DIALOG RAKYAT |
- MH370: Komunikasi Antara 1.38 Pagi Dan 6.14 Pagi, 8 Mac Didedah
- Setahun selepas PRU13, bekas bos NSTP gesa rakyat nilai prestasi Najib
- Pengerusi MyWatch terima peluru
- Media tidak provok kumpulan anarki kelmarin, kata mangsa
- MH370: Hishammuddin gagal jaga kredibiliti semasa krisis, kata Kit Siang
- Malaysia tersenarai dalam pemerhatian Amerika bagi kebebasan beragama
- Khalid Tidak Mahu Menang Timbalan Presiden PKR
- Apa Perasaan Ibrahim Ali Jika Ada Buat Kenduri Jika Dia Dimasukkan Ke ICU Semula?
- 'Perancis lagi lambat daripada kita'
- Kunci dalam tangan PAS
- Menteri tak sokong ahli sukan luar wakili M'sia
- Najib: Dasar air percuma S'gor akibatkan catuan
- 'Hudud PAS' akan kekalkan kuasa Umno 50 tahun lagi
- PAS penentu masa depan Pakatan Rakyat?
- GERAMM kutuk tindakan ganas terhadap wartawan
- PERKASA akan sokong perhimpunan pro-GST
- PM akan putuskan bila MCA sertai semula kabinet
- Pendidikan Malaysia makin teruk akibat campur tangan politik
- JAIS diarah lengkapkan laporan kes kematian pelajar
- Kebebasan akhbar: Ranking Malaysia jatuh merudum
- PRK Bukit Gelugor: MCA kenal pasti tiga calon
- Takut Pas, Umno bersatu punca tolak hudud
- Demo Bantah GST: Peserta engkar, luar kawalan
MH370: Komunikasi Antara 1.38 Pagi Dan 6.14 Pagi, 8 Mac Didedah Posted: 03 May 2014 06:18 AM PDT MSTAR ONLINE PETALING JAYA: Rakaman perbualan antara kokpit pesawat MH370 dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL-ATCC) dan Ho Chi Minh (HCM) didedahkan kepada umum membabitkan komunikasi antara pukul 1.38 pagi hingga 6.14 pagi pada Sabtu, 8 Mac lalu. Berikut adalah rakaman melalui talian terus itu yang bermula selepas kelipan radar padam hingga Pusat Penyelarasan Menyelamat diaktifkan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan. # 01:38:19 pagi: HCM mula bertanya mengenai MH370, maklum kepada KL-ATCC bahawa komunikasi secara lisan tidak dapat dirakam dengan MH370 dan isyarat radar kali terakhir dikesan di BITOD. # 01:41:21 pagi: KL-ATCC memaklumkan kepada HCM bahawa selepas IGARI, MH370 tidak kembali kepada frekuensi. # 01:46:46am: HCM sekali lagi bertanya mengenai MH370, menyatakan komunikasi melalui radar dibuat meliputi IGARI tetapi tiada komunikasi secara lisan. Ho Chi Minh memaklumkan bahawa kelipan pada radar padam di "waypoint BITOD." # 01:50:28 pagi: KL-ATCC bertanya HCM jika ada komunikasi dibuat dengan MH370. Jawapan HCM adalah "negatif'. # 01:57:02 pagi: HCM maklum kepada KL-ATCC bahawa secara rasmi, tiada komunikasi dengan MH370 sehingga kini. Percubaan untuk berkomunikasi melalui beberapa frekuensi dan pesawat di persekitaran tidak mendapat respons daripada MH370. # 02:03:48am: KL-ATCC bertanya HCM mengenai status MH370. HCM mengesahkan bahawa tiada komunikasi radar pada masa ini dan tiada komunikasi lisan dibuat. KL-ATCC menyalurkan maklumat yang diterima daripada MAS OPS bahawa pesawat berada di ruang udara Kemboja. # 02:07:00 pagi: HCM bertanya bagi mendapatkan pengesahan bahawa MH370 berada di Phnom Penh FIR. KL-ATCC minta untuk menyelidiki lebih lanjut dengan penyelia. # 02:11:37 pagi: HCM bertanya mengenai status tetapi KL-ATCC tidak mempunyai maklumat terkini. # [02:15 pagi] [tiada rakaman suara]:(dipetik daripada Buku Log Watch Supervisor) KL-ATCC Watch Supervisor bertanya MAS OPS siapa yang maklumkan bahawa MH370 dapat berkomunikasi di ruang udara Kemboja. # 02:18:53 pagi: KL-ATCC bertanya jika rutin penerbangan MH370 sepatutnya memasuki ruang udara Kemboja. HCM mengesahkan bahawa laluan dirancang adalah melalui ruang udara Vietnam. HCM membuat semakan dan Kemboja memberitahu ia tidak mempunyai maklumat atau komunikasi dengan MH370. HCM mengesahkan maklumat sebelumnya bahawa komunikasi melalui radar terputus selepas BITOD dan komunikasi melalui radio tidak pernah dibuat. KL-ATCC tanya jika HCM mengambil tindakan Radio Failure tetapi pertanyaan itu nampaknya tidak difahami oleh kakitangan yang bertugas.HCM mencadangkan supaya KL-ATCC menghubungi MAS OPS dan diberitahu bahawa ia sudah dibuat. # 02:34:01: Watch Supervisor KL-ATCC bertanya kepada Pusat MAS OPS mengenai status komunikasi dengan MH370 tetapi kakitangan tidak pasti sama ada mesej sampai atau tidak. # 02:35:03: HCM tanya mengenai status MH370 dan diberitahu bahawa Watch Supervisor sedang berhubung dengan syarikat ketika ini. # 02:35:5: Pusat MAS OPS maklumkan kepada KL-ATCC MH370 bahawa keadaan adalah normal berdasarkan isyarat yang dimuat turun dengan memberikan koordinat N14.90000 E109 15 00 pada jam 1833 UTC. # 02:37:36: KL-ATCC menyalurkan kepada HCM mengenai latitud dan longitud seperti dinasihatkan oleh Malaysian Airlines Operations. # 02:53:51: MH386 diminta oleh HCM supaya cuba berkomunikasi dengan MH370 melalui frekuensi radar Lumpur. KL-ATCC kemudian minta MH386 untuk cuba menggunakan frekuensi kecemasan. # [03:30] (tiada rakaman suara): (dipetik daripada Buku Log Watch Supervisor) Pusat MAS OPS maklumkan kepada KL-ATCC bahawa maklumat data penerbangan adalah berdasarkan ramalan penerbangan dan tidak dapat disahkan bagi lokasi pesawat. # 03:30:01: KL-ATCC tanya jika HCM telah menyemak dengan FIR Hainan. # 03:56:19: KL-ATCC tanya Malaysia Airlines OPS mengenai apa-apa maklumat terkini atau komunikasi dengan MH370. # 04:25:23: HCM tanya KL-ATCC mengenai kedudukan akhir MH370 dan sama ada dapat berkomunikasi dengan ATC. KL-ATCC tanya jika ada sebarang maklumat diterima daripada Hong Kong atau Beijing. # 05:09:18: Singapura tanya bagi mendapatkan maklumat mengenai MH370. # 05:20:17:Kapt [name redacted] minta maklumat mengenai MH370. Beliau berpendapat bahawa berdasarkan maklumat yang diterima, "MH370 tidak pernah meninggalkan ruang udara Malaysia". # 05:30: Watch Supervisor mengaktifkan Pusat Penyelarasan Kuala Lumpur. # 05:41:21: HCM tanya mengenai apa-apa maklumat terkini. # 06:14:14: KL-ATCC tanya HCM sama ada SAR digerakkan. |
Setahun selepas PRU13, bekas bos NSTP gesa rakyat nilai prestasi Najib Posted: 03 May 2014 05:55 AM PDT Setahun selepas pilihan raya umum paling sengit dalam negara, The Malaysian Insider melihat kembali apa yang berlaku kepada negara selepas itu. Dalam bahagian pertama ini, kita melihat apa yang sudah berubah dan apakah keadaan kita lebih baik dalam penggal kedua pentadbiran Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Najib Razak. Datuk A Kadir Jasin menggesa rakyat Malaysia menilai semula prestasi Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri sempena ulangtahun pertama kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, ini merupakan masa terbaik bagi rakyat Malaysia mengemukakan pendapat dan berbincang mengenai keadaan negara. "Saya rasa mungkin ini masa terbaik bagi para pembaca dan pembahas mengemukakan pendapat dan berbincang secara terperinci dan berhemah mengenai keadaan negara kita kerana beberapa hari lagi, iaitu pada 6 Mei, genaplah setahun Mohd Najib Abdul Razak memerintah negara dengan mandatnya sendiri setelah menang Pilihan Raya Umum 2013," tulis Kadir dalam blognya semalam. Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh menilai semula gagasan yang dilaungkan perdana menteri untuk transformasi dan penambahbaikan ekonomi negara selain kebajikan rakyat selama pentadbirannya. "Saya yakin ramai pembaca dan pembahas masih ingat kepada riuh-rendah dan hiruk-pikuk kita dipersembahkan dengan ikrar KPI, NKRA, keterangkuman, transformasi, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, serta banyak lagi slogan dan moto," tulis beliau, merujuk kepada indeks prestasi dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional. Menurut Kadir, rakyat Malaysia bebas membuat pilihan sama ada berpuas hati atau tidak dengan pencapaian Najib selama memangku jawatan tertinggi negara itu, iaitu sejak Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan pada 2009. "Saya serahkan kepada kebijaksanaan dan komitmen pembaca serta pembahas untuk membuat analisis dan kesimpulan pencapaian Najib sejak 2009," katanya. Ini bukan kali pertama bekas bos NSTP itu mengkritik pentadbiran Najib melalui tulisannya di blog. Pada PRU13 lalu, BN mengekalkan kemenangan dengan majoriti lebih rendah dengan 133 kerusi di Dewan Rakyat, keputusan yang lebih buruk berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Selepas PRU13, kerajaan BN mengumumkan kenaikan harga barang keperluan asas seperti minyak dan gula. Najib juga pada tahun lalu memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6%, yang akan berkuatkuasa pada April tahun depan. Bercakap kepada The Malaysian Insider, penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat, menggambarkan suasana sekarang, setahun selepas pilihan raya umum 5 Mei, sama seperti empat tahun pertama selepas Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2009. "Kerajaan Najib setahun selepas 5 Mei mempunyai ciri-ciri kedua-dua penindasan aktif kepada golongan penentang dan minoriti dan kegagalan pasif dalam tadbir urus negara. "(Ini) dilihat dalam penganiayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan peminggiran orang bukan Islam, dan kegagalan dalam menguruskan krisis MH370 itu," kata Wong. |
Pengerusi MyWatch terima peluru Posted: 03 May 2014 05:51 AM PDT ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Tiga butir peluru bersaiz 9mm ditemui dalam peti surat rumah Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan di Bahau, pagi Sabtu. Sanjeevan yang bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, abangnya yang sedang mengemas rumah untuk aktiviti kempen malam ini menemui peluru tersebut kira-kira pukul 10.45 pagi. "Pagi tadi saya pulang lewat kerana berkempen...kira-kira pukul 4 pagi. "Sebelum itu ahli keluarga saya juga keluar meraikan hari lahir ibu saya, jadi tiada siapa di rumah. "Saya syak pada ketika itulah peluruh berkenaan diletakkan," kata Sanjeevan. |
Media tidak provok kumpulan anarki kelmarin, kata mangsa Posted: 03 May 2014 05:47 AM PDT SHAH ALAM: Jurukamera yang menjadi mangsa keganasan peserta Himpunan Bantah GST pada Khamis mendakwa pihak media tidak melakukan apa-apa provokasi terhadap sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka 'Kumpulan Anarki'. Mohd Zul Iskanda Mohd Hanafiah yang bertugas di Xinhua News Agency berkata kejadian itu berlaku begitu pantas. Ujarnya, sebaik sahaja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai berucap, sekumpulan anak muda tiba-tiba muncul dan berarak di Dataran Merdeka. Mereka kemudiannya membakar bom asap dan bertindak agresif tanpa sebab. "Tiba-tiba dia (kumpulan) itu menjadi agresif. Mereka tolak tolak semua wartawan sampai betul-betul bangunan Sultan Sulaiman mereka tiba-tiba 'naik gila' terus terajang wartawan (di sekeliling mereka). "Tiba-tiba mereka datang dan sepak saya. Mula-mula mereka laung 'fuck media' berulang kali. Jadi saya pergi depan muka dia dan saya tanya 'apa yang fuck medianya ?' "Lepas itu salah seorang daripada mereka tepis kamera saya sampai jatuh 'landscap kamera' saya. Saya suruh dia ambil balik dan saya kira selesailah masa tu. Tiba-tiba mereka agresif balik dan masa mereka tunjuk isyarat lucah depan media. Tak semena-mena masa itulah saya disepak dua kali dan tumbuk kamera saya," jelas Zul. Ketika keadaan semakin tegang, Zul berkata beliau berundur ke belakang untuk selamatkan kameranya dan pada masa itu, kumpulan yang berpakaian hitam dan bertopeng itu menyerang media di sebelah kanannya pula. "Salah seorang daripada mereka melambung kayu bendera macam tombak ke arah media. Saya hampir terkena. Nasib baik ada Unit Amal ataupun geng-geng protester yang tolong sambut. Ujarnya, anak-anak muda itu dipercayai bergabung dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) untuk membentuk satu kumpulan yang lebih besar bagi berdepan dengan media. "Lepas simpang empat dekat jalan menuju ke Masjid Jamek, ada satu lagi provokasi mereka buat. "Kami (media) tunggu di situ untuk lihat muka mereka yang nak cabar kami tadi. Mereka bawak geng-geng SAMM untuk provikasi kami. Saya kenal budak-budak itu. Mereka ada kaitan dengan (aktivis mahasiswa) Adam Adli. Sebab saya pernah ikuti perkembangan mereka. Mereka pernah berkhemah di Dataran Merdeka dulu. Sebab itu saya kenal mereka," ujarnya. Zul bagaimanapun tidak membuat laporan polis berikutan tiada sebarang kecederaan di alaminya. Selepas Himpunan Bantah GST tamat, negara dikejutkan pula dengan insiden media yang sedang bertugas dikasari. Selain Zul, tiga lagi petugas media dilaporkan menerima nasib yang sama. Mereka adalah jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portal theantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk peserta himpunan. Manakala, jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu dalam kejadian tersebut. Perbuatan tidak bertamadun itu kemudiannya di kecam Gerakan Media Marah (GERAMM) dan Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA). Untuk rekod, Himpunan Bantah GST dianjurkan pembangkang kononnya untuk mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan GST pada April 2015. Bagaimanapun himpunan itu gagal mencapai matlamatnya, menurut pemerhati politik sebaliknya menjadi medan mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan dengan hukuman penjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. |
MH370: Hishammuddin gagal jaga kredibiliti semasa krisis, kata Kit Siang Posted: 03 May 2014 05:31 AM PDT DAP hari ini mengatakan kenyataan ulangan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kerajaan tidak menyembunyikan sebarang kebenaran berkenaan nahas pesawat Malaysia Airlines MH370 membuktikan menteri itu gagal dalam menjaga kredibiliti baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang (gambar) berkata kelemahan dan tidak mampu bersikap terbuka Malaysia semasa menangani krisis MH370 menyebabkan negara ini mendapat kritikan serta kecaman masyarakat dunia. "Pengulangan kenyataan Hishammuddin sehingga semalam menyatakan kita tidak sembunyikan sebarang perkara membuktikan beliau menyedari gagal menjaga kredibiliti kerana kurangnya keterbukaan dan ketelusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya beliau terkejut dengan reaksi Agensi Pusat Penyelarasan Bersama Australia (JACC) Angus Houstan mengenai laporan siasatan tragedi tersebut. "Saya tidak percaya apabila membaca berita daripada media, semasa ditanya mengenai laporan yang disediakan kerajaan Malaysia kepada umum pada 1 Mac lalu, berapakah penekanan diberikan untuk membetulkan kesilapan. "Houstan seolah-olah mengulangi kenyataan Hishammuddin dengan menyatakan usaha sekarang lebih baik ditumpukan kepada misi pencarian. Katanya tindakan Houstan itu dilihat sangat tidak profesional seperti tiada sesiapa mencadangkan operasi mencari pesawat yang masuk 9 minggu dihentikan. Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata ketidakmampuan mengesan sebarang serpihan atau petunjuk lokasi pesawat bukan alasan pihak berkuasa mengelak soalan mengenai kesilapan dilakukan ketika beberapa jam pertama kehilangan MH370 disedari. "Jika tidak, misi pencarian kehilangan pesawat paling lama yang akan memakan masa bertahun turut menjadi isu paling lama penutupan kesalahan manusia dan teknologi menyebabkan bencana MH370," katanya. Beliau berkata lagi sekiranya Hishammuddin dan Houstan tetap bertegas kesilapan tidak patut dibangkitkan, maka dakwaan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahmah menyalahkan kawalan udara Vietnam kerana tidak mengikut protokol juga tidak perlu. Azharuddin berkata pada 8 Mac, 1.19 pagi, pusat kawalan udara Kuala Lumpur mengarahkan pesawat MH370 menukar frekuasi mereka setelah memasuki Ho Chi Minh tetapi hanya dimaklumkan pada 1.38 pagi apabila tiada panggilan daripada jet itu. Azharuddin berkata ia terpulang kepada badan siasatan antarabangsa untuk menyoal siasat Ho Chi Minh yang mengambil masa 17 minit memaklumkan KL walhal berdasarkan protokol ia patut dilakukan dalam tempoh lima minit. "Bukan hanya kerana hak Azharuddin namun lebih kepada tanggungjawab membangkitkan soalan kepada kawalan udara Ho Chi Minh kerana melanggar protokol." katanya. Katanya apabila pelancaran kecemasan yang dilancarkan bagi misi mencari selepas tempoh empat jam setelah Ho Chi Minh memaklumkan mengenai MH370 pada 1.38 pagi. "Mengapa ada tiga jam jarak masa dalam pelancaran misi mencari iaitu pada jam 5.30 pagi dan penelitian daripada radar tentera jam 8.30 pagi," katanya. |
Malaysia tersenarai dalam pemerhatian Amerika bagi kebebasan beragama Posted: 03 May 2014 05:22 AM PDT Malaysia dilaporkan berada dalam kedudukan senarai pemerhatian badan penasihat kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi kebebasan beragama terhad sebaris dengan negara seperti Afghanistan, Cuba, Indonesia, Laos, Russia dan Turki. Laporan tahunan Suruhanjaya Antarabangsa Kebebasan Agama, AS (USCIRF) 2014 menunjukkan Malaysia berada di peringkat 2, iaitu satu tahap untuk ke peringkat 1 (negara yang paling dibimbangi) dalam senarai seperti Myanmar, China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan lain-lain. "USCIRF mendapati hubung kait antara agama, etnik dan politik di Malaysia menyebabkan perlindungan bagi kebebasan agama golongan minoriti dan umat Islam selain Sunni," kata suruhanjaya tersebut melalui laporannya. USCIRF merupakan badan bebas penasihat kerajaan AS bagi memantau kebebasan agama di seluruh dunia yang akan membuat saranan kepada presiden, setiausaha, kongres negara nombor satu dunia itu. Suruhanjaya itu berkata Malaysia tidak pernah dilaporkan dalam senarai pemerhatian sejak ahun 2007. "Laporan diperbaharui berpunca daripada kebimbangan mengenai perlindungan undang-undang terhad bagi golongan minoriti, etnik Melayu yang berhasrat menukar agama, mengharamkan penerbitan dan kumpulan agama tertentu termasuk Syiah dan memperluaskan usaha menangkap ahli kumpulan tersebut dalam tempoh dua tahun" kata laporan tersebut. Dalam laporan itu juga badan berkenaan menyenaraikan beberapa situasi kebebasan beragama yang menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara sederhana dan model kepelbagaian kepercayaan termasuk larangan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dan menyokong secara terangan kebencian agama lain. Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lepas membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah katolik berbahasa Melayu Herald. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah merupakan hak eksklusif masyarakat Islam. Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dikatakan menerima laporan wujudnya khutbah sembayang Jumaat yang mengkritik Yahudi dan Kristian. "Pada Mac 2013 khutbah rasmi dengan bertajuk Islam perlu memahami musuh utama Yahudi, dan November tahun sama Jakim sekali lagi menganjurkan khutbah membincangkan sifat buruk kaum Yahudi dan menyatakan negara Israel adalah haram. "Selepas dikritik, khutbah ditarik dan kerajaan Malaysia meminta maaf. Namun pada Januari 2014 Jakim sekali lagi meluluskan khutbah bertajuk perpecahan antara Islam yang disebabkan Kristian dan Yahudi. Wakil rasmi Jakim dikatakan cuba mempengaruhi kandungan khutbah menggunakan masjid sebagai mesej politik dan menghalang sesetengah imam daripada memberi ceramah di masjid. Suruhanjaya itu berkata penangkapan disebabkan mazhab berlainan menyebabkan Malaysia tersenarai dalam laporan itu. "Selama beberapa tahun lepas, Malaysia memperluaskan usaha memantau dan menahan pengikut berlainan mazhab antaranya Syiah dan Al-Arqam. "Sejak 2010 lebih daripada pengikut Syiah ditahan termasuk di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak," katanya. Kerajaan persekutuan dan negeri dilaporkan mengekalkan senarai mazhab agama menyimpang yang boleh menganggu keselamatan negara. "Antara kumpulan tersebut termasuk Syiah, Ahmadi, Baha'i, Jehovah Witnesess, The Church of the Latter Day Saints, dan al -Arqam." "Usaha penguatkuasaan memberi tumpuan kepada penukaran dakwah di mana ahli kumpulan terdedah untuk ditahan bila-bila masa," katanya. Ini termasuk cadangan Jakim untuk mewujudkan pasukan polis agama bagi jabatan agama Islam di seluruh negara. Selain itu, laporan itu menyentuh penahanan pemilik buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz kerana megedarkan penjualan buku Irshad Manji. Juga penahanan Maznah Mohd Yusof selepas memuat naik sebuah video di laman Youtube bersama tiga anjingnya. Justeru, suruhanjaya menyarankan kerajaan AS mengakui politik berorentiasikan agama melemahkan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara plural. Suruhanjaya itu menggesa AS melakukan usaha lebih besar bagi kebebasan agama dan bertoleransi bagi dalam hubungan dua hala Malaysia-AS. Menggesa kerajaan Malaysia menghentikan penangkapan individu berkaitan kumpulan agama seperti Syiah dan Al-Arqam. Mendesak kerajaan Malaysia membawa semua undang-undang dan polisi bagi diselaraskan dengan komitmen antarabangsa termasuk kebebasan beragama Menggalakan pemimpin yang dipilih menekankan mengenai kelemahan hak asasi selari dengan Mahkamah Sivil dan Syariah memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia. |
Khalid Tidak Mahu Menang Timbalan Presiden PKR Posted: 03 May 2014 05:18 AM PDT shahbudindotcomApabila Khalid Ibrahim secara tiba-tiba mengumumkan beliau tidak mahu lagi dipilih sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ketiga dan hanya akan menghabiskan penggalnya sehingga pilihanraya umum akan datang, ramai yang memuji tindakannya itu. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang tidak tamak dengan jawatan walaupun sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor sejak 2008, pelbagai pencapaian cemerlang seperti berjimat-cermat dan meningkatkan tabungan kewangan negeri tetapi melaksanakan banyak program kebajikan untuk rakyat adalah sesuatu yang amat membanggakan dan sukar dilakukan oleh pemimpin sebelumnya. Tetapi apabila beliau membuat pengumuman tidak mahu meneruskan lagi khidmatnya sedangkan pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sedang berjalan, tentulah ia merupakan signal "mengibarkan bendera putih" yang jelas dan tidak disangsikan lagi. Berdasarkan keputusan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR sehingga 27 April lalu yang menyaksikan Azmin mendahului jauh di depan dengan Saifuddin Nasution di tempat kedua dan Khalid di tempat ketiga, pengumuman tidak mahu menyambung khidmat sebagai Menteri Besar Selangor bukanlah suatu khabar gembira bagi kem beliau sebenarnya. Dengan pengumuman itu, tentulah sukar bagi ahli yang belum mengundi untuk memberikan undi mereka kepada Khalid. Beliau akan dilihat sebagai calon yang sudah tiada masa depan lagi. Lebih-lebih lagi Khalid juga memberi bayangan agar pemimpin yang lebih muda diberi peluang sama ada dalam politik mahu pun negara. Keadaan ini juga meletakkan Azmin Ali semakin berpeluang cerah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sekarang. Berbanding Saifuddin, Azmin lebih dilihat mempunyai hubungan akrab dengan Anwar yang masih merupakan simbol dalam perjuangan PKR sejak parti itu ditubuhkan. Dalam masa yang sama, dengan pengumuman Khalid mahu mengundurkan diri itu, tidak syak juga peluang Azmin menjadi semakin cerah untuk mengambil alih tempatnya itu sekiranya Pakatan Rakyat terus menguasai Selangor nanti. Satu-satunya halangan yang mungkin merencatkan peluang Azmin menjadi Menteri Besar Selangor hanyalah sekiranya dalam pilihanraya umum ke 14 nanti jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas jauh lebih banyak daripada PKR. Namun sekiranya Pas hanya mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi saja, Azmin masih lagi berpeluang menduduki kerusi itu melalui sokongan yang diberikan oleh DAP. Kecuali Pas benar-benar mempunyai calon-calon yang benar berwibawa dan berkebolehan, barulah peluang mereka untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar itu menjadi cerah dan boleh menjelmakan sokongan daripada DAP sepertimana dalam kes di Perak dahulu. Jika tidak, DAP jauh lebih selesa memberikan sokongan kepada PKR untuk terus menduduki kerusi Menteri Besar itu. Secara umumnya pengumuman Khalid tidak mahu menyambung khidmatnya lagi dan hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat benar-benar merupakan khabar gembira bagi kem Azmin. Khalid seolah-olah sudah mengaku kalah dan tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang masih punya potensi dalam perjuangan seterusnya. Dalam hal ini Khalid mungkin ingin bersikap jujur terhadap diri, para penyokong dan pengundi yang mahu memilihnya tetapi kadang-kadang terlalu jujur juga tidak semestinya membuahkan hasil yang baik. Begitu banyak pejuang-pejuang politik yang dapat naik lebih kerana kelicikan, tipu muslihat dan tidak berlaku jujur. Dalam hal ini benarlah kata sesetengah orang yang mengenali Khalid, beliau hanyalah pentadbir yang baik tetapi bukan ahli politik yang baik. |
Apa Perasaan Ibrahim Ali Jika Ada Buat Kenduri Jika Dia Dimasukkan Ke ICU Semula? Posted: 03 May 2014 05:06 AM PDT KELAB GREENBOCIbrahim Ali buat kenduri jika Anwar masuk penjara Selepas bertalu-talu mengkritik lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia, hari ini Datuk Ibrahim Ali mengalihkan sasarannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu mendoakan agar Anwar segera ke penjara dan akan mengadakan majlis kesyukuran sekiranya hasrat itu tercapai. "Saya berdoa cepatlah dia ke penjara seperti mana yang dia sendiri diuar-uarkan. Saya orang pertama yang gembira dan bersyukur. Mungkin saya akan adakan majlis kesyukuran sebaik sahaja Anwar ke penjara. "Lagi cepat Anwar masuk penjara, lagi baik. Ia baik untuk rakyat dan negara. Baik juga untuk pihak keselamatan kerana tidak pening dengan kerenah Anwar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Semasa Himpunan Reformasi 2.0 di Kuching pada minggu lalu, Anwar yakin beliau akan dipenjarakan bahkan mungkin lebih lama daripada tempoh lima tahun sebagaimana yang diputuskan mahkamah dalam kes liwatnya kerana mendakwa proses mahkamah terlalu berat sebelah. Katanya, keengganan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memberikan waktu tambahan untuk memfailkan petisyen rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Rayuan adalah cubaan terakhir yang terpaksa beliau hadapi. "Ia sudah pasti satu gangguan dan penyalahgunaan proses (mahkamah). Saya hanya menunggu masa dan saya tidak tahu berapa lama masa saya ada. "Sebulan, dua bulan sebelum mereka menghantar saya ke penjara," katanya. Ibrahim berkata Anwar tanpa henti menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang bertanggungjawab memasukkannya ke penjara. Katanya, selaku rakan yang sama-sama ditahan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun pada 1974 bersama bekas timbalan perdana menteri itu, perawakannya tidak sukar dibaca. "Tuduhan Anwar sama. Kerja Najib dan Rosmah hantar dia ke penjara. Dia dakwa dizalimi,konspirasi kedua, hakim tidak adil dan macam-macam. "Anwar ingat Malaysia ini negara mak bapa dia yang dia boleh buat suka hati dan seolah-olah kebal daripada undang-undang. Semua orang tak betul, dia sahaja yang betul," katanya. –TMI
ULASAN GB Sungguh dasyat perangai Ibrahim Ali sampai nak buat kenduri jika Anwar dipenjarakan semula. Kita ingin bertanya kepadanya apa perasaannya jika ada orang (terutama mereka yang menentang sikap rasismanya) buat kenduri jika beliau dimasukkan ke ICU semula? Itu sebab jangan terlalu cepat untuk bergembira jika musibah menimpa orang lain kerana orang yang sedemikian mungkin bakal menerima "hukuman" lebih berat ... terus ke ICU tanpa boleh makan, minum dan bercakap. |
'Perancis lagi lambat daripada kita' Posted: 03 May 2014 05:01 AM PDT MALAYSIAKINI Panel Penyiasat Bebas Antarabangsa akan menentukan punca sebenar kelewatan selama empat jam untuk mengaktifkan sistem menyelamat Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) selepas pesawat itu hilang dari radar pada 1.21 pagi 8 March lepas. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata panel bebas itu dianggotai pakar penerbangan dari seluruh dunia yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Kok Soo Chon. "Biarlah badan bebas ini mengkaji dan meneliti dahulu kerana insiden MH370 dengan Air France 447 adalah dua perkara yang berbeza. "Seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebut, ada benda yang Malaysia lakukan dengan baik, ada benda yang boleh kita lakukan dengan lebih baik," katanya dalam sidang media berkaitan MH370 hari ini. Beliau berkata jika terdapat maklum balas daripada panel bebas berkenaan, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya. Hishammuddin juga berkata sewaktu insiden Air France 447, masa yang diambil syarikat penerbangan itu untuk mengaktifkan sistem menyelamat adalah lebih lama, iaitu enam hingga tujuh jam. Semalam, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal MH370, yang turut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo. Hishammuddin turut menegaskan Malaysia sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan dan tidak mungkin menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kehilangan MH370. Mengulas kandungan laporan awal MH370 yang hanya lima muka surat berbanding laporan kes Air France 447, beliau berkata situasi yang dihadapi adalah berbeza. "Dalam kes Air France, kedudukan pesawat itu diketahui awal dan serpihan pesawat juga ditemui di mana ada maklumat tambahan, jadi memanglah laporan yang dibekalkan lebih tebal. "Dalam kes MH370, saya dah nyatakan ia luar biasa di mana sampai hari ini kita tidak dapat kesan di mana kapal terbang atau serpihan... tetapi tidak bermakna kita tidak mengikuti semua petunjuk yang dipanjangkan kepada kita," katanya. Mengulas kunjungan beliau ke Canberra Ahad ini bagi menghadiri mesyuarat tiga hala dengan China dan Australia, Hishammuddin berkata ia akan merangkumi semua aspek termasuk fasa baharu kawasan pencarian dan kewangan. "Sebelum ini, isu kewangan dan kos tidak berbangkit namun untuk berlaku adil kepada Australia, saya rasa sudah tiba masanya bagi China dan Malaysia, sekurang-kurangnya, untuk membincangkan perjalanan seterusnya," katanya. Beliau berkata bagi fasa baharu operasi mencari MH370, Malaysia akan mencadangkan agar beberapa pesawat canggih daripada entiti komersial Malaysia digunakan. Hishammuddin juga berkata Australia sudah bersedia menerima kehadiran anggota keluarga penumpang MH370, jika mereka perlu diterbangkan ke negara itu. Berikut adalah kenyataan Hishammuddin mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang beliau baca dalam sidang akhbar di Hotel Royale Chulan hari ini. "Hari ini adalah hari ke-56 MH370 hilang. Hakikat bahawa MH370 masih belum dijumpai setelah lebih tujuh minggu usaha mencari dilakukan di darat, udara dan laut membuktikan betapa sukarnya keseluruhan misi ini. Bagaimanapun, kami tetap teguh dengan komitmen kami untuk mencari MH370 dan akan terus mempergiat usaha mencarinya. Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri minggu lepas, kami mengeluarkan Laporan Awal seperti yang dihantar kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) berserta maklumat tambahan. Ini konsisten dengan pendirian kami bahawa demi keterbukaan dan ketelusan, semua maklumat yang tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi mencari, akan didedah kepada umum. Perlu ditegaskan bahawa laporan yang disiar kepada umum semalam adalah suatu laporan awal. Namun begitu seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, kami tidak menyembunyikan apa-apa. PERJUMPAAN DENGAN ANGUS HOUSTON DAN JEAN PAUL TROADEC Awal hari ini, saya mengadakan perjumpaan dengan Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, yang mengetuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth dan menyelaras usaha mencari MH370 di selatan Lautan Hindi, serta Jean Paul Troadec iaitu Ketua Pasukan Penyiasat Perancis bagi pesawat Air France 447 merangkap bekas Ketua Biro Penyiasatan Nahas Udara. Kedatangan dua individu ini ke Kuala Lumpur adalah untuk berbincang tentang fasa baharu dalam operasi mencari. Perjumpaan ini menjadi bukti keterangkuman Malaysia dalam menyelaras fasa berikutnya bagi usaha mencari 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini' serta mengesahkan sekali lagi komitmen padu kami dan masyarakat antarabangsa untuk mencari MH370. KEMAJUAN JAWATANKUASA KECIL Tiga jawatankuasa kecil yang diketuai tiga timbalan menteri telah mengadakan mesyuarat dan usaha sedang dipergiat bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi fasa berikutnya. Izinkan saya memberi maklumat terkini berkaitan kemajuan yang mereka capai. i) Jawatankuasa Teknikal Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diketuai Dato Kok Soo Chon iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan bekas Wakil Tetap di Majlis ICAO di Montreal, telahpun memulakan siasatan berkaitan insiden itu seperti disyaratkan dalam Terma Rujukan ICAO. Pasukan ini telah bermesyuarat sebanyak lima kali dan kemajuan siasatan akan dilaporkan apabila tiba masanya. ii) Jawatankuasa Waris Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan ia akan membayar pampasan pendahuluan secepat mungkin kepada waris yang berhak. Pakej pampasan ini bertujuan memenuhi keperluan segera keluarga terbabit dari segi kewangan. Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan seperti yang diumum semalam oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Waris, bahawa kami yakin dengan komitmen Malaysia Airlines untuk membantu dan menyokong keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370. Seiring dengan itu, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas sokongan kuat mereka dalam perkara ini. Saya dengan sesungguh hati ingin menggesa Malaysia Airlines agar terus berhubung dengan keluarga penumpang terbabit apabila kami memasuki fasa baharu ini. Amat penting bagi MAS untuk memelihara dan menambah baik platform serta saluran komunikasi yang wujud antara syarikat penerbangan itu dan keluarga terbabit sejak lapan minggu lepas. Anggota keluarga penumpang terbabit, di mana sahaja mereka berada, perlu sentiasa dimaklumkan dengan segera berkaitan perkembangan penting usaha mencari pesawat berkenaan. Kami bertanggungjawab memaklumkan mereka tentang perkembangan yang berlaku dan menyiasat hingga ke akar umbi insiden ini. iii) Jawatankuasa Penggunaan Aset Mengenai penggunaan aset, kami telah berbincang secara mendalam dengan beberapa syarikat Malaysia iaitu Petronas, Deftech, Boustead dan Sapura Kencana beberapa hari lepas berkaitan penggunaan aset khusus. Sistem dalam air dan platform khusus ini termasuk Kenderaan Autonomi Tanpa Kendalian Manusia (AUV), alat dikenali sebagai 'Deep Water Towed Side Scan Sonar', Kenderaan Kendalian Jarak Jauh (ROV) dan kapal sokongan, akan digerak bagi menyertai fasa baharu misi pencarian ini. Semua entiti Malaysia yang terlibat dalam usaha ini perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang membawa panji-panji Malaysia untuk mencari MH370. PERJALANAN KE CANBERRA Minggu depan, saya akan mengetuai satu delegasi ke Canberra bagi menghadiri Mesyuarat Tiga Hala Peringkat Menteri, yang akan dihoskan rakan sejawatan kami dari Australia pada 5 Mei 2014. Mesyuarat ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Infrastruktur dan Industri Australia. Saya akan diiringi ketua tiga jawatankuasa kecil terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Luar serta Dato Azharuddin Abdul Rahman daripada DCA, Ahmad Jauhari daripada MAS dan wakil kementerian berkenaan. Delegasi China juga akan menyertai kami dalam mesyuarat itu, yang diketuai Menteri Pengangkutan Yang Chuantang diiringi Naib Menteri Pengangkutan He Jianzhong dan Naib Menteri Luar Xie Hangsheng serta pegawai kanan kerajaan. DAKWAAN BERKAITAN TELUK BENGGALA Mengenai dakwaan berkaitan Teluk Benggala, kami bersetuju dengan kenyataan Angus Houston bahawa ia adalah amat mustahil. Banyak petunjuk sebelum ini terbukti negatif dan keadaan ini adalah sama seperti apa yang kami alami sebelum ini. Walaupun tiada maklumat baharu, kami tetap meminta negara pesisir agar mengesahkan dakwaan itu. Ketika ini, tiga kapal Bangladesh termasuk sebuah kapal peninjau berada di kawasan pencarian itu. Setakat ini, tiada apa yang ditemui. PENUTUP Dalam memasuki fasa baharu pencarian, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang kami terima daripada masyarakat antarabangsa dan pihak berkepentingan di peringkat domestik. Kami juga terharu dengan sokongan yang diterima dari pelbagai negara yang tampil membantu walaupun mereka tidak menyertai fasa awal operasi SAR. Kami akan berusaha mengatasi cabaran dalam operasi mencari fasa baharu itu nanti, yang memerlukan aset dalam air yang mahal, canggih dan kompleks. Seperti biasa, ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang menaiki pesawat berkenaan serta keluarga mereka, dan usaha mencari akan diteruskan.- Bernama |
Posted: 03 May 2014 04:26 AM PDT Lim Hong SiangBuku suntingan saya, Tsunami Cina bakal dilancarkan pada jam 8.30 malam, 5 Mei 2014. Dalam buku ini telah saya selitkan sebuah kisah bagaimana bilik gerakan cikgu Normala Sudirman disiapkan dalam masa tiga jam, sehingga cikgu Mala seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku ketika kunci bilik itu diserahkan kepadanya. Ia bermula apabila cikgu Mala mengutip derma untuk kempennya di sebuah kedai kopi. Seorang peniaga Cina yang telah memasukkan wang derma, bagaimanapun merasakan cikgu Mala agak kesempitan dari segi sumber. DAP dan PKR telah memiliki bilik gerakan masing-masing di kawasan itu, tetapi PAS belum. Kebetulan beliau memiliki sebuah rumah kedai yang kosong di situ, namun disalut habuk kerana telah lama dibiarkan. Maka penduduk tempatan dikerah untuk bergotong-royong membersihkan bilik itu. Dalam tempoh tiga jam, bendera PAS dinaikkan di situ, menandakan penubuhan bilik gerakan pertama PAS di Kampung Abdullah, Segamat. Demikianlah sentimen di kalangan komuniti Cina setahun yang lalu. Mereka mual dengan rasuah dan politik perkauman UMNO-BN, sungguhpun pada masa yang sama sebahagian besar daripada mereka masih ragu-ragu dengan agenda pelaksanaan Hukum Hudud oleh PAS. Tetapi mereka sanggup menyokong PAS – kerana mereka menghargai komitmen PAS bersama Pakatan Rakyat untuk membina satu sistem baru yang adil dan bersih. Apabila cikgu Mala sebagai calon Melayu-Islam bertanding menentang calon Gerakan, Cina-bukan muslim bernama Lau Chin Hoon di N3.Pemanis, komuniti Cina mengambil keputusan untuk menyebelahi cikgu Mala. Ramai pengundi bukan Islam sedar, bahawa Malaysia berada di ambang untuk menumbangkan sebuah regim yang korup. Ketidakadilan, kezaliman dan keangkuhan kuasa UMNO-BN telah menjurus kepada jurang kaya-miskin yang melebar, pencabulan hak golongan minoriti – minoriti dalam erti kata bukan sahaja dari segi nisbah populasi, tetapi mereka yang miskin dan tidak berkuasa. Ya, sememangnya kita gagal pada saat-saat bersejarah itu, lantaran sistem pilihan raya yang dimanipulasikan untuk memenangkan 47% dan menggagalkan 51%. Maknanya, perjuangan kita untuk menentang ketidakadilan UMNO-BN belum selesai. Dengan kata lain, kebobrokan institusi pilihan raya, keselamatan, mahkamah, pencegahan rasuah, media dan sebagainya masih belum diperbaiki, malah lebih parah keadaannya selepas PRU13. Integriti, kredibiliti, kebertanggungjawaban, pentadbiran yang baik, ketelusan, keadilan sejagat, kompetensi dan sebagainya gagal disuntik ke dalam sistem negara bagi mencapai kemaslahatan umum untuk semua rakyat. Inilah hakikatnya. Syarat-syarat tersebut wajib wujud dalam sesebuah sistem untuk memastikan apapun dasar atau hukum yang dilaksanakan, berjalan dengan sebaik mungkin. Mustahil sesuatu hukum mencapai matlamatnya seandainya struktur asal sesuatu sistem itu bobrok pada tahap ketaranya. Bayangkan, kita mempunyai Hukum Hudud tetapi dengan Shafee Abdullah sebagai hakim – apakah yang akan terjadi? Sebagai bukan muslim, secara jujur saya agak terkilan apabila seringkali dituduh bahawa kami tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud kerana "tidak faham". Sememangnya pengetahuan kami cetek dalam bidang agama Islam, tetapi saya perlu mengingatkan bahawa masyarakat bukan muslim-Cina sebenarnya berusaha untuk memahami hukum Islam. Cuba buat tinjauan di pasaran, berapa buku bahasa Cina yang telah diterbitkan atas inisiatif komuniti bukan-muslim sendiri untuk memahami apa itu hukum Islam, atau agama Islam? Malah ada pengkaji akademik yang sanggup membuat tesis untuk mengkaji hukum dan sistem Islam. Tepuk dada tanya selera, berapa orang ahli akademik muslim yang membuat tesis atau kajian ke atas agama lain, dan diterbitkan hasilnya untuk memahamkan masyarakat Islam tentang masyarakat bukan Islam? Malah, daripada menuduh bukan muslim tidak memahami Islam, apakah ada usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak muslim untuk memahami kekhuatiran komuniti bukan muslim, dan kemudian meleraikannya? Jikalau jawapannya – apa perlunya muslim mengambil kira pandangan bukan muslim semata-mata melaksanakan satu hukum agamanya sendiri – maka itulah soalan dan bukan jawapan kepada isu ini. Untuk sekian lama, bukan muslim Malaysia memahami Islam melalui pemerintahan UMNO. Apabila UMNO gagal memberi keadilan kepada semua, sebaliknya mendukung falsafah ISA (Ikut Suka Saya), maka wajah Islam terjejas dari mata bukan muslim. Untuk saya, cabaran PAS pada saat-saat ini adalah untuk menghentikan segala ketidakadilan oleh UMNO, dan menampilkan keindahan wajah Islam yang sebenarnya. Indahnya Islam bukan terletak pada sejauh mana besarnya kuasa yang dipegang dalam tangan muslim, tetapi indahnya Islam terletak pada sejauh mana penguasa sanggup mendengar dan memahami luahan golongan minoriti yang tidak berkuasa. Lebih-lebih lagi, PAS kini berada di gelanggang politik dengan slogan "PAS untuk SEMUA". Mandat daripada golongan bukan muslim sebenarnya harapan dan kepercayaan yang diletakkan di atas bahu pemimpin PAS, sebagaimana kunci bilik gerakan diserahkan ke dalam tangan cikgu Mala. Pengundi menerima bahawa setiap parti mempunyai matlamat yang berbeza, tetapi berpegang kepada muafakat bersama untuk menamatkan hayat regim zalim. Kini, dengan kezaliman dan ketidakadilan UMNO yang belum lagi dapat disekat, PAS pula kelihatan ghairah mengalu-alukan sokongan UMNO untuk menjayakan agenda dirinya. Setahun tanggal 5 Mei 2013 berlalu. Saya tetap menyimpan kenangan manis bagaimana kita merempuh regim UMNO-BN dalam perhimpunan BERSIH, dari 1.0 hinggalah 3.0. Kerana penghargaan terhadap jalinan persaudaraan inilah, saya catatkan luahan yang paling ikhlas dari hati saya di sini. – Roketkini.com |
Menteri tak sokong ahli sukan luar wakili M'sia Posted: 03 May 2014 04:22 AM PDT MALAYSIAKINI Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin tidak menyokong sebarang usaha mengambil ahli sukan dari luar untuk mewakili Malaysia dengan memberi kerakyatan kepada pihak berkenaan. Beliau berkata perkara itu bukan sahaja bertentangan dengan dasar pembangunan sukan negara malah semangat kesukanan untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. "Pada dasarnya, saya tidak bersetuju, dasar (sukan) negara kita berbeza dengan negara jiran lain di rantau ini di mana mereka boleh memberi kerakyatan kepada mana-mana orang luar untuk mewakili negara mereka dalam sukan seperti bola sepak," katanya kepada pemberita ketika mengulas hasrat penyerang import Selangor, Paulo Rangel, untuk menyarung jersi skuad kebangsaan. Khairy, yang ditemui di Karnival Permotoran Terengganu 2014, berkata beliau amat tidak mengalakkan mana-mana usaha mengambil pemain atau atlet yang langsung tiada pertalian darah dengan rakyat negara ini. Dalam pada itu, menyentuh sukan permotoran, beliau berkata setakat ini, Kementerian Belia dan Sukan merancang membina dua litar Sprint Test bertaraf antarabangsa di Sepang serta Muar untuk memberi galakan kepada golongan belia menyertai sukan lumba kereta secara sihat. Khairy juga berkata rancangan itu masih di peringkat kajian bagi mengenal pasti tapak yang sesuai seperti dikehendaki dalam standard perlumbaan Sprint Test antarabangsa. Mengulas persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 di Perlis, Khairy berkata beliau mendapat jaminan bahawa pihak penganjur berusaha memastikan semua venue siap sebelum hujung bulan ini. Katanya, setakat ini ada dua venue yang belum siap sepenuhnya iaitu membabitkan sukan akuatik dan badminton. Bagaimanapun, Khairu berkata beliau difahamkan kedua-duanya akan siap dalam tempoh terdekat. "Saya diberi jaminan (oleh Menteri Besar Perlis) ia akan dapat disiapkan sebelum SUKMA bermula," katanya.- Bernama |
Najib: Dasar air percuma S'gor akibatkan catuan Posted: 03 May 2014 04:19 AM PDT MALAYSIAKINI Perdana Menteri Najib Abdul Razak hari ini mempersalahkan langkah populis kerajaan Pakatan Selangor untuk memberi air percuma dan keengganannya menaikkan tarif air, sebagai punca kekurangan air di negeri itu. Beliau berkata memberikan air percuma telah mengakibatkan negeri itu kehabisan bekalan dan berkata Pakatan tidak bersikap realistik. Katanya, walaupun menteri besar Selangor telah memberhentikan catuan air, tetapi dapatkah beliau memberi jaminan tiada lagi catuan air pada masa akan datang. Paras air di empangan Selangor merosot sejak beberapa bulan lalu kerana cuaca kering yang luar biasa, dan diburukkan lagi oleh pencemaran di beberapa sumber air yang memaksa kerajaan negeri melaksanakan catuan air pada Mac dan April. Bagaimanapun musim kemarau juga melanda negeri-negeri lain termasuk Perak, Negeri Sembilan dan Johor, yang melakukan catuan air. Kedah, Melaka dan Pulau Pinang juga sedang menimbang langkah tersebut tetapi setakat ini masih mampu membekalkan air tanpa catuan. Catuan air Selangor berakhir minggu ini selepas hujan turun semula di kebanyakan empangan dan kerajaan negeri mengambil langkah tambahan untuk meningkatkan bekalan dari sumber alternatif. |
'Hudud PAS' akan kekalkan kuasa Umno 50 tahun lagi Posted: 03 May 2014 04:18 AM PDT MALAYSIAKINI Ketegasan PAS untuk melaksanakan hudud akan membolehkan Umno berkuasa "selama 50 tahun lagi" kerana ia boleh melemahkan Pakatan Rakyat, kata Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Farouk Musa semalam. "Kita telah bekerja begitu keras untuk merubah rejim dalam negara ini. "Ia dilakukan bukanlah kerana kita menyayangi Pakatan Rakyat. "Namun kini, dengan isu ini (hudud) sahaja, Umno akan terus kekal memerintah untuk 50 tahun akan datang," Farouk mengingatkan demikian dalam satu forum semalam yang turut dihadiri MP Sepang, Mohamed Hanipa Maidin. Farouk yang juga merupakan timbalan pengerusi BERSIH, berkata PAS sepatutnya tidak termakan "umpan Umno" - merujuk kepada kenyataan Umno yang pihaknya bersedia menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan. |
PAS penentu masa depan Pakatan Rakyat? Posted: 03 May 2014 04:15 AM PDT Wan Hamidi HamidSejak penubuhannya pada 1951, PAS tidak pernah putus asa dalam perjuangan politiknya. Ramai pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman pemerintah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Namun, selepas setiap ketika kezaliman dan kekejaman dirasai, seolah-olah ada pemimpin PAS yang lupa dengan apa yang pimpinan UMNO lakukan terhadap parti mereka. Tetapi ramai lagi ahli-ahli PAS yang tidak lupa dengan kelicikan politik UMNO. 1960: Menyokong ISA, menjadi mangsa ISA Selepas Darurat anti-komunis ditamatkan pada tahun 1960, kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman merasakan masih perlu ada undang-undang untuk membasmi kegiatan komunis yang dianggap masih berserpihan. Tunku berjaya memujuk parti pembangkang yang terbesar pada masa itu, PAS, dengan menjanjikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan terhadap komunis sahaja dan tidak akan disalahgunakan terhadap pembangkang atau mana-mana suara sah yang membantah kerajaan. PAS yang memang anti-komunis dengan mudah mempercayai janji UMNO. Namun, dalam masa yang singkat sahaja, ISA digunakan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy. 1973: Menyertai BN, habis madu sepah dibuang Selepas pergaduhan kaum 13 Mei 1969, pemimpin UMNO ketika itu Tun Razak Hussein memujuk PAS menyertai gabungan pemerintah yang baru iaitu Barisan Nasional atas asalan mahu mewujudkan era baru perpaduan melalui proses pembangunan negara. Walaupun ramai ahli PAS sedar sikap dan pendirian UMNO, pimpinan PAS masih mahu duduk bersama dengan UMNO dalam saf yang baru. Maka muktamar PAS pada awal 1973 meluluskan usul menyertai BN. BN menang besar dalam PRU 1974. Pemimpin PAS, Asri Haji Muda mendapat habuan menjadi Menteri di peringkat pusat manakala pimpinan lain dilantik menjadi timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain. Sewaktu zaman kegemilangan BN itu, tiada siapa di dalam kerajaan yang mahu menubuhkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Pada masa itu juga hanya tinggal DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sebagai pembangkang yang serius. Selepas Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, masalah dalaman PAS di kubu kuatnya di Kelantan dijadikan isu untuk merampas kuasa. PAS dipecat dari BN dan ia hilang kuasa di Kelantan dalam pilihanraya negeri dan kalah teruk dalam PRU 1978. 1982: Kepimpinan ulamak, tanpa kemenangan pilihanraya Selepas kembali menjadi pembangkang, PAS hanya menang 5 kerusi Parlimen dalam PRU 1982 dan kalah teruk dengan satu kerusi sahaja pada PRU 1986. Walaupun sudah berubah menjadi parti kepimpinan ulamak, kemenangan di medan pilihanraya masih kabur untuk PAS. Sebaliknya ia berlumba dengan UMNO untuk menonjolkan siapa lebih Islam. Timbul aktiviti dan program untuk menunjuk-nunjuk amalan dan simbol Islam sehingga berlaku isu kafir-mengkafir di antara UMNO dan PAS. 1988: Pengharaman UMNO, untung PAS kerana Semangat 46 Perebutan kuasa dalaman UMNO di antara Dr Mahtahir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 antara lain telah menyebabkan UMNO diharamkan oleh mahkamah. Ia kemudian dihidupkan semula oleh puak Mahathir sebagai UMNO Baru manakala Ku Li terpaksa menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 selepas usahanya mendaftarkan semula UMNO ditolak oleh kerajaan. Semangat 46 mewujudkan dua gabungan, iaitu bersama parti-parti Melayu Islam seperti PAS dan Berjasa (Angkatan Perpaduan Ummah – APU) dan bersama parti-parti pelbagai kaum seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia serta Parti Bersatu Sabah (Gagasan Rakyat). Melalui kerjasama ini, Semangat 46 bertanding di kebanyakan kerusi Parlimen manakala PAS di peringkat negeri, khususnya di Kelantan. PAS bernasib baik apabila berjaya menawan semula Kelantan dalam PRU 1990 walaupun kedua-dua gabungan pembangkang itu gagal menegejutkan arena politik Malaysia. Setelah menang kembali di Kelantan, PAS mahu melaksanakan hukum hudud walaupun tidak ada dinyatakan dalam sebarang pendirian bersama sebelum PRU 1990. Oleh kerana perbalahan itu berpanjangan, DAP pada 1995 menarik diri dari Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan kembar dengan APU. 1995: Kembalinya kuasa BN, pembangkang berpecah-belah Mahathir mengukuhkan kedudukan UMNO-BN dengan kuasa yang ada serta undang-undang yang lebih zalim. Keadaan itu yang turut diberatkan dengan masalah dalaman pembangkang memudahkan BN menang besar dalam PRU 1995. Kekuatan Mahathir termasuk menonjolkan keadaan ekonomi yang lebih baik (walaupun kemudiannya didedahkan sebagai ekonomi buih). Kebanyakan rakyat Malaysia juga membuat pilihan atas keputusan ekonomi, dan bukannya emosi atau sentimen kaum dan agama. 1998: Pemecatan Anwar, untung PAS kerana Reformasi Selepas Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim daripada UMNO, BN dan kerajaan, dan kemudiannya memenjarakan pula, ia membangkitkan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu dan golongan muda. Kemarahan rakyat diterjemahkan pula dalam satu kerjasama baru pembangkang atas nama Barisan Alternatif. Dengan menumpang semangat Reformasi dan imej Anwar, PAS dalam PRU 1999 menang besar apabila mendapat 27 kerusi Parlimen dan merampas Terengganu serta mengekalkan Kelantan. 2001: Pengisytiharan Negara Islam, perpecahan pembangkang (sekali lagi) Dalam pada pemimpin PAS akhir alaf ke-20, Fadzil Noor mahu merapatkan hubungan natara parti dalam dasar yang mejurus kepada semangat moderat, media milik UMNO seperti biasa mencari jalan untuk memecahbelahkan perpaduan parti itu. Selepas Fadzil meninggal dunia, usaha Allahyarham hanya tinggal kenangan. Kumpulan yang menguasai PAS selepas itu membawa cita-cita Negara Islam yang "keras" berbanding semangat kerjasama dan hak saksama yang dibawakan oleh Fadzil. DAP sekali lagi keluar daripada gabungan pembangkang. Dalam PRU 2004, PAS hilang 20 kerusi Parlimen yang dimenanginya dahulu, hanya tinggal 7 sahaja. Terengganu pula kembali ke pangkuan UMNO selepas PAS kalah teruk di negeri itu. 2008: Kemarahan rakyat, era baru pembangkang Selepas PRU 2004, pergolakan politik lebih berkisar kepada UMNO. Mahathir bersara pada 2003 dan rakyat memberi mandat besar kepada Abdullah Ahmad Badawi kerana janji-janji reformasi. Tetapi apabila semua janji itu dimungkiri dan Abdullah pula dilihat sebagai takut kepada desakan kumpulan pelampau kaum (dan serangan Mahathir), maka rakyat menunjukkan kemarahan mereka terhadap UMNO-BN. Dalam PRU 2008, BN kalah di DUN Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta mengekalkan Kelantan. Kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan oleh pembangkang yang kemudiannya bersetuju membentuk Pakatan Rakyat selepas keputusan PRU ke-12 itu diumumkan. PAS bagaimanapun duduk di tangga ketiga pembangkang Parlimen selepas PKR yang mendapat 31 kerusi Parlimen dan DAP 28 kerusi Parlimen. PAS tetap bernasib baik mendapat kerusi Menteri Besar Perak walaupun ia sebagai parti minoriti kerana perlembagaan negeri hanya membenarkan orang Melayu memegang jawatan itu. DAP mendapat 18 daripada 59 kerusi manakala PKR 7 dan PAS 6. PKR pula tidak mempunyai calon MB yang "layak". Namun, difahamkan ada kalangan pemimpin PAS tidak puas hati kerana tidak mendapat banyak jawatan. Tambahan pula media milik UMNO mula meniupkan api perkauman, selain pemimpin UMNO menawarkan kerjasama "kerajaan perpaduan" UMNO-PAS di pelbagai peringkat sejak selesai PRU12. 2013: Kecemerlangan Pakatan Rakyat, tsunami politik baru Walaupun media kawalan UMNO memainkan isu perkauman dan sering mencabar PAS agar melawan Pakatan, ia tidak dipedulikan oleh ahli dan penyokong parti. Usaha perkauman UMNO ternyata gagal. Malah, semangat mahukan perubahan semakin ketara, khususnya di kalangan kaum-kaum bukan Melayu. Hasilnya dalam PRU13 pada 2013, Pakatan mencatatkan kemenangan besar dari segi peratus pengundian di mana ia mendapat 51 peratus undi! Oleh kerana sistem persempadanan semula adalah tidak adil, maka BN terus menguasai kerusi Parlimen dan DUN. Bagi PAS pula, ia adalah prestasi yang tidak memuaskan. PAS gagal mengekalkan kuasa di Kedah kerana kelemahan pentadbiran dan hilang kerusi Parlimen dengan mengekalkan 21 sahaja. 2014: Hasutan UMNO, mencabar PAS melaksanakan hudud walau UMNO sendiri tak berminat Selepas itu semakin kuat hasutan UMNO melalui pelbagai cara. Sehinggakan UMNO berani mencabar PAS agar melaksanakan hudud sedangkan UMNO sendiri tidak berminat untuk melaksanakannya. Buat masa ini, itulah yang sedang berlaku. UMNO melalui pelbagai media yang dikuasainya terus mengejek, menguji, mengusik, menyindir dan mencabar PAS. Sejak 1960, UMNO mempermainkan PAS, dan agak berjaya juga permainan politik UMNO kerana UMNO yang sering "menang" dengan taktik kotornya itu. Seperti yang pernah dijelaskan oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, isu hudud – dilihat dalam konteks isu politik dan bukannya hukum agama – tidak akan memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu menjadikan Malaysia bersih dari rasuah, bebas dari kezaliman dan tidak lagi mengamalkan diskriminasi. Sebaliknya, isu hudud bakal memberi kemenangan kepada UMNO kerana isu tersebut sudah pun membawa perbalahan sesama Pakatan dan mungkin membawa kepada perpecahan gabungan itu. Di kalangan rakyat pula, sudah timbul perbalahan atas garisan Islam-bukan Islam dan Melayu-bukan Melayu sedangkan matlamat asal Pakatan ialah menggantikan BN untuk menjadi kerajaan yang lebih adil, saksama dan telus di mana rakyat menjadi tonggak, dan bukannya pemimpin dan kroni. Malah, jika diteliti, apabila isu-isu agama dibangkitkan dalam pilihanraya, ia memberi kesan buruk kepada parti-parti pembangkang. Hanya apabila isu-isu bersama dibangkitkan – ekonomi, reformasi pentadbiran, hak rakyat di peringkat tempatan serta pendedahan kelamahan dan kezaliman UMNO-BN – ia menjamin kemenangan pembangkang. Ini terbukti dalam PRU 1990, 1999, 2008 dan 2013. Malah keputusan 1990, 1999 dan 2008 banyak menguntungkan PAS secara relatif. Terpulang kepada PAS untuk menilai sendiri apa yang UMNO telah lakukan kepadanya sejak lebih 50 tahun lalu yang kesemuanya memberi untung kepada UMNO semata-mata, walaupun ada sedikit cebis habuan kepada segelintir pemimpin PAS. Jika Pakatan hancur, maka UMNO yang semakin angkuh sekarang akan kembali berkuasa sepenuhnya. Segala harapan untuk perubahan yang diharapkan sejak alaf baru akan lenyap sama sekali. Dan pada masa yang sama, hudud tetap tidak akan dilaksanakan oleh UMNO. – Roketkini.com |
GERAMM kutuk tindakan ganas terhadap wartawan Posted: 03 May 2014 04:10 AM PDT MALAYSIAKINI Gerakan Media Marah (GERAMM) menuntut penjelasan dari kumpulan peserta himpunan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bertindak ganas terhadap petugas media kelmarin. Dalam kenyataan hari ini, GERAMM turut menuntut penganjur himpunan tersebut menyiasat kejadian itu. "Kami mahu penganjur menyiasat perkara ini dan kumpulan tersebut tampil memberi penjelasan sebab hal ini boleh berlaku. "GERAMM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap wartawan ini," kenyataannya dipetik. Dalam kejadian semalam, jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portal theantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk peserta himpunan. Sementara ,juruamera agensi Negara China Xinhua News, Mohd Zul Iskandar Hanafiah turut disepak beberapa kali oleh sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan bertopeng. Manakala, jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu dalam kejadian tersebut. Dalam reaksinya, Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) berkata wartawan yang dikasari akan mengambil tindakan undang-undang. Mengulas hal ini, GERAMM menyokong tindakan MPPA. "GERAMM turut menyokong tindakan undang-undang yang mahu dibuat wartawan yang menjadi mangsa termasuk laporan polis yang mahu dilakukan oleh Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) dan individu terlibat. "Bukti video dan gambar yang didapati turut dengan jelas menunjukkan provokasi dan keganasan yang dihadapi para wartawan yang berada di tempat kejadian," kata Geramm. Menurutnya lagi, fungsi sesetengah media sebagai alat propaganda tidak mewajarkan sikap ganas ke atas mereka. "GERAMM berpendapat walaupun sebilangan media dianggap sebagai alat propaganda pihak tertentu, tindakan keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima sama sekali," kata kenyataan itu. |
PERKASA akan sokong perhimpunan pro-GST Posted: 03 May 2014 04:07 AM PDT MALAYSIAKINI NGO pendesak Melayu, PERKASA mencadangkan supaya Cuepacs dan dewan perniagaan mengetuai perhimpunan besar-besaran rakyat menyokong pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia sebagai tindak balas kepada perhimpunan anti-GST 1 Mei anjuran NGO pembangkang yang didakwanya telah mengelirukan rakyat. PERKASA, katanya, akan memberi sokongan demi kebaikan rakyat dan negara. "Perhimpunan yang menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat mengenai GST di mana pembangkang mengambil kesempatan isu GST sebagai modal politik memburukan kerajaan dan mereka mendapat untung politik," kata Ibrahim dalam satu kenyataan. Menurutnya, di kalangan pembangkang, pemimpin PAS dan DAP menyerang GST secara "kromo dan tidak ilmiah". "Sekadar emosi politik. Manakala PKR mengambil kesempatan untuk membela (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)," tambahnya. Ibrahim mendakwa 95 peratus orang Melayu dan ahli PAS yang menghadiri perhimpunan anti-GST itu "tidak tahu apa-apa". "Pasti ada yang percaya menentang GST adalah satu jihad," katanya sambil mendakwa mereka dilatih untuk menentang apa saja isu. "Baik buruk tidak kisah. Yang penting lawan. DAP dapat peluang bercakap depan ribuan Melayu PAS dan Melayu pun bertepuk, menang sorak kampung tergadai," katanya. Ibrahim mendakwa ahli DAP (orang Cina) tidak sampai 5 peratus yang hadir. "Malunya. PKR pula sibuk dengan kes Anwar. Kalau Anwar masih dalam Umno dan (menjadi) menteri kewangan, pasti berapi-api sokong GST dan bedal habis orang yang tak sokong," katanya. "Macam ISA lah. Masa operasi Lalang 1987, sepatah haram tak bercakap. (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) adalah wira Islam Dunia, kata Anwar masa berkempen Tengku Razaleigh (Hamzah) lawan Tun Dr Mahathir pada 1987. "Bila dipecat atas kelemahan diri sendiri, Dr Mahathir orang yang paling jahat. Aduh duh duh...," tambahnya. Oleh itu, tegas Ibrahim, maka wajarlah CUEPAC dan dewan perniagaan tampil menerajui perhimpunan memperjelaskan GST dan diadakan di tempat yang sama,depan Dataran Merdeka. "PERKASA akan memberi sokongan apa yg termampu demi kebaikan rakyat dan ngara. "Masa dah tiba,rakyat yang sedar, senyap selama ini, bangkit mpertahankan apa yg baik untuk rakyat dan negara. Jika PERKASA buat, akan dituduh macam-macam," tambahnya. Khamis lalu, Presiden Cuepacs Azih Muda pada 1 Mei yang berkata penjawat awam yang merancang mengambil bahagian dalam protes anti-GST itu adalah "pengkhianat". Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata penjawat awam yang didapati menghadiri perhimpunan tersebut - yang dihadiri kira-kira 50,000 orang di depan Dataran Merdeka untuk membantah GST - akan menghadapi tindakan tegas, termasuk dibuang kerja. |
PM akan putuskan bila MCA sertai semula kabinet Posted: 03 May 2014 04:05 AM PDT MALAYSIAKINI Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau akan menentukan masa yang sesuai untuk MCA menyertai semula kabinet, kerana sebagai sebahagian daripada BN, ia tidak boleh terus beroperasi di luar kerajaan. Beliau juga berjanji kepada masyarakat Cina bahawa jika adil, kerajaan akan memberi pertimbangan serius kepada permintaan mereka mengenai perubahan dasar yang dibuat melalui MCA. "Saya mengalu-alukan MCA menyertai kerajaan dan kabinet," katanya sambil menambah bahawa beliau akan memutuskan tentang butiran dan masanya. Beliau menegaskan demikian ketika berucap kepada 3,000 hadirin yang terdiri daripada ahli MCA dan pemimpin NGO dan persatuan Cina di majlis pelancaran kempen transformasi MCA bertemakan 'Teguh Bersama' di perhimpunan perpaduan parti itu di ibunegara. Perdana menteri berkata, jika MCA bercakap untuk menjadi lebih kuat, maka ia mesti berada di dalam kerajaan. "Bersama-sama kita melakar masa depan Malaysia dan merangka dasar-dasar yang adil kepada semua masyarakat," tambahnya. Menurutnya, jika masyarakat Cina memerlukan kerajaan melihat semula beberapa dasarnya dan membuat penyesuaian dan jika permintaan itu adil, maka "sudah tentu kita akan memberi pertimbangan serius kepada MCA". Bagaimanapun, kata Najib, sebagai "bapa kepada 13 anak" - merujuk kepada parti komponen BN - beliau mesti mendengar suara dan pandangan mereka semua. MCA memutuskan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas kehilangan sokongan besar masyarakat Cina dalam pilihan raya umum lepas. Bagaimanapun, keputusan itu ditarik balik semasa mesyuarat agung luar biasa parti itu Februari lalu. Perdana menteri berkata, cabaran kepimpinan selama ini menyumbang kepada kelemahan MCA dan bagi memulihkan kekuatannya, parti itu mesti bermula dengan membina semula perpaduan dalam parti. |
Pendidikan Malaysia makin teruk akibat campur tangan politik Posted: 03 May 2014 03:52 AM PDT Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, di saat senarai lima teratas THE diungguli negara Asia, Malaysia sekali lagi gagal menempatkan diri dalam arena global. Menurutnya, halangan terhadap golongan profesional daripada bercakap di universiti-universiti kecuali jika individu itu dari kalangan pemerintah turut menjadi punca utama merosotnya standard pembelajaran negara. "Jika golongan profesional dihalang daripada bercakap, bagaimana kita mengharapkan pelajar universiti dapat mengembangkan pemikiran kritikal. "Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Universiti Malaya minggu lalu, beliau bukan saja dibenarkan bercakap tetapi disambut umpama wira. Jelas sekali, terdapat campur tangan politik, ini tentunya tidak baik bagi sebuah institusi yang bertujuan untuk memupuk pemimpin masa depan. Zairil merujuk kejadian terbaru di universiti tersebut apabila peguam Datuk S. Ambiga dihalang daripada berucap dalam suatu acara yang dianjurkan persatuan pelajar undang-undang institusi terbabit. Ambiga dihalang daripada hadir dan berucap mengenai litigasi kepentingan awam, tajuk yang amat relevan dengan penuntut undang-undang masa kini. "Universiti awam kita juga kekurangan autonomi dalam urustadbir. Ini terbukti apabila pelantikan kakitangan utama seperti Naib Canselor diputuskan di peringkat politik dan bukannya oleh lembaga univerisiti itu sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini. Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menyatakan, satu lagi masalah besar yang membelenggu para pelajar adalah wujudnya undang-undang yang terus menghadkan kebebasan mahasiswa seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tambah beliau, universiti tempatan kini bukan saja kehilangan faktor penarik, akibat kualiti yang merosot malah dikuatkan dengan faktor penolak hingga mengakibatkan ramai pakar akademik memilih untuk meninggalkan negara dan berkhidmat di luar. "Nama-nama seperti KS Jomo, Syed Farid Alatas, Wang Gung Wu, Johan Saravamuttu dan Azly Rahman semuanya telah meninggalkan Malaysia untuk berkhidmat di institusi luar negara. "Kita bukan saja kehilangan faktor penarik tapi terbelenggu dengan faktor penolak yang kuat sehingga mengakitbatkan pengaliran keluar pakar akademik yang sangat teruk. "Jika isu-isu asas ini tidak diselesaikan, universiti Malaysia akan berterusan merosot dan menjunam," ujarnya. -Roketkini.com |
JAIS diarah lengkapkan laporan kes kematian pelajar Posted: 02 May 2014 11:56 PM PDT SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Rawang, 30 April lalu. Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi (gambar) berkata sekolah milik kerajaan negeri itu diurus dan ditadbir Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). "Kita mahu laporan lengkap dan terperinci berhubung insiden ini serta cadangan berhubung langkah-langkah bagi membendung gejala gaduh ini daripada berulang. "Kerajaan Negeri juga mengucapkan takziah pada keluarga mangsa," katanya dalam satu sidang media. Pelajar berkenaan dikatakan bergaduh bersama seorang rakan kira-kira jam 11.30 malam dan dikatakan berpunca daripada kehilangan kiub puzzle. Ketika disedari warden asrama, pelajar itu bagaimanapun didakwa sudah tidak disedarkan diri dan terus dikejarkan ke Hospital Selayang. Beliau bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 1.24 pagi dan keluarganya sudah dimaklumkan. Pihak polis masih menyiasat punca kematian selain menyiasat sama ada terdapat sebarang unsur jenayah. |
Kebebasan akhbar: Ranking Malaysia jatuh merudum Posted: 02 May 2014 11:51 PM PDT Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja oleh tindakan rejim autoritarian menutup syarikat akhbar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab. Kebebasan akhbar adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, "Setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan menzahirkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan." Banyak negara dengan kebebasan akhbar tidak hanya menikmati hak asasi manusia, tetapi juga demokrasi yang berfungsi dan kemakmuran ekonomi. Bukan suatu kebetulan apabila negara yang paling menghormati kebebasan akhbar adalah antara negara yang terkaya dan rakyatnya hidup dengan maruah. Malaysia meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dengan suram berdasarkan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2014 yang diterbitkan oleh Reporters Without Border (RSF), di mana kedudukan Malaysia berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 147 daripada 180 buah negara. Kedudukan Malaysia adalah dua anak tangga lebih rendah daripada junta tentera Myanmar. Pada tahun 2014, kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Brunei (117), Thailand (130), Indonesia (130), Kemboja (132) dan Myanmar (145). Laporan Kebebasan Media oleh The Freedom House bagi tahun 2013 juga mengkategorikan Malaysia sebagai "tidak bebas." Dalam laporan itu, Malaysia juga menerima "downward trend arrow" akibat "penipuan pilihan raya berleluasa dan halangan struktural untuk menghalang pembangkang daripada berkuasa secara sah." Jelas sekali ini adalah masalah institusi di mana kerajaan sengaja menjerut kebebasan akhbar untuk mengelakkan sebarang pendedahan berkenaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi. Walau bagaimanapun, muslihat lain adalah untuk menghancurkan pembangkang dengan menyiarkan pembohongan tanpa rasa takut akan hukuman ataupun hanya semata-mata enggan memberikan mereka hak untuk menjawab. Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja dengan tindakan rejim autoritarian yang menutup surat khabar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab. Tidak mudah untuk berjuang memansuhkan undang-undang zalim sebagaimana sukarnya untuk membetulkan pembohongan dan menegakkan hak untuk menjawab. Sementara tindakan saman fitnah diperlukan untuk membezakan pembohongan dari fakta, prasyarat kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman yang bebas adalah perlu bagi menghukum mereka yang memperdagangkan kepalsuan dan fitnah. |
PRK Bukit Gelugor: MCA kenal pasti tiga calon Posted: 02 May 2014 11:43 PM PDT GEORGETOWN - MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei depan. Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga perdana menteri untuk dipertimbangkan. Beliau berkata kesemua calon adalah orang tempatan. "Kita tidak akan bincangkan calon-calon kita di media massa kerana saya perlu menghormati perdana menteri yang juga pengerusi BN. Kita akan bincangkannya di peringkat dalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama barisan pimpinan MCA negeri di sini hari ini. Ditanya sama ada dengan penyenaraian nama calon itu membayangkan BN akan bertanding pada PRK itu, beliau berkata: "Ini kita juga akan bincangkan dalam Barisan Nasional. Saya tidak akan berkata lebih dari itu. Ini kerusi MCA dan kita daripada hari pertama telah membuat persiapan sepanjang masa, sebelum dan selepas pilihan raya. "Kita juga tidak melepaskan tanggungjawab untuk menjaga kawasan kita walaupun kalah di Bukit Gelugor pada pilihan raya lepas, kita masih terus berkhidmat." Kekosongan kerusi Bukit Gelugor berlaku selepas kematian penyandangnya Karpal Singh dalam nahas berhampiran Gua Tempurung, Kampar, Perak pada 17 April lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei. Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. Dalam perkembangan lain, Liow menafikan dakwaan bahawa MCA mahu menukar kerusi kawasan tersebut dengan Gerakan bagi membolehkan ia bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser semalam. Liow sebaliknya berkata MCA akan menyokong Gerakan jika mereka mahu meletakkan calon pada PRK Teluk Intan nanti. "Itu tidak benar, kerusi Bukit Gelugor adalah kerusi MCA dan kerusi Teluk Intan adalah kerusi Gerakan. Kita akan teruskan dari segi kedudukan kerusi ini dan kita akan membuat persiapan. "Apa-apa cadangan (untuk pertukaran kerusi) memerlukan persetujuan daripada semua pihak dalam BN," katanya. - Bernama |
Takut Pas, Umno bersatu punca tolak hudud Posted: 02 May 2014 11:40 PM PDT SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat penolakan DAP dan MCA terhadap hudud di Kelantan berkemungkinan kerana bimbang Pas dan Umno bergabung seterusnya menyebabkan kedudukan Islam dan Melayu lebih kukuh di negara ini. Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, bagi orang bukan Islam, jika dua parti itu bersatu, pastinya kuasa pemerintahan akan dikuasai Melayu. "Sudah tentu Pas dan Umno akan jadikan Melayu sebagai majoriti yang kuat kerana kedua-dua parti itu mempunyai sokongan kuat daripada orang Melayu Islam. "Sebab itu DAP dan MCA tidak mahu perkara sebegitu berlaku justeru tetap berkeras untuk menolak pelaksanaan hudud sama ada di Kelantan ataupun di negara ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, telah ada kecaman dilakukan MCA dan Gerakan kepada Umno sekiranya mereka menyokong pelaksanaan hudud. "Jika Umno sokong, MCA akan keluar BN. Begitulah yang berlaku dalam PR sekarang di mana DAP tidak mahu sokongan Umno kepada Pas mengenai hudud kerana bimbang isu itu akan menyatukan mereka. "Tambahan jika Melayu bergabung menjadi satu parti, pastinya orang lain tidak ada kuasa. Selain itu, mimpi pihak-pihak tertentu yang mahu merampas tampuk pemerintahan negara akan terkubur," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas punca DAP, MCA dan PKR terus menolak cadangan Pas untuk melaksanakan hudud. Pendapat yang sama turut disokong penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Fuad Mad Jali yang menjelaskan satu hari nanti berkemungkinan Pas dan Umno akan bersatu. "Bukan bersatu dalam satu parti politik, tetapi bergabung dari segi ideologi agama dan isu Melayu seperti penggunaan Bahasa Melayu, agama Islam termasuk hudud dan kepentingan Raja-Raja Melayu. "Oleh itu, jika Pas terus mendapat tentangan daripada parti komponen lain, keluar PR adalah cara terbaik. Ataupun DAP yang keluar daripada PR," katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan DAP dan MCA masih tidak faham tentang hudud justeru Pas dan Umno perlu perjelaskan kepada mereka melalui agamawan yang ada dalam kedua-dua parti. |
Demo Bantah GST: Peserta engkar, luar kawalan Posted: 02 May 2014 11:37 PM PDT SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengakui terdapat sesetengah peserta Himpunan Bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam telah melanggar syarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. Timbalan Presidennya, Abdullah Sani berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu namun tegasnya ia harus dikuatkuasakan secara seragam termasuk perhimpunan anjuran kerajaan. "Perhimpunan anjuran kerajaan, apabila mereka membawa anak-anak kecil, tiada isu langsung dalam soal ini, walaupun ia bercanggah dengan APA 2012. "Jadi kalau hendak kuatkuasakan (APA 2012) perlu secara seragam. Persamaan itu perlu, ia kena datang daripada kerajaan dulu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas lanjut pelanggaran syarat APA 2012 oleh beberapa peserta himpunan tersebut termasuk membawa kanak-kanak, suar, pembesar suara dan menggunakan kata kesat. Mengulas lanjut, Abdullah menambah, peserta yang membawa anak masing-masing termasuk bayi mungkin terpaksa berbuat demikian kerana kesukaran mencari penjaga ketika cuti umum Hari Pekerja semalam. Bagaimanapun tegasnya, larangan itu sewajarnya dipatuhi peserta namun kedegilan mereka tidak dapat dikawal penganjur semalam. Namun katanya larangan itu sepatutnya terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian termasuk himpunan anjuran kerajaan. "Isu itu (larangan bawa kanak-kanak) kawalan saja, untuk menjaga keselamatan mereka daripada insiden yang tidak diingini. "Orang kerajaan juga wajib mengikuti undang-undang," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan