Khamis, 29 Mei 2014

bumiperak

bumiperak


Sultan Azlan Shah 19 April 1928 - 28 Mei 2014

Posted: 28 May 2014 03:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 28 Mei  Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat pada jam 1.30 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Almarhum berusia 86 tahun.

Beliau meninggalkan isteri, Raja Permaisuri Tuanku Bainun Muhammad Ali, seorang bekas guru, dan empat anak mereka iaitu Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah; Raja Datuk Seri Azureen Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Seorang lagi putera, Raja Ashman Shah meninggal dunia pada 2012.

Pengembumian akan diadakan esok selepas solat Asar di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Perak ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 1984. Sebelum ini, baginda mempunyai kerjaya cemerlang dalam sistem kehakiman Malaysia, dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara pada 1982.

Pada 1989, Sultan Azlan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9, berkhidmat selama lima tahun, sebelum kembali ke takhta Perak pada 1994.

Khabar angin tersebar mengenai kemangkatan Sultan sejak Ahad, tetapi perkara itu tidak benar.

Sultan Azlan Shah menjadi pemerintah Perak selepas kemangkatan bapa saudaranya, Sultan Idris Shah pada 1984.

Baginda juga adalah bekas Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia dan terkini Canselor Universiti Malaya.

Sultan Azlan menjadi presiden Persekutuan Hoki Malaysia sehingga 2005 dan kekal sebagai presiden Persekutuan Hoki Asia dan ahli lembaga eksekutif badan global sukan itu, Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah adalah kejohanan hoki tahunan yang disertai beberapa banyak negara dan diadakan di Ipoh.

Raja Azlan Shah dilahirkan pada 19 April, 1928 di Batu Gajah, Perak.

Baginda adalah putera kepada Sultan Yusuf Izzuddin Shah (1948–1963) dan Toh Puan Dewangsa Khadijah Ahmad.

Ketika kecil, Raja Azlan Shah dibesarkan oleh bondanya di luar lingkungan diraja.

Pendidikan awal baginda adalah di Sekolah Kerajaan Inggeris, Batu Gajah, kini dikenali sebagai SMK Sultan Yussuf.

Baginda mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum berlepas ke United Kingdom untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham.

Baginda memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1953 dan dimasukkan ke Majlis Peguam Inggeris oleh Honourable Society oft Lincoln's Inn pada 23 November 1954.

Sekembalinya ke tanah air, baginda berkhidmat sebagai pembantu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang bagi Persekutuan Tanah Melayu sebagai majistret. Baginda kemudiannya dilantik sebagai presiden Mahkamah Sesyen.

Baginda juga merupakan Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada usia 37 tahun, baginda diiktiraf sebagai hakim termuda dalam Komanwel yang dilantik bagi Mahkamah Tinggi pada 1965.

Pada 1973, baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan pada 1979 pula sebagai Ketua Hakim Malaya.

Baginda ditabalkan sebagai Raja Muda pada 1 Julai, 1983.

Pada awal 2009, baginda menerima kritikan hebat kerana penglibatannya dalam penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak semasa Pakatan Rakyat  (PR) masih berkuasa yang membawa kepada krisis Perlembagaan negeri.

Keputusan baginda tidak dipersetujui Mahkamah Tinggi, yang memutuskan Sultan mengikut perlembagaan tidak dibenarkan memecat menteri besar.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian mengatakan Sultan adalah betul dalam melantik Zambry daripada Barisan Nasional sebagai menteri besar, walaupun mereka tidak memenangi undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). – 28 Mei, 2014.

Tiada ulasan: