Ahad, 20 April 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Pemimpin UMNO Sokong Hudud Ada Makna - Saifuddin

Posted: 20 Apr 2014 07:27 AM PDT


[SH] KUALA LUMPUR - Tindakan pemimpin tertinggi Umno-BN yang menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sejak kebelakangan ini didakwa sekadar membawa agenda politik tersembunyi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa sokongan terbuka pelbagai pihak termasuk timbalan perdana menteri sendiri tidak menunjukkan kesungguhan Umno-BN untuk melaksanakan hukum syariat itu.

"Sedetik pun saya tiada keyakinan Umno jujur untuk menyokong melaksanakan hukum hudud ini.

"Bagaimana dia (Umno) boleh menyokong Kelantan sedangkan mereka sendiri menolak hudud di Terengganu," katanya kepada Sinar Harian Online selepas berucap pada siri kempennya di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut keyakinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa hukum hudud bakal jadi kenyataan berdasarkan maklum balas positif secara terbuka termasuk pimpinan tertinggi Umno.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, sokongan Umno-BN didakwa hanya semata-mata untuk memecahbelahkan parti komponen PR seperti mana yang berlaku kepada Barisan Alternatif pada 2004.

"Apabila Umno hilang 2/3 majoriti, ketika tiada tanda-tanda sokongan rakyat kembali pulih Umno-BN, tiba-tiba mereka sokong Kelantan laksanakn hudud.

"Saya percaya sokongan Umno itu hanya bertujuan memecahbelahkan PR," dakwanya.

Jelasnya, satu masa dahulu, Barisan Alternatif (BA) berpecah akibat isu negara Islam yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor namum tidak disepakati oleh DAP dan Keadilan.

"Semua orang tahu kesan politik pada 2004 itu adalah pencapaian terbaik Umno-BN di negara kita.

"Apa sahaja isu yang bertujuan dan ada potensi untuk memecahbelahkan PR, Umno akan mencuba seberapa daya mungkin," dakwanya.

Tambahnya, lebih menghairankan lagi apabila sikap bermuka-muka pemimpin Umno-BN kian terserlah sedangkan mereka sebelum ini lantang menetang keras pelaksanaan hukum hudud.

"Saya tidak boleh padam dalam ingatan saya serangan menemplak hudud datang dari Tun Dr Mahathir Mohammad...datang daripada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) ...hatta daripada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sendiri.

"Serangan luar biasa dengan alasan tidak adil sebab yang kena potong tangan orang Islam sahaja, akibatnya orang Islam tidak produktif, bukan Islam pula akan lebih maju di negara kita," katanya lagi. -20/4/14


[Video] Puaka Gua Tempurung Sebabkan Kematian Karpal - Raja Bomoh

Posted: 20 Apr 2014 07:23 AM PDT



[AA] KUALA LUMPUR: Selepas berusaha membuat ramalan lokasi pesawat MH370 yang hilang lebih sebulan, lelaki yang mengelar dirinya sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' kini kembali beraksi untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Karpal Singh pula.

Ini ekoran gambar Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang dilihat berjalan di sekitar kawasan di mana mendiang Karpal meninggal, sambil memegang suatu objek serupa sebuah mangkuk, disebarkan dengan meluasnya di laman sosial media.


Walaupun belum dipastikan tujuan beliau berada di kawasan itu, laman web Suara TV melaporkan bahawa Ibrahim mendakwa kematian mendiang Karpal berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung dan beliau telah pergi ke lokasi itu, untuk melakukan 'ritual menghalau puaka'.

Laporan itu turut berkata bahawa laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam.

"Semoga usaha yang saya lakukan itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi," beliau dilaporkan berkata sejurus melakukan ritual 'menghalau puaka' di tempat itu.

Sementara itu, pengguna Twitter kebanyakkannya menyindir perbuatan Raja Bomoh itu.

Ada yang berkata perbuatannya memalukan masyarakat Melayu di negara ini dan ada yang meminta pihak berkuasa untuk menahan beliau.

Sebelum ini, Raja Bomoh telah mencuri tumpuan kejadian MH370, apabila beliau antara lain, melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa yang tidak diketahui fungsinya serta melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing untuk mencari lokasi pesawat itu.

Tindakannya yang mendapat liputan antarabangsa telah disindir oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. -TK Lectumy Tamboo/20/4/14




Tiada ulasan: