Selasa, 29 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MAS berdepan masalah pembatalan tempahan penerbangan, lapor Bloomberg

Posted: 29 Jul 2014 04:17 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Bloomberg melaporkan MAS kini berdepan dengan pembatalan tiket oleh penumpang serata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Bloomberg melaporkan MAS kini berdepan dengan pembatalan tiket oleh penumpang serata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider.


Malaysia Airlines (MAS) berdepan dengan masalah pembatalan penerbangan selepas kehilangan dua pesawatnya dalam tahun ini, lapor Bloomberg hari ini.

 Pesawat MH370 dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu, manakala MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Jumlah mangsa yang terkorban dalam dua tragedi itu adalah 537 orang. Portal berita kewangan itu juga memetik kenyataan agen pelancongan daripada Melbourne ke New Delhi yang mendedahkan pembatalan tiket penerbangan meningkat 20% di beberapa tempat sejak insiden MH17.

Katanya, pasukan ragbi wanita Samoa juga menukar penerbangan mereka daripada MAS kepada Thai Airways pada 27 Julai lalu untuk menyertai acara Piala Dunia di Perancis.

"Sudah tentu kami berasa bimbang. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan," kata pengurus pasukan Sera Mika.

Pembatalan itu mungkin memaksa pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd mengambil tindakan drastik ekoran industri penerbangan itu bakal mencatatkan rekod kejatuhan. Antara pilihan yang ada adalah mengisytiharkan bankrap atau keluar daripada senarai saham.

MAS mencatatkan kerugian RM443.4 juta pada suku tahun pertama berbanding RM278.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah kerugian pada tahun 2013 adalah RM1.17 bilion.

Agen pelancongan Ann Chitumbalam memberitahu Bloomberg bahawa penumpang "sangat takut jika kejadian sama kembali berulang". Firma miliknya, Escape Travel Sdn Bhd yang terletak di Petaling Jaya menunjukkan 30% tiket penerbangan MAS dibatalkan. "(Pelancong) enggan ambil risiko," katanya.

Dua hari selepas insiden MH17, MAS berkata pihaknya tidak akan mengenakan bayaran denda kepada penumpang yang mahu menukar jadual ke mana-mana sahaja destinasi penerbangan.

 "Penumpang yang mahu menangguhkan atau membatalkan rancangannya boleh ambil semula wang mereka termasuk tiket yang tidak boleh dikembalikan semula," kata MAS. Tawaran itu sah pada 18 hingga 24 Julai, bagi penerbangan 18 Julai sehingga 31 Disember.

 Bloomberg berkata, MAS setakat ini enggan mengulas tentang trafik penumpang atau jumlah pembatalan dan dasar penentuan harga.

 Webjet Ltd di Melbourne menganggarkan 25% tempahan tiket penerbangan dibatalkan sejak tragedi MH17, kata laporan itu. Agen pelancongan secara online di New Delhi, Yatra.com turut melaporkan kejatuhan tempahan dan pembatalan tiket penerbangan.

"Mereka terpaksa menanggung kos kerugian," kata penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng kepada Bloomberg di Kuala Lumpur sambil menambah pemotongan tambang "bukan jalan penyelesaiannya".

Jangan nilai perbualan peribadi kami, kata AJK PAS Pusat

Posted: 29 Jul 2014 04:13 AM PDT

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendapat Pengarah Pusat Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) itu merupakan suatu pandangan peribadi dan bersifat tidak formal. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Julai, 2014.
 Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendapat Pengarah Pusat Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) itu merupakan suatu pandangan peribadi dan bersifat tidak formal. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad meminta akar umbi, termasuk pemimpin Pakatan Rakyat tidak menganggap serong perbualan peribadi antara kumpulannya dalam mesej 'WhatsApp' yang dibocorkan dan tersebar luas dalam media sosial.

Dzulkefly berkata, pendapat Pengarah Pusat Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) itu merupakan suatu pandangan peribadi dan bersifat tidak formal.

Katanya, tidak adil jika menuding jari dan menyuruh AJK PAS Pusat bertanggungjawab kerana menimbulkan kontroversi PAS mahu keluar Pakatan.
 
"PAS sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan, tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum.

 "Secara tegasnya, olahan perancangan senario Zuhdi tidak mewakili pendirian PAS dan tidak pula mewakili dapatan Pusat Penyelidikan PAS (PPP)," katanya.

 Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata kenyataan Zuhdi yang mahu mempertimbangkan supaya PAS keluar Pakatan tidak boleh diterima dan mengkhianati PKR dan DAP.

Katanya, cadangan Zuhdi itu melanggar pelbagai dasar, ketetapan dan perjanjian yang dibuat oleh PAS dalam Pakatan, termasuk Buku Jingga.

 Perbezaan pendapat memang dibenarkan di dalam mana-mana organisasi, tetapi pandangan Zuhdi itu ada unsur khianat kepada prinsip Pakatan, "walaupun PAS mendapat laba besar dari kebersamaan di dalam Pakatan," kata Rafizi.

Mengulas kenyataan Rafizi yang mahu tindakan disiplin diambil atas Zuhdi, Dzulkefly berkata 'keluar Pakatan' bukan satu-satunya perancangan yang diusulkan di dalam perbincangan kumpulan mereka.

Senario lain juga turut dibincangkan, termasuk kemungkinan buruk yang akan terjadi sekiranya parti Islam itu meninggalkan Pakatan.

"PAS akan berpegang teguh kepada perjuangan Pakatan, membawa Dasar Bersama Pakatan Rakyat seperti yang seringkali diulang Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Persoalan tentang PAS meninggalkan Pakatan timbul berikutan keengganan parti itu menerima cadangan PKR menukar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Walaupun persetujuan dicapai semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Hadi kemudiannya terang-terangan menzahirkan sokongan terhadap Khalid dan kenyataannya disokong Nik Aziz.

Bagaimanapun, timbalan presiden Mohamad Sabu mengatakan pendirian Hadi bukan kenyataan rasmi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menasihatkan semua pihak menunggu keputusan rasmi selepas mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos.

Zuhdi dalam mesej WhatsAppnya mengatakan kalau PAS tinggalkan Pakatan dan bekerjasama dengan Umno, "lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka."

Dalam Facebooknya, Zuhdi juga menghentam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggelarnya 'diktator' dalam cara dia menguruskan Pakatan.

Pada 27 Julai, Zuhdi menulis status di Facebooknya: "Setelah beberapa status ini, sempena Hari Raya yang mulia saya mengucapkan Eidul Fitri al-Mubarak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, maaf zahir dan batin dengan harapan tulus ikhlas "bersaralah dari politik, sudah banyak sangat rakyat Malaysia seluruh lapisan dilibatkan dengan agenda peribadi Datuk Seri"

Warga emas hidup 7 tahun tanpa bekalan air, SAJ digesa bertindak

Posted: 29 Jul 2014 02:27 AM PDT

johor
Roketkini.com


KLUANG: Walaupun selepas tujuh tahun membuat permohonan, masih ada penduduk di daerah ini yang masih belum mendapat kemudahan asas seperti bekalan air.

Menurut Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang (PKPRK), salah seorang penduduk di Kampung Bentong yang dikenali sebagai Mak Wok, berusia kira-kira 70 tahun dan adiknya Mak Semah hanya bergantung kepada air perigi dan air hujan.

Tambah memeritkan, kesukaran lebih dirasai oleh kedua warga emas ini sepanjang bulan Ramadhan lalu, dan lebih-lebih lagi dalam persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

"Mereka hanya dibantu anak tunggal Mak Semah, Safuan yang tinggal tidak jauh dari sini. Namun Safuan juga ada keluarga yang perlu ditanggung," kenyataan PKPRK dipetik.

PKPRK dalam kenyataannya turut memaklumkan, Mak Wok telah memohon saluran bekalan air kepada Syarikat Air Johor (SAJ) sejak tujuh tahun lalu, namun tanpa sebarang jawapan.

Justeru itu satu lawatan dianjurkan oleh PKPRK diiringi Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol untuk menziarahi Mak Wok dan warga emas lain 18  Julai lalu.

Menurut PKPRK keadaan rumah mereka yang terlalu usang dan terbuka menyebabkan mereka terdedah dengan ancaman binatang liar dan berbisa.

"Sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan," jelas PKPRK sambil memberikan komitmen akan membangkitkan masalah itu kepada SAJ agar masalah tersebut diselesaikan dalam kadar segera.

Sementara itu, Chin Tong dalam kenyataan berasingan memaklumkan PKPRK kini menjalankan tinjauan berhubung kualiti perkhdimatan kemudahan di Hentian Bas Kluang berikutan banyak aduan yang diterima dari penduduk di daerah ini.

Menurut Ching Tong, aduan orang ramai memaklumkan bahawa keadaan Hentian Bas Kluang tidak memuaskan terutamanya lantai yang sering basah dan paip bocor, ketidakselesan dan kekurangan tempat menunggu bas selain lokasi kaunter tiket bas yang tidak praktikal.

"Bukankah penduduk Kluang mengharapkan kemudahan hentian bas yang lebih mesra rakyat?" kata Chin Tong mencadangkan kepada pihak berkuasa agar menjadikan Hentian Bas Kluang lebih bersih, ceria dan mesra rakyat.

Katanya, orang ramai turut digalakkan selain berkongsi maklumat berhubung masalah dan cadangan pembaikan melalui laman Facebook dan Twitter dengan menggunakan hashtag #basklg.

Chin Tong turut mengalu-alukan penduduk di daerah ini, terutamanya pengguna Hentian Bas Kluang agar memberi maklum balas dan cadangan melalui laman Facebook Ahli Parlimen Kluang serta ADUN Mengkibol Tan Hong Pin. – Roketkini.com

Masalah infrastruktur berulang di Tawau, ganggu sektor pelancongan

Posted: 29 Jul 2014 02:25 AM PDT

Chan Foong Hin

Roketkini.com


TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlu menyelesaikan segera masalah infrastruktur di Pasar Tanjung Tawau yang menyukarkan urusan peniaga dan pengunjung ke pasar terkenal itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Tanjong Foong Hin Chan berkata, masalah itu sudah sekian lama berlaku tanpa apa-apa tindakan pihak berkuasa.

"Masalah (infrastruktur) pasar ini sentiasa berulang. Sampai bila (baru) MPT akan selesaikan masalah ini?" katanya menerusi laman Facebooknya semalam.

Beliau merujuk laporan Harian Tawau Express, berhubung keadaan uzur pasar tersebut berikutan terdapat sebuah lubang besar di bahagian siling di tingkat tiga yang menempatkan medan selera.

Selain mengganggu pemandangan, masalah lebih besar timbul apabila ia menjadi tempat burung-burung berkeliaran yang boleh membahayakan kesihatan peniaga dan pengunjung.

Memetik laporan tersebut, para peniaga merungut ekoran kejadian bangkai seekor burung yang jatuh ke kawasan medan selera, selain bulu-bulu burung berterbangan yang mengganggu keselesaan pengunjung.

Sehubungan itu, DAP Tawau mendesak MPT agar segera membaiki lubang tersebut bagi mengelakkan mata pencarian peniaga di sana terus terjejas.

Tindakan segera amat diperlukan memandangkan ia bakal menjejaskan reputasi Tawau, ekoran peranannya sebagai tumpuan pelancong luar dan dalam negara, selain menjadi lokasi bagi penduduk tempatan mendapat barang keperluan. – Roketkini.com

Sembilan lokasi catat IPU tidak sihat

Posted: 29 Jul 2014 02:14 AM PDT

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Jabatan Alam Sekitar (JAS)


KUALA LUMPUR - Kualiti udara tidak sihat dicatat di sembilan lokasi di negara ini pada sebelah tengah hari dengan yang tertinggi ialah Sibu, Sarawak pada bacaan 165.
 
Kenyataan Jabatan Alam Sekitar menerusi laman sesawangnya, kawasan lain ialah Batu Muda di Kuala Lumpur (133), Banting (131), Cheras (122), Putrajaya
(120), Pelabuhan Klang (114), Samarahan dan Sri Aman (107), serta Petaling Jaya (104).
 
Kawasan lain mencatat bacaan baik dan sederhana mengikut Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

Dibuang keluarga kerana peluk Islam

Posted: 29 Jul 2014 02:12 AM PDT


Dibuang keluarga kerana peluk Islam

SERDANG - [VIDEO] Hati siapa yang tidak kecewa apabila kehendak diri mendapat tentangan hebat oleh keluarga, hati siapa yang tidak ralat apabila keputusan yang dibuat menyebabkan diri dibuang keluarga.

Demikianlah perasaan yang dialami oleh sesetengah golongan saudara baharu yang ditinggal, dibuang dan diabaikan keluarga kandung apabila buat keputusan untuk memeluk Islam.

Seorang aktivis dan ahli kumpulan nasyid Safiya, Nuraian T Abdullah yang telah 15 tahun menjadikan Islam sebagai agamanya, terpaksa menempuh kenyataan dibuang keluarga kandung sebaik dia memaklumkan telah memeluk Islam.

Bagi wanita yang berasal dari Sabah ini, bukan mudah untuk berhadapan dengan dugaan sebegitu hebat, apatah lagi dengan diri masih baru dalam mengenal Islam.

"Pada mulanya memang ia agak sukar dan sangat mencabar bagi saya, saya dibuang keluarga dan dihalau dari rumah. Kemudian saya berpindah ke Kuala Lumpur, cuba belajar hidup sendiri dan berdikari," katanya kepada Sinar Harian Online.

Gentar dengan kehidupan baharunya, Nurain yang juga merupakan bekas penyanyi kelab malam berkata, dia merupakan insan yang cukup bertuah kerana ALLAH membantu mempertemukan dirinya dengan rakan-rakan yang mampu memberikan bimbingan agama dan akidah yang lebih mendalam.

"Alhamdulillah saya ditemukan dengan kawan-kawan yang baik, mereka bawa saya pergi belajar dan mendalami ilmu agama sedikit demi sedikit. Dari situlah bermulanya dakwah saya sebagai seorang umat Islam kepada keluarga saya.

"Cabaran yang paling perit bagi saya ialah raasa kehilangan yang terpaksa dipendam, pada waktu itu  saya berasa terpinggir. Tiada siapa yang tampil untuk membantu dan menyokong saya, namun saya telah menemui seorang rakan yang telah membantu saya sehingga kini," katanya lagi.

Walau terpaksa hidup keseorangan, Nurain menguatkan azam untuk mendekatkan diri kepada keluarga sehari demi sehari selama 10 tahun lamanya.

Walaupun saban hari menempuh kegagalan, keluarga Nurain akhirnya menerima wanita itu semula ke pangkuan keluarganya.

Bahkan dengan sedikit ilmu agama yang dipelajari, Nurain cuba membimbing keluarganya ke jalan Islam dan sehingga kini, Nurain telah berjaya menarik 10 ahli keluarga untuk memeluk Islam.

Berbeza dengan situasi yang menghimpit seorang saudara baru Islam, Yelizaveta yang kini telah memeluk Islam genap dua tahun menjelang Oktober ini.

Dikenali dengan nama Islamnya, Nawar, gadis yang berasal dari Kazakhstan itu memilih Islam sebagai jalan hidupnya kerana baginya, kehidupan sebagai seorang muslimah lebih menenangkan.

Menurut Nawar, pertengkaran mengenai akidah Islam yang diamalkan membuatkan ibunya semakin kecewa terhadapnya.

Pernah terjadi, ibunya bertindak diluar jangkaan dengan memaksanya untuk menanggalkan hijab hanya kerana berang dek ketegasan Nawar yang tidak mahu meninggalkan Islam.

Wanita berusia 27 tahun memilih untuk berhijrah dan tinggal di Malaysia selepas dihalau oleh ibunya yang tidak dapat menerima pengIslamannya.

Nawar yang kini bekerja sebagai seorang jurubahasa di perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Walau terbiar jauh dan hidup tanpa keluarga di perantauan, dia mengakui selesa dan menemui kebebasan untuk menjalani hidup sebagai seorang Muslim di negara ini.

"Saya menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslimah di negara saya, ada sesetengah syarikat tidak menerima pekerja yang memakai hijab. Kami sukar untuk bekerja di syarikat swasta, hanya mampu buka perniagaan kecil-kecilan untuk menyara kehidupan. Malah ada sesetengah syarikat tidak mempunyai surau untuk mengerjakan ibadah," katanya.

Berbeza pula dengan Malaysia, kemudahan untuk menunaikan solat dan ibadah ada di mana-mana.

"Keluarga saya tidak menganut mana-mana agama, sebab itulah emak tidak dapat menerima kenyataan pengislaman saya. Dia menangis dan bersedih sebaik sahaja dia mendapat tahu saya memeluk Islam. Mereka menentang saya dan agama saya (Islam).

"Mereka menentang semua yang berkaitan dengan keagamaan, mereka percaya bahawa ia tidak penting bagi semua orang untuk menganut mana-mana agama. Bagi mereka, adalah lebih baik jika saya jadi diri sendiri dan letakkan kepercayaan kepada diri sendiri. Sebab itulah emak masih terkejut dengan kenyataan ini," katanya.

Lain pula dengan kemelut yang melanda bagi Mimi Than Siew Mei yang baharu sahaja memeluk agama Islam April lalu.

Remaja berumur 18 tahun itu mengakui telah mendalami ilmu agama Islam sejak setahun lalu dan tekad memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga.

Menyedari tentangan dari keluarga yang bakal dihadapinya, Mimi mengambil keputusan untuk berterus –terang tentang pengislamannya menerusi video yang dirakamkan oleh Sinar TV.

"Keluarga saya berada di Ipoh, Perak, ayah berbangsa Cina manakala emak pula Orang Asli, mereka tidak tahu bahawa saya sudah memeluk Islam dan kembali ke jalan yang benar, jadi saya ingin mengambil kesempatan di dalam bulan Ramadan ini untuk mengistiharkan pengIslaman saya pada keluarga.

"Sebenarnya saya takut untuk berdepan dan berterus- terang dengan keluarga kerana saya tahu keluarga sememangnya tidak suka dan tidak boleh terima kenyataan ini, jadi ini sajalah cara yang paling sesuai bagi saya untuk memberitahu mereka," katanya lagi.

Mimi kini tinggal bersama sebuah keluarga mualaf yang  banyak membimbing dan membantunya bagi mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.

Pas jelas kontroversi Whatsapp

Posted: 29 Jul 2014 01:58 AM PDT


Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki
 
SAYA merujuk kontroversi pendapat yang dikemukakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam perbincangan tidak formal  dalam kumpulan whatsapp AJK Pas Pusat yang telah dibocorkan dan kini viral dalam media sosial.

Pendapat yang dikemukakan Dr Zuhdi merupakan  suatu pandangan peribadi beliau yang dikomunikasi melalui media sosial dan bersifat informal.

Pas sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan, tidak boleh dipertanggungjawabkan  terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum.

Secara tegasnya olahan perancangan senario Dr Zuhdi tidak mewakili pendirian Pas dan tidak pula mewakili dapatan Pusat Penyelidikan Pas (PPP).

 Dalam konteks kontroversi perbincangan dalam kumpulan whatsapp AJK Pas Pusat berhubung kajian-ini, saya ingin jelaskan bahawa senario yang tersebar luas melalui paparan skrin tersebut bukanlah merupakan satu-satunya senario yang dibincangkan dengan kaedah 'scenario planning' beliau.

Pelbagai senario lain yang merangkumi  kemungkinan-kemungkinan termasuk yang paling buruk atau 'worst case' juga telah dibincangkan secara sumbang saran.

Pas tetap tegas serta istiqamah dengan perjuangan PR mendukungi Dasar-Dasar Bersama (Common Policy Framework) sepertimana yang telah ditegaskan berulang-kali oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.



Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Eksekutif
Pusat Penyelidikan Pas Pusat (PPP)
29 Julai 2014

Ahli Bocor Rahsia, PAS Tak Mahu Bertanggungjawab - Dzulkefly

Posted: 29 Jul 2014 01:53 AM PDT

Dzulkefly Ahmad.

 
 
PETALING JAYA: PAS enggan bertanggungjawab terhadap kenyataan kontroversi ahlinya yang dibocorkan menerusi media sosial berhubung cadangan supaya parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu tidak seharusnya dipersalahkan terhadap mana-mana pandangan peribadi ahlinya kerana ia tidak mencerminkan pendirian sebenar mereka.

"PAS sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan...tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum," katanya pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai kekecohan yang berlaku berhubung pendapat Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar PR.

Isu berkenaan timbul selepas satu paparan skrin aplikasi WhatsApp perbincangan AJK PAS Pusat dibocorkan dan menjadi viral di laman sosial.

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Eksekutif PPP berkata, pendapat yang dikemukakan Mohd Zuhdi merupakan pandangan peribadi yang bersifat tidak formal.

"Secara tegasnya, olahan perancangan senario Dr Zuhdi tidak mewakili pendirian PAS dan tidak pula mewakili dapatan PPP," katanya.

Bagaimanapun, tambah Dzulkefly, perbincangan secara tidak formal mengenai isu kontroversi seperti ini oleh AJK PAS Pusat menerusi WhatsApp bukanlah sesuatu yang baharu.

"Dalam konteks kontroversi perbincangan dalam kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat berhubung kajian ini, saya ingin jelaskan bahawa senario yang tersebar luas melalui paparan skrin tersebut bukanlah satu-satunya senario yang dibincangkan dengan kaedah perancangan senario beliau (Mohd Zuhdi).

"Pelbagai senario lain yang merangkumi kemungkinan, termasuk situasi paling buruk juga dibincangkan secara sumbang saran," katanya.

'Pengkhianat' Porak-Perandakan PAS

Posted: 29 Jul 2014 01:48 AM PDT


Paparan skrin perbualan AJK PAS Pusat yang bocor kepada umum kini menjadi polemik di kalangan Pakatan Rakyat.

 

PETALING JAYA: Pembocoran maklumat sulit berhubung cadangan supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat disifatkan sebagai perbuatan khianat di saat banyak pihak meramalkan perpecahan bakal berlaku dalam pakatan pembangkang selepas Aidilfitri.

Kesal dengan kebocoran maklumat rahsia berkenaan, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan individu yang menjadi dalang dalam parti itu jelas dibuat dengan niat jahat.


Penjelasan Nik Abduh berhubung kebocoran perbualan AJK PAS Pusat mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Jelas beliau, paparan skrin aplikasi WhatsApp yang seolah-olah menggambarkan seorang AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki sebagai penggerak disebalik cadangan berkenaan diambil dalam konteks yang tidak menyeluruh.

"Itu pengkhianatan terbesar dalam PAS Pusat. Print screen perbincangan yang paling sulit dah rahsia.

"Ayat Dr Zuhdi itu adalah dalam nada senario dan apabila diambil sekerat, maka jadi jahat maksudnya," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dipercayai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu merupakan penjelasan berbentuk edaran dalaman mengenai kedudukan sebenar berhubung cadangan agar PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Mohd Zuhdi sendiri menerusi kenyataannya mengakui bahawa AJK PAS Pusat sedang mempertimbangkan secara serius kemungkinan parti itu akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Paparan skrin perbincangan AJK PAS Pusat yang bocor kepada umum.

Akuinya, senario kemungkinan PAS bertekad untuk kembali bergerak tanpa sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dibincangkan secara terpeinci oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

Dedah Mohd Zuhdi, cadangan supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat mula diusulkan oleh seorang pemimpin kanan mereka yang tidak dinamakan.

Katanya lagi, cadangan berkenaan turut disokong oleh tidak kurang 10  AJK PAS Pusat yang dikatakan 'rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim'.

Pendedahan ini merupakan penjelasan Mohd Zuhdi mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam merangka strategi PAS di Selangor khususnya membabitkan krisis Menteri Besar negeri itu.

Menerusi mesej itu, Mohd Zuhdi turut mencadangkan supaya PAS bergabung dengan Umno.

Mohd Zuhdi yang secara tidak langsung mengakui kesahihan paparan skrin itu bagaimanapun menafikan beliau termasuk dalam senarai pimpinan PAS yang menyokong supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ia (maklumat bocor) dilakukan untuk memalitkan nama saya dengan gerakan membawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, setelah saya melakukan beberapa kritikan keras ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor.

"Sebenarnya maklumat perbincangan yang dibocorkan itu adalah respon saya kepada permintaan ahli-ahli perbincangan supaya mengemukakan analisis senario  tentang cadangan seorang pimpinan kanan PAS yang mengusulkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohd Zuhdi, mesejnya dalam aplikasi itu hanyalah imaginasi beliau mengenai senario jika PAS benar-benar mahu meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Disebabkan permintaan tersebut (buat analisis senario) saya pun mula melakukan analisis ringkas dengan meramalkan senario yang akan berlaku jika PAS keluar PR.

"Untuk melakukan analisis senario ini, selain daripada memerlukan fakta-fakta semasa, daya imaginasi penganalisis juga harus diambil kira," katanya.

Dedah Mohd Marzuki lagi, kumpulan yang menyokong supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat itu turut mengusulkan supaya mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos ini memberi fokus kepada isu masa depan parti.

"Mereka menyambut usul keluar Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dengan ada yang menambah supaya mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos akan datang hendaklah mendahulukan perbincangan usul ini daripada membincangkan kemelut isu Menteri Besar Selangor.

"Terdapat juga yang menyarankan, PAS lebih baik bersendirian supaya ahli-ahli PAS lebih bebas mengkritik dan mencegah kemungkaran sebagaimana ketegasan PAS yang dikenali sebelum ini," katanya.

Trafik Bergerak Lancar Pagi Ini

Posted: 29 Jul 2014 01:44 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Kenderaan awam dilihat bergerak lancar selepas plaza tol Gombak menghala ke Pantai Timur di Lebuhraya Karak.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari Kuala Lumpur ke selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilapor lancar setakat 9 pagi Selasa.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway berkata, trafik arah selatan dari plaza tol Sungai Besi dilapor lancar.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) juga lancar dari Subang menuju Dataran Prima dan Kota Damansara ke Bukit Lanjan.

Bagaimanapun, menurut twitter LLM, satu kemalangan berlaku di KM 267 arah utara dari Seremban ke Nilai.

"Kenderaan terbabit berada di lorong kecemasan namun aliran trafik masih lancar," menurut tweet LLM.

Maklumat terkini trafik boleh didapati menerusi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau laman sesawang www.twitter.com/plustrafik.

Anwar Didesak Jawab Tuduhan

Posted: 29 Jul 2014 01:39 AM PDT

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjawab tuduhan mengatakan beliau telah mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya membeli syarikat konsesi air, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) pada harga RM2.5 bilion berbanding tawaran asal sebanyak RM250 juta.

Ketua Pemuda Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb), Norizwan Mohamed berkata, Anwar perlu memberi penjelasan kerana tindakan tersebut adalah satu cubaan rasuah dan pecah amanah menggunakan duit rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

Norizwan berkata, terdapat beberapa dakwaan yang turut mengaitkan keengganan Abdul Khalid memenuhi permintaan itu menyebabkan desakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk beliau berundur daripada jawatannya dan digantikan dengan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semakin kuat.

"Sebagai penyokong, kami mahu bersangka baik tetapi dakwaan ini terlalu berat apabila sebuah syarikat yang nilainya adalah RM250 juta dikatakan mahu dibeli pada harga RM2.5 bilion iaitu 10 kali ganda lebih tinggi.

"Khabar angin ini tidak boleh dibiarkan, jadi kami mendesak Anwar sendiri memberi penjelasan memandangkan dakwaan mengatakan beliau yang mengarahkan Abdul Khalid supaya membeli dengan nilai yang terlalu tinggi," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita baru-baru ini.

Baru-baru ini, pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamarudin dalam pendedahannya mendakwa, Anwar menyokong supaya Splash dibeli dengan harga RM2.5 bilion dan telah mengatur satu pertemuan antara Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (pemegang 30 peratus saham Splash) dengan Abdul Khalid untuk memastikan transaksi tersebut berjaya.

Raja Petra menerusi portal malaysia-today.net berkata, Abdul Khalid bagaimanapun enggan melakukannya menyebabkan kemarahan Anwar dan juga dikatakan menjadi sebab Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan Kerajaan PKR Selangor akan mengkaji semula perjanjian air di negeri itu selepas Wan Azizah dilantik Menteri Besar.

PAS Diminta Patuh Pandangan Dua Pemimpin

Posted: 29 Jul 2014 01:37 AM PDT

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR - Ahli Pas diminta patuh dengan pandangan dua pemimpin tertinggi parti itu yang mempertahankan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, sebagai ahli, mereka perlu menyokong pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku orang nombor satu parti itu yang turut mendapat sokongan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kita masih ada nakhoda dan perlu mengikutnya, jika tidak kita akan sesat. Kalau semua mahu menjadi nakhoda, maka tidak betullah.Sebagai ahli parti, kita kena patuh dengan dua pandangan pemimpin utama Pas ini yang dibuat selepas penelitian terperinci mengenai isu berkenaan," katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan tersebut memandangkan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Nik Abdul Aziz kemudian menyatakan sokongan terhadap pendirian Abdul Hadi dengan menyifatkan parti itu perlu meletakkan keutamaan ketaatan kepadanya walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu berhubung polemik yang sedang melanda pentadbiran Abdul Khalid.

Menurut Mahfodz, pendirian Abdul Hadi yang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor bukan keputusan baharu tetapi sudah ditetapkan oleh parti itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Mac lalu.

Kata beliau, dalam keputusan yang disepakati bersama itu, isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit tetapi menumpukan kepada soal calon yang diserahkan kepada PKR untuk membuat keputusan manakala Pas sebagai rakan dalam pakatan pembangkang akan membantu mengikut keperluan.

"Pandangan Abdul Hadi adalah tepat sebab ia bukan keputusan baharu. Pas sudah mengatakan bahawa PRK DUN Kajang tidak ada kena mengena dengan jawatan Menteri Besar Selangor.

"PKR sewajarnya tidak tergesa-gesa untuk mencalonkan Wan Azizah kerana Abdul Khalid sudah membayangkan mahu berkhidmat di jawatan berkenaan sehingga penggalnya berakhir pada 2018 sahaja," katanya.

Kotak Hitam Tunjuk Nahas Akibat Serpihan Roket

Posted: 29 Jul 2014 01:35 AM PDT

RAKYATNEWS


alt



KIEV (Ukraine) - Kotak hitam milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine menunjukkan terdapat serpihan dari letupan roket yang menyebabkan nahas pesawat penumpang itu, kata seorang pegawai keselamatan Ukraine pada Isnin.

Penyiasat antarabangsa "menunjukkan bahawa data perakam penerbangan menunjukkan bahawa sebab bagi kemusnahan dan kemalangan pesawat itu apabila mengalami penyahmampatan letupan yang besar akibat letupan roket," kata jurucakap Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Lysenko.

Data dari kotak hitam pesawat itu dianalisa di Britain selepas ia diserahkan kepada pegawai Malaysia oleh pemberontak pro-Rusia yang mengawal lokasi nahas MH17.

Kumpulan penyiasat yang mengetuai siasatan di Belanda enggan untuk mengesahkan maklumat terbaharu dari Kiev, dengan menyatakan bahawa mereka "sedang menunggu gambarAN lebih lengkap tentang apa yang telah berlaku."

Kiev dan sekutu baratnya mendakwa kumpulan pemberontak yang menembak jatuh pesawat itu, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Ganti MB: Khalid Ibrahim masih mahu tawar menawar?

Posted: 28 Jul 2014 05:01 PM PDT

Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic



[ULASAN] Sampai saat-saat genting minggu depan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih enggan berganjak daripada pendiriannya untuk terus berkhidmat "hingga tamat tempoh kerajaan Pakatan Rakyat" di Selangor pada tahun 2018.

Tanpa mengambil kira sentimen yang ditunjukkan oleh ahli serta pemimpin PKR serta sindiran daripada pemimpin-pemimpin  kerabat dari DAP dan PAS, Khalid bercakap soal kerusi Menteri Besar Selangor sebagai hak mutlaknya.

Ini tidak menghairankan kerana memang demikian sikap Khalid sepanjang tempoh enam tahun memerintah Selangor. Apa yang hendak dilakukannya, akan dilakukan juga meskipun banyak pihak, termasuk pimpinan parti membantah.

Ciri penting daripada gaya dan strategi kepimpinan Khalid ialah beliau mesti kelihatan tegas, berprinsip dan ada idea segar yang banyak demi meyakinkan rakyat, kawan dan lawan bahawa beliau seorang pemimpin berhemah tinggi.

Bersandarkan reputasi seorang tokoh korporat, Khalid mahu sentiasa diingati sebagai seorang yang teliti dalam membuat keputusan. Maklumlah orang korporat sentiasa bergelumang dengan angka dagang bernilai jutaan malah bilion ringgit.

Lantas segala kemungkinan dan ruang untuk melakukan kesilapan atau keputusan yang salah mestilah ditutup. Hasil yang ditunjukkan Khalid ialah, rizab Selangor meningkat hingga RM3 bilion!

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua

Bagaimanapun taktik Khalid ini tidak sentiasa berkesan. Kini ramai ahli dan pemimpin parti mula menyedari bahawa pendekatan pengurusan Khalid sebenarnya lebih banyak bertunjangkan keperluan meraih publisiti.

Bayangkan projek paling besar Khalid iaitu untuk membersih dan mengkomersilkan Sungai Klang. Projek RM10 bilion itu digembar-gemburkan sebagai satu "keajaiban" jika dilaksanakan.

Maka beraraklah Khalid dan rombongan pegawai serta penasihatnya ke Eropah dan Singapura untuk mempelajari cara rawatan dan pengurusan Sungai yang paling berkesan.

Namun selepas enam tahun, rakyat tahu itu hanya gimik politik dan publisiti sahaja.

Begitu juga dengan isu urusan air bersih di Selangor. Sejak mula masuk pejabat Menteri Besar, Khalid mempamerkan ketegasan mahu mengambil alih hak konsesi pengurusan air daripada SYABAS, SPLASH dan juga LUAS sepenuhnya.

Demi memenangi hati rakyat,
demonstrasi besar-besaran diadakan di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur untuk menunjukkan keazaman kerajaan pimpinannya mahu mengembalikan hak urusan air kepada rakyat.

Seraya itu, projek yang hampir siap untuk menyalirkan air dari Pahang ke Selangor di ulu Langat juga ditolak oleh Khalid sebagai satu lagi projek kroni kerajaan persekutuan Barisan Nasional. Khalid mahu kelihatan tegas.

Namun apabila apa krisis bekalan air benar-benar berlaku di Lembah Kelang awal tahun ini, tanpa silu Khalid membelakangkan pandangan parti dan Pakatan Rakyat dan menandatangani perjanjian menggerakkan semula cadangan asal sistem pengurusan bekalan air di Lembah Klang.

Khalid sedang tawar-menawar untuk kekal sebagai MB

Yang jelas sebagai orang korporat satu pendekatan politik Khalid ialah "tawar-menawar". Lazimnya, rundingan cara korporat memerlukan desakan dan gertakan tahap mengerikan. Mungkin ini yang sedang dilakukannya untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar.

Khalid sudah menggunakan pelbagai alasan untuk menepis syor dan desakan yang mahukan beliau letak jawatan. Daripada mengulangi syarat langkah itu perlu mendapat persetujuan Pakatan Rakyat hingga perlu perkenan Sultan hinggalah soal "janjinya" dengan rakyat, Khalid masih berkeras tidak mahu berhenti.

Sebagai orang yang sudah masak dengan politik korporat, Khalid tahu bahawa apabila parti sudah membuat keputusan beliau diganti, memang beliau memang tiada pilihan kecuali akur.  
Namun mengapa Khalid masih berdegil? Apakah sebenarnya yang beliau mahu pertahankan?

Maruah? Tentu Khalid faham, akur pada perintah parti adalah cara lebih bermaruah dalam politik!
Khalid sering mendabik dada bahawa rekod perkhidmatannya bersih dan telus. Memang setakat ini tiada cemar pada integritinya. Lantas apa yang hendak digusarkannya?

Lazimnya ahli politik ramai yang lebih khuatir bahawa "kecurangan" silam dan semasa berkhidmat akan dilondehkan apabila tiada lagi dalam perkhidmatan. Jika benar tiada pekong, apa yang dikhuatirkannya?

Atau, mungkinkah Khalid menganggap perjuangannya belum selesai? Lantas beliau lebih musykil apa akan berlaku pada banyak projek pembangunan raksasanya jika beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Menteri Besar?

Banyak projek-projek mega Khalid belum selesai

Pembangunan projek perumahan dan gedung mewah di Keramat, Kelana Jaya, Shah Alam dan Klang masih belum siap sepenuhnya. Tidakkah ada kemungkinan penggantinya nanti tidak akan membantu menyelesaikan projek-projek berkenaan?

Projek berbilion ringgit seperti I-City di Shah Alam juga belum sempurna. Kerajaan negeri sendiri sudah melabur berjuta ringgit untuk menjadikan projek Koridor Multimedia Super Kerajaan Pusat itu satu realiti.

Demi projek ini sahaja Khalid sanggup membawa barisan exconya untuk bermukim di Bangkok untuk terus "memujuk" pemaju besar yang berjaya di Thailand supaya membangunkan pusat beli terbesar di I-City

Adakah Khalid bimbang jika beliau berhenti sekarang, semua projek-projek lumayan berkenaan mungkin tergendala?

Mungkinkah beliau lebih mengutamakan "air muka" korporatnya jika gagal menepati janji untuk membantu mereka melaksanakan projek-projek mega sebegini hingga berjaya?

Maklumlah kebiasaan orang korporat mereka lebih sabar memungut laba, nama dan integriti di akhir tempoh pelaburan. Mungkinkah hasrat ini yang mendorong Khalid untuk bersikap "degil"mempertahankan kerusi Menteri Besar?

Malaysia masih runding gencatan senjata antara Ukraine, puak pemisah

Posted: 28 Jul 2014 04:58 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



UTRECHT:  Kerajaan Malaysia kini sedang berunding dengan kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, untuk mencapai gencatan senjata bagi memastikan laluan selamat untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Torez, timur Ukraine.

Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata kawasan gencatan senjata yang dirundingkan adalah berada dalam lingkungan kira-kira 35km di lokasi nahas MH17 yang terhempas pada 17 Julai lepas.

Beliau berkata rundingan gencatan senjata itu bertujuan untuk membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa, yang terdiri daripada Malaysia, Belanda dan Australia, mendapatkan semula sisa-sisa mayat mangsa dan bangkai pesawat Boeing 777-200ER untuk siasatan.

"Casis pesawat telah berselerak di sekitar kawasan tragedi itu dan ini adalah cabaran untuk kumpulan penyiasat untuk melaksanakan tugas mereka," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Mesej palsu: Hebah penafian di akaun rasmi

Posted: 28 Jul 2014 04:38 PM PDT


Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek


PUTRAJAYA - Orang ramai yang menjadi mangsa mesej dan akaun palsu di media sosial digesa menjelaskan perkara sebenar di akaun rasmi (sebenar) bagi mengelakkan kekeliruan timbul.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilik akaun seperti Facebook dan Twitter perlu menjelaskan keadaan sebenar jika akaun mereka telah diceroboh atau dipalsukan untuk memuat naik kenyataan berbaur fitnah dan negatif.

"Mereka yang merasakan diri mereka dianiaya atau ada orang menggunakan akaun mereka, ataupun orang membuat akaun palsu menggunakan nama mereka, boleh mereka membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri boleh menerangkan melalui akaun (rasmi) benar mereka, jika tunggu siasatan akan mengambil masa lama," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pejabat kementeriannya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut penyebaran maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial seperti Twitter, kononnya dikeluarkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengenai MH17.

Malah perkara itu menjadi kecoh apabila ia dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong dalam perbahasan usul tergempar mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, minggu lalu.

Bagaimanapun Rafizi bangun menafikan dakwaan mengatakan beliau memuat telah naik twit mengatakan kerajaan menggunakan duit rakyat untuk merasuah puak pemisah bagi mendapatkan kotak hitam pesawat MH17.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery juga menyifatkan akaun palsu atau parodi itu adalah sesuatu yang biasa dan merupakan sebahagian daripada perkara negatif dalam media sosial yang perlu dihadapi oleh semua pihak.

Namun tegasnya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan kepada umum jika akaun mereka diceroboh atau dibuat pendua.

"Saya sendiri pun melalui perkara ini, orang menggunakan akaun menyokong saya, tetapi sebenarnya memburukkan saya dengan menyampaikan mesej yang salah dan sebagainya.

"Sebab itu semua rakyat kena berhati-hati, tidak semua dalam media sosial itu betul, menggunakan nama orang itu betul, kita kena bertanya dulu apakah ini merupakan akaun sebenar," katanya lagi.

Suasana muram sambut Aidilfitri di Seri Perdana

Posted: 28 Jul 2014 04:34 PM PDT

MALAYSIAKINI


Pada 1 Syawal, sudah menjadi kebiasaan melihat sebilangan besar rakyat daripada pelbagai kaum membanjiri Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, bagi sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.
  
Jumlah pelawat kadang-kala mencecah lebih 100,000 orang pada satu-satu masa. Walaupun cuaca panas dan jaraknya kira-kira 35 km dari pusat bandar raya, orang ramai yang biasanya membanjiri Seri Perdana nampaknya tidak kisah.
  
Lagipun, bagi pelawat termasuk anggota pembangkang dan rakyat biasa, inilah peluang keemasan untuk mereka untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet yang lain secara bersemuka.
  
Namun tahun ini, tiada kemeriahan kecuali bagi sekumpulan kecil individu yang diundang khas bagi pertemuan tertutup di kediaman rasmi itu. Mereka termasuk sanak-saudara yang kehilangan orang tersayang dalam insiden MH370 dan MH17.
  
Walaupun ramai yang bersedih bahawa tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri dibatalkan bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam tragedi MH370 dan insiden MH17, mereka secara umum bersetuju bahawa pembatalan rumah terbuka besar-besaran di Seri Perdana adalah amat sesuai.

Selain majlis di Seri Perdana, Pejabat Perdana Menteri juga mengumumkan pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Ogos.
  
Bagaimanapun, sesetengah orang langsung tidak tahu tentang pengumuman pembatalan majlis itu dan masih berbaris di Seri Perdana pagi tadi, menurut beberapa orang saksi.
  
Tan Sri Robert Phang, Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial berkata pembatalan majlis rumah terbuka menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap perasaan sebilangan besar rakyat.
  
Beliau menyifatkan perdana menteri sebagai seorang yang amat bersimpati dan memahami perasaan anggota keluarga yang masih berdukacita atas kehilangan orang tersayang.
   
"Anda benar-benar seorang pemimpin yang amat memahami, bertimbang rasa, penyayang dan mesra yang sentiasa menawan hati rakyat. Keputusan yang amat tepat pada masanya dan dihargai," kata Phang dalam surat kepada perdana menteri meminta beliau mengadakan sambutan hanya secara kecil-kecilan dan kerajaan berbuat demikian.

"Pengulas yang kerap-kali membuat komentari mengenai perkembangan semasa, Rueben Dudley dari Petaling Jaya berkata, 2014 tercatat sebagai tahun yang malang bagi Malaysia dan dua tragedi yang menimpa Malaysia Airlines telah memberi alasan kepada rakyat Malaysia "untuk melupakan perayaan yang biasanya disambut untuk berkongsi kesedihan orang lain yang berkabung."
  
"Itu bukan untuk mengetepikan kesucian dan kepentingan adat dan amalan mana-mana perayaan. Tetapi, ia adalah sebagai menghormati mereka yang terkorban dan kehilangan orang tersayang," kata beliau.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah tidak sesuai untuk rakyat Malaysia berada dalam suasana riang seperti masa lalu ketika mayat mangsa tragedi MH17 masih disiasat.
  
"Kami hendak memberitahu dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan bersama dalam menghadapi saat-saat kesedihan akibat kehilangan orang tersayang," kata beliau dan menambah umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa hendaklah menyambutnya secara sederhana ekoran keadaan.
  
 
Apa yang Malaysia lakukan hari ini sudah tentu memberikan kesan positif kepada kehidupan mereka yang terjejas akibat tragedi MH17 dan MH370. Syabas Malaysia!   -Bernama

Mayat ditemui terapung di Sg Retang, Jerantut

Posted: 28 Jul 2014 04:32 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Retang, Jerantut berhampiran jambatan di sungai itu semalam.
  
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata, mayat Mohamad Firdaus Kamaruzaman, 21, yang berpakaian lengkap ditemui orang awam kira-kira pukul 4 petang tadi yang kemudiannya melaporkannya kepada polis.
  
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Felda Sungai Retang, baru sahaja keluar dari Pusat Serenti Jerantut, Khamis lepas.
  
"Menurut keterangan keluarganya, mangsa dipercayai keluar dari rumahnya kira-kira pukul 12 tengahari Sabtu lepas dan tidak pulang ke rumah selepas itu," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
  
Beliau berkata, polis percaya mangsa telah mandi di sungai itu sebelum terjatuh dan lemas.
  
Bagaimanapun, katanya polis masih menyiasat tentang perkara itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Jerantut untuk dibedah siasat.-Bernama

LTA: S'pura sesuaikan kadar tol M'sia di tambak

Posted: 28 Jul 2014 04:30 PM PDT

MALAYSIAKINI


Jika tol baharu dikenakan atau kadar tol dinaikkan oleh Malaysia di Tambak Johor, kerajaan Singapura akan menyesuaikan pelaksanaan tol baharu dan kenaikan kadar tol itu dalam masa terdekat, kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA)
  
Ini kerana telah menjadi amalan kerajaan Singapura untuk menetapkan kadar tol Singapura supaya disesuaikan dengan kadar yang ditetapkan oleh Malaysia di Tambak dan Link Kedua, kata jurucakap LTA dalam satu kenyataan semalam.
  
Berhubung pertanyaan media, jurucakap itu menarik perhatian kepada laporan media bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia akan menaikkan kadar tol bagi semua kenderaan, kecuali motosikal bagi perjalanan dari Singapura ke Johor melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) berkuatkuasa mulai 1 Ogos, 2014.
  
Jurucakap itu berkata perubahan kadar tol itu adalah berbeza dengan pengumuman Malaysia sebelumnya untuk melaksanakan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing yang memasuki Johor.
  
"Kerajaan Singapura belum menerima apa-apa maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai tol baru atau kenaikan bayaran tol dan telah meminta pengesahan rasmi daripada Kerajaan Malaysia berhubung laporan media itu.-Bernama

Percepat proses bedah siasat mangsa MH17

Posted: 28 Jul 2014 04:18 PM PDT

MH17


PUTRAJAYA - Malaysia akan berbincang dengan Belanda bagi mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat mayat mangsa nahas MH17.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Belanda pada Rabu ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.
 
"Malaysia bersedia menawarkan pegawai forensik dan bantuan lain bagi tujuan itu.

"Kita juga akan  memantau proses yang sedang dijalankan untuk memastikan segala pemeriksaan dan penghantaran mayat selesai secara cepat dan dapat dibawa ke negara ini seberapa segera," katanya yang ditemui semasa mengadakan lawatan di Hospital Putrajaya sempena Aidilfitri di sini, hari ini.
 
Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, proses bedah siasat mengambil masa agar semua bukti dapat dikumpul bagi membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu ke muka pengadilan.

"Oleh itu segala proses mesti menerusi kaedah yang betul tanpa jalan singkat," katanya.
 
Dalam kejadian 17 Julai lalu, pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine dipercayai akibat ditembak.
 
Nahas itu mengorbankan kesemua 283 penumpang dari pelbagai negara dan  15 anak kapal. - Bernama

15 tahun ku beraya di plaza tol

Posted: 28 Jul 2014 04:17 PM PDT


Lebuh Raya Utara-Selatan mulai sesak selepas Plaza Tol Jalan Duta arah utara apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman. – Foto Bernama Lebuh Raya Utara-Selatan mulai sesak selepas Plaza Tol Jalan Duta arah utara apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman. – Foto Bernama


SHAH ALAM - [VIDEO] "Saya bekerja bersama syarikat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan, Plus Malaysia Berhad (Plus) selama 15 tahun dan sejak itu setiap kali Aidilfitri saya beraya di kaunter tol," kata Nor Azita Tawarith Effendi, 35, ketika bercerita tentang pengalaman kerjanya.

Nor Azita berkata, pelbagai kenangan pahit manis yang dia lalui sepanjang perkhidmatannya, lebih-lebih lagi ketika berkhidmat di kaunter tol di hari raya.

"Perasaan saya sedih sangat...ya lah terpaksa beraya di kaunter tol, tetapi hendak buat macam mana ini tugas saya.

"Kalau hari raya, lepas kerja baru boleh telefon keluarga, sebab susah hendak bercakap ketika bekerja.

"Waktu itulah saya lepaskan kerinduan saya pada keluarga, ucap selamat hari raya kepada ibu dan ayah serta seluruh ahli keluarga," katanya.

Berbicara lanjut Nor Azita berkata, kesedihan tidak dapat beraya di kampung dek kerana bertugas di pagi raya sedikit terubat tatkala pengguna tol sudi 'beraya' bersamanya.

"Alhamdulillah...ketika mereka (pengguna tol) bayar duit tol, ada yang hulur lemang, ketupat dan kuih raya.

"Mereka berbual dengan saya, mereka tanya tak balik raya ke adik, hati saya sayu sahaja..tetapi itulah..sapaan mereka ini membuatkan saya sedikit ceria," katanya.

Dalam pada itu Nor Azita berkata, dia juga pernah mendapat duit raya daripada pengguna tol ketika bertugas.

"Kita ingat setengah pengguna lalu sahaja..tetapi tahun sudah saya telah dapat duit raya sebanyak 50 ringgit, terkejut jugaklah," katanya.

Sementara itu menurut Haslindawati Kudus, 39, beliau turut berkongsi perasaan yang sama dengan rakan setugasnya itu.

Haslindawati Kudus yang berkhidmat selama 20 tahun bersama Plus berkata, dirinya sudah acap kali bertugas tatkala Aidilfitri.

"Macam biasalah perasaan sedih itu tidak dapat lari, tambahan pula saya sudah mempunyai tiga orang anak, lagilah sedih.

"Tetapi mereka fahamlah," katanya.

Dalam pada itu, Haslindawati berkata bagi menghilangkan perasaan sedihnya ketika bertugas di hari raya beliau bersama rakan-rakan yang lain akan membuat jamuan raya.

"Kami buat makan-makan, hilanglah sikit  perasaan hiba itu," katanya.

Lafaz Maaf 'Kosong-Kosong' Kurang Ikhlas?

Posted: 28 Jul 2014 04:11 PM PDT

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: "Maafkan saya...kosong-kosong ya". Itulah ungkapan yang sering kita dengar dewasa ini setiap kali Syawal menjelma.

Walaupun ungkapan yang dianggap mengikut peredaran masa itu tidak menjadi satu kesalahan untuk diucapkan, namun ia dianggap sebagai satu 'amalan' yang longgar jika mengikut syariat Islam sebenar.

Mufti Kelantan Datuk Muhammad Shukri berkata adalah lebih afdal jika umat Islam bersalaman pada hari raya sambil melafazkan ucapan 'maafkan saya zahir dan batin' berbanding hanya' kosong-kosong' kerana tidak melambangkan keikhlasan dalam memohon kemaafan.

"Dalam Islam kita panggil musafaha iaitu berjabat tangan sambil kita lafazkan kata meminta maaf dan memohon agar semua kesilapan serta kesalahan kita pada individu tertentu dimaafkan.

"Perkataan maaf itu sebaiknya dilafazkan sebagai tanda kita minta lupakan peristiwa lampau, jangan ada parut sekalipun dan buka lembaran baharu," katanya kepadaBernama.

Muhammad menarik perhatian apabila berkata memohon dan memberi kemaafan bukan hanya ketika Hari Raya, sebaliknya amalan mulia itu wajar dilakukan pada setiap masa.

Nabi Muhammad SAW sendiri meminta ampun daripada Allah SWT sebanyak 70 kali setiap hari, kata Mufti Kelantan itu.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' itu ibarat merosakkan nilai serta budaya masyarakat Melayu yang cantik dan indah.

"Tamadun yang dibina patut lebih baik dan bukan dirosakkan. Bukankah indah dan cantik ungkapan maaf zahir dan batin.

"Orang Inggeris misalnya cakap 'sorry' atau 'please forgive me', tapi kenapa kita nak ucap kosong-kosong yang hanya sementara dan berubah-ubah," kata Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ramlah berkata menghulurkan tangan dan melafazkan kata memohon maaf merupakan satu akad yang betul berbanding dengan hanya mengucapkan 'kosong-kosong' yang menurutnya langsung tidak menunjukkan keikhlasan memohon kemaafan.

"Itu mungkin sekadar budaya baharu, tapi ia tak gambarkan tentang minta maaf.

"Kita mungkin salah pada individu tertentu, tapi tak semestinya orang itu bersalah pada kita. Jadi macam mana kita boleh kata 'kosong-kosong'," jelas Ramlah.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dinyatakan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara Prof Dr Kamaruddin M.Said apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' merupakan satu budaya baharu yang tidak dapat ditolak bagi menghidupkan lagi suasana sambutan Hari Raya.

"Tidak ada masalah dengan ucapan itu, sebab masyarakat sekarang dah faham ia merujuk kepada permohonan maaf.

"Implikasinya tetap sama walaupun tanpa ucapan maaf zahir dan batin, tidak mengucapkan ungkapan itu bukanlah satu kesalahan," katanya.

Data kotak hitam sahkan MH17 ditembak

Posted: 28 Jul 2014 04:08 PM PDT

MH17


MOSCOW – RUSIA. Data yang diperoleh daripada kotak hitam MH17 yang terhempas baru-baru ini menunjukkan kapal terbang itu telah ditembak jatuh sehingga menyebabkan berlakunya letupan besar.

Melalui laporan sebuah portal hari ini, kenyataan tersebut didakwa didedahkan oleh jurucakap Majlis Pertahanan dan Keselamatan Ukraine, Andriv Lysenko.

Bagaimanapun pihak berkuasa Eropah yang turut menganalisa data dan maklumat yang terdapat dalam kotak hitam terbabit masih belum membuat sebarang pendedahan setakat ini.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk bayi telah disahkan ditembak jatuh pada 17 Julai lalu pada ketinggian 33,000 kaki di udara.

Nahas tersebut telah mengorbankan kesemua nyawa penumpang dan anak kapalnya.

Dalam pada itu, Malaysia kini sedang mengadakan usaha rundingan bagi menggesa Belanda untuk mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat ke atas mangsa bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.

Data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat pesawat tersebut direka dan dipasarkan pada pertengahan tahun 1990-an dan ia mungkin akan menyukarkan pasukan penyiasat untuk memperoleh data jelas dan lengkap.

Tiada ulasan: