Ahad, 8 Jun 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Setelah dikritik berbagai pihak MB Johor akhirnya buat 'U Turn'...

Posted: 08 Jun 2014 07:08 AM PDT


Rang undang-undang perumahan kontroversi negeri Johor akan dipinda untuk mengubah keputusan awal dengan memberi kuasa penuh kepada Sultan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Khaled berkata, peruntukan tersebut akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 di mana Sultan akan membuat keputusan atas nasihat menteri besar, lapor The Star Online.

Khaled juga dilaporkan berkata, lain-lain klausa dalam Rang Undang-Undang yang menyebut Sultan Johor akan ditukar kepada "kuasa kerajaan negeri".

Rang undang-undang tersebut akan dibentang dalam sidang DUN esok.

Sebelum itu, laporan awal mendedahkan ia akan memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, memantau akaunnya dan juga membubarkan lembaga itu.

Malah turut difahamkan, Sultan Johor juga boleh menentukan ganjaran ahli lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan meluluskan anggaran belanja setiap tahun berikut sebelum mendapatkan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Pengumuman Khaled tersebut selepas kritikan dua parti Pakatan Rakyat (PR), DAP dan PAS yang mendesak supaya rang tersebut digugurkan kerana ia membelakangi sistem Raja Berperlembagaan dan memberi kuasa eksekutif kepada Sultan.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong juga menggesa mendedahkan kepincangan dalam rang tersebut serta mendesak supaya ia ditangguhkan sebelum dibentang.

Antara kesilapan yang dikenal pasti adalah rang di dalam versi bahasa Inggeris yang mempunyai kesilapan ejaan seperti "business" tersalah eja sebagai "bossiness" serta beberapa perkataan lain hilang dalam rang tersebut.

"Ia membuktikan rang undang-undang tersebut belum bersedia untuk diluluskan," kata Liew.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga membidas campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan menyifatkannya mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan negara sejak merdeka.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud antara istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam pentadbiran.‎

Aziz berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam DUN berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan.

Kritikan turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mendakwa Khaled akan terpaksa mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang itu diluluskan.

Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat.

Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.

~ The Malaysian Insider

Kalaulah Harakah dan Keadilan lapor seperti Utusan ni.. kena cop 'Menderhaka' lah jawabnya..

Posted: 07 Jun 2014 08:18 PM PDT


Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan apakah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terlalu lemah pentadbirannya sehingga terpaksa mewujudkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) dan melibatkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kerajaan negeri?

Dalam Analisis Mingguan akhbar itu, Awang Selamat berkata, ramai pihak gusar apabila Khaled menegaskan bahawa Rang Undang-Undang bagi menubuhkan LPHJ akan tetap dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok.

"Cuma yang menjadi persoalan, lemahkah pentadbiran negeri sehingga terpaksa mewujudkan LPHJ dengan penglibatan Sultan?" soal akhbar itu dalam ruangan Bisik-bisik Awang Selamat yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.

"Apakah ada jaminan tiada campur tangan Sultan walaupun menteri besar menekankan bahawa beliau tetap ada kuasa eksekutif? Bab inilah yang lebih dikhuatiri." Menurut Awang Selamat, tindakan Khaled bercanggah dengan suara pelbagai pihak, termasuk badan-badan bukan kerajaan, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah kepada negarawan.

"Jika mahu mengambil semangat demokrasi memandangkan isu tersebut mempunyai implikasi besar, elok ia ditangguhkan.

"Tidak rugi apa-apa dan untuk apa tergesa-gesa. Dapatkanlah terlebih dahulu maklum balas pelbagai pihak, terutama rakyat Johor sama ada mahu berpegang kepada Raja Berkuasa Mutlak atau Raja Berperlembagaan," katanya.

Menurut Awang Selamat, desas-desus berlegar di Johor bahawa Khaled dikatakan terikat tangannya dan lebih akur kepada banyak campur tangan istana, terutamanya dalam pembangunan hartanah.

"Awang tidak pasti sejauh manakah kesahihannya. Mungkin ada asas kebenaran, atau ia sekadar persepsi yang berlegar begitu meluas. Tetapi sebahagian rakyat Johor resah dengan perkembangan di negeri itu.

"Mereka berkongsi banyak cerita dalam sektor hartanah dan kebocoran maklumat daripada para pegawai awam negeri yang membuak-buak rasa tidak senang. Lalu timbul dakwaan liar merumuskan Khaled lemah dan asyik tunduk," katanya.

Awal minggu ini, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Ibrahim akan terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri apabila satu rang undang-undang LPHJ akan dibentangkan dalam sidang DUN pada Isnin.

Tindakan kerajaan Johor itu mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mengatakan hal ini berpotensi menjejaskan kepentingan jangka panjang rakyat di negeri itu serta warga Malaysia secara amnya.

"Selaku rakyat Johor yang berkhidmat lebih 30 tahun membangunkan ekonomi Johor menerusi JCorp, saya tidak setuju dan percaya ramai rakyat turut menentang rang undang-undang LPHJ dibentang untuk pertimbangan DUN Johor.

"Jika diberi kuasa undang-undang penuh kepada Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran, ia secara langsung akan mencemarkan kedudukan baginda dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pemberian kuasa kepada sultan untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Katanya, kerajaan bertangungjawab kepada semua dasar pentadbiran, kecuali hal berkaitan agama.

"Sekiranya ada kuasa yang tidak betul, siapa yang harus bertanggungjawab? Contohnya dalam pemerintahan kerajaan persekutuan, jika sultan berkuasa, apa pula peranan perdana menteri?

"Raja berkedudukan di atas dan mempunyai kuasa agama, tetapi soal pentadbiran bukan kerja baginda," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Khaled berkata rang undang-undang LPHJ tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin ini, walaupun mendapat pelbagai reaksi dan tentangan segelintir pihak.

Menteri besar Johor itu berkata, rang undang-undang baru itu tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan di negara ini, kerana akan dibacakan bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Sebelum itu Utusan juga telah dilaporkan oleh The Malaysian Insider sebagai enggan menghadap Sultan Johor jika dipanggil..

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang lantang mengkritik tindakan kerajaan negeri Johor melibatkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pentadbiran melalui kolumnisnya Awang Selamat enggan menghadap pemerintah negeri itu sekiranya dipanggil.

Dalam ruangan "Bisik-bisik Awang Selamat‎ " kolumnis itu menyatakan sekiranya Sultan Johor ingin membuat teguran atau mendapatkan penjelasan, cukuplah dilakukan dengan menghantar wakil berjumpa dengan Utusan Malaysia.

"Adalah tidak sesuai bagi Sultan mencemar duli berurusan secara langsung dengan mana-mana editor jika timbul situasi yang tidak menyenangkan‎.

"Awang pun kalau menjadi bos media tidak mahu datang sekiranya dipanggil menghadap untuk tujuan seperti itu melainkan jika diundang untuk berbuka puasa atau hal-hal lain yang kita semua boleh merasa selesa," katanya dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Selain itu, Awang Selamat juga menafikan ‎terdapat arahan daripada pihak Istana agar Utusan Malaysia menghadap Sultan Johor berhubung isu tersebut.

Kolumnis itu berkata, media harus berhenti terlalu risaukan akan teguran sekiranya menyentuh mengenai perihal institusi Diraja.

"Itulah pertanyaan biasa dalam kalangan orang media setiap kali ada isu sensitif yang menyentuh istana Johor. Apa yang Awang boleh tolong jawabkan bagi pihak Utusan - tiada. ‎

"Keresahan orang media terhadap perkara seperti itu patut dihentikan. Sebenarnya tiada sebab dalam era moden terutama landskap media yang baru, pembesar istana boleh sesuka hati memanggil editor atau wartawan, apatah lagi untuk dimarahi. Itu bukan cara wajar," katanya sepertimana dipetik dalam akhbar itu hari ini.

Awang Selamat juga percaya Sultan Johor juga tidak akan sesekali merendahkan nilai darjatnya sebagai seorang Raja dengan bertindak memanggil pihak Utusan Malaysia untuk menghadapnya.

"Jika ada sebarang teguran atau mahukan penjelasan daripada Awang percaya Sultan Johor walaupun terkenal dengan sikap tegasnya, adalah seorang budiman dan tidak akan merendahkan nilai serta darjatnya sebagai seorang Raja. Lebih-lebih lagi, zaman sudah berubah," katanya.

Beliau berkata, amalan mengutuskan wakil tanpa perlu dibawa mengadap juga merupakan amalan biasa bagi negara yang mempunyai institusi Diraja seluruh dunia.

"Itulah juga amalan pihak istana di Eropah, Jepun dan Thailand malah kesultanan negeri lain di negara ini kerana tidak mahu wujud salah tanggapan seolah-olah ada pihak seperti dibuli," katanya. ‎

Akhbar milik Umno awal minggu ini dalam ruangan muka depannya menyiarkan pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno yang mahukan kerajaan Johor menangguhkan pembentangan RUU tersebut.

Antaranya reaksi daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penglibatan institusi raja dalam pentadbiran kerajaan negeri akan dikhuatiri akan menjurus kepada perasaan tidak menghormati institusi itu dalam kalangan rakyat.

Utusan Malaysia juga membuat pendedahan mengenai pendirian kerajaan Johor memberikan kuasa mutlak kepada Sultannya dalam urusan membabitkan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) ~ The Malaysian Insider

Ini sudah dikira menderhaka...Macai tak mau demo kat depan pejabat Utusan ke?.. 

Tiada ulasan: