DIALOG RAKYAT |
- Dr M bimbang MB gagal nasihati sultan
- The Malaysian Insider bertukar pemilik
- Istihalah babi masalah khilafiyyah
- Rozita Che Wan Sekat 1,000 Pengikut Instagram
- Keluarga Penumpang MH370 Lancar Kempen Kutip Dana
- Yammy Kecewa Belum Terima Surat Tunjuk Sebab
- Kos fasa pertama cari MH370 RM27.6 juta
- Masuk percuma lihat panda selama sebulan
- Jamin harga barang tak naik
- LPHJ: Surat terbuka kepada MB Johor
- 'R' serah memo tuntut royalti 20 peratus kepada Kelantan
- Lantik pembantu guru urus kerja pengkeranian
Dr M bimbang MB gagal nasihati sultan Posted: 09 Jun 2014 12:15 AM PDT MALAYSIAKINI Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bimbang Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin gagal menasihati Sultan Johor dalam isu Rang Undang-undang lembaga Perumahan dan Hartanah Johor. Menurut beliau walaupun pindaan pada rang undang-undang tersebut, Khaled mungkin tunduk kepada adat tradisi negeri Melayu yang menganggap sultan sebagai ketua. "Ini adat Melayu, jika sultan berkata sesuatu, ia mesti diikut dan saya bimbang bukan dia (MB) yang menasihati Sultan tapi Sultan yang akan nasihat dia," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucap utama Bengkel dan Anugerah Human Life Advancement Foundation (HLAF) hari ini. Mahathir berkata, Sultan Johor tidak seharusnya terlibat dalam pentadbiran eksekutif negeri demi menghormati Perlembagaan Persekutuan. "Kita tak guna sistem adat tradisional, kita ada sistem raja berpelembagaan. Dulu selepas merdeka kita pilih untuk (ikut) sistem ini. Saya harap agar Perlembagaan dihormati," kata beliau. Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu berkata beliau bimbang kerana Johor sebuah negara yang kaya tetapi menjual terlalu banyak tanah kepada rakyat asing. Beliau bagaimanapun memuji kerajaan negeri Johor kerana sedar dan cuba mengelakkan perkara ini dari berlaku "Saya dengar banyak tanah di Johor telah dijual kepada rakyat asing. Ini perkara tidak bagus dan ianya tidak dilakukan oleh kerajaan negeri. "Mereka cuba baiki dan ini tunjukkan bagaimana tegasnya kerajaan negeri. Mereka tahu ini salah," kata beliau. Rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang bakal memberi kuasa kepada Sultan untuk melantik ahli dan membubarkan lembaga dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri minggu lalu. Seorang ADUN Johor memberitahu Malaysiakini semalam bahawa pindaan untuk memasukkan peruntukan supaya anggota lembaga dilantik oleh sultan dengan nasihat MB akan dilakukan hari ini. |
The Malaysian Insider bertukar pemilik Posted: 09 Jun 2014 12:09 AM PDT MALAYSIAKINI The Edge Media Group mengumumkan syarikat tersebut mengambil alih portal berita The Malaysian Insider bagi meningkatkan penampilannya dalam bidang media digital di Malaysia. Penerbit dan juga ketua pegawai eksekutif The Edge Media Group Ho Kay Tat berkata, langkah itu akan memberi peluang untuk mempelbagaikan platform medianya. "Sebagai sebuah kumpulan media serantau yang bersepadu, kami sentiasa mencari peluang untuk mempelbagaikan platform media dan kami gembira kerana memiliki The Malaysian Insider sebagai sebahagian daripada portfolio kami," katanya. Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada sidang redaksi The Malaysian Insider akan digabungkan dengan redaksi FZ.com, yang turut menumpukan bidang laporan sama. The Edge mengeluarkan kenyataan tersebut susulan pengumuman ketua pengarang portal tersebut, Jahabar Sadiq melalui Twitter pagi ini. |
Istihalah babi masalah khilafiyyah Posted: 09 Jun 2014 12:07 AM PDT Dr Mohd Asri Zainul AbidinSaya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini. Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Bagi menyokong hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi. Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas. Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Maghribi pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya. Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah. Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun Bone China seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut beberapa pendapat. Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani. Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi. Bukan orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi. Ini boleh difahami juga seperti rakyat Muslim Singapura yang meminum new water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapura sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan. Kita mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan. Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredai Allah untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud terutama mereka yang hidup di negara minoriti Muslim. Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna. |
Rozita Che Wan Sekat 1,000 Pengikut Instagram Posted: 09 Jun 2014 12:01 AM PDT Oleh: NIEZAM ABDULLAH Rozita, 41, atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta berkata, dia juga akan membuang mana-mana status peminat yang dirasakan tidak bersesuaian ataupun menyakitkan hati. "Bagi saya, Instagram saya adalah 'personal' . Adalah menjadi hak saya untuk meletakkan gambar saya. Kalau sesiapa yang tak suka jangan follow. "Saya pun pernah… lebih kurang 1,000 orang saya block," katanya. Rozita berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan h live yang disiarkan menerusi Astro Ria dan Maya HD pada Ahad pukul 8.30 malam. Pelakon itu ditemubual pengacara Datuk Aznil Nawawi. Ketika ini Rozita menerusi akaun Instagram miliknya iaitu rozitachewan1 mempunyai lebih 300,000 pengikut. Dalam pada itu Rozita berkata, dia juga kecewa setiap kali memuat naik gambar-gambarnya bersama suami iaitu Zain Saidin, banyak komen negatif diberikan pengikut laman sosial itu. Malah gambar percutiannya dengan Zain di Paris pada bulan lalu turut menjadi isu apabila aksi mereka berbaring di atas katil dan juga berpelukan seolah-olah bercium dengan berlatar belakangkan menara Eiffel turut dikritik. Saya muat turun gambar pun, gambar dengan laki (suami). Sebenarnya gambar kami nampak macam bercium tu, sebenarnya kami bukan bercium pun. "Tapi bila kita jelaskan, dia orang tetap kata tu gambar bercium. Kalau bercium pun apa salahnya, bukan laki (suami) orang," katanya sambil ketawa. Tambah Rozita walaupun dia sakit hati dengan komen-komen itu namun dia tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan. Bagaimanapun dia benar-benar marah apabila isu Zain mewarnakan rambut perang dipersoalkan tanpa peminat mengetahui perkara sebenar. Ujar Rozita, Zain terpaksa berbuat demikian kerana terikat dengan kontrak lakonanya memegang watak sebagai Mr. Henry Middelton dalam Oh My English musim ketiga yang akan berakhir penggambarannya sehingga hujung tahun ini. "Zain warna rambut pun nak komplen. Kita buat sesuatu benda mesti ada sebab. Dia terikat dengan Oh My English. Orang asyik nampak buruk je," katanya yang kini mengandung lima bulan. |
Keluarga Penumpang MH370 Lancar Kempen Kutip Dana Posted: 08 Jun 2014 11:57 PM PDT MSTAR ONLINE "Kempen 'Reward MH370' dilancarkan di laman web mengumpul dana, Indiegogo pada pukul 8 malam Ahad dan mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya AS$5 juta 'untuk menggalakkan pemberi maklumat tampil dengan maklumat," kata keluarga penumpang terbabit dalam satu kenyataan. Pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang hilang dari radar pada 8 Mac lalu. Pesawat Boeing 777 itu dipercayai berakhir di Lautan Hindi tetapi operasi mencari dan menjejaki kapal terbang itu terus menemui jalan buntu apabila tiada serpihan ditemui. "Kami yakin bahawa di suatu tempat, seseorang mengetahui sesuatu dan kami berharap ganjaran ini akan menariknya untuk tampil dengan maklumat," kata Ethan Hunt, ketua syarikat teknologi yang mengetuai projek 'Reward MH370'. Sarah Bajc, teman wanita, penumpang warga Amerika, Philip Wood berkata, kesemua keluarga penumpang terlibat menyokong kempen tersebut bagi merungkai misteri kehilangan pesawat itu. "Kerajaan dan agensi telah memberikan yang terbaik tetapi gagal menemui sebarang bukti. Saya yakin bahawa ada pihak yang sedang menyembunyikan sesuatu," katanya. Malaysia dan Australia yang mengetuai operasi pencarian itu berjanji akan terus mengesan pesawat tersebut. |
Yammy Kecewa Belum Terima Surat Tunjuk Sebab Posted: 08 Jun 2014 11:55 PM PDT Menurut Yammy, beliau teruja untuk melihat surat berkenaan sebelum memutuskan sama ada mahu menjawabnya ataupun tidak. "Memanglah saya tunggu sangat surat itu, nak tahu apa butirannya. Tapi malangnya sampai hari ini saya belum terima lagi. "Rugilah saya kerana masa yang diberikan untuk menjawab surat itu makin suntuk," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy pada 3 Jun lalu berhubung tindakannya menyokong kempen calon parti yang menentang Barisan Nasional (BN). Ahli veteran Umno itu diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat berkenaan. Mengulas lanjut, Yammy mempersoalkan kelewatan pengurusan Umno mengendalikan kes berkenaan, selain mendakwa partinya itu cuba menafikan haknya sebagai ahli untuk membela diri. "Mustahil Umno gagal cari saya untuk beri surat itu. Bukannya mereka tak kenal siapa saya. Kalau serah kepada Pejabat Umno Perak atau pejabat bahagian pun pastinya akan sampai kepada saya. "Malah Ketua Cawangan saya, Idris Samat adalah abang kandung saya sendiri...bertambah mustahil surat itu tak boleh sampai," katanya. Yammy merupakan ahli Umno Cawangan Kampung Tawas Tambahan dalam Bahagian Ipoh Barat. Sementara itu Pejabat Umno Perak ketika dihubungi turut gagal memberi sebarang maklumat mengenai status surat tunjuk sebab yang perlu dijawab Yammy selewat-lewatnya pada 17 Jun ini. |
Kos fasa pertama cari MH370 RM27.6 juta Posted: 08 Jun 2014 11:45 PM PDT KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mendedahkan kos mencari dan menyelamat pesawat penerbangan MH370 bagi fasa pertama membabitkan RM27.6 juta. Jelasnya, kos tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan kos yang dikeluarkan negara lain untuk menggerakkan aset dan jentera pencarian yang menelan belanja lebih US$23juta (RM73.5 juta). "Kos tersebut digunakan untuk pembiayaan awal bagi menggerakkan aset milik kerajaan Malaysia dan tentera dari segi kos bahan api (minyak), makan dan minum pasukan pencarian," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. |
Masuk percuma lihat panda selama sebulan Posted: 08 Jun 2014 11:38 PM PDT PUTRAJAYA - Orang ramai mungkin diberi kemasukan percuma untuk melihat pasangan panda gergasi di Zoo Negara bagi tempoh sebulan, selepas ianya diberi nama baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun ini. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak zoo sebagai meraikan kehadiran panda jantan Fu Wa dan panda betina Feng Yi di negara ini dari Chengdu, China. "Saya akan bercakap dengan Presiden Zoo Negara (Datuk Seri Zaharin Md Arif) bagi membolehkan kemasukan percuma kepada orang ramai untuk sebulan. "Kita tetapkan seramai 1,200 orang untuk melihat panda dalam satu hari iaitu, 200 orang bagi satu lawatan dengan (tempoh) 20 minit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Sumber Air Malaysia 2014, di sini, hari ini. Palanivel berkata selepas tempoh itu harga tiket untuk melawat pasangan panda itu mungkin dikenakan RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. Pasangan panda itu yang dipinjamkan oleh kerajaan China melalui program Perjanjian Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi Malaysia-China, kini masih di tempat khas di ZooNegara untuk membolehkan haiwan itu menyesuaikan dengan persekitaran baharu. Mengulas lanjut Palanivel berkata kedua-dua panda yang masih dikuarantin, akan ditempatkan di lokasi berasingan di Zoo Negara pada 21 atau 22 Jun ini sebelum upacara perasmian oleh Perdana Menteri. "Kedua-dua Panda itu sihat, berat pun meningkat dan menyesuaikan diri dengan persekiratan Malaysia. Duta China telah beri tiga nama baharu dan kita akan memilih nama sesuai bagi Panda itu," katanya. Pada 25 Mei, Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat pasangan panda gergasi itu sambil membuat catatan dan memuat naik gambar lawatan dalam laman Facebook dengan menyifatkan ianya simbol keamanan dalam budaya China dan amat dihormati. Pasangan panda gergasi itu akan berada di Malaysia selama 10 tahun sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China selama 40 tahun yang disambut pada 31 Mei lepas. Melalui program yang dimeterai pada 2012, Malaysia mempunyai peluang untuk menjalankan penyelidikan pemuliharaan panda gergasi selain dapat membangun dan melatih pakar dalam bidang itu. - Bernama |
Posted: 08 Jun 2014 11:29 PM PDT Hasan Malek SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan barang-barang selain keperluan harian tidak akan mengalami kenaikan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun hadapan. Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pembekal dan peniaga menaikkan harga kerana ia akan membebankan pengguna. Menurutnya, sebagai pihak yang bertanggungjawab, KPDNKK akan sentiasa berhubung dengan pembekal untuk memastikan perkara sedemikian tidak berlaku. "Saya akan berjumpa sendiri dengan semua pembekal ternakan, perladangan dan industri untuk melihat laporan mereka. "Menerusi perjumpaan bulanan ini, kita akan dapat mengetahui masalah dan juga memastikan pembekal tidak akan mengambil kesempatan," katanya. Hasan diminta mengulas mengenai keluhan rakyat mengenai harga seperti pakaian, makanan dan perkhidmatan yang dibimbangi akan mengalami kenaikan apabila GST mula dilaksanakan . "Pengguna tidak perlu bimbang kerana GST dibuat di atas kepentingan rakyat. KPDNKK juga sentiasa membuat pemantauan terhadap apa sahaja isu melibatkan pengguna. "Pengguna perlu bijak dan jika berlaku apa-apa seperti kenaikan harga, barang tidak cukup boleh berhubung terus dengan pihak kita," katanya. Ketika ditanya mengenai adakah kemungkinan petrol dan diesel akan dikenakan GST, Hasan berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. "Banyak perkara perlu diperhalusi sebelum keputusan dibuat. Saya percaya Kementerian Kewangan akan membentangkan isu ini apabila sampai masanya. "Perkara ini pasti memerlukan penelitian terperinci dan saya harap semua pihak perlu percaya pada kerajaan," katanya. |
LPHJ: Surat terbuka kepada MB Johor Posted: 08 Jun 2014 11:21 PM PDT d/a Tetuan Hassan Karim & Co., Peguambela & Peguamcara Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor. Tel: 07-6881839 (H/P:012-793-11-48) Tarikh: 7hb Jun 2014 Kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Besar Johor Pejabat Menteri Besar Johor, Aras 3, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, 79000 Nusajaya, Johor YAB Datuk Seri, Asalamualaikum Saudara, PER: RANG UNDANG-UNDANG LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH JOHOR 1. Dengan rendah hati saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Hassan Karim seorang rakyat Johor, warganegara Malaysia yang tinggal di Pontian, Johor serta beralamat seperti di atas. 2. Surat terbuka ini ditujukan dan dialamatkan kepada saudara selaku Menteri Besar Johor. Saya ingin merujuk perkara yang tersebut di atas iaitu mengenai Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor, ringkasnya RUU (LPHJ). 3. Saya mendapat maklum dari media bahawa pada hari Isnin ini 9.6.2014 RUU (LPHJ) akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Nusajaya. RUU(LPHJ) itu jika diluluskan oleh DUN maka ia akan menjadi satu enakmen yang mempunyai ciri-ciri, antara lainnya seperti berikut:- a) ia memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk menyelia akaun LPHJ; b) Sultan Johor mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu; c) Sultan diberi kuasa menentukan jumlah elaun dan saraan ahli lembaga pengarah; d) Sultan diberi kuasa melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ. 4. Saya percaya jika RUU (LPHJ) seperti yang ada sekarang diluluskan maka ia akan membawa implikasi bahawa Kerajaan Johor yang dipilih oleh rakyat memberi kuasa kepada Sultan untuk terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan. 5. Saudara sebagai Menteri Besar yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia tentu lebih faham bahawa RUU (LPHJ) yang akan dibentangkan di DUN Johor ini adalah bercanggah dengan konvensi sistem berkerajaan di Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. 6. Saudara sebagai Menteri Besar Johor mestilah menjadi benteng untuk mempertahankan kedua-duanya iaitu institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Saudara mesti mengambil apa juga langkah untuk mengelakkan supaya Sultan Johor tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri secara langsung sebagai kuasa eksekutif. Ini untuk mengelakkan Sultan Johor dari terdedah kepada penghinaan. Sebagai contoh, sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam, saudara tentu faham bahawa jika Sultan diberi kuasa untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, maka keputusan Sultan itu adalah satu keputusan eksekutif kerajaan dan ia boleh dicabar di mahkamah di dalam prosiding Semakan Kehakiman (Judicial Review). Sanggupkah saudara melihat ke bawah duli Sultan Johor diheret ke Mahkamah Sivil sebagai seorang responden oleh pihak-pihak yang berasa terkilan apabila diberhentikan sebagai ahli lembaga pengarah? Jika ini berlaku tidakkah Sultan akan terdedah kepada penghinaan? Jika saudara masih sayangkan Sultan! 7. Saya ingin bertanya, adakah saudara mendapat nasihat perundangaan dari Penasihat Undang-Undang Negeri Johor (PUNJ) apabila saudara sebagai ketua Majlis Jemaah Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, mudahnya kerajaan Johor hendak membentangkan RUU (LPHJ)? Jika ada nasihat dari PUNJ, apakah nasihat mereka? PUNJ memikul tanggungjawab sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan Johor. Siapa yang menderaf RUU (LPHJ) ini? Adakah diteliti oleh PUNJ? Jika PUNJ berkata "Yes" sahaja terhadap RUU (LPHJ) itu, nyata sekali PUNJ telah melakukan satu kecuaian. Tapi ini satu spekulasi sahaja. 8. Jadi siapa sebenarnya yang menderaf, mendesak supaya RUU (LPHJ) ini dibentangkan? Adakah Sultan Johor tahu? Adakah baginda setuju? Atau adakah baginda Sultan yang mengarahkan supaya dibentangkan dengan peruntukan seperti yang ada sekarang? Ini satu pertanyaan. Saudara mesti telus. Perkara ini sudah jadi isu nasional. 9. Sekarang saudara perlu memikul satu lagi tanggungjawab. Saudara jadi Menteri Besar kerana saudara menang sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri Permas, dalam negeri Johor. Parti politik saudara Umno/BN menjadi parti yang menang majoriti di DUN Johor. Saudara tidak berada di dalam DUN Johor kerana dilantik oleh Sultan. Rakyat yang lantik saudara. Jadi saudara perlu memikul satu lagi konvensi sistem bernegara dan bernegeri di Johor dan Malaysia ini iaitu sistem Demokrasi Berparlimen. 10. Demokrasi berparlimen adalah secara mudah difaham ialah kuasa rakyat yang memilik satu kerajaan iaitu kerajaan pilihan rakyat melalui satu pilihan raya yang bersih dan adil. Jadi tugas saudara sebagai Menteri Besar ialah sentiasa bersikap cermat, waspada, dan sentiasa cemburu supaya kuasa kerajaan pilihan rakyat tidak diceroboh oleh pihak istana. Bukan seperti apa yang berlaku sekarang. Saudara telah buka pintu seluas-luasnya untuk Sultan berkuasa di dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam satu bidang yang amat penting dan strategik iaitu sektor perumahan dan hartanah. Jadi saudara telah pecah amanah yang diberi oleh rakyat. Saudara telah gagal untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Johor. Perlu diingat, Johor bukan satu negeri berdaulat dan merdeka sendiri. Johor adalah satu komponen dalam Persekutuan Malaysia yang merdeka. 11. Saudara selaku Menteri Besar perlu memikul tanggung jawab terhadap isu ini yang boleh menjadi satu skandal perundangan dan perlembagaan. Saudara perlu dipersalahkan sekiranya akhirnya institusi raja dan Sultan Johor dihina rakyat. Saudara perlu melindungi hal seperti itu berlaku. Ini memerlukan seorang Menteri Besar yang bijaksana, tegas dan berpandangan jauh untuk menasihati Sultan, jika di pihak Sultan sendiri yang begitu ghairah untuk mempunyai kuasa eksekutif. Saudara mesti menasihati baginda. Sekian sahaja surat saya ini. Harap maaf jika ada tersilap kata dan bahasa. Terima kasih. Yang benar, Hassan Karim |
'R' serah memo tuntut royalti 20 peratus kepada Kelantan Posted: 08 Jun 2014 11:18 PM PDT KUALA LUMPUR: Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan yang lebih dekenali sebagai NGO 'R' hari ini menyerahkan memorandum kepada anggota parlimen di Dewan Rakyat. Memorandum tersebut antara lain mendesak kerajaan pusat membayar hak royalti Kelantan yang tertunggak dan tidak pernah dibayar. Disamping bayaran tunggakan lebih RM10 bilion itu, mereka juga mendesak bayaran royalti kepada negeri Kelantan dinaikkan kepada 20 peratus. Presidennya Nazri Deraman berkata, ianya selaras dengan kelulusan usul yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menuntuk kerajaan pusat menaikkan bayaran royalti di negeri itu dari lima peratus kepada 20 peratus. Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Ahli Parlimen Kelantan iaitu Datuk Kamaruddin Jafaar (PAS-Tumpat) dan Ahmad Baihaqi Atikullah (PAS-Kubang Kerian) bagi dibangkitkan dalam persidangan dewan. Kamaruddin pada sidang medianya berkata, apa yang berlaku sangat jelas bahawa kerajaan negeri dan rakyat Kelantan telah dinafikan hak sejak sekian lama. "Royalti kepada Kelantan tak pernah diberikan daripada awal lagi .Oleh sebab itu amat jelas suatu ketidakadilan kepada negeri dan rakyat Kelantan," katanya sambil menambah akan memanjangkan memorandum itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). - |
Lantik pembantu guru urus kerja pengkeranian Posted: 08 Jun 2014 11:16 PM PDT Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad ketika mencadangkan perkara itu di Dewan Rakyat berkata, ianya penting supaya fokus guru-guru kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) tidak terganggu dengan tugas-tugas yang lain. "Pihak kementerian perlu menyediakan pembantu guru untuk meringankan beban tugas guru di sekolah. "Saya cadangkan ada satu orang pembantu guru untuk menyelesaikan tugas pengkeranian. Bagi 20 orang cikgu, tempatkan seorang kerani," kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014, hari ini. Bantuan guaman Sementara itu beliau turut mencadangkan pihak kementerian menyediakan bantuan guaman kepada guru-guru yang berdepan saman oleh ibu bapa dan murid. Katanya, guru-guru zaman sekarang terpaksa berdepan pelbagai resiko dalam mendidik anak bangsa, sedangkan niat mereka sangat murni hanya untuk melihat anak murid mereka menjadi orang yang baik dan berguna. "Kadang-kadang kes saman ini menyebabkan mereka trauma. "Akhirnya mereka mengambil sikap, mengajar sekadar untuk habiskan silibus, anak murid nak jadi apa mereka tak kisah," katanya lagi. Mengulas isu kebajikan guru, Idris berkata makna 'kebajikan' kepada guru bukan sahaja setakat bantuan material semata-mata. Sebaliknya kata beliau, makna lebih besar adalah dari sudut kepuasan mereka untuk menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa diganggu dengan perkara yang remeh-temeh. "Kita tak mahu bila mula hari Ahad atau Isnin, guru mula rasa resah sebab terbayang bebanan mereka di sekolah. "Kita tengok anak guru-guru, tidak berminat nak jadi guru apabila melihat bebanan ibu dan bapa mereka ketika di sekolah dan bebanan itu juga dibawa balik ke rumah "Setiap kali menteri bertukar, polisi pun bertukar, wujud keresahan di kalangan guru," katanya. Tambah bajet Idris yang juga AJK PAS Pusat turut menggesa pihak kerajaan menambah peruntukan kepada sektor pendidikan dalam negara ini. Katanya, peruntukkan bagi pembangunan pendidikan di Malaysia jauh lebih rendah berbanding beberapa buah negara lain. Laporan oleh Human Development Index (HDI) pada 2011 menunjukkan perbelanjaan pendidikan berbanding KDNK bagi Malaysia hanya 4.1 peratus berbanding Denmak 7.8 peratus, Finland 5.8 peratus dan Timor Leste 16.8 peratus. "Kadang -kadang kita tengok kesian ada cikgu bawa kad balik kampung nak kutip duit untuk maraton sekolah. "Seolah-olah negara kita ni sengkek, miskin sangat sampai cikgu kena pergi mintak sedekah," jelasnya sambil menambah sepatutnya guru tidak perlu sampai berbuat begitu. Selain itu, beliau turut menggesa anggota lembaga pengarah kepada Yayasan Guru Tun Hussein Onn dilantik daripada mereka yang ada kepakaran serta memahami tugas dan beban guru. Beliau turut mencadangkan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim dilantik sebagai salah seorang anggota yayasan tersebut. - |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan