Jumaat, 16 Mei 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Tan Sri Khalid diserang dihadapan Anwar.. (Video Inside)

Posted: 16 May 2014 05:56 AM PDT


Pekarangan Ibu Pejabat PKR di sini kecoh apabila calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid 'diserang' oleh seorang ahli PKR Cabang Kuala Selangor, hari ini.

Abdul Khalid yang baru selesai sidang media berhubung kekecohan pemilihan PKR 2014 bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua calon Timbalan Presiden yang lain dihambur dakwaan bahawa beliau tidak telus dalam pemilihan.

Beliau yang kelihatan terpinga-pinga dengan tindakan ahli PKR itu sempat ditenangkan Anwar sebelum bergegas menuju ke keretanya dan meninggalkan premis berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, ahli berkenaan, Zulkifli Abdulllah menegaskan pihaknya telah membuat laporan polis manakala bukti penyelewengan pula sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Unsur-unsur gengsterisme ada dalam mesyuarat cabang itu sendiri. Orang yang tak sepatutnya ada dalam dewan pemilihan pun ada. Termasuk salah seorang ahli PKR yang telah dipecat.

"(Mereka disyaki berkempen untuk) Tan Sri Khalid. Ada (bukti) dan kita telah membuat laporan polis serta telah menyerahkan bukti kepada JPP iaitu rakaman suara dan rakaman video mengenai penyerahan wang daripada pihak yang berkempen untuk Tan Sri Khalid," dakwanya.

Dalam pada itu, menurutnya ahli PKR di Kuala Selangor tidak kisah siapa yang menjadi ketua cabang asalkan individu berkenaan mampu bekerja untuk parti bukannya diri sendiri lapor Sinar Harian

 

Pengerusi Jawatankuasa Displin PKR diminta letak jawatan sebab memihak..

Posted: 15 May 2014 11:00 PM PDT


Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Datuk Dr Tan Kee Kwong didesak berundur kerana terdapat 'percanggahan kepentingan'.

Menurut bekas Ketua AMK Balik Pulau, Mohd Faizal Ab Rahman, Dr Tan didapati menghadiri majlis pelancaran Keadilan Raya oleh calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin parti, beliau sepatutnya berkecuali dan tidak boleh menyokong mana-mana calon," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, hanya selepas jawatan tersebut dilepaskan, bolehlah Dr Tan berjuang dalam pasukan Keadilan Raya Azmin Ali.

Setahun yang lalu, beliau yang ketika itu menyandang jawatan ketua AMK Cabang Balik Pulau telah menghantar surat aduan rasmi memohon tindakan disiplin terhadap Azmin Ali.

"Surat bertarikh 11 Mei 2013 telah dihantar terus kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin berikutan tindakan Azmin yang mencerca parti secara terbuka di media perdana, " katanya.

Katanya lagi, Azmin telah mengkritik presiden kononnya mengamalkan dasar nepotisme dalam parti, akhirnya dilaporkan oleh pelbagai media dan menjejaskan nama baik parti.

Mohd Faizal berpendapat bahawa ia jelas melanggar perlembagaan parti dan wajar diberi hukuman walaupun Azmin menjawat jawatan Timbalan Presiden parti ketika itu.

"Namun sehingga hari ini, masih tiada jawapan yang konklusif apatah lagi sebarang tindakan yang diambil oleh pihak jawatankuasa displin parti terhadap Azmin," dakwanya.

Kenyataan Media 
15 Mei 2014 Apabila Pengerusi Jawatankuasa Displin Parti Tidak Berdisplin 
Setahun yang lalu, saya ahli parti bernombor P130001536 yang ketika itu menyandang jawatan ketua AMK Cabang Balik Pulau telah menghantar surat aduan rasmi memohon tindakan displin terhadap Encik Azmin Ali. 
Surat bertarikh 11 Mei 2013 telah dihantar terus kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin, Dato Dr Tan Kee Kwong berikutan tindakkan Azmin yang mencerca parti secara terbuka di media perdana.

Azmin telah mengkritik presiden kononnya mengamalkan dasar nepotisme dalam parti, akhirnya dilaporkan oleh pelbagai media dan menjejaskan nama baik parti. Ia jelas melanggar perlembagaan parti dan wajar diberi hukuman walaupun Azmin menjawat jawatan Timbalan Presiden parti, ketika itu. 
Namun sehingga hari ini, masih tiada jawapan yang konklusif apatah lagi sebarang tindakkan yang diambil dari pihak jawatankuasa displin parti terhadap Azmin.

Ia sekaligus mendatangkan sedikit kecurigaan, apakah Azmin kebal di dalam parti?
Kecurigaan itu terjawab akhirnya apabila baru-baru ini kelihatan kelibat Dato Dr Tan Kee Kwong berada dalam majlis pelancaran Keadilan Raya. Lebih mengejutkan, Dato Tan juga dilihat (dengan bukti bergambar) telah mengangkat tangan sebagai tanda ikrar taat setia kepada pasukan Keadilan Raya yang ditunjang oleh Azmin Ali.

Kini kita kenal siapa Dato Dr Tan Kee Kwong dan kita juga kini faham mengapa Azmin begitu berani membuat sesuka hati di dalam parti. Apa saja boleh dibuat jika telah menguasai jawatankuasa displin parti, pasti terlepas hukuman. 
Susulan kejadian itu, saya mewakili ahli parti secara serius mendesak Dato Dr Tan Kee Kwong berundur dari Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin Parti kerana terdapat 'percanggahan kepentingan'.

Hanya selepas jawatan tersebut dilepas oleh Dato Dr Tan, maka dipersilakan berjuang dalam pasukan Keadilan Raya Azmin Ali. 
Sekian

Mohd Faizal AB Rahman
Mantan Ketua AMK Balik Pulau
No Anggota Parti: P130001536

Menantu Haji Hadi kata Nizar 'Very stupid'?

Posted: 15 May 2014 08:45 PM PDT


Kemelut Umno di Terengganu mungkin sudah selesai, bagaimanapun kini giliran PAS pula terjebak selepas kritikan "very stupid" menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menulis komen melalui laman sosial Facebook dengan menyelitkan bersama-sama artikel komen Nizar di satu portal berita.

Nizar dalam artikel tersebut menyeru pimpinan PAS berhati-hati dengan Barisan Nasional (BN) semasa krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu baru-baru ini.

"Menantu Hadi (Zaharuddin) menafikan, sebab dia kata bukan tujukan kepada saya.

"Dia kata kenyataan 'very stupid' itu tidak semestinya ditujukan kepada Datuk Seri Nizar. Kalau bukan kepada saya, tidak tahu kepada siapa dia tujukan," katanya.


Nizar meminta Zaharuddin supaya menjelaskan kenyataan tersebut dan bukan hanya menafikan sahaja. 

"Kalau dia kata tidak tujukan kepada saya, saya pun tidak tahu nak kata ditujukan kepada siapa.

"Tanya dia, apa niat dia," soal beliau. Nizar kemudian berkata, kenyataan Zaharuddin yang juga salah seorang Exco Pemuda PAS mencerminkan imejnya yang sebenar.

"Sekarang ini, dia mencemarkan dirinya, ahli Majlis Syura dan AJK parti sendiri. Mana boleh kita beritahu kepada rakan-rakan macam itu," kata Nizar.

Nizar juga mempertahankan haknya untuk menasihati kepimpinan PAS di Terengganu. "Saya berhak sebagai bekas menteri besar yang pernah mengalami peristiwa sedemikian," kata Nizar lagi.

Zaharudin sebelum ini semasa pemilihan PAS tahun lepas juga mencetuskan kontroversi, didakwa memainkan peranan besar dalam gerakan untuk menyingkirkan golongan profesional yang digelar "Erdogan" dalam PAS.

Nama tersebut diambil sempena nama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menurut Nizar, nasihat tersebut bertujuan untuk mengelakkan krisis pada 2009 berulang di mana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak tumbang susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lompat parti.

Baru-baru ini, episod di Perak berulang apabila tiga Adun di Terengganu dikepalai bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bertindak keluar parti dan mengumumkan menjadi wakil Bebas.

Terdapat khabar angin mengatakan akan ada usaha mewujudkan kerajaan campuran di Terengganu, tetapi perkara tersebut dinafikan oleh PAS Terengganu.

Nizar menggesa agar pemimpin negeri Terengganu supaya berhati-hati. Bagaimanapun situasi tersebut berubah apabila ketiga-tiga Adun tersebut kembali ke pangkuan Umno.

"Sebab pengalaman masa di Perak, Umno buat macam itu dahulu, bila tersepit mereka cari kawan lain. 

"Jadi pengalaman itu saya cuba sampaikan supaya tidak termakan," kata Nizar.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat juga senada dengan Nizar, menyifatkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai.

"Kita sedia maklum sejarah panjang PAS dan Umno. "Kekalahan pada 2004 pun BN menang dengan tidak adil," kata Satiful.

Satiful berkata PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno atau BN, bahkan mengganggap Ahmad sebagai tidak berkredibiliti serta "flip-flop".

"Mereka tidak pernah berubah dengan sikap diskriminasi dan tidak adil.

"Umno tidak pernah menunjukkan keikhlasan sikap, jadi macam mana nak perintah bersama...Ahmad Said ini kita pun tahu dia flip flop," katanya.

Satiful juga mengungkit kembali layanan yang diberikan oleh Ahmad kepada PAS sepanjang memerintah Terengganu dan berkata mustahil untuk bekerja dengan individu berperwatakan sedemikian.

Di Terengganu, BN memiliki 17 kerusi DUN manakala PR pula 15 daripada 32 kerusi keseluruhan, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya salah seorang daripada Adun Umno keluar parti menjadi wakil Bebas.

PAS juga mengintai peluang untuk memerintah di Terengganu, malah awal-awal lagi memberi isyarat akan mengusulkan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) jika kemelut politik dalaman Umno tidak berakhir lapor The Malaysian Insider

Sarkis apa pulak di Sarawak nie?

Posted: 15 May 2014 05:30 PM PDT


Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 pada Khamis dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri William Mawan Anak Ikom sebagai Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP ) yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.

William Mawan membuat pengumuman tersebut kepada pihak media selepas selesai majlis penangguhan persidangan di bilik media Dewan Undangan Negeri Sarawak di mana William Mawan turut mengumumkan beliau akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) .

Selain William Mawan, turut membuat pengumuman keluar dari SPDP adalah empat orang ADUN iaitu ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus.

Turut mengumumkan keputusan meninggalkan parti ialah ahli Parlimen Baram Anyie Ngau.

"Bagi menyelesaikan masalah dalam SPDP, saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden SPDP. Ini bukan kes kapten meninggalkam kapal, tetapi kerana kurang berpuas hati," kata William Mawan.

Beliau juga menyatakan bahawa dia percaya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah maklum tentang peletakan jawatannya dan beliau bersedia untuk mengambil risiko berkenaan.

Tindakan William Mawan dan beberapa ahli SPDP yang menyertai parti TEGAS turut diikuti oleh empat ADUN Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang terdiri daripada ADUN Bawang Assan iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh, ADUN Bengoh, Datuk Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina dan ADUN Engkelili Johnichal Rayong Ngipa.

Selain itu, ADUN Pelagus dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu George Lagong juga turut membuat keputusan untuk menyertai parti TEGAS.

Dalam pada itu, Datuk Peter Nansian yang merupakan ADUN Tasik Biru memaklumkan bahawa parti TEGAS akan membuat permohonan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti komponen BN negeri.

Peter turut menyatakan jawatan dalam parti TEGAS akan ditentukan kemudian selepas segala urusan selesai.

"Kami telah membuat permohonan kepada BN untuk menyertai parti komponen BN dan selebihnya kami serahkan kepada mereka. Selepas ini kami akan menghantar permohonan secara formal," kata Peter.

Namun demikian, kesemua mereka yang membuat pengumuman keluar parti SPDP masih lagi memegang beberapa jawatan menteri memandangkan mereka masih lagi bersama BN.

SPDP ditubuhkan pada November 2002 dan sebelum ini terdapat beberapa kekecohan dalam parti berkenaan dimana Ketua Wanita SPDP telah mengadakan serta meluluskan usul undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh sayap Wanita pada Sabtu lepas, 18 daripada 20 orang yang hadir bersetuju untuk meluluskan usul tersebut.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan memberi komen berkaitan penubuhan parti baru di Sarawak yang menjadi bualan ramai di negeri itu ketika ini di mana ramai di antara ahlinya merupakan individu-individu yang membuat pengumuman keluar parti SPDP mulai Khamis.

Ketika ditanya tentang parti TEGAS serta pengumuman William Mawan tentang keputusan beliau keluar parti, Tan Sri Adenan Satem berkata, buat masa ini beliau hanya akan bertindak melihat dahulu perkara berkenaan dan akan membuat kenyataan rasmi kepada pihak media dalam masa terdekat. ~ AstroAwani

Tiada ulasan: