SIASAH |
Konflik Syria, sektarianisme dan terorisme Posted: 28 May 2014 07:31 AM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI Semasa konflik di Syria memuncak pada 2012 hingga 2013, pandangan umum di hampir seluruh dunia Islam termasuk Malaysia banyak dipengaruhi sentimen sektarian, sehingga mencetuskan suasana tegang dan perpecahan yang berleluasa. Sepanjang tempoh itu, wacana tentang mazhab dan geopolitik yang tercetus daripada konflik itu dikuasai oleh sudut pandang yang menyeleweng, yang membingkaikan seluruh isu ini menjadi isu pertembungan antara aliran Islam Sunni dan Syiah, dengan tuduhan paling ringan ialah golongan Syiah dipimpin Iran didakwa sedang berusaha untuk menguasai seluruh dunia Islam. Banyak sekali pertubuhan bukan kerajaan dan ilmuan Islam termasuk dari Asia Barat memperjuangkan isu Syria dengan bersemangat sekali, dan hampir kesemuanya menangani konflik ini dari sudut pertembungan sektarian, dan membawa sekali kempen-kempen propaganda yang berniat jahat, sama ada secara sengaja atau disebabkan kenaifan. Kempen-kempen ini jelas kelihatan disusun sebegitu rupa dan digerakkan secara global, dengan mesej kebencian yang seragam terhadap aliran Syiah. Kempen ini dapat dilihat di mana-mana, termasuk jaringan media sosial di internet, yang menerima sambutan hangat umat Muslim global. Kempen-kempen ini membawa mesej yang mudah dan simplistik, seperti meletakkan semua kesalahan sepenuhnya di pihak rejim Bashar al-Assad, yang disokong oleh kuasa Syiah Iran. Umat Muslim semua diseru menyokong usaha menentang rejim Bashar, dan dituntut memberi bantuan kewangan, tetapi yang lebih utama ialah usaha penentangan terhadap pemerintah Syria, dan memberi sokongan penuh kepada pemberontak. Penentangan ini diberikan justifikasi keagamaan, dikemukakan dengan mudah sebagai pertentangan antara hak dengan batil secara hitam putih, mengabaikan segala kemungkinan dan muslihat lain yang timbul sepanjang konflik berlangsung. Suasana panas ini berjalan selama sekitar tiga tahun, sehingga memecah-belahkan umat di banyak negara dalam dunia Islam, mencetuskan pelbagai tindakan tidak rasional dan menampakkan kesannya hingga ke hari ini, walaupun pada masa pihak-pihak berkepentingan yang terlibat telah mula mengubah pendirian atau pendekatan. Dalam konflik di Syria, dari sudut geopolitik serantau, secara umumnya dua kumpulan besar terlibat, yakni Syria yang disokong Iran dan Rusia, dan kelompok pemberontak yang pelbagai disokong oleh Arab Saudi, Qatar, Turki dan kuasa-kuasa Barat. Tetapi pembahagian ini tidak menjelaskan dengan mudah pecahan ideologi, mazhab, dan kepentingan geopolitik masing-masing pihak yang terlibat, walaupun melibatkan dua pihak yang berada di kelompok yang sama. Satu contoh yang mudah ialah Arab Saudi dan Qatar, yang berkongsi agenda yang sama menjatuhkan Bashar di Syria, tetapi tidak sepakat dalam pendirian siapa yang akan mengambil alih dan berkuasa di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar. Saudi dan Qatar yang pada awalnya kelihatan bersatu akhirnya bertembung dan mengambil haluan berbeza dalam konflik di Syria, dengan masing-masing menyokong kumpulan yang berbeza dan bertentangan antara satu sama lain. Kemuncaknya dilihat apabila Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar sebagai tanpa protes terhadap agenda dasar luar Doha yang dilihat menjejaskan keselamatan negara-negara Arab jirannya itu. Tindakan Saudi dan sekutu ini kelihatan dapat dilakukan selepas Emir Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani turun takhta dan menyerahkan kepimpinan kepada anaknya, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani. Konflik di Syria dan peranan kuasa-kuasa serantau ini berada di tengah-tengah pergeseran antara negara-negara Arab Teluk Parsi yang sedang berlaku ini. Kebangkitan di Syria untuk menjatuhkan Bashar tidak berjalan seperti yang dijangka oleh kuasa-kuasa terbabit yang berkepentingan, sehingga membawa kepada perubahan yang sedang berlaku melibatkan mereka pada masa ini. Beberapa peristiwa penting yang berlaku telah menampakkan perubahan pendekatan dan sikap kuasa-kuasa terbabit dengan konflik di Syria, yang membawa implikasi serius kepada negara-negara terbabit. Arab Saudi telah menunjukkan perubahan apabila mufti besarnya, Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh pada Oktober 2013 mengatakan jihad ke Syria salah dan tidak perlu. Sebelum itu, pada 2012, Sheikh Ali al-Hikmi, seorang autoriti agama di Arab Saudi juga berfatwa mengharamkan jihad ke Syria. Larangan ini dilihat sebagai perubahan sikap Riyadh ekoran ramai warganya pergi berperang di Syria, dan dikhuatiri akan membawa pemikiran dan pendekatan radikal dan militan apabila pulang. Radikalisasi dan militarisasi yang berpunca langsung daripada konflik Syria akhirnya menjadi satu penyebab perubahan agenda kuasa-kuasa yang terlibat. Paling jelas menunjukkan perubahan di pihak Riyadh ialah tindakan menamatkan khidmat Putera Bandar bin Sultan sebagai ketua perisikan Arab Saudi pada April lalu. Bandar yang dikenali sangat rapat dengan pihak konservatif di Amerika Syarikat berperanan besar dalam tindakan Riyadh berhubung Syria, terutama melibatkan pembekalan senjata kepada militan yang berperang menentang kerajaan Bashar. Penyingkiran Bandar di Riyadh dan penurunan takhta Sheikh Hamad di Doha menjadi petunjuk paling penting perubahan agenda negara-negara kuasa serantau melibatkan konflik di Syria. Saudi mula menyelaraskan dasar Syria dengan dasar AS yang menentang al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan sepertinya, manakala Qatar mula berundur daripada dasar luar agresif yang bermula di bawah emir lama. Pada masa yang sama, Bashar masih bertahan di Damsyik, dan kumpulan penentang-penentangnya di Syria terus menunjukkan ketidaksepakatan malah berperang sesama sendiri. Beberapa kumpulan pula telah terpinggir apabila dikaitkan dengan al-Qaeda dan dikategorikan sebagai pengganas oleh Washington. Di Malaysia, kesan seperti radikalisasi dan peningkatan sentimen sektarian telah merebak dan berleluasa, dalam kalangan golongan elit dan juga masyarakat awam, akibat kelemahan dan sikap tidak bertanggungjawab ramai pihak yang terlibat, termasuk agamawan yang terpengaruh dan dipergunakan. Selari dengan dasar AS, Malaysia telah mula bertindak terhadap militan di negara ini, menggunakan undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, tindakan yang kelihatan bermula sejurus selepas Presiden AS Barack Obama menamatkan lawatan rasmi ke negara ini. Semangat dan sentimen yang tercetus akibat konflik di Syria, kini mendatangkan kesan yang jauh berbeza berbanding apa yang dibembar-gemburkan dan dirasai sebelum ini. - Mei 25, 2014 |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan