Isnin, 16 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khalid sifatkan Noh Omar "gila talak"

Posted: 16 Jun 2014 04:13 AM PDT

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar menjadikan sesi perbahasannya untuk menghentam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Perbahasan ahli parlimen BN itu dibidas oleh beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kerana ia tidak menjurus kepada Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, perkara yang menyentuh dasar Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya dibahaskan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) dan bukannya di parlimen.

Bahkan katanya, tindakan Ahli Parlimen Tanjung Karang terbabit sekali gus menafikan penglibatan Adun BN di dalam Dun Selangor.

"Kenapa tidak sahaja YB dedahkan perkara atau fakta yang ada kaitan dengan kerajaan Selangor di Dun. Di sini kita membincangkan soal dasar Kerajaan Persekutuan.

"Tindakan ini seolah-olah Tanjung Karang tidak percaya kepada Adun-Adun BN di Dun Selangor," katanya yang turut mencelah ketika perbahasan oleh Noh Omar membuatkan dewan sedikit gamat.

Suasana bertambah gamat apabila Khalid turut melabelkan Tanjung Karang seolah-olah 'gila talak' dan tidak boleh menerima hakikat bahawa Kerajaan Selangor masih di bawah Pakatan Rakyat.

Sementara itu Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin  bangun mencelah dan menyifatkan pendedahan Tanjung Karang  telah menafikan hak kerajaan Selangor untuk menjawab.

"Kita tidak ada Exco kerajaan untuk jawab pendedahan Tanjung Karang. Kenapa tidak dedahkan dalam sidang Dun? Kenapa Selangor, kita bincang di parlimen?

"Adakah kerana sukar untuk pelaburan asing atau pelaburan Umno? Sebab menyukarkan Umnolah, meroyan semacam sahaja," bidas Hanipa menjadikan dewan semakin gamat dan diikuti sanggahan oleh Noh Omar.

Dalam perbahasan itu, Noh mempertikaikan kerajaan Selangor yang enggan melaksanakan Langat 2 menyebabkan krisis air melanda negeri itu beberapa bulan lalu.

Katanya kedegilan kerajaan Selangor menyebabkan pelaburan kerajaan pusat tergendala kerana tidak mendapat kerjasama dengan kerajaan negeri.

"Apa yang saya cakap ini ada kaitan dengan pelaburan bukan isu Selangor sahaja, pelaburan air ini melibatkan semua negeri

"Saya cakap berdasarkan fakta. Dasar kerajaan negeri menyusahkan pelaburan. Macam mana pelaburan hendak datang," kata Noh.

Pentaksiran PT3 Tingkatan 3 Bermula 1 Julai 2014 : Beban Guru Berkurang 80%. Kualiti Pelajar?

Posted: 16 Jun 2014 04:09 AM PDT



PT3



Pentaksiran PT3 Tingkatan 3 Bermula 1 Julai 2014 : Kalau dahulu Penilaian Menengah Rendah dikenali dengan LCE, diikuti dengan SRP, PMR dan terbaru Pentaksiran PT3 Tingkatan 3 2014 bagi tujuan penambaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) katanya.

Berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beban guru (SEPERTI DI SINI) dan contoh rungutan (DI SINI) mampu dikurangkan sebanyak 80%. Contohnya….
  • Guru tidak perlu lagi merekodkan data penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian.
  • Guru lebih feleksibel bagi merekodkan data prestasi pelajar mengikut kaedah dan kesesuaian masa mereka sendiri

Beza PT3 Tingkatan 3 2014 VS PMR?

  1. PT3 Tingkatan 3 dilaksanakan berasaskan sekolah sementara PMR adalah peperiksaan berpusat serentak di semua sekolah di seluruh negara
  2. PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan manakala Walaupun PT3 dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah
  3. PT3 tidak hanya menilai pelajar dari segi kognitif atau aspek akademik semata-mata tetapi turut menyediakan ujian psikomatrik. Ujian ini adalah untuk mengenal pasti kecenderungan, minat dan bidang kebolehan pelajar
Bagi kemasukan pelajar Tingkatan 4 kelak pada tahun hadapan, pelajar boleh menggunakan keputusan PT3 Tingkatan 3 untuk memohon memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik atau Kolej Vokasional.

Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan bermula 1 Julai 2014 ini. Untuk PT3 Tingkatan 3 PT3 hanya ada 5 subjek sahaja yang ada exam seperti PMR tetapi dengan format soalan yang baru keluar sebelum cuti.

Calon PMR sebelum-sebelum ini, dilatih bagi menghadapi PMR, 3 tahun bermula daripada Tingkatan 1 lagi supaya dibiasakan diri dengan format soalan.

Bertabahlah hati, kuatkan semangat, teruskan usaha anak-anak yang menjadi calon PT3 Tingkatan 3 tahun 2014 ini.
"untung sabut timbul, untung batu, tenggelam"
P/S : Apa respon balas guru, kalangan ibubapa dan pelajar-pelajar yang bakal menghadapi PT3 Tingkatan 3 buat pertama kalinya yang akan bermula tidak lama lagi?

Selesaikan isu kerakyatan 9,372 kanak-kanak

Posted: 16 Jun 2014 03:56 AM PDT

Oleh: Amirul Azhan


KUALA LUMPUR : KEADILAN menggesa Menteri Dalam Negeri menyelesaikan permohonan status kerakyatan kanak-kanak yang tidak diberi taraf warga negara, meskipun ibu atau bapa mereka adalah rakyat Malaysia.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, melalui jawapan kementerian tersebut, sebanyak 9,372 kanak-kanak masih tidak mendapat status kerakyatan bagi tempoh 2008 hingga April 2013.

"Melalui jawapan yang diberikan Khamis lalu, kementerian menyatakan 9,372 kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan salah seorang ibu bapanya adalah rakyat negara ini namun tidak dapat status hak kerakyatan.

"Ini amat menyedihkan kerana kerajaan sendiri menafikan hak kerakyatan kanak-kanak ini dan masalah akan timbul apabila mereka ingin memulakan persekolahan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dalam jawapan, KDN turut menyatakan peruntukan Perlembagaan iaitu Seksyen 15 (2), Perkara 18 membenarkan anak kepada salah seorang warga negara Malaysia diberikan kerakyatan.

Katanya, soal kerakyatan adalah tertakluk kepada Perlembagaan dan pemohon ada hak memohon kewarganegaraan dengan prosedur yang sewajarnya mengikut Perlembagaan. Namun, katanya terdapat banyak kes di mana permohonan ditolak sehingga dua atau tiga kali.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata terdapat kes di mana anak dilahirkan sebelum ibu bapa mendaftarkan perkahwinan mereka.

"Saya rayu kepada rakyat Malaysia untuk mendaftarkan perkahwinan dahulu kerana ini merupakan satu isu yang serius yang akan mendatangkan banyak permasalahan di masa depan" ujarnya.

Projek UiTM diberi kepada Adun Umno – Rafizi

Posted: 16 Jun 2014 03:54 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Pasir Gudang diberikan kepada seorang Adun Umno Pulau Pinang.

Katanya, perkara itu disahkan oleh perdana menteri dalam jawapan di parlimen yang mengakui kos kampus berkenaan adalah antara RM280 juta hingga RM315 juta dan disewakan semula kepada UITM. Ia katanya, merupakan perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa tahunan antara RM56 juta hingga RM69 juta.

Rafizi (2)"Semakan menunjukkan bahawa Cosmic Dimension Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mana salah seorang pemilik saham utamanya adalah Shariful Azhar Othman, ADUN Bertam (Pulau Pinang) dari Umno. Beliau memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension Sdn Bhd iaitu 20 peratus saham pemegang konsesi tersebut.

"Bersama-sama seorang lagi pengarah dan pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris, Shariful Azhar Othman mengawal secara majoriti Cosmic Dimension Sdn Bhd," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Penyata kewangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedudukan aset RM6 juta dan perolehan tahunan hanya sebanyak RM150,000.

Katanya, ia membuktikan syarikat itu tidak menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh dan tiada pengalaman dalam sektor pembinaan.

"Saya menggesa Perdana Menteri menjawab sama ada perjanjian konsesi ini diberi kepada Cosmic Dimension Sdn Bhd kerana syarikat itu berkait rapat dengan seorang ADUN Umno?," soal Pengarah Strategi KEADILAN itu.

Pada 12 Jun lalu, Rafizi mendedahkan bahawa kerajaan memberikan konsesi kepada syarikat swasta untuk membina enam kampus cawangan UiTM selama 23 tahun dan  sewa tahunan antara RM56 juta sehingga RM69 juta bagi setiap kampus. Jumlah keseluruhan bayaran konsesi tahunan kepada enam syarikat terbabit adalah RM8.6 bilion yang ditanggung rakyat.

"Sedangkan kos membina 6 kampus tersebut dianggarkan sebanyak RM 1.8 billion sahaja, mengambil kos purata RM298 juta untuk setiap kampus bagi 6 kampus cawangan," katanya.

Datuk Seri Najib Razak melalui jawapan di Dewan Rakyat April lalu memberitahu enam syarikat dilantik sebagai pemegang konsesi. Selain cawangan UiTM Pasir Gudang, kampus lain adalah Jasin (Melaka), Seremban II (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor), Tapah (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).

"Rakyat terpaksa menanggung beban kos sebanyak hampir lima kali ganda lebih mahal iaitu kos pembinaan kampus hanya RM1.8 bilion tetapi  terpaksa membayar sewa tahunan sebanyak RM8.6 bilion kepada syarikat konsesi," kata Rafizi.

Awas, k'jaan boleh pintas komunikasi rakyat

Posted: 16 Jun 2014 03:45 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mendedahkan bahawa kerajaan berupaya memintas komunikasi rakyat sama ada melalui emel, telekomunikasi atau pos seperti yang diperuntukkan bawah lima akta.

Dalam jawapan bertulisnya, Nancy berkata pendakwa raya mempunyai kuasa untuk membenarkan pegawai polis membuat pintasan bawah seksyen 116C Kanun Atacara Jenayah jika berpendapat komunikasi itu mungkin mengandungi maklumat yang berhubungan dengan pelakuan kesalahan.

Empat lagi akta yang memperuntukkan perkara yang sama ialah seksyen 27A Akta Dadah Merbahaya; seksyen 11 Akta Penculikan; seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan seksyen 6 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), katanya.

"Dari tahun 2009, tiada pintasan komunikasi yang melibatkan mana-mana ahli politik. Pintasan komunikasi dipohon semasa proses risikan dan siasatan oleh pihak polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain," katanya .

Nancy menjawab soalan MP Kluang Liew Chin Tong mengenai jumlah kes yang dibenarkan oleh timbalan pendakwaraya memintas emel, telekomunikasi dan pos berdasarkan pecahan ahli politik, suspek jenayah dan orang awam antara 1998 dan 2014.

Jawapan samar-samar itu membuat Liwe mencetuskan persoalan apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap komunikasi di kalangan ahli politik sebelum 2009.

"Adakah ini bermakna sebelum 2009 terdapat banyak berlaku pintasan telefon? Apa yang berlaku antara tahun 1998 dan 2009.

"Kerajaan perlu bersikap lebih telus," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sidang media isu Bible batal kerana kebakaran

Posted: 16 Jun 2014 03:40 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sekumpulan pemimpin NGO Islam dan para wartawan bergegas menyelamatkan diri apabila satu kebakaran kecil berlaku ketika satu sidang media sedang berlangsung di bangunan Majlis Agama Islam Selangor.

Seramai 50 orang yang menyertai sidang media berhubung isu rampasan Bible tersebut, termasuk pegawai MAIS bergegas meninggalkan bangunan tersebut di Shah Alam.

Saksi, seorang wartawan yang bertugas membuat liputan sidang media pemimpin NGO tersebut berkata, mereka bergegas turun dari ruang di tingkat 10 apabila diberitahu mengenai kemalangan tersebut.

Ia berlaku kira-kira 15 minit selepas sidang media bermula pada jam 12.15 petang, katanya.

"Ketika sidang media, loceng kebakaran berbunyi, tetapi tidak dihiraukan, kemudian seorang kakitangan masuk ke dalam bilik menghentikan sidang media dan meminta semua mengosongkan bangunan tersebut.

"Ketika melalui tingkat 9, ternampak kepulan asap yang tebal dan semua orang turun menggunakan tangga dan berkumpul di dataran luar bangunan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, seorang jurucakap Bomba Selangor menyebut, kebakaran itu berpunca dari kerosakan satu unit transformer penyaman udara di tingkat 9 bangunan tersebut.

Katanya, pasukan bomba berjaya memadam kebakaran sebelum ia merebak.

Sidang media oleh wakil dari 100 NGO Islam itu bagi mendesak agar MAIS tidak tunduk kepada arahan kerajaan Selangor agar memulangkan kembali naskhah Bible yang dirampas pada Januari lepas.

Gabungan itu mendesak agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meletakkan jawatan kerana didakwa menganggap Bible yang dirampas tersebut sama dengan kitab Injil.

Turut menyertai sidang media itu ialah wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia.

'Jangan pulangkan Bible pada BSM'

Posted: 16 Jun 2014 03:37 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Kira-kira 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak tunduk kepada arahan kerajaan Selangor yang meminta jabatan itu memulangkan semula 300 naskhah Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.

Pengerusi Pembela-pembela Islam Malaysia (PEMBELA) Hafiz Nordin yang mewakili gabungan kira-kira 100 NGO itu berkata ini berikutan naskhah Bible tersebut mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh kaum bukan Islam di negeri ini.

"Tidak perlu dipulangkan kitab Bible yang dirampas itu kerana kitab itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor dan fatwa negeri ini yang melarang kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan agama mereka," katanya
dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Khamis lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.Abdul Gani berkata naskhah Bible yang dirampas itu adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.

Selain Pembela, gabungan NGO itu turut diwakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). - Bernama

Mayat pemuda ditemui disyaki dibunuh

Posted: 16 Jun 2014 03:33 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seorang pemuda Orang Asli ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian rusuk kirinya di sebuah ladang di Kampung Sungai Gayung, Kedaik dekat Rompin awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin ASP Mohd Razali Razak berkata mayat Rosli a/l Kam Pak Chin, 20, ditemui terbaring berhampiran motosikalnya di Jalan Ladang Far East Kedaik kira-kira jam 3.30 pagi.

"Mayat mangsa ditemui oleh kenalan rapatnya yang kemudianya memaklumkan kepada keluarga mangsa sebelum kakak mangsa membuat laporan polis.

"Kakaknya juga memaklumkan terdapat kesan darah serta kecederaan pada rusuk kiri adiknya," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dibunuh.

Katanya mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Rompin untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Bernama

Pusat perlindungan baru untuk wanita di Kuching

Posted: 16 Jun 2014 03:32 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang mewujudkan sebuah lagi rumah perlindungan wanita di Kuching untuk warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan seks di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata peruntukan untuk menubuhkan pusat berkenaan sudah disediakan dan kementeriannya kini dalam proses untuk mengenal pasti tempat yang sesuai di sini.

"Buat masa ini rumah perlindungan wanita terdekat di negeri Sarawak terletak di Sabah dan wanita asing yang diselamatkan daripada aktiviti pemerdagangan seks di Sarawak akan dihantar ke negeri itu," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutupan Forum Wanita dan Undang-Undang di Kuching hari ini.

Beliau berkata dua lagi pusat perlindungan wanita terdapat di Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

Katanya mangsa yang dimasukkan ke pusat berkenaan akan menjalani rawatan pemulihan dan latihan sebelum dihantar balik ke negara asal mereka.

Menurutnya tempoh mangsa tinggal di rumah perlindungan bergantung kepada masa yang diperlukan untuk pemulihan dan persiapan negara asal untuk membawa mereka balik.- Bernama

Gobind mulakan siri laporan polis di seluruh negara ke atas KPN

Posted: 16 Jun 2014 03:28 AM PDT

1402812097110

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo hari ini memulakan siri laporan polis DAP ke atas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung keengganannya menguatkuasakan perintah mahkamah sivil dalam kes hak penjagaan anak dua pasangan berbeza agama.

Laporan dibuat di Balai Polis Cheras pada jam 12 tengah hari tadi.

Turut bersama-sama beliau adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga peguam kepada M Indira Gandhi M Kulasegaran dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang P Gunasekaran.

Gobind dalam laporannya berkata, kenyataan Khalid bahawa beliau tidak akan menguatkuasakan keputusan mahkamah memberi kesan buruk kepada sistem keadilan dan meminta polis menyiasatnya dengan secepat mungkin.

"Beliau berkata bahawa dalam kes-kes melibatkan keputusan hak penjagaan anak yang berbeza oleh mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pihak polis tidak akan melaksanakan keputusan tersebut.

"Kenyataan tersebut mempunyai kesan yang berat kerana melibatkan perintah mahkamah yang harus dilaksanakan…(Jika tidak dilaksanakan) sistem keadilan akan tergugat dan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara turut merosot," sebut laporan itu.

DAP semalam mengumumkan, Jawatankuasa Wanita dan Pemuda Negeri akan mula membuat laporan polis ke seluruh negara berhubung kegagalan Khalid ini.

Dalam kes perebutan hak penjagaan antara M Indira Gandhi dengan Mohd Ridzuan Abdullah serta S Deepa dengan Izwan Abdullah, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Rayuan masing-masing berpihak kepada Indira dan Deepa.

Ramkarpal melalui akaun twitternya turut berharap polis selaku badan penguatkuasa menjalankan tanggungjawabnya.

"Saya mengiringi Gobind membuat laporan polis ke atas KPN berhubung tindakannya tidak menguatkuasakan perintah mahkamah. Jika polis tidak membantu, siapa lagi yang kita boleh harapkan?" katanya. -Roketkini.com

Royalti minyak 20%, ahli parlimen BN Sarawak berani sokong?

Posted: 16 Jun 2014 03:24 AM PDT

chong chien jien

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen akan menguji keberanian ahli parlimen BN Sarawak menyokong usul kenaikan royalti minyak dari lima peratus kepada 20 peratus kepada negeri itu.

Menurut Chong, perkara tersebut akan diusulkannya di Dewan Rakyat Khamis ini melalui Peraturan Mesyuarat 14(2).

"25 ahli parlimen BN Sarawak yang bersetuju sudah membentuk 123 sokongan ahli parlimen, ini majoriti mudah.

"Kemudian (22 orang) ahli parlimen BN Sabah turut menyokong, bermakna majoriti dua pertiga Dewan.

"Perdana Menteri Najib Razak pasti tak boleh menolak permintaan lebih 50 peratus ahli-ahli Dewan yang mulia," kata Chong pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Chong, usul yang bakal dikemukakannya melibatkan peningkatan royalti daripada nilai kasar minyak dan gas di negeri bumi Kenyalang itu.

"Kerajaan Persekutuan perlu dalam tahun ini menguatkuasakan semua dokumentasi perundangan bagi kenaikan hak royalti minyak," katanya.

DUN Sarawak 6 Mei lalu meluluskan usul memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Usul tersebut mendapat sokongan sebulat suara 68 anggota DUN Sarawak.

"Persoalannya, adakah ahli parlimen BN Sarawak mahu menyokongnya? soal Chong yang juga Pengerusi DAP negeri.

"Jika tidak (setuju), jelas mereka tidak menghormati DUN Sarawak yang secara terbuka bersetuju mengenaninya," kata Chong yang masih menunggu cabarannya disahut ahli parlimen BN Sarawak – Roketkini.com

MH370: Ibu Penumpang Iran Guna Pasport Palsu Sedang Menderita

Posted: 15 Jun 2014 10:53 PM PDT

 Saat-saat indah Niloufar (kanan), bersama anaknya Pouria.
 
MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Bagi ibu kepada warga Iran yang menaiki penerbangan MH370 dengan pasport palsu, setiap hari yang dilaluinya tidak ubah seperti 'kematian perlahan-lahan', sejak pesawat itu hilang 8 Mac.

Niloufar Vaezi Tehrani, yang menetap di Jerman, menyifatkan dirinya sebagai seorang wanita yang menderita.

"Saya akan menemui ahli psikologi kerana saya bukan sahaja kehilangan anak, saya juga kehilangan kehidupan saya sendiri. Saya terlepas kereta api kerana tidak boleh menumpukan perhatian. Apabila saya bangun, saya akan menuju ke TV dan komputer riba untuk melihat berita dan tiba-tiba saya sedar segala-galanya sudah berlalu," kata Niloufar, 47.

Dia memberitahu The Star bahawa Pouria Nourmohammadi, 19, telah menghantar e-mel kepadanya sebelum ini, menyatakan rancangan untuk terbang ke Malaysia dan kemudian menggunakan pasport palsu untuk ke Jerman.

Pelajar kejuruteraan kimia itu rindu untuk melihat ibunya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser payudara peringkat kedua.

Pada awal krisis MH370, perhatian global telah tertumpu kepada imej-imej kabur dua warga Iran yang dikenal pasti oleh polis sebagai penyamar yang telah menggunakan pasport palsu.

Untuk satu ketika, Pouria merupakan suspek utama dalam kehilangan Boeing 777. Terdapat spekulasi ketika itu bahawa dia merupakan seorang pengganas.

Bagaimanapun, kebenaran cerita seorang anak yang cuba sedaya upaya untuk bersatu kembali dengan ibunya, tidak menyebabkan spekulasi itu berpanjangan.

Walaupun keluarga anak-anak kapal MH370 dan penumpang berada di bawah jagaan Malaysia Airlines dan sukarelawan, Niloufar berkata dia menanggung derita keseorangan.

"Hari ini, tiada siapa yang menjaga saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai MH370. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak saya. MAS dan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah sekali bercakap dengan saya atau memberi saya maklumat mengenai anak saya," dakwanya.

Dia melarikan diri dari Teheran dua tahun lalu selepas didera oleh suaminya.

Niloufar membawa bersama anak bongsunya Ilia, 14, dan menetap di Jerman.

"Dia mempunyai kesukaran membawa keluar Pouria bersama kerana usianya," kata peguam Niloufar, Dan Gilleon.

Pouria, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, menaiki pesawat malang menggunakan pasport milik warga Austria dan Itali pada 8 Mac.

Mereka terbang ke Beijing dan kemudian mengambil penerbangan sambungan ke Frankfurt, di mana Niloufar menunggu di sana.

Dipercayai pasport dan dokumen Itali dan Austria yang digunakan tidak memerlukan visa untuk memasuki Jerman.

"Dia mahu melihat ibunya yang sakit. Okay, cari dia dan jatuhkan hukuman kepadanya. Tetapi saya hanya mahu tahu mengenai anak saya," kata Niloufar dengan penuh emosi.

Niloufar dan Gilleon kini merancang untuk meneruskan tuntutan 'kematian tidak benar' terhadap MAS.

Gilleon mendakwa MAS enggan melepaskan maklumat tiket Pouria, yang diperlukan untuk menentukan bidang kuasa bagi membuat tuntutan mahkamah, sambil menambah MAS memberi alasan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap Pouria.

Niloufar berkata apa boleh dilakukan sekarang ialah menunggu dan berdoa, dengan harapan pihak berkuasa akan memahami bahawa dia hanyalah seorang ibu yang mencari seseorang yang disayangi.

"Saya melihat gambar salah seorang isteri krew melahirkan anak. Saya tahu bagaimana penderitaan yang dialaminya. Hari ini, saya berdoa bukan sahaja untuk Pouria tetapi semua penumpang supaya mereka selamat dan Tuhan memberkati mereka. Saya berharap dunia tidak akan melupakan kami, "katanya.

Awie Kesal Jalinkan Kerjasama Dengan KRU

Posted: 15 Jun 2014 10:50 PM PDT

Awie berharap masalah cetak rompak turut dibantu pihak kerajaan.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK 


PETALING JAYA: Penyanyi rock Awie (Wings) mengakui berasa menyesal kerana menjalinkan kerjasama dengan pihak KRU Music Group lebih-lebih apabila isu beberapa lagu dalam album terbaharu mereka terbitan syarikat itu, Menakluk Kosmos yang dicetak rompak seperti tidak diambil peduli oleh syarikat itu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, keadaan itu juga membuatkan Wings enggan manyambung kontrak dengan KRU Studios sekiranya ditawarkan lagi kerana menganggap pihak syarikat itu seperti tidak serius dalam pembikinan album mereka.

"Dulu, saya ditawarkan untuk bekerjasama dengan KRU Studios secara solo, tetapi saya tak nak. Kemudian mereka mengajak Wings pula dan pemain gitar utama kami, Joe bersetuju, dan saya pun ikut sahaja.

"Selepas album siap, kami bersemangat mahu lancarkan album tersebut sebaik-baiknya tetapi malang sekali, majlis dibuat seperti 'melepaskan batuk di tangga'. Malah tiada sebarang poster menunjukkan ia adalah majlis pelancaran kami.

"Sudahlah beberapa lagu dalam Menakluk Kosmos dicetak rompak. Dan apabila meminta penjelasan Norman (Presiden Eksekutif KRU Music) dia hanya memberikan komen menerusi YouTube. Kenapa mesti YouTube? Cukuplah satu album kerjasama kami dengan mereka," katanya.

Pada 20 Mei lalu, Wings telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Malawati, Hulu Kelang, dekat sini berhubung empat lagu  dalam album terbaharu mereka iaitu Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia, Bisa Yang Tertunda dan Hei Lihat Sini  telah dicetak rompak.


Wings pada pelancaran album Menakluk Kosmos baru-baru ini.

Lagu kumpulan itu bukan sahaja boleh dimuat turun secara percuma malah album itu juga boleh didengari menerusi aplikasi Spotify dan Deezer bagi pengguna telefon pintar sebelum sempat ia dilancarkan.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada kelemahan pihak KRU sendiri.

Sementara itu, Awie berkata, pihak kerajaan juga sepatutnya perlu sama-sama membanteras isu cetak rompak, namun apa yang dilihatnya, perjuangannya itu hanya dilakukan oleh golongan penggiat industri muzik sahaja.

"Isu cetak rompak ini sudah lama dah sampaikan artis-artis sendiri terpaksa terima perkara tersebut dengan rasa sakit hati.

"Saya harap sangat agar pihak kerajaan peka dengan situasi ini dan cuba membanterasnya. Saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, terpulang pada individu itu sama ada mereka mahu membantu ataupun tidak," ujarnya.

230 syor dalam Laporan Audit 2013 siri 2

Posted: 15 Jun 2014 10:42 PM PDT

MALAYSIAKINI

 

 


Sebanyak 230 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.
  
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada Kerajaan-kerajaan negeri.
  
"Kelemahan yang dilaporkan kebanyakannya bersabit dengan kecekapan dan akuran penjawat awam kepada peraturan kewangan kerajaan," katanya dalam kenyataan di ibu negara hari ini.
  
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
  
Beliau berkata dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat," katanya.
  
Ambrin berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.
  
Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu telah tercapai.
  
Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang telah dibuat.
  
Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat.
  
Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.
  
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April lepas.   
-Bernama

Ribut Terbangkan & Terbalikkan Khemah Ketika Berkaraoke

Posted: 15 Jun 2014 10:34 PM PDT

KELAB GREENBOC


 
Bagan Pinang – Program Sukan Pantai Badan Berkanun yang bermula semalam berakhir dengan insiden empat khemah diterbangkan ribut malam kelmarin.

Penolong Pegawai Rela Daerah Port Dickson, Mejar Hassan Selim berkata, kejadian berlaku dengan pantas apabila khemah yang bersambung antara satu sama lain terangkat dan terbalik.

Menurutnya, peserta yang berada di bawah khemah berkenaan terpaksa melarikan diri kerana khuatir ditimpa besi khemah.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam ketika empat anggota Rela dan 10 sukarelawan pihak penganjur, Persatuan Badan Berkanun dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) sedang melakukan acara santai sambil berkaraoke.

"Ketika itu hujan gerimis dan saya datang untuk membuat pemantauan anggota Rela yang bertugas menjaga keselamatan barangan dan tempat diadakan program itu yang dianjurkan oleh Persatuan Badan Berkanun dan UiTM," katanya.

Hassan berkata, empat orang sukarelawan dan anggota Rela cuba memegang tiang khemah namun tidak dapat menghalang ribut itu menerbangkan khemah itu dan tersangkut pada pokok di tepi jalan raya.

"Kejadian ribut lima minit itu nyaris menyebabkan kenderaan yang lalu di jalan raya berhampiran ditimpa besi khemah namun ia tersangkut pada beberapa batang pokok di tepi jalan.

"Namun kami lega kerana tiada yang tercedera akibat daripada kejadian itu walau bagaimanapun, semua mangsa terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Dijangka seramai 500 orang akan menyertai program berkenaan yang diadakan di Pantai Bagan Pinang selama tiga hari. 


[GEMPAR] Kehilangan MH370 Bukan Kemalangan Tetapi Konspirasi Yang Disengajakan

Posted: 15 Jun 2014 10:31 PM PDT

KELAB GREENBOC


Kehilangan MH370 'disengajakan', wujud 'perkiraan' (perancangan), kata juruterbang veteran‎


Dalam satu teori konspirasi terbaru mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, juruterbang komersial veteran dan wartawan penyiasat melihat insiden berkenaan merupakan tindakan yang "disengajakan" dan dalam "perkiraan, (perancangan)" lapor akhbar.

The Huffington Post UK melaporkan, juruterbang komersial veteran, Ewan Wilson dan wartawan penyiasat Geoff Taylor menghabiskan masa selama berbulan-bulan menganalisis data saat akhir pesawat sebelum hilang bersama 239 penumpangnya.

Mereka membuat kesimpulan, misteri kehilangan pesawat dan kegagalan sistem penjejaknya hanya boleh berlaku dengan tindakan yang disengajakan.

Wilson, sebelum ini pernah bekerja dengan dua syarikat penerbangan turut berlepas ke Malaysia untuk menemuramah penyiasat dan saudara mara juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.


Mereka yang berasal dari New Zealand turut melihat data yang dikeluarkan dan diperolehi Malaysia serta negara lain yang terlibat dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

Pusat kawalan udara kehilangan pesawat Boeing 777 ketika berada di kawasan perairan Malaysia dan Vietnam sebaik sahaja berlepas dari Kuala Lumpur dalam penerbangan malam pada 8 Mac yang dijadualkan ke Beijing.

Wilson berkata kepada stuff.co.nz, kesimpulan daripada bukunya, "Good Night Malaysian 370: The truth behind the loss of Flight 370," akan mengejutkan orang ramai.

Penulis itu berkata, mereka menolak kemungkinan kegagalan fungsi atau kemalangan pelik secara sistematik, dan berkata tiada alasan mengapa pesawat perlu berubah arah laluannya.

Menjelaskan dapatan mereka, Wilson, yang turut dilatih dalam bidang nahas pesawat udara berkata: "Buat pertama kali kami dedahkan maklumat analisis penerbangan, laluan dan siapa yang kami percaya bertanggungjawab terhadap pesawat terjunam ke Lautan Hindi."

Penulis itu berkata, saudara penumpang juga tidak dimaklumkan kebenaran tentang perubahan arah pesawat.

Taylor berkata:"Demi kebaikan keluarga penumpang, kebenaran perlu didedahkan.

"Kami melawat lounge ketibaan ketika keluarga berkumpul dengan semangat untuk menunggu panggilan mendarat. Sudah pasti mereka berhak mendapat lebih daripada itu," katanya.

Katanya: "Apa yang berlaku kepada MH370 bukanlah kemalangan. Ia disengajakan dan perkiraan yang tepat dan tidak seharusnya perkara itu (dibenarkan) berlaku."

Pengusaha ikan sangkar, pekerja diculik di Sabah

Posted: 15 Jun 2014 10:26 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tidak lama selepas kes culik di Sabah yang membabitkan seorang wanita rakyat China selesai, satu lagi kes culik berlaku di kawasan yang sama.

Utusan Online melaporkan pagi ini, seorang pengusaha ikan sangkar dan pekerjanya warga Filipina diculik di kawasan sangkar ikan Kampung Air Sepang, Kunak tengah malam tadi.

Mereka diculik oleh sekumpulan empat lelaki bertopeng dan bersenjata.

Pengusaha tersebut yang berusia 32 tahun dan pekerjanya berusia 20 tahun diculik pada kira-kira pukul 12.40 tengah malam.

Laporan itu memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, dua suspek naik ke atas rumah di pusat ternakan ikan itu manakal dua lagi menunggu di dalam bot.

'Harap tiada perobohan lagi sehingga Aidilfitri'

Posted: 15 Jun 2014 10:25 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar memohon jaminan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak melakukan sebarang perobohan lagi di Kampung Chubadak Tambahan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS turut menggesa supaya kerajaan campur tangan supaya kerja perobohan sebelum injuksi tamat pada 26 Jun ini.

"Pihak kerajaan perlu ambil peranan, kita nak mintak kerajaan campur tangan sebelum kes injuksi di Mahkamah Rayuan tamat ataupun sehingga hari raya nanti," katanya.

Bercakap dalam majlis pemberian sumbangan kepada keluarga yang terlibat dengan perobohan, Mahfuz berkata tuntutan itu hanya melibatkan fasa pertama, sementara kes bagi 58 penduduk kampung lagi kini dalam prosiding di Mahkamah Rayuan.

Pada Isnin lalu, DBKL merobohkan dua buah rumah penduduk sementara enam lagi telah dikenalpasti tetapi gagal dirobohkan kerana bantahan keras penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua pula menuntut pemaju memberikan ganti rugi yang munasabah kepada penduduk kampung itu kerana tawaran yang diberikan dianggap tidak setimpal.

Beliau mendakwa, penduduk yang menghuni sejaklebih 20 tahun, hanya ditawarkan pampasan sebanyak RM7,000 sahaja.

"Setakat ini mereka ditawarkan berpindah ke rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat Termiskin Batu tanpa (disediakan bekalan) air dan elektrik, nak masukkan (bekalan air dan elektrik) kena keluar duit sendiri RM400.

"Penduduk juga ditawar satu rumah satu unit PPRT, satu rumah cuma dua bilik. Mereka dekat sini rumah besar, (ada) kawasan ternakan lagi, kecil lagi.

"Jadi memang tak munasabah. Mereka patut banci dengan betul," katanya ketika sidang media semalam.

Penduduk telah diminta untuk memberi laluan untuk pembangunan kepada DBKL, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan pemaju Sentul Murni Sdn Bhd.

MP BN persoal fokus pusat beli belah dari terminal klia2

Posted: 15 Jun 2014 10:23 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Membangkitkan isu melibatkan terminal klia2 di Dewan Rakyat, ahli parlimen BN hari ini berkata kerajaan seolah-olah memberi lebih tumpuan kepada "pusat membeli-belah" dalam terminal itu berbanding kemudahan di lapangan terbang sendiri.

"Ia seolah-olah kita hanya mengambil berat tentang pusat membeli-belah. Bagaimana pula dengan terminal itu sendiri?

"Jadi, orang akan datang, membeli-belah dan kemudian balik? soal MP Bintulu Datuk Tiong King Sing di samping mengadu harga runcit di klia2 lebih mahal berbanding di KLIA sendiri.

Beliau juga mengkritik pihak berkuasa lapangan terbang tidak menggunakan sistem daftar masuk sedia ada yang dimiliki AirAsia, yang mana boleh menjimatkan wang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang boleh dilaburkan dalam pelbagai kemudahan.

'Mana pinjaman mudah RM100 juta itu PM?'

Posted: 15 Jun 2014 10:17 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menjanjikan skim pinjaman mudah RM100 juta dalam Belanjawan 2014 tetapi wangnya masih tidak kelihatan, dakwa seorang anggota Parlimen DAP.

Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) berkata, beliau cuba mencari skim untuk untuk kawasan parlimennya tetapi dimaklumkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) bahawa ia masih belum dilancarkan.

"Sejak belanjawan itu diluluskan di parlimen pada Disember tahun lalu, hingga hari ini, dana itu masih belum bermula.

"Saya tanya BSN berhubung permohonan skim itu tetapi mereka kata tidak menerima sebarang peruntukan untuk memulakan skim itu," kata Khoo kepada Malaysiakini.

Dalam Belanjawan 2014, Najib berkata, bagi membantu peniaga pasar malam, kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak RM100 juta bawah kendalian BSN.

Katanya, skim pinjaman mudah itu akan mengenakan kadar faedah empat peratus dengan pinjaman maksimum sehingga RM30,000.

Kemudahan itu, menurutnya lagi, bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan mentah dan kelengkapan perniagaan

'Lantik TPM dari Sabah, Sarawak'

Posted: 15 Jun 2014 10:16 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


ADUN Sabah Datuk Jeffrey Kitingan menggesa kerajaan melantik dua orang lagi timbalan perdana menteri, masing-masing dari Sabah dan Sarawak untuk membendung perasaan tidak puas hati warga Malaysia Timur.

"Lantik seorang timbalan perdana menteri untuk setiap wilayah dan perdana menteri akan dipilih oleh wakil rakyat atau menerusi sistem penggiliran," kata beliau di sebuah forum bertajuk 'Perjanjian Malaysia 1963' di Kuala Lumpur hari ini.

Jeffrey yang juga pengerusi Yayasan Warisan Borneo mencadangkan semenanjung Malaysia kekal dengan 11 negeri sementara Sarawak dibahagikan kepada sembilan negeri manakala Sabah, lima negeri.

Beliau menambah perlunya tiga TPM masing-masing satu untuk semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kita perlu struktur semula, kita tak boleh biarkan begitu saja kerana ia sekarang berat sebelah. Kita perlu selesaikan masalah ini, jika tidak kita harus berpisah dari Malaysia," kata beliau.

Pemimpin Borneo rancang bantahan besar

Posted: 15 Jun 2014 10:14 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Sekumpulan pemimpin nasionalis Borneo merancang untuk mengadakan bantahan sekiranya kerajaan pusat enggan merujuk kepada Perjanjian Malaysia bagi menangani dakwaan yang timbul berhubung layanan tidak adil kepada Sabah dan Sarawak.

"Kenapa tidak (buat bantahan)? Kita patut lakukan apa sahaja yang boleh membantu mencari penyelesaian kepada masalah kami.

"Ianya satu pilihan - di antara berbuat sesuatu, atau tidak berbuat apa-apa," kata ADUN Bingkor Datuk Jeffrey Kitingan dalam satu forum mengenai Perjanjian Malaysia 1963 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau mengulas mengenai saranan yang dibangkitkan dalam forum anjuran Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Yayasan Warisan Sarawak.

Jeffrey berkata forum tersebut memang dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur untuk memberi isyarat kepada kerajaan pusat.

"Kita mahu memberi mesej kepada kerajaan persekutuan supaya lebih terbuka dan memberi maklum balas.

"Jangan biarkan kami terkontang kanting di sana (Malaysia Timur), katanya kepada pemberita selepas itu.

Katanya, forum serupa juga akan diadakan di luar negara untuk meraih sokongan.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia pula berkata kumpulan tersebut boleh mengambil teladan dari demonstrasi besar anjuran Hindraf pada 2007.

"Saya beritahu mereka, jika anda buat begini di Kuching atau Kota Kinabalu, (Putrajaya) tidak akan peduli.

"Tapi jika ia diadakan di Kuala Lumpur, mereka akan bimbang, sudah tiba masanya untuk mereka bimbang.

"Saya diberitahu di Johor sahaja terdapat 120,000 warga Sarawak dan Sabah, bayangkan jika anda boleh dapatkan 20 peratus daripada jumlah untuk untuk buat progam jelajah atau apa saja," katanya kepada kira-kira 80 orang hadirin.

Tiada ulasan: