SIASAH |
Dalam lawatan Obama, sejauh mana LGBT jadi agenda? Posted: 26 Apr 2014 04:48 AM PDT Isu hak asasi manusia pasti menjadi salah satu agenda yang dibincangkan dalam lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bermula hari ini. Walaupun tidak dijadual mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mewakili suara pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang pelbagai, demokrasi dan hak asasi manusia ialah agenda tetap dasar luar AS, dan bermula penggal lalu, hak gay diangkat menjadi salah satu prioriti dalam agenda dasar luar AS. John Sifton dari kumpulan Human Rights Watch dilapor berkata Obama wajar menyampaikan mesej mendesak Malaysia lebih menghormati hak LGBT, walaupun akan sedikit memalukan tuan rumah. Menjelang lawatan Obama, tekanan semakin meningkat mendesak beliau menyampaikan mesej membela hak kelompok LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual), dengan dakwaan liwat terhadap Anwar dijadikan salah satu fokus utama isu ini. Aktivis LGBT Malaysia, Pang Khee Teik, yang dijemput menyertai perbincangan dengan Human Rights Watch dan Kedutaan AS untuk diminta pandangan menjelang lawatan Obama walau bagaimanapun mempersoalkan agenda sokongan Obama itu, dan mendakwa hasilnya ialah komuniti LGBT menjadi bidak dalam percaturan kuasa-kuasa yang bersaing. Dalam satu tulisan panjang yang diterbitkan di laman Facebook beliau, Pang menulis, "Saya berasa terganggu kerana LGBT semakin menjadi bidak dalam pertarungan ideologi pihak yang berkuasa," Beberapa wakil kumpulan hak asasi manusia, termasuk yang terlibat dalam memperjuangkan hak LGBT dijadual mengadakan pertemuan dengan Obama, termasuk Islamic Renaissance Front, IRF, dan wakil pertubuhan pemerhati pilihan raya Bersih. Kumpulan-kumpulan tersebut ialah pertubuhan bukan kerajaan yang mesra dengan agenda hak asasi dan demokrasi yang disokong AS, dan mendapat sokongan politik dan bantuan kewangan daripada sumber AS seperti Endowmen Demokrasi Nasional, NED. Agenda yang selari dengan AS juga menyebabkan mereka mudah diangkat oleh Washington. Satu contoh, Sisters in Islam disebut beberapa kali sebagai satu kuasa progresif yang penting oleh Setiausaha Negara Hillary Clinton dalam satu majlisnya semasa melawat Malaysia pada 2010. Pertemuan Obama dengan kumpulan-kumpulan ini bakal mencetuskan debat yang panas berhubung agenda liberal yang diperjuangkan. Kelompok konservatif akan menilainya sebagai sokongan kuasa asing terhadap kumpulan terbabit, dan pihak liberal dijangka mempromosikan pertemuan tersebut sebagai satu bentuk endorsmen daripada AS, yang masih dinilai sebagai sesuatu yang berprestij di sini. Pada masa sama, lawatan Obama ke Kuala Lumpur ini juga bakal diangkat sebagai satu perakuan terhadap Malaysia di bawah pentadbiran Najib yang berdepan pelbagai tekanan berhubung isu-isu hak asasi dan demokrasi, dan ini dikuatkan lagi oleh keputusan Obama tidak bertemu dengan Anwar. Malaysia juga berada di kedudukan yang selesa pada masa ini dalam hubungan dengan AS, pada masa hubungan Washington dengan negara Islam lain seperti Turki - yang dilihat sebagai model negara Islam progresif - dan Mesir berada pada tahap agak kurang baik. Najib dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Obama dan telah beberapa kali bertemu di majlis berprofil tinggi. Najib konsisten dalam usahanya menngemukakan imej Muslim moderat dalam usahanya merapatkan hubungan dengan Obama. Obama dalam lawatan ini berusaha mengimbangi sokongannya terhadap Najib dan kumpulan-kumpulan liberal, dengan kedua-dua pihak tidak akan dapat mendakwa kemenangan sepenuhnya dalam usaha mendapatkan restu Obama. Kumpulan-kumpulan bukan kerajaan walau bagaimanapun sentiasa mendapat perhatian AS dan tetap akan mendapat manfaat masing-masing hasil lawatan Obama. Aktivisme kumpulan terbabit bakal terus meningkat, memandangkan agenda demokrasi dan hak asasi yang kekal menjadi tonggak dasar luar AS, dan juga akibat pengaruh kumplan-kumpulan ini di negara membangun seperti Malaysia. Agenda seperti LGBT dan hak asasi manusia dan demokrasi, yang ditolak oleh konservatif akan kekal kuat diperjuangkan, memandangkan iklim politik global masa kini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan