Khamis, 17 April 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Gambar Ahli Keluarga Dan Sahabat Handai Melawat Mendiang Karpal Singh Malam ni

Posted: 17 Apr 2014 07:38 AM PDT















Salam takziah buat ahli keluarga mendiang karpal singh.

Hina kematian Karpal: MCA dakwa otak Zulkifli Noordin ‘penuh sampah’

Posted: 17 Apr 2014 02:29 AM PDT

OLEH MD IZWAN

MCA mengecam bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin sebagai tidak mempunyai otak kerana kenyataan tidak munasabah selepas kematian ahli politik veteran DAP, Karpal Singh awal pagi ini.

Dalam kenyataan melalui akaun Twitter @zukiflinoordin beliau dilihat seolah-olah "lega" dengan kematian ahli Parlimen Bukit Jelutong itu kerana pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.

"Nampaknya Zulkifli Noordin sudah hilang rasional dengan cuba mendapatkan perhatian politik apabila mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan," kata Ketua Biro Publisiti, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.

Chai menyifatkan bekas naib presiden Perkasa itu sebagai terlupa sifat asas setiap manusia.

"Zulkifli kelihatan terlupa dengan sifat asas yang diperlukan oleh setiap manusia," katanya.

Zulkifli berkata kematian Karpal akan memudahkan lagi kerajaan Kelantan dalam melaksanakan Hukum Hudud yang selama ini ditentang hebat oleh DAP.

"Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.

"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!" kata Zulkifli.

Chai menegaskan isu politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyakiti orang lain, mendesak Zulkifli yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu supaya bersara daripada politik.

"Amalan dalam politik tidak sepatutnya disalahguna dan menyinggung perasaan orang lain, tambah-tambah jika ia melibatkan kebajikan orang ramai.

"Jika Zulkifli tidak memahami kebenaran ini, atau tidak tahu tentang konsep hormat, beliau boleh bersara daripada politik," kata Chai lagi.

Karpal maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. –

Surat Salam Takziah TG Nik Aziz Kepada Mendiang Karpal Singh Dan Keluarga

Posted: 16 Apr 2014 09:54 PM PDT



Karpal Singh : Perginya Seorang Tokoh Politik Yang Berprinsip

Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Jelutong yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.

Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.

Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali.

Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M

Tiada ulasan: