DIALOG RAKYAT |
- Mat Sabu calon Bukit Gelugor, platform jelas hudud
- Pemuda MCA ketuai demo anti-hudud di pejabat PAS
- PRK Teluk Intan: Mesyuarat Khas SPR Khamis ini
- Wacana Sinar bincang, cari penyelesaian isu hudud
- Teresa Kok akan didakwa di mahkamah esok
- AG mahu Nik Nazmi didakwa semula bawah APA
- Ibrahim Ali: Kami dijemput pantau hudud Brunei
- MP: Mufti jangan bodohkan Melayu
- Kalau Ikut Pendapat Mufti Pahang, Nampaknya Kenalah Sokong BN Sampai Kiamat
- Hudud: Politik siapa lebih jantan?
- ‘Speaker DUN Terengganu sama dengan Karpal’
- Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dr Salleh tangguh prosiding
- BERSIH belum selesai!
- Dasar BN sebenarnya menyusahkan masyarakat Cina
- PM: Pencarian MH370 akan diteruskan
- K'jaan akan perincikan barangan dikecualikan GST
- Rahim Noor cadang kembalikan ISA
- Tiada semakan kehakiman pada buku guna 'Allah'
- Jabatan Peguam Negara digesa gugur pertuduhan
- Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki
- Catu air, Najib malas cari maklumat
- Godam talian pasukan ‘Urgent Arrest’, taktik baru ganggu himpunan
- Anwar sampaikan kuliah Kebangkitan Asia di Puchong 10 Mei
- Bangkai MH370 Di Perairan Vietnam?
- Malaysia Gagal Mara ke Final Kejohanan Hoki
Mat Sabu calon Bukit Gelugor, platform jelas hudud Posted: 05 May 2014 04:49 AM PDT SHAH ALAM - Sebagai platform terbaik Pas menjelaskan hudud kepada masyarakat bukan Islam, NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin hari ini mencadangkan supaya Timbalan Presiden Pas Mohammad Sabu diangkat sebagai calon bagi PRK Bukit Gelugor . Presidennya, Ramesh Rao berkata, bagi memastikan hukum hudud difahami oleh masyarakat bukan Islam, elok Muhammad Sabu atau lebih kenali sebagai Mat Sabu dicalonkan di kawasan tersebut, selain bersesuaian dengan semangat muafakat yang dijalinkan dalam PR. "Di sini saya cadangkan agar pucuk pimpinan DAP, memberi peluang kepada Pas (Mat Sabu) untuk bertanding di PRK Bukit Gelugor. "Tujuannya seperti mana kita ketahui kawasan Parlimen Bukit Gelugor adalah majoritinya terdiri daripada masyarakat Cina, dan kaum tersebut tidak fahami hudud, jadi ini adalah peluang terbaik untuk Pas menjelaskan pengertian hukum hudud terhadap masyarakat Cina. "Kalau lihat dalam konteks muafakat PR pula, tidak salah sekiranya Pas dipilih sebagai calon di kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini. Untuk rekod, pada PRU13 lalu, Mat Sabu telah ditewaskan oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul bagi kerusi Parlimen Pendang. Untuk itu, Mat Sabu tidak memegang mana-mana kerusi Parlimen lagi, oleh itu mengikut perkiraan Mat Sabu dikira layak untuk bertanding di Bukit Gelugor. Dalam perkembangan yan sama, Ramesh turut menggesa agar kerusi Teluk Intan juga diberikan kepada Pas. "Saya fikir ini adalah satu peluang terbaik, untuk Pas menjelaskan hudud di kawasan-kawasan tersebut (Teluk Intan), sekiranyanya calon di PRK tersebut dalam kalangan ahli Pas," katanya lagi. SPR menetapkan 25 Mei ini sebagai hari mengundi PRK Bukit Gelugor selepas ahli Parlimen kawasan itu, Karpal Singh maut dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas. Sementara, PRK Parlimen Teluk Intan perlu diadakan ekoran wakil rakyatnya dari DAP, Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Khamis lepas. |
Pemuda MCA ketuai demo anti-hudud di pejabat PAS Posted: 05 May 2014 04:45 AM PDT MALAYSIAKINI Kira-kira 30 ahli Pemuda MCA, persatuan Cina dan NGO mengadakan protes selama lima minit depan ibupejabat PAS bagi membantah rancangan parti itu membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud. Kumpulan itu yang diketuai Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Tan Kok Eng, berkumpul kira-kira jam 10 pagi tadi bersama kain rentang dan plakad yang bertulis, "Say No to PAS Hudud". Tan kemudiannya menyerahkan memorandum kepada seorang kakitangan PAS Fadhil Osman, menggesa parti Islam itu menghormati Perlembagaan Persekutuan. "Kami tidak fikir Malaysia adalah negara Islam," kata Tan dalam sidang media selepas protes itu. Bagaimanapun, Tan berhati-hati apabila ditanya mengenai tawaran Umno untuk membantu PAS bagi melaksanakan undang-undang jenayah Islam itu di Kelantan. |
PRK Teluk Intan: Mesyuarat Khas SPR Khamis ini Posted: 05 May 2014 04:13 AM PDT PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas mengenai kerusi Parlimen Teluk Intan pada Khamis ini berikutan kematian penyadangnya Seah Leong Peng pada Khamis lepas. Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 9.25 pagi ini berhubung kekosongan kerusi itu. Mesyuarat khas itu, yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, akan diadakan di ibu pejabat SPR di sini pada 10 pagi, katanya dalam satu kenyataan, hari ini. "Mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting seperti tarikh Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian Biasa, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan Pilihan Raya Kecil itu," katanya. Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas itu. Leong Peng, 48, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya akibat kanser pada kira-kira 7.30 pagi Khamis lepas. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Leong Peng menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. - Bernama |
Wacana Sinar bincang, cari penyelesaian isu hudud Posted: 05 May 2014 04:07 AM PDT SHAH ALAM - Bagi memahami isu sebenar mengenai hudud, Sinar Harian media yang dekat di hati rakyat sekali lagi akan menjadi platform antara pemimpin dan rakyat berbincang mengenainya. Oleh itu, Wacana Sinar Harian siri ke-27, membawakan kepada anda tajuk Hudud: Bersediakah Kita? untuk sama-sama kita berbincang secara ilmiah, mencari satu titik pemahaman mengenai isu yang penting ini. Besar harapan wacana kali ini menjadi medan untuk berkongsi idea seterusnya mencetuskan penyelesaian bagi isu yang sentiasa diperdebatkan ini. Wacana kali ini, kami tampilkan barisan panelis yang tidak asing lagi, ahli akademik dan bekas Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah; Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong. Sementara moderatornya, Dr Maszlee Malik yang juga merupakan seorang penganalisis politik terkenal tanah air. Jadi jangan ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan wacana kali ini yang akan diadakan pada Rabu ini (7 Mei 2014), jam 2.45 petang di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Laila (019-3310211), Fazli (019-2808492) dan Nurkhairini (019-3371066). |
Teresa Kok akan didakwa di mahkamah esok Posted: 05 May 2014 04:04 AM PDT MALAYSIAKINI Teresa Kok akan didakwa di mahkamah esok ekoran penyiaran video kontroversi Tahun Baru Cina Onederful Malaysia yang melibatkannya sebelum ini. Anggota Parlimen Seputeh itu akan didakwa bawah Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok. "Ya, (kami) dimaklumkan untuk membawanya ke mahkamah esok. Sudah hubungi," kata peguamnya Sankara Nair kepada Malaysiakini hari ini. Kok tidak dapat dihubungi buat masa ini kerana sedang dalam penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur selepas menghadiri program parti. Naib presiden DAP itu sebelum ini menerima banyak kritikan ekoran penyiaran video itu. Malah, terdapat dakwaan beliau menghina Islam, Melayu, raja, pasukan keselamatan dan pemimpin negara. Beliau bagaimanapun menafikannya. |
AG mahu Nik Nazmi didakwa semula bawah APA Posted: 05 May 2014 03:59 AM PDT MALAYSIAKINI Peguam Negara mengarahkan Timbalan Speaker DUN Selangor dan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa semula bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 esok. Hal demikian berlaku sekalipun Mahkamah Rayuan Putrajaya membebaskan Nik Nazmi bawah akta itu pada 25 April lalu dengan mengisytiharkan hukuman bawah Seksyen 9(5) akta tersebut tidak berperlembagaan. Peguam Latheefah Koya berkata barisan peguam wakil rakyat itu telah dimaklumkan berhubung perkara itu dan polis dijangka akan menyerahkan saman berkaitan Nik Nazmi pagi esok. "Beliau akan didakwa di mahkamah sesyen esok di Petaling Jaya. Polis beritahu saya ini adalah arahan daripada peguam negara sendiri," kata Latheefa. |
Ibrahim Ali: Kami dijemput pantau hudud Brunei Posted: 05 May 2014 03:57 AM PDT MALAYSIAKINI NGO pendesak Melayu PERKASA antara yang dijemput oleh Sultan Brunei Hassanal Bolkiah untuk membuat pemantauan tentang perlaksanaan hudud di Brunei Darussalam yang bermula Khamis lalu. Perkara itu diumumkan Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali kepada media selepas menghantar memorandum ucapan tahniah atas perlaksanaan undang-undang Islam itu kepada kedutaan Brunei di Kuala Lumpur petang ini. Ibrahim yang berbesar hati menerima pelawaan itu bagaimanapun tidak memberikan tarikh tepat lawatan itu akan dilakukan. |
MP: Mufti jangan bodohkan Melayu Posted: 05 May 2014 03:54 AM PDT MALAYSIAKINI MP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri hari ini memberitahu Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman supaya tidak membodohkan orang Melayu dengan kenyataannya yang mendakwa orang Islam tidak sepatutnya menentang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Dalam tulisan terbaru dalam blognya, Mohd Ariff (kiri) yang dikenali sebagai Sakmongkol AK47 berkata Rahman tidak sepatutnya berkata demikian, sedangkan beliau tiada kepakaran dalam bidang ekonomi. "Kalau kamu tidak tahu menahu mengenai GST, atau hanya tahu (huruf) 'T' di belakangnya saja, jangan gunakannya sebagai usaha untuk menjadikan Melayu – yang mana Islam agama mereka – lebih bodoh. "Banyak percubaan untuk menjadikan Melayu bodoh. Bila kami mahu untuk menghapuskan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana memandu laju di lebuhraya, orang Melayu bangkit menolaknya. Mereka berdemonstrasi kerana saman itu mahu diteruskan. "Bila kami menuntut pendidikan percuma dilaksanakan, dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional digugurkan, orang Melayu juga menolaknya. "Sekarang dengan (cukai) GST, yang meningkatkan kos sara hidup, mufti pula suruh kita menyokongnya," kata Ariff. MP Raub berkata beliau mengenali Rahman secara peribadi dan meyifatkannya sebagai orang baik lagi penyayang. Bagaimanapun, tambahnya, mufti perlu mengetahui bagaimana membezakan antara perkara peribadi beliau dengan isu terbabit. Rahman pada 2 Mei lalu dilapor berkata, umat Islam sepatutnya tidak menyalahkan pelaksanaan GST, sebaliknya perlu membantu kerajaan dalam menyokong usaha itu. Katanya, Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan asalkan ia mengikut syarak dan tidak menzalimi rakyat, lapor Bernama. |
Kalau Ikut Pendapat Mufti Pahang, Nampaknya Kenalah Sokong BN Sampai Kiamat Posted: 05 May 2014 03:52 AM PDT Setelah mengeluarkan pendapat meminta rakyat agar menyokong perlaksanaan cukai GST yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan beberapa hari lalu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Othman sekali lagi menampakkan dirinya sebagai seorang agamawan yang gemarkan perhatian dan tumpuan, khususnya daripada pihak kerajaan. Jika kenyataannya sebelum ini yang meminta rakyat menyokong GST dipertikaikan banyak pihak kerana beliau ditafrifkan tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai ekonomi serta percukaian dan pendapatnya dikeluarkan semata-mata kerana kedudukannya sebagai mufti, kali ini kenyataannya lebih menarik perhatian apabila beliau menyatakan Islam melarang menggulingkan kerajaan dan memburuk-burukkannya secara terbuka. Sambil menasihatkan rakyat agar sentiasa taat kepada kerajaan melainkan jika menggalakkan aktiviti maksiat, katanya lagi, haruslah diingat bahawa Islam menggalakkan segala masalah yang berbangkit diselesaikan melalui perbincangan dan bukannya dengan cara memburuk-burukkan kerajaan. Kenyataan Mufti Pahang ini dipercayai dikeluarkan berikutan pelbagai bantahan rakyat terhadap kerajaan, dengan yang terbaru demonstrasi membantah GST yang diadakan di Dataran Merdeka dan dihadiri oleh tidak kurang daripada 50 ribu rakyat pelbagai kaum. Sebagaimana biasa, setiap kali adanya demontrasi ia sering dikaitkan dengan usaha menggulingkan kerajaan sedangkan PR diketahui umum lebih ingin menukar kerajaan melalui proses pilihanraya setiap lima tahun sekali. Apa yahg sering dipertikaikan ialah proses pilihanraya yang disifatkan tidak adil, berat sebalah dan penuh tipu daya sehingga ia dikatakan antara sebab BN kekal berkuasa sehingga ini. Walaupun difahami oleh rakyat bahawa istilah menggulingkan kerajaan yang dilarang itu ialah percubaan menjatuhkannya secara kekerasaan dan menggunakan senjata atau menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong dan bukannya menjatuh atau memburuk-burukkan kerajaan yang dipilih dalam pilihanraya atau Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat, malangnya mufti tersebut tidak menghuraikannya secara detail kenyataan beliau. Abdul Rahman hanya menyatakan pendapatya itu bersandarkan ijmak ulama Mohamad Abdullah tetapi mengelak untuk berhujah lanjut dengannya sambil berkata, "jika tidak percaya pergilah berhujah dengan ulama yang membuat ketetapan itu". Kenyataannya yang tergantung dan sekerat jalan ini tentunya boleh mengelirukan dan membuatkan sesetengah orang yang cetek ilmu dan pengetahuan terus beranggapan bahawa usaha menukar kerajaan BN sedia ada atau mengkritik pelbagai kesilapan atau kecurangan kerajaan sebagai suatu dosa besar. Tentulah ada yang lebih fanatik akan beranggapan bahawa kerajaan yang sedia ada hendaklah dikekalkan sampai bila-bila atau sehingga kiamat kerana percaya menukar kerajaan atau memburuk-burukkan adalah perbuatan berdosa besar dan boleh menyebabkan terhumban ke neraka. Ia tidak ubah seperti kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria sebelum ini yang menyifatkan peserta demonstrasi sempena tahun baru sebagai golongan "bughah" dan darahnya halal dibunuh. Nampaknya, selain Mufti Perak, ada seorang mufti yang suka perhatian daripada kerajaan dengan mengeluarkan kenyaaan kontroversi tetapi tidak dihuraikan sepenuhnya. Tidaklah dipastikan apakah tujuan kedua-dua mufti ini mengeluarkan kenyataan separuh masak seumpama itu, tetapi yang jelasnya ia menambahkan lagi kekeliruan masyarakat dan umat Islam. Sementara ada yang tidak bersetuju, tentulah yang bersetuju juga ramai sedangkan sebagai mufti mereka seharusnya mengeluarkan hujah yang senada yang bersandarkan kepercayaan kepada Tuhan yang satu, Al-Quran yang satu dan juga ajaran Nabi Muhammad yang satu. Adalah lebih baik para ulama dan mufti lebih memfokuskan kepada pelbagai masalah dan penyelesaian yang bertimbun-timbun dalam masyarakat daripada ghairah ikut campur dalam konflik politik yang dengan mudah dapat dibaca "kilat dalam kilaunya" atau maksud tersiratnya daripadanya. Dengan adanya para ulama dan mufti seperti ini, benarlah kata orang-orang beragama dan berilmu dahulu bahawa "pemerintah yang baik ialah yang selalu mendekati ulama tetapi ulama yang tidak baik ialah yang selalu mendekati pemerintah" |
Hudud: Politik siapa lebih jantan? Posted: 05 May 2014 03:49 AM PDT Dalam konteks Islamfobia yang didorong pemerintah, adakah dasar eksklusif seperti hudud akan mendapat pemahaman masyarakat umum? Oleh Liew Chin Tong Parti-parti pembangkang akan kekal sebagai pembangkang jikalau tidak keluar dari kerangka di mana PAS mewakili dan bersuara hanya untuk umat Islam dan DAP mewakili dan bersuara khususnya untuk bukan Islam. Kerangka ini membuka peluang kepada Barisan Nasional dan media massa arus perdana untuk memainkan politik "siapa lebih jantan". Dalam mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat pada Selasa, 29 April yang dihadiri YAB Menteri Besar Negeri Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil Kelantan buat pertama kali, saya mengimbas balik pertemuan saya dengan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali di Canberra, Australia pada hari 11 September 2001, kebetulan hari yang diingati sedunia sebagai titik hitam sejarah – "911″. Selepas berkempen dalam pilihanraya 1999 untuk kawan saya, kini penceramah popular dengan gelaran "Superman", Dr Hew Kuan Yau yang tewas dalam pilihanraya tersebut, saya dilantik sebagai setiausaha politik untuk YB Teresa Kok yang baru menang sebagai ahli parlimen kawasan Seputeh. Lim Kit Siang kalah di Bukit Bendera dan Karpal Singh kalah di Jelutong dalam pilihanraya pada 29 November 1999 lantaran permainan sentimen Islamfobia terhadap PAS, ditambah dengan penampilan imej rusuhan perkauman Mei 1998 di Indonesia oleh media massa kawalan BN. Isu negara Islam, hudud, PAS dan rusuhan berunsurkan perkauman di Indonesia dijadikan bahan kempen untuk mengalahkan DAP di kawasan pengundi bukan Melayu. Wanita MCA berkempen dengan "politik bakul sayur" di kalangan makcik dengan mesej ringkas: Adakah makcik bersedia untuk kemungkinan berlakunya rusuhan sebagaimana kejadian 13 Mei dan rusuhan di Indonesia? Malah, PAS terus diberi gelaran "parti potong tangan". Pengundi bukan Melayu mengundi BN kerana ketakutan manakala pengundi Melayu mengundi PAS beramai-ramai lantaran kemarahan terhadap penganiayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kit Siang dan Karpal kalah di peringkat parlimen buat pertama kali sejak mengambil tempat di parlimen pada 1969 (Kit Siang) dan 1978 (Karpal), sementara PAS menang 27 kerusi parlimen, rekod terbaik dalam sejarah PAS ketika itu. Bos saya, Teresa tidak berada di kawasan pada hari pertama saya masuk untuk bekerja di pejabat pada 16 Disember 1999. Beliau menyertai rombongan Kit Siang untuk mengunjungi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. Walaupun Kit Siang baru sahaja tewas dalam pilihanraya dan berundur dari jawatan Setiausaha Agong DAP (jawatan terpenting dalam parti) seterusnya, kelangsungan Barisan Alternatif tetap menjadi tumpuan beliau. Kekalahan pusingan pertama Sepanjang tahun 2000, Kit Siang menyeru ahli DAP untuk melawat ke Kelantan dan Terengganu, melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku di bawah pimpinan PAS dan bukannya menilai PAS dengan maklumat dalam media massa sahaja. Dua kali saya mengetuai rombongan Seputeh ke Kelantan dan Terengganu. Pemandu pelancong di Kelantan adalah Hu Pang Chiaw dan saya sempat berkawan dengan bekas Speaker DUN Kelantan Cikgu Rahim (Wan Abdul Rahim Wan Abdullah) dalam lawatan tersebut. Kit Siang juga menganjurkan "dialog tamadun" di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor bersama Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang pada Julai 2000, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Saya melanjutkan pengajian di Australian National University pada tahun 2001 dan bertemu dengan rombongan Malaysia ke Commonwealth Parliamentary Association yang merangkumi Cikgu Rahim dan Cikgu Pa (Mustafa Ali). Pada 22 September 2001, DAP keluar dari Barisan Alternatif. DAP mengalami perdebatan dalaman yang hangat selama dua tahun sebelum keluar dari Barisan Alternatif, dengan Kit Siang cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan DAP dalam BA, meskipun hampir semua pemimpin dalam parti tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan pemimpin PAS yang kelihatan terperangkap dalam perbahasan negara Islam yang didendangkan Utusan Melaysia dan Umno. Dalam "politik siapa lebih jantan", MCA mencabar DAP untuk mengutuk PAS dan Umno pula mencabar PAS untuk melaksanakan hudud dan menubuhkan Negara Islam. Kita – PAS dan DAP – kalah pada pusingan pertama, iaitu Barisan Alternatif. Namum, pengalaman DAP keluar dari Barisan Alternatif agak pahit untuk generasi reformasi seperti saya. Kami sedar bahawa hanya dengan gabungan tenaga kedua-dua parti pembangkang – PAS dan DAP – yang mempunyai asas yang kukuh (solid base) masing-masing, barulah Barisan Nasional boleh ditumbangkan. Saya memilih untuk membuat tesis dan kajian sejarah PAS dengan harapan sejarah pahit ini tidak diulangi. Tigabelas tahun selepas berpecahnya BA, selepas diuji dengan kerjasama dalam Bersih sejak tahun 2005 dan dalam Pakatan Rakyat selepas PRU12 pada tahun 2008, dan selepas PAS berkempen dengan tema "PAS untuk semua", nampaknya sekarang kita kembali pula ke masalah yang memerangkap kita sebelum ini. Tidak dinafikan bahawa hudud adalah hukum Allah, tetapi dalam situasi Islam sebagai agama yang diterima oleh pelbagai bangsa dan budaya, dan berinteraksi dengan bukan Muslim sebagai pemerintah dengan minoriti, teks (kitab) dan konteks (context) memainkan peranan yang sama berat. Maqasid syariah memberikan tumpuan terhadap konteks. Konteks politik Malaysia adalah, kita sebagai masyarakat majmuk di mana pemerintah memainkan sentimen syak wasangka di antara kaum untuk mengekalkan tampuk kuasa. Dalam konteks Islamfobia yang didorong pemerintah, adakah dasar eksklusif seperti hudud akan mendapat pemahaman masyarakat umum? Adakah ini akan memartabatkan Islam dan umat Islam serta membawa kejayaan politik kepada PAS? Lebih membimbangkan, adakah PAS-DAP akan kalah lagi dalam pusingan kedua dalam Pakatan Rakyat? (*) Liew Chin Tong ialah ahli parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Artikel is asalnya diterbit di akhbar Harakah. |
‘Speaker DUN Terengganu sama dengan Karpal’ Posted: 05 May 2014 03:46 AM PDT Jika ikutkan semangat sesetengah pemimpin Umno, ada yang mahu hudud dilaksanakan segera, dan kadang-kala lebih bersemangat daripada pemimpin PAS. Menurutnya, walaupun pada ketika ini majoriti pemimpin Umno bersetuju untuk bersama PAS bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan, sebaliknya keputusan berbeza pula yang diambil oleh DUN Terengganu yang secara keseluruhannya ditadbir oleh pemimpin Umno. "Jika ikutkan semangat sesetengah pemimpin Umno, ada yang mahu hudud dilaksanakan segera, dan kadang-kala lebih bersemangat daripada pemimpin PAS. Dalam keadaan Terengganu yang didukung oleh Umno, mereka sepatutnya menangguh dahulu keputusannya, bukan menolak hudud bulat-bulat," kata beliau ketika menulis dalam kolum mingguannya di Harakah Daily. Sebelum ini, memang tidak dinafikan iaitu mendiang Karpal Singh yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, secara keras menolak hudud untuk dilaksanakan. "Karpal memang menegaskan dari dulu lagi tidak akan menerima hudud. Dia boleh berkawan dengan pejuang hudud tetapi tidak akan menerima hudud dan sikap Karpal itu adalah sikap yang dibawa DAP setakat ini. "Karpal dan DAP adalah musuh Umno yang tiada tolak bandingnya. Semua yang datang dari Karpal dan DAP mesti akan ditolak oleh Umno kecuali dalam isu hudud," ujarnya. Tambah Subky yang juga wartawan veteran yang terkenal, apa yang DUN Terengganu lakukan baru-baru ini adalah melaksanakan apa yang Karpal dan DAP mahukan. "Seandainya Karpal masih bersama kita sekarang, maka dialah orang yang paling gembira dengan sikap dan tindakan yang diambil DUN Terengganu," katanya. Maka, siapa yang DUN Terengganu ikut, apabila DUN tersebut menolak perlaksanaan hukum hudud baru-baru ini. Secara logiknya, DUN Terengganu telah mengikut keputusan Karpal, walaupun Karpal tidak berjumpa dengan Umno Terengganu dan meminta mereka menolak cadangan yang dibawa oleh PAS. "Memang sikap rasmi Umno selama-lamanya adalah bersama Karpal menentang hudud. Tetapi sekarang ini Umno telah menunjukkan tanda-tanda untuk berubah menyokong hudud. Umno juga menyuarakan hasratnya untuk bersiap-sedia berbaik dengan PAS sekiranya PAS tidak lagi bersedia menjadi kuda tungangan DAP," jelasnya. Katanya lagi, dalam isu hudud ini, nyata PAS tidak dapat dikawal oleh Karpal, sebaliknya dikatakan Umno tidak mahu masuk perangkap PAS jika menyokong hudud, maka Umno terengganu bersedia bersama DAP dan Karpal menentang hudud. "Apa pun setakat ini kita belum boleh fikir Umno menjadi kuda tunggangan Karpal atau DAP, tetapi dalam isu hudud, Umno boleh bersama DAP dan Karpal Singh atau sekurang-kurangnya mengikut Karpal," katanya. Menurut Subky lagi, PAS memang dari mula lagi telah tahu berkenaan pendirian Karpal tentang hudud. Jika dia tidak dapat menerima hudud boleh difahami kerana ia tidak termasuk dalam ajaran agamanya. "Hudud hanya ada pada Islam dan sebahagian daripada akidah syariat Nabi Musa dan ia juga adalah syariat Nabi Isa al-Masih," ujarnya. Katanya lagi, orang Yahudi selepas zaman Nabi Musa memang tidak lagi berpegang dengan hukuman mengikut syariat Nabi Musa itu dan demikian juga orang Kristian yang mengaku Jesus adalah ikutan mereka, tetapi mereka juga menolak hukum yang disyariatkan oleh Nabi Isa al-Masih. "Orang Islam pada masa kini juga sama dengan umat yang terdahulu, tidak berpegang kepada syariat Nabi Muhammad SAW, tetapi sehaluan dengan Karpal, baik Karpal masih ada atau tidak ada," katanya. Pada 15 April lalu, Speaker DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong telah menolak usul yang dibawa oleh ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN. |
Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dr Salleh tangguh prosiding Posted: 05 May 2014 03:44 AM PDT Setelah menetili hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tidak ada keadaan istimewa untuk membenarkan permohonan ini (penangguhan prosiding) KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, untuk menangguhkan prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen. Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ilmami Ahmad. "Setelah menetili hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tidak ada keadaan istimewa untuk membenarkan permohonan ini (penangguhan prosiding)," katanya. Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen diteruskan dan Isnin depan ditetapkan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh bicara. Pada 8 Jan lepas, Mohamad Salleh memfailkan permohonan penangguhan prosiding itu sementara menunggu rayuan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan pada 22 Nov tahun lepas. Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung'di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur. Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail. Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 Nov 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan. Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.- BERNAMA |
Posted: 04 May 2014 09:30 PM PDT Kerja menuntut pembaharuan sistem pilihanraya bukan kerja mudah. Lihat saja segala penghinaan dan ugutan yang terpaksa ditempuh Dato' Ambiga Sreenevasan. Setelah Ambiga turun dari kerusi pengerusi BERSIH, tempatnya diisi oleh Maria Chin Abdullah. Wartawan The Rocket T.K Tan cuba menggali sedikit-sebanyak pandangan serta latar penglibatan wanita berusia 57 tahun ini dalam dunia aktivisme. Tolong jelaskan secara ringkas latar belakang anda Kampung halaman saya di Kampar, Perak. Saya belajar di London, tapi saya tidak pernah bekerja menurut bidang pengajian saya. Ketika di UK, saya bergiat dalam gerakan mahasiswa. Salah satu topik yang hangat dibincangkan ketika itu berkaitan dengan isu wanita. Pulang ke tanahair, saya terus terjun ke dalam bidang yang saya minati, melakukan kerja-kerja NGO untuk sebuah pertubuhan wanita. Apakah aktivisme sosial sesuatu yang semulajadi bagi anda? Atau apakah ada peristiwa tertentu yang telah memberi kesan terhadap pandangan politik anda? Apakah saya mewarisi aktivisme sosial daripada ibu-bapa saya? Tidak, mereka dulu penyokong MCA (ketawa)! Pada tahun 70an, beberapa orang bapa saudara saya terlibat dalam gerakan hak sivil, tetapi itu tidak begitu memberi dampak pada saya. Minat saya berkembang ketika menyertai gerakan mahasiswa sewaktu masih belajar dulu. Pada tahun 1980an, isu keganasan terhadap wanita mula mendapat perhatian di seluruh dunia. Ketika itu, kadar jenayah rogol dan keganasan rumah tangga di Malaysia tinggi. Saya terkesan dengan suatu kes melibatkan seorang gadis sunti, Ang Mei Hong, yang telah dirogol dan (kemaluannya) dirodok dengan sebatang kayu. Kami turun ke jalan melakukan protes. Tidak lama selepas itu, Operasi Lalang dilancarkan dan dua rakan kami telah ditangkap di bawah ISA kerana melakukan tunjuk perasaan di jalanan. Peristiwa itu memberi kesan besar terhadap saya dan banyak lagi aktivis NGO. Walaupun operasi itu bersifat politik, pihak berkuasa telah menangkap banyak aktivis NGO dan masyarakat sivil. Banyak rakan saya ditangkap. Kami telah mewujudkan sebuah kumpulan sokongan untuk keluarga tahanan dan pergi ke luar negeri untuk melobi sokongan. Kami melihat ada kaitan antara hak asasi wanita dan pembaharuan sistem pilihanraya. Sejauh mana perjuangan arwah suami memberi dampak pada anda? Agak besar (dampaknya). Beliau amat giat membantu perjuangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menentang Israel. Beliau datang dari keluarga yang kuat beragama. Bapanya pemimpin agama di Kuala Kangsar. Yunus (Ali) juga adalah antara Melayu pertama dari sekolah agama yang meneruskan pelajaran di sekolah aliran Inggeris. Yunus bergiat sebagai aktivis mahasiswa bersama Hishamuddin Rais pada tahun 1970an. Beliau cukup bersemangat dalam perjuangan membasmi kemiskinan dan terlibat dalam tunjuk perasaan di Baling dulu. Kami bertemu di London pada tahun 1975, tetapi hanya selepas Operasi Lalang tahun 1987 kami mula berteman dan kemudiannya kahwin. Kami bergiat dalam kerja-kerja NGO. Kami banyak berkongsi pandangan tentang bentuk negara yang kami idamkan. Semua itu tentunya memberi kesan terhadap saya. Sewaktu BERSIH mula dibentuk, beliau sendiri sedang membentuk sebuah kumpulan pemantau pilihanraya yang lain, iaitu National Institute for Electoral Integrity (NIEI). Malangnya, beliau tidak sempat menyertai perhimpunan BERSIH 2 kerana meninggal dunia sejurus sebelum perhimpunan itu berlangsung. Siapa tokoh yang menjadi teladan bagi anda? Saya kagum dengan Nelson Mandela dan Yasser Arafat. Mereka banyak berkorban untuk perjuangan mereka. Selain itu ada juga beberapa penulis Afrika dan Asia yang pernah saya baca pada zaman saya di universiti yang menjadi pendorong bagi saya. Generasi saya menyaksikan Perang Vietnam. Setelah itu, kami menyaksikan kejatuhan rejim Marcos di Filipina pada tahun 1986 dan rejim Suharto pada tahun 1998. Saya pernah mempunyai hubungan dengan beberapa aktivis masyarakat sivil dari Filipina. Kami mendapat dorongan daripada kerja mereka dan peristiwa yang berlaku di Filipina. Zaman itu adalah zaman perubahan politik. Kelas menengah bangkit berkorban demi perubahan. Kami memberikan sokongan kepada gerakan di Filipina. Di zaman itu, mereka (NGO dan aktivis di Filipina) tidak yakin bahawa mereka akan dapat menjatuhkan Marcos. Ternyata ia berlaku. Seperti mereka juga, saya juga dulunya ragu perkara sedemikian boleh berlaku di Malaysia. Tidak lama kemudian, perhimpunan BERSIH berlaku. Apakah penyertaan dalam BERSIH suatu perkembangan yang alami bagi anda? Saya percaya, ya. Pertubuhan-pertubuhan yang saya anggotai, seperti EMPOWER dan AWAM, percaya bahawa ada kaitan antara hak asasi manusia, hak wanita dan perkara yang berlaku dalam negara. Pembaharuan sistem pilihanraya akan memberi kesan terhadap wanita. Sejak awal, wakil wanita dalam parlimen Malaysia kurang daripada 10 peratus. Seperti banyak warga Malaysia yang lain, saya gembira dengan keputusan PRU 2008. Detik di mana BN dinafikan majoriti satu pertiga dan pembangkang memerintah lima buah negeri adalah detik penuh bermakna bagi saya. Selepas perhimpunan BERSIH 1, EMPOWER mula mengambil alih kepimpinan BERSIH. Melihat BERSIH 1 membawa kepada keputusan seperti dalam PRU 2008, melihat perkara yang berlaku sepanjang tiga tahun lalu dengan adanya BERSIH 2 dan BERSIH 3, saya merasa lebih bersemangat untuk terus menempuh jalan ini. Harapan orang ramai cukup tinggi sekarang. Melihat segala pencapaian BERSIH, apakah anda merasa bahawa kerja BERSIH telah selesai? BERSIH bukan satu projek yang telah selesai. Kita perlu meneruskannya. Semangat ahli-ahli jawatankuasa BERSIH masih tinggi; tiada seorang pun pernah berkata "cukup setakat ini." Kita perlu terus melangkah. Jika kita berhenti, bererti kita mengorbankan sesuatu. Kita seperti sedang memangku seorang bayi. Betul, bayi itu sekarang sudah semakin besar (ketawa)! Kini, kita bukan saya memberi perhatian terhadap pembaharuan pilihanraya, kita juga melihat kemunculan TURUN, perhimpunan Anak Muda dan sebagainya. Masih banyak yang perlu dilakukan. Matlamat kita bukan sekadar pembaharuan sistem pilihanraya. Untuk melakukan perubahan sistem, masih banyak yang perlu dilakukan. Untuk mengubah sistem, kita perlu mempersoalkan cara negara ini diurus-tadbir. Bagaimana rupa Malaysia yang lebih baik menurut wawasan anda? Setiap satu kelompok dan setiap seorang warga harus mampu bersuara dan saling bertolak-ansur. Kita mempunyai ruang yang cukup untuk setiap orang. Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, ini kenyataan yang tidak lagi dapat kita ubah. Selain itu, ada perbezaan antara generasi, maka kita perlu saling membuka ruang. Semua kita mahu tinggal di negara ini. Jika kita mahu membina Malaysia yang demokratik, kita perlu terus tinggal di sini dan memperjuangkannya. Keputusan PRU 2008 dan 2013 tidak akan tercatat sedemikian jika setiap kita meninggalkan negara ini. |
Dasar BN sebenarnya menyusahkan masyarakat Cina Posted: 04 May 2014 09:19 PM PDT KUALA LUMPUR: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa dasar Barisan Nasional (BN) telah berjaya membantu kejayaan masyarakat Cina adalah tidak benar dan hanya mimpi di siang hari. Mengulas dakwaan Najib itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, ia bukan hanya menyimpang dari kebenaran malah merupakan cubaan untuk meremehkan kerja keras masyarakat Cina untuk berjaya dalam keadaan serba tidak adil di bawah pentadbiran BN. "Najib jelas sekali bermimpi apabila menyatakan salah satu contoh kejayaan BN itu adalah pendidikan masyarakat Cina yang semakin baik. "Beliau seharusnya tahu, bahawa hingga ke saat ini, banyak masalah yang telah lama dihadapi dalam pendidikan masyarakat Cina tidak diselesaikan. "Dengan peruntukan tidak adil, kekurangan sekolah dan guru-guru. Isu ini sudah lama dihadapi sekolah-sekolah rendah Cina serta sudah berulang kali dibangkitkan pimpinan pembangkang, kumpulan dan komuniti Cina. Namun tidak diselesaikan kerajaan walaupun sudah memegang kuasa selama beberapa dekad," katanya dalam satu kenyataan. Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh menegaskan, sehingga hari ini pengurusan sekolah-sekolah Cina terpaksa membelanjakan wang mereka sendiri untuk mengambil guru-guru sementara akibat kekurangan guru. "Bukan lagi satu rahsia bahawa faktor utama yang menyebabkan aliran keluar begitu ramai masyarakat Cina ke luar negara adalah berpunca dari kebimbangan mereka tentang kekurangan peluang pendidikan adil di institusi pengajian tinggi. Bolehkah Najib menafikan hal ini? "Jika Najib komited kepada konsep 1Malaysia, beliau harus menghapuskan dasar perkauman supaya dapat membantu mengukuhkan semangat kekitaan di kalangan semua rakyat dan menjalin perpaduan tulen di kalangan semua kaum. Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Perpaduan MCA di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, 3 Mei lalu mendakwa dasar adil BN bukan sekadar berjaya membantu kejayaan, malah telah menjaga keamanan dan keharmonian yang membolehkan masyarakat Cina semakin berkembang. Pengerusi BN itu turut menyatakan tidak ada mana-mana negara selain China dan Taiwan yang memberi tempat kepada pendidikan Cina sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan. -Roketkini.com |
PM: Pencarian MH370 akan diteruskan Posted: 04 May 2014 09:16 PM PDT MALAYSIAKINI Malaysia berazam untuk meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan kerjasama negara-negara rakan walaupun sehingga kini masih belum berhasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata misteri kehilangan MH370 tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia apabila sistem telekomunikasi pesawat dipadamkan dan kaedah pencarian untuk mengesan pesawat belum diguna pakai. "Meskipun kita belum berhasil sehingga hari ini tetapi kerajaan berazam untuk meneruskan usaha pencarian dengan kerjasama rakan-rakan dari negara-negara lain terutamanya Australia yang menunjukkan komitmen luar biasa membantu Malaysia mencari pesawat yang dimiliki oleh kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu dengan pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan sebelum di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'. Pada perhimpunan bulanan itu, Najib turut menyatakan bahawa Malaysia telah menunjukkan kisah kejayaan proses transformasi yang begitu besar dalam segenap lapisan kehidupan rakyat negara ini kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang melawat negara ini bulan lepas. Beliau berkata ketika lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, Malaysia hanya mampu membawa pemimpin Amerika Syarikat itu melawat sebuah ladang getah di sebuah rancangan Felda yang kemudiannya dinamakan Rancangan Felda Lyndon. Namun, katanya setelah 48 tahun, Obama pula melihat pertumbuhan pesat Malaysia yang kini menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya. "Ini sesuatu yang kita boleh banggakan. Ini berlaku antara faktornya kerana kita bukan sahaja memberi pertimbangan atas keperluan semasa ataupun jangka pendek tetapi kita mempunyai kerajaan dan pentadbiran yang selama ini mampu membuat perancangan jangka panjang untuk negara kita," katanya. Sempena lawatan bersejarah Obama selama tiga hari ke Malaysia pada 26 hingga 28 April lepas, pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif dengan objektif memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat. Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga. Ketika berada di Malaysia, Obama diberikan sambutan rasmi permaidani merah di Bangunan Parlimen, diraikan pada jamuan negara dan mengadakan pertemuan dengan Najib serta menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin muda Asia Tenggara. Presiden AS itu juga melawat Masjid Negara di Kuala Lumpur selain bersama-sama Najib melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya. Malaysia merupakan hentian ketiga dalam siri lawatan Obama ke empat negara Asia, bermula Jepun dan diikuti Korea Selatan. Hentian terakhirnya ialah Filipina.- Bernama |
K'jaan akan perincikan barangan dikecualikan GST Posted: 04 May 2014 09:14 PM PDT MALAYSIAKINI Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) adalah sistem percukaian yang progresif dan pengenalannya bukanlah untuk membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata penerangan berhubung CBP, yang telah dilaksanakan kira-kira 90 peratus negara di dunia, perlu digiatkan supaya rakyat benar-benar faham dan tidak melulu membantah tanpa mengetahui tujuan dan asas sistem percukaian berkenaan. "Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa ramai yang tidak bayar cukai. Saya tahu sebagai Menteri Kewangan ramai yang tidak bayar cukai atau bayar sikit daripada yang sepatut dibayar. "Dengan adanya sistem ini, ia lebih progresif kerana ia bergantung kepada banyak mana perbelanjaan kita dan dengan cara seperti ini dengan langkah kita mengecualikan cukai pada barang-barang keperluan rakyat maka pengenalan CBP ini tidaklah membebankan rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Najib berkata kerajaan akan melihat dan memperincikan lebih banyak barangan dan produk yang boleh dikecualikan daripada CBP tanpa menjejaskan perluasan asas hasil. Beliau berkata melalui pelaksanaan CBP itu kerajaan akan mampu memacu pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negara dan mampu membina lebih banyak infrastruktur dan keperluan asas di bandar dan luar bandar. "Sebab jika kita tidak membina infrastruktur lebih moden, kita akan kehilangan kelebihan kompetitif," jelas Najib. Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk modal insan kerana ia juga merupakan faktor kritikal dalam soal kekuatan kompetitif mana-mana negara. "Selain itu hasil percukaian juga perlu untuk bidang kesihatan kerana terdapat keperluan untuk menambah hospital, peralatan dan sebagainya yang menjadi perkara mendesak untuk rakyat," katanya. Najib berkata dengan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam sebanyak 1.5 juta orang, negara memerlukan hasil negara yang mencukupi. "Itulah langkah dan falsafah yang dipegang oleh kerajaan yang ada pada hari ini dan saya percaya dengan langkah seperti ini akan membolehkan mengangkat kedudukan negara kita seperti yang diimpikan bersama," katanya. CBP akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus. Najib berkata sistem percukaian CBP telah lama dikaji oleh kerajaan dan telah diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia ini. "Kalau sistem ini sudah terbukti (negara lain), tentu sekali bagi kita di Malaysia, kalau kita guna sistem CBP ini, kita mestilah akan dapati ini adalah sistem yang adil, progresif dan boleh diterima oleh rakyat," katanya.- Bernama |
Rahim Noor cadang kembalikan ISA Posted: 04 May 2014 09:11 PM PDT MALAYSIAKINI Bekas ketua polis begara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berpendapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu diwujudkan kembali bagi membendung kegiatan militan di negara ini. Katanya, bagi membendung kegiatan militan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dilihat mempunyai banyak kelemahan jika dibandingkan dengan ISA. "Saya rasa pada hal-hal tertentu (ISA) boleh mengatasi. Undang-undang (yang) dinamakan Sosma ada kelemahan dan kekurangan. "Tak semestinya (wujudkan) ISA tetapi undang-undang seperti ISA perlu diwujudkan bagi menahan dan mencegah (militan). "Dulu pergerakan Jemaah Islamiah (JI), Al-Arqam kita sapu bersih menerusi undang-undang (ISA)," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan 11 individu yang disyaki militan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar semalam. Dalam laporan semalam Abdul Khalid berkata sebelas individu yang disyaki aktiviti militan ditahan kerana cuba merekrut warga tempatan untuk menjadi pengebom berani mati di luar negara. Tambahnya, polis menahan individu-individu terbabit kerana aktiviti mereka mempunyai elemen "mengancam keselamatan negara dan rakyat". |
Tiada semakan kehakiman pada buku guna 'Allah' Posted: 04 May 2014 09:05 PM PDT MALAYSIAKINI Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) daripada memulakan semakan kehakiman ke atas rampasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap buku keagamaan Kristian yang menggunakan perkataan Allah tujuh tahun lepas. Dalam keputusan yang bakal mengecewakan umat Kristian di Sabah dan Sarawak itu, mahkamah tinggi memutuskan, ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes antara ketua uskup gereja Roman Katolik dan KDN. "Kita diikat oleh keputusan mahkamah yang lebih tinggi, yang memutuskan penggunaan 'Allah' tidak penting dalam kepercayaan dan anutan Kristian," kata Hakim Zaleha Yusof. "Sehingga itu, kita diikat dengan keputusannya dan mahkamah ini terpaksa menolak permohonan, tanpa kos," kata Zaleha. Buku-buku tersebut ialah buku keagamaan kanak-kanak yang dirampas pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada Ogos 2007. Presiden SIB Jerry Dusing dalam jawapan segera berkata mereka akan merayu keputusan itu kerana "perkataan Allah penting dalam kepercayaan dan penggunaan medium arahan dalam Bahasa Malaysia". Menurut Dusing, buku tersebut dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak dari Indonesia, sebelum dirampas pihak berkuasa. |
Jabatan Peguam Negara digesa gugur pertuduhan Posted: 04 May 2014 05:06 PM PDT Gesaan ini dibuat berikutan pengisytiharan Mahkamah Rayuan dalam kes ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) melanggar Perlembagaan Malaysia, Jabatan Peguam Negara harus menggugurkan pertuduhan APA Naib Pengerusi Semenanjung Selatan BERSIH 2.0 Thomas Fann bersama tiga orang lain. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bersih 2.0, walaupun Fann, bersama Koh Jit Huat, Mohd Salleh Ahmad dan Steven Choong, dituduh di bawah seksyen lain, yakni Seksyen 9(1) yang mensyaratkan penganjur himpunan memberi notis 10 hari kepada polis, namun memandangkan ketetapan Mahkamah Rayuan bahawa penghukuman terhadap mereka yang gagal memberi notis 10 hari adalah tidak berperlembagaan, maka masih relevan lagikah syarat – dan seksyen – tersebut? "Oleh itu, BERSIH 2.0 menyeru pihak berkuasa supaya akur kepada kenyataan Mahkamah Rayuan bahawa perbuatan yang sah – yakni, berhimpun secara aman – tidak boleh dihukum sebagai satu jenayah. "Selaras dengan pendirian Mahkamah Rayuan ini, BERSIH 2.0 juga menggesa pihak berkuasa supaya menggugurkan pertuduhan keempat-empat mereka di bawah Seksyen 4.2(b) yang melarang perhimpunan di kawasan tertentu." demikian kenyataan Bersih 2.0. Bersih 2.0 juga mempertikaikan dalam senarai kawasan larangan tidak munasabah. Antara lain, tempat-tempatnya ialah lingkungan 50m stesen minyak, terminal bas, sekolah dan tempat sembahyang. Ini bermakna pada hakikatnya, hampir tiada tempat untuk berhimpun di bandar. Justeru, Parlimen juga harus mengkaji semula APA, bukan sahaja dari segi kandungan, malah namanya juga – ia sepatutnya "Akta Perhimpunan Awam" kerana andaian asas hak berhimpun adalah bahawa ia kegiatan aman dan oleh itu tidak perlu dinyatakan dengan eksplisit. BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kebebasan bersuara, termasuk kebebasan berhimpun, adalah sebahagian daripada sistem semakan dan imbangan dalam sistem demokrasi. Undang-undang yang mencengkam masyarakat tidak ada tempatnya dalam negara demokratik. Sekiranya pihak berkuasa khuatir mengenai ancaman keselamatan, sudah ada dan cukup undang-undang yang mengawal keadaan perhimpunan – contohnya Akta Polis. Pengurusan kes Fann dan rakan-rakannya dijadualkan pada 5 Mei 2014, pukul 9 pagi, di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di Johor Bahru. Sekali lagi, BERSIH 2.0 menyeru orang ramai hadir untuk menunjukkan sokongan kepada mereka yang dituduh menganjurkan "candlelight vigil" untuk aktivis pelajar Adam Adli ketika beliau ditahan di bawah Akta Hasutan pada bulan Mei 2013. |
Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki Posted: 04 May 2014 05:04 PM PDT Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun, isteri dan empat anaknya turut berdepan detik cemas selepas diikat kumpulan perompak berkenaan sambil leher mereka diacu dengan parang. Jurucakap polis berkata mangsa dan anggota keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum kesemua mereka dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersarung tangan dan menutup muka. "Ketika itu, dua anak lelaki mangsa berada di aras bawah manakala mangsa bersama isteri serta dua anak perempuannya berada di dalam bilik berasingan di tingkat atas," katanya di sini. Anak lelaki mangsa berusia 17 dan 18 tahun manakala anak perempuannya berumur 10 tahun dan 5 tahun. Jurucakap polis berkata kejadian itu hanya disedari mangsa selepas terdengar bunyi bising di luar bilik tidurnya sebelum seorang suspek menghampirinya dengan bersenjatakan sebilah parang. "Dia (mangsa) tidak berani melawan suspek kerana bimbang dengan keselamatan empat anaknya. Suspek yang memakai baju hitam kemudian mengarahkan kesemua mereka berkumpul di dalam sebuah bilik. "Ketika itu, tangan masing-masing diikat dengan tali beg, reben dan penyangkut baju serta mereka diarahkan diam. Tiga suspek berkenaan bertindak menggeledah bilik mangsa untuk mendapatkan barang berharga," katanya. Ketiga-tiga suspek itu yang bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian melarikan diri selepas mengambil pelbagai barangan berharga termasuk dua komputer riba, lima telefon bimbit, jam tangan, seutas rantai emas dan wang tunai RM2,000. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. "Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu ruang tamu rumah mangsa," katanya. |
Catu air, Najib malas cari maklumat Posted: 04 May 2014 05:01 PM PDT Saya harap Datuk Seri Najib Tun Razak masih sedar, beliau bukan memerintah zaman batu yang tidak ada maklumat. Sekarang beliau memerintah zaman langit terbuka, bukan zaman Tun Dr Mahathir dahulu yang boleh auta kerana tidak ada media baru dan langit terbuka. Sedarkah beliau negeri yang tidak dapat air percuma pun dicatu air, contohnya di daerah Taiping dan Larut Matang yang memang terkenal sebagai bandar hujan pun dicatu air. Sebahagian dari kawasan Parlimen saya di Bukit Gantang dicatu, dua hari ada air, dua hari dicatu air. Apakah beliau tidak ada maklumat atau memang beliau seorang yang malas berfikir untuk mencari maklumat. Selangor tidak ada air kerana gagalnya syarikat kroni Umno menjalankan tugas dengan baik sehingga berlaku masalah kehilangan air yang tidak diatasi sehingga kini. Najib tahu atau tidak Syabas masih gagal menurunkan kadar kehilangan air daripada 30 peratus kepada 20 peratus seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Selangor. Tingkah laku Najib sama seperti seorang ADUN Umno di dalam Dewan Undangan Negeri yang mengatakan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat memberi air percuma adalah usaha yang bodoh. Malangnya apabila Tan Seri Khalid minta beliau beri nama dan alamat untuk tidak diberi air percuma kepada rumah beliau, beliau tidak bagi maklumat pula. |
Godam talian pasukan ‘Urgent Arrest’, taktik baru ganggu himpunan Posted: 04 May 2014 04:56 PM PDT KEADILANA DAILYKUALA LUMPUR : Pasukan tangkapan segera (urgent arrest) himpunan 1 Mei percaya, tindakan pihak tertentu menggodam talian telefon taktik baru mengganggu perhimpunan aman. Dalam kenyataannya hari ini, tindakan tersebut berniat menghalang tugas anggota pasukan dalam usaha koordinasi khidmat peguam untuk sesiapa yang ditahan oleh pihak polis dalam himpunan 1 Mei semalam. "Tindakan pihak tidak bertanggungjawab berniat jahat dan mala fide, menidakkan hak dan kepentingan peserta untuk diwakili peguam ketika ditahan dan disiasat polis. "Ini seterusnya mendedahkan peserta kepada risiko penahanan tidak sah dan tidak berperlembagaan," kenyataan pasukan urgent arrest dipetik. Sejak pagi 1 Mei 2014 sehingga hari ini, anggota pasukan tak henti-henti menerima panggilan telefon dan SMS daripada orang ramai yang menerima SMS kecemasan. Dianggarkan ratusan SMS dan ribuan panggilan telefon diterima, kononnya daripada anggota pasukan dan meminta orng ramai menghubungi semula anggota pasukan dengan segera pada hari tersebut. "Kami melihat tindakan ini cara baru oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu amalan hak dan kebebasan berhimpun rakyat setelah Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 melanggar Perlembagaan Malaysia. "Kami syak pihak tidak bertanggungjawab memancing nombor telefon persendirian orang awam daripada database syarikat telekomunikasi. "Sekiranya benar, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar privasi dan menggunakan data peribadi orang awam secara tidak sah dan salah. "Kami menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalam masa 48 jam dari masa terbitan kenyataan ini ke atas insiden ini," tegas kenyataan tersebut. Pasukan urgent arrest terdiri dari sukarelawan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih) dan Kelab Bangsar Utama (KBU) |
Anwar sampaikan kuliah Kebangkitan Asia di Puchong 10 Mei Posted: 04 May 2014 04:52 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan kuliah 'Gelombang Kebangkitan Asia' bahagian ketiga pada hari Sabtu, 10 Mei 2014. Manakala ahli Biro Politik KEADILAN, Dr Syed Husin Ali turut akan menyampaikan syarahan bahagian ketiga 'Merdeka Rakyat'. Program istimewa ini akan diadakan pada hari Sabtu, 10 Mei 2014 pukul 2 petang, bertempat di Diwan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat, No 72, Jalan 2/3, Bandar Puteri Puchong. Kepada mereka yang berminat untuk menyertai program ini, sila hubungi penyelaras Centre for Reform Democracy and Social Initiative melalui emel asian.renaissance.reformasi@gmail.com. |
Bangkai MH370 Di Perairan Vietnam? Posted: 04 May 2014 04:48 PM PDT Syafiq Syazwan LONDON - Seorang ahli arkeologi marin Britain mendakwa telah mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 pada kedudukan 3,000 batu nautika daripada zon carian semasa ketika ini selepas menjejak imej pesawat itu menggunakan teknologi buatan sendiri yang diciptanya. Tim Akers, 56, berkata, imej serpihan berwarna merah yang dirakamkan satelit menunjukkan ekor pesawat, sayap dan beberapa serpihan lain di pantai Timur Vietnam, hanya sekitar 1,000 batu dari pesawat itu berlepas. Penemuannya itu sekali gus menyokong laporan bekas juruterbang Amerika Syarikat Michael Hoebel dari New York, yang mempercayai bangkai pesawat itu berada di luar pantai Thailand. Akers mendapat imej itu yang dihasilkan dari satelit Landsat 7, Nasa dan menggunakan perisian buatan sendiri bagi mendedahkan serpihan yang ditemui kepada beberapa bahagian yang berbeza melalui spektrum cahaya. |
Malaysia Gagal Mara ke Final Kejohanan Hoki Posted: 04 May 2014 04:41 PM PDT Radhi Razak KUANTAN - Malaysia gagal menepati sasaran ke final buat julung kali setelah kalah 5-4 kepada Kanada menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di sini, malam tadi. Malaysia, yang turun dengan semangat berkobar-kobar, memulakan rentak dengan langkah kanan apabila Faizal Saari membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti. Gol tersebut telah membantu menyemarakkan lagi semangat skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah untuk mengekang gerakan Kanada sebelum Ismail Abu menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-15. Bagaimanapun, Kanada, dengan niat untuk menebus kekecewaan kalah 4-3 pada perlawanan peringkat kumpulan, Selasa lepas, mengurangkan defisit jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten Scott Tupper pada minit ke-21. Bersambung pada babak kedua perlawanan, Malaysia kembali mengasak benteng pertahanan Kanada bagi mencari gol ketiga bagi menjauhkan jurang jaringan. Penjaga gawang negara, S. Kumar berjaya menyelamatkan maruah negara apabila menafikan pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Tupper pada minit ke-45. Kanada, yang tidak ingin mengalah, berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut yang dilakukan sekali lagi oleh Tupper pada minit ke-60 dan mengheret perlawanan ke pusingan penentuan pukulan penalti. Dalam lima percubaan pukulan penalti, Malaysia menyempurnakan empat menerusi dua gol oleh Faizal Saari dan masing-masing satu oleh Faiz Helmi Jali dan Mohd Fitri Saari. Bagaimanapun, Kanada menyempurnakan kesemua percubaan menerusi dua gol masing-masing oleh Mark Pearson dan Gordon Johnston sebelum Adam Froese mengesahkan tempat Kanada di final esok. Kanada, yang menduduki ranking ke-16 dunia, akan menentang naib juara tiga kali, Korea Selatan, pada final. Korea Selatan dengan ranking ketujuh dunia melangkah ke final dengan mengalahkan Ireland 2-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir. Dharmaraj menyalahkan faktor kepenatan sebagai punca kekalahan mereka selepas bertungkus lumus menyingkirkan New Zealand 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 pada suku akhir, Rabu lepas. "Pemain kita jelas kepenatan pada 20 minit akhir perlawanan walaupun pada mulanya Malaysia berjaya menguasai permainan dengan mendahului 2-1 pada babak pertama," katanya. "Walaupun gagal mencapai sasaran ke final, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain yang dilihat bersungguh-sungguh untuk menang," katanya. Sementara itu, kapten pasukan Azlan Misron berkata sindrom 'cepat selesa' selepas mendahului lawan perlu dikikis sekiranya pemain mahu mencapai kejayaan dalam sesuatu perlawanan. "Kegagalan ini adalah sebagai peringatan awal untuk berusaha memperbaiki kesilapan sebelum menghadapi Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun ini," katanya. Malaysia akan bertemu Ireland pada perlawanan penentuan tempat ketiga esok. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan