya, Axia turut dilengkapi dengan ciri-ciri unik Malaysia selain boleh memuatkan empat bagasi mengembara di ruang kargo yang mempunyai kapasiti muatan 260 liter. "Kami percaya bahawa Perodua Axia akan memberi persaingan sengit di peringkat serantau, selain namanya yang tepat diambil bersempena Asia dan mewakili Asia. "Perkataan X pada Axia juga merujuk kepada nombor 10 iaitu mewakili model kesepuluh Perodua setakat ini," katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis uji pandu media Perodua Axia di sini hari ini. |
Tengku Abdullah tinggalkan MHC Posted: 19 Aug 2014 07:05 AM PDT KUALA LUMPUR - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan mengejut semalam apabila mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu Oktober ini. Beliau yang turut dicalonkan untuk jawatan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagaimanapun menafikan keputusannya itu dibuat kerana kecewa dengan prestasi kurang meyakinkan skuad hoki kebangsaan kebelakangan ini. Menurut Tengku Abdullah, beliau mahu memberikan laluan buat individu lain menyandang jawatan No.1 MHC itu pada penggal akan datang selepas menyandangnya untuk tempoh dua penggal sebagai presiden. "Saya sudah terlalu lama menyandang jawatan ini malah saya juga amat puas hati dengan pencapaian hoki sepanjang berada di bawah pimpinan saya, kini sudah tiba masa untuk saya mengosongkan posisi Presiden MHC pada AGM akan datang kerana ini adalah sebahagian daripada perancangan saya. "Setakat ini saya belum mendapat gambaran siapa calon sesuai untuk menyandang jawatan Presiden MHC dan kalau boleh biarlah orang itu mempunyai jiwa yang besar dalam sukan hoki selain mempunyai kewangan kukuh," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi MHC di sini semalam. Tengku Abdullah yang dipilih memegang kerusi panas tersebut daripada Tan Sri Anwar Mohamed Nor pada 2008 berjaya menguruskan badan induk sukan hoki tersebut dengan baik sepanjang berada di bawah pimpinannya. Malah Tengku Abdullah turut diberikan kepercayaan menerajui MHC pada penggal 2010-2014 selepas menang tanpa bertanding. Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Tengku Abdullah dalam MHC ialah menggabungkan hoki lelaki dan wanita di bawah satu bumbung pada 2012. Sementara itu, ditanya berhubung statusnya yang dicalonkan untuk jawatan Presiden AHF, Tengku Abdullah hanya memberitahu semuanya terserah atas sokongan ahli ke atasnya. "Jika mereka memilih saya, saya akan membantu dan saya tiada apa-apa makluman terkini berhubung pemilihan tersebut. "Sekiranya saya tiada dalam MHC saya masih boleh membantu jika diperlukan," kata Tengku Abdullah. Tengku Abdullah dianggap calon paling popular untuk mengisi kerusi Presiden AHF, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). Keputusan mengenai pemenang jawatan presiden AHF akan diumumkan dalam kongresnya yang dijadual berlangsung 31 Ogos ini di Kuala Lumpur. |
Kunyit pakej lengkap untuk kesihatan Posted: 19 Aug 2014 07:01 AM PDT KEGUNAAN kunyit dalam bidang tradisional telah bermula sejak 2,500 tahun dahulu. Walaupun kunyit atau lebih dikenali sebagai curcumin terkenal dalam bidang masakan, rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya. Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit. Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis. Sifat anti kanser kunyit Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon. Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad. Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri. Dalam pada itu, pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker memberitahu, kunyit mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai curcumin yang berperanan mencegah penyakit berprofil tinggi seperti kanser payudara, prostat dan mengurangkan kolesterol dalam badan. "Curcumin bersifat antioksida dan ia juga mampu menguatkan sistem imunisasi dalam badan seseorang bagi mengelak serangan penyakit jika diambil secara berterusan. "Penyebab kanser yang terdiri daripada radikal bebas boleh dineutralkan oleh fungsi antioksidan yang terdapat dalam herba unik ini," jelas Gerard yang berpengalaman melakukan kajian tentang khasiat kunyit sejak 10 tahun lalu. Mencegah Alzheimer Penyakit Alzheimer, sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Ciri Alzheimer digambarkan oleh plak amiloid yang terbentuk dalam otak. Plak amiloid ialah gugusan sejenis protin dikenali sebagai amiloid beta. Plak tersebut merosakkan sel otak dengan 'mencekik' mereka. Plak amiloid juga menjana radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel otak. Kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal. NFkB menyebabkan radang yang juga menyumbang kepada pembentukan amiloid beta. Kunyit telah menunjukkan keupayaan menurunkan pembentukan amiloid beta melalui perencatan NFkB. Dengan merencat pembentukan amiloid beta melalui mekanisme dwi-tindakan dalam perlindungan terhadap radang dan kerosakan radikal bebas, curcuminoid menjadi agen semulajadi untuk mencegah dan memperlahankan perkembangan Alzheimer. Kajian klinikal sedang dijalankan di UCLA dengan menggunakan curcumin bagi penyakit Alzheimer. Kelegaan sakit sendi dan radang Arthritis adalah sejenis penyakit pro-radang. Kunyit telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat keadaan radang seperti osteoartritis. Tindakan anti-radang adalah disebabkan oleh perencatan NFkB. Pada tahun 2006, curcuminoid bersama dengan ubat popular, Celecoxib, sejenis perencat COX-2 telah menunjukkan tindakan bersinergi mengurangkan radang. Penemuan ini adalah penting kerana perencat COX-2 mempunyai kesan sampingan. Jika anda menggabungkan rawatan ini dengan curcuminoid anda boleh mengurangkan dos ubat tersebut dan mengurangkan kesan sampingannya. Tambah Gerard, kunyit mempunyai pakej yang cukup lengkap dalam penjagaan badan manusia, iaitu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang menjadi idaman setiap orang. Generasi muda perlu sedar tentang kepentingan herba ini dan kembali mengamalkan tradisi perubatan yang pernah diamalkan oleh generasi terdahulu serta mempelbagaikan penggunaannya dalam diet harian. Mereka perlu sedar bahawa herba dan ulam-ulaman merupakan penawar semula jadi yang tidak boleh dipertikaikan khasiatnya terhadap kesihatan manusia. Gerard telah melakukan kajian tentang herba dan perubatan tradisional lebih 20 tahun dan mengkaji tentang herba kunyit kira-kira 10 tahun. Penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest itu juga banyak mengulas tentang khasiat-khasiat herba yang terdapat di Malaysia. Beliau turut menyarankan supaya usaha membukukan khasiat herba dan ulam-ulaman yang menjadi amalan masyarakat terdahulu dibukukan supaya ia tidak lenyap ditelan zaman. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan