"BERANI KERANA BENAR!" |
- Gear 2, Gear Fit trend jam pintar
- Batuk waktu pagi dan malam
- Sharifah Aini dijangkiti H1N1
- Mesti elak jumpa China
- Dunia jika tanpa Islam
- Karier politik Yingluck berakhir?
Gear 2, Gear Fit trend jam pintar Posted: 09 May 2014 06:35 AM PDT BUKAN sahaja dikenali sebagai pengeluar peranti telefon pintar, tablet ataupun phablet, Samsung juga pantas mengorak langkah dalam memperkenalkan gajet terbaharu miliknya iaitu Galaxy Gear 2 dan Gear Fit. Menariknya, peranti keluaran terbaharu syarikat dari Korea yang boleh didapati di pasaran Malaysia mulai 11 April lalu itu adalah akses atau sokongan kepada 13 rangkaian telefon pintar Samsung Galaxy yang lain dengan kebolehan merakam gambar pada resolusi 2MP dan video HD 720p. Malah, Gear 2 berkeupayaan menjawab panggilan telefon dan bercakap secara terus dengan menggunakan teknologi 'infrared' untuk kawalan jauh. Jika dibandingkan dengan versi lama, Gear 2 mampu memainkan muzik sendiri tanpa sambungan kepada peranti lain dengan memori dalaman sebanyak 4GB. Selain itu, tali Gear 2 juga boleh ditukar atau diubah suai bagi dipadankan dengan pelbagai fesyen yang ditampilkan pemakainya memandangkan akses kamera dan mikrofon telah dipindahkan ke badan peranti itu sendiri. Bukan itu sahaja, jangka hayat bateri Gear 2 turut dipertingkatkan untuk bertahan selama tiga hari bagi penggunaan biasa dan enam hari penggunaan minimum. Bagi mereka yang memakai untuk tujuan kesihatan seperti berjoging, peranti ini turut dilengkapi dengan sensor pengesan degupan jantung dan mengira setiap langkah ketika bersenam. Sementara itu, Gear Fit pula menjadi peranti boleh pakai pertama dengan skrin lengkung yang menjadikannya lebih selesa dipakai di tangan. Sama seperti Gear 2, talinya juga boleh ditukar untuk tujuan kesesuaian gaya dan fesyen si pemakainya. Bertepatan dengan objektif pembinaannya sebagai peranti kesihatan, Gear Fit dilengkapi sensor pedometer dan degupan jantung dengan kuasa baterinya mampu bertahan sehingga empat hari. Harga kedua-dua peranti yang kalis air dan debu itu adalah berpatutan sejajar dengan teknologi yang dimilikinya iaitu RM899 dan RM599. - DHIYA'ZULHILMI DAUD |
Posted: 09 May 2014 06:29 AM PDT Oleh Siti Aishah Yusoff PERASAAN anda seringkali terganggu kerana anak yang berusia dua tahun sering mengalami batuk yang berpanjangan pada waktu pagi. Kemudian, apabila malam menjelma batuknya datang kembali, tambahan jika keadaan cuaca sedikit dingin dan sejuk batuknya semakin menjadi-jadi. Jika seringkali berhadapan dengan situasi ini, berwaspada dan ambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa dengan doktor. Simptom-simptom awal yang ditunjukkan itu, besar kemungkinan anak menghidap penyakit asma. Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, asma adalah penyakit kronik yang berlaku akibat keradangan disebabkan saluran pada paru-paru membengkak dan sempit. "Asma terjadi apabila saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan diselaputi oleh lendir-lendir. Situasi ini menyebabkan berlaku sesak nafas dan semput. "Penyempitan pada saluran pernafasan kanak-kanak penghidap asma boleh berlaku secara tiba-tiba dan berulang kali, menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi kesukaran untuk bernafas," katanya. Menurut Dr. Salehuddin, asma merupakan penyakit kronik yang menyerang kanak-kanak berumur setahun ke bawah sehingga mencapai umur peringkat dewasa. Kajian juga menunjukkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang masih bersekolah diserang penyakit tersebut. Begitupun beliau menambah, ia adalah penyakit yang susah dikenalpasti pada kanak-kanak yang berumur kurang dari dua hingga tiga tahun berikutan simptom yang seakan dengan penyakit lain. Ini kerana, dalam lingkungan umur sebegini kanak-kanak tersebut mudah terdedah dengan penyakit seperti jangkitan bakteria dan kuman pada paru-paru. "Berlainan pula dengan individu yang mencapai umur dewasa, kekerapan diserang asma semakin berkurang berikutan paru-paru yang semakin membesar. "Keadaan ini membantu mengatasi masalah kesempitan saluran pernafasan agar menjadi lebih baik lancar," katanya. Menurut Dr. Salehuddin lagi, penyakit asma kerap dikaitkan dengan faktor genetik dan persekitaran. Mereka yang dilahirkan dengan sejarah yang mempunyai masalah asma lebih berisiko mendapat penyakit ini. Potensi mereka menghidap asma juga lebih tinggi jika keluarga mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan ekzema. "Persekitaran yang menyebabkan mereka selalu terdedah dengan asap rokok, debu, keadaan cuaca sejuk, alahan dengan debunga dan jangkitan kuman pada paru-paru, akan meningkatkan kadar diserang asma. "Seeloknya apabila mengetahui anak menghidap asma elakkan mereka daripada berhadapan dengan keadaan ini yang boleh meningkatkan potensi diserang penyakit tersebut," katanya lagi. Ujar Dr. Salehuddin lagi, secara jelasnya penyakit asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak. "Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat. "Sekiranya ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah. "Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya. "Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan selalu mengeluh penat dan semput jika melakukan aktiviti luar seperti bersukan juga berpotensi menghidap asma," katanya. Ujarnya lagi, kanak-kanak yang diserang asma akan terjejas corak kehidupan mereka dan perlu melalui kesan jangka masa panjang. Apabila kanak-kanak ini selalu mengalami sesak nafas mereka akan kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan ini akan mengganggu dan membantutkan proses pembelajaran mereka. "Sekiranya sejak kecil mereka sudah menghidap asma, keadaan ini mengganggu proses tumbesaran dan fungsi paru-paru kerana tidak dapat membesar dengan sempurna. "Apabila pesakit ini meningkat usia tahap kecergasan dan stamina badan akan berkurangan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit berkaitan paru-paru di usia tua," katanya. Dr. Salehuddin berkata, tiada rawatan khusus yang digunakan untuk memulihkan penyakit asma, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kaedah rawatan yang bersesuaian. "Kita boleh atasi sebahagian daripada simptom asma, tetapi untuk mengubatinya agar kembali normal dan penyakit tidak berulang agak susah kerana penyakit asma berkaitan dengan genetik. Begitupun, faktor persekitaran boleh dielakkan, di samping menggunakan rawatan yang bersesuaian. "Antara rawatan yang boleh digunakan adalah melalui ubat yang dimakan atau menggunakan pam oksigen. Malah kebanyak pesakit asma akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja. "Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma," katanya. |
Posted: 09 May 2014 06:23 AM PDT KUALA LUMPUR 9 Mei - Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini, 61, hari ini mengesahkan yang dia pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) lima bulan lalu. Menerusi Facebooknya hari ini, Sharifah Aini memberitahu yang dia menerima rawatan di hospital selama 28 hari dan sepanjang tempoh itu dia ditempatkan di bilik berasingan daripada pesakit lain. "Sampai sekarang saya perlu berulang-alik ke hospital dan hospital ibarat rumah kedua saya kerana kesihatan saya belum pulih seratus peratus. Saya memberitahu pengalaman ini, agar orang ramai lebih berhati-hati. Semuanya berlaku kerana saya terlalu ingin menjaga hati orang. "Waktu itu saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan salah seorang jemputan saya membawa kenalannya (wanita) yang tidak saya kenali dan wanita itu sejak datang batuknya amat teruk. Wanita itu hadir tiga malam berturut-turut ke majlis yang saya anjurkan itu. "Tiap kali datang, dia akan memeluk dan mencium pipi saya. Bila dia peluk saya, tangan saya berpeluh. Selepas itu saya dapat tahu yang dia baru pulang daripada bercuti dari luar negara. Gara-gara dia, saya dan ahli keluarga disahkan dijangkiti virus H1N1," katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya hari ini. Kata Sharifah Aini, tujuan dia mendedahkan pengalaman itu bukan untuk menghina sesiapa, cuma untuk mengingatkan orang lain agar berhati-hati apabila mempunyai rakan atau saudara mara yang batuk teruk. |
Posted: 09 May 2014 06:19 AM PDT KUALA LUMPUR - Bahang bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas 2014 semakin dirasai. Hanya dua minggu sahaja lagi kejohanan tersebut akan bermula di New Delhi dan skuad badminton negara mensasarkan untuk menjadi juara Kumpulan C bagi memastikan laluan mereka mudah ke peringkat seterusnya, sekali gus dapat mengelak pertembungan dengan China di pusingan suku akhir. Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek (gambar) berkata, segala persiapan akhir telah dilakukan oleh mereka dan yakin bahawa pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan tersebut. "Persediaan dari segi mental dan fizikal adalah antara perkara yang kami berikan tumpuan dalam usaha merealisasikan matlamat kami dalam misi membawa pulang Piala Thomas. "Bagaimanapun, kami menghadapi sedikit masalah apabila pasukan beregu negara masih lagi tidak konsisten, namun itu tidak menggugat misi kami kerana kami masih mampu untuk memberi saingan kepada pihak lawan dan kami akan menghadapi mereka satu demi satu," katanya ketika dihubungi semalam. Malaysia, yang kali terakhir merangkul kejuaraan berprestij itu pada 1992 di Kuala Lumpur, diletak dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, India dan Jerman manakala China berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Taiwan, Rusia dan Perancis. China dilihat mampu mempertahankan kejuaraan mereka berdasarkan senarai pemainnya, yang turut meletakkan juara dunia dan Olimpik, Lin Dan sebagai perseorangan keempat. Kehadiran pemain nombor 58 dunia itu sudah pasti mendatangkan gerun buat semua pencabar mereka, termasuk Malaysia yang mungkin akan bertemu juara sembilan kali itu lebih awal jika hanya menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan. Semalam, pasukan negara melakukan persiapan terakhir sebelum ke New Delhi apabila kesemua pemain Piala Thomas dan Uber telah menyiapkan visa di kedutaan India tanpa sebarang masalah. Mereka akan berangkat Khamis depan. |
Posted: 08 May 2014 08:16 PM PDT teknologi dan ekonomi pada masa kini telah meletakkan mereka sebagai negara kuasa besar dunia. Malah, menjadi fenomena yang dibanggakan jika terdapat dalam kalangan kita yang berjaya melanjutkan pelajaran atau berkhidmat di negara yang dianggap pencetus kepada pembaharuan tamadun dunia itu. Sehinggakan secara tidak disedari, hakikatnya Islam yang telah mencipta tamadun dengan lahirnya ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti teologi, falsafah, sains dan teknologi mula terhakis secara perlahan-lahan dalam minda manusia. Bahkan, semasa tamadun Islam berada di dalam era kegemilangannya iaitu pada abad pertengahan sehingga abad ke-14 Masihi, Barat masih lagi dalam zaman kegelapan. Barat ketika itu masih memusuhi sains dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama. Sarjana Barat juga didakwa giat berguru dengan ulama Islam seperti yang didedahkan oleh seorang penulis, Turki Fuat Sezgin, yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums. Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah memperkenalkan tamadun bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama. Peradaban manusia Menyokong perkara itu, pendakwah antarabangsa, Dr. Isam Rajab berkata, kemajuan dan peradaban manusia berkemungkinan tidak akan sehebat pada hari ini jika tanpa sumbangan dan panduan agama Islam. Ia katanya, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan perihal akhlak dan keperibadian manusia yang bermula daripada dalam diri setiap individu. Justeru, tambahnya, garis panduan dan didikan bermula daripada akar umbi yang telah ditetapkan oleh Islam secara tidak langsung menjadikan tamadun manusia bertambah maju dan berkembang pesat sehingga ke hari ini. "Islam menganjurkan kepada umatnya untuk bersaudara. Ia bermaksud kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan tolong-menolong antara sesama manusia, bukan hanya menjaga kepentingan diri sendiri atau membuat urusan sendiri. "Islam juga menitikberatkan soal keadilan bagi menjadikan manusia sentiasa akan merasa selamat dan terpelihara tidak kira sebarang sentimen atau sebab. Islam telah menyediakan undang-undang yang Allah SWT jelaskan menurut al-Quran untuk menghukum pesalah dan membela kebenaran. "Selain itu, pendustaan, hasutan dan fitnah sangat ditegah di dalam Islam. Perkara yang disuruh dan dilarang menurut Islam ini semuanya mempunyai hikmah yang diperintahkan," katanya. Beliau berkata demikian pada wacana Why People Need Islam: Now More Than Ever yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia di TTDI, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, kegagalan manusia dalam mengikuti garis panduan yang dianjurkan oleh Islam itu menjadikan manusia hidup dalam kucar-kacir dan dalam ketakutan, sekali gus membantutkan perkembangan tamadun dan kemajuan manusia. "Manusia akan hidup dalam kegelapan. Sentiasa dalam ketakutan, rasuah, penipuan dan maksiat bermaharajalela di muka bumi ini. Ia apabila tiada lagi keadilan, kejujuran dan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang. "Kesannya, peradaban manusia akan semakin kucar-kacir dan tidak seimbang. Yang kaya akan terus hidup mewah, manakala golongan miskin terus ditindas dan tidak menikmati kebahagiaan hidup," jelasnya. Kehadiran Islam Kehadiran agama Islam katanya, memberikan kebahagiaan kepada manusia dan penyelesaian kepada segala masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Memberi contoh kejayaan pemerintahan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, Rajab berkata, umat Islam hidup dalam kemewahan sehingga tiada siapa yang layak untuk menerima zakat. Ia berikutan, kebijaksanaan pemerintah pada masa itu yang bertakwa dan berpegang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan pemerintahan berlandaskan Islam. "Yuran pendidikan adalah percuma, insurans, ansuran kenderaan dan rumah juga boleh dihapuskan sekiranya umat Islam yakin dan berpegang teguh dengan kaedah ekonomi Islam. Seperti yang diamalkan pada pemerintahan Islam terdahulu yang mengutamakan konsep wakaf. "Bukan itu sahaja, malah manusia tidak perlu bimbang masalah sosial dan jenayah yang berlaku apabila ajaran Islam menjadi garis panduan amalan harian kita," katanya. |
Karier politik Yingluck berakhir? Posted: 08 May 2014 06:00 AM PDT BANGKOK 8 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand (NACC) hari ini menyatakan, bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra bakal didakwa atas dakwaan cuai dalam menguruskan skim pembelian beras oleh kerajaan. Keputusan NACC yang boleh menyebabkan Yingluck diharamkan terlibat dalam politik selama lima tahun itu dibuat sehari selepas beliau disingkirkan Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan salah guna kuasa. Presiden suruhanjaya itu, Panthep Klanarong berkata, pihaknya melakukan siasatan dan mendapat bukti cukup untuk membuka kes terhadap bekas Perdana Menteri tersebut. "Kami akan melanjutkan kes ini kepada Dewan Senat," katanya. Jika didapati bersalah dan dipecat melalui undian Dewan Senat, Yingluck boleh diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun. Menurut NACC, pihaknya juga sedang menimbangkan sama ada pemimpin itu bakal berdepan dakwaan jenayah yang menyaksikan beliau boleh dipenjarakan. Dalam pada itu, Yingluck semalam menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkannya sebagai Perdana Menteri kerana menyalahgunakan kuasa. Laman web akhbar Bangkok Post melaporkan Yingluck berkata, beliau bekerja keras melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan berkhidmat demi rakyat yang memilihnya untuk mentadbir kerajaan. Perdana Menteri wanita pertama Thailand tersebut dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan menegaskan, beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan jujur dan amanah, berbeza daripada tuduhan yang dikenakan terhadapnya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai kerajaan yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun dan sembilan bulan serta rakyat yang memberikan sokongan moral. Yingluck menyatakan beliau bangga dipilih sebagai Perdana Menteri dan kekal untuk melaksanakan demokrasi, kesamarataan sosial dan kepentingan awam. Mahkamah Perlembagaan semalam mendapati Yingluck bersalah menyalahgunakan kuasa dalam menukar Ketua Majlis Keselamatan Nasional, Thawil Pliensri pada 2011. Sebanyak sembilan menteri Kabinet dipimpin Yingluck turut diarahkan berundur kerana menyokong penukaran Thawil tersebut. - REUTERS/AGENSI |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan