Ahad, 11 Mei 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Haru biru Pemilihan PKR: Pemilihan di 12 Cabang PKR Selangor dibatalkan, Video pergaduhan di Kuala Langat tersebar!!

Posted: 11 May 2014 06:32 AM PDT


Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila 12 daripada keseluruhan 22 pemilihan cabang parti itu di Selangor dibatalkan hari ini atas pelbagai sebab termasuk dakwaan wujudnya unsur penipuan dan ketidaktelusan dalam proses pengundian.

Lebih memalukan PKR apabila pemilihan cabang Kuala Selangor, yang merupakan kawasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut dibatalkan.

Selain Kuala Selangor, pemilihan yang dibatalkan membabitkan cabang Sabak Bernam, Klang, Kota Raja, Shah Alam, Kapar, Sungai Besar, Subang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Selayang.

Pembatalan pemilihan cabang Kuala Selangor diumumkan oleh wakil petugas pemilihan cabang itu pada 1.45 tengah hari selepas beberapa anggota parti membuat bantahan berhubung cara ia dikendalikan selain terdapat dakwaan ada wakil calon menandakan kertas undi yang sepatutnya ditanda pengundi sendiri.

Situasi sama turut berlaku di PKR Cabang Kota Raja apabila pemilihannya terpaksa dibatalkan ketika proses pengundian apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan MPK..


Pembatalan pemilihan cabang itu diumumkan oleh wakil jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti, Nadarajan K. Raju kira-kira 4.30 petang ini atas alasan peti undi dipecahkan.

Selain itu, pemilihan PKR Cabang Klang juga turut dibatalkan apabila tiga calon jawatan ketua cabang berkenaan iaitu P. Krishnasamy, Zudin Asrmad dan Arahyah Ibrahim sepakat memboikot proses pemilihan itu yang didakwa tidak telus.

Mereka mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj proses pemilihan parti itu di cabang Klang dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi.

Ekoran dakwaan itu, ketiga-tiga calon berkenaan menggesa pemilihan cabang itu dibatalkan sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh wakil JPP kira-kira 2.30 petang ini.

Selain itu, pemilihan cabang Sabak Bernam dan Sungai Besar turut dibatalkan masing-masing pada 1 tengah hari dan 3 petang tadi berikutan anggota parti cabang itu tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus serta wujud unsur penipuan.

Pada masa sama, pemilihan PKR bagi cabang Subang, Sepang, Selayang, Hulu Selangor, Kapar dan Hulu Langat turut dibatalkan atas alasan yang sama.

Dalam pada itu, pemilihan PKR Cabang Shah Alam dibatalkan kira-kira 6 petang ini atas dakwaan proses pemilihan lemah selain wujud kertas-kertas undi yang dipinda.

Rata-rata penyokong calon yang bertanding serta pengundi menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mengetahui ada segelintir pengundi yang mengundi sebanyak dua kali, malah terdapat calon ketua cabang yang berkempen di kawasan larangan.

Sebelum itu, calon Ketua Cabang PKR Shah Alam Rodziah Ismail dilaporkan mencetuskan rasa tidak puas hati para penyokong lawannya, Yaakop Sapari apabila didakwa berkempen di kawasan larangan serta meraih undi ketika proses pemilihan sedang berlangsung.


Dalam perkembangan lain, kekecohan berlaku ketika proses pemilihan PKR Cabang Kuala Langat apabila sekumpulan lelaki dipercayai anggota parti berang dan mencetuskan kekecohan berikutan tidak puas hati terhadap proses pengundian pemilihan cabang itu di Dewan Wawasan Batu 9, Telok Panglima Garang, lima minit sebelum pusat pengundian ditutup pada 5 petang ini.


Mereka mendakwa proses pengundian cabang berkenaan tidak telus dan bertindak memecahkan sebahagian daripada tujuh peti undi di pusat pengundian tersebut selain cuba mengasari anggota parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga calon ketua cabang serta beberapa petugas di pusat pengundian.

Bagaimanapun, pemilihan cabang berkenaan tidak dibatalkan sebaliknya kesemua peti undi dihantar ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya untuk proses pengiraan. – Bernama

Tiada ulasan: