"BERANI KERANA BENAR!" |
- 15 Tip Pilih Power Bank
- Semangat Nasha Aziz luntur?
- Reka Bentuk Bumbung Rumah Ini Seperti Daun .
- Debu asing
- Sendawa berlebihan
- Dapat sokongan 7 negeri?
- Palestin desak kumpulan militan Yahudi dilabel sebagai pengganas
- Berdoalah kepada ibu
Posted: 14 May 2014 06:49 AM PDT Power Bank ialah peranti yang di reka khusus untuk membantu meningkatkan jangka hayat ketahanan bateri peranti mudah alih terutamanya telefon pintar dan tablet. Peranti ini memiliki fungsi untuk menyimpan kuasa bergantung pada kapasiti Power Bank tersebut. Fungsi Power Bank ini juga selalu diistilahkan sebagai pengecas mudah alih yang boleh diusung ke mana-mana dan membantu mengecas peranti mudah alih tanpa memerlukan elektrik. Kemampuannya untuk menjadi pembantu ketika pengguna mengalami masalah kehabisan bateri semakin mendapat tempat di hati pengguna. Dengan perkembangan pesat pengguna yang memiliki peranti mudah alih, industri Power Bank ini turut ikut sama bertumbuh dengan kadar yang mengejutkan. Pelbagai pengeluar mulai turut serta mengeluarkan produk-produk yang pelbagai bagi mendapatkan perhatian pengguna. Tetapi, sejauh mana prestasinya pula? Ciri dan fungsi Sering kali pengguna yang ingin mendapatkan Power Bank tertanya-tanya, apa ciri-ciri yang perlu diambil kira kerana Power Bank merupakan salah satu peranti mudah alih yang mulai mencetuskan fenomena tersendiri semenjak semakin ramai menggunakan telefon pintar dan tablet di seluruh dunia. Dengan penggunaan Power Bank, pelbagai masalah dapat diatasi. Kerunsingan pengguna berkaitan bateri peranti mudah alih mereka juga turut menjadi penyebab utama kepada pembangunan industri ini. Walaupun peranti mudah alih mereka dilabelkan berspesifikasi tinggi dengan bateri berkapasiti tinggi, ia tetap ada masalah. Secara umumnya, pemilihan Power Bank memerlukan sedikit penelitian seperti mana untuk memiliki peranti mudah alih yang lain. Hal ini kerana, sesetengah pengguna mengadu Power Bank yang dibeli sering kali mengalami masalah daripada segi produktiviti. Oleh itu, tip-tip berikut boleh membantu anda. 1. Jenama Secara kasarnya, pilihlah jenama Power Bank yang sudah dikenali di seluruh dunia. Ini kerana, di pasaran Malaysia khususnya sudah muncul banyak jenama-jenama yang agak meragukan. Seboleh-bolehnya, pilih jenama yang memiliki pensijilan UL untuk lebih kepastian dan keselamatan. 2. Syarikat pengeluar Rujuk terlebih dahulu berkaitan syarikat pengeluar atau kilang yang menghasilkan Power Bank yang bakal anda pilih. Sama ada benar syarikat tersebut memiliki kepakaran dan industri bateri atau tidak. Ini untuk mengelakkan anda terbeli Power Bank daripada syarikat yang tidak sahih kewujudannya. 3. Kualiti Kualiti bukan lah penentu kepada prestasi Power Bank itu sendiri, tetapi ia akan memberi kesan kepada kepantasan ketepatan memenuhkan bekalan kuasa. Selain itu, jika kualiti Power Bank itu sendiri sedia maklum di tahap sederhana, ia akan merosakkan kapasiti bateri pada peranti mudah alih anda. 4. Jaminan Untuk keselamatan, cuba pilih Power Bank yang memiliki jaminan sekurang-kurangnya setahun. Jaminan tersebut juga perlu diteliti berkaitan terma dan syarat. Dengan itu, semasa pembelian semak di manakah boleh anda menghantar Power Bank dengan jaminan jika ada sebarang masalah timbul. 5. Ciri tambahan Sesetengah Power Bank di pasarkan dengan ciri-ciri tambahan. Ini akan memberikan nilai tambah kepada Power Bank tersebut. Ciri-ciri tambahan seperti port tambahan dan sebagainya ini perlu juga diambil kira selagi mana tidak menjejaskan fungsi utama Power Bank tersebut. 6. Kapasiti Strategi perniagaan Power Bank di pasaran ialah mengumpan pengguna dengan kapasiti yang besar tetapi dijual pada harga yang murah. Apa yang penting, pilih kapasiti Power Bank mengikut keperluan, dan bukan keinginan. Ini membantu untuk mengawal rasa ingin membeli dengan cepat. 7. Model Model Power Bank ialah persoalan terbesar yang akan bermain di fikiran setiap bakal pengguna. Dengan lambakan model-model Power Bank di pasaran, pilih mengikut kesukaan anda termasuklah daripada segi saiz, fizikal, binaan, warna dan sebagainya setelah mengambil kira informasi di atas. 8. Bateri Teliti berkenaan bateri pada Power Bank anda di nota pemberitahuan dalam kotak. Cuba dapatkan kepastian daripada pengedar bahawa bateri tersebut adalah tulen dan bukan bateri yang diguna semula. Rujuk kepada pelekat-pelekat pemberitahuan berkenaan ketulenan bateri pada Power Bank tersebut. 9. Ciri keselamatan Jika boleh, pilih Power Bank yang memiliki ciri-ciri keselamatan khusus yang mampu melindung peranti mudah alih dan anda sendiri. Usah segan bertanya kepada penjual, adakah Power Bank ini memiliki ciri keselamatan seperti perlindungan short circuit, pengecasan berlebihan atau suhu. 10. Indikator Sesetengah Power Bank menawarkan isyarat indikator yang berbeza-beza bagi sesetengah fungsinya. Ini sangat penting untuk mengetahui maklumat pada Power Bank anda seperti kadar pengecasan, aktiviti sekarang dan sebagainya. Dengan isyarat ini, pengguna dapat lebih peka berkaitan masa pengecasan. 11. Output Perhatian voltan pada port output Power Bank yang sedang anda pantau. Contohnya seperti 5V/1A atau 5V/1.5A dan sebagainya. Ini kerana output ini memiliki pengaruh pada proses kepantasan pengecasan dan juga pengeluaran kuasa secara maksimum. 12. Plug Pilih Power Bank yang tidak terlalu khusus untuk satu jenis peranti sahaja. Sesetengah Power Bank menawarkan plug kuasa yang bervariasi bagi melengkapkan koleksi setiap jenis peranti. Untuk itu, anda boleh tetap gunakannya walaupun menukar peranti mudah alih. 13. Kabel original Untuk penggunaan yang lebih baik dengan ciri terbaik, Power Bank tersebut perlulah memiliki sokongan untuk kabel data original peranti (telefon pintar atau tablet) anda. Ini kerana, kabel data pengecas original peranti anda akan mengalirkan kuasa daripada Power Bank dengan lebih stabil. 14. Harga Tinjau harga Power Bank dengan kapasiti yang tertentu terlebih dahulu sebelum mula memantau pada pengedar atau penjual-penjual. Pastikan anda telah memiliki senarai secara kasar harga yang sepadan dengan kapasiti Power Bank. Untuk itu, anda masih boleh menilai ada ia berbaloi dengan apa yang anda mahukan. 15. Set Lengkap Seperti ketika membeli peranti mudah alih lain seperti telefon pintar, tablet dan sebagainya, anda perlu lebih prihatin berkenaan set yang ditawarkan secara percuma oleh pengedar Power Bank tersebut. Contohnya set lengkap untuk Power Bank merangkumi A/C adapter, penyambung kabel, lampu indikator dan lain-lain untuk menyokong prestasi Power Bank tersebut |
Posted: 14 May 2014 06:36 AM PDT Oleh IFQDAR RAHMAN PELAKON sensasi, Nasha Aziz, 44, yang mendukung watak utama teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) arahan Rosminah Tahir mengakui keyakinannya goyah apabila mendapat tahu pengarah tersebut jatuh sakit. Seminggu lalu, sebaik mendapat tahu Rosminah terlantar sakit disebabkan menghidapi angin ahmar, Nasha hilang semangat dan berasa kurang yakin apabila tugas pengarahan diambil oleh orang lain. Disebabkan itulah, menurut Nasha, dia sanggup menjemput Rosminah di rumahnya untuk datang ke Istana Budaya bagi meneruskan latihan DBLK dan menghantarnya pulang sejurus tamat sesi tersebut. "Saya sedih apabila mendapat tahu Kak Ros (Rosminah) sakit dan tidak boleh hadir ke sesi latihan. Saya jadi tak keruan dan tidak bersemangat. Sebab itulah saya sanggup jemput dan hantarnya pulang. "Saya hanya percayakan Kak Ros untuk mengarahkan teater ini. Penglibatan saya dalam teater ini juga disebabkan dia," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui selepas majlis pelancaran teater DBLK, di Istana Budaya, baru-baru ini. Terdahulu, Rosminah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 20 April lalu dan keadaannya kembali stabil dan dibenarkan keluar pada 22 April lalu. Sementara ketiadaan Rosminah, urusan pementasan dan sesi latihan diambil alih sepenuhnya oleh penerbit teater, Siti Rohayah Attan serta pengarahan dilakukan oleh penolong pengarah, Azhar Zainal. Di samping itu, Nasha menjelaskan bahawa dia menerima tawaran untuk terbabit dalam teater tersebut apabila memikirkan kerjasama menerusi teater pertamanya bersama produksi CTRA Production, Lantai T. Pinky berjalan lancar tanpa sebarang masalah. "Saya tahu, mana-mana produksi pun ada masalah tertentu. Akan tetapi CTRA Production begitu profesional dan bijak dari segi pengurusan. "Selain itu, ia juga disebabkan teater ini diadaptasi daripada novel hebat ulama terkenal Indonesia iaitu Profesor Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka," jelasnya. Mengulas mengenai wataknya sebagai Zainab, dia memberitahu bahawa ia terlalu sarat dengan kisah percintaan yang menyayat hati. "Saya akan membawa watak Zainab, cerita ini sangat berat dan saya akui ini adalah cinta saya tahun 2014," ujarnya ringkas. Antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan DBLK ialah Adi Putra, Fizo Omar, Dafi Ismail, Elfira Loy, Yasmin Hani, Liza Abdullah dan ia mula dipentaskan pada 9 hingga 18 Mei |
Reka Bentuk Bumbung Rumah Ini Seperti Daun . Posted: 14 May 2014 06:30 AM PDT Rumah daun merupakan sebuah rumah yang direka oleh arkitek dan pereka dari syarikat Mareines + Patalano Arquitetura . Rumah daun yang indah ini terletak di Angra dos Reis , kurang lebih 1 jam perjalanan dari selatan Rio de Janeiro di sebuah pantai kecil dengan air biru dan eko - pembinaan , Brazil . Idea untuk membuat rumah unik ini sendiri diilhamkan oleh arkitek Brazil berasal dari India . Dia membuat bumbung menyerupai daun yang berfungsi mengasingkan bangunan serta melindungi rumah indah ini dari iklim panas dan lembab Brazil . Bahan - bahan yang digunakan rumah inipun merupakan bahan - bahan yang semula jadi termasuk interior kayu dalam rumah . Disini , arkitek cuba untuk menyatukan antara manusia dan alam . Untuk itu , banyak ruang terbuka yang langsung berhadapan dengan alam . yang memisahkan hanyalah pitu slaid , beberapa kaca yang apabila dibuka angin akan bebas masuk kedalam bilik . Dari tingkat dasar ahli rumah boleh meihat pemandangan sekitar , dilantai dasar juga terdapat kolam renang yang moden yang melengkung kedalam rumah . zamrispoon |
Posted: 14 May 2014 06:26 AM PDT keheningan diri. Tanah yang meruapkan debu asing, mengubahkan landskap pandangan juga termakhfi. Diri rasa terkandas. Terkurung. Tersingkir. Terbungkam. Tercekik. Bagaimana di musim baharu ini, tanya Alora. Sedangkan diri keraguan dengan jawapan yang mahu diujarkan. Restoran kian penuh, hampir semua yang berkunjung memesan minuman berais. Kelapa berais. ABC. Malah bergelas-gelas. Apa yang mahu dibicarakan kepada pensyarah itu; tahun-tahun sebelum adalah keberhutangan rencana yang belum tertunai. Urusan baharu pula menyesak ke ruang minda. Masih merasakan kegugupan peribadi yang bukan kepalang aruk dan geloranya. Kita bukan di Jakarta atau di Venezuela, bergulat dan bergelut dengan kebebasan manusiawi itu sendiri. Dia teringatkan nota-nota di bilik kerja yang belum dapat disusun, setelah lebih setahun mengerjakan terjemahan. Oh, sedang sibuk buat terjemahan! Alora mempunyai gaya yang tersendiri. Pertemuan kami ghalibnya berlaku apabila adanya faktor tertentu. Sebelum ini, dia mengetengahkan subjek poligami dan penindasan kaum wanita. Klise, kata saya. Dengan senang, dia beralih ke subjek lain, tentang subjek ekonomi yang begitu sepi bagi diri. Diri berkongsi apa yang boleh dikongsikan, sekurang-kurangnya untuk memancing pandangan Alora. Dia menyatakan isu ini berterusan, cuma berviarasi keadaannya. Ya, kata diri - ekonomi masalah semua dan di mana-mana. Di tengah-tengah kehangatan hari yang tidak terbayangkan itu, dengan tiba-tiba dia berundur ke belakang, lalu menegaskan bahawa dia tidak membantah poligami, tetapi dia tidak mampu untuk melihat dalam sepuluh, sembilannya penganiyaan. Memang Alora suka bangkitkan kontroversi, bersifat mencabar status quo dan kadang-kadang menzahirkan pendirian sebagai partisan sesuatu aliran. Gemar melihat dari pandangan yang lain, mengalihkan parameter yang ada kepada fakta-fakta pinggiran. Dan kebiasaannya, dia terus mempertahankan dan mengikat kembali kesimpulan yang dibuat dari awal. Agak panas sekarang ini, apakah ini tengkujuh? Tanyanya pada diri secara separuh menguji. Semalam kata diri, lebih lagi bahangnya - itulah yang dirasakan ketika menghabiskan masa petang kelmarin di pantai Teluk Batik. Dipecutkan keretanya dari tempat kerja ke pantai yang mulai membuka diri kepadanya. Diri terpaksa meluahkan kepada Alora yang bermuka muram itu (mungkin masih banyak perkara yang belum diperjelas). Soal manusia dan kebebasan yang dipacu dengan laju. Alora menunggu kata-kata. Sedikit ragu. Diri seboleh-bolehnya mahu keluar daripada laluan itu. Laluan-laluan yang mendesak pendirian, wawasan dan harapan dan bayangan yang penuh dengan retorika muluk-muluk. Bunyinya agak terdesak, celah Alora. Saya terus menyatakan, bahawa dia tidak mampu berada dalam arus yang sama, dalam lingkaran yang sama, dan dalam pecutan kepada sasaran yang sama - maksud saya apa-apa yang mewakili pendirian yang saya pegang sekarang ini. Dengan bahasa yang agak emosional, saya analogikan diri ini hanya debu yang asing. Debu yang kian tersasar dari maya pada ini. Panas di luar kian dirasakan menyusup ke dalam, meruap dan menusuk dengan segala jarum asap dan bahangnya. Semakin diri mengukuhkan sebab. Dinyatakan bahawa ketidakadilan yang dianggap, kebiasaan atau kelaziman - sekarang langsung diri tidak dapat diterimanya. Tiada lagi pilihan. Ini suatu proses pemujaan yang secara tidak langsung dilakukan. "Bagaimana mungkin engkau dapat mempertahan keadaan dan mangkinanmu ini. Sedang orang lain mampu bertahan, dua puluh tahun ke tiga puluh tahun," tegas Alora. Itu orang lain, bukan kepedulianku. Aku berbeza. Aku mahu berlepas ikatan yang membelenggu wujudku. Soal bertahan atau tidak bukan ukuran keperibadian. Sejak bila pula angka panjang atau pendek menjadi subjek diskusi. Tenang, tenang. Engkau perlukan masa untuk berfikir. Kata Alora. Lihat semula sejarah diri yang engkau lalui. Ternyata engkau akan diam, akur beberapa perkara. Dan menyatakan, mereka sebahagian daripada proses sejarah dirimu. Bukan sebegitu aliran logikanya. Tunggu, tegas diri. Tanpa mengikuti kata dan resmi manusia, engkau tidak mampu mengendali rengkuh dirimu. Alora menekan suaranya. Ditanyakan kepada Alora, wajibkah untuk bertaklid. Taklid, dia tersentak. Sekarang kita permudahkan bahas ini, begini antara ijtihad dan taklid - itu suatu perlawanan. Perlawanan apa , tanya Alora. Perlawanan tradisi pemikiran manusiawi. Begitulah senang diistilahkan diri. Bayangkan sekiranya taklid yang bermaksud mengikut, akan terus menekan kewujudan - mungkin di antara cermin-cermin yang dapat direnungi - didapati berbondong imej-imej manusia yang terkurung. Sejak zaman berzaman, sudah terbentang nama-nama yang bertaklid ini dan tiada percapaian yang dapat dibanggakan daripada 'ikut-ikutan' ini. Jiwa yang merdeka tidak pernah tenang. Jiwa hamba mungkin segera selesa, namun tetap mencetuskan perlawanan dari dalam. Diakhiri dengan penyelesaian yang tidak memberangsangkan. Nah, jika dilihat sudut ijtihad pula, memang kita jauh dibuai rasa selamat dan aman. Dalam keadaan serba-serbi berpacukan ancaman, kita lupa bahawa khazanah yang ada sudah tumpul, lansung tanpa sebarang kebanggaan. Nilai intelektual ditenggelamkan, nilai materialis dipungut dijadikan adiwira. Sekatan pandangan, sekatan mendalami nas atau realiti (namun bukan mempertikai nas atau teks agama yang mengheret seseorang kepada masalah yang dia sendiri tidak menjangka, lantaran teks agama mempunyai kualiti yang berbeza daripada teks manusia dan apakah setiap manusia atau setiap pemikir mempunyai kualiti untuk menilai, membaca dan menafsir teks agama ). Maka yang terlalu mendesak sekarang adalah serangan akal fikiran yang tidak terkawal yang terus menyebabkannya lumpuh. Sehingga hadirlah penyakit kecurigaan, ketamakkan, kelupaan, rasa lemah diri, rasa bangga diri yang berlebihan dan individualistik. Bagaimana bayang-bayang ini menjadi drama ngeri bagi zaman kita, tanya Alora lagi dengan sedikit prihatin. Sesungguhnya aku kian bosan dan terpinggir dengan kemampuanku ini. Menjadi manusia memang senang, jika mahu dipenuhi hayat atau tenggoroknya dengan makan dan minum - namun jika dia mengalihkan peranannnya melihat kerangka khalifah Allah, yang sudah tentu melontar kita ke suatu ruang yang lain. Tulang-tulang ini adakah hanya untuk satu pergerakan. Jalan-jalan yang ada, adakah disediakan untuk lurus belaka. Tentunya engkau tidak mahu mendengar syarahan panjang tentang itu. Musim panas ada hikmahnya yang tersendiri. Debu-debu akan cepat naik merupa ke atas, diapungkan udara yang panas dan berbahang. Lalu dilepaskan segala kemungkinan dan mencipta kemustahilan. Kemustahilan, itu hanya duga fikir dan igaumu semata. Namun aku perlukannya untuk mencari ketulenanku sendiri. Ketulenan dirimu, tidak hanya sejasad lelaki. Arora kebinggungan. Dia terperangkap dalam bulatan yang logika yang dicipta pihak pertama tadi. Pihak yang memegang idealisme kebetulan dan kepura-puraan. Kita tahu, dengan hanya mendiami di batas yang sama - apakah mungkin kita melihat kejauhan sempadan. Sesuatu yang di luar dari lingkaran. Yang kita temui hanyalah nihilisme. Kekudusan sebuah pandangan. Ketulusan sebuah wawasan. Kekultusan sebuah diri, malah. Ya memang, selama ini kita hanya percaya dan menyenangi apa yang ada, apa yang pasti. Namun sudah berapa lama kita kehilangan wajah kita. Kita hilang kepadatan diri. Kita kelupusan wacana diri. Dia nanar dengan dirinya, kerana tidak mampu berkata-kata apa. Tidak punya autoriti kepada diri. Tidak punya suara nan tulen daripada diri. Tidak ada kebebasan seperti yang dilakar dalam hak asasi manusia. Semuanya hanya dipersembahkan dalam lakon layar. Diucapkan dalam konti radio, oleh seorang DJ berwibawa - penuh dengan kekakuan, tiada keakuan. Dicarinya mungkin keakuan. Apakah itu keakuan, tanya Arora. Dia sendiri tidak pasti, namun dia cuba memperincikan sendiri, keakuan adalah kedirian dan kemaknaan pada sesuatu aksi. Engkau pasti dirimu sekarang ini punya keakuan dalam aksimu. Alora berteleku pula. Mengeleng-geleng. Letih. Ok, kita tengok diri kita. Apakah kita cukup menyenangi, keadaan diri yang sangat murah hati. Memang kita ini orang yang cukup serba-serbi. Akan tetapi bukan semua yang kecukupan ini ini bebas pandangannya. Cerah renungannya. Berapa yang terteleku dalam kabut samar dirinya. Dia punya kecukupan materi, tetapi bundar segala kepada kesenangan. Tulang-tulangnya bersandar pada hidup yang nyata melandai dirinya pada padang yang selesa. Tidak perlu gerakkan tulang punggung atau bangkit demi sebuah maknawi. Sudah lama kita bercakap ingin berubah. Sebetulnya kita tidak berubah, kita masih di takuk yang sama. Yang disebut berubah itu hanya retorika dan bombastika. Sebenarnya kita banyak bertangguh. Kita hanya cipta sebuah ruang sekatan. Kita hanya biarkan diri dalam kekarutan kata-kata sendiri. Ibarat seseorang yang termanggu dalam cermin, menatap takdir yang tidak dapat digulingkan. Kekecewaan yang sulit dan memperdalam sejarah yang sudah sedia pahit. Arora kata, berbicara dengan hanya menjadikan aku berdiri di tepi cerun atau juram. Alora diam seperti batu nisan. Mengapa harus bersembunyi keghairahan ini. Untuk berfikir kita perlu membayar harga, memang itulah lumrahnya. Tetapi bukan untuk memudaratkan sesiapa. Tetapi memandirikan diri. Membina dan menjulang sebuah kewujudan diri. Selama mana kita mahu terjajah dalam dirinya kita sendiri. Memang tanah dan segala yang luar ini, kita punyai. Namun bukankah kita hanya punyai dari segi literalnya sahaja. segala-gala bakal dipulangkan kepada Dia. Tetapi Sang Dialah sumber kewujudan kita ini. Kita tidak disuruh menjadi hamba sesiapa. Kepada kayu dan batu. Kepada nafas dan makanan. Kepada nafsu dan keserakahannya. Kepada kenderaan dan kepada tempat perlindungan. Kepada daun-daun kering. Ya, mungkin kita perlu semua itu, dalam masa yang sama kita menjadi hamba kepada mereka. Kita diperhambakan, tiap kali sesi siang dan malam. Tiap hari kita jadi kurungan yang membejatkan. Membejatkan daya, akal, dasar pendirian, keinginan dan mengkuduskan semua yang dikatakan dari arus-arus psikologikal dari idealisme selalu menjanjikan. Yang selalu menjanjikan hanya impian, tetapi bukan kebenaran dan keadilan buat diri. Kita ini apa. Tidak lebih sekadar daging dan tulang bukan. Tidak lebih suara dan khayalan bukan. Sila buat pusingan sebentar, lihat kembali kepada pendiri falsafah. Siapakah mereka tanya Arora. Mereka itu manusia. Ada salah silap. Tetapi mereka memberikan nyawa dan rupa. Mereka bukan mengajar, tetapi mereka tidak mahu manusia hanya terbiar dalam kebungkaman zaman yang memang selalunya bisu. Pendiri falsafah, antara yang ditegaskan mengapa kita mahu hanya suatu yang menyenangkan perut - sedang perut tidak lebih beberapa inci sahaja. Dan berapa banyak kebendaan ingin dimuatkan ke dalam lubang perut kita. Nescaya ia hanya keinginan yang membuak-muak dari setiap zaman. Dan berapa banyak penyesalan yang kita tanggung tatkala kita menumpukan diri kepada proses penumpukan nama dan benda atau harta. Alora, jangan sembarangan berbicara. Nah, kita memang tidak pernah mengakui kelemahan yang ada. Tetapi Tetapi kita ini tidak sedar diri. Kita hanya mahukan perlindungan dan keselesaan. Kita bimbangkan itu dan ini .sedangkan berapa ramai pangeran itu hanya mahu memuaskan diri. Kita ketakutan. Apakah diri kita sebenarnya semata-mata, bingkisan Tuhan. Bukan pengkhianat kepada Dia. Bukan pencaci Dia. Bukan penentang Dia. Tentulah bukan. Namun itulah yang kita lakukan, tanpa kita sedar. Kita hidup sekularisme, membiarkan pil khayal mengkhayalkan ruang sedar kita. Membiarkan kita dalam pasungannya. Kita leka dengan kilasan ananiyyah kita. Dalam kucupan berahi dunia ini. Alora melorot tajam matanya. Benar, kita ini hanya mendakwa bingkisan Tuhan, di sebaliknya kita hanya sesuatu rawan yang tidak matang, menentang. Betapa terlukanya Sang Nabi. Betapa terlukanya dia apabila ada yang menjahilkan dirinya. Jahil berserta sombong. Menolaknya seratus peratus. Ah, sedihnya. Dia terjajah. Dia dibius kekaguman dirinya. Manusia yang dipegang kekaguman diri, takut-takut diserang anti-perintah Tuhan, seperti yang dilakukan Iblis terhadap Nabi Adam a.s. Justeru, sabdanya yang sahih tidak mungkin ditolak apatah dimentahkan. Masalahnya, ia bukan semudah itu. Sungai yang memberikan sumber air kepada sekian makhluk, ia tidak mudah dianggap tohor atau dangkal apatah lagi cetek. Selagi belum ada kemarau panjang yang menyedut isinya. Dan ia belum pun pernah berlaku. Apakah itu kebebasan seperti yang engkau dambakan, soal Alora. Yang tuntas ditujukan kepada Tuhan. Tanpa keraguan kepada Tuhan. Kebebasan apa yang didamba, sekiranya kesasar dari jalan-Nya. Suara atau bisikan kepada diri, kebebasan itu mengikut nafsu diri. Itu hanya khayalan individu itu. Mengapa kebenaran tidak ada dalam sabda. Tidak mungkin. Bahkan ia kebenaran. Cuma mesti dengan faham. Kerana dia telah dilindungi jarak dan kekaguman manusiawi. Kebebasan itu ada, dijamin kepada kita, bukan untuk merosakkan diri sendiri atau akal orang lain. Seseorang itu harus bertenang, bukan terlajak. Menjaga batas. Lalu kebebasan itu sebenarnya apa, mengapa Ia sesuatu yang menuju kepastian, bukan semakin jauh. Seperti layang-layang terputus tali. Bukan juga yang sentiasa berada di tempat yang sama. Bukan mengekalkan status quo. Bayangkan berapa ramai berada di status sendiri, kekal dengan cara dan pendekatan yang sama. Sistem juga tidak banyak pilihan di hadapan. Manusia pula mudah mengambil kesempatan, memonopoli rentak dan menguasai hala jalan. Puncak, sekarang ini kita berada di puncak persimpangan dan puncak kewujudan. Tetapi adakah benar kita berada di puncak kecenderungan kepada kebenaran, hakikat insani, jalan yang lurus Atau sekadar lakonan semasa. Lakonan dan drama pentas - suatu yang lazim kepada manusia yang alpa dan membiarkan dirinya larut dalam cahaya yang gilang-gemilang duniawi ini. Selama mana dia mahu dirinya berada di pentas yang sama, yang berkilau-kilau dengan pujian dan perhatian - namun semakin mendekati ketelanjuran dan kecanggungan yang diciptanya sendiri. Maka sejauh mana dia mampu membuat putaran, mencari jalan utama untuk kembali. Apakah dengan bekal akal, mampu menemukan papan tanda untuk tiba ke jalan utama, jalan yang lurus menuju Sang Pencipta, dengan segala kalbu yang jujur, redha dan kudus. Ah, manusia itu penuh keluh-kesah. Untuk apa? |
Posted: 14 May 2014 06:16 AM PDT Oleh Mariatul qatiah zakaria SENDAWA merupakan satu bunyi kecil dan sekejap yang akan kedengaran apabila seseorang itu kekenyangan selepas makan. Perkara ini merupakan rutin harian yang pastinya akan terjadi selepas menikmati apa juga hidangan dan ia bukanlah satu perbuatan yang aneh atau luar biasa. Bagaimanapun, terdapat juga individu yang mempunyai kelaziman sendawa yang kuat, panjang, dan berulang kali tanpa mengira masa, sama ada selepas makan atau sebaliknya sehingga kadang kala membuat rasa tidak selesa orang keliling. Kelaziman itu tidak harus dipandang ringan kerana ia merupakan antara simptom yang menandakan seseorang itu mungkin berpenyakit. Menurut Pakar Gastroenterologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Datuk Dr. S. Mahendra Raj, secara amnya sendawa membawa maksud mengeluarkan angin dari perut dan ia akan berlaku daripada semasa ke semasa dan ia merupakan satu perkara biasa. Tambah beliau, selain mengeluarkan angin yang berlebihan, sendawa juga terjadi untuk mengeluarkan gas yang terlalu banyak daripada dalam perut. Begitupun ulas beliau lagi, ada sesetengah individu sendawa lebih banyak daripada biasa dan walaupun perkara ini berlaku, kebanyakan mereka ini tidak mempunyai sebarang penyakit yang serius. Bagaimanapun kadang kala gejala ini boleh menunjukkan ia satu penyakit yang lebih serius tetapi ia hanya berlaku dalam kalangan kumpulan minoriti. "Dalam hal ini, sekiranya individu mengalami sendawa yang berbeza daripada biasa dan diikuti dengan gejala seperti sakit perut, muntah, tiada selera makan, dan berat badan semakin menurun, ia mungkin tanda-tanda seseorang itu mengalami penyakit dalaman yang lebih serius. "Sekiranya kita melihat daripada segi penyakit, salah satu keadaan yang menyebabkan sendawa dikeluarkan lebih daripada biasa dikenali sebagai penyakit gastroesophageal reflux disease (GERD) atau pedih ulu hati. "Penyakit inilah yang kerap menyebabkan sendawa lebih kerap daripada biasa. Sebenarnya ramai orang yang menghidap penyakit ini, tetapi kebanyakan mereka ini tidak sampai ke tahap yang teruk dan boleh dikawal dengan pengambilan ubat dan mengubah gaya hidup masing-masing," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Bercerita lebih lanjut mengenai sendawa ini, Dr. Mahendra memberitahu ada beberapa perkara yang menyebabkan ia menjadi kerap seperti makan terlalu cepat di mana semasa proses tersebut berlaku (makan) biasanya angin akan masuk ke dalam perut. Hal ini juga akan terjadi kepada mereka yang suka mengambil minuman yang bergas, penghisap rokok (akan menyedut angin masuk ke dalam badan), individu yang gugup, dan mereka yang gemar mengunyah gula-gula getah. Golongan individu ini didapati dengan tidak sengaja akan menelan angin lebih banyak daripada biasa akibat gaya hidup yang diamalkan seharian. Berbicara pula mengenai penyakit GERD, Dr. Mahendra menjelaskan, ia berlaku apabila salah satu injap yang menghubungkan esofagus (saluran makan) ke perut menjadi longgar daripada normal. Apabila hal ini berlaku, asid dan jus daripada perut akan mudah naik semula ke esofagus bersama-sama makanan yang dihadam. Keadaan ini sering kali menyebabkan ketidakselesaan kepada mana-mana individu dan secara tidak langsung ia akan menyebabkan rasa seakan terbakar di dada atau tekak yang dipanggil pedih ulu hati atau senak. Dr. Mahendra turut memberitahu bahawa penyakit ini sebenarnya merupakan penyakit biasa yang dialami oleh ramai orang. Walaupun pada umumnya ia tidak berbahaya, sedikit sebanyak akan mengganggu kualiti serta aktiviti kehidupan seharian. "Penyakit GERD dalam majoriti bukanlah penyakit serius yang boleh mendatangkan maut dan gejala utama penyakit ini termasuklah pedih ulu hati, kembung perut serta sendawa berlebihan dan ia memang penyakit kronik yang jarang sekali boleh menyebabkan komplikasi serius. "Tetapi sekiranya mereka menghidap penyakit ini, ia tidak boleh dipulihkan 100 peratus dan pesakit akan seumur hidup bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan sekurang-kurangnya dari masa ke semasa kalau tidak setiap masa. "Apa yang boleh pesakit lakukan hanyalah mengurangkan gejala sendawa tersebut dengan mengubah gaya hidup di samping mengawal pemakanan," katanya. Mengenai rawatan, Dr. Mahendra menjelaskan, pesakit hanya akan dirawat dengan menggunakan ubat untuk mengurangkan asid dalam perut, serta disarankan mengubah gaya hidup seperti makan dalam kuantiti yang sederhana pada masa yang tertentu dan jangan biarkan perut berlapar lalu mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekali gus. Apabila ditanya mengenai rawatan cara tradisional iaitu berurut serta minum minuman halia yang dilihat mampu mengurangkan angin dalam badan, Dr. Mahendra berpendapat jika dilihat daripada kajian saintifik, kedua-duanya tidak mempunyai bukti yang kukuh tetapi pengambilan air halia tidak memberi kesan sampingan yang buruk. Mengenai urutan pula katanya, angin sebenarnya hanya terdapat di dalam perut dan bukan di dalam seluruh badan "Seeloknya jika mengalami simptom ini (sendawa lebih daripada biasa), berunding dengan pakar kesihatan dan jika perlu rujuk pada pakar yang merawat penyakit-penyakit berkaitan perut dan usus. Jangan biarkan berlarutan hingga mengakibatkan ia menjadi lebih serius," katanya. |
Posted: 14 May 2014 06:11 AM PDT JOHOR BAHRU - Lebih tujuh perwakilan badan gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan mengadakan pertemuan dengan calon Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pelangi, semalam. Para perwakilan yang terlibat hadir untuk mendengar sendiri visi dan misi yang ingin disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), selain ingin mengenalinya lebih dekat. Semua perwakilan berkumpul di sebuah hotel di bandar raya ini sebelum bertemu Tunku Ismail pada satu majlis makan malam di istana beliau bermula pada pukul 8.30 malam. Menurut sumber, kehadiran semua perwakilan terlibat itu belum tentu boleh diterjemahkan kepada sokongan yang ingin diberikan kepada Tunku Mahkota Johor itu. Sebaliknya tujuan utama mereka hadir adalah untuk mendengar apa perancangan beliau. "Bagaimanapun, rata-rata yang hadir itu mahukan transformasi di dalam FAM sekali gus berharap pertemuan itu dapat memberi harapan baharu kepada bola sepak negara. "Mereka mahu dengar misi dan visi Tunku Ismail," katanya di sini. Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Tunku Ismail seakan memberi isyarat kuat untuk bertanding pada pemilihan 25 Mei ini apabila akan mengadakan perjumpaan bersama beberapa perwakilan badan gabungan FAM di sini. Perjumpaan tersebut turut didukungi Timbalan Presiden FAM yang kini dalam penggantungan, Tan Sri Annuar Musa yang dari awal jelas memberi sokongan padu kepada Tunku Ismail untuk mencabar penyandang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Abdullah. Dengan inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa perwakilan itu juga jelas menunjukkan, Tunku Mahkota Johor itu bersedia bertanding jawatan tersebut sekali gus pertandingan kali ini dijangkakan sengit. |
Palestin desak kumpulan militan Yahudi dilabel sebagai pengganas Posted: 14 May 2014 05:59 AM PDT RAMALLAH - Palestin dilapor meminta negara-negara kuasa dunia supaya melabelkan kumpulan- kumpulan pendatang haram Yahudi yang dikenali sebagai 'Hilltop Youth' dan sering menyerang masyarakat Palestin dan kawasan suci di wilayah Palestin sebagai pertubuhan pengganas. Menteri Luar Palestin, Riad al-Malki berkata, kumpulan militan pendatang Yahudi itu dan aktivis-aktivis yang menggunakan slogan 'price tag' 'melakukan keganasan berterusan terhadap penduduk Palestin, menceroboh tanah, kawasan suci dan harta benda penduduk Palestin'. Slogan 'price tag' merujuk kepada hukuman yang dituntut kumpulan pendatang haram Yahudi itu atas sebarang cubaan oleh kerajaan Israel mengawal penempatan di Tebing Barat, sebuah kawasan yang dituntut Palestin sebagai sebahagian negara mereka. "Kumpulan-kumpulan ini memainkan peranan dengan membunuh, menghasut keganasan dan menyebarkan budaya kebencian dan perkauman," kata Riad dalam satu surat kepada Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), semalam. Langkah itu dibuat sebagai usaha Palestin untuk merujuk tuntutan mereka bagi menubuhkan sebuah negara bebas di wilayah yang diduduki Israel kepada lebih banyak pertubuhan-pertubuhan antarabangsa sejak kegagalan rundingan damai tajaan AS pada bulan lalu. Kemarahan penduduk Palestin semakin memuncak ekoran tindakan militan pendatang haram Yahudi itu yang menyerang perkampungan Palestin dengan membakar bangunan, menulis slogan kebencian dan menyerang penduduk. EU dan negara-negara Eropah sejak berdekad-dekad lalu merujuk beberapa kumpulan bersenjata Palestin sebagai pertubuhan pengganas dan baru-baru ini turut menyenaraikan kumpulan militan Israel, Kahane Chai dalam senarai tersebut. Jabatan Negara AS dalam laporan keganasan yang diterbitkan pada bulan lalu turut menyentuh tentang serangan oleh militan pendatang Yahudi itu, namun tidak menyenaraikan mereka sebagai kumpulan pengganas. Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada 2013 melaporkan sebanyak 399 serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin yang mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan harta benda. Pegawai Israel tidak mengulas berhubung kenyataan Palestin itu. - REUTERS |
Posted: 13 May 2014 11:12 PM PDT Oleh SAIDATUN NADRAH ALLAH SWT ciptakan seorang ibu itu lengkap dengan segala keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Ibu merupakan kurniaan Allah yang tidak ternilai buat kita kerana hadirnya dalam hidup kita adalah sebagai pelengkap sanubari. Setiap orang punyai ibu, namun tidak semua dapat menyedari betapa berharga dan bernilainya seorang ibu. Naluri keibuan dan kewanitaan yang dimiliki seorang ibu itu membuatkan ibu seorang yang bersifat penyayang, pelindung dan penyabar dalam membesar dan mendidik anak-anaknya. Ibu adalah seorang wanita yang melahirkan kita dan setiap permulaan hidup kita di dunia ini adalah bermulanya dengan kelahiran seorang ibu.Tanpa ibu,kita tidak akan dapat melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang indah ini. Lantaran itu, kita dituntut untuk sentiasa taat, berbuat baik,dan berlemah-lembut terhadap ibu bapa kita. Firman Allah yang bermaksud "Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu." (Luqman, 31:14). Sejak kecil lagi, banyak jasa dan pengorbanan yang telah ibu curahkan buat kita termasuklah membesar dan mendidik kita dengan ajaran serta ilmu agama supaya kita akan menjadi seorang insan yang berguna apabila dewasa kelak. Islam sangat memuliakan kedudukan dan darjat seorang ibu sehingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding bapa. Hal ini kerana tiga kali darjat tersebut mewakili peranan seorang ibu yang tidak akan pernah dapat digantikan oleh seorang bapa. Ibu mampu melakukan tugas seorang bapa, tetapi bapa tidak mampu melakukan tugas seorang ibu. Jika seorang bapa mencari nafkah atau bekerja,seorang ibu juga mampu melakukannya sebaliknya tidak semua bapa mampu mengambil alih peranan seorang ibu termasuklah mengandung, melahirkan, menyusukan serta menjaga anak dengan penuh kasih sayang. Ini belum termasuk lagi dengan tugas dan taggungjawab di rumah iaitu melakukan kerjakerja rumah seperti mengemas, menyapu, membersih, mencuci, melipat baju dan sebagainya. Sungguh banyak tugas seorang ibu walaupun tidak bekerja tetapi dipenuhi pula dengan tugas-tugas di rumah. Oleh kerana itulah kerja sebagai seorang suri rumah merupakan suatu pekerjaan yang sa ngat mulia. Terdapat sebuah riwayat yang datang dari Abu Hurairah menceritakan kisah seseorang yang bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. "Siapakah orang yang pa ling berhak untuk saya temani dan layani, ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ibumu," Lelaki itu bertanya lagi," Kemudian siapa lagi? Rasulullah s.a.w. menjawab "Ibumu," Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa lagi?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ibumu," Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa lagi?" Rasulullah s.aw. menjawab "Bapamu." (HR Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis ini, jelas menyatakan bahawa ibu lebih diutamakan berbanding bapa sebanyak tiga kali dan ini menunjukkan Islam sangat memuliakan darjat seorang wanita bernama ibu berbanding bapa. Kebanyakan mereka yang sibuk bekerja siang dan malam mengejar harta dunia sering mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa mereka dan akibatnya mereka dengan mudahnya menghantar ibu bapa ke rumah orangorang tua dengan alasan tiada masa menjaga mereka. Orang-orang seperti ini barangkali lupa bahawa hidup mereka selama ini tidak akan bermakna tanpa doa seorang ibu. Doa seorang ibu itu sangat mustajab dan selalu akan dimakbulkan oleh Allah. Kebanyakan daripada kita sering memohon atau meminta doa daripada ibu supaya apa-apa sahaja perkara yang kita lakukan menjadi mudah berkat doa seorang ibu. Tetapi ramai dalam kalangan kita yang hanya mengingat ibu apabila waktu susah, dan mengabaikan serta melupakannya dikala senang. Ibu tidak putusputus mendoakan kesejahteraan kita, namun adakah kita juga berbuat demikian? Cuba kita muhasabah diri kita. Tepuk dada tanyalah diri, tanyalah iman. Sayangi dan hargailah ibu bapa kita selagi hayatnya masih ada. Berbuat baiklah kepada mereka sebanyak mungkin kerana anak yang baik serta soleh dapat menjamin untuk mendapat jannah- Nya kelak. Teruskan berdoa buat ibu bapa kita tidak kiralah yang masih hidup atau sudah tiada kerana itu adalah salah satu cara buat kita sebagai anak untuk berbakti pada mereka. Selamat Hari Ibu kepada seluruh ibu di Malaysia. Ibu, kaulah segalanya. >> Penulis merupakan mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan