Selasa, 22 April 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Benarkah Masjid Negara dahulu dibina dengan wang judi? (22/4/14)

Posted: 22 Apr 2014 02:05 AM PDT


Masjid Negara yang merupakan mercu Kuala Lumpur sejak 50 tahun lalu mula dibina pada tahun 1963 dan siap dibina pada 1965. Ianya dibina di atas tanah seluas 13 ekar yang dahulu menempatkan sebuah gereja iaitu The Venning Road Brethren Gospel Hall. Menurut rekod masjid ini yang telah melalui berbagai ubah-suai sejak ia dibina ketika Almarhum YTM Tunku merupakan PM Malaysia kini boleh meneptakan 15,000 orang jemaah.
Saya sengaja membangkitkan isu Masjid Negara ini kerana sewaktu kecil-kecil dahulu saya masih ingat mendengar orang-orang tua bercerita bahawa masjid ini dibina oleh kerajaan bersekali dengan duit judi iaitu dari Loteri Kebajikan Masyarakat (yang kini telah tiada).

Lalu sempatlah saya menelaah rekod hansard Dewan Rakyat, dan ditakdirkan hari ini saya sempat membaca laporan dewan itu  bertarikh 7 Disember 1959 iaitu Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Pertama 1959-64.
Menurut laporan pada persidangan berkenaan Kerajaan Persekutuan yang di ketuai Almarhum YTM Tunku Abd Rahman, Perdana Menteri Malaya pertama telah memohon untuk membelanjakan RM2juta dari wang kerajaan bagi menampung sebahagian perbelanjaan membina dan menyiapkan Masjid Negara. Adapun bakinya akan disumbang dari hasil lain. Dan disinilah isu penggunaan wang hasil judi iaitu wang dari Loteri Kebajikan Masyarakat iaitu loteri yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan ketika itu dibincangkan.

Bayangkan pembinaan masjid bertaraf masjid Negara, mahu ditampung dengan wang judi! Ramai yang mungkin tidak tahu perkara ini kecuali yang berumur 70 ke 80an hari ini. Mereka yang lain mungkin tidak maklum atau tidak tahu menahu langsung.
Perkara ini dibangkitkan oleh PAS ketika itu dikenali sebagai Persatuan Islam Se Tanah Melayu dalam perbahasan di Dewan Rakyat. YB wakil Bachok iaitu Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (ataupun Timbalan Presiden sekarang) telah bangkit dan menyatakan (sebagaimana terkandung dalam Hansard):

Enche' Zulkiflee bin Muhammad:  Tuan Yang di-Pertua, Head 101-Government Contribution to National Mosque. Saya, Tuan Yang di-Pertua.bagi pehak Persatuan Islam di-sini,tentu-lah amat sukachita bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memperuntokan $2,000,000 bagi membenasa-buah Mesjid Negara dan berapa hendak di-bayar mengikut ansoran itu,ada-lah perkara pentadbiran. Tetapi, Tuan Yang di-Pertua, apa yang telah di-dengar berkenaan dengan pembenaan Mesjid Kebangsaan atau Masjid Negara ini, ia-lah sa-bahagian daripada-nya akan di-belanjakan dari wang loteri. Ini yang saya berkehendakan supaya Dewan ini memikirkan Iebeh lanjut berkenaan dengan peruntokan Mesjid ini.
Belum lagi selesai soal loteri dalam Dewan ini, saya tahu Kerajaan akan menggunakan undi2 yang ada pada-nya untok mengalakkan Persatuan Islam. Tetapi, satu soalnya, Tuan Yang di-Pertua, ia-lah kedudokan kita sa-bagai hendak membena sa-buah Mesjid Negara 'dengan menggunakan wang loteri, kalau-lah mustahak; dan perkataan mustahak ini saya akan bahathkan kemudian,kalau-lah mustahak bahawa Mesjid Negara ini dengan membelanjakan $5,000,000 umpama-nya. maka pada fikiran saya tidak-1ah salah bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memikul belanja ini semua sa-kali.

Sebab kita pada hari ini telah melihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menambah $500,000 kerana Sports Stadium dengan bagitu senang.
Saya berasa kalau-lah Yang Berhormat itu dapat mendengar expert2-pakar2 daripada ahli soal membuat Mesjid dan soal bagaimana patut-nya berseh Mesjid itu daripada wang loteri, saya berasa tidak-lah salah pula wang itu di-tambah $5,000,000.

Soal-nya. Tuan Yang di-Pertua, ialah saya berharap supaya Kerajaan Persekutuan, kalau hendak membena sa-buah Mesjid Negara, pikul-lah ia dengan wang Kerajaan itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua. pada fikiran saya bahawa Mesjid Negara ini walau pun akan menjadi simbol bagi sa-buah Kerajaan dan simbol orang2 Islam dalam negeri ini tidak mustahak-lah di-besar2kan sangat. Kita telah melihat banyak negeri yang Mesjid-nya besar' tapi orang2-nya kechi12 di-dalam Islam. Maka pada fikiran saya hendaklah di-sesuaikan perbelanjaan Mesjid ini dengan kewangan kita sendiri. Dan kalau mustahak, berbalek saya kapada perkara2 itu, chara hendak di-besarkan sangat Mesjid itu supaya kalau tidak ada apa benda yang hendak di-tunjokkan kapada negeri luar maka jaga-lah Mesjid kita itu dan $5,000,000 itu tertanggong-lah oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Berdasarkan ucapan di atas PAS secara rasminya menyatakan bantahan terhadap penglibatan wang judi dalam pembinaan Masjid Negara. Dan dalam penggulungannya Perdana Menteri mengesahkan bahawa Loteri Kebajikan akan menyumbang dana bagi membiayai sebahagian kos pembinaan masjid berkenaan selain peruntukkan kerajaaan sendiri.
Almarhum YTM Tunku telah menjawab:

Berkenaan dengan Masjid, ini-lah yang saya hendak chakapkan. Perkara ini bukan-lah baharu kita dengar, katanya duit lottery ini haram, ta' patut kita gunakan bagi Masjid kita, bagi Masjid mana pun. Tetapi saya ini bukan-lah sa-orang yang jahil, tetapi sa-orang yang memandangkan apa yang patut di-kehendaki. Kalau benar2 di-kehendak itu benda mustahak bagi bangsa dan ugama, kalau wang kita tak chukup, kita tahu apa yang kita berkehendakan itu, kita chari-lah wangnya. Jadi saya sendiri, kalau-lah kawan2 kita di-sini berkata, membuat Masjid dengan wang lottery ini haram, saya sendiri berani berkata biar-lah saya tanggong dosa-nya itu jikalau negeri ini boleh dapat kebajikan dari pada wang itu, saya tanggong-lah segala2- nya.
Dan berkenaan dengan lottery itu,bukan-lah negeri kita ini tak boleh beri wang sampai $6 million, boleh beri, tetapi ra'ayat jelata kita ini daripada segala lapisan, segala gulongan, semuanya suka hendak membantu sa-banyak sadikit. Sampaikan Lottry Board pun suka juga hendak membantu. Jadi, benda itu saya ingat, tidak-lah patut kita tolak. Ada juga satu pendapat bahawa Masjid ini ada-lah sa-bagai satu tanda bahawa negeri kita merasmikan Ugama Islam sa-bagai Ugama negeri ini. Saya ingat tak patut kita hendak membena sa-buah Masjid yang berharga kurang. sa-kurang2-nya samalah mana2 Masjid yang ada di-Tanah Melayu ini.

Perdana Menteri bukan sekadar mengiakan sumbangan dari wang judi malah dengan berani menyatakan:
Jadi saya sendiri, kalau-lah kawan2 kita di-sini berkata, membuat Masjid dengan wang lottery ini haram, saya sendiri berani berkata biar-lah saya tanggong dosa-nya itu jikalau negeri ini boleh dapat kebajikan dari pada wang itu, saya tanggong-lah segala2- nya.

Apa berlaku selepas itu saya tidak pasti. Tetapi berdasarkan rekod di atas Kerajaan ketika itu memberikan persetujuan pembinaan Masjid Negara yang ada sekarang dengan peruntukkan darinya selain sumbangan wang judi Loterry Board Malaya.
Jika ini benar, hari ini bagaimana dengan ini, apakah langkah yang boleh diambil untuk membersihkan Masjid Negara?!

 

 

Tiada ulasan: