DIALOG RAKYAT |
- Disebabkan Yammy Dan Dyana, UMNO Pinda Perlembagaannya?
- Mohamed Nabi Bux terkilan Pas tak sokong
- Dyana dihalau ketika berkempen
- PRK Teluk Intan: BN boleh menang jika 9,120 ahli mengundi
- Kerajaan negeri kemuka pelan tindakan kepada Pusat
- Mahkamah Rayuan kekalkan award RM150,000 kepada Mahfuz
- UMNO dimaki setiap hari, kenapa hairan?
- Tindakan calon bebas cetus kekecohan di DUN tidak langgar peraturan, kata SPR
- Fenomena Teluk Intan: Peluang pengundi buat pilihan segar
- PRK Teluk Intan: Pujian Marina, bukti Dyana calon yang tepat
- DAP Perak lancar kempen ‘Seorang Seringgit’ untuk PRK Teluk Intan
- Tiong ancam 'perang' jika BN terima TERAS
- Bkt Gelugor: 83.1% keluar mengundi awal
- Tarif elektrik diramal naik 39% lagi 18 bulan
- Mah: Biarlah Dyana jadi tumpuan
- Pendemo masuk DUN, cuba panjat meja speaker
- Dyana dapat sokongan penuh DAP Perak, kata penasihat negeri
- Dyana Sofya bimbang dengan kadar jenayah, seru Putrajaya tubuh IPCMC
- Kita perlu lebih ramai Dyana Sofya dalam politik, kata Marina Mahathir
- Dyana Sofya pemenang perang poster di Teluk Intan
- DAP: Kami sanggup bayar RM1,000 untuk kempen di sekolah seperti BN
- Di Teluk Intan, pilihan raya belum berakhir, Umno sudah dimalukan
- Siapa mengkhianati siapa?
- Henti jadikan UiTM bahan kempen politik
- Tak selamat kalau mimpikan Dyana
Disebabkan Yammy Dan Dyana, UMNO Pinda Perlembagaannya? Posted: 21 May 2014 08:24 AM PDT Pilihanraya kecil Teluk Intan yang menyaksikan DAP mencalonkan Dyana Sofya, anak seorang bekas pemimpin serta masih ahli UMNO membuatkan parti itu bagaikan terkena renjatan letrik. Ramai pemimpinnya terkejut, melatah, cuba menunjuk pandai dan tidak kurang ada yang cuba berlagak "macho" seperti seorang lelaki budiman yang dahagakan perhatian. Ada pemimpin muda yang pantas cuba menyelar calon DAP itu sebagai tidak mengenang budi UMNO dan ada pula yang memintanya mendesak MCA yang memiliki Universiti Tunku Abdul Rahman agar turut mengamalkan dasar terbuka. Hanya setelah diselar oleh orangramai bahawa UiTM adalah milik kerajaan dan bukannya milik UMNO dan dasar kerajaan pula mahu rakyat berilmu dan berpendidikan tanpa mengira parti mana yang mahu dipilih sebagai landasan perjuangan apabila tamat pengajian, pemimpin UMNO terbabit sekarang ini sudah hilang tanpa berani bersuara lagi. Seorang timbalan menteri yang mengaitkan MCA pula, apabila diselar kembali oleh Presiden MCA sambil diberiksn fakta bahawa UTAR adalah universiti yang terbuka kepada semua kaum tetapi mengambil kira soal merit dan kecemerlangan akademik, turut terdiam entah ke mana sekarang ini. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga menyentuh pencalonan Dyana yang mendapat liputan meluas media dengan meminta pengundi menilai bahawa pilihanraya kecil ini bukanlah pertandingan ratu cantik dan pengalaman sepatutnya lebih diambil kira. Bagaimanapun apabila beliau juga dilibas balik bahawa beliau juga dulunya tiada pengalaman dan markahnya lebih dinilai berdasarkan kedudukannya sebagai menantu Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu serta pemilihan Dyana sebagai calon adalah proses memberinya pengalaman, KJ juga nampaknya tidak berani berhujah lagi. Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil juga memberi reaksi yang mengaitkan pemilihan Dyana hanya sebagai boneka DAP dan untuk menarik sokongan pengundi Melayu semata-mata, malangnya apabila isu lembu NFC dan kegagalan Wanita UMNO sendiri menonjolkan ramai wanita muda sebagai calonnya dijadikan peluru menembak balas, beliau nyata semakin menyerlahkan kegagalannya. Lebih dari itu, ramai yang meminta Ketua Wanita UMNO itu agar kurang bercakap dah lebih baik berehat saja di Kuala Lumpur bagi mengelakkan keceluparannya membuatkan calon BN lebih ditimpa malang. Abdul Rahman Dahlan, menteri dari Sabah pula cuba bersikap "macho" dengan menulis di twtternya yang menggambarkan pemilihan Dyana sebagai calon DAP yang mewakili golongan muda haruslah diraikan. Selain ramai pemimpin UMNO lain yang turut mengulas pemilihan Dyana sebagai calon dan kedudukannya sebagai anak orang UMNO, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mahu memberi respon sama. Sambil menyatakan pemilihannya sebagai hiasan luaran, Mahathir juga menyalahkan kecondongan Dyana memilih DAP sebagai wadah perjuangan kerana kegagalan ibu bapa memberitahu tentang sejarah, perjuangan dan jasa-jasa UMNO kepada anak-anak mereka. Namun demikian, ibu Dyana iaitu Yammy Samat segera menyindir Mahathir dengan mengatakan beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi seperti Mukhriz tetapi apakan daya kerana akhirnya memilih untuk menjadi seperti Marina Mahathir. Dalam masa yang sama, hari ini Marina yang sering kelihatan berbeza pendirian dengan bapanya, turut memuji Dyana sebagai calon yang sangat bijak, boleh berfikir, petah berkata-kata serta boleh menulis dan kelebihannya ini menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik yang lain. Hanya Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang belum mengulas mengenai Dyana ini. Mungkin selepas kembali daripada luar negara dan tidak lagi dibelenggu kesibukan nanti, Najib juga turut terghairah mahu bercakap mengenai Dyana dan Teluk Intan. Kesimpulan daripada semua reaksi pemimpin UMNO itu ialah mereka semua terkejut dan akhirnya melatah dengan kehadiran Dyana sebagai calon DAP. Bukan saja kedudukannya sebagai wanita muda dan cantik menjadi perhatian, malah latar belakang ibunya sebagai bekas pemimpin dan masih ahli UMNO turut menjadi perdebatan. Ketika penamaan calon dan berkempen di mana kehadiran Yammy yang sentiasa menemani anaknya menjadi persoalan sehingga timbul desakan agar beliau dipecat daripada UMNO, suasana kempen juga sehingga hari ini masih lagi berkisar mengenai peribadi Dyana dan ibunya. Serangan berbentuk peribadi jelas lebih kerap kedengaran sehingga jentera BN terlihat seolah-olah lupa untuk menyerang dasar dan ideologi DAP dan menonjolkan calon mereka sendiri, Mah Siew Keong. Walaupun ada desakan daripada Veteran UMNO dan juga Mubarak agar ibu Dyana dipecat daripada UMNO tetapi TPM, Muhyiddin Yassin nampaknya masih lagi rasional dengan mengatakan perkara itu tidak menjadi pertimbangan kerana sebagai ibu adalah menjadi hak Yammy untuk menemami anaknya yang masih bujang itu. KJ pula cuba bersikap budiman dengan menyokong pendirian Muhyiddin itu dan mengatakan isu memecat ibu Dyana bukan menjadi keutamaan kepada UMNO ketika ini. Soalnya benarkah Yammy tidak akan dipecat? Bagaimana selepas pilihanraya Teluk Intan berakhir nanti, lebih-lebih lagi jika calon BN tewas? Jika mengikut perlembagaan UMNO, memang tiada peruntukan khusus untuk mengambil tindakan kepada seorang ibu yang menemani anaknya yang menjadi calon parti lawan. Yang ada berkaitan tanggungjawab dan hak ahli hanyalah fasal 6.1.4 iaitu "menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tata etika, perintah-perintah dan disiplin parti" serta fasal 6.1.5 yang berbunyi "menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihanraya". Jelas bahawa peruntukan dalam perlembagaan ini agak longgar dan boleh dipertikaikan. Walaupun veteran UMNO bertegas bahawa Yammy melanggar perlembagaan parti manakala Mubarak pula mengatakan Yammy hanya boleh berdoa untuk anaknya tetapi tidak boleh menonjolkan dirinya secara terbuka tetapi memandangkan Dyana masih muda dan bujang lagi, keperluan ibunya disisi tidak boleh diremehkan dari segi kemanusiaan dan budi bicara. Selain faktor kemanusiaan dan tidak mahu bersikap kejam yang mungkin memburukkan lagi peluang BN memenangi pilihanraya kecil ini, kelonggaran dalam perlembagaan UMNO sendiri barangkali menjadi pertimbangan Muhyiddin. Walaupun ahli UMNO dimestikan menyokong calon parti dalam pilihanraya, apakah sekadar menjadi peneman anak yang masih bujang dan dalam tangungjawab ibu bapa boleh dikategorikan sebagai melanggar perlembagaan? Oleh kerana kes seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan pemimpin UMNO juga tidak terfikir ada anak orang UMNO bakal menjadi calon parti lawan kerana merasakan UMNO itu bagaikan agama yang mesti dianuti oleh semua anak dan keluarga ahli serta pemimpinnya, maka itu sebabnya barangkali tiada pengkhususan dalam perlembagaan UMNO itu. Tetapi dengan peredaran masa dan generasi muda makin terbuka serta pelbagai seleranya, keadaan ini tidak mustahil menjadi tambah meluas. Jika sebelum ini hanya adik-beradik Shahrir Samad dan Khalid Samad serta pasangan suami isteri di Sabah yang berbeza parti menjadi perhatian, kini nyata berlaku perbezaan parti antara ibu dan anak serta ibu menjadi peneman anaknya pula. Di masa akan datang, bukan saja berbeza anutan parti ini menjadi biasa dalam keluarga, bahkan mungkin dalam keluarga pemimpin UMNO pun tiada yang sekata lagi. Dalam masa yang sama, penglibatan ibu, bapa, suami atau isteri, adik-beradik dan sebagainya dalam menyokong ahli keluarga yang berbeza parti yang bertanding dalam pilihanraya turut bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Adakah ini akan mendorong UMNO untuk meminda perlembagaannya dan memberi tafsiran yang lebih khusus mengenai tanggungjawab dan hak seseorang ahlinya? Walaupun Muhyiddin turut kelihatan budiman dan ada budi bicara yang tinggi dalam hal ini tetapi kekalahan calon BN di Teluk Intan nanti boleh saja membuatkannya berubah nada. Sementara kedudukan ibu Dyana bakal jadi perhitungan sebaik pilihanraya kecil ini berakhir, UMNO juga dipercayai akan bergerak selangkah lagi dengan memberi tafsiran semula yang lebih detail dan terperinci dalam perlembagaan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahlinya. Dyana Sofya dan Yammy benar-benar memberikan kejutan kepada UMNO. | ||
Mohamed Nabi Bux terkilan Pas tak sokong Posted: 21 May 2014 08:22 AM PDT GEORGETOWN - Calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar melahirkan rasa terkilan terhadap pemimpin Pas kerana tidak menyokong beliau dalam memperjuangkan hudud sebaliknya menyokong calon DAP. Beliau yang mengaku masih anggota Pas turut melahirkan rasa sedih dan berasa dianaktirikan apabila jentera Pas membantu kempen calon DAP yang secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini. "Macam di Bukit Gelugor, muslimat Pas sanggup ikut calon DAP (Ramkarpal Singh Deo) berkempen sampai azan maghrib pun mereka tidak hiraukan. Sedih saya tengok. Beberapa kali saya dok perhati," katanya kepada pemberita selepas berkempen di pasar malam Taman Tun Sardon di sini hari ini. Beliau berkata sikap segelintir orang Islam sendiri yang menolak hudud menyebabkan masyarakat majmuk berasa ragu untuk menerima dan meningkatkan kefahaman pelaksanaan hukum itu. Terdahulu Mohamed Nabi Bux, 63, menarik perhatian orang ramai apabila berceramah menggunakan pembesar suara dari dalam lori di pinggir pasar malam yang sibuk itu. Pilihan raya kecil Bukit Gelugor Ahad ini menyaksikan pertembungan empatpenjuru antara Mohamed Nabi Bux dan seorang lagi calon bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan Ramkarpal. - Bernama | ||
Dyana dihalau ketika berkempen Posted: 21 May 2014 08:14 AM PDT TELUK INTAN - Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dipercayai dihalau ketika menjalankan kempen di tapak pasar malam Rumah Awam, Kampung Padang Tembak, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Dyana Sofya yang hadir bersama pimpinan tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang menerima kecaman daripada sebuah kumpulan yang mengeluarkan kata-kata mengusir. Sinar Harian dimaklumkan, sebelum kejadian, rombongan berkenaan diganggu dengan bunyi bising motosikal. Antara perkataan yang diterima rombongan kempen itu termasuklah menyatakan kampung berkenaan kawasan Melayu dan dilarang membawa masuk orang bukan Melayu. Keadaan itu menimbulkan sedikit ketegangan apabila turut mendapat perhatian peniaga di tapak berkenaan. Bagaimanapun, kempen tetap berlangsung dengan edaran poster dan risalah calon. Provokasi diterima Dyana Sofya pada hari ketika berkempen itu dikatakan dilakukan sekumpulan pemuda yang memakai pakaian mempunyai lambang BN. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran berikutan tiada laporan polis dibuat sehingga berita ini ditulis. Difahamkan, Taman Perumahan Awam Padang Tembak itu merupakan kawasan kubu kuat BN. Sementara itu, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu. Katanya, pihaknya akan membuat semakan dan siasatan sekiranya benar insiden itu membabitkan Pemuda BN. "Saya dah terima laporan itu, kita akan pastikan sama ada yang ganggu dia itu, pakai baju BN atau tidak. "Apa-apa pun kita akan semak, jika benar akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam program walk about di Menara Condong, di sini. | ||
PRK Teluk Intan: BN boleh menang jika 9,120 ahli mengundi Posted: 21 May 2014 08:09 AM PDT ANTARAPOS.COM TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk menang pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan jika 9,120 ahli parti komponen itu yang tidak mengundi pada pilihan raya umum (PRU) 2013 menunaikan tanggungjawab mereka pada 31 Mei ini. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata mereka adalah pengundi putih yang boleh memberi kemenangan kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong pada PRK ini. "Saya nak kongsi kenapa kita boleh menang. Saya nak bocor satu rahsia. Seramai 9,120 orang daripada parti UMNO, Gerakan, MCA, MIC, PPP, IPF tidak keluar mengundi pada 5 Mei 2013 (PRU)," katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Selabak di sini, malam tadi. Katanya, mereka adalah aset BN yang tidak digunakan bagi memastikan kemenangan Mah pada PRU lepas. "Kita telah kenal pasti mereka. Insya-Allah kita akan cari, pujuk dan bawa mereka kerana mereka anggota parti komponen," katanya "Mereka bukan pengundi atas pagar. Kalau atas pagar satu kerja pulak nak masuk dalam pagar. Yang ni dah putih tapi tak keluar mengundi," katanya. PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud. Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. | ||
Kerajaan negeri kemuka pelan tindakan kepada Pusat Posted: 21 May 2014 07:44 AM PDT Cadangan penstrukturan semula industri air di Selangor itu telah diserahkan kepada KeTTHA. SHAH ALAM: Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penstrukturan semula industri air di Selangor diselesaikan secepat mungkin selepas tiga syarikat konsesi bersetuju untuk diambil alih oleh Kerajaan Negeri. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelan itu mensasarkan proses penstukturan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. "Cadangan pelan tindakan bagi memastikan penstrukturan semula industri air di Selangor itu telah diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Dr Maximus Ongkili melalui surat bertarikh 20 haribulan Mei," katanya sewaktu sidang media selepas mesyuarat Exco di Shah Alam Menurutnya, pihaknya yakin sasaran penyelesaian dapat dicapai berdasarkan perbincangan intensif yang giat dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta kementerian selaku pemudahcara. Ujarnya, jadual pelaksanaan antara lain melibatkan KDEB bersetuju mengeluarkan surat tawaran kepada pemegang saham daripada tiga syarikat konsesi yang telah bersetuju, menubuhkan jawatankuasa bersama pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2). "Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PAAB dan KDEB telah memulakan perbincangan berkaitan perjanjian induk yang akan menetapkan prinsip-prinsip penghijrahan kepada model Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA). "Ia termasuk pemindahan aset, kaedah penyelesaian pinjaman pembangunan sistem bekalan air kerajaan persekutuan dan negeri serta hal-hal pelesenan perkhidmatan kepada pemilik aset dan operator air yang baharu," katanya. Tambahnya, KDEB dan PAAB turut menjalankan proses 'due diligence' ke atas ketiga-tiga syarikat konsesi. PAAB perlu mengesahkan nilai aset air yang akan diambil alih, dan KDEB perlu mengesahkan pengiraan nilaian ekuiti dan pemindahan aset PNSB yang juga akan melibatkan Puncak Niaga Sendirian Berhad (PNHB). "Pelaksanaan ini juga meliputi perjanjian penjualan saham antara KDEB dan pemegang saham PNSB, Syabas dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS). "Kerajaan negeri turut akan melaksanakan semakan terperinci mengenai perjanjian utama terhadap perjanjian dengan KeTTHA, kerajaan negeri, PAAB dan KDEB, Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kewangan, serta Unit Perancang Ekonomi Persekutuan dan Unit Kerjasama Awam Swasta | ||
Mahkamah Rayuan kekalkan award RM150,000 kepada Mahfuz Posted: 21 May 2014 07:42 AM PDT Ketua Penerangan PAS pusat itu memfailkan saman sivil terhadap NST dan Ahmad Rejal pada tahun 2002 berhubung artikel bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk." PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pembayaran ganti rugi RM150,000 kepada ketua penerangan PAS pusat Datuk Mahfuz Omar bersabit dengan artikel bersifat fitnah yang diterbitkan akhbar Berita Harian pada tahun 2000. Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan bekas pengarang kumpulan New Straits Times (M) Bhd (NST) dan Berita Harian Datuk Ahmad Rejal Arbee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan artikel itu sebagai fitnah. Dalam keputusannya, Hakim Mohd Hishamudin memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan oleh New Straits Times selaku penerbit Berita Harian dan Ahmad tidak mempunyai merit. Beliau juga mengarahkan mereka membayar kos guaman RM40,000 kepada Mahfuz. Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan. Mahfuz memfailkan saman sivil terhadap NST dan Ahmad Rejal pada tahun 2002 berhubung artikel bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk" yang disiarkan di muka depan akhbar berkenaan pada 9 Nov, 2000. Dalam pernyataan tuntutannya, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena mendakwa bahawa artikel itu bersifat fitnah dan telah mencemarkan reputasinya. Pada 19 Ogos, 2009, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan saman sivil Mahfuz dan mengarahkan NST dan Ahmad Rejal membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mahfuz. Mahfuz diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga anggota Parlimen Sepang sementara pihak perayu diwakili peguam Nad Segaram.Bernama | ||
UMNO dimaki setiap hari, kenapa hairan? Posted: 21 May 2014 07:32 AM PDT Anak Mami Di PerantauanKecoh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini, segerombolan manusia menggegar-gegar pagar besi bangunan itu, meraung-raung mahu masuk ke dalam. Sebelum itu, gerombolan ini sudah bikin demonstrasi di luar Dewan, di jalanraya – aktiviti yang mereka sendiri selalunya tidak suka kalau dibuat penyokong Pakatan. Mereka susun beberapa biji telur di tepi pagar Dewan. Pada telur-telur itu tertulis kata-kata yang tidak elok untuk dituliskan di sini, ditujukan kepada ADUN DAP Sri Delima saudara R. S. N. Rayer. Gerombolan ini kononnya marah dengan Rayer kerana kononnya si Rayer sudah berkata 'UMNO celaka'. Walaupun dihalang, gerombolan ini tidak menyerah kalah. Mereka gegar pagar besi itu sehingga hampir tertanggal, dan menyelitlah beberapa orang dari kalangan gerombolan itu masuk ke perkarangan DUN Pulau Pinang. Melanggar beberapa pegawai polis dan anggota keselamatan yang terus cuba menghalang mereka. Nak masuk Dewan ini bukan senang. Mesti pakai kemas, tinggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal, dan hanya boleh berada di tempat-tempat tertentu sahaja. Tak boleh masuk ke kawasan yang dikhaskan untuk ADUN, petugas media. Kalau masuk juga, pastilah dihalau pegawai keselamatan. Namun gerombolan ini nampaknya ada ilmu kebal. Kalau bukan kebal, barangkali orang melihat gerombolan ini seperti orang gila. Ya lah, orang gila boleh buat apa sahaja, pergi ke mana sahaja. Tidak ada yang menghalang. Maka gerombolan ini seperti buat lawatan sambil belajar, masuk menonong sampai ke ruang pejabat dan menerjah ke dalam Dewan yang mulia itu sendiri, terpekik-pekik mencari Rayer. Terguris kononnya hati mereka kerana Rayer menyebut 'UMNO celaka'. Tidak tertahan-tahan lagi rasa marah mereka itu. Barangkali mereka lupa, rakyat menghamburkan kata makian terhadap UMNO saban hari, hampir sahaja setiap masa; dan tidak terhad kepada "UMNO celaka." Setiap kali mengisi minyak, membayar cukai, membayar bil elektrik, membeli keperluan harian, rakyat seluruh Malaysia semuanya maki UMNO. Dalam keadaan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor semakin hampir ke hujungnya, semakin galaklah puak-puak ini cuba menimbulkan kekecohan; menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak mahu keluar mengundi. Taktik ini sudah dibuat di Kajang. Kita tahu taktik ini, jangan buat berulang kali. Tidak cukup semalam calon bebas yang disokong gerombolan berguling-guling bawah kereta Ketua Menteri macam filem Hindustan, hari ini pula buat stunt baru untuk tarik perhatian. Kalau tak mahu dimaki 'celaka', bubar sajalah UMNO. – Roketkini.com | ||
Tindakan calon bebas cetus kekecohan di DUN tidak langgar peraturan, kata SPR Posted: 21 May 2014 07:22 AM PDT Tindakan calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam tidak melanggar peraturan dalam Akta Pilihan Raya 1954. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh menyifatkan tindakan calon Bebas itu sebagai sebahagian daripada caranya berkempen dan tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang. Ditanya sama ada SPR akan menarik pencalonan Abu Backer Sidek dalam pilihan raya kecil itu, Abdul Ghani berkata: "Setakat ini kami tidak menarik pencalonannya... sebab dia sudah bayar deposit, sebaik sudah jadi calon, calon itu tidak boleh tarik diri". Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Air Itam hari ini. Semalam, Abu Backer Sidek, 46, tiba di hadapan pintu pagar DUN Pulau Pinang pada 1 tengah hari untuk menghantar surat jemputan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menghadiri ceramah penerangan anjurannya tentang hukum Hudud di Farlim, Air Itam pada 23 Mei ini. Abu Backer Sidek dihalang sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di DUN berkenaan daripada bertemu ketua menteri, ekoran itu beliau bertindak menahan kereta dinaiki Lim bersama-sama pembantunya yang ketika itu mahu meninggalkan dewan. Berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Lim yang tidak mahu berhenti, beliau nekad meluru ke arah kereta itu dan 'terjatuh' di atas jalan raya. Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu. "Setakat ini tidak terima apa-apa laporan," katanya. – Bernama, | ||
Fenomena Teluk Intan: Peluang pengundi buat pilihan segar Posted: 21 May 2014 04:10 AM PDT Fairuz Azhan AmirruddinSudah tentu seteru politiknya yang berlambang dacing akan berjuang berhabis-habisan untuk memadam demam Dyana daripada merebak. Belum secara rasmi beliau diumum sebagai calon, serangan dan fitnah terhadap beliau telahpun bermula, dan kita melihat serangan terhadap beliau makin hebat dari hari ke hari. Kemenangan Dyana di Teluk Intan bakal menyebabkan BN menggeletar. Dyana merupakan seorang calon yang tepat pada masa yang amat sesuai. Dampaknya dalam kancah arus perdana politik tanahair bakal mencipta tsunami politik yang baru. Sekiranya Dyana berjaya memenangi kerusi Teluk Intan beliau bakal memecahkan dua rekod yang signifikan. Yang pertama, sebagai Ahli Parlimen wanita berbangsa Melayu DAP yang pertama dan, kedua, sebagai wakil rakyat termuda di Dewan Rakyat pada penggal ini. Kesan yang pertama PR dan DAP meletakkan Dyana sebagai calon adalah beliau bakal merupakan 'wajah' atau 'muka' baru perjuangan dan lambang kepada anak muda. Pada PRU13 yang lalu, statistik menunjukkan bahawa 42% daripada jumlah pengundi merupakan pengundi muda dan baru (pengundi di bawah umur 40 tahun). Kedua-dua pihak, BN dan PR telah mengiktiraf demogarafik ini sebagai 'king-makers' pada pilihanraya yang lepas dan jumlah pengundi muda dan baru bakal bertambah pada PRU14 yang bakal menjelang. Pencalonan wanita muda oleh DAP ini akan memberikan nafas baru dan segar kepada minat anak muda terhadap politik yang selama ini menganggap politik itu membosankan dan didominasi orang-orang tua. Kesan secara langsung pencalonan Dyana ini memaksa BN memikir semula strategi mereka. Bila PR buat belanjawan, BN pun nak tiru juga. Penglibatan anak muda di baris hadapan politik tanah air juga akan menyaksikan BN pun turut memberi lebih banyak peluang kepada generasi muda. Kedua-dua PR dan BN harus sedar bahawa orang muda adalah kunci kepada kemenangan pihak masing-masing. Bukanlah satu kebetulan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merupakan insan yang paling berpengaruh di alam siber (Pemenang SHOUT Award 2013). Rakyat Malaysia sudah bosan dengan Shahrizat Jalil dan pak menteri ala Rais Yatim. Anak muda sudah bosan dengan kenyataan-kenyataan angkuh orang tua seperti, 'tanam sayur sendiri jika tak puas hati harga sayur naik'. Pencalonan Dyana bakal membuka peluang dan pintu kepada anak muda yang berkecimpung dalam politik. Tambahan pula merekalah generasi dan demografik yang akan menentukan PRU14. Perkara penting yang kedua adalah Dyana merupakan lambang kepada masa depan DAP. Menang atau kalah, pencalonan Dyana telah mendekatkan lagi orang Melayu kepada DAP. Beliau merupakan Yahoo search nombor 1 di Malaysia pada minggu pertama sejak namanya diumumkan sebagai bakal calon. Langkah berani DAP ini merupakan apa yang diidami rakyat selama ini, iaitu pemecahan tembok politik kaum. Selama ini DAP ditohmah dan dilabel sebagai parti Cina, dan para penyokong BN sudah pasti akan mengatakan bahawa Dyana hanyalah alat untuk menutup ke'cina'an parti itu. Ada pula yang menyoal kenapa pula sekarang DAP terhegeh-hegeh untuk promosi calon Melayu. Sebenarnya bumi Perak telah melahirkan ramai pemimpin Melayu dari DAP. Ibrahim Singgeh, Fadzlan Yahya, Salleh Nakhoda Hitam adalah antara nama-nama yang cukup terkenal di kalangan golongan lebih berusia. Ini bukan hanya sejarah silam kerana Jawatankuasa DAP Perak juga mempunyai orang Melayu dalam Jawatankuasa tersebut, begitu jua dengan barisan tertinggi Pemuda DAP atau DAPSY Perak yang mempunyai dua pemimpin Melayu dalamnya. Hakikatnya Dyana bukan diberi peluang kerana bangsanya, tetapi bakat dan kebolehannya. DAP sebuah parti buta warna. Langkah segar meletak Dyana sebagai calon harus dipuji keberaniannya, bukan disoal keikhlasannya. Perak merupakan negeri yang simbolik dan merupakan negeri yang menyamai ciri-ciri negara kita. Komposisi kaum di Perak sama dengan komposisi negara. Di Perak, PR mendapat undi majoriti tetapi tewas kepada BN, sama seperti Malaysia. Perak merupakan negeri di mana terlahirnya Pakatan Rakyat, dan keputusan Teluk Intan merupakan indikator momentum penting menuju PRU14. Sekiranya DAP memberikan peluang kepada seorang wanita 27 tahun ke Parlimen, jelas ia memberikan peluang kepada sesiapa jua asalkan berani dan sanggup berusaha tanpa melihat warna kulit. Saya juga ingin mengajak orang Melayu dan orang muda yang lain untuk mendekati DAP dan sama-sama menyumbang ke arah demokrasi dan membuka lebaran politik baru demi tanahair kita yang tercinta ini. | ||
PRK Teluk Intan: Pujian Marina, bukti Dyana calon yang tepat Posted: 21 May 2014 04:07 AM PDT TELUK INTAN: Pujian Marina Mahathir terhadap Dyana Sofya Mohd Daud membuktikan beliau merupakan calon berkaliber untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam sidang media di Pusat Operasi DAP Teluk Intan, tengah hari tadi. "Kami bagi pihak DAP Perak merakamkan penghargaan atas pujian itu. "Pujian itu membuktikan Dyana memang calon yang berkaliber dan pilihan yang tepat," katanya. Sehubungan itu, beliau memohon bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya belajar daripada anaknya itu yang lebih berfikiran terbuka. "Mahathir harus memberikan sokongan yang sama berdasarkan apa yang diucapkan anaknya dan bukannya menyerang Dyana. Dalam status Facebooknya pagi tadi, Marina menyatakan Dyana adalah lebih baik daripada ahli politik lain. "Gadis ini sangat bijak. Beliau boleh berfikir, petah berkata-kata dan boleh menulis. "Itu sudah tiga perkara, lebih baik dari kebanyakan ahli politik lain," katanya. – Roketkini.com | ||
DAP Perak lancar kempen ‘Seorang Seringgit’ untuk PRK Teluk Intan Posted: 21 May 2014 04:04 AM PDT TELUK INTAN: DAP Perak hari ini melancarkan kempen 'Seorang Seringgit' bagi mengumpulkan dana untuk kegiatan sepanjang kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi melicinkan perjalanan PRK kerana parti itu bukan seperti UMNO yang memiliki banyak sumber dana. "Dari segi kebendaan, kita memang kurang berkemampuan dan 'underdog', sebab itu kita melancarkan kempen ini. "Sumbangan tidak hanya berbentuk wang ringgit tapi boleh juga diberikan dalam bentuk pemidang, alat tulis, poster dan sebagainya. "Sebagai permulaan, saya akan mendermakan RM10 ribu," katanya dalam sidang media di Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan, tengah hari tadi. Hadir sama dalam sidang media ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, Calon PRK Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terence Naidu dan pimpinan lain. -Roketkini.com | ||
Tiong ancam 'perang' jika BN terima TERAS Posted: 21 May 2014 03:54 AM PDT MALAYSIAKINI Presiden sementara Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing mengisytiharkan, akan berlaku "perang terbuka" jika Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) diterima ke dalam BN negeri. "Akan terdapat perang terbuka jika TERAS bertanding mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam kenyataan malam tadi. Anggota Parlimen Bintulu itu menambah: "Bagaimana akan ada perpaduan jika tiga komponen parti akan hilang peruntukkan kerusi tradisional BN kepada TERAS jika ia diterima ke dalam gabungan? "Musuh sedang menunggu untuk meraikan apabila kamu bertengkar dan berbalah." Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Peter Minos menyelar Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kerana menentang kemasukan TERAS dalam BN. Monos berkata, penentang langkah itu patut mengambil kita perpaduan dalam BN dan mengkaji semula pendirian mereka. Sebelum ini, empat pemimpin SUPP, tiga daripadanya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), keluar parti dan memberi nafas baru kepada TERAS. TERAS juga menerima penyertaan Menteri pembangunan sosial Tan Sri William Mawan Ikom dan anggota Parlimen Baram Anyie Ngau yang meletakkan jawatan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Menyertai mereka, ADUN Pelagus dan timbalan presiden Parti Pekerja Sarawak George Lagong dan empat wakil rakyat yang dipecat – dikenali G4 – iaitu Peter Nansian (Tasik Biru), Sylvester Entri (Marudi), Paulus Gumbang (Batu Danau) dan Rosy Yunus (Bekenu). | ||
Bkt Gelugor: 83.1% keluar mengundi awal Posted: 21 May 2014 03:52 AM PDT MALAYSIAKINI Peratusan keluar mengundi pada pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di empat saluran mengundi di George Town hari ini adalah 83.1 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pemangku Pengarah SPR Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata selepas tempoh pengundian awal tamat tepat 2 petang, hanya 123 pengundi daripada keseluruhan 148 anggota polis dan tentera yang keluar menunaikan tanggungjawab itu. Proses pengundian awal itu melibatkan empat pusat pengundian iaitu Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, Bilik Maklumat Balai Polis Air Itam, Bilik Maklumat Balai Polis Bandar Baharu dan Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Pinang di Gelugor. Azizal berkata empat peti undi itu akan disimpan di lokap Balai Polis Pulau Tikus sehingga hari penjumlahan rasmi undi Ahad ini (25 Mei). Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas. Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh Deo, naib presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan serta dua calon Bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan. SPR menetapkan 25 Mei ini sebagai hari pengundian bagi 82,283 pemilih biasa. - Bernama | ||
Tarif elektrik diramal naik 39% lagi 18 bulan Posted: 21 May 2014 03:46 AM PDT Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) meramalkan tarif elektrik akan naik lagi antara 24 hingga 39 peratus dalam tempoh 18 bulan daripada sekarang. Perkara itu akan berlaku apabila harga gas asli yang digunakan untuk penjanaan elektrik akan berdasarkan harga pasaran pada 2016, kata preseden AWER S Piarapakaran (kanan). Piarapakaran berkata, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pada 2013 bahawa Peraturan Berdasarkan Peraturan (IBR) akan dicuba bermula 1 Januari tahun ini dan mekanisme baru pemotongan kos bahan api akan dilaksanaKAN. "Kerajaan persekutuan juga maHu menaikkan has gas untuk penjanaan elektrik secara berkala untuk mencapai harga pasaran pada hujung 2015. "Ini bermaksud, tarif elektrik akan disemak semula setiap enam bulan, jika kerajaan mengikut jadual yang dirancang," katanya. Justeru, berdasarkan kiraan AWER mengambil kira dua senario itu, kenaikan kos elektrik tidak dapat dielakkan. [Baca berita penuh] | ||
Mah: Biarlah Dyana jadi tumpuan Posted: 21 May 2014 03:41 AM PDT MALAYSIAKINI Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong berkata beliau tidak kisah dengan perhatian meluas ke atas pencabarnya, Dyana Sofya Mohd Daud dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan. "Tak apalah, beliau lebih glamour," kata Mah ketika ditemui Malaysiakini di pusat operasi kempennya semalam. Tumpuan ke atas Dyana, 27, bukan sahaja ditunjukkan dari kelompok Pakatan Rakyat malah dari kalangan penyokong BN. Perkara itu turut diperhatikan oleh Dyana, yang menyatakan rasa simpatinya ke atas Mah kerana jentera BN lebih sibuk mengulas mengenai beliau dan bukannya membantu kempen calon GERAKAN itu. Mah bagaimanapun berpendapat sebaliknya. Mah juga tidak sekalipun mengkritik Dyana, dan memberi alasan beliau percaya dan mengamalkan persaingan sihat. "Bekas MP DAP, Seah Leong Peng, adalah kawan baik saya. Saya percaya pada persaingan yang baik, tak perlu fitnah dengan gambar bukan-bukan. "Dia seorang gadis yang bijak, dan dia juga gadis yang lawa. Saya hormati keputusan yang DAP buat, mereka tentunya sudah memikirnya segenap sudut sebelum membuat keputusan," kata Mah. Mah juga menegaskan beliau tidak begitu mengenali Dyana untuk membolehkan beliau mengulas mengenai kelembahan dan kelebihan peguam muda itu. Mah turut menegaskan bahawa beliau juga berkempen secara sederhana tanpa melibatkan acara besar bagi membolehkan beliau berhubung lebih rapat dengan pengundi. "Kami tiada konsert, cabutan bertuah atau makan malam bersar. Kami tahu perkara ini tidak berkesan lagi. Jadi kami hanya bertemu dengan masyarakat," kata Mah. Mah juga ditanya mengenai pandangan bahawa beliau mempunyai kelebihan kerana beliau seorang calon bangsa Cina yang bertanding di kawasan majoriti Cina. Namun, Mah berkata, beliau enggan melihat peluangnya dari sudut itu. "Saya tak fikir ia masih lagi dianggap penting," katanya sekiranya ditanya jika beliau boleh meraih undi Cina kerana DAP meletakkan calon Melayu. "Saya rasa sekarang rakyat sangat berjiwa Malaysia," katanya lagi. | ||
Pendemo masuk DUN, cuba panjat meja speaker Posted: 21 May 2014 03:33 AM PDT MALAYSIAKINI Protes bingit di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini berjangkit ke dewan. Kira-kira 10 orang dilihat memasuki DUN hari ini, malah ada daripada mereka cuba memanjat meja speaker Law Choo Kiang. Law tiada di situ pada masa itu. Mereka menjerit bertanyakan di mana kerusi RSN Rayer. | Bantahan itu ekoran kenyataan Rayer, wakil rakyat Seri Delima daripada DAP yang menggelarkan seorang pemimpin Umno negeri sebagai celaka. | ||
Dyana dapat sokongan penuh DAP Perak, kata penasihat negeri Posted: 21 May 2014 03:28 AM PDT DAP Perak menafikan spekulasi bahawa parti di negeri itu kini di ambang perpecahan selepas Dyana Sofya Mohd Daud dipilih sebagai calon parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, seluruh pemimpin DAP negeri akan memberi sokongan sepenuhnya dan berkempen demi kepentingan alumni UiTM itu menjadi wakil rakyat bagi Teluk Intan. "Memang dia dapat sokongan sepenuhnya DAP Perak. Saya akan sepenuh masa di sini setiap hari. "Seluruh jawatankuasa di negeri Perak diminta memberi sokongan, masa dan kewangan sepenuhnya," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini. Media sebelum ini melaporkan pencalonan Dyana Sofya sebagai calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan dibuat bagi menutup perpecahan dalaman DAP Perak membabitkan kumpulan Nga Kor Ming dan M Kulasegaran yang bertelagah. Ngeh berkata Dyana Sofya adalah calon negeri yang paling layak dan tidak terlalu muda untuk menjadi wakil rakyat di Teluk Intan. Katanya, DAP Perak sememangnya mempunyai calon lain, tetapi pimpinan parti sepakat untuk memilih Dyana Sofya sebagai wakil kepada parti. "Sebenarnya 27 tahun bukan muda lagi. Jika seseorang itu sudah bergraduasi daripada universiti, orang itu sememangnya sudah bersedia, berkaliber, pandai dan mempunyai minda yang hebat. "(Kami) memang ada ramai calon lain, tetapi ini calon terbaik," katanya semasa berkempen menemui pengundi di sekitar Teluk Intan," katanya. Ahli Parlimen Beruas itu berkata perpecahan dalaman DAP tidak timbul kerana pemimpin di negeri itu sudah diberi taklimat bahawa Dyana akan menjadi calon di kawasan itu. "Ahli DAP memang tahu. Kita pun terima. Sebelum penamaan calon, pucuk pimpinan mendengar semua pandangan semua pihak dan membuat keputusan yang terbaik," katanya. Sementara itu, pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata Dyana Sofya adalah harapan bangsa dan negara serta mampu menghentikan politik perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN). "Dyana adalah calon paling layak, mempunyai ciri-ciri ahli Parlimen berwibawa dan harapan bangsa dan negara. "Beliau suara generasi muda, teladan yang baik untuk menghentikan politik perkauman," katanya di Bilik Gerakan DAP di Teluk Intan hari ini. Ketika ditanya adakah pemimpin parti negeri yang merajuk selepas Dyana dipilih sebagai calon, Nga berkata: "Tiada yang merajuk. Kita semua satu keluarga." | ||
Dyana Sofya bimbang dengan kadar jenayah, seru Putrajaya tubuh IPCMC Posted: 21 May 2014 03:26 AM PDT Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dari DAP, Dyana Sofya Mohd Daud menyeru pasukan polis agar segera membanteras kegiatan jenayah memandangkan situasi jenayah yang membimbangkan sejak kebelakangan ini. Dyana Sofya, 27, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pasukan tersebut, dan meletakkan lebih banyak sumber-sumbernya untuk membanteras jenayah di negara ini demi mengurangkan aktiviti jenayah yang melampau di negara ini. "Berdasarkan kajian yang dilakukan DAP dua minggu lalu di Teluk Intan, jenayah adalah isu serius yang merunsingkan pengundi di kawasan ini. "Jenayah dan masalah sosial berada di kedudukan kedua tertinggi antara masalah yang ditimbulkan oleh mereka yang menjawab soalan tinjauan," katanya. Beliau turut memberi komitmen kepada pengundi Teluk Intan, untuk menyeru dengan tegas supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan. "Ia demi memastikan integriti dan kecekapan pasukan polis akan diperbaiki, serta hak-hak rakyat Malaysia akan dilindungi," katanya. Menurut Dyana Sofya, beliau berharap agar jenayah keji yang melibatkan kematian biarawati sebuah gereja di Seremban tidak berulang. "Kita berharap kes yang diklasifikasikan pihak polis sebagai kes bunuh akan dapat diselesaikan dengan kadar segera, supaya episod yang menyayat hati ini berakhir dan keadilan ditegakkan," katanya. Biarawati Juliana Lim, 69, meninggal dunia akibat serangan peragut di gereja Church of Visitation, Seremban baru-baru ini. Dyana Sofya turut menambah, walaupun pasukan polis mempunyai lebih daripada 120,000 anggota, kurang daripada 10,000 anggota polis dikhaskan untuk membanteras jenayah, jumlah anggota Cawangan Khas, yang dikhaskan untuk "melindungi" ahli politik hampir sama banyaknya dengan Jabatan Siasatan Jenayah. "Apa yang lebih perlu distruktur semula adalah hakikat bahawa lebih 40% daripada jumlah anggota polis ditempatkan di bawah 'pengurusan', 'administratif' dan 'logistik', sementara 30% lagi ditugaskan dalam pasukan keselamatan seperti Federal Reserve Unit (FRU), Light Strike Force dan Pasukan Gerakan Am," katanya. Tambahnya lagi, jenayah ganas ini juga menyorot betapa seriusnya keadaan jenayah di negara ini, yang membuatkan ramai rakyat Malaysia, terutamanya wanita ketakutan dan risaukan keselamatan mereka. | ||
Kita perlu lebih ramai Dyana Sofya dalam politik, kata Marina Mahathir Posted: 21 May 2014 03:22 AM PDT Datin Paduka Marina Mahathir enggan dikaitkan dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud tetapi mempersoalkan kegagalan Barisan Nasional (BN) melahirkan calon wanita muda. Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, beliau menyokong mana-mana calon wanita muda yang bertanding. "Saya tidak kisah apa parti beliau (Dyana), beliau muda, perempuan dan kita jarang lihat ia berlaku. Beritahu saya siapa yang sama tarafnya dalam BN? "Adakah kita memilikinya, atau seseorang. Saya sokong perempuan muda," kata Marina kepada The Malaysian Insider. Beliau berkata, walaupun banyak calon muda wanita dalam arena politik, contohnya Nurul Izzah Anwar, kebanyakannya adalah daripada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya BN. "Ya, tapi beliau (Nurul Izzah) daripada pembangkang, dan tidak semuda Dyana," katanya. Bagaimanapun, Marina enggan memberikan komen atau dikaitkan dengan pandangan ibu Dyana Sofya, Yammy Samad semalam yang mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, ketika menjawab mengenai kecaman Dr Mahathir terhadapnya. Yammy berkata, beliau sehabis daya mahu Dyana Sofya mengikut jejak langkah seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetapi apakan daya perawakan anaknya itu lebih mirip kepada Marina. Sebelum itu, Marina dalam komen di Facebook juga mempertahankan Dyana, selepas dikritik sebagai terlalu mentah dan tidak berpengalaman. Marina memuji Dyana kerana membidas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim yang menyentuh polisi pro-Bumiputera dalam Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan menyifatkannya sebagai seorang yang 'bijak' dan berada di depan 'melebihi kebanyakan ahli politik'. Dyana Sofya, 27, adalah graduan jurusan undang-undang UiTM. "Gadis ini sangat bijak. Beliau boleh berfikir, petah berkata-kata, dan beliau juga boleh menulis. "Itu sudah tiga perkara, lebih baik daripada kebanyakan ahli politik," kata Marina melalui Facebook. "Saya tidak faham mengapa ramai yang menentangnya hanya kerana beliau muda? Najib Razak (Perdana Menteri) menjadi menteri ketika berusia 26 tahun. Dyana hanya 27 tahun dan bertanding kerusi Parlimen. Kita perlu lebih ramai orang muda kerana mereka bawa idea segar," kata Marina. Dyana Sofya menjadi fenomena selepas DAP, parti berbilang kaum tetapi mempunyai majoriti ahli berbangsa Cina meletakkan calon Melayu bertanding di PRK Teluk Intan. Banyak pihak mengkritik tindakan itu khususnya daripada Umno yang melabel Dyana sebagai pengkhianat dan "cubaan mengelirukan". BN pula meletak calon lama iaitu Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang juga pernah menjadi ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ditewaskan oleh calon DAP bagi dua pilihan raya umum berturut-turut. Penamaan calon bagi pilihan raya ini diadakan pada 19 Mei lalu dan pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei ini. | ||
Dyana Sofya pemenang perang poster di Teluk Intan Posted: 20 May 2014 11:30 PM PDT OLEH EILEEN NG Sekiranya kempen poster menjadi kayu pengukur populariti, calon DAP bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud sudah pasti menjadi pemenang dalam pilihan raya itu. Poster "pop art" peguam berusia 27 tahun itu memenuhi laman sosial Facebook dan akaun Twitter. Satu poster berwarna merah dengan hashtag #DyanaforTelukIntan memaparkan imejnya dengan petikan:"Saya mendokong amalan politik baru yang meruntuhkan benteng perkauman, menghargai persamaan dan meraikan perbezaan". Poster kempen berwarna kuning pula tertera:"Dyana For Teluk Intan" memaparkan gambarnya berlatarbelakangkan harimau dengan tagline – "You Will Hear Me Roar!" – memetik lagu hit penyanyi Inggeris Katy Pery bertajuk 'Roar' sebagai kempennya. Poster lain berwarna kelabu turut disebar luas oleh kakitangan parti di laman Facebook The Rocket. Pembantu politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang itu sangat popular sehinggakan wujudnya laman Facebook Kelab Penyokong Dyana Sofya sejak minggu lalu yang sudah pun memperolehi kira-kira 5,500 'Like'. Dyana Sofya bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dalam PRK pada 31 Mei ini, selepas penyandangnya, Seah Leong Peng daripada DAP meninggal dunia akibat kanser awal bulan lalu. Mah, merupakan presiden Gerakan memenangi kerusi itu dua kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dan 2004 namun tewas kepada M Manogaran dan Seah dari DAP pada PRU 2008 dan 2013 dengan masing-masing 1,470 dan 7,313 undi. Teluk Intan mempunyai 60,349 pengundi, meliputi 59,927 pengundi biasa dan 410 pengundi awal. Kawasan Parlimen itu mempunyai 23,301 pengundi Malayu (38.6 %), 25,310 pengundi Cina (41.9 %) dan 11,468 pengundi India (19%). Undi awal bermula 27 Mei ini. DAP memenangi kerusi itu yang dikenali sebagai Teluk Anson pada 1969 apabila Chan Fu King menewaskan Menteri Kesihatan MCA ketika itu Dr Ng Kam Poh. Sejak persempadanan semula kerusi Parlimen pada 1974, 1984, dan 1993, kerusi ini dimenangi calon Gerakan bermula 1974 sehingga pilihan raya pada 1995. | ||
DAP: Kami sanggup bayar RM1,000 untuk kempen di sekolah seperti BN Posted: 20 May 2014 11:12 PM PDT DAP hari ini menggesa Kementerian Pendidikan agar mempertimbangkan hasrat parti itu untuk berkempen menggunakan sekolah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN). Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata walaupun sekolah tidak dibenarkan menjadi lokasi berkempen namun Umno dan BN tetap melanggar peraturan itu. "Walaupun ini satu peraturan tetapi bagi Umno dan BN, mereka boleh buat sesuka hati. Saya bagi pihak DAP meminta fasiliti yang sama diberikan kepada DAP untuk berkempen di kawasan sekolah. "Kita rela bayar lebih mahal daripada BN. RM1,000 pun kita bayar. Kita pun tiada tempat untuk berkempen di Kampung Selabak. Kami ada alasan yang sama," katanya pada satu sidang media di Teluk Intan, hari ini. Semalam, Umno Teluk Intan mendakwa mendapat kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan kempen di Sekolah Kebangsaan Selabak kerana tiada tempat lain yang sesuai. Mereka mendakwa guru sekolah berkenaan memberi kebenaran dan Umno membayar RM500 bagi tujuan itu. Semalam, Datuk Ahmad Maslan berkata tiada salahnya sekolah digunakan sebagai lokasi berkempen jentera pilihan raya BN kerana ia juga merupakan aset kerajaan. Ketua penerangan Umno itu berkata, meskipun banyak pihak mengecam penggunaan sekolah sebagai tempat berkempen dalam pilihan raya, namun mereka mendapat kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan untuk mengadakan majlis itu. "Saya timbalan menteri BN. Jadi saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh mengadakan ceramah di sini," katanya. | ||
Di Teluk Intan, pilihan raya belum berakhir, Umno sudah dimalukan Posted: 20 May 2014 09:42 PM PDT Oleh Md Izwan Pilihan raya kecil di Teluk Intan menyaksikan beberapa perkara ganjil timbul, puncanya hanya kerana calon bekas graduan UiTM daripada DAP melawan kuda tua Gerakan.Lebih ganjil ialah walaupun bukan Umno yang bertanding kali ini, tetapi parti Melayu konservatif tersebut pasti akan menerima kesan yang teruk. Kebimbangan akan dimalukan terserlah apabila Umno mula membidas calon DAP tersebut sebagai pengkhianat. Bahkan bukan sahaja calon sahaja jadi mangsa tapi ibunya yang juga ahli Umno menerima kesan sama, parti itu mahu pecat keahliannya. Mengapa saya kata Umno terasa mereka dimalukan? Pening kepala orang Umno hendak memikirkannya, keluarga totok Umno tapi anak calon DAP. Puas Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin meneropong binokular ajaibnya, tapi tidak juga dijumpai punca-puncanya. Habis pecah air kelapa, tapi Raja Bomoh juga pening kepala. Lebih mengganjilkan apabila Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali juga mahu gambarnya digunakan sebagai modal kempen Barisan Nasional (BN) di Teluk Intan. Terima kasih, ia akan menambah majoriti kepada DAP. Lagi ganjil apabila isu hukum hudud juga mula dimainkan hanya kerana calon DAP tersebut menolak pelaksanaannya. Bukankah Gerakan juga turut sama menolak hukum hudud. Kalau Perkasa atau Umno merasakan mereka mahu bawa isu-isu ini, kenapa tidak meletak calon sendiri di Teluk Intan. Mengapa perlu guna rakan kongsi mereka? Lagi ganjil. Di Teluk Intan, berdasarkan bahan dan corak kempen awal, ini bukan Gerakan yang bertanding tapi lebih kepada Umno yang bertanding. Adakah Gerakan juga akan membawa tema sama dengan Umno? Kalau dahulu parti berbilang bangsa tersebut gigih memperjuangkan kesamarataan, mungkin sudah tiba masanya mereka menunjukkan imej sebenar. Kalau Gerakan mahu menang di Teluk Intan, bukan DAP yang sepatutnya mereka lawan. Umno adalah musuh utama Gerakan di Teluk Intan, jika mereka masih tidak sedar jangan mimpi untuk menang kali ini. Di sinilah keganjilan pilihan raya kecil Teluk Intan, dua parti yang bertanding akan melawan satu musuh iaitu parti konservatif, Umno. Umno patut terasa malu, asas parti mengikut dominasi kaum selama lebih 50 tahun dipecahkan sekali lagi di Teluk Intan. Lagi malu mereka tidak meletak calon sendiri di Teluk Intan. Bagi Gerakan, kasihan. Tetapi sekurang-kurangnya ada lagi yang sanggup berlawan secara berhemah. Menang kalah ramai sudah boleh ramalkan, tetapi mujurlah ada sedikit perencah dalam pilihan raya di Teluk Intan. Md Izwan adalah wartawan The Malaysian Insider. Beliau berkicau di @izwan_noborders. | ||
Posted: 20 May 2014 09:37 PM PDT
Tidak syak lagi Umno bankrap modal untuk bahan kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.Malam tadi, ada desas-desus Umno atau penyokong mereka akan sebar video ibu calon bercium dengan lelaki. Inikah yang terbaik dapat Umno lakukan? Tapi kepala biul Umno, mereka akan lakukan apa sahaja untuk menang.Tidak ada yang mustahil dengan parti yang lebih rela berkawan dengan syaitan daripada malaikat.Yang bertanding ialah anak, yang jadi mangsa ialah emaknya. Ini betul-betul macam perlakuan golongan feudal zaman dahulu, jika anak dituduh bersalah, habis satu keluarga dimusnahkan. Perbuatan yang Umno lakukan sama seperti yang dilakukan oleh golongan feudal zaman dahulu, disebabkan fakta bahawa Umno itu sebetulnya, sebuah parti politik feudal. Modal besar Umno dalam PRK Teluk Intan ialah isu perkauman. Dyana Sofya Mohd Daud diletak sebagai hiasan oleh DAP. Hiasan tak hiasan, memang objektif DAP ialah meningkatkan keyakinan orang Melayu. Sama seperti Umno letak MCA, MIC dan Gerakan. Semua itu perhiasan untuk Umno untuk tujuan yang sama – memancing pengundi bangsa bukan Melayu. Kenapa ianya boleh dilakukan oleh Umno tapi tidak boleh dilakukan oleh parti DAP? Ianya bukan suatu jenayah. Inilah pemikiran orang Melayu peringkat JKKK. Bila tiada Melayu dalam DAP, dia kata DAP parti rasis, tidak beri Melayu masuk DAP. Bila Melayu masuk DAP, dia akan kata, Melayu itu perhiasan dan pengkhianat bangsa. Mengenai bab pengkhianat ini orang Umno memang cukup handal. Sebab mereka pengkhianat bangsa Melayu yang paling besar. Tanah rizab Melayu yang dahulunya ada tiga juta hektar, sekarang hanya tinggal separuh. Yang jual ialah pemimpin Umno. Ini khianat kepada bangsa Melayu. Daripada RM54 billion nilai saham yang Umno agihkan kepada golongan terpilih, sekarang hanya tinggal RM2 billion. RM52 billion dijual kepada bangsa lain. Siapakah pengkhianat bangsa Melayu? Tahun lalu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebut mereka untung berbillion ringgit tapi semalam Najib kata, tarif kena naik kerana hendak selamatkan TNB. Bagaimana kita terangkan kontradiksi ini? Kata untung tapi kena naikkan tarif kerana hendak selamat? Malang yang menimpa TNB ini ialah kerana perjanjian berat sebelah antara IPP dengan TNB yang dipaksakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. TNB kena beli letrik pada kadar 19 sen seunit dan jual pada pengguna pada harga 15 sen seunit. Ini perniagaan apa? IPP tidak ada kos operasi bahkan beli gas pun dapat subsidi. Siapa yang pengkhianat? Yang pengkhianat kepada negara ini ialah orang yang paksa TNB beli kuasa dari IPP ini. Jadi bila dalam bab pengkhianat ini, Umno tidak ada autoriti moral hendak bercakap mengenai pengkhianatan. Pengkhianatan dan Umno adalah sinonim. Orang Umno macam tak reti bahasa – mengapa tidak boleh menerima bahawa bukan semua orang Melayu mahu dekat dengan Umno? Orang yang berada di luar Umno tidak boleh diadili dengan piawai yanga ada pada Umno- semua tak boleh pakai. (1) kepada Umno-Melayu itu mesti ahli Umno (2) Melayu itu mesti sokong Umno. Yang susah sangat Umno terima bahawa ada lebih ramai Melayu tidak berada dalam Umno ini mengapa? Jika Melayu ini memilih untuk tidak menyertai Umno, adakah kurang keMelayuan mereka? Umno cakap besar bahawa orang Melayu kembali menyokong mereka. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), jumlah undi yang Umno dapat ialah 3.2 juta undi. Jumlah ahli Umno pun 3.4 juta. Apa sudah jadi kepada 200,000 pengundi ahli Umno? Mereka tidak menyokong calon Umno? Mustahil dari 3.2 juta ini, pengundi Umno semuanya orang Melayu. Bangsa bukan Melayu pun mengundi calon Umno. Kalau kita andaikan bahawa 80% daripada undi yang calon Umno dapat datang dari bangsa Melayu, maka orang Melayu yang mengundi calon Umno ialah 2.6 juta sahaja. Jumlah undi yang BN dapat ialah 5.24 juta. dari jumlah ini, berapa agaknya pengundi Melayu? Katalah 60%. Maka jumlah orang Melayu yang keluar menyokong Umno ialah 3 juta orang. Maxima Umno dapat ialah 3 juta undi orang Melayu. Sekarang daripada 11.23 juta pengundi yang keluar mengundi dalam PRU13, berapa orang Melayu. 60%? Jika 60% maka jumlah pengundi Melayu ialah 6.74 juta. Tolak 3 juta Melayu yang undi Umno, ada 3.74 juta orang Melayu yang tidak undi Umno. Maka bila Umno kata orang Melayu sudah kembali kepada pangkuan mereka, itu adalah suatu pembohongan yang paling besar. Umno ada 3.4 juta ahli. Yang bising hiruk-pikuk tak sampai 15 ribu Melayu yang jadi ahli DAP itu mengapa? Bagaimana 15 ribu Melayu ini menggugat 3.4 juta soldadu Umno? – sakmongkol.blogspot.com, * Penulis atau nama sebenarnya Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub. | ||
Henti jadikan UiTM bahan kempen politik Posted: 20 May 2014 09:27 PM PDT KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni UiTM Malaysia menegaskan institusi itu tidak harus dijadikan bahan kempen politik seperti yang dilakukan pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan. Setiausaha Agung persatuan itu, Shukri Ishak menarik perhatian bahawa setiap individu berhak dalam negara demokrasi memilih arus politik masing-masing. "Tetapi jangan gunakan UiTM sebagai bahan kempen politik. Jangan babitkan UiTM. Setiap individu berhak membuat kenyataan tetapi biarlah yang benar dan ada bukti. "Cakap sahaja untuk kempen politik tanpa bukti dan fakta tidak menunjukkan kepintaran atau kecerdasan minda," katanya dalam kenyataan hari ini. Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dilaporkan mendakwa UiTM mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada, berbanding penuntut daripada keluarga bukan berada yang tiada kaitan dengan Umno. Dyana Sofya merupakan bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM. Shukri berkata: "Dia (Dyana Sofya) hanya seorang daripada 600,000 alumni UiTM. Ramai (alumni) juga menjadi pemimpin parti lain daripada Umno." Mengulas lanjut, beliau berkata UiTM mempunyai program dipanggil 'JPA/MARA/Petronas Pre-Overseas Programme' yang membantu pelajar yang ditaja JPA termasuk berketurunan India dan Cina menjalani latihan antara setahun dan dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara. Beliau berkata program yang diperkenalkan sejak 1980-an itu turut meliputi program A Level Jerman yang menyaksikan pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti di Jerman. "Ramai tidak tahu UiTM membantu pelajar bukan Bumiputera mendapat pendedahan melalui latihan selama setahun hingga dua tahun di UiTM sebelum mereka ke luar negara," katanya berhubung program itu yang dibuat di Pusat Pendidikan Antarabangsa (Intec), yang merupakan sebahagian daripada UiTM. Beliau menjelaskan Intec yang menawarkan pelbagai program, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pensyarahnya juga terdiri daripada kalangan pensyarah UiTM. "Saya yakin UiTM telah melatih lebih ramai anak bukan Bumiputera berbanding Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Tanya UTAR dan KTAR berapa ramai anak Melayu lulus dari tempat mereka," tegas Shukri. PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya. Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan 31 Mei. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. - Bernama | ||
Tak selamat kalau mimpikan Dyana Posted: 20 May 2014 09:22 PM PDT KALAULAH menara jam condong Teluk Intan hidup, mungkin ia sudah tegak semula dalam beberapa hari ini. Tegak bangga kerana Teluk Intan tiba-tiba jadi sebutan. Sebelum ini, meskipun bandar pusat pentadbiran Daerah Hilir Perak itu miliki menara condong yang unik - seunik Menara Pisa di Itali - namun ia seakan tidak dipedulikan. Tidak ramai orang yang ambil tahu, apa lagi mahu melawat menara jam yang sudah berusia 130 tahun, setinggi 85 kaki dan punya 110 anak tangga itu. Sebab musababnya, barang kali kerana tidak ada tarikan lain yang diusahakan di sekitar menara jam itu untuk memikat hati pelancong ke Teluk Intan meskipun jarak dari situ ke Kompleks Sejarah Pasir Salak yang menyimpan khazanah pahlawan Datuk Maharajalela tidaklah sejauh mana. Sebut mengenai Teluk Intan, generasi muda hari ini mungkin ramai tidak tahu bahawa bandar itu dahulunya bernama Teluk Anson. Bermula 1 Januari 1982, atas titah perintah Sultan Perak pada masa itu, Sultan Idris Shah, Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan sebagai menghapus elemen bahasa penjajah. Nama Teluk Intan dikatakan diambil daripada nama lama pekan itu, Pekan Teluk Mak Intan yang mengikut satu versi berasal daripada nama seorang janda cantik asal dari Mandahiling, Sumatera. Intan atau Mak Intan, antara pedagang yang meneroka kawasan itu pada awal abad ke-19. Apabila kawasan itu semakin maju dan membangun, ia dikenali sebagai Pekan Mak Intan. Kemudian, ramailah orang luar datang berdagang terutama dari Jawa, Rawa, Minang dan Bombay (Mumbai). Antara dagangan yang mahsyur pada waktu itu ialah rempah ratus, hasil pertukangan besi dan kain. Satu versi yang lain pula menyebut nama Teluk Intan berasal daripada nama Intan, seorang gadis jelita anak keluarga pedagang yang berpengaruh. Pada suatu hari, tatkala Intan sedang mandi manda bersama rakan-rakannya di tebing Sungai Perak, cincin pemberian ibunya telah tertanggal dari jarinya dan hilang dibawa arus. Ini menyebabkan Intan sangat bersedih. Oleh kerana dia daripada keluarga berpengaruh, tempat itu lalu dinamakan Teluk Intan mengambil sempena namanya. Sama ada benar ataupun tidak kedua-dua kisah ini, tidaklah dapat dipastikan. Apa pun, kedua-dua versi ini adalah berkaitan dengan gadis atau wanita cantik. Kebetulan pula, mahsyurnya nama Teluk Intan ke seantero negara dalam sehari dua ini bukan semata-mata disebabkan kempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung tetapi kerana calonnya. Kalau hendak dikatakan kerana pilihan raya kecil, di Bukit Gelugor Pulau Pinang pun sekarang ada pilihan raya kecil juga tetapi perhatian ramai orang tetap juga tertumpu ke Teluk Intan. Dyana Sofya calon DAP memang cantik, siapa pun tidak boleh menafikan! Jika tidak masakan dua menteri yang juga pemimpin kanan Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sampai perlu mengingatkan: "Ini bukan pertandingan ratu cantik!" Rasanya tidak pernah ada mana-mana pilihan raya pun sebelum ini yang hal kecantikan calon begitu diberikan perhatian seperti PRK Teluk Intan. Kawan-kawan lelaki dalam Umno pun ada yang berjenaka, "kalaulah aku pengundi Teluk Intan, aku pun pangkah dia. Dah jadi YB, boleh kerap jumpa..." Kalau yang bertanding itu Ngeh Ko Ham atau mana-mana pun pemimpin DAP yang lain, mati hidup balik pun mereka tidak akan lalu untuk berkata seperti itu. Sampai begitu sekalilah! Agak-agaknyalah, akan berlaku atau tidak kemungkinan ahli Umno lelaki yang akan mengundi di Teluk Intan pada 31 Mei ini sampai terpangkah, ataupun sengaja memangkah Dyana Sofya pada kertas undi? Hal kecantikan Dyana bukan sahaja heboh di Teluk Intan. Dalam media sosial pun tidak kurang juga pengaruh dan popularitinya. Bukan sedikit kawan-kawan lelaki yang berseloroh 'mimpikan' Dyana dalam sehari dua ini. Entahkan seloroh, entahkan betul-betul mimpi, wallahua'lam! Kalau betul, agaknya macam manalah reaksi orang sebelah? Kalau setakat mimpi diam-diam, tidak mengapalah... tetapi bagaimana kalau sampai tersebut nama? Dyana! Dyana! Dyana! Apa nak dijawab kalau isteri sampai terjaga dan terdengar? Kalau sebut nama lain, masih boleh lepas lagi. Contohnya: Seorang suami yang sedang tidur tiba-tiba bermimpi dan menyebut nama "Mah! Mah! Mah!" Dek kerana agak kuat bunyi suara, isteri sampai terjaga. Bingkas bangunlah dia. Terus sinting lengan baju (kalau berbaju) dan sambil menggoncang-goncang badan suaminya, dia bertanya, "Mah mana pulak ni bang? Cepat bangun... jawab dengan saya, Mah mana? Cepat!!!!" Si suami yang terkejut, bangun dan sambil mengenyeh-genyeh mata masih ada harapan untuk selamat jika menjawab: "Mah Siew Keong... Datuk Mah Siew Keong yang bertanding di Teluk Intan tu. Saya kan baru balik dari kempen dia!" Selamat. Tetapi kalau sebut Dyana... susah sikitlah! Sebabnya, isteri kita pun masing-masing tahu Dyana cantik. Walaupun dia sendiri tidak kenal kita tetapi kalau sampai terbawa-bawa dalam mimpi, itu sudah kira kes parah! Berbalik pada persoalan awal tadi, Menara Condong Teluk Intan pun mungkin akan tegak jika ia sedar akan perhatian yang diberikan terhadap bandar itu dalam seminggu dua ini. Akan tetapi jika tegak menara itu, hilanglah keunikannya. Tetapi kalaulah dengan kecondongannya yang unik selama lebih 100 tahun itu pun ia masih tidak diberikan perhatian, ia sama sahaja menara-menara jam lain di seluruh negara yang tidak mempunyai keunikan sama seperti menara Teluk Intan. Tidak kiralah siapa yang akan naik jadi Ahli Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini, harapnya akan dapat mengusahakan sesuatu yang boleh memberi nilai tambah kepada tarikan pelancong ke bandar Hilir Perak ini. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan