Jumaat, 6 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


3 Menteri Bakal di Singkir Sudah Terjawab??

Posted: 06 Jun 2014 08:17 AM PDT

TRANUNGKITE


 


Sekurang-kurangnya tiga menteri dilaporkan akan meninggalkan Kabinet berikutan rombakan yang akan dilakukan tidak lama lagi.

Tiga menteri tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Koperasi Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum.

Portal Malaysian Digest memetik sumber pejabat Perdana Menteri sebagai berkata, rombakan Kabinet yang bakal menyaksikan penyingkiran menteri terbabit mempunyai kaitan dengan prestasi masing-masing.

"Mereka ini adalah antara nama yang disebut akan meninggalkan Kabinet kerana dilihat tidak dapat mengekang isu-isu melibatkan kementerian masing-masing dan meninggalkan segala-gala (untuk diuruskan) kepada Perdana Menteri.

"Perdana Menteri menerima pelbagai kesan ekoran ketidakcekapan menteri-menteri Kabinet," kata sumber tersebut.

Sumber itu bagaimanapun tidak menjelaskan bila rombakan tersebut akan dilakukan, sebaliknya sekadar memberitahu "ia akan berlaku tidak lama lagi."

Namun, rombakan tersebut mempunyai kaitan dengan kepimpinan baru MCA yang memungkinkan mereka akan menerima semula jawatan Kabinet termasuk Kementerian Pengangkutan.

Sumber itu turut membayangkan akan berlaku pertukaran porftolio dalam kalangan menteri.

"Apabila berlaku pertukaran portfolio tiga kabinet (yang dikosongkan), portfolio yang lain juga mungkin akan berubah, " katanya.

Kementerian Perdagangan Koperasi Negeri dan Kepenggunaan menjadi antara tumpuan di tengah-tengah keresahan umum berikutan kenaikan kos sara hidup selain menerima tekanan kerana didakwa gagal menangani persepsi yang timbul berhubung isu itu.

Jamil Khir yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam pula menerima kritikan keras bukan sahaja dari dalam kerajaan, tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam kerana dilihat terlalu pasif dalam isu kalimah Allah dan penyebaran fahaman Syiah.

Tengku Adnan pula dipalit dalam isu kenaikan cukai pintu di Kuala Lumpur serta kenyataan kontroversinya untuk mewujudkan Hard Rock Cafe di Putrajaya. – New Malaysian Post

Apakah benar 3 orang menteri ini bakal dikeluarkan dari kabinet Najib? Tunggu lagi cerita panas nak mai lagi.

Kebakaran: 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang

Posted: 06 Jun 2014 08:07 AM PDT

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 buah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua baris rumah panjang yang didiami mereka sejak 20 tahun lalu, musnah dalam kebakaran di Kampung Chubadak Jaya, Sentul, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 3 petang itu dengan beberapa penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum rumah mereka terbakar.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu dalam tempoh sejam. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran kerana kekurangan punca air di lokasi kejadian dan angin kuat menyebabkan api cepat marak.

Seramai 27 anggota bomba dan lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah, Setapak dan Gombak Selatan terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut. - Bernama

Denggi catat tiga kematian minggu lepas

Posted: 06 Jun 2014 08:05 AM PDT

nyamuk


KUALA LUMPUR - Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu lepas menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 72 orang sejak Januari lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kematian termasuk seorang kanak-kanak berumur dua tahun dilaporkan di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kejadian denggi menunjukkan tren peningkatkan semula selama lima minggu berturut-turut bermula pada minggu ke-18.

"Pada minggu ke-22, (25 hingga 31 Mei), sejumlah 1,755 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,614 kes yang dilaporkan pada minggu ke-21," katanya.

Dari bulan Januari sehingga 31 Mei ini, beliau berkata 36,825 kes denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 254 peratus berbanding hanya 10,401 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 408 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh negara membabitkan 14 negeri, meningkat sebanyak 7.4 peratus berbanding 380 lokaliti wabak pada minggu sebelumnya.

"Terdapat 59 lokaliti titik panas dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 53 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya.

Sempena musim cuti persekolahan ini, beliau turut menyeru orang ramai supaya memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan aedes sebelum pergi bercuti atau meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang.

"Masukkan juga bahan pembunuh jentik-jentik (Temephos) ke dalam bekas simpanan air yang kekal antaranya seperti bekas simpanan air, kolah air dan pasu bunga yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes," katanya. - Bernama

Pembinaan 31,086 Rumah Selangorku, jana pendapatan RM3 bilion

Posted: 06 Jun 2014 07:55 AM PDT

Oleh: NAZLI IBRAHIM


KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited dalam menumpukan usaha pembangunan rumah mampu milik bagi membuka peluang lebih luas kepada rakyat Selangor memiliki kediaman.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata usaha itu dapat dilihat apabila PKNS dijangka membina 31,086 unit rumah mampu milik dengan sumbangan hampir RM3 bilion kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2008 hingga 2030.

"PKNS dikenali dengan usahanya membangunkan pusat pertumbuhan baru, perumahan, perniagaan, pelaburan dan pembangunan usahawan.

khalid ibrahim"Beralih ke fasa baru, PKNS kini menumpukan usaha pembangunan rumah mampu milik melalui program pemilikan Rumah Idaman PKNS atau di peringkat negeri dikenali sebagai Rumah Selangorku.

"Sehubungan ini, patik amat menggalakkan PKNS supaya menjalani perniagaan lebih bebas tanpa dibayangi Kerajaan Negeri," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan alu-aluannya kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Majlis Perasmian Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang di sini, malam tadi.

Dun Kota Damansara Geran Selangorku 01Katanya, usaha itu membolehkan PKNS berkembang sebagai perbadanan lebih berdaya maju dan mampu bersaing dengan syarikat swasta lain, sekali gus menjana keuntungan lebih besar dan menyalurkan kembali kepada rakyat Selangor.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKNS turut berbangga terhadap kejayaan demi kejayaan yang ditempa perbadanan yang bakal berusia genap 50 tahun pada 1 Ogos ini.-NFN-

Kembalikan hak penguatkuasaan Jabatan Perikanan, APMM gagal kawal pencerobohan pukat tunda

Posted: 06 Jun 2014 07:53 AM PDT

Oleh: LIZAWATI MADFA


KUALA LANGAT-  Kerajaan Pusat digesa mengembalikan semula bidang kuasa penguatkuasaan kepada Jabatan Perikanan bagi mengawal pencerobohan pukat tunda ke kawasan yang diwartakan kepada nelayan tradisi.

Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd Jaman Haris, berkata tugas yang diberi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilihat gagal membawa kesan penguatkuasaan diharapkan.

Beliau berkata, pencerobohan pukat tunda juga semakin meningkat sementara penangkapan dilakukan semakin berkurangan berbanding sewaktu di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

apmm"Kalau dahulu di bawah Jabatan Perikanan tangkapan pencerobohan ini boleh mencapai kepada 400 tangkapan setahun, tetapi sejak diambil alih APMM terus berkurangan sehingga 100 sahaja dalam tempoh sama.

"Kita tidak salahkan APMM kerana faham mereka juga ada komitmen lain, apa lagi dengan kekangan anggota pasti sukar mahu memantau aktiviti perikanan. Jadi, kembalikan semula kepada Jabatan Perikanan seperti dahulu kerana lebih efisien," katanya.

Terdahulu beliau menyertai sesi penerangan Program Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan yang turut dihadiri Pegawai Perikanan Daerah Kuala Langat, Zainal Abidin Mohd Sukiman.

APMM dikatakan mula mengambil alih tugas penguatkuasaan di kawasan laut sejak tahun 2010 sementara Jabatan Perikanan pula hanya diberi kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan di kawasan pesisiran pantai sahaja.

Sementara itu, Zainal Abidin menyokong gesaan itu sambil menambah kerajaan harus menggunakan kepakaran sedia ada dalam Jabatan Perikanan.

IMG_2884a"Kita ada kepakaran kerana ini bidang kita, jadi tahu bila waktunya aktiviti pencerobohan boleh berlaku. Kalau kita dapat kembali aset kita dengan anggota yang cukup, saya pasti kerja penguatkuasaan dapat terus diperkasakan.

"Cadangan ini bukan untuk kami, tetapi untuk nasib nelayan. Bagaimanapun segalanya terserah kepada kerajaan," katanya.

Merujuk laman web rasmi APMM, badan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu antara lain berfungsi bagi menguatkuasa undang-undang dan ketenteraman di bawah undang-undang persekutuan di zon maritim serta mencegah juga menyekat pelakuan kesalahan di kawasan berkenaan.

Selain itu, APMM turut berfungsi mencegah dan menyekat pelanunan serta pengedaran haram dadah narkotik di laut lepas.-NFN-

Polis: Muslim dalam gereja bukan di Malaysia

Posted: 06 Jun 2014 07:45 AM PDT


Antara gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan individu didakwa orang Islam terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja. - Foto sumber Internet Antara gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan individu didakwa orang Islam terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja. - Foto sumber Internet


SHAH ALAM – Polis mengesahkan gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan individu didakwa orang Islam terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja bukan berlaku di negara ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, penyebaran gambar-gambar berkenaan telah mencetuskan ketidaktenteraman dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Penyebaran gambar-gambar melalui media sosial yang seakan-akan cuba membayangkan bahawa sekumpulan Muslim terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja telah mencetuskan kegusaran dan ketidaktenteraman di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Adalah disahkan bahawa gambar-gambar tersebut bukan melibatkan sebarang rakaman upacara yang berlaku di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis tidak menerima sebarang laporan terhadap isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang bahan yang tidak sahih.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memuat naik atau menyebar sebarang bahan yang tidak sahih melalui media sosial kerana ia berupaya menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Gambar-gambar yang tersebar menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita bertudung melakukan aktiviti keagamaan di dalam gereja.

Timbang semula lantik MCA dalam Kabinet

Posted: 06 Jun 2014 07:42 AM PDT


Ramesh Rao ketika diwawancara Sinar Harian Online di pejabatnya, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN Ramesh Rao ketika diwawancara Sinar Harian Online di pejabatnya, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mempertimbangkan semula hasratnya untuk melantik pemimpin MCA sebagai menteri dalam Kabinet selepas BN memenangi PRK Teluk Intan bulan lalu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendakwa pemimpin MCA tidak layak menggalas tugas penting itu memandangkan parti itu pernah mengkhianati BN dengan tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor baru-baru ini.

"Mereka tiada keyakinan dan menghina penyokong BN di Bukit Gelugor dan Ini satu tamparan hebat, kalau di Bukit Gelugor pun tidak berani bertanding, bagaimana hendak menjadi menteri dalam Kabinet.

"Kita perlukan pejuang, kita perlukan pendekar yang boleh mengembalikan maruah parti, kita tidak perlukan pengecut," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pada bulan lalu, MCA tidak bertanding pada PRK Bukit Gelugor dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada menentang pelaksanaan undang-undang hudud.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan, keputusan itu juga dicapai selepas mengkaji senario politik dan selepas berunding dengan ahli-ahli parti mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, sepanjang PRK Teluk Intan pada bulan lalu, PMSP merupakan antara NGO bersama jentera BN berkempen, melihat sendiri kurangnya penglibatan MCA dalam membantu memenangkan calonnya dari Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

"Kalau MCA mendabik dada kononnya mereka berusaha keras, semua itu menipu sebab undi tambahan kita dapat cuma 71 undi sahaja melalui perbezaan pilihan raya lalu dengan PRK Teluk Intan.

"Saya minta PM lantik mereka yang berwibawa contohnya wakil dari IPF, Datuk Nallakarupan harus diberi jawatan sebab sumbangannya di Teluk Intan jelas dapat dilihat," katanya.

Ditanya sama ada parti komponen BN kini semakin lemah, beliau menegaskan perikatan itu masih relevan namun pucuk kepimpinan diremajakan semula dengan segera.

"Komponen bukan lemah, hanya pucuk kepimpinan saja lemah kerana tidak berani bersuara, tidak berani menjawab, gagal menjawab, gagal menepis tohmahan pembangkang.

"Pemimpin veteran perlu beri laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih parti," katanya lagi.

ISMA harus hentikan usaha bodoh dan malukan masyarakat Melayu

Posted: 06 Jun 2014 07:35 AM PDT

_DSC1395


oleh Haris Zuan
 
Saya ingin merujuk kenyataan Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya sebagaimana yang dipetik dalam Malaysiakini, ISMA dakwa Kit Siang mahu hapuskan Melayu yang menasihatkan pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar tidak berpura-pura dan berselindung di sebalik topeng ke'Malaysia'annya. Beliau juga dilaporkan berkata;

"Hakikatnya dia ingin menghapuskan bangsa Melayu, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu. Sejak tahun 60-an lagi dia sudah menolak Melayu,"

ISMA bukan yang pertama melakukan propaganda untuk menjadikan DAP dan pemimpinnya termasuk Kit Siang sebagai momok kepada masyarakat Melayu, saya juga yakin, ISMA bukan yang terakhir, selagi UMNO-Barisan Nasional berkuasa.

Aminuddin juga dilaporkan berkata berdasarkan perlembagaan DAP yang menumpukan sosialisme, jelas DAP anti-Islam. Hujah ini merupakan hujah paling dangkal yang pernah saya dengar.

Ideologi DAP Sosial Demokrat, bukan Sosialisme

Pertamanya, jelas ISMA gagal membezakan antara sosialisme dan sosial demokrat. Ideologi sosial demokrat ini bukan agama tetapi satu cara pandang terhadap tata kelola pembangunan ekonomi dan sosial. Berbanding dengan Sosialisme, Sosial demokrasi adalah satu pandangan yang menolak monopoli negara (state) dalam semua urusan ekonomi dan sosial. Pada masa yang sama, Sosial Demokrat juga berbeza dengan ideologi liberal yang menyerahkan semua urusan ekonomi dan sosial kepada pasaran (market) – atau yang biasa disebut laissez faire.

Sosial Demokrat adalah jalan tengah. DAP percaya bahawa negara harus campur tangan dalam urusan kebajikan rakyat, contohnya dalam soal pendidikan, kesihatan dan keperluan asas dan dalam masa yang sama mesra kepada pasaran. Dasar ini adalah selari dengan Negara Kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat secara umumnya.

DAPSY Bukit Bendera sedia mengaturkan satu kuliah ideologi politik oleh ahli akademik berwibawa kepada ISMA jika mereka masih gagal membezakan antara kedua ini.

Setiap parti politik yang ingin memerintah sesebuah kerajaan harus mempunyai ideologi pembangunan yang jelas. Maka, adalah lebih baik bagi ISMA untuk mempersoalkan, apakah ideologi atau perspektif ekonomi dan pembangunan yang digunapakai oleh UMNO-Barisan Nasional?

DAP atau UMNO yang mahu hapuskan kaum Melayu, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu?

Tuduhan ektream berniat jahat ini bukan sahaja tidak berlandaskan fakta sejarah, malah pada pihak yang salah. Pihak yang selama ini memperleceh dan meremehkan soal kebudayaan Melayu, tidak lain adalah UMNO.

Siapakah yang merampas Utusan Melayu yang sebelumnya merupakan akhbar kebangsaan yang bebas dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat dan kebudayaan Melayu, sehingga berlaku Mogok Utusan 1961? Sehingga kini, Utusan tidak lagi terhormat dan hanya menjadi bahan propaganda Kerajaan Barisan Nasional? DAP atau UMNO?

Siapakah yang meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah? DAP atau UMNO?

Siapa yang bertanggungjawab menafikan royalti minyak kepada negeri Kelantan yang 95 peratusnya adalah orang Melayu? DAP atau UMNO?

Siapa yang menulis buku Revolusi Mental dan Dilema Melayu yang jelas menghina peribadi bangsa dan kebudayaan Melayu dengan menuduh bangsa Melayu sebagai bangsa yang lemah dan tiada berdaya maju? DAP atau UMNO?

ISMA hanya memalukan orang Melayu 

Hakikatnya, ISMA tidak berminat untuk memperjuangkan Melayu di negara ini. ISMA bukan sahaja cuba menggagalkan agenda pembentukan bangsa Malaysia yang digagaskan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 yang tinggal kurang 6 tahun daripada sekarang, malah seringkali tindakan ISMA itu hanya memalukan orang Melayu di negara ini.

Pada saat rakyat di negara ini – tidak kira latar kaum – berdepan dengan kesengsaraan ekonomi akibat dasar UMNO-Barisan Nasional, ISMA sibuk dengan agenda perkaumannya. Apakah sikap dan tindakan ISMA dalam kenaikan kos hidup, beban isi rumah rakyat, kualiti pendidikan negara yang merosot, jurang sosial dan ekonomi yang melebar yang bukan sahaja memberi kesan kepada kebanyakan orang Melayu, malah seluruh negara?

Jika ISMA tiada jawapan atau sikap yang jelas dalam isu ini, eloklah ISMA diam daripada terus memalu dan membodohkan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Kami cukup bosan dan lelah dengan UMNO-BN, ISMA jangan tambah lelah kami.  -Roketkini.com

(*)  Haris Zuan,  Ketua Pemuda DAPSY Bukit Bendera

DNA babi: Bukan soal pembuktian tapi krisis kepercayaan

Posted: 06 Jun 2014 07:28 AM PDT

AHMAD TARMIZI SULAIMAN


Dewan Pemuda PAS Kedah tidak menganggap kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah bahawa mereka sanggup memakan coklat Cadbury untuk mengesahkan kehalalannya sebagai suatu kenyataan yang remeh, namun pihak kami menilai insiden ini sebagai kehilangan kepercayaan masyarakat kepada badan berwajib berkenaan.

Hal ini panas sejak tersiarnya kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 bahawa terdapat unsur DNA babi dalam produk Cadbury.

Hal yang sama boleh dilihat bagaimana Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama pernah mengeluar kenyataan yang disiar dalam majalah Times bahawa adakah beliau perlu menampal sijil lahir beliau yang tertera agama Kristian sebagai anutannya semata-mata untuk menafikan desas desus bahawa beliau pernah beragama Kristian.

Hal ini bukan isu pembuktian tetapi krisis kehilangan kepercayaan. Kepercayaan masyarakat terhadap Jakim bukan suatu perkara baharu. Penglibatan Jakim dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak.

Kemudian bermula tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan, dikendali sepenuhnya oleh Jakim pada tahun 2002 dan kemudian swastakan kembali pada tahun 2008.

Kepercayaan ini kelihatan luntur dan mampu dicerap melalui komen-komen masyarakat Islam melalui media sosial mahupun media cetak sejurus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat 'qaul jadid' yang  mengesahkan bahawa dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu, disahkan bebas DNA babi. Jamil juga telah menyifatkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mungkin tercemar.

Dalam amalan 'Quality Control dan Quality Assuarance' mana-mana kilang yang mengamalkan pengurusan yang baik, mereka pasti memeriksa sample secara rawak di tempat yang mampu memberi keputusan yang adil dan tepat. Pastilah memilih sampel daripada pasaraya lebih tepat kerana tindakan Jakim mengambil sampel di kilang boleh dieksploitasi, ditukar ganti dan pelbagai penyelewengan yang cocok sinonim agensi kerajaan yang lain.

Rakyat Malaysia yang tepu membaca rekod buruk agensi kerajaan melalui Laporan Ketua Audit Negara saban tahun cukup faham benar selok belok korupsi yang boleh berlaku.

Lebih menimbulkan keraguan dan persoalan di minda rakyat adalah, adakah tindakan segera Jakim mengambil sampel tambahan di kilang sebagai tindakan 'double check' atau tindakan meredakan kemarahan pihak korporat yang terlibat dalam isu ini?

Rakyat juga kelihatan menilai Jakim selaku agensi kerajaan yang lemah dan mampu ditolak ke kiri dan ke kanan oleh pihak korporat jika hal penguatkuasaan melibatkan untung rugi sesebuah syarikat walaupun ia melibatkan halal haram dalam pemakanan masyarakat.

Kita juga bersetuju dengan pandangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang telah mengkritik keras Jakim kerana tidak memiliki makmal sendiri untuk memastikan status halal makanan lebih telus dan terkawal. Sikap suka bergantung dengan 'third party' serta tidak mahu membina kepakaran sendiri adalah sikap yang memundurkan umat Islam disaat negara gah melaungkan Islam wasatiyyah.

Pihak Kementerian Kesihatan yang dikatakan membocorkan maklumat keputusan ujian DNA berkenaan pada bulan Mei yang sepatutnya dibincang pada bulan Februari  juga meragukan rakyat.

Adakah ada unsur melindungi kesalahan korporat tertentu oleh Kementerian Kesihatan? Adakah korupsi juga berlaku pada pihak kementerian berkenaan sehingga menangguh lama keputusan ujian tersebut dan tidak menyerahkan kepada pihak Jakim yang kelihatan terkapai-kapai semasa pendedahan itu dibuat pada bulan Mei yang lalu?

Adakah pihak Jakim sendiri telah maklum tetapi menyimpan maklumat ini atas desakan pihak tertentu? Hal inilah yang perlu diperjelas oleh Jakim untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada agensi  berkenaan semula.

*Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Artis teruja dapat temui Tok Guru Nik Aziz

Posted: 06 Jun 2014 07:26 AM PDT

HARAKAHDAILY



 


KOTA BHARU: Seramai 18 artis yang akan menyertai perlawanan persahabatan bola sepak dengan pasukan Pejabat Menteri Besar mengikuti tazkirah disampaikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tazkirah ringkas itu diadakan tengah hari tadi ketika mereka mengunjungi Mursyidul Am PAS di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darulnaim.

Kumpulan artis terbabit diketuai Syed Aiman mewakili Kelab Sukan Artis Malaysia. Hadir sama Sabri Yunus, Fizo Omar, Danny X Factor, Syed Aiman dan Yantzen.

Malam ini pasukan artis akan bertembung dengan pasukan Pejabat Menteri Besar yang akan membariskan beberapa bekas pemain Kelantan termasuk Hashim Mustafa, Salim Mahmood.

Selain itu turut disertai Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemain The Red Warriors.

Perlawanan itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Pada tazkirah terbabit, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penglibatan artis dalam medan dakwah menarik perhatian orang ramai terutamanya anak-anak muda.

"Artis memiliki banyak kelebihan termasuk suara baik, rupa paras lawa dan sebagainya seharusnya juga memiliki akhlak yang baik kerana ia akan menjadi ikutan orang ramai.

"Tuan-tuan merupakan tumpuan masyarakat dan perkara yang dilakukan akan menjadi ikutan ramai.

"Dan perlu ingat semua tindak tanduk akan dipersoal di akhirat nanti. Buat perkara baik apabila orang ikut akan mendapat pahala dan begitu sebaliknya," ujar beliau.

Sementara itu Syed Aiman berkata, kunjungan itu dibuat bagi memenuhi  hasrat semua artis yang datang ke Kelantan dan mereka amat teruja dapat bertemu Tok Guru

Isma ajak Melayu bersatu atas kebencian – Zairil

Posted: 06 Jun 2014 07:24 AM PDT

zairil surau


Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketika DAP konsisten mengajak Melayu dan kaum lain bersatu demi kebaikan bersama, Isma hanya menginginkan kesatuan Melayu yang berasaskan kebencian terhadap kaum lain, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Zairil Khir Johari.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mengecam Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya yang menuduh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berniat menghapuskan kaum serta bahasa dan budaya Melayu.

Tidak cukup dengan itu, Aminuddin menerusi laman web NGO itu turut mendakwa DAP sebagai anti-Islam serta berjuang untuk menghapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.

"Ketika Isma ingin Melayu bersatu dalam membenci masyarakat lain, DAP sepanjang kewujudannya sentiasa menginginkan orang Melayu dan kaum lain bersatu demi kebaikan bersama. Siapakah pentaksub dan pelampau di sini?" soalnya.

Zairil turut menasihatkan Aminuddin agar mempelajari sejarah serta dasar perjuangan DAP sebelum membuat sebarang tuduhan melulu.

"Sebelum terus membuat apa-apa kesimpulan tentang DAP, saya cadangkan Aminuddin dan semua rakan-rakannya dalam Isma belajar dahulu sejarah parti ini dengan membaca Perlembagaan Parti dan dokumen penting lain, antaranya Deklarasi Shah Alam, yang menegaskan perjuangan untuk Malaysia yang aman dan bersatu untuk semua warga.

Deklarasi Shah Alam yang diluluskan persidangan DAP pada 8 Januari 2012 antara lain menyatakan hasrat melahirkan bangsa Malaysia, melalui tekad untuk mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan; memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, memastikan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Perjuangan kami sejak 48 tahun lalu bukan sahaja untuk memupuk jatidiri Malaysia (pada diri setiap rakyat)…tetapi juga untuk menerima persefahaman bersama yang terdapat dalam Perlembagaan 1957.

"Mungkin Aminuddin boleh beritahu, mana satu matlamat kami yang boleh dianggap sebagai percubaan untuk menghapuskan kaum, serta bahasa dan budaya Melayu," katanya lagi.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut menggesa NGO yang memakai nama Islam itu untuk berhenti membuat tuduhan melulu jika tidak ingin terus dipandang sebagai 'bayangan' NGO perkauman, Perkasa.

"Jika Isma terus membuat tuduhan liar, tidak bertanggungjawab dan tanpa asas seperti itu, rakyat hanya akan menganggap mereka tidak lebih daripada Perkasa 2.0 – suara untuk politik jahat dan kasar di negara ini," ujarnya. – Roketkini.com

Pembantu rumah hamba seks: Wanita DAP puji tindakan pantas polis, gesa segerakan siasatan

Posted: 06 Jun 2014 07:19 AM PDT

Chong eng


Roketkini.com


GEORGE  TOWN: Wanita DAP menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan kes sindiket yang menjadikan pembantu rumah sebagai hamba seks.

Ketua Wanita DAP Chong Eng dalam kenyataannya hari ini memuji tindakan segera polis setelah mendapat laporan daripada seorang pembantu rumah warga Indonesia.

"Saya memuji tindakan segera polis sejurus selepas menerima laporan 13 Mei lalu. Saya juga meminta polis mempercepatkan siasatan kes ini," kata Chong Eng.

Akhbar The Star semalam melaporkan tentang penangkapan seorang agen pembantu rumah warga asing berikutan laporan polis oleh pembantu rumah berusia 33 tahun itu pada 31 Mei lalu berhubung kehilangan mayat anaknya yang berusia tujuh bulan.

Mayat bayi yang lahir selepas wanita berkenaan dirogol majikannya itu ditemui dalam sebuah gaung berdekatan Genting Highlands semalam.

"Ini adalah antara banyak jenayah yang mensasarkan wanita, sama juga seperti kes rogol dua remaja oleh 38 lelaki sebelum ini," ujar Chong Eng, merujuk insiden yang berlaku di Kuala Krai, Kelantan 20 Mei lalu.

Laporan The Star berkenaan turut mendedahkan bahawa sindiket terbabit memaksa pembantu rumah itu untuk bekerja tanpa gaji serta dicabul majikan mereka.

Polis setakat ini telah menyerbu empat buah rumah di Kota Kemuning, Shah Alam, dan menahan 12 wanita Indonesia yang tidak memiliki permit pekerjaan serta isteri kepada agen itu untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, Chong Eng yang juga Exco kerajaan Pulau Pinang mendesak polis memperketatkan penguatkuasaan bagi menumbangkan sindiket jenayah seperti ini, seterusnya memberikan jaminan keselamatan kepada semua warganegara dan juga warga asing yang tinggal di Malaysia.

"Penguatkuasaan perlu diperketat agar lebih banyak sindiket seperti ini ditumbangkan demi membela hak mereka yang tertindas dan agar mereka mendapat keadilan.

Polis bukan sahaja bertanggungjawab menangkap penjenayah, namun lebih penting memastikan persekitaran yang melahirkan penjenayah itu sendiri tidak wujud. Polis perlu menjamin keselamatan rakyat – di dalam mahu pun di luar rumah," katanya lagi.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa memberikan lebih perhatian terhadap kes yang melibatkan keganasan terhadap wanita yang menjadi isu paling kritikal di Malaysia, seperti rogol, pemerdagangan seks dan penculikan kanak-kanak.

"Menteri Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan sedang menghadiri Sidang Kemuncak Global Wanita 2014 di Paris yang memberi penekanan terhadap pembangunan usahawan wanita bagi pembangunan di Malaysia.

"Selain membentuk persekitaran kondusif bagi perniagaan, kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan rakyat negara ini seluruhnya mendapat persekitaran selamat bagi keluarga mereka," katanya lagi. -Roketkini.com

Gerakan serah kepada Najib kedudukan Siew Keong

Posted: 06 Jun 2014 12:48 AM PDT

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
 
IPOH: Parti Gerakan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan portfolio yang sewajarnya disandang oleh Presiden mereka, Datuk Mah Siew Keong dalam rombakan Kabinet tidak lama lagi.
 
Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, parti itu yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk meletakkan Siew Keong pada kedudukan sebaiknya dalam barisan Kabinet beliau kelak.
 
"Kami letakkan kepercayaan serta budi bicara sepenuhnya kepada Perdana Menteri. Kami yakin dengan kebijaksanaan beliau yang lebih arif mengenai jawatan yang sesuai dengan Presiden kami," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai penganjuran Larian Anti Rasuah di Wisma Gerakan di sini hari ini.
 
Perdana Menteri dalam rangka lawatannya ke China baru-baru ini mengumumkan bahawa Siew Keong bakal dilantik Menteri sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu.
 
Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan majoriti 238 undi sekali gus merampas kerusi Teluk Intan yang diduduki DAP selama dua penggal.

Nahas di Mesir: 6 pelajar Malaysia stabil

Posted: 06 Jun 2014 12:45 AM PDT

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Enam pelajar jurusan pergigian Universiti Iskandariah, Mesir yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menaiki sebuah van ke lapangan terbang di sana kelmarin, kini semakin pulih dan stabil.
 
Menurut Pengerusi Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia Mesir (Perubatan) cawangan Iskandariah, Dr. Ahmad Abid Amin, dua daripada pelajar itu yang cedera ringan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Salamah pada hari kejadian, manakala empat lagi pelajar masih dirawat di hospital yang sama.
 
Beliau berkata, salah seorang daripada mereka, Ummi Nadiah Filzah Daud masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu dalam keadaan separuh sedar serta menunggu dia stabil dan seterusnya akan menjalani rawatan yang selanjutnya.
 
"Seorang lagi pelajar, Siti Shahirah Abdul Jalil telah dipindahkan dari Hospital Salamah ke Hospital Miri Universiti Perubatan Iskandariah dan kini dalam keadaan stabil.
 
"Siti Nurul Aisyah Zahari pula selamat dipindahkan dari Hospital Salamah ke Hospital Ortopedik Hadarah Nareman dan telah menjalani pembedahan manakala Fatin Inani Mohd. Noh dipindahkan ke Hospital Nur Islam selepas menjalani pembedahan. Kedua-dua mereka juga kini stabil," katanya.
 
Akhbar semalam melaporkan enam penuntut Malaysia di Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg El, Mesir.
 
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan itu berlaku selepas pemandu van tersebut terlanggar belakang sebuah lori sehingga menyebabkan van dinaiki mereka berpusing beberapa kali.
 
Pelanggaran itu menyebabkan pintu van tercabut dan kesemua enam pelajar perubatan itu tercampak.
 
Semua mangsa ketika itu dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air dan difahamkan ahli keluarga mereka kini dalam perjalanan ke Mesir.

PAS: Lima sebab DAP kalah di Teluk Intan

Posted: 06 Jun 2014 12:37 AM PDT


Antaranya pengundi tidak mahu menjatuhkan air muka Presiden Gerakan, Mah Siew Keong
.
Khalid Abdul samad


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberi  lima sebab kekalahan DAP  dalam pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu.

"Kekuatan BN yang juga ialah kerajaan akan ditumpukan kepada usaha memenangkan calon mereka di tempat yang kecil itu berbanding dengan pilihan raya umum di mana kekuatan BN akan terpaksa diagihkan di seluruh negara," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Dalam pilihan raya kecil tersebut calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud kalah dengan majoriti 238 undi.

Dyana memperoleh 19,919 undi berbanding calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang juga ialah presiden parti Gerakan yang memperoleh 20,157 undi dan terdapat 543 undi rosak.

Khalid yang juga adalah ahli jawatan kuasa pusat PAS berkata rakyat Teluk Intan juga sedar bahawa keputusan PRK tidak akan mengubah kerajaan pusat.

"Pengundi akan memikirkan apakah yang terbaik yang mereka boleh capai melalui pilihan raya kecil ini dan sebahagian dari mereka menganggap bahawa memenangkan calon BN akan mampu mendatangkan pembangunan dan projek kerana BN adalah kerajaan," katanya.

Beliau menambah bahawa pengundi memilih Mah kerana tidak mahu menjatuhkan air mukanya sebagai calon veteran dan berpengalaman.

Selain itu, Khalid juga menyatakan Mah mempunyai kelebihan sebagai calon tempatan.

Beliau menambah bahawa sokongan Umno yang padu untuk Gerakan turut menyumbang kepada keputusan tersebut meskipun Gerakan dan Umno mempunyai pendirian berbeza dalam isu hudud.

Selain itu Khalid turut menolak andaian bahawa pengundi Cina kembali kepada BN.

"Bagi mereka yang ingin mendakwa, "pilihan raya kecil Teluk Intan membuktikan orang Cina telah kembali menyokong BN", sila imbas kembali seminggu sebelum itu yang menyaksikan BN langsung tidak berani walaupun untuk meletakkan calon di Bukit Gelugor," katanya.

Beli Rumah RM350,000 Pendapatan Gaji Mesti RM5,000 Sebulan. Jikalau Tidak, Sewa Rumah Sahaja Sampai…

Posted: 06 Jun 2014 12:26 AM PDT

 


Sewa Rumah



Beli Rumah RM350,000 Pendapatan Gaji Mesti RM5,000 Sebulan : Tempoh hari dicanang bahawa sekurang-kurangnya gaji RM5000 adalah pendapatan tinggi di Malaysia (KLIK SINI).

Walaubagaimanapun, kajian terbaru yang dibuat oleh seorang pakar dan penganalisis ekonomi negara menambah bahawa rakyat Malaysia perlu gaji sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk tujuan pembelian rumah yang rata-rata terus melonjak tinggi. Mampu?

 

Kajian Penganalisis & Pakar Ekonomi Negara : Masalah Kadar Sewa & Harga Rumah di Malaysia

Hasil kajian Prof. Dr. Amir Baharuddin :
  1. Generasi muda masa kini bakal berhadapan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri
  2. Terpaksa sewa rumah sehingga ke akhir hayat gara-gara harga rumah di Malaysia semakin meningkat
  3. Tahun 2013, harga rumah di Malaysia dilaporkan telah naik kira-kira 30% berbanding tahun tahun 2012
  4. Harga rumah di Malaysia naik lagi pada suku pertama tahun 2014 sekitar 8%
  5. Prof. Dr. Amir Baharuddin menjangkakan orang muda yang berpendapatan rendah dan sederhana akan terus sewa rumah, sewa flat, sewa kondominimum kerana tidak mampu beli rumah sendiri
  6. Gaji pendapatan RM5,000 sebulan diperlukan untuk melayakkan orang muda membuat pinjaman membeli rumah yang kini berharga lebih RM350,000 seunit
Nampaknya harga rumah di Malaysia terus meningkat walaupun langkah-langkah anti spekulasi dijalankan. Di mana silapnya sehingga memberikan masalah besar kepada rakyat marhaen di bawah?

 

Kedudukan Purata Harga Rumah di Malaysia : Kuala Lumpur, Sabah, Selangor?

  1. Kuala Lumpur : MYR 620758 (US$ 189,342)
  2. Sabah : MYR413.187 (US $ 126,030)
  3. Selangor : MYR405826 (US$ 123,784)
sewa rumah


Bagi yang menjangkakan harga rumah akan berada pada paras yang stabil, dan tidak akan meningkat terlalu mendadak ia hanya "angan-angan mat jenin sahaja". Ini kerana, langkah-langkah anti – spekulasi yang dijalankan kerajaan sekarang ini hanya dijangka mengurangkan jumlah transaksi urusniaga sahaja.

Tetapi realitinya harga hartanah di kawasan-kawasan hotspot dijangka akan terus meningkat berdasarkan semakan yang Berita Semasa lakukan terhadap laporan Knight Frank.
  1. Berdasarkan kajian dan laporan Knight Frank, harga rumah di Malaysia masih di bawah paras krisis yang boleh meletus di pasaran Asia
  2. Pasaran harga rumah di Malaysia mula meningkat pesat di awal 1990-an yang mana pada tahun 1991 harga rumah di Malaysia meningkat 25.5 % (20.3% dalam nilai sebenar) dan pada tahun 1995 mereka harag rumah meningkat 18.4% (14.4% dalam nilai sebenar) .
  3. Selepas Krisis Kewangan Asia, harga rumah mewah di Kuala Lumpur mula merosot sehingga 39% antara tahun 1997 dan 1999.
  4. Selepas kemelesetan ekonomi 2008-2009, pasaran hartanah di Malaysia terus melonjak tinggi selepas pelancaran Pelan Greater Kuala Lumpur  termasuk yang terkini pelancaran "Projek MRT "
  5. Kadar faedah yang rendah menggalakkan pinjaman gadai janji
  6. Menurut laporan Frank Knight lagi, pelabur asing disekat untuk membeli hartanah bernilai RM1 juta ke bawah sama sekali tidak mungkin untuk memperlahankan permintaan yang semakin meningkat bagi di hartanah Malaysia sekaligus akan terus mempengaruhi nilai hartanah di Malaysia. Ini kerana kerajaan tidak mengenakan sekatan lain ke atas pelabur asing.
  7. Malaysia bersama-sama dengan Hong Kong dan Singapura adalah salah satu daripada negara-negara Asia Pasifik yang mengenakan "sekatan yang cukup minimum" ke atas pembeli hartanah asing. Boleh semak paparan gambar yang Berita Semasa sediakan di bawah ini….
  8. Terdapat trend menaik dalam kelulusan permohonan bagi program "Malaysia My Second Home" (MM2H pada tahun-tahun kebelakangan ini. Bilangan kelulusan permohonan meningkat kepada 3,227 pada tahun 2012, daripada 2,387 pada tahun 2011, 1,499 pada tahun 2010. Dari 2002 hingga 2012, " Malaysia My Second Home " ( MM2H) program menarik 19,488 pembeli asing. Apa itu MM2H? (KLIK SINI)
  9. Statistik menunjukkan masih belum berlaku lagi lebihan bekalan dek kerana permintaan masih tinggi dikalangan pembeli baru yang tercari-cari kediaman sendiri
Bagi pendapat Berita Semasa, kerajaan Malaysia perlu mengikut cara HDB (House Development Board) Singapore contohnya. 70% Singaporean ada rumah sendiri dengan nilai hartanah sekarang.

Seorang hanya boleh ada 1 rumah sahaja di bawah nama masing-masing. Jikalau sudah berkeluarga, hanya dibenarkan memiliki 1 rumah sahaja.

Jikalau berkeinginan untuk membeli rumah tambahan, dibenarkan tetapi bukan di bawah skim HDB yang mana harganya agak melampau.

Buat rumah harus dilakukan oleh kerajaan Malaysia sendiri bukan tolak tanggungjawab  bulat-bulat kepada pemaju. Jikalau tidak sampai bila pun masalah pemilikan rumah dikalangan rakyat Malaysia tidak akan berkesudahan.

Apa respon anda melihat trend harga rumah di Malaysia sekarang ini?

Naib Presiden PKR Mahu Buru Blogger Pro-BN Sampai Lubang Cacing

Posted: 06 Jun 2014 12:18 AM PDT

KELAB GREENBOC


Surendran mahu buru blogger pemfitnah


KUALA LUMPUR 5 JUN: Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran membuat laporan polis terhadap Blogger dan pemegang akaun Twitter pro BN di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Laporan itu dibuat ekoran tindakan cybertrooper pro BN menyebar dan membuat fitnah berhubung satu paparan twitter palsu yang menyentuh sensitiviti kaum menggunakan namanya.

Beliau mendakwa ia dihasilkan melalui teknik "superimpose" dan sengaja disebarkan sebagai usaha memburuk-burukkan namanya serta pakatan rakyat amnya.

"Blogger-blogger dan pemegang akuan twitter pro Barisan Nasional telah menggeluarkan twitter dengan perkataan-perkatan palsu yang tidak pernah saya keluarkan.

"Perkataan-perkataan itu jelas tujuannya adalah untuk memaparkan saya dan juga KEADILAN sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan," tegasnya dalam sidang media sejurus selepas laporan tersebut dibuat.

Beliau ditemani peguam Eric Paulsen dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Surendran sebelum ini difitnah kononnya menghina anggota polis berbangsa melayu yang terbunuh dilanggar penjenayah ketika menjalankan tugas.

Fitnah itu disebar sebuah blog pro BN pada minggu lalu sebelum disebarkan secara meluas oleh beberapa blog dan pemegang akaun twitter pada hari sama.

Naib presiden KEADILAN itu berkata, tindakan itu merupakan serangan politik dan fitnah jahat yang turut dilakukan terhadap pemimpin Pakatan sebelum ini.

Malah beliau kesal kerana pemimpin Barisan Nasional mengambil sikap berdiam diri dan merelakan tindakan jenayah yang dilakukan penyokong mereka.

"Saya akan buru kamu, saya akan bawa kamu ke mahkamah seperti yang telah saya lakukan kepada PapaGomo," kata Surendran. -KD



Surendran lapor polis terhadap blogger BN

Peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran telah membuat laporan polis terhadap penulis blog pro-Barisan Nasional (BN) pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Laporan berkenaan dibuat berhubung penyebaran fitnah dan serangan politik ke atasnya di laman media sosial. Katanya saman terhadap fitnah dalam bentuk sivil dan jenayah akan dibuat selepas siasatan polis selesai.

"Banyak blogger termasuk sejarahmelayu.blogspot.com, akaun Twitter @mozas_my29 dan semua blogger pro-BN, BN cyber trooper, serang saya.

"Mereka semua penipu, akaun twitter itu bukan milik saya, pelbagai fitnah dibuat. Apabila polis siasat dan kenalpasti, saya akan saman mereka di mahkamah," katanya.

Pada masa yang sama, Surendren juga menggesa pihak polis supaya menyiasat secara adil dan mengambil tindakan di bawah akta jenayah terhadap semua fitnah jahat yang disebarkan.

Katanya beliau akan merujuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenalpasti penulis blog dan laman web yang didakwa memfitnahnya.

"Saya juga akan ambil tindakan terhadap pemilik akaun dan pemilik yang re-tweet fitnah berkenaan," tegasnya.

Perkara itu berhubung penyiaran twit fitnah yang menggunakan akaun Twitter palsu yang menggunakan namanya @nsurendran bertarikh 22 Mei lalu.

Menurut laporan polis yang dibuat, petikan Twitter palsu yang tersebar luas di media sosial adalah berkaitan kematian seorang anggota polis, Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang bersifat perkauman dan menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai.

"Di India setiap hari ramai pegawai polis yang terbunuh. Tapi di Malaysia apabila seorang polis dibunuh sudah jadi isu besar," petik laporan itu.

Surendren ditemani oleh Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan peguamnya, Eric Paulsen.


DAP mahu SPR jelaskan percanggahan keputusan PRK Teluk Intan

Posted: 06 Jun 2014 12:01 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata jumlah keluar mengundi yang dikeluarkan SPR secara rasmi adalah 40,242 termasuk 392 pengundi awal, tetapi keputusan akhir menunjukkan terdapat 40,619 mengundi dalam PRK Sabtu lalu. – Gambar fail, 6 Jun, 2014.  ‎ ‎Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata jumlah keluar mengundi yang dikeluarkan SPR secara rasmi adalah 40,242 termasuk 392 pengundi awal, tetapi keputusan akhir menunjukkan terdapat 40,619 mengundi dalam PRK Sabtu lalu. – Gambar fail 


DAP mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan mengapa terdapat percanggahan dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu.

 Menurut Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming, jumlah keluar mengundi yang dikeluarkan SPR secara rasmi adalah 40,242 termasuk 392 pengundi awal, tetapi keputusan akhir menunjukkan terdapat 40,619 mengundi dalam PRK Sabtu lalu.

‎ "Ini menunjukkan terdapat percanggahan 377 undi antara apa yang diumumkan secara rasmi (40,242) dan keputusan akhir (40,619). Jumlah ini melebihi undi majoriti yang diperolehi calon Barisan Nasional (BN) sebanyak 238 undi," kata Ong dalam satu kenyataan awal pagi ini. ‎

Menurut Ong, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah menulis surat kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk meminta penjelasan. Dalam PRK Teluk Intan pada 31 Mei lalu, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis, 238 undi.

Katanya pada PRK Teluk Intan lalu kira-kira 5.30 petang, SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi ialah 39,850 pengundi di mana sekiranya dikira sekali dengan pengundi awal iaitu 392 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 40,619.

"Kami menunggu jawapan beliau untuk membolehkan perbincangan lanjut dilakukan bersama peguam parti. Peguam kami juga menyarankan agar kami tidak berkata apa-apa sehingga mendapat maklum balas rasmi daripada SPR. "‎Setiausaha agung kami mendesak untuk mengetahui kebenaran berkenaan dengan isu ini," katanya.

 Ong juga turut menjelaskan tindakan DAP yang tidak menuntut kiraan semula dilakukan ‎ ke atas majoriti kecil iaitu 238 undi yang disenangi calon BN biarpun penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain mendesak parti itu melakukan bantahan.

Ini kerana pengiraan semula hanya boleh dilakukan stesen pusat pengiraan undi‎ individu dan sebelum borang 14 dikeluarkan iaitu satu dokumen penentu keputusan undi di setiap pusat pengiraan.

"Berdasarkan‎ Pilihan Raya (Pengendalian Pilihan Raya) Peraturan 1981, Perkara 25, Seksyen 13 sekiranya terdapat perbezaan di antara jumlah pengundi bagi dua calon yang pertama kurang 4% dari jumlah keseluruhan pengundi maka calon atau ejen pilihan raya boleh meminta pengiraan diadakan semula.

"‎Meskipun ejen pengiraan kami merupakan individu berpengalaman namun tidak ada arahan khusus buat kepada mereka untuk pengiraan semula sekiranya terdapat perbezaan selama 4%," katanya.


Antara lain tambah beliau sekiranya DAP menuntut pengiraan semula dilakukan namun mengikut Perkara 25, Seksyen 13 ia tidak boleh dikira sekali dengan undi yang rosak dan ditolak.

 "Mereka hanya boleh mengira undi yang sah di mana ia berkemungkinan akan menyebabkan peluang mengubah pengiraan undi terakhir adalah amat kecil."

 Katanya lagi dengan mengadakan pengiraan semula, ia juga turut akan merisikokan DAP di mana kemungkinan lebih undi akan berpihak kepada calon BN. Ong berkata ‎buat masa kini, DAP hanya boleh meminta pegawai pengurus untuk memeriksa kembali jumlah keseluruhan pengundi berdasarkan borang 14.

 "DAP mengumpul kesemua borang 14 daripada ejen pengiraan kami dan mengesahkan bahawa keputusan akhir sepertimana diumumkan SPR sememangnya betul dan selaras dengan borang 14," katanya.

K'jaan bakal kutip RM3.1 bilion dari GST petrol, diesel

Posted: 05 Jun 2014 11:43 PM PDT

RAFIZI RAMLI 


Sehingga ke hari ini, Barisan Nasional masih berdiam diri dan mengelak dari menjawab soalan saya sama ada GST akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel oleh rakyat. Semakan ke atas senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar cukai sifar (zero-rated) dan dikecualikan (exempt) secara jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

Ini sudah tentu akan menaikkan lagi harga petrol dan diesel tanpa disedari oleh rakyat, seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar sebelum ini. Satu lagi siri kenaikan harga petrol dan diesel akan melonjakkan lagi inflasi dan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang.

Saya membuat kesimpulan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan mengutip setiap tahun sekurang-kurangnya RM3.1 bilion dari rakyat dalam bentuk cukai GST yang dikenakan ke atas petrol dan diesel seperti kiraan di bawah:



Bebanan cukai tambahan sejumlah RM3.1 bilion setahun yang dikenakan ke atas rakyat hanya dari pembelian petrol dan diesel adalah satu jumlah yang besar dan mengejut yang semestinya mempunyai kesan berganda ke atas harga barang.

Tindakan mengenakan GST ke atas pembelian petrol dan diesel ini samalah dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 13 sen seliter.

Oleh yang demikian, saya menggesa Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan segera bahawa pembelian petrol dan diesel tidak akan dikenakan GST.

Jika beliau enggan mengumumkan pengecualian pembelian petrol dan diesel dari GST, maka beliau perlu menjelaskan segera bagaimanakah Barisan Nasional akan membelanjakan RM3.1 bilion yang dikutip dari rakyat melalui GST ke atas petrol dan diesel.

 *Penulis adalah Ahli Parlimen Pandan

Lapor polis kes pelajar bergaduh

Posted: 05 Jun 2014 11:37 PM PDT


Salleh (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam Salleh (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam


KUALA TERENGGANU - Polis memberi amaran akan mengenakan hukuman setimpal terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan jenayah terutama membabitkan kes pukul dan gaduh di sekolah yang hangat disebarkan melalui video di laman sosial dan blog.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berkata, walaupun perkara itu tertakluk di bawah penguatkuasaan jenayah, pihaknya tetap memandang serius perkara itu.

"Saya ingin beri amaran kepada mereka yang terlibat, ini adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan setimpal kerana ia mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

"Individu terlibat dalam kes demikian akan berdepan tindakan undang-undang," katanya ketika mengulas mengenai penyebaran beberapa video pergaduhan melibatkan pelajar dan terbaharu didakwa berlaku di Terengganu.

Salleh berkata, ibu bapa disarankan mengambil perhatian kelakuan anak mereka ketika berada di luar jagaan.

Katanya, pihak sekolah dan orang awam juga bertanggungjawab melaporkan kepada pihak polis.

"Saya menyarankan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan, sila laporkan kepada pihak polis kerana kita akan bertindak mengikut undang-undang sedia ada.

"Dengan pemantauan keluarga, pihak sekolah dan melalui maklumat diberikan orang awam kepada polis, perkara ini dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata, penyebaran video memaparkan situasi pergaduhan itu tidak dapat menyelesaikan masalah tanpa maklumat kepada polis.

"Masalah ini akan berterusan jika kita tidak menangani dan cegah kejadian itu daripada berlaku," katanya.

Chegubard buat aduan bertulis dakwaan rasuah

Posted: 05 Jun 2014 09:20 PM PDT

MALAYSIAKINI


   


dikemaskini Ahli PKR yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai 'Chegubard', telah memfailkan aduan bertulis kepada pihak parti itu berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi dan lembaga rayuan pemilihan parti itu.

Dalam surat yang bertarikh hari ini dan dilihat oleh Malaysiakini, Badrul Hisham membangkitkan satu tuduhan yang telah tersebar luas di internet sejak dua minggu lalu.

Tuduhan itu mendakwa bahawa pengerusi lembaga rayuan pemilihan parti, Abd Malek Hussin (kiri) telah menolak rasuah oleh Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar dan "bosnya".

Badrul Hisham juga berkata, berdasarkan khabar angin, "bos" itu boleh jadi Timbalan Presiden Azmin Ali, yang mempertahankan jawatannya menentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Sambil menyifatkan khabar angin itu sebagai "memalukan", Badrul Hisham menggesa Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Dr Tan Kee Kwong supaya menyiasatnya.

Dalam surat itu, Badrul Hisham berkata khabar angin itu mendakwa
Abd Malek telah mencampak "sejumlah wang" kepada Dr Xavier (kanan) dan berkata, "Berikan semula wang ini kepada ketua kamu".

Ketika dihubungi, Badrul Hisham, yang digantung keahliannya kerana secara terbuka mendakwa pemilihan parti itu kotor dan tidak telus, berkata adalah penting bagi mereka yang didakwa terlibat memperjelaskan perkara tersebut.

Bagaimanapun, sumber-sumber parti berkata Abd Malek "mencampak wang itu" di hadapan Wan Azizah dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat biro politik PKR dua minggu lalu.

Ketika dihubungi, Abd Malek enggan mengulas mengenainya.


Bagaimanapun, Dr Xavier menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Buang bayi dalam gaung: 13 ditahan

Posted: 05 Jun 2014 09:01 PM PDT

Suspek membawa polis ke dalam gaung, lokasi bayi malang tersebut dihumban. Suspek membawa polis ke dalam gaung, lokasi bayi malang tersebut dihumban.


KLANG - Polis menahan 13 pembantu rumah warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam sebuah gaung berdekatan Genting Highlands semalam.
  
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mereka ditahan untuk direman susulan penahanan seorang ejen yang membekalkan pekerja asing dan isterinya pada Selasa.
  
"Kesemua 13 pembantu rumah itu bersama-sama ejen tersebut dan isterinya direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
  
"Bagaimanapun, punca utama kematian bayi itu masih dalam siasatan kerana keputusan akhir bedah siasat belum diketahui," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.
  
Beliau berkata polis sedang mengesan saki-baki pembantu rumah yang pernah dibekal ejen itu bagi mengumpul maklumat dan dipercayai jumlah mereka melebihi 20 orang.
  
Media hari ini melaporkan ejen itu dan isterinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan seorang pembantu rumah yang kehilangan bayi hujung bulan lepas.
  
Penahanan suspek terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands pukul 11 pagi semalam.  
  
Abdul Samah berkata siasatan diteruskan sehingga tempoh tahanan reman tamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Pilihan Raya Kecil : Dyana Sofya sepatutnya menang

Posted: 05 Jun 2014 08:59 PM PDT


Oleh Subky Abdul Latif


Parlimen Teluk Intan pernah dua kali berwakil rakyat DAP. Pertama seorang India dan yang kedua seorang Cina.Tetapi apabila calonnya gadis Melayu muda lagi cun, kalah tipis.

Jika undi rosak hampir sekali ganda daripada majoriti, dipercayai tidak suka BN diberi pada Dyana Sofya, maka anggota Parlimenlah dia sekarang.

Kebanyakannya mengharapkan Dyana menang, dan kemenangan kembali Gerakan mengajaibkan.

Orang-orang yang tidak berparti tetapi berminat dengan politik, seperti profesor, tidak pilu dengan kekalahan DAP, tetapi musykil dengan kekalahan calon Melayu.

Dalam suasana kerajaan memperagakan semboyan 1Malaysia, pengundi setia DAP tidak cukup mengundi calon Melayu.

Mereka tidak menyokong DAP, tetapi pengundi Teluk Intan sepatutnya meraikan promosi 1Malaysia sebagai usaha mengendurkan perbezaan dan perselisihan kaum.

Pengundi DAP Teluk Intan boleh mengundi calon India dan Cina, tetapi teragak-agak untuk mengundi Dyana.

Undi BN bertambah sedikit sahaja, jika tujuh ribu DAP tidak ambil lewa, Gerakan tidak ada peluang lagi.

Jika Dyana acap ke Teluk Intan selepas ini, kemenangannya yang tertangguh dalam PRK itu akan jadi miliknya dalam PRU akan datang.

Ada yang berkata hudud memberi kesan. Pengundi DAP tahu payah diketengahkan tanpa  sokongan DAP.

Dyana akan sama dengan Anwar Ibrahim tidak menyokong usul persedirian PAS nanti.

Justeru hudud payah direalisasikan, tiada sebab penyokong DAP tidak mengundi Dyana, kerana kemenangan Dyana dan DAP di Teluk Intan penting bagi DAP.

Sebagai orang yang percaya kepada agama dan beriman kepada Allah, kita yakin ada balasan Allah kepada yang menentang hudud.

Kedua-dua calon menolak hudud. Jika Dyana tidak menyokong politik hudud, tidak sangat kerana DAPnya, tetapi parti emaknya pun tidak begitu positif dengan hudud.

Dyana dan DAP menolak hudud, Allah tangguh kemenangan. Gerakan menolak hudud, Allah beri kemenangan tipis kepadanya.

Ketika hudud tidak jadi isu Gerakan/BN kalah besar. Ketika hudud ditentangnya, ia menang pula.

Hanya Allah yang tahu apa yang dikehendakiNya. Tetapi bukan mustahil Allah perkenan kemenangan Gerakan sekalipun ia juga tidak terima hudud, ada sedikit adabnya dalam isu itu.

Gerakan minta pertemuan dengan pemimpin  PAS bagi bersemuka. Ia hendak menjelaskan mengapa ia menolak  dan ia hendak mendengar apa penjelasan PAS bertegas sangat dengan hukum itu?

Sekalipun ia keras, ada juga lembutnya. Mungkin hati Gerakan yang keras itu bertambah lagi lembutnya sekiranya PAS menerima cadangan pertemuan dengannya.

Penolak hudud yang lain tegas, bahkan tidak bercadang dan tidak berminat untuk bertemu dengan pihak yang memperjuangkannya.

Ketika Rom dikalahkan oleh Parsi, Rasulullah SAW dukacita dengan kekalahan Rom sedangkan kedua-duanya kafir.

Baginda masyghul, justeru Rom penganut agama langit yang dekat dengan Islam manakala Parsi adalah penyembah berhala, agamanya adalah ciptaan manusia.

Justeru Gerakan menentang hudud tetapi mahu berjumpa, ia ada diplomasi sikit. Maka Allah beri ia kemenangan yang sikit.

Sedangkan DAP sikapnya bertegas sekalipun hari-hari berjumpa PAS, makan dan tidur bersama, tidak terbuka hatinya untuk bertanya dan mencadangkan bagaimana ia patut tangani keadaan itu, dan tetap menentang.

PAS bertungkus lumus membantu Dyana dan DAP menang, tetapi Allah tutup pintu hati 7,000 pengundinya tidak turun mengundi.

Allah buka peluang berfikir kepada semua. Tidak bolehkah semua berfikir atas ketentuan Allah mengenai keputusan PRK Teluk Intan itu?

Pemikiran dakwah P. Ramlee

Posted: 05 Jun 2014 08:45 PM PDT

 Oleh Muhammad Ismail Ibrahim


 Jika sesetengah daripada kita yang jarang menonton filem hitam putih era 50-an dan 60-an, persoalan mungkin timbul tentang apakah dakwah yang disampaikan di kala aktres yang membintangi filem tersebut boleh dikatakan 'berbungkus nangka' belaka?

Sebelum kita berbicara persoalan sejarah tentang sesuatu perkara, premis pertama yang harus diambil kira untuk difahami ialah berkenaan latar masa dan tempat yang mewujudkan satu suasana kepada seseorang seniman untuk menghasilkan sesebuah karya.

Beberapa persoalan harus diambil kira, adakah Islam benar-benar dihayati ketika itu? Apakah ada penggiat industri filem lain yang turut menghasilkan karya yang 'Islamik' seperti beliau? Kenapa sesuatu tema itu digarap dalam sesebuah filem? Ini semua perlu diberi ruang dan peluang untuk diberikan penjelasan.

Pada separuh pertama abad ke-20, perkembangan dan penghayatan tentang agama Islam tidaklah sesegar yang kita hirup hari ini. Islam ketika itu hanya tertumpu di masjid, surau, pondok-pesantren di mana tok-tok guru (tradisionalist) mengajarkan ilmu-ilmu berkaitan tasawuf dan feqah.

Masyarakat kurang menghayati unsur-unsur di 'dalam masjid' itu untuk dibawa keluar supaya dapat diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Maka tidak hairanlah kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto lama keluarga, lihatlah cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman tersebut.

Saya pernah melihat sekeping gambar Perhimpunan Muslihat Parti Islam di awal 1960-an yang dihadiri oleh perwakilan yang rata-ratanya tidak memakai tudung! Itu 'muslimat' zaman tersebut, jadi apalah nilai Islam yang hendak diharapkan kepada insan seni yang bermain wayang ketika itu. Tetapi kalau seseorang anak wayang yang tampil dengan idea-idea Islamik ketika itu, ia merupakan sesuatu yang luar biasa! Dan itulah P Ramlee yang kita kenal.

Permulaan jalan seni

Pada awal tahun 1940-an, industri seni tanah air mula berkembang. Teater bangsawan (troupe)  mengambil tempat di pentas awam dengan tema jenaka dan tragedi. Kebanyakan bakat baru yang menyerlah ketika ini antaranya ialah Daeng Harris, A R Tompel, Siti Tanjung Perak dan lain-lain.

Ketika ini juga, industri filem tanah air mula berkembang mengikuti perkembangan filem luar yang semakin mendapat tempat terutama dari Hong Kong dan India. Shaw Brothers melihat satu potensi besar dengan merintis pembukaan studio baru di Jalan Ampas, Singapura.

Di awal perkembangan Malay Film Production (MFP) Jalan Ampas, filem kebanyakannya diarah oleh pengarah dari India seperti B S Rajhans dan L Krishnan. Kemudian lahirlah bintang-bintang filem (film stars) produk Jalan Ampas seperti S Roomai Noor, Maria Menado dan Siput Sarawak.

Persoalannya, di manakah filem arahan mereka sekarang? Kenapa tidak diputar di kaca televisyen seperti filem arahan dan lakonan P Ramlee? Aktor yang membintangi filem ini tidak kurang 'star' nya. Dan jika di ukur daripada sudut nilai filem samada jenaka atau air mata tidak kurang hebatnya.
Maka di sinilah timbul kajian tentang idea serta pemikiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam menerapkan sesuatu elemen dalam sesebuah filem arahan beliau.

Pertama, tema dalam filem-filem arahan P Ramlee sangat dekat di hati masyarakat. Konflik rumah tangga antara bapa dan anak, ibu mertua dengan menantu, cinta yang tidak kesampaian kerana darjat dan keturunan, kehidupan anak bujang, kedaifan hidup seorang miskin dan banyak lagi unsur yang menjadikan filem beliau begitu dirasai oleh setiap insan yang mewakili tema tersebut dalam setiap zaman. Inilah antara sebab mengapa filem beliau tidak lekang dek zaman.

Kedua, elemen 'Islamik' digarap dengan baik oleh beliau dalam beberapa filem seperti Anakku Sazali, Ahmad Albab, Tiga Abdul, Semerah Padi, Nasib Labu Labi dan Ali Baba Bujang Lapok. Jika ditinjau filem lain yang sezaman dengannya baik keluaran Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers mahupun Cathay Keris milik Ho Ah Loke, hampir tidak ada seorang pun pengarah lain yang berani menampilkan idea berunsur Islamik untuk digarap dalam filem mereka.

Ketiga, beberapa filem lakonan dan arahan P Ramlee kurang mendapat sambutan kerana tema yang cuba digarap merupakan satu idea dan percubaan baru. Ini terbukti dengan filem Sitora Harimau Jadian, Sesudah Suboh dan Gelora yang kurang mendapat sambutan baik ketika ditayangkan ketika itu mahupun diputarkan di kaca televisyen hari ini.

Memang benar filem-filem ini diterbitkan di Studio Merdeka yang kurang mahir daripada segi kepakaran dan teknologi yang digunakan. Bagaimanapun, idea pengarah merupakan sesuatu yang paling menonjol dalam sesebuah filem.

Pemikiran dakwah P Ramlee

Jika diimbas secara sepintas lalu, filem Tiga Abdul, Ahmad Albab dan Ali Baba Bujang Lapok merupakan babak yang paling banyak menerapkan unsur Islamik berbanding filem lain arahan beliau yang lebih merupakan pentas kritik sosial tanpa kita sedar.

Walaupun P Ramlee cuba menerapkan elemen keagamaan dalam Semerah Padi, versi hudud yang dilaksanakan masih boleh diberikan kredit walaupun tidak mencerminkan pelaksaan hudud yang sebenar. Di dalam filem Tiga Abdul, P Ramlee menggunakan latar Isketambola yang mungkin boleh dirujuk Istanbul dalam keseluruhan cerita tersebut.

Melalui watak Abdul Wahub, beliau berjaya menghimpunkan segala sifat kebaikan dan nilai positif dalam menghadapi kejahatan abang-abangnya, Sidek Segaraga dan Kassim Patalon.

Di dalam filem ini juga, P Ramlee mengajar kita supaya menyantuni anak-anak yatim, berkahwin dengan orang yang tidak disukai pada awalnya tidaklah menandakan tidak bahagia pada akhirnya, membalas dendam kepada orang yang mengkhianati hanya semata-mata untuk menyedarkan mereka dan banyak lagi unsur Islamik yang digarap melalui watak-watak tersebut.

Di dalam Anakku Sazali, ia memberi teladan kepada bapa yang terlalu memberikan kesenangan kepada anaknya atas nama ingin mencurah kasih sayang sehingga ia memberi kesan buruk kepada kehidupan si anak. Melalui watak Haji Bakhil lakonan Udo Umar (Nasib Labu Labi) P Ramlee ingin menegur orang kaya supaya ikhlas dalam menginfaqkan harta mereka kepada rumah anak-anak yatim.

Selain itu, menurut kenalan yang rapat dengan beliau, P Ramlee memang seorang yang pemurah. Dan sifat kepemurahan ini ditonjolkan dalam filem beliau melalui watak Abdul Wahub yang menghadiahkan rumah kedai kepada persatuan anak yatim, watak Ali Baba (Ali Baba Bujang Lapok) yang menderma wang emas kepada orang ramai, watak Ramli (Bujang Lapok) yang ditipu oleh seorang wanita tetapi selepas mengekori, beliau membiarkannya setelah menyedari wanita itu adalah orang miskin, watak Harun (Anak Bapak) yang menjaga kebajikan pekerja ladang milik bapanya, watak Syawal (Ahmad Albab) yang mengadakan kenduri kesyukuran setelah diberi kesenangan.

Ini merupakan sebagai elemen yang digarap oleh P Ramlee di dalam kebanyakan filem arahan beliau.

 Begitu juga lagu-lagu beliau di mana lirik-lirik tersebut cukup bermakna yang memberi bekas kepada pendengarnya.

Kita tidak tahu sampai bila tulisan berkenaan P Ramlee akan berhenti. Ia akan terus-menerus dinukil oleh pengkaji dan peminat filem kerana akan ada sisi-sisi baru yang dapat dianalisis daripada pemikiran beliau.

Ia bergantung kepada kita bagaimana kita melihat sesebuah filem itu. Adakah kita ingin tahu tentang jalan ceritanya, atau adakah kita ingin melepaskan tekanan dengan menonton filem humor? Atau adakah kita ingin mengkaji apakah idea pengarah di sebalik wayang yang dpertontonkan kepada orang awam? Terpulanglah.

Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh (22 March 1929 – 29 May 1973). Semoga roh beliau ducucuri rahmat.

* Penulis merupakan editor di The Kelantan Times.

Tak wajar diturunkan papan iklan kartun GST

Posted: 05 Jun 2014 08:42 PM PDT


Mohd Noor Yusoff Mohd Noor Yusoff

PUTRAJAYA - Penggunaan papan iklan kartun sebagai medium memberi kefahaman mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat tidak wajar diturunkan, demikian menurut Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa), Mohd Noor Yusoff.

Beliau berkata, jika terdapat kekeliruan pada papan iklan berkenaan, ia seharusnya dibuat pindaan pada kadar segera.

"Kebanyakan papan iklan kartun promosi GST mudah difahami dan mampu memberi input baik kepada rakyat.

"Bahkan medium sama (iklan kartun) digunakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Mohd Noor berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai penggunaan papan iklan kartun tersebut sebagai gagal mencapai maksud sebenar bagi membantu rakyat memahaminya selain ia amat  memalukan kerana tidak sesuai.

"Perkasa melahirkan rasa kesal terhadap beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran,  berikutan tindakan mengkritik secara terbuka.

"Seharusnya perkara ini tidak perlu diperbesarkan. Ia hanya papan iklan yang digunakan untuk rakyat tahu dan ingat mengenai GST," katanya.

Katanya, sebagai bekas menteri Kabinet, Dr Mohd Puad sepatutnya datang berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk memberi cadangan bagi meningkatkan promosi GST.

"Tetapi, bukan dengan cara meminta Tan Sri (Dr Mohd Irwan Serigar) bersara awal. Beliau banyak membantu memastikan program kesedaran dan penerangan GST kepada kumpulan sasar berjalan lancar," katanya.

Katanya, Perkasa termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), Pejabat Kastam Negeri dan Kastam Malaysia sentiasa menganjurkan siri taklimat kesedaran dan kefahaman GST di seluruh negara selain mengedarkan risalah GST dan membuat hebahan di  media massa.

"Wakil rakyat juga boleh memainkan peranan dengan cara mendalami ilmu GST dan turun padang memberi taklimat dan penerangan kepada rakyat di kawasan mereka," katanya.

Tiada ulasan: