Jumaat, 18 April 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Isu Shila Amzah Berseluar Ketat Di China

Posted: 18 Apr 2014 09:19 PM PDT


Diterbitkan: Sabtu, 19 April 2014 1:15 AM
Shila Amzah

KUALA LUMPUR: Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu ND Lala mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden anaknya itu dikatakan berpakaian  tidak sesuai sebagai seorang wanita Muslim dalam sebuah program televisyen di Beijing, China baru-baru ini.

ND Lala berkata, sebagai manusia, anaknya itu tidak terlepas dalam melakukan kesilapan selain berpendapat kejadian itu berlaku secara tidak sengaja.

"Rakaman program itu dibuat pada pukul 1.30 pagi apabila pihak penerbit ingin menambah sebuah lagi lagu untuk dinyanyikan Shila itu dan anak saya bersetuju untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain dan jika mahu kembali ke hotel bagi mengambil pakaian, ia memakan masa selama satu jam.

"Jadi kami memilih pakaian disediakan produksi dan seluar yang dipakai Shila bukan 'legging' seperti didakwa cuma warnanya sahaja  tidak sesuai untuk wanita berhijab sepertinya," katanya.

ND Lala ditemui pada sidang media Konsert Cinta oleh Shila Amzah di Menara Kuala Lumpur di sini, Jumaat.
Shila Amzah

Konsert itu bakal berlangsung  di Shanghai,China pada 16 Ogos depan manakala peminat di Malaysia akan dihiburkan pada 13 September 2014.

Persembahan di Kuala Lumpur akan diadakan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam.

ND Lala mengulas mengenai komen negatif yang diterima Shila apabila tampil dengan gaun pendek dengan seluar  ketat dari rona kulit yang kelihatan seolah-olah penyanyi itu mendedahkan auratnya biarpun bertudung.

Dalam pada itu, Shila yang turut hadir ke sidang media itu berkata, dia semakin selesa menetap di Beijing dan ia telah mematangkan pemikirannya selain mampu berdikari dengan baik.

Kata Shila, penguasaan bahasa Mandarin yang dipelajari juga semakin baik dan dia kini lebih yakin untuk bertutur dengan orang lain menggunakan bahasa itu.

"Semua yang berlaku cukup pantas tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar pelbagai perkara daripada pengalaman tinggal di luar negara.

"Biarpun bukan mudah untuk mengadaptasi budaya luar serta bahasa mereka tetapi saya kini lebih kuat dan dapat mengharunginya dengan baik," katanya.

Pada sidang media berkenaan yang turut dihadiri oleh wakil media dari akhbar Cina, Shila menjawab soalan mereka dengan fasih dalam bahasa Mandarin.

Sementara itu, bercakap mengenai konsert sulungnya itu, Shila berkata, dia tidak berniat untuk membelakangkan peminatnya di Malaysia apabila mengadakan persembahan di Shanghai terlebih dahulu.

"Ini adalah impian saya yang akhirnya bakal terlaksana. Biarpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu namun saya berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia nanti," katanya.

Tambah Shila, dia juga berbangga apabila kedua-dua konsertnya itu nanti akan menggunakan tenaga sepenuhnya produksi Malaysia di mana Jennifer Thomson dan Helen Yap akan bertindak sebagai penerbit konsert.

Malah katanya, dia juga akan menyampaikan lebih 20 buah termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris.

Katanya lagi, dia juga akan menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsert itu  sebagai tetamu undangan.

"Siapa artis jemputan saya tidak boleh beritahu sekarang dan peminat kena tunggu pada hari persembahan," jelasnya.

Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd.

Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88.

Shila akan mengumumkan tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan.

Harta Karun di Pulau Nangka Milik Kesultanan Melaka

Posted: 18 Apr 2014 07:59 PM PDT

pulau nangka
Peta menunjukkan kedudukan Pulau Nangka


MELAKA: Harta karun yang dipercayai tertanam di Pulau Nangka adalah lambang kepada kemakmuran dan kekayaan Kesultanan Melaka suatu ketika dulu, kata Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) berkata, ketika itu, pelabuhan Melaka sentiasa sibuk dengan kehadiran ribuan kapal dagang yang akan menghadiahkan pelbagai barangan, termasuk emas kepada sultan sebagai cukai.

"Semua barangan yang diterima disimpan dalam istana dan mungkin juga mereka memindahkannya ke Pulau Nangka atau Pulau Besar ketika serangan Portugis pada 1511.

"Malahan, ada juga yang menyatakan harta karun zaman Kesultanan Melaka ditanam di Bukit St John," katanya, di sini, baru-baru ini.


Laporan eksklusif di muka depan The Star, Isnin mendedahkan mengenai dua syarikat yang mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja evakuasi dan dipantau rapi oleh Perzim.

Mohd Jamil berkata, dakwaan wujudnya harta karun di Pulau Nangka sebenarnya sudah tersebar sejak 1997 dan pulau berkenaan diwartakan menjadi milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Beliau juga mengakui adanya cubaan pihak tertentu untuk mencari harta karun berkenaan, bagaimanapun ia gagal.

Sementara itu, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas mengesahkan kaji selidik pakar arkeologi mendedahkan tiada sebarang tanda menunjukkan adanya harta karun di Bukit St John.

"Kini hanya Pulau Nangka menjadi lokasi terakhir kemungkinan harta karun itu disembunyikan," katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak di dalam dan luar negara termasuk media asing berikutan pendedahan The Star mengenai harta karun itu. - mStar 19/4/14

ARTIS : Andai Kemban Membawaku Ke Neraka, Aku Redha – Erma Fatima

Posted: 18 Apr 2014 04:56 AM PDT


Entah mengapa semenjak dua menjak ini golongan selebriti tempatan gemar mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal dan menyentuh sensitiviti agama. Selepas Raja Azmi dengan kenyataan tudungnya, kali ini Erma Fatima tampil menyentuh bab berkemban apabila gambar yang dikongsi di laman Instagramya dikecam ramai.
erma kemban
Gambar yang dikongsikan oleh Erma Fatima ialah salah satu babak dalam drama "Takhta 3 Ratu" yang ada watak para gadis berkemban. Dikritik ramai, Erma tampil melahirkan rasa redhanya sekiranya kerana babak sebegitu, dirinya masuk ke neraka. Tulis Erma:-
Bila MELAYU berkata-kata ! KEMBAN LEBIH BESAR ISUNYA dari sejarah kejatuhan Melaka! Malunya menjadi MELAYU yg melihat dgn lutut berkata kata dgn siku. Soal hukum tdk ada sesiapa mampu mempertikaikanya.
TAPI menghukum bukan kerja yg tuhan tugaskan kpd manusia. AKU SALAH kerana melanggar hukum KEMBAN ! Kalian BENAR kerana menjadi juri d bumi tuhan? Aku terima hukuman kalian!
Andai KEMBAN membawa ku ke neraka…aku redha…TAPI aku ada tugas yg besar yg harus ku laksanakan utk melengkapkan hidup aku di ats bumi Allah ini. Bukan hanya utk agama tetapi juga utk bangsaku. Jadi kpd yg berniat utk mengutuk…silakan…ianya tidak sama sekali meninggalkan kudis ke ats aku.
TAPI kepada yg menegur, terima kasih dan mohon maaf kerana aku melakarkan sejarah. Sudah pasti sejarah tdk akn menghalalkan cara. Tp sejarah bkn sesuatu yg bole di tukar suka2 dan bila2. Salam maaf dr sy. Kpd yg sudi…jemput2lh menonton TAKHTA sy bila d tayangkan nanti.
NAMUN jgn hanya d tonton KEMBANNYA…di lihat juga bgaimana kekuatan sebuah empayar Melaka runtuh kerana rakyatnya demdiri
erma kemban
Hmmmm.. Sukar nak bagi ulasan bab sebegini. Mungkin para produser dan pengarah negara kita perlu melihat perkembangan filem di negara Timur Tengah yang telah memenangi banyak anugerah walaupun tidak merakamkan sebarang aksi yang menyalahi syariat. Namun begitu, kata orang, tiada permintaan tiadalah penghasilan. Pasti Erma ada sebabnya sendiri untuk berbuat sedemikian. Hanya dirinya sahaja yang tahu.

"Jika ini pidato terakhir saya" - Anwar

Posted: 18 Apr 2014 12:54 AM PDT

Anwar menandatangani buku ucapan takziah di kediaman Karpal di Jalan Utama, Georgetown, Pulau Pinang.
PERMATANG PAUH: Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Permatang Pauh supaya bangun menjadi benteng amanah dan ketelusan negara dan tidak mudah menggadaikan pronsip kepada Umno dan BN sekiranya beliau dipenjarakan buat kali kedua.
Menurutnya, jika ditakdirkan semalam adalah pidato terakhir beliau di Permatang Pauh, Anwar mahu jentera Pakatan Rakyat diperkemaskan bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) kawasan parlimen itu.
Berucap di pentas Reformasi 2.0 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipenjarakan jika rayuannya dalam kes Liwat 2 ditolak Mahkamah Persekutuan.
Beliau mendapat maklumat bahawa BN sudah mempersiapkan jentera untuk berhadapan dengan PRK Permatang Pauh seandai dirinya didapati bersalah serta dipenjarakan.
"Andai kata Allah SWT uji kita dengan isu ini, saya mahu anda di Permatang Pauh bangun sebagai benteng mempertahankan amanah daripada penyangak Umno dan BN yang terlalu ghairah mahu merampas sekaligus meranapkan Pakatan Rakyat," tegasnya di hadapan ribuan hadirin.
Jelas Anwar lagi, keseluruhan konpirasi yang dilaluinya pasti terjawab suatu hari dan pasti terdedah satu persatu.
Menurut Anwar, walaupun dikurung di penjara sekali lagi semangat serta jiwaraganya tidak akan lemah longlai.
"Anwar bukan orang yang cepat lemah semangat malahan akan terus bangkit biarpun dipenjara, " katanya sambil melaungkan slogan "Lawan Tetap Lawan".
Turut berucap Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Timbalan Yang DiPertua PAS Baling, Brigadier Jeneral (B) Dato' Najmi Ahmad, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamd Sabu dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Hasnon.
Anwar juga sempat menziarahi jenazah bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh di kediaman keluarga Ahli Parlimen Jelutong itu di Jalan Utama, Georgetown petang semalam.
Karpal meninggal dunia akibat kecederaan parah apabila kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan hala ke utara dekat Gua Tempurung awal pagi semalam. - harakah

Tiada ulasan: