Selasa, 6 Mei 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Bari Orang Lepe Kabu

Posted: 05 May 2014 09:51 PM PDT

MALAM 15 Syaaban bulan ruah jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Sekejap lagi masuk jam dua
belas malam ketika waktu dikuasai oleh bintang Zuhal dalam putaran bintang tujuh. Kata Makhdum Ali carilah waktu 14 hari sebelum bulan tua ketika bulan berpusing mengelilingi bumi dan bumi berpusing mengelilingi matahari di atas paku alam, tiba pada rupa sama selari segaris segala bulan, bumi dan matahari berhimpunlah bulan bumi matahari. Maka ketika itu muncullah rahu menelan bulan hingga gelap gelematlah segala alam. Nuar melihat ke langit dan merasakan inilah waktunya. 14 hari sebelum bulan tua, tepat jatuhnya bulan ruah 15 Syaaban pada hari Khamis malam Jumaat. Nuar menggamit Ju dalam terang bulan purnama. Ju yang faham mengunjukkan karung kecil kepada Nuar.
"Ada semua," kata Ju perlahan. Di dalam karung itu berisi beras kunyit, bertih, sirih, pinang, 7 biji ketupat, 7 biji lepat, sebiji telur ayam selasih, jantung pisang dan limas upih.
Nuar menggamit Poji di sampingnya. "Daun putarwali."
Poji mengangguk sambil mengunjukkan sumpik kecil dalam samar bulan. "Dah cukup kering untuk dibakar," tukas Poji perlahan.
"Kalau terlepas hari ini, kita kena tunggu tahun depan. Itu pun tak tahu dapat atau tidak waktu dan ketika yang tepat macam malam ini." Nuar bersuara perlahan, lalu melangkah melalui denai yang disuluh bulan perbani. Ju dan Poji mengikut langkah Nuar.
Tiada orang di Lepe Kabu ini yang berani menyebut nama itu. Nuar mengingati perkara ini sejak dia kecil lagi. Sejak zaman kanak-kanak ketika mula pandai bercakap dan masih kencing dalam seluar, dia telah ditakut-takutkan tentang nama ini. Maka sejak itu Nuar tidak berani menyebut namanya, hatta pangkal namanya atau bunyi 'a' itu pun tidak berani disebutnya. Malah teringatkan nama itu sahaja Nuar terasa hendak terkencing.
Sering juga pada malam-malam hari Nuar tergigil-gigil apabila terlintas di kepalanya tentang nama itu. Dan sering juga Nuar terkencing apabila kepalanya terlalu ingin menyebut nama itu. Apabila kehendaknya terlalu kuat hendak menyebut nama itu, maka terkeluar bunyi 'a' di pangkal nama itu di mulut Nuar.
Serentak terkeluar bunyi 'a' itu Nuar terasa kainnya basah. Terkencing. Lalu Nuar menyumpah-nyumpah kepalanya yang begitu hendak mengingat dan menyebut nama itu. Besok tentu sahaja dia dibedal oleh meknya yang mengambil kain untuk dibasuh, kerana terkencing lagi dalam kain.
Zaman itu telah berlalu lama, tetapi nama itu terus lekat menghantui penduduk Kampung Lepe Kabu ini. Hari ini Nuar pulang ke kampung, mencari dua orang kawan sepermainannya semasa kecil dan menyatakan hasratnya. Nuar sudah beberapa lama menetap di Kuala Lumpur, tetapi selalu pulang ke kampung menjenguk kedua-dua ibu bapanya seperti mana pemuda kampung yang lain.
Poji dan Ju juga pernah bekerja di Pulau Pinang, di Kuantan, di Kota Bharu sebelum akhirnya pulang menetap di kampung. Hanya Ju yang sudah bertunang, sedang Nuar dan Poji masih bujang. Poji pulang setelah putus cinta ketika bekerja di Pulau Pinang. Tiada apa yang boleh dibuat di kampung kecuali menoreh getah. Poji kemudian menjadi penjual baju bundle di pasar malam di kampung dan pekan sekitarnya. Sesekali ketika harga getah naik, Poji turun juga menoreh getah di kebunnya. Zu setelah pulang dari bekerja di syarikat balak di Kuantan kini bekerja tetap sebagai kerani sekolah rendah di Kampung Lepe Kabu. Dengan adanya kerja kerajaan yang terjamin itu Zu mengambil keputusan untuk berumah tangga.
Tetapi kepulangan Nuar dengan misinya kali ini memang memeranjatkan Ju dan Poji. Bagaimanapun sejumlah wang ringgit yang ditawarkan Nuar jika misi ini berjaya mendiamkan Ju dan Poji. Malah seperti terpukau mereka menuruti Nuar, dan malam ini mereka siap untuk melaksanakan misi Nuar ini. Kepala mereka terbayang ringgit yang dikatakan Nuar, tetapi roma-roma di tubuh mereka juga turut meremang apabila memikirkan misi yang mereka lakukan ini.
Mereka akhirnya tiba di rumah gemulah Nek Tijah yang terletak jauh di hujung kampung. Rumah usang yang ditinggal terbiar sekian lama itu berdiri dalam gelemat malam oleh bayangan pokok-pokok kelihatan sangat menyeramkan. Mereka berhenti di rusuk rumah yang menghadap matahari jatuh. Nuar mencari tempat yang agak tersorok dan menyua tangan ke sumpik di tangan Poji.
"Kita asapkan putarwali."
Hari Khamis bulan cukup cahaya di langit, pedoman barat laut menunjukkan memperoleh laba. Nuar menghafal apa yang dicakapkan Makhdum Ali. Nuar melihat langit, mencari bintang pari. Angin kering timur laut cepat membarakan api di bawah rumpun putarwali. Asap mula membumbun di udara malam. Bau asap pahit perlahan-lahan bergerak ke arah rumah gelap arwah Nek Tijah. Poji dan Ju diam tidak bergerak. Batu. Tetapi ada roma-roma yang meremang berdiri.
"Kita tunggu." Nuar bersuara separuh berbisik.
Mereka menunggu seperti batu tegak di gelemat malam. Tetapi malam sebenarnya cerah oleh cahaya langit yang terang perbani.
"Nuar..." Ju bersuara mengisi bosan. "Apa cerita reformasi kau."
Nuar diam, kelihatan sedikit menggeleng. "Susah..." bau putarwali semakin pahit. "Demonstrasi, demonstrasi dan aku tak tahu di mana akhirnya. Aku mula bosan."
Ju diam. Apa yang dia tahu Nuar kandas pelajarannya di universiti kerana sibuk terlibat dengan demonstrasi mengikut kaum politik yang kononnya melancarkan reformasi dan menjatuhkan kerajaan yang ada. Nuar tak ke mana-mana selain menjadi barua politik, kandas dalam pelajaran, tidak ada kerja dan akhirnya tidak tahu apakah makna reformasi tanpa sebutir beras di dalam perutnya.
"Kau fikir menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya dapat melahirkan sebuah kerajaan baru yang adil, aman dan bahagia untuk semua orang." Ju hanya bertanya.
Nuar diam. Poji mencangkung mula tertarik.
"Kau mula bosan setelah reformasi tidak memberikan sebutir beras pun ke dalam perutmu."
"Aku mula bosan dengan percakapan demi percakapan, janji demi janji, dan ahli politik yang mula gila melihat kuasa berterbangan di atas kepalanya. Sedang aku pulang dan menanggung kelaparan sendiri-sendiri, kesusahan sendiri-sendiri. Besoknya kami turun lagi mendengar percakapan lagi, janji lagi, kutukan makian lagi. Kemudian kami berarak memaki hamun, mencarut dalam laman sosial dan kemudian menghirup gas pemedih mata. Dan pulang ke rumah menanggung kesakitan sendiri-sendiri."
"Aku tidak pernah fikir menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan akan mendirikan kerajaan yang lebih baik. Ia akan melahirkan kerajaan yang lebih buruk oleh keadaan huru-hara dan perbalahan masing-masing kelompok yang dulunya bersatu untuk menjatuhkan kerajaan." Poji menyampuk (cerita mula menjadi tidak logik apabila Ju dan Poji anak kampung yang tidak berpelajaran mula bercakap seperti orang bijak pandai. Tetapi politik tidak memerlukan logik maka sesiapa yang bercakap tentang politik tidak memerlukan sebarang logik).
"Mesir, Libya, Tunisia terus bergolak tidak putus-putus setelah kerajaan dijatuhkan oleh tunjuk perasaan, kuasa rakyat kononnya. Indonesia juga tidak pernah lebih baik daripada zaman Suharto selepas hampir dua dekad reformasinya." Ju menambah (ketidaklogikan Ju dapat bercakap sebegini bijak terus berlangsung).
"Mereka ingin menjatuhkan kerajaan dan mendirikan sebuah kerajaan reformis yang liberal. Islam disamakan dengan agama-agama lain, undang-undang syariah diletakkan di bawah kuasa undang-undang sivil jika tidak pun mahkamah syariah dihapuskan terus, tiada hak istimewa bumiputera kerana semua orang harus mempunyai hak yang sama. Masyarakat berhak mempunyai hak ke atas pilihan mereka, termasuk untuk murtad, untuk berkahwin sesama jenis. Ah... aku mula bingung memikirkan negara baru yang bakal lahir di tangan reformis." Nuar bercakap panjang.
Hampir dua dekad selepas malam itu, Nuar dilantik bertanding atas nama parti pembangkang. Tetapi Nuar kalah teruk kerana ketika itu orang Melayu bangkit menentang cita-cita liberal kaum reformis. Pakatan pembangkang berpecah-belah dan saling menyalahkan satu sama lain.
"Aku tidak lihat pembangkang melakukan apa-apa yang lebih baik di negeri-negeri yang dikuasai mereka kecuali menyalahkan Kerajaan Pusat atas segala yang tidak mampu mereka lakukan." Ju menambah (ia adalah sebuah propaganda yang memualkan, tetapi benar).
"Begini." Nuar mula ingin bersyarah. "Ia bermula dengan nama rakyat, kemudian rasuah, kebebasan dan akhirnya kuasa. Begitulah setiap perjuangan reformis ini bermula." Nuar menguis-nguis pasir di tanah. "Setelah regim atau kerajaan yang berkuasa dijatuhkan maka kerajaan reformasi akan bermula semula dari padakuasa, kemudian menyekat kebebasan, melakukan rasuah dan akhirnya menindas rakyat. Kemudian datang lagi perjuangan untuk rakyat, rasuah, kebebasan dan kuasa. Begitulah kitarannya berlangsung tidak putus-putus." Nuar mendongak langit.
Hampir sedekad kemudian pihak pembangkang menjatuhkan kerajaan, tetapi mereka tidak dapat lagi menyalahkan pemerintah pusat atas segala kebodohan mereka kerana merekalah kini pemerintah pusat. Mereka tidak dapat melakukan apa yang lebih baik daripada apa yang mereka runtuhkan, sebaliknya mereka sendiri yang pula bergelumang dengan rasuah, berebut kuasa, berbalah dan mula menyengsara hidup rakyat oleh ekonomi yang tidak dapat mereka uruskan dengan baik.
Malah lebih buruk lagi prinsip liberal dan hak sama rata telah menimbulkan pertelagahan antara kaum yang parah, lebih-lebih lagi apabila Islam mula dicerca secara sinis malah terbuka. Raja-raja Melayu juga, bahkan apa sahaja yang bernama Melayu dan Islam diperlekehkan di mana-mana. Oleh kerana tidak ada lagi undang-undang pencegahan yang keras seperti ISA, maka perbalahan kaum pun berlaku.
"Diam. Aku dengar sesuatu." Nuar semerta merendahkan badannya. Ju dan Poji juga. Bau asap putarwali menyebar ke udara.
"Awe Boceh." Dalam gigil suara Nuar menyebut nama yang tidak pernah berani disebutnya. "Poji, susun isi karung di depan sana." Nuar memberi arahan. Poji segera menurut walaupun bulu romanya meremang dan lututnya menggigil-gigil.
Menurut bari orang Lepe Kabu, Awe Boceh ialah sejenis hantu yang tidak boleh disebut namanya. Apabila tersebut sahaja namanya, maka esok rumah yang menyebut akan diberak oleh Awe Boceh. Bergumpalan dan berpintalanlah tahi di bawah saji, di atas para dan sebagainya.
Lebih buruk lagi rumah yang diberak oleh Awe Boceh mula diganggu dengan pelbagai perkara sehinggalah dipulihkan oleh bomoh dan pawang. Nek Tijah ketika hidup dikatakan menjaga Awe Boceh, maka itu Awe Boceh dikatakan berdiam di rumah Nek Tijah. Selepas kematian Nek Tijah tiada sesiapa yang berani menjenguk dan lalu di rumah itu lagi.
Nuar kembali ke kampung Lepe Kabu dengan cerita yang melucukan tetapi menyeramkan - iaitu menangkap Awe Boceh. Katanya dia ditawarkan sejuta ringgit untuk membawa Awe Boceh kepada pembeli yang tidak diketahui oleh Ju dan Poji (jumlahnya sama untuk membayar ahli DUN yang menang berpaling tadah, dan ceritanya juga sama, tidak tahu siapa pembeli atau pembayarnya).
Ju dan Poji termasuk Nuar sendiri pun tidak tahu apa tujuan si pembeli itu mahukan Awe Boceh. Mereka hanya mampu membuat telahan bahawa si pembeli itu mungkin anak Nek Tijah, atau seseorang yang menuntut ilmu ghaib, atau dia ialah bomoh yang berkhidmat kepada orang kaya atau ahli politik yang mahu menggunakan Awe Boceh untuk tujuan tertentu.
Tetapi mereka tidak mahu ambil tahu, yang penting duit sejuta ringgit itu. Maka malam itu mereka datang dengan persediaan yang diarahkan oleh Makhdum Ali, orang tua misteri yang muncul dalam mimpi di kepala Nuar.
Pada malam itu mereka menyaksikan lembaga berperut buncit, gondol dan bermata merah dalam gelemat malam meratah 7 biji ketupat dan lepat serta sebiji telur di hadapan mata mereka. Mereka diam dan terkencing dalam seluar tetapi Nuar membuat persediaan yang cukup.
Sebaik-baik muncul bintang pari, dan waktu dalam kuasa bintang zuhal bertukar yang dikatakan saat segala hantu syaitan menjadi lemah, Nuar pun melontar duri mengkuang bersama jala buruk yang telah diperasap kemian ke arah lembaga tersebut. Mereka mendengar raungan yang sungguh mengerikan. Selepas itu mereka pulang dengan seluar yang basah oleh terkencing dan terkincit menghela jala yang bergumpalan duri mengkuang dan asap hitam pejal yang terperangkap di dalamnya.
Nuar, Ju dan Poji hilang dari kampung selepas itu. Tiada siapa yang tahu ke mana mereka dan apa yang berlaku di kampung Lepe Kabu malam itu. Apa yang mereka tahu tujuh hari tujuh malam raungan seakan-akan suara Nek Tijah menjerit dan menangis dari rumah.
Pelbagai bomoh dan pawang dipanggil tetapi suara itu hilang sendiri selepas tujuh hari berlalu. Tujuh hari selepas itu, wakil rakyat yang memenangi kerusi DUN Lepe Kabu meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada pemimpinnya bertanding - kononnya atas strategi untuk menjadikan pemimpinnya itu sebagai menteri besar. Mereka lalu menamakan strategi ini sebagai 'Lepe Kabu Move'.
Pada hari pengiraan undi sesuatu yang misteri dan luar biasa telah berlaku. Semua kotak undi yang dibuka setelah pengundian selesai telah dipenuhi tahi-tahi yang banyak. Semua kotak undi. Semua!
Selepas itu rakyat mula tahu bahawa demokrasi di dalam kotak-kotak undi telah diberak dan dinajisi oleh ahli-ahli politik yang berjuang demi kepentingan kuasa untuk diri mereka.
Pada bulan tua, saat bulan berada di atas ufuk dan matahari segaris di atas ufuk berhimpun dengan bulan dan bumi; alam tiba-tiba menjadi gelap oleh gerhana. Semua menjadi panik dan kalut. Setelah gerhana berlalu keadaan tidak lagi seperti dahulu; kemarau, banjir, tanah runtuh, ribut silih berganti. Ekonomi, politik dan masyarakat juga mengikut. Keadaan menjadi tidak stabil dan tidak pernah membaik lagi. Lahirlah segala kesesatan menolak hadis, menghina Rasulullah, merobek al-Quran, bertuhan kepada akal fikiran dan segala yang tidak mampu diceritakan lagi.

Anugerah

Posted: 05 May 2014 09:48 PM PDT

Saya selalu mimpikan Anugerah. Semenjak saya mula menjejakkan kaki ke Lembah Tandus ini,
mimpi-mimpi di malam hari, menjelmakan Anugerah. Anugerah yang saya petiakan sedalam-dalamnya, Anugerah yang saya pegang kejap dengan kedua tangan saya ini, Anugerah yang saya lekapkan ke tubuh, mendekatkan Anugerah dengan hati saya, Anugerah yang saya kucup dengan dua ulas bibir saya ini.
Namun semua itu di dalam mimpi dan tatkala saya terjaga daripada lena, saya tidak lagi menemukan Anugerah. Kadang-kala saya termenung sendirian mengapa saya belum lagi menerima Anugerah sedangkan ramai teman seangkatan saya yang sudah mendapat Anugerah. Kadang kala saya merasakan Tuhan itu tidak adil dan melebihkan teman-teman saya yang saya rasakan tidak setanding usaha dan jerih payah yang mereka lalui dibandingkan saya.
Acap kali saya melihat teman-teman saya memegang Anugerah, saya jadi sakit hati. Saya jadi cemburu dengan mereka. Saya makan hati saya sendiri serta kadang kala menyalahkan takdir, kadang kala Tuhan kerana merasakan saya yang lebih layak menerima Anugerah tetapi permintaan saya tidak pernah dikabulkan.
Setiap kali Anugerah dikecapi oleh orang lain, ramai yang bertanya kepada saya, mengapa saya belum lagi menerima Anugerah. Kadang kala saya mengesan ada nada menyindir dalam pertanyaan tersebut. Kadang kala saya beranggapan mereka hanya ingin menyakitkan hati saya yang kecil dan mudah terguris ini kerana belum lagi dikurniakan Anugerah. Kebiasaannya saya pekakkan telinga sahaja sambil mata saya ibarat ingin mengalirkan air mata darah melihat Anugerah jatuh ke tangan teman saya yang lain.
Jika perasaan kecamuk saya diapi-apikan lagi oleh bicara tajam tersebut, ada juga kalanya saya naik berang dan jengilkan mata tanda marah kepada mereka. Selebihnya adalah keping-keping hati yang berkecai jatuh ke lantai perasaan angkara tidak mendapat Anugerah.
Sebetulnya, semua orang beranggapan bahawa saya sepatutnya menerima Anugerah. Melihat bagaimana kepayahan yang saya lalui dalam perjuangan saya ini, semua orang selalu menjangkakan tangan saya yang akan menyambut huluran Anugerah daripada Penyampai di atas prosenium. Saya selalunya cuba bersikap biasa dengan tidak terlalu termakan dek pujian dan jangkaan belum tentu orang ramai meskipun bunga-bunga rasa bangga selalu sahaja mercup mekar dalam hati saya sehingga senyuman saya panjang sampai ke telinga.
Saya biasa-biasa sahaja dan sebenarnya tatkala bukan nama saya yang disebut oleh Penyampai untuk menerima Anugerah pun, saya juga buat biasa-biasa sahaja bertepuk tangan, tersenyum yang kurang sedikit sampai ke telinga serta ketawa-ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat menyedapkan hati sendiri serta melindungi gelora emosi. Jauh di sudut hati saya menangis !
Selepas realiti itu, saya selalunya memutuskan untuk tidak lagi bercakap dengan penerima Anugerah yang lain. Yang saya sifatkan merampas Anugerah daripada saya. Saya teruskan kehidupan dan perjalanan perjuangan saya seperti biasa serta menyingkirkan nama-nama mereka jauh daripada kamus peribadi saya agar saya tidak lagi beranggapan bahawa percaturan saya mendapatkan Anugerah akan mendapat halangan.
Saya berusaha lebih bersungguh-sungguh daripada biasa, saya tambahkan ramuan kegigihan serta perbanyakkan jalur-jalur ikhtiar dalam mencipta pelangi kemenangan. Saya selalu katakan pada diri sendiri bahawa 'Kemenangan esok bukan ditentukan oleh kegagalan semalam'. Maka hasrat saya untuk mendapatkan kemenangan semakin membara dan berkobar-kobar. Impian saya untuk menggenggam Anugerah semakin bercahaya.
Namun ketika itu juga, semua penerima-penerima selalu sahaja ingin berhubung dengan saya. Bertanya saya itu dan ini, menawarkan bantuan kepada saya, cuba menolong saya menjalani perjuangan yang saya lalui tanpa mereka mengetahui bahawa saya cuba meluputkan mereka daripada ingatan saya. Saya tidak tergamak mengatakan kepada mereka 'Jauhkan diri daripada saya' kerana saya tahu mereka tiada salah kepada saya. Cuma saya sahaja yang cuba membina benteng jurang antara kami lantaran takutnya saya pada diri sendiri.
Kera sumbang
Takut pada kegagalan untuk sekian kalinya. Takut Anugerah terlepas lagi untuk kali ini. Maka saya memutuskan untuk membutakan mata daripada melihat mereka, membisukan kata daripada berbual dengan mereka serta memekakkan telinga daripada mendengar setiap patah perkataan yang terucap dari lidah mereka. Biarlah orang kata saya kera sumbang, hidung tinggi dan sebagainya. Misi saya hanya satu, untuk mendapatkan Anugerah!
Tetapi malam itu, saya mendapat mimpi lagi. Kali ini bukan mimpi yang serupa dengan mimpi-mimpi sebelum ini yang melenakan langsung memanjangkan pembaringan di atas katil di rumah saya. Mimpi itu seperti igauan ngeri yang mengacau tidur saya sehingga saya terjaga di tengah-tengah kepekatan malam yang saya rasakan ada semilir angin dingin-panas bertiupan. Peluh renik memercik membasahi belakang baju tidur saya malam itu. Saya jadi tidak keruan, duduk salah berdiri tidak kena.
Hendak baring dan menyambung tidur kembali, saya takut terigaukan mimpi itu sekali lagi. Akhirnya saya melangkah ke kamar mandi, membasahkan anggota wuduk dengan siraman air dari kegelapan waktu pagi yang menyejukkan tetapi tidak begitu mengamankan sebanyak tiga kali untuk setiap anggota. Lantas menapak ke tikar sembahyang menunaikan solat tahajud. Semakin saya cuba mencari kekhusyukan dalam ibadah, semakin terngiang-ngiang igauan mimpi saya di tengah solat tersebut.
Dalam mimpi itu, saya tidak menjadi penerima Anugerah. Kali ini Anugerah hidup seperti seorang manusia seperti saya. Boleh bercakap dan berjalan. Boleh memandang dan bersentuhan. Saya di dalam mimpi itu kegamaman melihat Anugerah melangkah laju menghampiri saya memegang kejap tubuh saya sebagaimana kejapnya saya memegang Anugerah dalam mimpi-mimpi saya yang lain. Tetapi saya tidak nampak wajahnya kerana wajahnya tetap sama seperti Anugerah yang bukan manusia. Suara yang didengungkannya saya tidak tahu keluar dari celah kerongkong mana dan baru saya tahu betapa kasar dan kerasnya suara milik Anugerah.
Katanya saya tidak akan pernah berjaya mendapatkan anugerah kali ini kerana kelayakan yang saya rasakan sendiri itu tidak ubah seperti seekor tikus yang membaiki labu. Bukan memperbaiki tetapi makin menjahanamkan. Kata Anugerah saya selamanya takkan menerima anugerah melainkan setelah saya berhenti menipu diri sendiri. Saya kehairanan namun keanehan itu lantas bertukar menjadi ketakutan apabila Anugerah menjadi besar dan lebih banyak tangan yang muncul keluar daripada tubuhnya dan tangan-tangan itu menarik tangan, lengan, bahu, tubuh, paha, lutut dan kaki saya ke arah tubuhnya yang besar dan agam itu.
Saya menjerit-jerit ketakutan tetapi dibalas oleh hilaian tawa Anugerah yang menggerunkan. Pelukan menjadi semakin kejap dan kemas sehingga saya sendiri terdorong menempel ke tubuh Anugerah dan tatkala pandangan mata saya dipenuhi ruangan hitam, barulah saya tersedar dalam keadaan tercungap-cungap.
Angkara mimpi yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa, perjuangan yang saya lalui, saya rasakan semakin sukar dan susah. Saya rasakan jalan yang ditempuhi semakin berliku dan saya rasakan jalan saya sahaja yang berhalangan. Jalan teman-teman saya yang lain seperti dihampar permaidani merah. Kecemburuan saya semakin menjadi-jadi. Semenjak itu saya rasakan hidup saya tidak pernah tenang tetapi tetap mengimpikan Anugerah.
Kegelisahan seperti mengekori saya ke mana-mana bagaikan bayang-bayang sendiri. Semua teman saya menyedari perubahan itu. Ada yang bertanya tanda menghulurkan simpati yang pada saya tidak lain adalah pura-pura sahaja kerana mereka tidak mahu saya merangkul Anugerah. Mereka mahu sindir saya lagi kali ini jika saya gagal menggenggam Anugerah. Saya tidak mahu mengalah. Saya tambah bertan-tan lagi ramuan kegigihan dan jalurkan berlapis-lapis lingkaran ikhtiar. Saya mahu pelangi kemenangan saya yang paling bersinar kelak.
Namun akhirnya, saya tetap bukan penerima Anugerah. Kali ini saya gagal lagi mendapatkan Anugerah. Saya sifatkan Penerima tersebut merampas Anugerah yang sudah lama saya idam-idamkan itu daripada saya. Sewaktu Penerima menaiki prosenium menerima Anugerah daripada Penyampai, saya melihat dengan api di dalam mata saya. Kali ini tidak ada senyuman sampai ke telinga. Tidak ada ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat. Tidak ada tepuk-tepuk tangan seperti biasa. Saya cuma berdiri (itupun kerana semua orang berdiri ) sambil mata saya mencerlung tajam pada Penerima yang tersengih-sengih mengangkat tinggi Anugerah yang dicapainya itu.
Hati saya sangat sebal sehinggakan saya rasa wajah saya panas dan air mata saya bagai ingin merembes laju. Tatkala wajah Penerima mencium pandangan mata saya, saya perasan ada senyuman mengejek yang dihantarnya kepada saya. Saat itu juga saya langsung angkat kaki meninggalkan arena. Igauan mimpi itu muncul secara tiba-tiba. Benarkah, nasib saya sudah tertulis malang oleh rasian yang asalnya mainan syaitan?
Semenjak pada itu, saya merasakan saya mengalami transisi dalaman yang teramat dahsyat. Bermula dengan pengurungan diri di kamar seusai waktu Isyak sehingga hening fajar menjelang, saya masih lagi mengunci diri sendiri. Saya tidak pasti apakah saya sedang berteleku mencari ketenangan ataupun mengumpul bekalan bernama kekuatan.
Yang pasti, di luar kamar semua orang sedang sibuk mengucapkan tahniah kepada Penerima di atas penyampaian Anugerah tersebut. Hati saya bertambah sakit apabila Penerima mencari-cari saya kononnya hendak meraikan kejayaan tersebut bersama-sama saya. Saya senyapkan diri di dalam bilik. Kini senarai teman untuk diputuskan hubungan menjadi bertambah dengan kehadiran Penerima. Saya akhirnya keluar meneruskan perjalanan perjuangan namun yang pasti, saya sudah tidak lagi membawa diri saya di dalam jiwa sendiri.
Barangkali saya sudah terlalu laparkan Anugerah. Minda dan hati saya sudah dibutakan oleh keinginan yang melampau untuk mendapatkan Anugerah. Saya tidak lagi meletakkan ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar dalam usaha saya tetapi saya mula dirasuk menggulati teknik-teknik yang mencemarkan pendirian. Saya mula meniru, menipu dan berbohong untuk mendapatkan natijah yang lebih baik daripada yang lain. Saya mula membuat onar dengan mendatangkan masalah kepada teman-teman saya. Saya rosakkan pakaian mereka, saya sembunyikan peralatan perjuangan mereka, saya sebarkan cerita bahawa Penerima sebenarnya merasuah Penyampai agar menjadikannya penerima Anugerah.
Lancar
Semua orang mempercayai saya kerana rekod bersih yang saya pegang selama ini serta kehidupan semua orang yang saya aniayakan menjadi berantakan. Saat itu saya rasakan sayalah orang yang paling beruntung antara semua kerana jalan yang saya lalui kini lancar tanpa masalah sedang wasilah mereka ditabur dengan duri-duri yang saya tabur sendiri. Tambahan pula tiada sesiapa yang mengetahui taktik kotor saya. Saya menjadi semakin bersemangat menggandakan penganiayaan dan memperbanyakkan taktik kotor yang saya fikir boleh melabakan diri sendiri. Saya sudah tidak kisah dosa dan pahala kerana di depan mata saya hanya ada Anugerah.
Dan akhirnya saat yang saya tunggu-tunggu menjelang jua. Saya akhirnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah. Saya tidak dapat gambarkan betapa gembira dan bangganya perasaan saya di saat saya menaiki anak tangga prosenium di mana saya sengaja menghentak-hentakkan kaki tanda kemenangan yang sudah lama saya nantikan. Dan tatkala tangan Penyampai menyerahkan Anugerah kepada saya, senyuman saya sudah melebar selebar pentas yang terbuka, tangan saya menggenggam kejap Anugerah hinggakan macam mahu kemek.
Saya dekatkan Anugerah ke dada saya ibarat mahu meletakkan ia sebahagian daripada organ dalaman dan saya julang Anugerah lebih tinggi daripada Penerima yang saya perhatikan berada dalam kalangan hadirin yang hadir yang saya wajibkan berdiri, tersenyum dan bertepuk tangan sekuat mungkin. Di kala itu saya berasa teramat puas hati!
Selepas itu, saya didatangi beberapa orang Pewaris yang saya tidak tahu kebiasaannya diletakkan di bawah semua penerima Anugerah untuk dididik dan diperturunkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi perjuangan sekali gus berusaha untuk menjadi penerima Anugerah seterusnya. Saya jadi terpempan kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana sebenarnya cara untuk menjadi seorang penghadap perjuangan apatah lagi penerima Anugerah melainkan dengan taktik kotor yang saya lazimi sewaktu saya kemaruk inginkan Anugerah.
Saya sudah lupa perihal ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar. Saya tidak mungkin menceritakan bahawa saya meniru, menipu dan menganiaya apatah lagi mengajarkan mereka teknik-teknik hitam tersebut melainkan saya akan membuka pekung di dada sendiri. Peluh debaran saya memercik-mercik apabila mereka seakan-akan mendesak saya menumpahkan tunjuk ajar.
Saya cuba meminta bantuan teman-teman lain khususnya Penerima namun mereka semua menjauhkan diri daripada saya kerana mereka beranggapan sudah tidak layak berkawan dengan saya kerana saya seorang penerima Anugerah. Tambahan pula mereka mendakwa saya yang memulaukan mereka terlebih dahulu. Saya bagaikan ingin menangis dan merayu agar mereka mendekati dan membantu saya tetapi mereka semua menjauh, memasuki kamar masing-masing dan mula mengunci wijil meninggalkan saya keseorangan memegang Anugerah bersama beberapa Pewaris yang mula merengek dan menarik-narik lengan baju saya. Sekali lagi saya didatangi bayangan mimpi saya malam itu yang menjadi titik tolak perubahan drastik saya.
Saya akhirnya faham di hadapan Pewaris akan makna 'berhenti membohongi diri' yang diucapkan oleh Anugerah dengan bengisnya malam itu bahawa anugerah yang sebenar adalah kurnia milik semua orang yang berusaha mendapatkan sesuatu dengan jujur setulus mungkin tanpa ada palitan kenistaan mahupun pengkhianatan dalam apa jua bentuk sekalipun. Dengan berbohong seseorang mampu mendapatkan pangkat namun sifar berkat. Dengan berdusta semua orang mampu memperoleh harta namun tiada cahaya, dengan khianat semua mampu meraih kejayaan tanpa ada sekelumit kebenaran.
Saya akhirnya sedar namun kini sudah terlambat kerana saya merenung aksara Anugerah yang tertulis megah di badannya tanpa apa-apa makna di dalamnya kerana saat itu saya bukannya seorang pemenang tetapi seorang pesalah yang sifar kelulusan, hilang teman seperjuangan, kosong maruah dan harga diri dan yang lebih walang, iman di dalam hati yang entah ke mana pergi. Air mata saya mengalir laju mengenangkan semua ini hanya kerana Anugerah!

Sang Sutradara

Posted: 05 May 2014 09:45 PM PDT

AKU sedang melangkah ke atas permaidani merah, menuju ke ruang dewan yang dihias indah
sewaktu percikan lampu kamera membuatkan mataku berpinar-pinar. Di hadapan kelihatan seorang aktor baru yang berjalan dengan gaya mendada, bagaikan lagak orang yang berasakan dirinya terkenal. Menurut hematku, dia bukanlah terkenal dengan kehebatan lakonan, tetapi hebat oleh kontroversi skandal dengan seorang aktres.
Di belakangku pula seorang aktres baru, memakai baju yang dilaporkan akhbar bernilai hampir RM10,000. Jika di kampungku, baju sebegitu layaknya untuk para ibu berkemban di tepi sungai, cuma jenis kainnya daripada kain batik. Tidak perlu berpuluh ribu ringgit. Kalau dikira, makcik di kampungku lebih mendahului zaman dalam fenomena fesyen berkemban ini.
Sungguh hairan, walaupun terdedah luas di dada, kain yang dipakai aktres tersebut meleret di atas permaidani merah. Sungguh ironi, di bahagian bawah terlebih tutup, sebaliknya di bahagian atas pula ibarat semua kedai kain hangus terbakar.
Pada awalnya aku memutuskan untuk tidak hadir ke majlis festival filem ini. Muak dengan dunia gemerlapan yang pura-pura, yang semakin ingin kujauhi. Ditambah pula aku tidak pernah percaya dengan keperluan diadakan festival filem begini. Bagiku ia tidak mencapai tahap festival filem, sebaliknya hanyalah acara memperagakan kemewahan sebagai cermin kehidupan golongan bintang yang tersasar haluan.
Paradoks. Sangat paradoks. Filem-filem yang hendak diraikan pada festival ini tidak sepadan dengan kemilau yang ditunjukkan.
Walaupun sering mengelak, lewat petang tadi aku dipujuk supaya hadir. Kononnya filem busukku ada harapan untuk menang pada festival tahun ini. Aku tahulah filemku bertaraf busuk, buruk dan macam-macam lagi yang tak layak dipanggil filem. Aku hairan dengan juri yang mereka lantik, bagaimana mereka menilai filem sebusuk karyaku itu sebagai lambang kehebatan filem Melayu.
"Kau jangan tak datang, malam ini kita naik pentas. Ada orang dalam dah bagi signal," demikian SMS daripada penerbit yang kemaruk menjulang trofi Festival Filem Malaysia. Aku rasa penerbit yang selalunya terlebih perasan ini sudah bersiap berhari-hari untuk naik ke pentas malam ini. Kalaulah filem aku tidak menang, boleh pengsan agaknya dia.
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku menjadi begitu bosan dengan kerjaku. Rasa meluat teramat sangat walaupun kerja ini menghamparkan kekayaan dan hidup yang mewah. Kerja ini yang membuatkan namaku menjadi sebutan di seluruh pelosok negara, dihimpit sekian banyak wanita cantik yang mahu menumpang nama. Siapa sahaja yang mengaitkan namanya denganku, kononnya orang akan memandang tinggi, nilai juga menjadi tinggi dan peluang untuk mereka hidup mewah juga tinggi.
Mereka hanya kemaruk mahu jadi pelakon, mudah-mudahan dengan mengaitkan nama mereka denganku, saham mereka akan tinggi bila aku ambil mereka berlakon. Tepatnya berjalan ke hulu ke hilir melintas kamera. Ramai sudah yang bergelar pelakon dan menerima bayaran tinggi untuk filem kedua kerana nama yang sudah meletup dan filem pula pecah panggung.
Jangan terkejut kalau mereka yang sekadar berjalan ke hulu dan ke hilir melintas kamera ini menganggap diri sebagai "anak seni". Kata mereka kepada surat khabar, seni sudah menjadi darah daging, tidak boleh dipisahkan lagi. Bercakap macam burung kakak tua,
"Saya tak mahu mempersia-siakan bakat yang dikurniakan Tuhan." Itu kenyataan burung kakak tua yang diwarisi daripada pelakon senior, yang kemudiannya berpindah daripada seorang pelakon kepada pelakon yang lain setiap kali diminta bercakap tentang matlamat seni.
Dengan kebodohan merekalah aku terus hidup sebagai sutradara. Pelakon akan tunduk hormat setiap kali aku melintasi mereka. Aku tahu mereka bukan hormat padaku tetapi kerana keupayaanku yang membuatkan mereka kaya dengan filemku, dan memiliki pelakon wanita sebagai perempuan simpanan. Jauh sekali kerana hormatkan filem kerana bagi mereka lagi bodoh sebuah filem itu lagi bagus untuk mereka. Mereka hanya hormat siapa yang boleh buat filem buruk tetapi boleh jadi kaya.
Hasratku untuk menjadi pengarah filem yang berkualiti sewaktu menyiapkan tesis ijazah pertama dalam bidang sains sosial di Bristol University, UK suatu ketika dulu terbengkalai di sini. Akulah ikan yang tinggal di kolam yang salah. Di sini, banyak filem dibuat menggunakan kepala lutut.
Fenomena di sini sangat berbeza dengan teori yang kupelajari dalam subjek minor dalam penulisan skrip filem di mana aku belajar sejarah dan falsafah filem-filem agung bertaraf dunia. Berpuluh kali menonton filem Orson Welles yang sangat masyhur, Citizen Kane kerana menurut pensyarahku, tak sah belajar filem tetapi tanpa menonton Citizen Kane, filem terhebat sepanjang zaman yang mendapat tempat pertama saban tahun dalam senarai 100 filem terbaik dunia.
Malangnya segala cita-citaku melayang sebaik-baik sahaja menamatkan pengajian. Dunia sini melarutkan aku menjadi seperti mereka yang membuat filem dengan kepala lutut. Lama kelamaan aku menyerap dalam keadaan yang menjadikan aku kaya sehinggalah pada suatu hari.
Aku diserang rasa kosong yang sangat mencengkam. Saban hari bila terpampang berita tentang filemku mencatat kutipan jutaan ringgit, aku berasa bersalah. Rasa malu kepada diri sendiri kerana filem yang menjadi racun yang merencatkan akal anak-anak muda itu menghasilkan pulangan yang tinggi untukku. Filem yang kononnya dihasilkan dengan jiwa dan raga adalah pemusnah bangsa semata-mata. Dan sebilangan besar wartawan hiburan yang tidak berfikir kritis itu menelan bulat-bulat kataku untuk menjadi bahan tulisan mereka.
Mereka yang tidak mempunyai rasa seni ini menulis apa sahaja yang diucap olehku tanpa bantahan. Bagiku mereka sekadar menyambung rentak wartawan veteran zaman hitam putih. Tak ada rasa penghayatan seni, kalau pun bukan bercitra tinggi. Wartawan tidak berkualiti beginilah yang menyumbang biak pengarah tolol atau pengarah cerdik macam aku tetapi terus membuat filem tolol.
Ajaibnya selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 dua minggu lepas, kebanggaan sebagai sutradara unggul hilang entah ke mana. Rasa benci apabila surat khabar terus mengaitkan aku dengan filem-filem pecah panggung. Semuanya selepas seorang wanita menghantar pesanan dalam kotak mel berbunyi, "Syukur menjengah usia 40, semoga tuan terus manfaatkan bakat untuk membina insan demi kesejahteraan umat."
Ucapan itu tajam macam sembilu. Pedihnya menghiris ulu hati. Aku terima sebagai sindiran kerana aku sebenarnya tidak pernah pun berkerja untuk membina insan. Aku tahu filem-filem pecah panggung lebih meruntuhkan daripada membina insan. Dulu aku akan kata, jangan salahkan aku, kalau aku tidak buat orang lain akan buat. Daripada orang lain buat lebih baik aku buat dan merebut kekayaan yang ada di depan mata.
Sebenarnya aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh menjadi pengarah filem. Cuma yang aku ingat mula-mula sekali aku terpaksa jadi pengarah bidan terjun bila pengarah asal bergaduh dengan penerbit.
Kutipan tiga hari pertama filem pertama arahanku sudah pecah panggung. Rekod yang belum pernah tercapai dalam sejarah filem Melayu sejak zaman kapitalis Shaw Brothers lagi. Saban hari surat khabar menyiarkan angka kutipan yang sentiasa bertambah, bukan sahaja sudah balik modal tetapi untung yang berlipat ganda.
Penerbit pula macam terhutang nyawa kepada aku. Kerana filem sulung itu dia menjadi jutawan filem yang boleh berjalan megah di hadapan penerbit yang jauh lebih senior. Dan bertambah banyaklah artis jelita yang boleh dikepitnya. Walaupun jiwa aku sedikit memberontak dalam dunia yang pura-pura dan busuk itu, tarikan duit membuatkan aku menjadi manusia yang paling toleran di dunia ini.
Dengan hasil filem pertama itu juga penerbit menghadiahkan aku sebuah Mercedes mata belalang. Sebenarnya berapa sangat harga kereta itu kalau dibandingkan dengan kutipan filemnya. Aku pun sudah lupa tujuan awalnya nak membuat filem cerdik untuk mencerdikkan penonton. Duit menjadikan aku gelap mata dengan janji kepada diri sendiri. Aku mulai belajar resipi filem Melayu lain yang berjaya untuk mengekalkan prestasi sebagai pengarah pecah panggung.
Hari demi hari aku makin tersasar. Aku mewajibkan adegan separa seks di atas katil, dalam kolam mandi atau dalam hutan sebagai pelaris. Oleh sebab kebanyakan pelakon wanita sanggup berbuat apa sahaja demi mengejar populariti, aku muncul sebagai pengarah yang dilabelkan 'paling berani' oleh wartawan hiburan tempatan.
Mulanya aku teragak-agak dan malu-malu kucing juga untuk meyakinkan pelakon wanita melakonkan adegan separa seks. Sukacitanya jangkaanku meleset, mereka jauh lebih moden rupanya dalam hal ini. Malah mengalahkan keberanian pelakon Hollywood. Dan dengan bangganya menjawab; "Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melakonkan babak itu dengan baik," setiap kali diajukan soalan wartawan.
babak hitam
Jangkaan awalku tentang penapis filem juga meleset.Aku sering membayangkan adegan tersebut akan dipotong, namun sebaliknya apabila aku menulis surat panjang lebar menerangkan peri pentingnya babak itu. Sebenarnya aku sengaja adakan babak itu untuk memancing penonton tetapi kepada penapis aku kata kalau babak itu ditiadakan hancurlah jalan cerita. Logiknya, kalau tiada babak hitam, mana datangnya babak putih? Dan mereka akur dengan kepetahanku berhujah.
Kepada wartawan hiburan yang selalu bertanya tentang kecenderunganku mengadakan adegan seks, aku menyogok jawapan: "Saya ikut skrip, kalau skrip kata kena buat saya kena patuh, lagi pun filem ini membawa mesej baik. Kalau nak bagi benda baik kena tunjuk yang buruk dulu."
Esoknya jawapan bodoh aku itu terpampang di akhbar. Beberapa pengarah lain turut membela aku seolah-olah kalau dilarang adegan itu industri filem Melayu akan bungkus. Kata mereka, industri filem banyak menyumbang kepada Kutipan Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau dilarang, tidak ada kebebasan berkarya dan menjurus kepada pemikiran jumud yang tidak sesuai dengan kriteria negara maju.
Apabila muncul demam filem adaptasi, penerbit memberi aku sebuah novel, katanya best seller di negara ini. Ulang cetak entah berapa kali. Khabarnya penulisnya sudah mengaut royalti beratus ribu ringgit, beli banglo secara tunai. Bab pertama sahaja cukup memualkan.Betapa seksa membaca novel seperti ini bagi pengagum Joseph Conrad dan Jane Austen seperti aku.
Bagaimanapun suatu hari aku terjumpa sebuah novel Melayu yang sangat memagut pemikiran. Dijual di sebuah kedai buku bertaraf lima bintang di ibu kota. Disusun sebaris dengan novel-novel lain dari luar negara. Karya penulis wanita, cara berfikirnya luar biasa. Watak Melayu di tangan penulis ini penuh kehebatan yang tidak pernah dicungkil. Aku tidak tahu apa latar belakangnya tetapi daripada pemikiran yang dihamparkan dalam novel itu dia seorang wanita Melayu Islam yang berani mendepani cabaran zaman.
Aku membeli, terus membaca semalaman kemudian catat perkara-perkara luar biasa dalamnya. Tiba-tiba aku terdetik untuk memfilemkan novel ini. Memanglah pada perkiraan matematik filem tidak akan mendapat sambutan pecah panggung.
Sudah beberapa kali aku menghubungi dia, tak berjawab. Suatu hari dia menjawab dan aku gembira bukan kepalang. Aku ajak dia berbincang untuk memilemkan novelnya. Dia ketawa. Sangkaku dia tentu setuju menerima tawaran daripada pengarah pecah panggung sepertiku.
"Tapi tuan, dalam novel saya tak ada babak di atas katil. Lagi pun watak-wataknya semua sudah berusia, mana nak letak pelakon-pelakon genit tuan itu?" Darahku menyirap tatkala jawapan itu singgah ke telinga.
Aku terus memujuknya, dengan alasan aku sudah insaf dan tidak mahu lagi membuat filem seperti itu. Aku juga beritahu aku belajar membuat filem dari luar negara supaya dia yakin dengan kebolehanku. Namun dia tetap dengan keputusannya tidak mahu membenarkan novelnya difilemkan. Dia tidak yakin aku memelihara kemurnian karyanya apabila dijadikan filem. Aku katakan kepadanya, filem adaptasi adalah karya baru yang semestinya ada sudut pandangan baru.
Balasnya,"Tuan, saya bukan bercakap tentang sudut pandangan. Saya bercakap tentang kebimbangan saya terhadap kejujuran tuan."
Aku tersedar apabila namaku dipanggil untuk naik ke pentas bersama penerbit. Tepukan bergema segenap ruang dewan. Aku dihulurkan trofi, di tepinya ditulis "Sutradara Terbaik". Apabila mereka meminta aku memberikan sepatah dua kata, aku menjadi terlalu asing. Aku malu kepada diri sendiri kerana aku tahu filem itu sangat buruk.
"Saya memulangkan trofi ini kerana saya belum layak menjadi sutradara terbaik," kata aku terketar-ketar dan terus ke belakang pentas. Dewan terus gemuruh dengan tepukan dan sorakan mendengar ucapan penerbit sambil mendakap trofi Filem Terbaik.
Telefon berdering dan masuk pesanan ringkas daripada penulis novel yang keras hati itu, "Tuan membuat kerja gila tetapi saya suka."

Bot Air 10

Posted: 05 May 2014 09:43 PM PDT

"Bot Air 10 milik ayah hilang ! "
Hanya kata-kata itulah yang sering berpeleseran dalam mindanya.
"
Masih belum ada khabar ?"
Hanya soalan yang itu yang menjajahi mulut dan artikulasi fonetik lidah.
"Kami hanya terus menanti."
Hanya itu sahaja harapan yang ada. Tiada lain.
Setiap pagi, tengah hari dan setiap petang Apis memasang pukat harapan di pinggir pantai. Tiada senja yang indah buatnya biarpun dengan warna jingga yang berserakan di langit ditompoki awan yang membentuk pelbagai bentuk. Senja tetap memeluknya dalam kesepian hingga menerobos ke jendela rumahnya yang terbuka luas. Namun yang pasti, senja itu tetap hanya menghantar sinar harapan yang belum bertukar menjadi cahaya kegembiraan. Setiap petang, Apis akan berdiri, berpeluk tubuh, mengeluh - seperti menanti senja ditelan gelap kesedihan mengenangkan harapan yang belum kesampaian. Sudah tiga minggu Apis menanti ayahnya pulang. Sudah tiga minggu dia dan Tira hanya diulit kerinduan.
Bot Air 10 milik ayahnya yang digunakannya ke laut untuk menangkap ikan tidak pulang-pulang dalam situasi badai menggulung tinggi pada musim tengkujuh. Lebih melonglaikan sendi tubuh tatkala mendengar pelbagai cerita. Cerita-cerita itu pula hanya bersifat andaian tanpa dapat dibuktikan. Hanya kedut dan kerut kebimbangan yang menghiasi wajah.
Apis sedar, laut adalah padang permainan ayahnya sejak kecil. Ayahnya seperti berlari di lautan. Ibarat ayahnya hanya mengutip hasil tangkapan seperti mengutip batu di jalanan. Tidak ada yang susah dalam rutin permainan itu. Ayahnya sudah mengendalikan bot nelayan itu sejak usia belasan tahun lagi. Dia kenal seluk-beluk di lautan - di mana selekohnya, di mana gunung ombak yang bergulung, jalan, simpang dan semuanya. Asin laut sudah menjadi udara dalam nafasnya. Asin laut sudah bersebati dengan peluh yang sememangnya masin.
Tapi bukan musim tengkujuh yang merisaukan Apis, biarpun kemungkinan cuaca turut dilambung ombak resah dalam segara minda. Keadaan cuaca akan memungkinkan segalanya tapi Apis lebih risaukan dua orang pekerja yang menemani ayahnya menangkap ikan di laut. Ayahnya tidak lagi berkongsi bot dengan Pak Cik Aibah. Ayahnya telah membeli beberapa buah bot lain untuk disewa. Dia hanya menggunakan Bot Air 10. Setiap bot diberikan nama yang tersendiri. Memang rezeki ayahnya agak murah sejak kebelakangan ini. Harga hasil tangkapan juga agak memuaskan sejak mereka tidak lagi menggunakan peraih atau orang tengah untuk memasarkan hasil tangkapan. Keuntungan pastinya akan bertambah. Ayahnya jugalah yang menggerakkan usaha untuk menubuhkan koperasi nelayan di kampung itu. Hasil tangkapan akan dibuat keropok yang akan diusahakan oleh golongan wanita.
Sememangnya hatinya dicolok rasa kurang senang tatkala ayahnya didatangi dua orang pemuda yang bukan berasal dari kampung tersebut. Kelancaran berbahasa tempatan mereka juga menerbitkan syak wasangka. Sorot mata dengan mulut yang sedikit herot begitu meresahkan Apis.
" Jangan hanya melihat seseorang itu dari luar. Apa yang tersimpan di dalam hati, kita tidak mampu untuk meneka. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui."
Kata-kata bujukan ayahnya tidak mampu menepis sejengkal pun prasangka yang mengusik. Apabila dikenang-kenang kata-kata itu, kebimbangan Apis memang berasas.
Bermacam-macam cerita yang Apis dengar hingga mengocak kolam ketenangan jiwanya hingga menjadi laut yang bergelora. Semua cerita itu berbaur. Cerita itu menjadi tali yang berselirat. Semuanya berkecamuk.
Ada beberapa orang nelayan yang melihat bot ayahnya belayar jauh daripada biasa. Bot itu laju membelah laut. Pecah cerita itu di warung Wak Dollah. Ayahnya memang jarang mengemudi botnya sejauh itu. Sungguh, tidak pernah begitu. Timbul andaian bahawa ayahnya ingin mencari lebih banyak tangkapan terutama untuk menampung upah pekerja baru. Argh! Lagi-lagi andaian hitam juga yang berarak di langit hatinya menyembunyikan gunung harapan.
Kemusykilan kian menyesak dalam dadanya tatkala ayahnya tidak pernah memberitahunya bahawa dia ingin menangkap ikan hingga ke kawasan laut dalam. Lagi pun, bot ayahnya tidak mempunyai kelengkapan yang canggih. Kelengkapan botnya biasa-biasa sahaja.
Setelah tiga hari ayahnya tak balik-balik, memang hati Apis terasa hendak pecah. Tenggelam segala kepositifan yang cuba diapungkan dalam fikiran. Yang tinggal hanya awan hitam yang berarak dalam jiwa.
Dia tidak tunggu lama. Dia terus laporkan perkara itu dengan penghulu. Lepas itu, dia laporkan pula perkara itu kepada pihak polis. Hatinya memang kuat menebak - ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada ayahnya. Adiknya, Tira yang berusia empat tahun, asyik bertanyakan ayahnya. Semenjak kematian ibu dua tahun yang lalu, Tira memang sangat manja dengan ayahnya. Hari-hari dia bertanya. Naik muak dan berserabut Apis untuk mencari pelbagai alasan dan jawapan.
"Abang kata ayah pergi tak lama. Setiap hari abang kata, hari ini ayah balik. Dah berminggu-minggu tapi ayah tak balik-balik." Tira berleter seperti orang yang sudah dewasa biar pun dengan pelat pertuturan kanak-kanak.
Apis sudah tidak mahu menaburkan janji kosong. Dia hanya diam sahaja tatkala Tira mula ramah bertanya.
Beberapa buah bot penduduk kampung telah dikerah untuk mencari bot ayahnya. Usaha mencari itu agak sukar dengan keadaan laut yang bergelora dan keadaan langit yang berjerubu. Mereka mencarinya sampai ke kawasan pulau-pulau kecil. Tapi usaha mereka seperti mencari butiran garam di lautan. Hanya rasa asinnya diyakini tetapi butiran kemungkinan ada di mana-mana. Akhirnya mereka hanya membawa kerut wajah yang membawa riak hampa. Apis tidak mahu bertanya kerana mengetahui jawapannya.
Hari demi hari, pelbagai cerita berita yang disogokkan kepada Apis. Terasa sakit tekaknya menelan pahit cerita berita itu - lebih pahit daripada sayur peria kerana dia tidak pernah merasai hempedu.
Ada yang menyatakan kemungkinan ayahnya diculik oleh lanun. Tapi jika berlaku sebarang penculikan, tentu ada ugutan dan wang tebusan yang diminta. Ada juga yang menyatakan bahawa keluarga ibunya suatu ketika dahulu juga daripada puak-puak yang berkenaan. Mereka memberontak di negara asal mereka hingga menjadi gelandangan di laut dan pulau-pulau kecil. Pasukan polis dan penyelamat juga telah lama berkampung di kawasan pantai. Beberapa bot yang dilengkapi dengan radar juga telah dikerah untuk mencari bot ayahnya, tetapi keputusannya tetap sama - mereka gagal menemui sebarang petunjuk. Skuad menyelam juga telah dikerah menyelam mengikut zon. Walaupun ada rasa letih dan putus asa pada wajah mereka tetapi Apis tidak akan berasa letih dan berputus asa menanti kelibat ayahnya muncul semula di pantai itu.
Yang lebih merentapkan jiwa Apis tatkala ada nelayan yang bercerita bahawa mereka terdengar bunyi tembakan pada hari ayahnya hilang. Apis ada mendengar tentang kekejaman lanun-lanun di situ. Mereka menjadikan pulau-pulau kecil sebagai kubu mereka untuk menyembunyikan diri. Sungguh. Lagak mereka seperti orang tempatan dengan kulit mereka yang juga sawo matang. Golongan ini tidak takut membunuh malah tidak segan-silu memenggalkan kepala musuh mereka. Darah adalah bahasa sengketa yang sudah sebati dalam diri. Ada kegerunan yang menyelit dan menyusup tatkala mendengar cerita itu. Puak-puak ini dikatakan mempunyai ilmu kebal yang tidak lut senjata.
Mungkinkah ayahnya turut menjadi mangsa ? Mungkinkah tersembunyi dendam ?
Kemungkinan itu tidak akan Apis biarkan tersimpan dalam balang rasa. Apis akan curah segala kemungkinan negatif yang bersisa. Dia tidak dapat bayangkan jika kemungkinan itu menjadi kenyataan yang akan mendera-parahkan perasaan terutama perasaan Tira yang belum memahami apa-apa. Tira yang sentiasa bertanya itu-ini tentang ayah. Sungguh, Apis kehabisan aksara untuk disusun menjadi kata-kata yang membentuk alasan. Ya, alasan yang goyah.
Apa lagi yang mampu menghentikan degup rasa tatkala mendengar berita cerita yang mengejutkan. Terasa luruh jantung. Setelah sembilan hari ayahnya hilang di lautan, Apis didatangi beberapa pegawai penyiasat. Mereka menunjukkan dua keping gambar yang memang dikenali oleh Apis. Wajah yang entah mengapa sering mengganggu lenanya semenjak ayahnya menyepikan diri di laut.
Ayah !
Bukankah sudah Apis luahkan !
Ayah !
Memang Apis yakin mereka bukan orang baik-baik !
Ayah !
Kita mesti simpan sedikit rasa curiga !
Apa lagi yang mampu dilakukan. Hanya bahasa kesedihan yang berbicara. Dua orang pemuda itu bukan rakyat tempatan. Sudah berbulan-bulan mereka bergerak dari kampung ke kampung untuk mencari mangsa. Ayahnya antara individu malang. Entah apa yang mereka mahukan daripada ayahnya. Mungkin wang. Tapi setelah ayahnya berkeras, mereka turut melakukan kekerasan kepada ayahnya. Aduh, mengapa kemungkinan itu yang meronda-ronda dalam mindanya. Hush ! Andaian itu perlu dihalau jauh untuk mengekalkan keoptimisan.
Jiwa Apis menggelegak hingga berasak-asak dan berontak di lebuh raya jiwa tatkala dia juga didatangi oleh pegawai insurans. Pelbagai soalan dikemukakan - kiri, kanan, atas, bawah hingga hampir Apis berteriak apabila mereka mengemukakan kemungkinan kehilangan ayah dirancang untuk memperoleh wang insurans nyawa ayah sebanyak dua ratus ribu ringgit. Aduh, bolehkah keresahan jiwa dan nyawa diperjudikan untuk senilai wang?
Macam-macam. Empat hari lepas, Apis masih ingat tatkala dia didatangi oleh seorang bomoh yang menawarkan khidmat untuk mencari ayahnya. Benar. Pada mula, dia tidak menjangka lelaki itu seorang bomoh. Penampilan lelaki itu seperti ahli korporat dengan kemeja bertali leher, siap lagi memakai blazer. Tapi dengar cerita, bomoh itu memang terkenal terutama dalam kalangan orang politik. Dia telah menyelesaikan banyak kes mistik yang berprofil tinggi.
Tapi Apis tolak secara baik pelawaan bomoh tersebut. Bukan Apis tidak ingin merungkaikan tali kekusutan yang berselirat dalam batok kepala, tetapi dia masih percaya dengan kekuasaan Allah. Dia tidak mahu terlontar dan terbelengu dalam amalan khurafat. Kalaulah ayahnya benar sudah dijemput kembali ke alam jauh, Apis tidak mahu ayahnya bersedih dengan perbuatannya yang menyekutukan Allah. Dia akan mempertahankan nasihat ayahnya sejak dia masih kecil lagi.
Apis gerakkan kariah kampung untuk mengadakan solat hajat di surau. Dia keluarkan sedikit simpanan wang ayahnya untuk membuat majlis doa selamat dan tolak bala. Tiga malam berturut-turut majlis itu dibuat di surau kampung antara waktu Maghrib dan Isyak. Tiga malam berturut-turut juga Apis beristikharah sendirian di rumah untuk memanggil petunjuk Ilahi agar bersatu dalam mimpi dan intuisi diri. Pada malam yang terakhir itulah dia menyatakan hajatnya kepada penghulu dan Tok Imam untuk mencari sendiri ayahnya.
" Saya percaya dengan ketentuan takdir. Saya tidak pernah ragu dengan qada' dan qadar Allah. Cuma saya hanya mencari jasadnya biar hanya sepotong kaki untuk dikebumikan. Tapi saya masih mengharapkan ayah masih hidup. "
Tok Imam dan Tok Penghulu hanya berpandangan sesama sendiri.
" Apis masih muda lagi. Masih tunggu keputusan SPM. Apis juga tak pernah turun ke laut sendirian. Hanya sekali-sekala ikut ayah Apis dulu. Tentu bahaya jika Apis pergi sendirian. Nanti Tok suruh seseorang temankan Apis."
Apis menekur lantai - mencari kata-kata di sebalik papan lantai yang renggang.
" Tidak perlu Tok. Apis anak nelayan. Apis perlu kenal gelora dan cabarannya. Lagi pun, jika benarlah ayah tidak akan kembali … Apis memang perlu berdikari untuk mencari rezeki. Apis berjanji dengan ayah untuk menjadi pilot … biarlah apis menjadi pilot bot terlebih dahulu."
Sengaja Apis berlelucon - menghalau segala resah dan ketegangan. Dia resah. Tok Penghulu dan Tok Imam juga pasti turut bimbang.
Pagi itu, Apis membelah ombak kecil untuk mencari ayahnya. Tira ditinggalkan di rumah Tok Imam. Sengaja dia pergi sendirian. Dia hanya mahu berbicara dengan jiwanya sendiri. Dia mahu mencari ayahnya dengan kelapangan jiwa. Biar dia berfikir dengan putih mata hati.
Masih selamatkah ayah ? Botnya sampai di sebuah pulau kecil setelah beberapa lama enjit bot mengaum ganas. Ngauman itu tidak akan menakutkan keperkasaan ombak.
Situasi di pulau itu agak aneh. Sunyi. Apis tidak pernah sampai ke situ. Tatkala dia mencelupkan tangannya di permukaan air, seolah-olah ada percampuran air sejuk dan panas. Mungkin kawasan itu juga merupakan sempadan antara air tawar dan air masin. Ada bayangan yang membumbun di udara yang entah apa. Ada gerak angin yang membisikkan pesan tapi tidak jelas. Tapi angin yang berhembus itu meresap ke hati hingga mengalunkan rasa sedih.
Apis berhenti sebentar di pulau itu. Dia bersembahyang Zohor di tepi pantai - di bawah sebatang pokok. Selepas itu dia bersembahyang hajat. Matanya diluyut rasa kantuk. Rasa tidak tertahan mata. Dia memisat-misatkan kelopak mata. Antara jaga dan lena. Dia sendiri tidak pasti. Pada waktu itulah, dia melihat bayangan ayahnya sedang tersenyum. Melambai ke arahnya dari tengah laut. Ada bisikan yang dilontar. Ayahnyakah yang berbicara atau suara hatinya sendiri ?
"Allah timbulkan pelbagai persoalan yang kekadang tidak mampu ditafsir. Tak ditemui jawapan. Kepada Allah kita kembali dan berserah."
Selepas itu bayangan ayahnya lenyap berkepul seperti menjadi awan.
Sungguh, ada air mata yang jatuh. Malam itu, Apis mengerjakan sembahyang jenayah ghaib biarpun dia meyakini ayahnya masih hidup … kalau tidak pun hidup dalam hatinya dan Tira.

Mama

Posted: 05 May 2014 09:39 PM PDT

TIBA-TIBA hatiku menjadi sayu.Di otak kanan, nadi ku berdenyut-denyut dan bagai diputar oleh
mesin jus buah.Keringat yang keluar di dahi.
Mama terus membaca Quran di bawah.Mungkin dia telah merasakannya.
Sesuatu yang menular ke seluruh jiwa raganya sebaik-baik Ustaz Azman dan rakan-rakannya mengaminkan doa solat hajat yang tidak diketahui jumlah rakaatnya.
"Jika dia bertindak liar, telefon saya.Kami akan cuba dari jauh dengan izin Allah."
Air mataku terus membasahi pipi yang sudah sedia basah sejak pulang dari sekolah tadi. Aku tahu pilihannya hanya dua: sama ada Mama terus sembuh dan dapat beramal seperti biasa. Atau.
Atau inilah kali terakhir aku dapat memanggilnya Mama jika waktunya sudah tiba.
Aku beristighfar sebanyak air mata yang terus mengalir. Mama beritahu Kak Long bahawa dalam anak-anaknya yang seramai enam orang itu, dia memang sayangkan aku kerana kecacatan aku. Aku anak yang istimewa sejak kecil.
Kakiku yang pendek sebelah sering membuat aku sentiasa ke belakang. Sentiasa lewat. Atas alasan itu, Mama selalu kasihankan aku. Aku tidak pernah dimarah walaupun dosa aku setinggi gunung terhadapnya, tak macam adik-beradik aku yang lain.
" Engkau the spoilt brat," kata Kak Long, sedikit cemburu kerana sebagai anak sulung, dia tidak pernah istimewa di mata Mama.
Tetapi Mama dan aku sering bergaduh. Aku malu bila Mama terus menghantar aku ke sekolah sehingga aku di Tingkatan Lima.Aku terasa begitu cacat di mata dunia.Biarkan aku sendiri! Biarkan aku sendiri, begitu jerit batinku setiap kali Mama memimpin aku turun dari kereta.
Tetapi aku tidak pernah berkata apa-apa dengannya. Cukup sekadar aku menghempaskan daun pintu dan tidak bersalam mencium tangannya.
Aku kirim SMS kepada dua daripada adik-beradikku. Yang lain aku biarkan sahaja kerana mereka tidak akan upaya melalui semua ini. Mereka akan menuduh bahawa aku yang cuba membunuh ibu aku sendiri dengan ayat Quran dan zikirullah.
Mama memakai ilmu untuk kekal berkuasa. Untuk memastikan Papa tidak menduakannya dan terus setia. Dalam apa keadaan sekalipun. Sakit. Tua. Miskin.
Mama tiada pilihan. Di zaman Jepun, tidak ramai wanita yang mampu pergi ke sekolah maka lebih ramai yang tidak mampu pergi ke universiti. Hanya ada satu pilihan biarpun sebijak mana mereka.Kahwin pada usia remaja.
Mama kahwin pada usia 16 tahun dengan Papa yang 10 tahun lebih tua daripadanya. Papa lelaki kacak dan pintar. Lulusan universiti dan satu-satunya anak kampung yang berjaya.
Tradisi dan amalan di kampung di mana Islam belum berakar umbi ialah pegang lelaki seperti Papa sampai ke mati. Ikat dia kuat-kuat dengan jampi serapah dan susuk sasak.
Aku tidak tahu semua ini sehingga aku diperkenalkan dengan Ustaz Azman oleh Jijoi, sahabat baik ku, seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam. Jijoi juga melalui pengalaman yang sama sebaik-baik dia memberitahu ibu bapanya bahawa dia telah memilih Islam sebagai agama dan cara hidupnya.
Ledakan bom perang dunia ketiga berlaku malam Jijoi membuat pengumumannya itu. Habis kain baju Jijoi dihumban oleh Uncle Koh dan ibunya menjerit-jerit mengatakan , "Jangan kau berani pulang walaupun pada Tahun Baru Cina."
Jijoi sangat tabah. Di bilik guru sekolah dia langsung tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Dia terus melayani anak-anak murid yang dahagakan ilmu dan kasih sayangnya. Tiada siapa yang tahu Jijoi telah masuk agama Islam kecuali aku.
Tetapi semasa Jijoi pergi mencari Ustaz Azman, dia pergi mencari sokongan spiritual secara senyap-senyap. Ibarat semut hitam di atas batu di jalanan. Terlalu kecil untuk menarik perhatian sesiapa pun.Terlalu hitam jua.
Apabila aku menelefon Jijoi dengan mata yang bengkak di hari aku berperang besar dengan Mama, Jijoi meminta aku bersabar. Ikut cara Rasulullah, katanya. Rasulullah melalui lebih daripada apa kita lalui.
"Tetapi Rasulullah tidak bergaduh dengan ibunya," kata aku antara sebak dan marah.
Jijoi minta aku duduk sekiranya aku berdiri dan baring sekiranya aku duduk. Ini cara mengawal marah yang diajarkan oleh Rasulullah, katanya. Selepas aku agak tenang, Jijoi menyebut nama Ustaz Azman.
Jijoi bersetuju untuk menemankan aku bertemu dengan Ustaz Azman dan meminta nasihatnya mengatasi masalah aku dan ibuku secara Islamik. Aku tidak faham mengapa tiada langsung ruang damai antara aku dan Mama. Dan aku tidak mahu mati sebagai anak yang derhaka.
Berhadapan dengan Ustaz Azman yang buta matanya, lidah aku semakin kelu. Perasaan malu menerjah diriku. Mana mungkin aku bercerita dengan orang yang aku tidak kenali sesuatu yang begitu peribadi.
Jijoi mencuit lenganku memberi isyarat agar aku tidak membuang masa dan terus memberitahu Ustaz Azman masalah aku.
"Saya tidak tahu di mana ingin saya mulakan."
"Ibu kamu," sampuk Ustaz Azman dengan senyum lembut. Matanya telah melihat tanpa hijab dengan kuasa Allah yang sungguh menakjubkan.
Bergaduh
"Saya selalu bergaduh dengan ibu saya sejak saya kecil dan sehingga kini, semakin menjadi-jadi dan saya telah cuba segalanya. Saya sudah menjalani sesi kaunseling dan sebagainya.
Apabila saya cuba membuat apa yang disukai ibu, dia pula yang akan membuat hal dan akhirnya kami akan bertengkar dan bermasam muka. Saya tahu hukumnya berdosa, Ustaz. Inilah ikhtiar saya agar saya tidak mati sebagai anak yang derhaka."
"Alhamdulillah. Kamu mesti terus berusaha. Sebahagian dari masalah ini dari kamu. Sebahagian yang lain dari ibu kamu sendiri," Ustaz Azman terus senyum.
Aku rasa macam nak bangun balik sahaja tetapi Jijoi menarik baju kurung aku agar jangan cepat melenting.
"Aku tidak perlu datang sejauh ini untuk mendengar nasihat begitu, Jijoi. Aku tahu antara aku dan Mama, kami berdua memang bersalah," bisik aku geram kepada Jijoi.
"Maksud Ustaz, ada gangguan syaitan dan jin di antara kamu," kata Ustaz Azman seolah-olah dia mendengar bisikan aku kepada Jijoi.
Sekali lagi Jijoi menarik baju kurung aku dan menghalang aku dari terus beredar dari rumah Ustaz Azman.
"Ibu kamu memakai."
"Memang dia selalu berkebaya sejak muda lagi Ustaz."
"Bukan itu maksud Ustaz.Dia memakai ilmu pengerun."
"Apa faedahnya?"
"Supaya orang mendengar cakapnya dan orang takut kepadanya."
"Orang tidak takut. Orang benci, "kata aku.
"Bukan salah dia. Persekitaran waktu itu. Islam belum kuat. Amalan syirik amalan harian. Sebagai pelindung diri dan promosi diri."
"Apa bezanya sekarang?" tidak dapat aku senyapkan lidah bisaku. Jijoi mencubit lengan aku tanda suruh diam.
"Sekarang kita juga ada dua pilihan …seperti dahulu juga. Pilih arah ke syurga atau ke neraka." Tenang Ustaz Azman menjawab.
"Jadi apa yang harus saya lakukan?"
"Kita bunuh sahaja anasir jahat itu. Budak-budak tahfiz saya akan beramal tujuh hari atau 14 atau 21 hari - bergantung kepada tindak balas syaitan yang direjam itu."
"Bayarannya?"
"Kami tidak meminta. Ada juga orang yang langsung tidak memberi."
"Saya tidak pandai nak mengagak apa yang setimpal."
"Bagi sahaja apa yang ikhlas. Dan tambah lagi sedikit."
"OK."
Ustaz Azman pun mengambil botol air mineral yang sudah dibacakan dengan ayat-ayat Quran dan sebagainya dan disuruh minum, cuci muka dan dibolehkan menambah air biasa agar tahan lama. Acara solat hajat dan zikirullah akan bermula malam itu juga. Awas, katanya, tindak balas luar biasa mungkin akan berlaku.
"Kamu baca ayat ini dan ayat ini jika dia terlalu di luar kawalan," pesan Ustaz Azman.
Jijoi dan aku beredar dan di dalam kereta aku SMS Kak Long dan memberitahunya apa yang berlaku. Kami sepakat bahawa kami juga akan membuat solat hajat kami sendiri dan membanyakkan sedekah selama tempoh 7 hingga 21 hari pemulihan spiritual Mama ini.
Tiba-tiba hati aku menjadi pilu.
"Aku tidak boleh membunuh Mama, Jijoi."
"Kamu bukan membunuh tetapi mengubatinya, Nanai."
Syaitan datang banyak cara, pesan Ustazah Latifah tidak berapa lama dahulu.Dia akan buat kita kasihan, hiba dan lain-lain apabila kita ingin menjauhinya.Tabahkan dirimu Nanai, pujuk hatiku. Yang salah tetap salah. Kau hanya mahu Mamamu yang sebenarnya yang kembali, kata hatiku lagi.
Di rumah Mama sedang membaca Quran. Aku memberi salam buat pertama kalinya.
Mama mengangkat mukanya dan melihat aku dengan pandangan yang lama.Mungkin dia berasa pelik aku kembali ceria seperti aku berusia tiga tahun.
"Mama dah makan?" lembut pertanyaan aku.
Mama senyum.
"Mama tunggu kamu," katanya sambil menutup al-Quran.
Kami makan secara senyap. Memang begitu setiap hari kerana jika salah seorang kami bercakap, di akhirnya perbalahan yang akan membuat daun pintu berdentum dentam.
"Mama rasa sangat lain hari ini."
"Rasa macam mana Mama?"
"Badan Mama rasa panas dan tangan Mama menggigil seperti orang berusia 80 tahun."
"Mama memang berusia 80 tahun."
Mama muram.
"Tidak. Mama mahu kelihatan 40-an."
Bunga-bunga perbalahan sudah timbul. Kali ini aku diam sahaja. Ustaz Azman telah berpesan, jangan berbicara banyak di waktu pemulihan ini.
"Mama mandi sahaja dan rehat. Mungkin Mama tak sihat tu," aku sendiri tidak sangka aku boleh menjadi seorang anak yang naik begitu. Selalunya aku akan terus masuk ke bilik dan membiarkan Mama dengan pembantu rumah.
"Kamu bacakan Yassin untuk Mama, Nanai. Mama rasa Mama akan mati hari ini. Sudah tiba masanya."
Aku gugup. Ingin sahaja aku menelefon Ustaz Azman dan membatalkan segala rancangan malam ini. Aku masih perlukan Mama. Mama, jangan pergi lagi.
Malam itu Mama mengilai tidak berhenti-henti sehingga jiran sebelah datang bertanyakan mengapa. Aku katakan Mama tidak sihat. Ustaz Azman memberitahu aku supaya teruskan merenjis air yang dibekalkan dan baca ayat-ayat yang dipesankan siang tadi.
Akhirnya Mama tumbang dan kami membaringkannya di atas katil dan menyelimutkannya. Rupa Mama sangat tua tetapi kulitnya berseri. Wajahnya tidak lagi menggerunkan.
Mungkin Mama kami telah kembali.
Selepas 21 hari, Mama semakin sihat dan akulah yang menjaganya siang dan malam secara bergilir-gilir dengan Kak Long.Adik beradik lain datang macam pelawat menziarahi pesakit di hospital.
Belum sempat panas punggung, mereka sudah beredar dengan pelbagai alasan: nak ambil anak dari tuisyen, takut jam, hujan lebat, besok nak kerja.
Di hari-hari sebelum Mama sakit begini, aku akan melenting tetapi kini, hati aku tenang. Itu pilihan masing-masing, kata hati ku.
Setiap orang hanya ada dua pilihan.
Syurga atau neraka.

Petronas Gas peruntuk RM6 bilion perbelanjaan modal

Posted: 05 May 2014 09:36 PM PDT

KUALA LUMPUR- Petronas Gas Bhd memperuntukkan RM6 bilion bagi perbelanjaan modal untuk lima tahun akan datang. Daripada jumlah itu, 60 peratus akan dibelanjakan untuk 'projek
pertumbuhan' seperti terminal regasifikasi di Pengerang.
"Selebihnya untuk projek sedang dilaksana untuk membantu operasi loji, peremajaan dan proses penyelenggaraan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusa' Hassan kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini hari ini.
Turut hadir di mesyuarat itu ialah Pengerusi Petronas Gas, Datuk Anuar Ahmad.
Yusa' berkata, tahun ini sahaja, Petronas Gas akan membelanjakan RM800 juta untuk peremajaan loji dan proses penyelenggaraan.
Sementara itu, Anuar berkata, syarikat menjangka terminal regasifikasi gas asli cecair (RGT) di Sungai Udang, Melaka akan menyumbang sehingga 10 peratus kepada keuntungan syarikat dalam tahun pertama operasi penuhnya tahun ini.
RGT yang memulakan operasi dalam suku kedua tahun lalu itu menyumbangkan kira-kira lima peratus atau RM163.5 juta kepada keuntungan Petronas Gas dalam tahun kewangan 2013.
Yusa' berkata, stesen janakuasa yang 60 peratus dimilikinya di Kimanis, Sabah dijangka mula beroperasi dalam suku kedua atau ketiga tahun ini. - BERNAMA

Koop 1Malaysia pertama dibuka di Selangor

Posted: 05 May 2014 09:27 PM PDT

SHAH ALAM 5 Mei - Bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan
runcit berkualiti tinggi pada harga rendah, Koperasi Kasih di bawah Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor Berhad membuka Koperasi 1Malaysia (Koop 1Malaysia) yang pertama di negeri ini.
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Basmi Kemiskinan Usahasama Sdn. Bhd, Mohamed Tamin Mohd. Yusof berkata, kira-kira 300 produk tempatan yang dihasilkan usahawan bumiputera akan ditempatkan di kedai berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya percaya kedai tersebut akan mendapat sam­butan menggalakkan daripada orang ramai sekali gus menetapkan sasaran jualan sebanyak RM10,000 sehingga hujung bulan ini.
"Pembukaan kedai ini bukan sahaja membantu ahli koperasi malah meningkatkan pendapatan usahawan bumiputera di seluruh negara.
"Selain itu, penduduk berdekatan juga berpeluang menerima manfaat daripadanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kedai Koop 1Malaysia pertama di negeri ini yang terletak di Ken Rimba, Seksyen 16 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Koperasi Kasih, Zayem Amdan dan isteri kepada Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom, Datin Sharifah Ahmad.
Mohamed Tamin memberitahu, barangan yang dijual di koperasi berkenaan juga akan dipasarkan ke kantin-kantin sekolah dalam tempoh terdekat.
"Pengusaha kantin boleh membeli barangan secara pukal dan perkhidmatan penghantaran turut disediakan," ujarnya.
Beliau menambah, bagi menarik minat pembeli, pakej pembelian turut ditawarkan merangkumi barang­an keperluan dengan harga RM100, RM90, RM70 dan RM50

Pelabur asing dalam dana saham Malaysia meningkat

Posted: 05 May 2014 09:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pembelian saham oleh pelabur asing mencatat peningkatan tertinggi
dengan nilai sebanyak RM402 juta pada minggu lalu.
Ketua Penyelidik MIDF Research, Zulkifli Hamzah berkata, jumlah itu le­bih sekali ganda berbanding RM165.1 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Katanya, pencapaian itu merupakan antara ketiga tertinggi dalam seminggu sepanjang tahun ini.
"Pada waktu aliran wang global ke ekuiti Asia berkurangan, Malaysia mencatatkan peningkatan yang sekali gus menunjukkan tahap keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham di Malaysia," katanya.
Tambah Zulkifli, dana-dana asing merupakan pembeli-pembeli dalam tempoh tiga hari terakhir pada tempoh empat hari dagangan berlangsung, minggu lalu.
Jelasnya, dagangan akhir April menca­tatkan jumlah belian saham kedua tertinggi iaitu sehingga RM317 juta manakala pada akhir Februari pernah mencatatkan belian tertinggi iaitu RM419 juta.
Beliau memberitahu, setakat hari ini, Malaysia masih merekodkan pengaliran keluar wang kumulatif.
"Pembelian yang dipergiatkan pada ming­gu lalu telah mengurangkan aliran keluar wang kumulatif bersih untuk tahun ini kepada kurang daripada RM5 bilion iaitu pada RM4.97 bilion," ujarnya.
Kata Zulkifli, pada 2013, Malaysia mencatatkan aliran wang keluar bersih RM3.03 bilion.
Jelasnya, jumlah-jumlah itu telah diniagakan dalam pasaran terbuka, tidak terma­suk di luar pasaran dagangan.­

 

Indonesia ekonomi ke-10 terbesar dunia

Posted: 05 May 2014 09:13 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 Mei - Indonesia muncul kuasa ekonomi kesepuluh terbesar di dunia dengan
menyumbang sebanyak 2.3 peratus bagi keluaran ekonomi global, menurut laporan Bank Dunia.
Laporan tersebut dikeluarkan berdasarkan keputusan Program Perbandingan Antarabangsa 2011 (ICP) yang mengukur ekonomi-ekonomi berdasarkan pariti kuasa membeli (PPP) dan menunjukkan bahawa Indonesia melonjak enam anak tangga melepasi negara-negara yang lebih membangun seperti Sepanyol, Korea Selatan dan Kanada.
Negara lain yang berada pada kedudukan sembilan ke atas adalah Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun, Jerman, Rusia, Brazil, Perancis dan Britain.
Negara ekonomi berpendapatan pertengahan iaitu Indonesia, China, India, Rusia, Brazil dan Mexico kini menyumbang 32.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berbanding 32.9 peratus yang disumbangkan oleh enam negara ekonomi berpendapatan tinggi iaitu AS, Jepun, Jerman, Perancis, United Kingdom (UK) dan Itali.
Jelas laporan itu lagi, AS dilihat bakal kehilangan status ekonomi terbesar dunia apabila China mungkin mengatasinya menjelang akhir tahun ini, lebih pantas daripada jangkaan.
AS telah menjadi ekonomi terbesar di dunia sejak berjaya memintas UK pada 1872.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meramalkan China akan mengatasi AS menjelang 2016 manakala China sendiri menyasar untuk menjadi kuasa ekonomi nombor satu dunia menjelang 2019.
Mengikut laporan itu, KDNK China hampir 87 peratus, berbanding KDNK AS pada 2011, manakala India telah meningkat daripada kedudukan kesepuluh pada 2005 kepada ekonomi ketiga terbesar, mendahului Jepun.

Kisah Bilal Menemui Rasulullah saw Menangis

Posted: 05 May 2014 06:53 PM PDT

Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa ketika Bilal hendak mengumandangkan azan subuh. Ia

menemui Rasulullah saw di tempat sujudnya.

Waktu itu, Bilal melihat Rasulullah saw sedang menangis sampai janggutnya basah dengan air mata. Lalu bilal bertanya "Ya Rasulullah, mengapa engkau menangis? Apakah yang membuat engkau menangis? Bukankah Allah swt sudah mengampuni dosa-dosamu, baik yang dahulu maupun yang akan datang?" Rasulullah saw menjawab, "Salahkah jika aku ini menjadi hambaNya yang pandai bersyukur?"


Didalam riwayat yang lain pula diceritakan bahawa ketika Rasulullah saw sujud dengan menangis dalam solat tahajjud, malaikat Jibril datang membawa wahyu (surah Ali Imran ayat 190)
Lalu Bilal bertanya " Ya Rasulullah saw, mengapa engkau menangis?"
Rasulullah saw menjawab "Allah swt menurutkan ayat yang bagus dan indah melalui Jibril"
Bilal bertanya lagi "Turun ayat yang bagus dan indah tetapi mengapa engkau menangis?"
Rasulullah saw terus menjawab " Inilah yang aku takutkan. Celaka umatku yang membaca ayat al-Quran ini, tetapi tidak merenung maknanya."
Seterusnya Rasulullah saw membacakan ayat tersebut
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" (surah Ali Imran ayat 190)
*Sumber dari tahajjud.net

Jangan lelong murah nama Nabi SAW

Posted: 05 May 2014 06:52 PM PDT

Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri zainul abidin

SAYA tertarik dengan Twitter Imam dan khatib Masjidil Haram, al-Syeikh Su'uud al-Syuraim yang

menyebut: (terjemahan) dakwaan bermimpi Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata".


Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.

Salah guna

Demikian nama Nabi SAW sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama Baginda SAW begitu laku, ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak.

Mendakwa mimpi berjumpa Nabi SAW, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi ALLAH SWT.

Imam Ahlus Sunnah wal Jama'ah al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya: "Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga". Jawab al-Imam Ahmad: "Wahai saudara!

Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan pertumpahan darah manusia". Kata Ahmad bin Hanbal lagi: "Mimpi itu menggembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya". (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).

Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi SAW melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan.

Masakan Nabi SAW muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan ALLAH mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi Muhammad SAW sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Baginda SAW.

Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi Muhammad SAW dengan satu mesej yang mencanggahi ajaran Baginda SAW, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi Muhammad SAW maka dia menyangka itu Baginda SAW.

Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi Muhammad SAW tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi SAW. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.

Kaut keuntungan

Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad SAW. Pada asasnya mengingati Nabi SAW dalam usaha mengamalkan ajaran Baginda SAW memanglah sesuatu yang baik.

Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi SAW dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi SAW itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi SAW.

Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi SAW itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi SAW itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan.

Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi SAW di sisi ahli hadis ialah 'sesiapa yang berjumpa dengan Nabi SAW, beriman dengan Baginda SAW dan mati dalam iman'.

Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi SAW dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi SAW sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu 'anhu.

Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi SAW. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi Muhammad SAW yang dia dakwa itu.

Golongan sahabat Nabi SAW telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi SAW dalam pertikaian antara mereka.

Tidak pernah 'Ali ataupun 'Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi SAW dalam menentu kebenaran.

Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa Baginda SAW. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi SAW ingatkan kita: "Pada akhir zaman akan ada para dajal lagi pendusta.

Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangka benar). (Riwayat Muslim)

Cinta keluarga nabi SAW

Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi SAW dengan dakwaan mereka keluarga Baginda SAW ataupun pencinta keluarga Nabi SAW. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil Syiah.

Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi SAW (ahlul bait). Saban hari kita berselawat buat mereka. Namun, bukan semua ahlul bait itu mendapat kemuliaan ALLAH.

Hanya ahlul bait yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh AS menjadi penderhaka kepada beliau.

Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad SAW juga yang tidak mengikuti jalan Baginda SAW. Perkataan 'habib' dan 'sayyid' bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi SAW.

Nabi Muhammad SAW menegaskan: "Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap 'mulia' dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan.

Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi ALLAH! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
telaga di syurga

Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW ataupun pencinta Nabi SAW, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang  Nabi SAW tidak mengaku mereka sebagai pengikut Baginda SAW.

Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari Baginda SAW memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan Baginda SAW.

Antara golongan yang Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda SAW ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu Baginda SAW memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan Baginda SAW menjadi basah. Baginda SAW pun bersabda: "Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?.

Dia menjawab: "Terkena hujan, wahai Rasulullah!". Baginda SAW bersabda: "Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak? Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku" (Riwayat Muslim)

Pencinta dan keluarga Nabi SAW tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda SAW. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran.

Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi SAW. Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan.

Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).

Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)" (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi. Sahih)

 Moga kita semua sayangkan Nabi SAW. Berusaha mengikuti jalan Nabi SAW. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi SAW dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi SAW untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi SAW!

Jangan ‘main ceduk’ apa saja ke bakul agama

Posted: 05 May 2014 06:51 PM PDT

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang

dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-'Arab).


Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya disimpan oleh kawannya sebelum dia meninggal dunia. Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tidak berasas dan 'kartun' sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.
Sahih
Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir. Kisah itu ada dalam Al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.

Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai keselarasan dengan Al-Quran dan as-Sunnah serta logik yang kukuh.

Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam Bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya. Bahkan, banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik.

Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu. Benar seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan".

Katanya juga: "Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat mencekik kitab-kitab kaum muslimin". ( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Palsu

Dalam kitab-kitab hadis banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit daripada selainnya.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): "Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah". (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya: "Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku". (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai' al-Turath al-'Arabi).

Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:"Para ahli sejarah Islam menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi bagi setiap sanad.

Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah".  (Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7).

Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.

Logik

Perkara yang tidak logik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:"Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu." (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).

Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr Al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:"Sepertimana para ulama hadis mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan Al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk ditaufiqkan (diharmonikan). (Abu Syahbah,  Difa' an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).

Buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini. Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.

Kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas Al-Quran dan as-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras. Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama. – drmaza.com, 2014.

* Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Yakin dengan rencana Allah

Posted: 05 May 2014 06:49 PM PDT

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

NABI Ibrahim AS merupakan bapa para anbia yang memiliki segala kisah inspiratif yang mengandungi jutaan hikmah di dalamnya. Gelaran bapa para anbia itu dimulai ketika Ibrahim AS ingin memiliki keturunan. Kisahnya bermula ketika Ibrahim berkahwin dengan Siti Sarah yang jelitawan.


Di usia perkahwinannya yang sudah cukup lama, Ibrahim dan Sarah masih belum dikurniakan seorang anak. Keinginan mempunyai keturunan begitu menggebu-gebu dalam hatinya. Tidak hairan, setiap pasangan pasti ingin mempunyai keturunan yang akan meneruskan perjuangan dakwahnya.
Nabi Ibrahim AS dan Siti Sarah hanya boleh pasrah. Kerana bagaimanapun di atas sana ada Zat Yang Maha Mengetahui segalanya. Ibrahim dan Sarah menganggap itu sebagai ujian di dalam perkahwinan mereka.

Suatu hari, Ibrahim dan Sarah berhijrah ke Mesir. Ketika itu Mesir dipimpin oleh raja yang zalim yang hobinya suka kepada wanita. Kedatangan Ibrahim dan Sarah diketahui oleh sang raja. Lebih-lebih lagi Sarah yang membuat sang raja ingin memilikinya. Sang raja pun memaksa Ibrahim menyerahkan Sarah.
Ujian kembali menimpa Ibrahim AS. Kedatangan pertamanya ke Mesir harus disambut dengan perlakuan yang tidak pantas seorang raja. Sarah pun berdoa. Ketika itu sang raja merasa lehernya tiba-tiba tercekik. Merasa ketakutan, akhirnya Ibrahim dan Sarah diminta pergi oleh raja. Sebelum pergi, raja memberikan seorang hamba sahaya kepada mereka. Namanya Siti Hajar.
Doa Ibrahim pun terjawab, daripada perkahwinannya dengan Hajar, lahirlah seorang anak tampan bernama Ismail. Memang sekilas pandang menyakitkan bagi Sarah. Anak pertama Ibrahim AS bukan berasal daripada dirinya. Sarah pun ingin mempunyai anak.
Tapi kisahnya tidak berhenti sampai di situ. Tidak lama kemudian, Allah SWT mengurniakan anak daripada Sarah. Anak itu diberi nama Ishaq. Kedua putera Ibrahim ini diutus Allah menjadi nabi, pembawa risalah Islam. Doa Ibrahim dan Sarah terjawab sudah.
Senario dan perancangan Allah memang hebat dan indah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak reda terhadap ketentuan-Ku dan tidak sabar atas musibah daripada-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku. (hadis qudsi, riwayat Bukhari dan Muslim)
Berbahagialah menjadi seorang Muslim.
Di saat cubaan datang bertubi-tubi, seorang Muslim diajarkan bagaimana mengurus hatinya sehingga hatinya tetap sabar dan yakin akan hadirnya sentuhan hangat tangan Sang Khaliq.
Di saat nikmat turun dari langit, seorang Muslim diajarkan bagaimana mengelola hati sehingga hatinya sentiasa bersyukur dan menepis jauh kemungkinan munculnya hasad dengki.
Terkadang kita selalu berfikir, mengapa sering kali terjadi hal-hal yang tak sesuai dengan harapan kita. Plot cerita yang telah dirancang sebelumnya sering kali tidak berjalan lancar oleh kerana hadirnya hal-hal di luar kendalian kita. Pun begitu, di sebalik itulah letak nikmat daripada ujian-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Didik hati jaga lidah

Posted: 05 May 2014 06:48 PM PDT

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

MENDIDIK hati adalah pendidikan diri yang paling penting dalam kehidupan setiap manusia.

Kalangan orang tua-tua dahulu selalu menasihatkan generasi sesudahnya .Hati yang baik akan menjauhi segala dosa terutama yang melibatkan perkataan dan perbuatan. Justeru, kalangan remaja masa kini sewajarnya mendidik hati supaya segala tindak-tanduk kita sentiasa terpelihara dan tidak dimurkai Allah SWT.


Nabi SAW bersabda: â€Å“ Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan, maka Allah akan merahsiakannya, maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (riwayat Al Hakim)

Justeru, taubat, istighfar, zikrullah, tilawatil Quran, solat fardu dan nawafil serta amal soleh yang lain merupakan kunci yang terbaik ke arah mendidik dan membentuk hati, perasaan dan jiwa ke arah menjadi Mukmin yang mendapat hidayah, keampunan dan rahmat Allah SWT.

Hati dikatakan tempat bertapaknya segala hasad dengki, sombong, bakhil, riak, munafik (nifak), bangga diri (ujub), putus asa, cintakan dunia, perasaan dukacita, mengikut hawa nafsu, buruk sangka, enggan bertaubat daripada dosa, benci sesama Muslim, kufur terhadap Allah, tidak menyedari kejahilan diri, malas melaksanakan ibadah, ragu-ragu terhadap kebenaran ajaran Islam bermula.
Semua sifat ini bermula daripada hati. Kemudian memantulkan kepada percakapan dan perbuatan. Islam melarang keras semua perasaan ini wujud di hati kita kerana ia merupakan dosa hati yang boleh membinasakan diri dan dibenci oleh Allah SWT dan rasul-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Adakah patut mereka dengki kepada manusia atau nikmat yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya. (an-Nisa: 54)

Menurut Imam al-Ghazali tujuh perkara yang tercela yang boleh merosakkan diri sendiri. Antaranya; suka kepada permusuhan, merasakan kemuliaan diri, takbur, mengagumi diri sendiri, takut hilang cita-cita yang diinginkan, suka menjadi ketua dan jiwanya jahat dan kikir.

Oleh itu, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat perlu ditekankan kembali melalui didikan hati di rumah dan di sekolah. Melalui pendidikan hati akan menjadikan budi bahasa lebih terpuji dan berfikir sebelum sesuatu perbuatan yang dilakukan.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Ini akan menjadikan kehidupan dalam masyarakat lebih tenteram dan tidak akan berlaku perbuatan yang menjurus kepada kesombongan, hasad dengki, riak, cintakan dunia dan bangga terhadap kelulusan, rupa paras serta kedudukan.

Rohingya : PBB gesa Myanmar buka laluan

Posted: 05 May 2014 06:47 PM PDT

NEW YORK  -  Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Vijay
Nambiar semalam berkata, kerajaan Myanmar perlu membuka laluan kepada etnik Rohingya, yang dianggap sebagai pendatang haram di negara itu, untuk mendapatkan kerakyatan sebagai penyelesaian kepada konflik agama dan etnik di negara itu.

Beliau berkata, keselamatan penduduk Rohingya akan terus terancam, jika tindakan tersebut tidak diambil, dan pada masa sama memberi kesan kepada reputasi Myanmar pada peringkat antarabangsa.
Nambiar berkata, status penduduk Islam di negeri Rakhine, Myanmar masih belum diselesaikan, walaupun banyak janji diberikan oleh kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan awal bagi menyediakan sijil kelahiran sementara, pendaftaran kelahiran dan membenarkan etnik Rohingya bergerak bebas.
"Keperluan paling penting untuk penduduk Islam di Rakhine adalah mengesahkan status kewarganegaraan mereka dan mendapatkan Kad Pendaftaran Nasional daripada kerajaan (Myanmar) dan kemudian memberi kerakyatan kepada mereka, bagi membolehkan penduduk Rohingya bergerak bebas di negara itu dan mendapat pasport untuk ke luar negara,'' katanya ketika berucap di Institut Kedamaian Antarabangsa, di sini.
Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menafikan hak mereka di negara itu, walaupun kebanyakan mereka telah menetap di Myanmar sejak beberapa generasi lalu.
Penduduk Rohingya sejak beberapa tahun lalu menjadi sasaran serangan kumpulan samseng beragama Buddha yang menyaksikan lebih 280 orang dibunuh dan 140,000 orang lagi penduduk terpaksa melarikan diri.
Myanmar selesai menjalankan bancian penduduk tiga minggu lalu, namun penduduk Rohingya tidak dimasukkan dalam bancian tersebut kerana mereka tidak dibenarkan mendaftar diri sebagai penduduk daripada etnik tersebut.
Nambiar berkata, terdapat banyak elemen dalam masyarakat Islam di negeri Rakhine yang bersedia untuk bergerak ke arah penyelesaian itu.
"Saya rasa ia adalah cara yang baik ke arah melaksanakan objektif itu dengan segera dan kemudian menggunakan status itu untuk bergerak ke arah mewujudkan perlembagaan politik yang akan berlaku dalam mana-mana proses demokrasi," katanya. - AGENSI

Angka korban feri karam kini 213 orang

Posted: 05 May 2014 06:46 PM PDT

MOKPO, Korea Selatan  Angka korban dalam tragedi feri karam di Korea Selatan, meningkat kepada

213 hari ini apabila sebanyak berpuluh-puluh lagi mayat berjaya dikeluarkan daripada bangkai feri Sewol yang karam pada 16 April lalu.


Usaha mencari dan menyelamat juga semakin sukar apabila pasukan penyelam terpaksa mengharungi ombak kuat dan serpihan-serpihan objek untuk mencari kira-kira 89 penumpang yang masih hilang.
Selepas dua minggu insiden itu berlaku, ahli keluarga penumpang yang terlibat masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan orang kesayangan mereka.

Permohonan maaf Presiden Korea Selatan, Park Guen-hye kelmarin berhubung kelewatan operasi mencari dan menyelamat, disifatkan ahli-ahli keluarga sebagai tidak ikhlas.

Permohonan maaf itu dibuat selepas timbul dakwaan daripada ahli-ahli keluarga mangsa yang menuduh kerajaan tidak mengambil tindakan secukupnya untuk menyelamat dan melindungi mangsa.
Ahli-ahli keluarga mangsa turut menggesa operasi menyelamat ditingkatkan bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Media tempatan turut melaporkan, beberapa keluarga mangsa yang marah, membuang kalungan bunga yang dihantar oleh Guen-hye dan pegawai kanan kerajaan lain ke satu tempat peringatan tragedi tersebut di bandar Ansan.

Feri tersebut membawa 476 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.
Dalam kejadian dari Incheon ke Pulau Jeju itu, hanya 174 orang terselamat termasuk 22 daripada 29 anak kapal. - AP

Penduduk bimbang bangkai paus 'meletup'

Posted: 05 May 2014 06:45 PM PDT

TROUT RIVER, Newfoundland - Bangkai seekor ikan paus biru seberat 60 tan yang terdampar di

pantai sebuah pekan kecil di Kanada mencemaskan penduduk sekitar yang bimbang ikan itu akan 'meletup'.


Kerani Majlis Perbandaran itu, Emily Butler berkata, bangkai ikan paus biru itu di hanyutkan ke pantai pekan Trout River, yang terletak di barat Newfoundland dan telah mengeluarkan bau busuk yang dapat dihidu hampir keseluruhan penduduk pekan itu.

Katanya, penduduk bimbang gas metana hasil reputan bangkai itu akan menyebabkan ia meletup. Bangkai itu merupakan salah satu daripada tiga bangkai ikan paus yang ditemui di persisiran pantai barat Newfoundland. - Agensi

Tragedi hitam pesta air

Posted: 05 May 2014 06:44 PM PDT

Oleh NORHANA FARIZA HARUN


PESTA air merupakan sambutan Tahun Baru disambut di negara Asia Tenggara seperti Thailand,

Ia digelar pesta air oleh masyarakat Barat kerana pada hari tersebut, orang ramai akan membaling air antara satu sama lain sebagai sebahagian daripada upacara pembersihan sempena menyambut tahun baru.


Secara tradisinya, orang ramai hanya memercikkan air sebagai tanda hormat, namun hari ini mereka membaling air kepada orang ramai yang tidak dikenali dan pada kenderaan yang lalu lalang.

Akibatnya, pelbagai kemalangan jalan raya melibatkan kematian dilaporkan sepanjang perayaan ini berlangsung. Setiap tahun statistik kemalangan dan kematian terus meningkat meskipun kerajaan mengambil langkah untuk menanganinya.

Bagi keluarga mangsa yang menjadi korban dalam nahas jalan raya semasa sambutan pesta ini, ia nyata menjadi kenangan pahit walaupun sebenarnya sambutan tahun baru sepatutnya dirai dengan penuh meriah.

Songkran tujuh hari paling bahaya

Di sebalik kekecohan politik yang seolah-olah tiada berkesudahan di Thailand, rakyat di negara tersebut baru-baru ini mengetepikan perbezaan fahaman politik mereka bagi meraikan pesta air Songkran yang juga menandakan Tahun Baru Thailand.

Festival Songkran disambut setiap tahun pada bulan April di mana mereka percaya bahawa aktiviti membaling air dapat membasuh semua perkara buruk. Jika ia disambut secara tradisional, air yang dibaling kadang kala mempunyai wangian tersendiri kerana diisi herba.

Bagaimanapun, selain kegembiraan menyambut pesta itu, ia juga merupakan satu tempoh yang menyaksikan peningkatan kemalangan jalan raya hingga digelar 'Tujuh hari berbahaya' oleh pihak berkuasa.

Walaupun kerajaan ada melancarkan kempen kematian sifar Songkran, namun ia tidak pernah berjaya.

Tahun ini Songkran disambut pada 11 hingga 18 April, dan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra terus berharap agar tujuh hari itu mencatatkan tragedi jalan raya yang minimum. Tetapi angka kematian dan kemalangan terus meningkat saban tahun.

Sebanyak 322 orang terbunuh sepanjang tujuh hari pesta berlangsung, dan jumlah itu adalah hanya kurag satu angka daripada kematian tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Charupong Ruangsuwan berkata, sejumlah 2,992 kemalangan turut dicatatkan dan ia meningkat 164 kes berbanding tahun lalu. Manakala, bilangan cedera naik kepada 3,225 orang.

"Usaha kami untuk mengurangkan jumlah kemalangan agak memuaskan. Kerajaan juga telah bertekad menguatkuasakan penguat kuasaan undang-undang terutamanya terhadap pemandu mabuk dan pemandu melebihi had laju," katanya.

Ketua Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana, Chatchai Promlert turut memaklumkan pihak berkuasa wilayah akan terus menilai keperluan bagi mengelakkan kemalangan dan merangka langkah-langkah pencegahan.


Kontroversi Songkran 2014

Sambutan Singapura

Sambutan Singapura 2014 iaitu acara pesta air dua hari gaya Songkran telah dirancang di Singapura dan ia telah diangkat sebagai parti pesta air terbesar di sana.

Bagaimanapun, kontroversi muncul apabila Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Vilaiwan Twichasri mendakwa Thailand memegang hak eksklusif untuk meraikan Songkran, dan merancang mengadakan perbincangan bersama pegawai Jabatan
Harta Intelek, Kementerian Perdagangan serta Kementerian Kebudayaan untuk membincangkan potensi tuntutan mahkamah.

Ketua Jabatan Promosi Kebudayaan Chai Nakhoncai menunjukkan bahawa Songkran merupakan perayaan tradisional yang dikongsi banyak negara di Asia Tenggara, manakala ahli sejarah Charnvit Kasetsiri menyatakan tidak ada negara boleh menuntut pemilikan tradisi
tersebut.

Pada 25 Mac, kerajaan Singapura campur tangan dan perayaan ditetapkan selama satu hari tanpa mengandungi aktiviti melibatkan membaling air.

Berbogel di khalayak ramai

Dua rakyat Thailand ditahan kerana didakwa mendedahkan dada di khalayak ramai di wilayah Pitsanulok.

Imej mereka disebarkan di internet dan mendapat kritikan daripada orang ramai. Mereka didakwa atas kesalahan melakukan pendedahan tidak sopan dan didenda.


91 korban Thingyan

Sementara itu di Myanmar, 91 orang terbunuh dan lebih 758 yang lain cedera akibat kemalangan jalan raya dan kejadian jenayah semasa sambutan pesta air Thingyan di negara terbabit.

Sepanjang empat hari sambutan iaitu pada 13 hingga 17 April, Myanmar mencatatkan sebanyak 333 kes kemalangan jalan raya, 33 pembunuhan dan 13 kes rogol di seluruh negara.

Jurucakap Pasukan Polis Myanmar, Win Sein berkata, sehari selepas sambutan berakhir kes jenayah di negara itu mencecah 836 kes.

"Sepanjang pesta Thungyan, terdapat lebuh 17 kes jenayah dan lapan kecederaan berkaitan perayaan berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, jumlah kematian menurun sebanyak 17 kes.

"Pihak kami berungkus lumus meningkatkan ciri keselamatan bagi mengurangkan kemalangan dan kes jenayah berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Manakala bilangan kes berkaitan jenayah sepanjang sambutan Thingyan berjumlah 194 kes, pembunuhan 15 kes dan kecederaan 198 kes.

Menurutnya, pergaduhan semasa bermain air dikira sebagai jenayah berkaitan Thingyan.

Jambatan runtuh, 350 maut

Myanmar, Kemboja, Laos dan Yunnan di China.
Lebih 350 orang maut dan lebih 329 orang cedera dalam rempuhan selepas sebuah jambatan runtuh semasa sambutan pesta air Bon Om Touk atau pesta air Kemboja pada 22 November 2010.

Difahamkan, runtuhan bermula selepas beberapa orang terkena kejutan elektrik di atas jambatan kecil dipenuhi lampu yang menghubungkan Phnom Penh ke sebuah pulau berdekatan.

"Terlalu ramai di atas jambatan menyebabkannya runtuh dan mereka yang berada di tengah-tengah jatuh. Ketika cuba menyelamatkan diri daripada rempuhan, ada di antara mereka menarik wayar untuk berpaut mengakibatkan ramai yang manti kerana kejutab elektrik," menurut seoramg saksi.

Kenyataan tersebut disokong salah seorang doktor yang merawat mangsa yang mengatakan bahawa kejutan elektrik dan lemas merupakan sebab utama kematian di kalangan mangsa.

Ketika kejadian ribuan orang sedang berkumpul bagi meraikan pesta air dan menonton konsert.

Kebanyakan mangsa dipercayai lemas dan dipijak ketika cuba menyelamatkan diri.

Perdana Menteri Hun Sen menyifatkan tragedi itu sebagai yang terburuk dalam tempoh 31 tahun sejak kejatuhan rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang membunuh 1.7 juta penduduk.

37 kematian di Laos

Kementerian Keselamatan Awam Laos melaporkan 37 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara semasa sambutan enam hari pesta Tahun Baru Lao atau Pii Mai pada 11 hingga 16 April lalu.

Rekod juga menunjukkan sebanyak 303 kes kemalangan raya dilaporkan dan menyebabkan 544 kecederaan.

Pemandu mabuk dan melanggar undang-undang jalan raya dipercayai menjadi punca utama berlakunya kemalangan.

Ibu negara Laos, Vientiane mencatatkan jumlah tertinggi dengan 47 kemalangan dan menyebabkan kematian enam orang, diikuti wilayah Savannakhet dengan 46 kemalangan dan enam kematian.

Pihak berkuasa tempatan mendapati kemalangan dan kecederaan pada tahun ini meningkat, tetapi jumlah kematian menurun berbanding tahun lalu.

Kegilaan selfie nyaris ragut nyawa

Posted: 05 May 2014 06:44 PM PDT

KETIKA berada di sekolah tinggi, Danny Bowman, 19, pernah menghabiskan masa sehingga 10 jam untuk mengambil lebih 200 selfie semata-mata mahu menarik perhatian rakan perempuannya.

Kegilaan remaja ini berselfie bermula seawal usia 15 tahun akhirnya memakan diri hingga menyebabkannya terpaksa berhenti sekolah selain kehilangan berat badan secara mendadak.


"Saya pernah tidak keluar dari rumah selama enam bulan hanya kerana gagal mengambil gambar selfie yang sempurna. Saya menjadikan aktor Leonardo Di Caprio sebagai idola dan ketaksuban itu hampir meragut nyawa saya," katanya.

Bagaimanapun, Bowman kini semakin pulih selepas menjalani terapi untuk merawat ketagihannya yang berpunca daripada masalah kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan dismorfia (kebimbangan melampau terhadap penampilan diri sendiri).

Menurutnya, dia sudah tidak lagi mengambil selfie sejak lebih tujuh bulan lalu.

"Saya mula sedar untuk mencapai kesempurnaan adalah satu perkara mustahil," katanya yang dipetik DailyMail

Remaja tersebut kini terlibat dengan Fixers yang merupakan sebuah badan amal bertujuan untuk membantu golongan remaja menyelesaikan masalah dihadapi oleh mereka.

Al Capone mafia Amerika Syarikat

Posted: 05 May 2014 06:43 PM PDT

Oleh LIZA HASAN


ALPHONES Gabriel Capone lebih popular digelar Al Capone atau Scarface merupakan Gangster
Ketika itu poster wajah beliau terpampang di media massa dan semua premis perniagaan bagi tawaran ganjaran kepada mana-mana individu yang dapat menangkapnya dalam keadaan hidup atau mati.

Al Capone dilahirkan pada 17 Januari dan merupakan anak keempat dari pasangan Gabriele dan Teresina Capone yang berasal dari selatan Itali sebelum berhijrah ke ASpada 1893.

Di AS keluarga Capone menetap di 95 Navy Street dan ketika usianya mencecah 11 tahun mereka sekali lagi berpindah ke 21 Garfield Place di Park Slope, Brooklyn.

Selepas tamat persekolahan di Brooklyn, beliau bekerja di pusat permainan bowling dan ketika itu jugalah beliau mengenali ketua kumpulan samseng paling terkenal di AS, Giovanni Torrio Alias John yang lebih terkenal dengan panggilan Papa Johnny Torrio atau The Fox.

Penglibatan awal dunia jenayah

Penglibatan jenayahnya bermula apabila dia menyertai kumpulan Five Points Gang sebagai boncer di Coney Island Dance Hall and Saloon.

Sepanjang kerjaya itu beliau mengalami banyak kecederaan di muka hingga digelar Scarface.

Pada 30 Disember 1918, Al Capone bverkahwin dengan Mae Josephine Coughlin seorang warga Ireland dan dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Albert Francis Sonny Capone.

Kemudian sekitar 1921, Al Capone dan keluarganya berpindah ke Chicago selepas dipelawa Giovanni Torrio dan dari situ dia berjinak dalam jenayah penyeludupan.

Ketika itu, Giovanni memperoleh kekayaan selepas membunuh ketua penjenayah terbesar Chicago, James Big Jim Colosimo sekali gus mengambil alih jenayah peninggalan James.

Dalam kes pembunuhan itu, Giovanni terlepas dari hukuman selepas kekurangan bukti dan menurut laporan akhbar Al Capone turut terlibat dalam pembunuhan terbabit.

Pindah dari Chicago ke Illionis

Statistik jenayah paling tinggi di AS ketika itu adalah Chicago menyebabkan Gebenor bandar itu meletak jawatan dan digantikan oleh William Emmet Dever.

Ketika itu juga rakyat melakukan reformasi bagi mendesak kerajaan menurunkan kadar jenayah dan memburu lambakan gangster. Keadaan itu kurang disenangi Al Capone lalu mereka berpindah ke Cicero, Illinois.


Di sana, kumpulan Capone terpaksa bertarung dengan kumpulan Cicero Myles O'Donnell dan William Klondike O'Donnell untuk mendapatkan kawasan jajahan takhluk.

Capone akhirnya dapat menawan bandar itu 1924 hingga menyebabkan kematian lebih  200 ahli kumpulan gangster yang selama ini berada di Illinois.


Saint Valentine's Day Massacre

Selepas bergabung dengan beberapa kumpulan gagster, Al Capone dikatakan mendalangi kes pembunuhan beramai-ramai paling terkenal dalam dunia jenayah pada abad 19, iaitu Saint Valentine's Day Massacre.

Pada masa sama, serpihan kumpulan beliau turut melakukan pembunuhan di Chicago, hingga menyebabkan tujuh anggota gangster Mafia Bugs Moran dibunuh secara kejam.

Meskipun kejadian itu dikaitkan dengan Al Capne namun tiada seorang pun ahli kumpulan beliau didakwa oleh mahkamah.

Kegiatan Al Capone lumpuh apabila beliau ditangkap oleh ejen FBI, Eliot Ness yang selama itu giat memburu dan menjejaki Al Capone. Tangkapan dilakukan ketika Al Capone melakukan penyeludupan minuman keras di sebuah bandar di Illionis.

Sejak dari itu, kumpulan pengamal undang-undang menyelar tindakan mahkamah AS yang selama ini banyak membebaskan penjenayah selepas didakwa ramai hakim menerima suapan dari kumpulan penjenayah berpengaruh di negara itu.

AlCapon akhirnya dijatuhi hukuman penjara dan meninggal dunia ketika berusia 48 tahun.
Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai sindiket penyeludupan dan melakukan pembunuhan pada era 1920-an dan 1930-an.

Jangan iktiraf kerajaan al-Sisi

Posted: 05 May 2014 06:42 PM PDT

Oleh  SYED ABDULLAH SYED OSMAN

Abdel Fattah al-Sisi, Jeneral yang mengulingkan Mohamed Mursi, Presiden Pertama yang dipilih

secara demokratik, telah melanggar tata susila dan dianggap sebagai perampas hak rakyat yang secara sah memilih Mursi sebagai pemimpin negara Mesir.

 Dengan kekuatan tentera yang ada dan seolah-olah tentera mengatasi segala pentadbiran negara dan tidak mengikut perundangan yang sepatutnya dipatuhi maka, terjadilah perampasan kuasa yang mengecewakan rakyat dan juga dunia terutama sekali dunia Islam.

Yang menjadi masalahnya apabila sesiapa juga yang menentang Jeneral al-Sisi akan ditangkap ataupun dibunuh dengan begitu kejam.
Terbaharu, lebih 500 rakyat Mesir penentang al-Sisi diberkas dan dijatuhkan hukuman bunuh. Tindakan ini adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan dan amat kejam sekali.

Kini Jeneral al-Sisi berhasrat untuk bertanding jawatan presiden Mesir. Sudah tentu sekali undian itu sekali lagi akan menjadi kontroversi kerana mana mungkin beliau akan kalah.
Hal ini kerana apabila beliau berhasrat untuk bertanding bermakna beliau sudah pastikan dan sudah diaturkan bahawa beliau akan menang dalam apa keadaan sekali pun.
Inilah yang diramalkan akan terjadi dan tidak mungkin dapat memadamkan kemarahan rakyat Mesir. Keadaan ini akan menghuruharakan dan mengeruhkan lagi suasana selagi demokrasi yang adil tidak dapat dikembalikan semula kepada Mohamed Mursi sebagai Presiden Mesir yang sah.

Sepatutnya negara-negara Islam yang lain termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Kerajaan yang tidak sah dan menzalimi rakyatnya sendiri

Perjuangan Datuk Dol Said ke pentas teater

Posted: 05 May 2014 06:42 PM PDT

MASYARAKAT dapat membaca mengenai perjuangan Datuk Dol Said menentang British menerusi pelancaran buku Sejarah Ringkas Naning tulisan Datuk Paduka Raja Sayyid Shaikh Ariffin Al Haj
Raja Sayyid Shaikh Mohd Dahlan.

Bagaimanapun, demi menarik minat golongan muda, perjuangan tokoh sejarah itu juga bakal diadaptasikan ke pentas teater menerusi teater Monodrama Legenda Datuk Dol Said (Orang Kaya Seri Merah).

Menggunakan khidmat pengarah berkaliber, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, teater berkenaan turut mendapat kerjasama penuh daripada Istana Nan Panjang Undang Wilayah Naning 19, Persatuan Geliga Merah Opera dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Teater monodrama tersebut diterajui oleh pelakon berbakat besar, Ungku Hariz Faizal Mohamed Fadli atau lebih mesra disapa sebagai Hariz. Bekas peserta Pilih Kasih 2 itu akan memainkan empat karakter berbeza iaitu Dol Said, isteri Dol Said, Gabenor British Tanah Melayu R Ibbetson dan Syed Sya'aban.

Teater Monodrama Legenda Datuk Dol Said (Orang Kaya Seri Merah) mengisahkan perjuangan kerajaan Naning, Negeri Sembilan sewaktu pemerintahan Dol Said sehingga berlaku peperangan dengan British sekitar 1832 yang dinamakan Perang Naning.

Ia bakal dipentaskan di Auditorium DBP pada 15 hingga 18 Mei ini pada jam 8.30 malam.

Ikuti temu bual Zass bersama pengarah tersohor ini mengenai projek teater terbaharunya itu.


Apakah objektif utama pementasan teater ini?

Persembahan teater ini bertujuan memperkenalkan sejarah dan perjuangan Naning sewaktu zaman Dol Said kepada masyarakat terutamanya kepada generasi muda kini. Ia juga sebagai satu usaha dan sumbangan kepada tokoh negara yang memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan apresiasi rakyat terhadap karya berbentuk masyarakat khususnya teater pentas sebagai salah satu dari genre sejarah sekali gus meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara dalam kalangan generasi muda.


Boleh anda jelaskan mengenai konsep teater ini?

Teater Legenda Datuk Dol Said disampaikan secara monodrama yang mana ia hanya melibatkan seorang pelakon bagi menghidupkan empat watak secara serentak dan berdurasi sejam lebih sambil diselangi dengan kemunculan penari sebagai korus.

Keseluruhannya, cerita ini bervisikan perjuangan. Amanat dan harapan disatukan dalam luahan penuh emosi dengan dialog berpandukan fakta sejarah.

Sebelum ini, menerusi pra pelancaran yang dibuat, terdapat beberapa nama dipilih. Bagaimana dengan nama pilihan anda itu?

Memang perancangan awalnya, saya melihat beberapa nama lain seperti Awie, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam atau Faizal Hussein sesuai untuk membawakan watak ini.

Mereka ada memberi maklum balas yang baik tetapi tiada komitmen tinggi untuk terlibat dalam pementasan teater ini.


Jadi, apa pula kriteria Hariz, sehingga dia berjaya menjadi teraju utama teater ini?

Saya akhirnya membuat keputusan mencari seorang pelakon yang ada kemahiran dalam membawakan watak ini. Ketika itu, orang pertama yang saya fikirkan adalah Hariz, apatah lagi apabila dia mempunyai kemahiran asas dalam teater baik dari segi lakonan, monolog atau tarian.

Apa yang pasti, tahap lakonannya sememangnya hebat dan saya percaya Hariz boleh merealisasikan impian saya. Alhamdulillah, dia memberikan komitmen sangat baik. Malah, dalam tempoh seminggu dia boleh bagi dialog penuh dalam kepalanya.


Apakah cabaran yang perlu dihadapi dalam mengarah teater ini?

Sebenarnya, apa saja bentuk pementasan ada cabarannya, cuma ia mengikut cara pengarah atau tenaga produksi itu mengatasinya. Secara peribadi, saya ambil tugas berat ini dengan memastikan apa yang ingin disampaikan dapat diterima dengan jelas oleh penonton. Seperti yang diketahui, Hariz perlu membawa empat karakter dalam masa sejam. Jadi, saya kena pastikan dia tidak tertekan dengan dialog yang akan dilontarkan.


Bagaimana dengan penghasilan skrip? Ada olahan atau tidak?

Keseluruhan pergerakan cerita ini datang daripada saya sendiri. Bagaimanapun, saya turut berbincang dengan Abd Walid Ali yang kemudian menulis skrip teater ini. Dia menjalankan kajian melalui naskhah dan sumber yang  berkaitan dengan Naning dari kurun ke 13 hingga 19. Kemudiannya, apabila dia berjumpa dengan saya, idea itu digabungkan. Bukan itu saja, saya juga membuat olahan besar supaya teater ini tidak membosankan penonton.


Anda kerap tampil dengan teater bergenre komedi seram. Mengapakah anda melakukan kelainan kali ini?

Genre komedi seram adalah genre kegemaran saya. Begitupun, sebagai pengkarya, saya perlu mempelbagaikan kreativiti. Saya anggap ini adalah sebagai satu cabaran untuk terus berkarya.

Saya yakin dengan pengalaman sebelum ini, banyak membantu saya untuk mementaskan monodrama ini. Memang kali ini, tiada lawak jenaka. Tetapi, saya yakin dengan empat watak ini, ia dijangka dapat menghiburkan penonton. Tambahan pula, saya diapit tenaga produksi yang hebat. Mereka pula sentiasa memberi pandangan dengan mengeluarkan idea bernas.


Apakah harapan anda?

Saya mengharapkan doa dan restu daripada semua serta  yakin teater ini akan diterima ramai. Sokongan semua amat diperlukan. Tiket untuk menonton berharga RM30, RM50 dan RM100 boleh didapati  di talian www.ezitix.net

Aishwarya Rai mengandung lagi?

Posted: 05 May 2014 06:40 PM PDT

NEW DELHI - Aktres terkenal Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan dikatakan sedang hamil anak

kedua selepas dia dilihat sedikit berisi ketika keluar mengundi untuk pilihan raya Parlimen India, minggu lalu.
Desas-desus kehamilan isteri aktor Abhishek itu dikuatkan lagi apabila Aishwarya mengenakan baju longgar seolah-olah cuba melindungi bahagian perutnya.

Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Aaradhya, 3.
Menurut portal berita India, Sahara Samay, kehamilan itu juga dikatakan menjadi faktor bekas Ratu Dunia tersebut terpaksa menolak tawaran berlakon daripada pengarah Mani Ratnam, sedangkan Aishwarya sebelum ini sangat berharap untuk bekerjasama di bawah arahannya.
"Berita kehamilan itu membuatkan Aishwarya mungkin tidak akan kembali aktif dalam industri seni buat masa terdekat," jelas portal tersebut.
Selepas bersalin, aktres itu banyak memberi tumpuan kepada Aaradhya, malah sering dilihat membawa anak pertamanya itu ke majlis-majlis dihadirinya.
"Detik-detik menjadi ibu sangat bermakna sehingga saya tidak sedar betapa pantas masa berlalu. Saya banyak menerima tawaran daripada pengarah, namun komitmen sebagai ibu menjadi keutamaan saya," katanya. - AGENSI

Hilangnya sebutir semangat seni

Posted: 05 May 2014 06:39 PM PDT

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia sudah tertulis tarikh matinya. Cuma bila, itu yang menjadi

tanda tanya dan hanya tuhan yang tahu.

Kini, seorang lagi permata bintang seni tempatan, Sidek Hussin, 63, telah pergi mengadap Ilahi pada pukul 11.55 malam, Ahad lalu.


Pemergian Allahyarham akibat daripada ketumbuhan di bahagian pipi kirinya sehingga disahkan menghidap kanser tahap empat.

Ketumbuhan itu sememangnya memberi identiti tersendiri kepada Sidek terutamanya kepada penonton sedangkan kesakitan yang dihadapi hanya empunya diri yang rasa.

Selama 20 tahun lamanya ketumbuhan itu menetap di pipi kanan Allahyarham bermula daripada ketumbuhan kecil, sehinggalah ia membesar.

Kira-kira dua hari sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Hits sempat bertemunya dan ketika itu, dia begitu gembira menyambut kedatangan tetamu.

Malah, walaupun ketika itu badannya nampak lemah, keceriaan tetap muncul dan banyak yang mahu diceritakan tetapi fizikalnya tidak mengizinkan.

"Setiap yang hidup pasti akan mati dan itu adalah pasti. Sakit cuma seketika, tapi berapa lama Allah beri kita kehidupan, sebab itu saya reda," katanya ketika ditemui Hits, tiga hari sebelum dia pergi menghadap Illahi.
Tuhan lebih menyayangi insan yang bernama Sidek Hussin dan kini, seorang lagi individu yang begitu komited dalam kerjaya seninya, pergi mengadap Ilahi.

Sebagai menunaikan hasrat terakhirnya, jenazah telah dikebumikan berhampiran kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Selangor.

Ketua keluarga

Sebagai orang yang paling rapat dengan arwah, isterinya, Sebiah Sulaiman menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berbeza daripada apa yang diperkatakan oleh orang lain.

"Sebagai ketua keluarga, Allahyarham bukanlah seorang yang garang tetapi dia cukup tegas dalam setiap tindakannya.

"Mungkin orang nampak dia macam garang, tetapi sebenarnya tidak. Malah, dia juga sangat tegas terutamanya melibatkan hal pendidikan anak-anak," jelasnya.

Menurut Sebiah, Allahyarham pernah memberitahunya yang dia tidak mahu anak-anaknya terlibat dalam industri seni sama seperti dirinya.

"Sepanjang bergelar pelakon, dia telah merasa kesusahan untuk hidup. Sebab itu dia tidak mahu anak-anaknya merasai kesusahan yang dihadapinya sebelum ini.

"Malah, perkara yang diimpikan adalah untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan Alhamdulillah, hajat itu telah terlaksana," jelasnya.

Bagi anak sulungnya bersama isteri terdahulu, Khairul Nizam berkata, bapanya adalah seorang yang sangat tetap dengan pendiriannya.

"Dalam drama memang nampak dia garang tetapi perwatakan sebenarnya tidaklah begitu. Cuma dia tegas dengan pendiriannya sahaja," katanya.

Jiwa pelakon hebat

Rata-rata rakan seperjuangan Allahyarham dalam bidang seni cukup terasa dengan kehilangan yang diibaratkan seperti permata yang hilang.

Bagi Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali dengan nama Anjang Aki, berkata, lakonan Allahyarham sentiasa memberi kesan bukan kepada penonton, tetapi kepada pelakon juga.

"Kalau berlakon, dia memang seorang yang sangat menjiwai wataknya. Dia tahu bagaimana hendak membawa setiap watak yang dilakonkan.

"Ada kalanya, jika bekerja dengan dia, saya sendiri begitu terkesan dengan lakonannya," jelasnya.
Seorang lagi pelakon yang sama-sama bertapak dengan Allahyarham dalam bidang lakonan, Omar Abdullah menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang sangat berdedikasi.

"Kami bermula di pentas teater sebelum ke dunia lakonan dan dia memang seorang yang sangat berdedikasi dalam kerjayanya.

"Daripada segi masa, memang dia seorang yang akan datang awal ke set penggambaran dan datang

Fatin Shidqia giat cipta nama

Posted: 05 May 2014 06:38 PM PDT

SEJAK dinobatkan sebagai juara X Factor Indonesia tahun lalu, Fatin Shidqia Lubis atau mesra

Biarpun jadual nyanyiannya agak padat, akui Fatin dia tidak menganggap ia sebagai satu tekanan atau beban kerana bidang nyanyian adalah perkara yang menjadi minatnya sejak kecil.


"Sejak kecil saya memang suka menyanyi dan kerana itu jugalah saya menyertai uji bakat X Factor. Malah walaupun jadual padat saya tidak pernah rasa penat atau terbeban kerana ini adalah minat saya.

"Bahkan bila ada jemputan menyanyi, saya dapat duit dan ada kalanya saya perlu keluar dari Jakarta. Jadi saya enjoy dengan kerjaya baharu saya ini.

"Walaupun hidup saya sudah banyak berbeza kerana jika mahu keluar atau bersama teman-teman perlu melihat jadual. Malah ke mana sahaja orang akan mengenali saya, tetapi saya tidak ada masalah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, 'Fatin For You' bertempat di Hotel Aloft, KL Sentral, kelmarin.
disapa Fatin mendedahkan banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya.
Pada majlis tersebut, Fatin juga buat pertama kali mengadakan showcase di hadapan peminat-peminatnya di sini dengan mendendangkan lagu Memilih Untuk Setia,  Cahaya di Langit,  Dia, Dia Dia serta sebuah lagu cover Patah Seribu (nyanyian Shila Amzah).
"Maaf ya, saya sangat gementar. Ini pertama kali saya membuat persembahan di sini. Jika saya sudah biasa dengan penonton- penonton terbabit, maka perasaan berdebar itu tidak begitu ketara.

"Malah saya juga masih lagi belajar bagaimana untuk membiasakan diri bila bertemu dengan orang baHAru," jelasnya mengenai masalah kegugupannya itu.

Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri sebagai selebriti, menurut gadis berusia 18 tahun ini, sementara menantikan peluang untuk melanjutkan pelajaran, fokusnya kini mahu mengukuhkan namanya dalam bidang nyanyian.

Fatin berkata, dia banyak meminta nasihat daripada mentornya, Datuk Rossa dan kadang kala belum sempat dia meminta nasihat, Rossa sudah menyarankan kepadanya terlebih dahulu.

"Teh Ocah (Rossa) banyak memberi kata-kata semangat dan pesanan buat saya. Malah saya juga memang sudah lama meminatinya dan saya meminatinya bukan kerana dia mentor saya. Dia banyak memberikan nasihat kepada saya supaya menepati masa, tidak sombong serta banyak lagi.

"Malah, saya juga bersedia berdepan kontroversi. Bagi saya kalau satu-satu dakwaan terhadap diri saya itu tidak benar, saya akan pertahankan diri saya. Kalau ia memang benar, saya akan mengaku," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Selain menjadikan Rossa sebagai idolanya, Fatin juga turut meminati Datuk Siti Nurhaliza, Shila Amzah dan Najwa Latiff kerana vokal mereka yang begitu mantap.

Tergamam dicium peminat

Ditebak mengenai insiden dicium peminat dalam satu persembahannya tahun lalu, Fatin berkata, kejadian itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung di dalam industri seni.

Ujar Fatin, dia sudah memaafkan peminat lelaki tersebut dan beranggapan peminat tersebut tidak sengaja berbuat sedemikian.

"Saya akui amat malu dan tergamam apabila dicium oleh peminat berkenaan. Bagaimanapun selepas peristiwa itu mendapat perhatian, peminat terbabit ada menghubungi saya menerusi Twitter dan memohon maaf.
"Walaupun pernah di cium, saya tidak pernah meminta kawalan ketat setiap kali membuat persembahan dan tidak kisah untuk turun dan bersalaman dengan peminat saya," katanya.


Kelebihan bertudung

Dalam pada itu, Fatin mengakui imejnya yang bertudung memberi sedikit kelebihan buatnya apabila sering menjadi pilihan sekiranya ada program-program Islamik atau majlis ketika di bulan Ramadan.

"Ya, berhijab juga memberi kelebihan kepada saya dari segi tawaran menyanyi. Kalau untuk program-program Islamiah, selalu saya diundang untuk menyanyi.

"Bahkan saya juga sering mendapat tajaan pakaian Islamik berjenama Rabbani dan ia memudahkan saya untuk tampil sopan setiap kali membuat persembahan," katanya yang turut mempunyai perunding imej di Indonesia.
Sementara itu, Fatin yang sedang dalam rangka promosi albumnya turut memperkenalkan single keduanya yang bertajuk Dia Dia Dia.  Single ini merupakan single keduanya selepas Aku Memilih Setia.

Tiada ulasan: