Anak Sungai Derhaka |
- Dyana Sofya akan tinggalkan DAP?
- Pengguna masih ragui Cadbury
- Harga Minyak Masak dan Tepung naik ikut suka.. Hassan Malek buat apa?
- BN menang di Teluk Intan hanya kerana 'nasib baik' kata Perkasa
Dyana Sofya akan tinggalkan DAP? Posted: 02 Jun 2014 07:58 AM PDT Seorang bekas naib presiden DAP hari ini berkata beliau percaya Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP yang kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Sabtu lepas, akan meninggalkan parti pembangkang itu. Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata beliau membuat ramalan itu berdasarkan pengalaman sendiri ketika bersama DAP. Beliau menyertai parti itu pada Ogos 2008 dan meletak jawatan pada Mei 2012. Tunku Abdul Aziz berkata, beliau percaya Dyana Sofya, 27, menganggotai DAP kerana yakin ia sebuah parti pelbagai kaum. "Jika kelak beliau mendapati ia bukan parti pelbagai kaum, terserahlah kepadanya (untuk meninggalkan parti itu). Beliau menyertai DAP kerana mempunyai kepercayaan penuh terhadap parti itu," kata Tunku Abdul Aziz kepada Bernama. Dyana Sofya tewas dengan 238 undi kepada presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, 53, daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertandingaan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen Teluk Intan. Pada pilihan raya umum lepas, DAP memenangi kerusi itu dengan lebih 7,000 undi. Ditanya sama ada perjalanan Dyana Sofya dalam DAP sama seperti laluan yang telah ditempuhinya, Tunku Abdul Aziz berkata beliau dijemput menyertai parti itu bukan untuk diberi kedudukan atau platform tetapi untuk memerangi rasuah. "Saya tertarik dengan idea memerangi rasuah, bukan untuk menentang kerajaan seperti yang mereka lakukan. Saya menyertainya untuk kebaikan negara dan masyarakat," katanya. Setelah menyertai parti itu, Tunku Abdul Aziz dilantik sebagai naib presiden dan pada 31 Mei 2009, beliau lantik sebagai senator untuk mewakili Pulau Pinang. Pada Mei 2012, beliau mengumumkan meletak jawatan daripada parti itu dengan alasan tidak bersetuju dengan pendirian DAP mengenai perhimpunan Bersih 3.0, yang antara lain, menuntut pilihan raya diadakan secara bebas dan adil. - Bernama | ||
Posted: 02 Jun 2014 03:18 AM PDT Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pagi tadi mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi, namun beberapa pengguna Facebook masih lagi meragui status halal produk tersebut. Mohamad Zairi Yaacob, 25, mempersoalkan sama ada sampel yang diambil terus dari kilang oleh Jakim itu merupakan dari stok sama yang sebelum ini dikatakan mengandungi DNA babi. "Sampel di ambil dari kilang, adakah telah dirancang lawatan tersebut? Kemungkinan pengusaha sudah menukarkan kandungan coklat. Yang penting di pasaran, sebab itu yang dibeli oleh pengguna. Lagi satu, coklat yang telah ditarik balik hari tu nak tahu juga statusnya. Adakah dilupuskan atau dikitar semula, atau dipasarkan di negara bukan Islam, atau tetap dipasarkan dalam negara tapi degan label nonhalal/tiada sebarang label?," komen Mohamad Zairi. Pegawai ekskutif komunikasi korporat Nurul Izwanie Hashim, 26, pula berkata dia masih meragui status halal produk Cadbury tersebut. Namun begitu, terdapat juga beberapa pengguna laman sosial itu yang berfikiran berbeza. Mohd Farwalis Bakri berkata "Tak salah makan babi kalau tak tahu," manakala Mohd Fadzli Farid pula secara berjenaka berkata "Cadbury sedap, aku tak dapat nafikan,". Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh yang disahkan oleh Jakim. "Makmal tersebut memang khusus untuk menjalankan ujian sedemikian," Jamil Khir dipetik sebagai berkata dalam laman portal The Malaysian Insider. Pada 23 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengesan DNA babi atau porsin dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015. ~ Free Malaysia Today | ||
Harga Minyak Masak dan Tepung naik ikut suka.. Hassan Malek buat apa? Posted: 01 Jun 2014 09:59 PM PDT Dah jadi lumrah nampaknya perkara ini, setiap kali Ramadhan menjelang tiba kita akan menyaksikan berbagai keperluan asas meningkat harganya. Dalam hal ini Minyak Masak dan juga tepung yang sebelum ini berlambak di pasaran tiba-tiba menyusut secara mendadak atau berkurangan secara tiba-tiba. Kedua-dua keperluan asas itu dilaporkan telah habis di pasaran di negeri Kedah dan para peniaga sukar untuk mendapatkan bekalan. Rentetan dari permintaan yang melebihi pengeluaran atau bekalan ini, harga kedua-dua barang yang disenaraikan dibawah barang kawalan ini juga sudah tidak terkawal. Harga jualan minyak masak meningkat sehingga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.50 sebelum ini, manakala tepung gandum kepada RM1.80 sekilogram berbanding RM1.35 khususnya di kawasan luar bandar.
Harga juadah sudah tentu akan meningkan dengan berlakunya peningkatan ini.. Timbul persoalan dalam hal ini.. Hassan Malek tu buat apa?.. Sibuk dengan pinjaman tanpa faedah lagi ke? Kalau dah adapun serupa tak ada.. lebih baik Najib gantikan saja dia ni.. gantikan dengan Presiden GERAKAN yang baru menang di Teluk Intan tu.. Laporan berkaitan.. ALOR SETAR – Masalah bekalan minyak masak dan tepung gandum mula membelenggu pengguna di Kedah apabila peniaga dan orang ramai mengadu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut sejak 20 Mei lalu. Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna terutamanya dalam kalangan peniaga yang mengeluh sukar mendapatkan bekalan minyak masak paket dan tepung gandum. Beliau mendakwa, masalah itu turut menyebabkan harga jualan minyak masak meningkat sehingga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.50 sebelum ini, manakala tepung gandum kepada RM1.80 sekilogram berbanding RM1.35 khususnya di kawasan luar bandar. "Berdasarkan pemantauan skuad pengguna Cake, kekurangan kedua-dua barangan itu berlaku di banyak daerah di Kedah seperti Alor Setar, Kubang Pasu, Sik, Baling, Kuala Muda, Padang Terap serta Langkawi. "Masalah bekalan tidak cukup ini sering berlaku setiap kali menjelang bulan Ramadan dan senario ini berulang setiap tahun," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di beberapa buah kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam. Sehubungan itu, Yusoff memberitahu, pihak bertanggungjawab perlu segera menyiasat punca masalah tersebut supaya ia tidak berterusan. Beliau mendakwa, masalah ketirisan mungkin berlaku dalam kalangan pemborong kerana mereka sepatutnya mempunyai bekalan mencukupi untuk diagihkan kepada peruncit. "Saya pun hairan kenapa bekalan minyak masak dan tepung bersubsidi tiba-tiba berkurangan di negeri ini. Saya diberitahu bekalan kepada pemborong dan pembekal adalah mencukupi, namun mengapa ia tidak sampai ke tangan peniaga dan pengguna. "Saya bimbang berlaku ketirisan dalam isu ini dan berharap pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dapat melakukan sesuatu agar kedua-dua bekalan bahan keperluan itu kembali pulih seperti biasa," ujarnya. Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit di sini, Azizah Said, 53, berkata, dia sudah kehabisan bekalan minyak masak paket dan tepung gandum sejak dua minggu lalu. "Sejak akhir-akhir ini, pemborong tidak lagi menghantarnya kerana mendakwa ketiadaan bekalan. Apabila ditanya kepada pemborong-pemborong lain di sekitar daerah ini jawapan sama juga diberikan," katanya. Seorang lagi peniaga, Ummi Shuhaida Shafie, 22, pula berkata, dia terpaksa membeli minyak masak paket daripada beberapa peniaga sehingga ke Jitra yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kedainya di Pasar Besar Alor Setar lapor Kosmo | ||
BN menang di Teluk Intan hanya kerana 'nasib baik' kata Perkasa Posted: 01 Jun 2014 08:02 PM PDT Perkasa mengatakan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan hanyalah bernasib baik kerana peratusan keluar mengundi yang rendah. Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali turut berkata, calon DAP di kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud seharusnya lebih banyak "memaki hamun" Perkasa untuk menang di kerusi tersebut. "Kemenangan BN lebih bernasib baik kerana masyarakat Teluk Intan belum boleh terima calon muda yang jelas masih mentah dalam politik dan belum cukup matang untuk perjuangkan nasib rakyat. "Apa pun, jika jumlah keluar mengundi lebih tinggi, pasti DAP menang. Jelas penyokong DAP terlalu yakin akan menang jadi ramai berfikiran begitu, akhirnya mereka tidak keluar mengundi," kata Syed Hasan. Beliau turut berkata, Dyana Sofya dan ibunya, Yammy Samat seharusnya membuktikan mereka berada sangat jauh daripada Perkasa dengan membakar bendera pertubuhan tersebut untuk memenangi sebarang pilihan raya sekiranya kembali dicalonkan. "Dyana Sofya masih boleh ke hadapan dan berjaya atas tiket DAP masa hadapan. Dia perlu lebih kuat maki hamun Perkasa. Kena lebih kuat pertikai hak Melayu dan kena sebut semua rakyat negara ini kena terima kesamarataan dengan lebih tegas, perlu bersuara tegas peruntukan pembangunan Islam dengan agama-agama lain mesti sama banyak, tidak boleh hanya tumpu Islam sahaja. "Dyana Sofya terlupa perjuangkan golongan LGBT masa kempen tempoh hari. Lain kali kalau ada peluang bertanding lagi dia perlu mengajak pejuang-pejuang LGBT bersama dalam kempen. Jika semua di atas dilakukan, Dyana Sofya boleh lebih tegas pasti akan menang dengan mudah, bukan Islam dan bukan Melayu akan sokong 100%," kata Syed Hasan merujuk kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender. PRK Teluk Intan hujung minggu lalu menyaksikan penurunan jumlah pengundi yang keluar mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 66.5% keluar mengundi daripada 60,438 pengundi berdaftar apabila tamat tempoh mengundi. Ketika pengundian awal pada 27 Mei, 95.61% atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi. Mah berjaya memperoleh 20,157 undi menewaskan Dyana Sofya yang hanya meraih 19,919 undi. Kemenangan Mah menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) kehilangan satu kerusi Parlimen, menjadikan BN memiliki 134 kerusi Parlimen dengan PR memiliki 88 kerusi Parlimen. Kerusi Parlimen Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dimenangi calon DAP, Seah Leong Peng. Kerusi itu bagaimanapun kembali kosong apabila beliau meninggal dunia akibat kanser. Mah, 53, yang juga anak jati Teluk Intan pada mulanya bertanding kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan beliau menewaskan calon DAP N Rajendran dengan majoriti 2,783 undi. Bekas Ketua Pemuda Gerakan dan Pengerusi Gerakan Teluk Intan itu mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2004, namun tewas pada 2008. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN sebelum ini berkata, BN bersedia melantik Mah menganggotai Kabinet sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan. "Saya boleh membuat komitmen itu di sini. Jika Datuk Mah memenangi Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, maka sebagai Presiden Gerakan, beliau akan dilantik menganggotai Kabinet," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke China, Khamis lalu. Beliau berkata sebagai antara parti pengasas BN, sudah menjadi amalan untuk melantik Presiden Gerakan untuk menganggotai Kabinet. Syed Hasan juga berkata, Perkasa ingin memberikan peringatan kepada Mah yang menewaskan Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi di Teluk Intan untuk tidak meminggirkan komuniti Melayu dan India yang turut membantu kemenangan beliau. "Gerakan masih terus bergantung kepada undi Melayu dan kaum India, maka apabila menjadi menteri nanti jangan lupa ada orang Melayu dan kaum India di Teluk Intan," katanya lapor The Malaysian Insider |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan