Jumaat, 4 April 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Subsidi IPP 'Berdosa', Tidak Dapat Dimaafkan - Ku Li

Posted: 04 Apr 2014 01:30 AM PDT


[MK] Pemberian subsidi RM136.5 bilion kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) antara 1997 hingga 2011, sewaktu sebahagian subsidi barangan pengguna dihentikan, adalah "berdosa dan tidak dapat dimaafkan", kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri kewangan berkata, walaupun subsidi barangan pengguna bukan cara terbaik menangani kos sara hidup yang tinggi, ia masih lagi dapat diterima.

"Perkara yang tidak boleh dimaafkan dan berdosa adalah betapa mudahnya pihak berkuasa memberikan subsidi kepada pembekal tenaga nasional, pembekal tenaga bebas, dan organisasi bukan berkaitan tenaga yang lain.

"Yang menyedihkan adalah sewaktu pembekal tenaga ini berterusan menikmati harga petrol disubsidi, petroleum kepada pengguna - yang didakwa menelan belanja RM14 bilion pada tahun 2011 di pihak kerajaan - dihentikan sebahagiannya baru-baru ini," kata Tengku Razaleigh di ibu kota semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena pelancaran buku Malaysia Kaya Rakyat Miskin tulisan Anas Alam Faizli yang mengulas tentang tenaga, ekonomi, dan sistem pendidikan Malaysia.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra sebagai Ku Li itu mengulas pemberian subsidi petroleum oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat berpendapatan rendah yang sebenarnya tidak mampu untuk membeli bahan bakar itu pada harga pasaran yang sebenar.

Bekas pengerusi Petronas merangkap MP Gua Musang itu turut mengkritik cara kerajaan menguruskan pendapatan badan korporat nasional tersebut.

Memetik statistik daripada buku yang dilancarkannya, Tengku Razaleigh berkata hampir separuh trilion yang telah disumbangkan syarikat itu sejak tahun 1974 sehingga 2011 sepatutnya dimanfaatkan untuk menubuhkan tabung khas program pencen nasional seperti dilakukan sesetengah negara Scandinavia.

Namun beliau kesal apabila sebahagian daripada wang itu sebaliknya digunakan untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan iaitu Bank Bumiputra sebanyak dua kali pada tahun 1985 dan 1991 melibatkan wang sebanyak RM3.5 bilion.

Tambahnya, Petronas juga digunakan untuk menjamin pembinaan Menara Berkembar Petronas sebanyak RM6 bilion dan membina Putrajaya sebanyak RM22 bilion.

"Tindakan bermewah-mewah yang dipaksa ke atas Petronas ini menafikan syarikat ini daripada mengumpul rizab tunai untuk pelaburan semula bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

"Adalah penting buat Petronas untuk melihat ke hadapan dalam meneroka pelaburan dalam perniagaan selain minyak dan gas apabila mengambil kira sifat hidrokarbon sebagai sumber yang terhad," katanya.

Namun kini, Petronas digunakan sebagai tabung kecemasan oleh kerajaan apabila ia terdesak memerlukan wang, kata Ku Li lagi. -Ahmad Fadli KC/ 4/4/14


Berkaitan:

'Budaya untung atas angin daripada DEB'

[MK] Naungan politik yang menggalakkan amalan mengambil untung atas angin dalam perniagaan, berpunca daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang bercanggah dengan falsafah asalnya yang adil dan mulia.

Demikian hujah bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah di ibu kota semalam.

Menurutnya, amalan untung atas angin merujuk kepada cara mudah membuat duit melalui hubungan politik, tanpa perlu terlibat secara sihat dalam persaingan terbuka.

"Walaupun ia kedengaran seperti mahu menuding jari mencari salah dan pahit ditelan, jawapannya terletak pada DEB, atau lebih tepatnya pada DEB yang tersasar dalam pelaksanaannya.

"Jangan silap tentang DEB; falsafah dan idea di sebalik program kejuruteraan sosial ini adalah adil dan mulia.

"Namun, pelaksanaannya menjadi cacamarba dan salah kerana amalan naungan yang menjurus pertamanya, kepada kronisme dan untung atas angin yang kita sebutkan.

"Hasilnya, matlamat yang ditetapkan oleh pembuat polisi gagal dicapai dalam rangka masa yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena pelancaran buku Malaysia Kaya Rakyat Miskin tulisan Anas Alam Faizli yang mengulas tentang tenaga, ekonomi, dan sistem pendidikan Malaysia.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra sebagai Ku Li seterusnya berkata, amalan itu pada asalnya bertujuan mengupayakan segelintir mereka yang terpilih untuk berjaya sebagai usahawan dan pemilik ekuiti.

Kekayaan daripada golongan tersebut sepatutnya berkembang dan dapat dinikmati orang ramai, katanya lagi.

"Rancangan itu sepatutnya mewujudkan kesan pengganda yang akan sampai ke bawah untuk memanfaatkan masyarakat secara kewangan.

"(Sayangnya) rancangan itu gagal," kata Ku Li kerana ia menyebabkan ketidakseimbangan pendapatan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. - Ahmad Fadli KC/ 4/4/14


[Wajib Baca] Tragedi Memali: Penjelasan Panjang Tun Musa Hitam

Posted: 03 Apr 2014 11:33 PM PDT


[MK] Pada jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan "Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang". Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program "Hard Talk" BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa
juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan saya adalah pemangku perdana menteri.

2. Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (iaitu 19 November 1985) Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya pemangku perdana menteri.

Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan "my god" yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai menteri dalam negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi.
(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah.

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku. Pada hari kejadian, saya bersama pemangku ketua polis negara (KPN) telah menemui perdana menteri di pejabat beliau dan pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri perdana menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya
mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan pemangku perdana menteri kerana Tun Dr Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Tun Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di Mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Tun Dr Mahathir masih perdana menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan perdana menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya. Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ilahi memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan. - Musa Hitam/4/4/14


Pemain Bola Dapat Hadiah Ferrari daripada Peminat

Posted: 03 Apr 2014 06:32 PM PDT


[HM] Riyadh: Seorang remaja perempuan menghadiahkan kereta Ferrari kepada pemain bola sepak Arab Saudi kegemarannya. 

Akhbar Al Bayan melaporkan, pemain berkenaan, Jamal Bajandoh yang bermain untuk kelab Al-Ittihad, diberi hadiah sebagai menghargai bakatnya. 

Peminat yang identitinya tidak didedahkan itu turut menggalaknya supaya meneruskan prestasi unggulnya dalam setiap perlawanan. 

Kereta dihadiahkan itu dianggar bernilai SAR1.25 juta (RM1.09 juta). 

Jamal bukan pemain bola sepak pertama menerima hadiah seumpama itu. 

Sebelum ini, pemain bola sepak Brazil Leonardo Jobson turut mendapat hadiah kereta ketika mula menyertai pasukan berkenaan. - Agensi/4/4/14



Pelajar Dakwa Dicabul Pensyarah, Pakar Motivasi Terkenal

Posted: 03 Apr 2014 06:10 PM PDT


[HM] Arau: Bimbang gagal dalam subjek diambil, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini mendakwa terpaksa merelakan dirinya dicabul seorang pensyarah yang juga pakar motivasi terkenal sejak beberapa bulan lalu. 

Bagaimanapun, mangsa berusia 20 tahun yang tidak sanggup diperlakukan sedemikian oleh pensyarah yang sering muncul dalam beberapa program televisyen dan radio itu tampil membuat laporan di Balai Polis Arau di sini, selepas selesai peperiksaan akhir semester. 

Difahamkan, dalam kejadian terbaru pada Jumaat lalu, mangsa mendakwa dicabul kehormatan termasuk payu daranya diramas oleh pensyarah berusia 40-an iaitu ketika di bilik lelaki berkenaan. 

Sumber berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa bersama dua rakannya diminta datang ke bilik pensyarah berkenaan bagi melakukan ulang kaji sebelum lelaki itu duduk di sebelah mangsa. 

"Ketika itu mangsa didekati suspek dan dengan sengaja meraba bahagian kakinya hingga ke bahagian dada beberapa kali. 

"Mangsa yang terkejut cuba menghalang perbuatan itu, namun bimbang digagalkan pensyarah terbabit di dalam subjek diambilnya sebelum hanya membiarkan suspek bertindak sedemikian," katanya. -Shamsul Munir Safini/4/4/14


P/s: Pelajar perempuan ini pun bingai kerana merelakan perbuatan pensyarah miang itu. Adakah kerana markah dia sanggup mencemarkan maruah diri? Sepatutnya ada tindakan drastik ketika pensyarah itu mahu menyentuh dirinya.


Tiada ulasan: