Rabu, 11 Jun 2014

.

.


Zahid congek ekor di parlimen mengenai PRK Teluk Intan

Posted: 10 Jun 2014 06:17 PM PDT

SUSUPAN PAGI                                                                                   

Sedap juga tengok Zahid Hamidi "congek ekor dan angkat jambul" dalam parlimen semalam mengatakan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Teluk Intan kerana dia telah beri amaran kepada gangstar agar tidak campur tangan dalam pilihan raya berkenaan.

Katanya dia kenal seorang-seorang muka gangstar di Teluk Intan dan juga bokie - kaki judi baik di Teluk Intan, Ipoh ataupun di Pulau Pinang. Hebat menteri KDN ini.

"Saya beri amaran pada kongsi gelap kerana saya tahu muka setiap seorang itu, apa yang dilakukan.
Disebabkan amaran itu mereka tidak campur tangan langsung daripada segi mengarah, dan memberi amaran kepada pendundi di Teluk Intan," katanya.



Menurut Zahid mulanya DAP meramalkan mereka akan menang pilihan raya kecil Teluk Intan itu dengan 12,000 majoriti, kemudian 6,000 kemudian 2,000 undi, akhirnya kalah dengan 236 undi.

Saya tersenyum mendengar dakwaan Zahid tentang perkara ini. Ada logiknya juga kalau gangstar
terlibat dengan sesuatu pilihan raya. Ini kerana bukan sahaja di kalangan orang Cina dan India tetapi orang Melayu juga ada gangstar.

Gangstar Melayu ini terlibat mengugut dan mengarahkan orang agar undi Umno sejak tahun 1959 lagi. Saya masih ingat di Kelantan macam mana samseng tahi minyak pemuda tahan lasak Umno akan menempelang dan beri penampar Jepun kepada sesiapa yang tidak mahu mengundi kapal layar (Perikatan).

Atau mereka akan ramai-ramai menyerbu rumah penyokong Pas dan membuang tangga dan "melembe" (meruntuhkan) jemburan.

Jadi tidak hairan kalau kongsi gelap seperti mana kata Zahid itu wujud dan memainkan peranan mereka dalam sesuatu pilihan raya.

Cuma apa yang hendak ditanya di sini apakah, tindakan dilakukan Zahid menerusi PDRM seperti di Teluk Intan itu tidak berlaku di Kajang? Apakah di Kajang yang komposisi pengundi Cinanya hampir 45% tidak ada kumpulan gangstar?

Saya percaya kalau Zahid memberi amaran kepada gangstar di Kajang dan mengenal mereka setiap seorang, pasti calon BN, Chew Mei Fun di Kajang itu juga menenang pilihan raya berkenaan?

Apakah Zahid tidak mengarahkan polis untuk memantau gangstar dan memberi amaran di Kajang kerana calon BN ditentang oleh Dr Wan Azizan Wan Ismail, isteri bekas bosnya Anwar Ibrahim? Atau pun Zahid suka kalau naib presiden MCA itu kalah?

Kalau begitulah keadaanya Zahid boleh gunakan kaedah - memberi amaran kepada gangstar itu dalam pilihan raya umum akan datang. Di mana-mana kawasan komposisi Cinanya kuat sudah tentu ia mempunyai gangstar. Jadi kawasan ini perlulah diawasi dan Zahid kena memberi amaran agar mereka tidak mempengaruhi pengundi supaya tidak mengundi BN.

Kita mahu tengok dalam pilihan raya umum ke-14 kelak, harap Zahid dapat membuktikan peranan dimainkan oleh PDRM itu akan memberi keuntungan kepada BN atau tidak. Atau apakah kumpulan kongsi gelap akan tunduk dan takut kepada amaran Zahid.

Bagi saya apa yang disebut Zahid itu tidak lebih dari hendak menunjuk hero sahaja. Kononnya dialah yang membawa kemenangan kepada Mah Siew Keong di Teluk Intan dan bukannya sikap oportunis orang Cina yang enggan mengundi Dyana Sofya Mohd Daud, kerana Dyana Melayu dan kebetulan pula masih mentah.

Cara cara menunjuk belang itu umpama membeli kangkung tidak membayar duit.  [wm.kl.9:08 am 11/06/14]

Jangan persenda dan hinakan hukum hudud

Posted: 10 Jun 2014 04:20 AM PDT

PANDANGAN SENJA                                                                            

Puak pembela Islam sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan perlu memberi perhatian dan bangkit terhadap pihak-pihak tertentu khasnya dalam politik yang mempersenda-sendakan hukum hudud. Ada kecenderongan di kalangan golongan politik mempermain-mainkan hukum hudud sebagai modal politik murahan mereka.

Hudud adalah sesuatu ketetapan Allah yang disebut dalam al kitab - al Quran. Sama ada kita hendak melaksanakan atau tidak, itu soal lain. Mempercayainya adalah wajib. Ia bergantung kepada komitmen dan iltizam sesebuah kerajaan. Tetapi janganlah sesekali hukum Allah itu dipersenda-sendakan.

Tidak seharusnya hukum hudud dijadikan alasan dan modal, untuk mendapat sokongan. Hukum hudud juga bukan perkara yang boleh dilakukan begitu seperti isu lembu di kondo, GST atau pun kehilangan MH370. Hudud bukan undang-undang untuk menarik sokongan ataupun sebaliknya. Hudud adalah satu kewajiban.



Sudah acap kali hukum hudud ini dipersenda-sendakan dan ia menyakitkan hati apabila mendengarnya. Malangnya orang atau pejuang dan pembela Islam tidak berbuat apa-apa, kurang prihatin. Mereka seolah membiarkan orang mempersendakan hukum hudud dan ini sekaligus menjadikan agama Islam sebagai tidak bermaruah. Sensitiviti orang Islam tidak sepeka sensitiviti penganut agama lain.

Misalnya mendiang Karpal Singh pernah menlafazkan ucapan agar langkah dahulu mayatnya kalau hendak dilaksanakan hudud. Walaupun ketegasan beliau itu dari konteks perlembagaan tetapi kata-kata itu mencabar keimanan umat Islam. Karpal sengaja berkata begitu kerana dia boleh mengguna konotasi lain dalam hal hudud ini.

Persendaan tentang hudud bukan terbatas kepada Karpal sahaja. Sejak negeri Kelantan berhajat untuk melaksanakan hudud, waima atas apa tujaunnya, isu mengenai hudud ini makin "lacat" lagi diperkatakan. Apa yang disentuh mengenai hudud ia amat-amat menyakitkan hati dan rasa terhina.

Terbaru ialah cadangan ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari Dun Sungai Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik yang bercadang untuk membawa usul persendiri di DUN Selangor bagi berkemungkinan negeri itu melaksanakan hukum hudud. Walaupun niat Adun berkenaan baik tetapi apa yang dilakukannya jelas satu persendaan kepada hukum hudud.

Umum sudah mengetahui pendirian dan sikap Umno mengenai hudud. Presiden Umno Najib Razak sudah pun "bersabda"; kerajaan UBN tidak akan melaksanakan hudud kerana ia belum sampai masanya lagi. Apakah sabda Najib itu tidak didengari oleh Adun berkenaan.

Kita pasti beliau mendengarnya. Jadi apabila beliau cuba membawa juga usul mengenai hudud itu maka jelas ia satu persendaan. Tujuannya sudah tentu mahukan isu hudud menjadi perbalahan dan pertikaikan di kalangan anggota Adun Pakatan Rakyat di Selangor. Ia bukan sesuatu yang bertujuan baik dati nawaitu yang putih.

Sekiranya usul itu diterima untuk dibahas, sudah pasti ia akan ditolak oleh Adun Pakatan Rakyat terutamanya DAP, kerana pendirian parti itu terhadap hudud jelas. Umno Selangor juga cukup faham usul itu hanya sia-sia sahaja.

Kalau lah Umno beriya untuk melaksanakan hudud, Umno tidak perlu memilih Selangor sebagai contohnya, tetapi boleh "cuba try test" dingeri-negeri lain, Johor, Melaka, Kedah dan Pahang kerana negeri berkenaan Umno menguasai 2/3 DUN di mana keadaanya lebih mudah dan tidak mustahil.

Hukum hudud ini menjadi modal yang laris waktu ini. Bukan sahaja di kalangan orang politik Melayu beragama Islam, tetapi parti bukan Melayu dan Islam juga turut sama mengambil kesempatan menjadikan hudud sebagai modal untuk menempelak antara satu sama lain.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mengambil hudud untuk menempelak kawannya dari MCA dan Gerakan. Kata Kit Siang sebelum presiden MCA, Liow Tiang Lai dan presiden Gerakan Mah Siew Keong bersetuju menyertai kabinet Najib, hendaklah memastikan yang Umno menolak hukum hudud terlebih dahulu.

Katanya mereka berdua tidak boleh menerima tawaran menyertai kabinet kerana ia bertentangan dengan prinsip penubuhan BN. Mengenai hukum hudud Najib menegaskan pihaknya tidak menghentikan usaha agar undang-undang yang menjadi cita-cita Pas itu dilaksanakan.

Ini satu lagi bentuk bagaimana hudud dijadikan permainan politik. Satu penghinaan kepada Islam. Kenapa Kit Siang harus menjadikan hukum hudud untuk menghalang kedua-dua presiden itu menyertai kabinet? Hudud tidak sepatutnya dijadikan kayu penyendal untuk menghalang mereka menyertai kabinet kalau pun takut pengaruh MCA dan Gerakan membesar semula. Carilah alasan atau penyendal lain.

Hari ini juga Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng menyeru orang Melayu agar menyokong hukum hudud bagaimana pun beliau menegaskan Gerakan tidak akan sokong kerana perlaksanaannya bertentangan dengan Perlembagaan.

Untuk apa mengeluarkan seruan demikian sedangkan kita sendiri tidak menyokongnya. Bagi saya cara Teck Meng ini juga satu persendaan kepada hudud dan Islam. Beliau atau sesiapa juga yang mahu menjadikan hudud sebagai modal politik hendak berhenti berbuat demikian. Cara anda itu, baik daripada Pas atau Umno juga, kalau atas niat politik ia tidak baik.

Umat Islam seharusnya merasakan terhina dan tercabar dengan mereka yang mempersenda-sendakan hudud dijadikan modal politik. Mungkin satu tindakan menyeluruh perlu diambil untuk menjaga maruah hudud dan agama Islam. [wm.kl.7:08 pm 10/06/14]

Tiada ulasan: