DIALOG RAKYAT |
- MH370 peluang bangkit dengan 'reset button'
- Bagaimana jadi polis dikira beribadat?
- Isyarat ping belum sah dari kotak hitam MH370
- Matta: Wan Junaidi hina rakyat Malaysia
- 'Kalau tiada kuasa lebih baik bubar Esscom'
- Apakah Bernas masih bernas buat penanam padi?
- Dunia membisu lihat kekejaman
- Malaysia terburu-buru buat perjanjian perdagangan bebas
- Laporan Ketua Audit Negara 2013 dibentang esok
- 10 orang yang hilang di Bukit Broga ditemui selamat
- Pencarian MH370 dipertingkat untuk jejaki isyarat
- Kapal Ocean Shield kesan isyarat semasa pencarian MH370
- Menteri Pula Bercanggah Dengan KPN, Penumpang Dibersihkan Atau Belum?
- Lebih 50,000 hadiri Himpunan Baling 2.0
- MH370: KP Penerangan akui kelemahan SOP pusat media
- Jika Johor ubah, seluruh Malaysia berubah - Kit Siang
- “BN mahu nyahkan Anwar,” kata Saifuddin
- Langkah Johor biar sentimental, tapi menusuk kalbu - Salahudin
- Pemilihan PKR: JPP tolak satu pencalonan peringkat pusat ekoran isu displin
- Keluarga Allahyarham Penolong Pengarah Kastam Selangor saman kerajaan, SPRM RM8 juta
- Ada pihak ciplak Sinar Harian
- Kelantan sedia beri penerangan isu hudud
- MH370: Carian dipertingkat jejaki isyarat
MH370 peluang bangkit dengan 'reset button' Posted: 06 Apr 2014 05:33 AM PDT Oleh DR DZULKEFLY AHMAD 1. Sebelum tragedi kehilangan MH370, MAS telah pun melaporkan tentang kerugian terbesarnya RM1.17 bilion untuk tahun kewangan 2013 berbanding RM432.57 juta untuk tahun 2012. Ia merupakan 3 kali ganda kerugian tahun sebelumnya. Segala harapan untuk menyaksikan MAS mampu untuk menjayakan program 'pemulihan' atau 'turnaround'tahun ini 2014, tampaknya pasti akan tertangguh. 2. Untuk ingatan umum, kali terakhir keuntungannya adalah dalam tahun 2010 dan terkini, 70% saham MAS masih dipegang oleh Khazanah Nasional. Saham MAS juga pernah jatuh ke paras 24 sen sejak kehilangan MH370 ini. 3. Pastinya dengan krisis malang ini kedudukan kewangan MAS akan menjadi lebih tertekan dan parah lagi. 4. MAS berdepan dengan bayaran gantirugi ke kepada keluarga mangsa ratusan juta ringgit dan juga penurunan jualan tiket penerbangan. Sebahagian akan dibayar oleh pihak insuran. 5. Sukar untuk dibuat congakan tentang taksiran kerugian dan impak kewangan 'Search and Rescue' atau SAR dan seluruh aspek pengurusan yg tentunya jauh lebih kompleks dan ektensif. Kos juga termasuk menerbangkan keluarga ke Perth Australia di mana tempat pencarian sekarang ini sedang dilakukan. 6. Sebagai perbandingan Air France yang hilang dalam perjalanan dari Rio de Jenario ke Paris pada 2009, menelan belanja RM145 juta atau €32 juta utk carian selama 5 hari. Namun bangkai pesawat dan kotak hitam hanya diketekui dua tahun kemudian. 7. Melibatkan 26 buah negara seluruh dunia, termasuk China yang menghantar 7 dari 40 kapal penyelamat mereka, dianggarkan oleh pakar-pakar bahawa ia akan menelan ratusan juta dollar Amerika. 8. Rabu lalu pihak Pentagon sahaja, contohnya, dalam cariannya akan Kotak Hitam, menganggarkan kos seluruh perbelanjaan mobilisasi pesawat dan asset-aset navynya dalam lingkungan USD 3.3 juta. 9. Vietnam pula telah membelanjakan lebih dari USD 8 juta dalam operasi mecari dan menyelamat, SAR MH370 di kawasan Laut China Selatan. Tentera Laut Nasional Indonesia (TNI-AL) menghantar lima kapal perang dan sebuah helicopter. Sementara itu, Singapura melibatkan dua kapal perang dan helikopter tentera laut mereka. 10. Bayaran awal USD5000 atau RM16,500 dibayar oleh kerjaan Malaysia kepada setiap keluarga mangsa. Mengikut perjanjian antarabangsa MAS akan membayar USD 175, 000 setiap mangsa. Andainya MAS yang disabitkan salah kemudian, maka bayaran akan ditambah lagi. 11. Sebaliknya, MAS telah melaporkan bahawa mereka telah mendapat bayaran USD100 juta dari pihak Boeing sebagai gantirugi utk kehilangan MH370 777-200ER jetliner malang itu. 12. Bercakap tentang apakah MAS akan terkesan di segi trafik penumpangnya? Pengalaman menunjukkan tragedi ini meninggalkan impak kepada penumpang meskipun tidak lama 5 ke 6 bulan. Itu lazim diperhatikan mengikut penganalisis. 13. Menurunkan harga tambang boleh membantu memikat sentiment penumpang, tetapi tidak membantu penjanaan pendapatan yang telah sedia terjejas kerana tawaran MAS sebelum tragedi pun telah sedia rendah kerana mengatasi persaingan sengit. 14. Menurunkan tambang akan terus menjejaskan kewangan MAS kerana pastinya tidak dapat mengatasi 'kos per unit' atau kos operasi setiap passenger setiap kilometre perjalanannya (CASM). 15. Sementara umum mudah memahami apakah impak kewangan yang akan dialami setelah ditimpa musibah MH370 ini, negara masih tercari-cari sentuhannya dan strategi berbisa untuk mengeluarkan penerbangan nasional ini dari kemelutnya yang berpanjangan dan tidak berkesudahan ini. 16. Dalam fikiran penulis sudah terlakar 6 langkah cadangan konkritnya. MAS mesti berani melakukan sesuatu dan berfikir diluar kotak dan bertegas melakukan tindakan-tindakan drastik tersebut. Namun seperti biasa bisnes di Malaysia ini, akan ditentukan oleh 'konsultan yang berjenama atau global branding' yang dibayar berjuta ringgit. 17. Mengongsi sedikit kata-kata hikmah pengurusan: 'Kalau anda mahu miliki apa yang belum anda punyai, maka anda perlu lakukan apa yang belum pernah anda buat'! (If you want what you never had, then you must do what you've never done!). Fikir-fikirkan. | ||
Bagaimana jadi polis dikira beribadat? Posted: 06 Apr 2014 05:27 AM PDT Oleh Subky Latif Syabas! Saya sambut baik saranan dua penalis Forum Perdana RTM sempena Hari Polis bahawa perkhidmatan polis adalah ibadat. Polis jangan terkejut, kiranya mereka sekadar menunaikan ibadat khusus, solat fardu dan tidak tinggal puasa bulan Ramadhan, tetapi tidak rajin bangun solat malam, tiada puasa sunat, sedekah jariahnya tidak ada, tiba-tiba didapati dalam catatan buku amal solehnya sarat dengan ibadat justeru pahala daripada sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota polis. Tidak kira dia ketua polis negara, ketua polis daerah, sarjan atau polis biasa yang tidak berpangkat, dia menjalankan tugas dengan baik bagi menjaga keamanan negara dan rakyat, maka apa jua yang dilakukannya adalah ibadat di sisi Allah. Bukan solat lima waktu, haji, zakat dan puasanya saja ibadat kepada Allah, jaga lalu lintas waktu sesak, berjaga malam, mengawal kuil dalam perayaan agamanya supaya tidak diganggu pengacau, mengejar perompak dan lain-lain juga ibadat di sisi Islam. Cuma penalis tidak jelaskan macam mana kerja seorang polis itu boleh jadi ibadat yang mengaut pahala dan bagaimana pula ia satu perkhidmatan makan gaji saja yang tidak mendatangkan apa-apa? Kena terangkan bahawa setiap ibadat itu ada sah dan batalnya. Betapa adanya orang yang tidak meninggalkan solat fardu, tetapi penat saja kerana solatnya tidak khusyuk dan tidak mengikut feqahnya. Perlu dibentangkan feqah polis itu supaya khidmatnya penuh pahala. Semua pahala khidmat seorang ketua polis negara dulu dipercayai batal semuanya kerana dia memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digari dan mata ditutup hingga pengsan dan mata lebam berminggu-minggu. Mereka kena tahu feqah ibadat bagi polis. Ikut mazhab polis Mesir sekarang, payah ada pahala. Mazhab polis England dan polis Jepun langsung tidak menjadi ibadat. Yang pertama, yang menjadikan ia ibadat ialah niatnya menjadi polis. Dia mesti masuk polis kerana Allah. Macam orang solat kerana supaya orang tengok, tidak kerana Allah, solatnya sia-sia. Seorang bukan Islam yang cemerlang tugasnya tidak jadi ibadat dan tiada pahala. Dia mendapat kepujian atas perkhidmatan cemerlangnya saja. Syarat ibadat di sisi Allah ialah Islam dulu. Katalah Tan Sri Ananda Krishna yang kaya raya mendirikan berbelas-belas masjid. Dia dapat kepujian saja tetapi buku amal solehnya tidak ada sebab dia belum masuk Islam. Tiada ruang pahala dalam buku amalnya. Jika feqah PDRM itu ada, maka akan ada hak bagi bukan Islam untuk menjadi polis dan ada hak untuk memegang jawatan berpangkat. Tetapi faedah yang didapatinya adalah faedah perkhidmatannya. Mereka tidak pernah dikira beribadat. Macam bapa saudara Rasulullah Abu Talib. Jasanya melindungi Islam dan Nabi amat besar tetapi semuanya tidak dikira ibadat. Seorang anggota polis mesti ditanya, mengapa dia memilih jadi polis? Kalau dia suka jadi polis kerana perkhidmatannya, maka belum tentu jadi ibadat jika tidak kerana Allah. Ia akan dikira sama dengan penyembah berhala. Jika penyembah berhala ditanya mengapa dia jadi penyembah berhala, kalau dia kata sebab suka pada ukiran berhala itu. Apa bezanya? Oleh, itu tiadalah jadi polis itu secara automatik menjadi ahli ibadat tanpa melalui syarat yang dibentangkan oleh feqah ibadat polis. Adalah benar masuk polis kerana Allah atau setelah terpilih menjadi polis, dan itulah pekerjaan yang dia boleh dapat, dia pun berniat membetulkan nawaitunya, maka dia sudah tidak lagi sekadar berkhidmat, tetapi menunaikan amal soleh. Dan bila dia takut kepada Allah, maka dia tidak buat apa yang boleh mencacatkan ibadatnya | ||
Isyarat ping belum sah dari kotak hitam MH370 Posted: 06 Apr 2014 05:21 AM PDT MALAYSIAKINI Ketika pencarian pesawat Malaysia yang hilang memasuki hari ke-30 pada Ahad, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia memaklumkan ia belum dapat mengesahkan isyarat detik yang dikesan di selatan Lautan Hindi oleh kapal peronda China itu, datang dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370. Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata isyarat detik elektronik yang dilaporkan dikesan oleh Haixun 01 "tidak dapat disahkan pada masa ini". "Saya telah dimaklumkan bahawa beberapa siri bunyi telah dikesan oleh kapal China di kawasan pencarian. "Ciri-ciri dilaporkan adalah konsisten dengan kotak hitam pesawat," katanya dalam satu kenyataan. Beliau juga berkata beberapa objek putih juga dilihat pada permukaan kira-kira 90 kilometer dari kawasan pengesanan. "Bagaimanapun, tidak ada pengesahan pada peringkat ini bahawa isyarat dan objek yang berkaitan dengan pesawat yang hilang, "katanya. Beliau berjanji untuk menyediakan maklumat terkini lagi jika dan bila maklumat lanjut menjadi tersedia. "Bagaimanapun, tiada pengesahan di peringkat ini bahawa isyarat dan objek adalah berkaitan dengan pesawat yang hilang," katanya. Houstan berkata beliau akan menyediakan maklumat pada waktunya jika terdapat maklumat lanjut. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama. Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama | ||
Matta: Wan Junaidi hina rakyat Malaysia Posted: 06 Apr 2014 05:12 AM PDT MALAYSIAKINI Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah mengesyorkan agar Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menarik balik saranan agar resort di pulau terpencil ditutup bagi menjamin keselamatan pelancong. Pengerusi Matta Sabah Robet Chong berkata cadangan tersebut amat mengecewakan dan menghina rakyat Malaysian kerana timbalan menteri itu tidak dapat menjamin keselamatan di kawasan terbabit. "Ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak sekiranya timbalan menteri dalam negeri dapat menarik kembali kenyataan beliau kerana kenyataan negatif itu memberi akibat serius ke atas keyakinan perniagaan, pelaburan dan pembangunan di Semporna," katanya. Beliau turut menggesa agar industri pelancongan terus bersatu dan tabah menghadapi cabaran yang akan timbul ekoran kenyataan timbalan menteri itu. Sementara itu naib presiden Matta (kemasukan pelancong) KL Tan pula menyatakan kekecewaan ke atas keengganan Wan Junaidi untuk menjamin keselamatan di resort terpencil di perairan Sabah itu. "Cadangan timbalan menteri dalam negeri menutup resort ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia," kata Tan. Beliau mengingatkan bahawa kerajaan membelanjakan RM 286 juta untuk membina Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan tambahan RM 75 juta dalam bajet tahun lalu. Tan berkata keselamatan pulau-pulau di perairan Semporna lemah berikutan kehadiran kampung air yang didiami pendatang tanpa izin yang menyukarkan pasukan keselamatan mencari dan mengenalpasti penjenayah. Beliau menambah Wan Junaidi sepatutnya melawat Semporna sendiri dan tidak cuba 'melarikan diri' dari isu ini. "Untuk maklumat timbalan menteri dalam negeri, penculikan itu berlaku di sebuah resort yang terletak kira-kira lima minit dari Bandar Semporna dan bukannya di pulau terpencil. "Dia (Wan Junaidi) ditugaskan untuk mempertahankan setiap rakyat Malaysia termasuk pelancong dan bukannya hanya menyerahkan tugas kepada orang lain dan melarikan diri dari tanggungjawab," kata beliau. Mereka mengulas kenyataan Wan Junaidi bahawa Esscom tidak mampu menjamin keselamatan resort terpencil itu dan meminta mereka meningkatkan keselamatan sendiri. Rabu lalu, pelancong dari China Gao Huayun,29 dan seorang pekerja resort dari Filipina Marcy Dayawan @ Mimi, 40 diculik tujuh lelaki bersenjata di Singamata Adventures and Reef Resort, di pantai Semporna. | ||
'Kalau tiada kuasa lebih baik bubar Esscom' Posted: 06 Apr 2014 05:08 AM PDT MALAYSIAKINI Penasihat DAP Lim Kit Siang menuntut agar Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dibubarkan sekiranya badan itu tiada kuasa dalam menangani kes seperti penculikan yang berlaku di perairan Semporna minggu lalu. Katanya, badan pemerintah itu tidak sepatutnya bertindak dengan tidak bertanggungjawab seperti itu selepas menerima peruntukan RM300 juta. "Esscomm sepatutnya ditutup jika selepas rakyat Malaysia belanja RM 300 juta, ia hanya boleh kata 'tiada kuasa' selepas dua wanita diculik dari sebuah resort di Semporna Rabu lalu," kata Lim dalam kenyataannya. Lim mengulas kenyataan ketua komunikasi korporat Newmond Tibin Jumaat lalu yang dilaporkan sebagai berata, Esscom tiada kuasa secara langsung terus untuk memberi arahan kepada 10 daerah Zon Pantai Timur Sabah (Esszone). Newmond dilaporkan sebagai berkata semua daerah tersebut mempunyai ketua polis daerah sendiri di bawah Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan tugas Esscom hanyala menyelia agensi terlibat. "Inilah contoh terbaru pentabiran memalukan Malaysia, satu demi satu agensi menafikan tanggungjawab dan menolaknya kepada agensi lain, seolah-olah rakyat Malaysia ini bodoh. "Selepas membelanjakan lebih RM 300 juta, rakyat Sabah dan Malaysia diberitahu Esscom tidak bertanggungjawab dengan keselamatan mereka. Jika begitu, kenapa tubuhkan Esscom?," soal Lim. Esscom ditubuhkan tahun lalu selepas pertentangan dengan satu kumpulan bersenjata dari Sulu di Lahad Datu Sabah, yang menyebabkan sembilan orang anggota pasukan keselamatan Malaysia dan sekurang-kurangnya 67 penceroboh maut. Menurut Lim, Parlimen sepatutnya membubarkan Esscom jika badan pemerintah itu tidak memberi penjelasan yang memuaskan mengenai peranan mereka. "Jelas RM 300 juta yang dibelanjakan ke atas Esscom adalah pembaziran dan tiada alasan boleh diberikan dengan membelanjakan sejumlah besar duit untuk membina bangunan besar hanya untuk memainkan peranan mengkoordinasi 10 daerah polis. "Sabah dan Malaysia tidak memerlukan satu projek 'gajah putih' berharga RM 300 juta," kata beliau. Rabu lalu, pelancong dari China Gao Huayun,29 dan seorang pekerja resort dari Filipina Marcy Dayawan @ Mimi, 40 diculik tujuh lelaki bersenjata di Singamata Adventures and Reef Resort, di pantai Semporna. Dua individu tersebut dipercayai dibawa ke Selatan Filipina tetapi masih tiada permintaan wang tebusan dibuat. Kes ini terjadi kira-kira empat bulan kes pembunuhan seorang pelancong Taiwan dan penculikan seorang wanita. | ||
Apakah Bernas masih bernas buat penanam padi? Posted: 06 Apr 2014 05:05 AM PDT
BAGI sesetengah rakyat Malaysia, mungkin yang lahir setengah abad lalu, atau malah dalam waktu lebih terkini, ingatan zaman kanak-kanak tentang lukisan terawal dihasilkan mungkin sebuah bendang di mana batas-batasnya hampir merupakan segi empat sempurna dengan berlatarbelakangkan sang mentari mengintai dan memancar sinarnya di celah dua gunung atau bukit. Mungkin juga terdapat variasi lain seperti paparan orang-orangan guna menakutkan beberapa ekor burung yang mahu memakan padi sedang menguning di samping teratak yang nun jauh di sana. Namun pada asasnya, konsep dan elemen dalam lukisan mudah zaman kanak-kanak itu tetap serupa. Maka sesetengah daripada kita membesar dengan mendefinisi erti estetik dan keindahan alam menerusi pemandangan sebahagian daripada sebuah sawah padi. Mengapa tidak? Bukankah pemandangan sawah padi sama ada baik ketika semaian mahupun ketika masak menguning memang indah untuk dilihat oleh sesiapa sahaja. Justeru, tidak hairan hari ini pelukis seperti seorang bernama Khalid Abdullah dari Jitra, Kedah menjual lukisan warna airnya kepada warga dunia dengan harga AS$1,500 untuk sekeping lukisan. Tapi keindahannya tidak terhenti di situ. Seorang pelukis Amerika dari New Jersey, Carol Wisniewsky menjual pelbagai lukisan bertemakan pemandangan sawah padi dalam laman web Fine Art America. Di peringkat lebih tinggi lukisan bertajuk 'Rice Paddies' menggambarkan sebahagian daripada sebuah sawah sedang disemai oleh seorang pembendang dengan barisan pohon nyiur, dilukis pada 1890 telah diabadikan di Honolulu Museum of Arts, Hawaii. Begitulah. Padi dan sawahnya adalah amat istimewa. Keindahannya bukan sekadar bersumberkan keestikan pemandangannya tetapi lebih penting lagi kerana ia membekalkan kita sumber makanan utama untuk meneruskan hidup. Lebih enam dekad lalu, suasana seperti inilah menyambut kelahiran dan menjadi latar belakang kepada kehidupan waktu kecil seorang bernama Syed Mokhtar Al-Bukhary. Namun ketika itu negara belum Merdeka dan kerja-kerja sawah masih lagi dilakukan secara tangan berbantukan kerbau yang dijadikan mesin penggerak untuk membajak sawah. Seperti juga lokomosi kerbau yang beranjak pada kadar super perlahan, begitu juga dengan ekonomi kebanyakan pesawah. Walaupun padi/beras sebagai komoditi utama menikmati harga berpatutan dan stabil dalam pasaran dan menjanjikan kehidupan selesa namun sistem padi kunca memperlihatkan hasil bertentangan. LJ Barnes yang mengetuai kajian untuk memperbaiki sistem pendidikan orang Melayu pada 1951 turut menyentuh hal ini: "… kaum pendatang telah mengambil kesempatan daripada sikap tidak peduli orang Melayu, dengan memperkenalkan sistem jual beli secara berhutang (padi kunca).. mereka telah memulakan penindasan ekonomi orang Melayu dengan terang-terangan di hadapan kuasa pelindung (Inggeris)…" Namun walaupun lahir setahun selepas laporan Barnes itu dan walaupun berada di Kedah, di tengah-tengah 'jelapang padi negara', Syed Mokhtar adalah masih bayi dan kemudiannya terlalu kecil untuk menyedari wujudnya laporan seperti itu dan menyedari betapa miskin dan tandusnya ekonomi pesawah yang hidup di sekeliling beliau. Malah keadaan keluarganya juga serba sederhana dan sama seperti keluarga para pesawah di zaman itu. Hari ini, Syed Mokhtar bukan sahaja sudah muncul sebagai tokoh korporat Malaysia bertaraf 'billionaire' dan juga sebutan ramai, tetapi turut memiliki Padi beras Nasional Berhad, sebuah kumpulan syarikat, menurut lamanwebnya, "…terlibat dalam pemerolehan dan pemerosesan padi, serta pengimportan, pengundangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia)." Walaupun menurut majalah perniagaan dan kewangan Forbes, Syed Mokhtar memiliki nilai aset bersih AS$2.75 bilion (kira-kira RM9 bilion), kebanyakan rakyat Malaysia sedia maklum betapa beliau bukanlah seorang 'corporate raider' atau penyerang korporat dalam erti kata sebenarnya. Ini kerana penyerang korporat tulen membeli dan memperolehi syarikat dengan usaha mereka sendiri sedangkan kebanyakan syarikat yang diambil alih oleh Syed Mokhtar dilakukan dengan ihsan kerajaan Umno- BN. Justeru, adalah disangsikan sama ada pencapaian beliau boleh dibanggakan. Bulan lalu Bernas yang diambilalih oleh syarikat berkepentingan Syed Mokhtar bermula akhir tahun lalu telah dikeluarkan dari senarai syarikat berhad tersenarai di Bursa Malaysia. Dalam lain perkataan Bernas kini adalah sebuah syarikat milik persendiran atau boleh juga dibaca sebagai milik peribadi beliau. Dengan nyah senarai Bernas maka syarikat itu kini tidak lagi perlu tertakluk kepada segala pemeriksaan dan pemeriksaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Malah Bernas tidak lagi perlu melakukan pendedahan awam walaupun syarikat itu memonopoli semua aspek perniagaan komoditi strategik negara. Oleh itu, Syed Mokhtar boleh melakukan apa sahaja yang dirasakannya betul mengenai perjalanan Bernas atau yang dirasakannya menguntungkan pesawah. Minggu lalu sudah macam ada satu ketegangan berlaku di Dewan Rakyat apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri enggan memberitahu butiran surat pengakuan kepada penanam padi yang ditulis oleh Syed Mokhtar kepada menteri berkenaan pada November tahun lalu sekitar masa pengambil alihan Bernas. Tidaklah diketahui sekiranya surat pengakuan berkenaan telah dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana kandungannya jika diumumkan boleh menggugat keselamatan negara. Namun apa yang pasti sekiranya pengakuan kepada menteri yang diberikan oleh Syed Mokhtar benar-benar menguntungkan para penanam padi dan mampu mengangkat ekonomi mereka berbanding sebelumnya dan bukan sekadar satu penanggukan di air keruh, maka rasanya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan oleh Ismail Sabri. Jika tidak, maka menteri berkenaan, atas sesuatu sebab dan tidak mustahil demi menjaga kepentingan Umno, mempunyai seribu satu sebab untuk merahsiakan kandungannya. | ||
Posted: 06 Apr 2014 04:54 AM PDT Oleh MOHD NASAIE ISMAIL KETIKA sampai ke Kaherah pada 30 Mei 2013, Mesir sedang panas dengan isu Empangan Nahdah yang hendak dibina oleh Ethiopia di Hulu Sungai Nil. Pembinaan itu akan menyebabkan Mesir dan Sudan yang berada di Hilir akan menerima air yang semakin kurang. Presiden Mesir ketika itu, Dr Muhammad Morsi telah mengadakan pertemuan dengan semua parti politik samada yang bersama kerajaan atau pembangkang untuk membincangkan kepentingan besar negara tersebut. Sungai Nil ibarat nyawa kepada bumi Mesir yang menjadi tempat pergantungan hidup rakyat dan pertanian di Mesir Namun, pembangkang yang telah membuat pakatan bernama Tamarud telah memboikot pertemuan tersebut dengan mengatakan tiada sebarang perbincangan lagi dengan 'diktator Morsi'. Ia istilah yang mereka gunakan untuk memburukkan Dr Morsi, kerana mereka sedang fokus kepada himpunan besar Tamarud pada 30 Jun 2013 untuk menggulingkan Morsi. Jika di zaman Mubarak, tiada istilah pembangkang yang dominannya kerana diktator Hosni Mubarak sentiasa memenjarakan penentangnya khususnya daripada Ikhwan Muslimin dan lain lain parti. Bahkan media juga tertutup rapat kepada pembangkang di Mesir sejak zaman berzaman. Dr Morsi yang memenangi pilihan raya Presiden dengan majoriti yang tipis, tetapi partinya Parti Kebebasan dan Keadilan Sejahtera (FJP) mendapat kemenangan yang besar dalam pilihan raya Parlimen. Parti yang ditubuhkan Ikhwan Muslimin ini memenangi 45 peratus kerusi parlimen dan Parti An Nur yang ditubuhkan Dakwah Salafiah telah memenangi 25 peratus kerusi Bermakna suara rakyat Mesir 70 peratus memilih parti Islam sebagai majoriti di parlimen. Baki 30 peratus dikongsi oleh parti parti lain. Walaupun mempunyai kerusi yang besar di parlimen, Dr Morsi tidak membentuk kerajaan monopoli. Majoriti anggota kabinetnya daripada teknokrat termasuk Perdana Menteri Dr Hisham Kandil juga bukan orang politik. Ketika hendak menggubal perlembagaan baru, panel jawatankuasa perlembagaan yang dilantik daripada pelbagai kelompok mewakili parti kerajaan dan pembangkang, NGO, Al Azhar dan wakil beraja. Majoritinya bukan daripada Ikhwan Muslimin walaupun mereka menguasai 45 peratus parlimen tetapi penyertaan mereka tidakpun sebanyak itu dalam jawatankuasa tersebut. Media bebas Media massa diberi kebebasan seluasnya. Daripada 12 akhbar utama, hanya 2 sahaja yang menyokong Mursi. Bakinya menghentam Presiden hari hari. Gambar gambar firaun berwajah Mursi menjadi hidangan akhbar akhbar tersebut. Atas nama demokrasi, kerajaan tidak menyekat akhbar tersebut. Tiba tiba kerajaan beliau digulingkan atas nama tidak demokratik dan mengembalikan diktator. Walaupun dalam banyak isu besar negara, mereka diajak sama untuk duduk sama dengan kerajaan membuat keputusan. Kerajaan demokratik ini digulingkan diawal Julai setelah beberapa hari himpunan Tamarud dijayakan di Tahrir dan Istana Ittihadiah. Masih ingat lagi ketika Jerenal Abdel Fatah As Sisi mengumumkan penggulingan Dr Morsi, tidak berapa lama selepas itu, Dr Morsi pula mengumumkan bertahan sebagai presiden. Beliau membuat kenyataan media ditika kelilingnya dipenuhi dengan tentera Pengawal Republik yang menjadi pengawal presiden. Mereka ini kekal mengawal Presiden walaupun dahulunya berkhidmat dengan kerajaan Mubarak. Lalu selepas sidang media tersebut, tentera pengawal yang samalah yang menahan beliau di lokasi yang tidak diketahui. Sesetengah kerajaan yang diasaskan secara revolusi akan menukar terus pengawal keselamatan negara kepada kumpulannya yang bersenjata kerana bimbang kerajaan tersebut digulingkan. Tetapi tidak untuk Morsi yang sangat demokratik dn mengekalkan semua kakitangan kerajaan sedia ada termasuklah pengawal presiden. Hari ini setelah mereka digulingkan, ribuan di kalangan mereka dibunuh di jalan raya apabila bertahan di Dataran Nahdah dan Rubu'ah bagi mempertahankan kerajaan demokratik ini. Hukuman mati dan tuduhan palsu Apabila hukuman mati dijatuhkan kepada 529 orang aktivis Ikhwan dengan tuduhan palsu tersebut, ia simbolik kepada politik 'undemocratic' itu tidak berakhir, bahkan baru bermula kembali. Di kala ini, dimanakah pemimpin Tamarud dahulu yang memperjungkan demokrasi dan kononnya mahu menumbangkan diktator Morsi? Di manakah Muhammad Al Baradaie, Ahmad Syafik dan Hamdan Sobahi? Mereka membuat kebangkitan demokrasi tetapi hasilnya dinikmati oleh As Sisi. Pembunuhan terhadap penyokong Morsi ini bermula dalam beberapa peristiwa iaitu buat awalnya ketika solat subuh di hadapan Bangunan Pengawal Republik. Penyokong Morsi yang menyangka beliau ditahan di bangunan tersebut telah berhimpun secara aman sejak malamnya dan apabila subuh mereka ditembak ketika sedang solat. Manakala peristiwa kedua berlaku sebelum subuh di hadapan pintu masuk Universiti Al Azhar Madinah An Nasr. Mereka ditembak ketika hendak pulang daripada Medan Rubu'ah. Manakala peristiwa ketika ialah penghapusan atau penghangusan terus Medan Rubuah dan Nahdah yang berlaku pada awal bulan Syawal setelah hampir 50 hari mereka bertahan di dataran tersebut. Peristiwa yang menggemparkan dunia tersebut telah mengakibatkan kematian lebih 5000 orang yang bukan sekadar ditembak, tetapi juga dibakar mayat mereka. Tidak cukup dengan itu, beberapa hari seterusnya pembunuhan dilakukan di Masjid Al Fattah Ramsis selepas solat jumaat. Ini beberapa peristiwa pembunuhan di Kaherah daripada berpuluh operasi pembunuhan yang berlaku di seluruh negara termasuk Iskandariah, Tanta dan lain lain. Selepas operasi tersebut, maka hampir 90 peratus pimpinan tertinggi Ikhwan dan pakatan politik Kebangsaan menolak rampasan kuasa telah ditangkap. Namun kebangkitan rakyat tetap berlaku hampir setiap hari dan setiap jumaat. Lalu hukuman ke atas 529 anggota Ikhwan ini, sebagai amaran keras kepada rakyat untuk hentikan kebangkitan. Kebimbangan penulis bukan sekadar kebangkitan secara zahir tersebut. Jika kematian dan kecederaan sepanjang tempoh penggulingan ini sejumlah 10 ribu. Ia cukup besar impaknya kepada Mesir. 10 ribu yang terbunuh sudah tentu mempunyai sekurang kurangnya 100 keluarga atau sahabat terdekat. Balas dendam Maka angka yang berdendam itu meluas dan besar kepada kerajaan perampas Mesir. Mereka ini pasti tidak akan berdiam diri. Jika sebahagian daripada mereka mengambil jalan luar daripada batas demokrasi dan jalan damai, maka natijahnya sangat buruk kepada perjalanan panjang kerajaan Mesir. Perang besar atau kecil, terbuka atau secara militan, akan mengakibatkan kemusnahan dan penderitaan yang besar kepada negara dan banyak pihak Tauladan Afghanistan yang sudah 30 tahun masih belum selesai konflik akibat peperangan yang panjang. Mesir sebagai laluan penting dunia di Laut Merah akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia keseluruhannya. Dunia yang mendiamkan diri terhadap tindakan rejim Mesir ini, seolah oleh bersetuju untuk melihat situasi tidak menentu melanda dunia. Seolah oleh juga mereka menjemput jalan luar daripada perdamaian dalam penyelesaian isu Mesir. Sudut kedua ialah golongan yang menjadi mangsa dalam pembunuhan dan kekejaman ini akan muncul dengan lebih kreatif, bijaksana dan luar jangka untuk bertindak terhadap Mesir. Kesemua kemungkinan ini tetap akan berlaku kerana bekas, keperitan akibat hilangnya nyawa ahli keluarga atau sahabat handai bukan sesuatu yang mudah untuk dihapuskan. Dunia yang menonton tidak seharusnya berdiam diri. Walaupun jumlah terkorban semakin besar, tiada istilah terlambat untuk menyelesaikan konflik tersebut. Kembalikan hak kepada rakyat Mesir secara demokrasi dan penjenayah demokrasi mesti dihukum dunia. Dunia yang membiarkan rakyat Mesir bersendirian, memberi makna dunia yang menjemput lanskap baru politik dunia yang tidak akan tenteram kesan daripada politik Mesir tersebut. | ||
Malaysia terburu-buru buat perjanjian perdagangan bebas Posted: 06 Apr 2014 04:50 AM PDT Ekonomi terbuka bakal memusnahkan ekonomi negara kerana syarikat tempatan tidak mampu bersaing, kata Mapim. PETALING JAYA: Makaysia terburu-buru mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan negara maju lain sedangkan ia tahu akan menyebabkan rakyat semakin sukar kerana ketidakmampuan negara bersaing, kata pengerusi majlis perunding ekonomi Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid. "Malaysia tidak boleh dan tidak mampu bersaing dengan Amerika (Syarikat) dan negara-negara maju lain, tetapi tetap menandatangani perjanjian dengan negara-negara itu. "Malaysia cuba buat perjanjian bilateral tetapi keupayaan terbatas," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Malaysia dalam proses akhir untuk menandatangani TPPA meskipun mendapat bantahan besar dari pelbagai golongan. Kata Mohd Azmi, ekonomi terbuka ini bakal memusnahkan ekonomi negara kerana syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing dengan gergasi luar. "Jangan ghairah untuk global, tetapi sebaliknya bertindak mengikut kesesuaian dan keperluan…kita tidak perlu bersaing mengikut pasaran bebas tetapi berdasarkan pertumbuhan eknomi negara," katanya lagi. Perdagangan bebas akan membolehkan mana-mana negara membuka pintu perdagangan secara terbuka kepada syarikat luar untuk berniaga. Mohd Azmi menambah, apabila pasaran bebas dilaksanakan sepenuhnya pasti akan berlaku lambakan barangan di pasaran tempatan ekoran kemasukan besar-besaran dari negara luar. "Lambakan barangan dengan harga yang murah pasti menyukarkan produk tempatan bersaing dengan mereka," tambah beliau lagi. | ||
Laporan Ketua Audit Negara 2013 dibentang esok Posted: 06 Apr 2014 04:31 AM PDT KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri tahun 2013 Siri 1 akan dibentang di Parlimen esok. Menurut kenyataan Ketua Audit Negara hari ini, dalam laporan itu sebanyak 54 pengauditan prestasi dan 19 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri. "Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, alam sekitar dan pengurusan syarikat," demikian menurut kenyataan itu. Jabatan Audit Negara turut mengemukakan 109 syor kepada kerajaan persekutuan, 24 syor kepada badan berkanun persekutuan, 170 syor kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan. Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 Siri 1 yang memberikan ulasan/tindakan terkini daripada ketua perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam laman sesawang Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai esok. Sebarang pertanyaan lanjut atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara. Bermula 2013, Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk setiap tahun akan dibentang dalam tiga siri. - Bernama | ||
10 orang yang hilang di Bukit Broga ditemui selamat Posted: 06 Apr 2014 04:19 AM PDT Sepuluh orang termasuk enam pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti riadah di Gunung Tok Wan, Bukit Broga, Semenyih, semalam, ditemui semula pagi ini. Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Khairul Anuar Yaacob ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka ditemui kira-kira 10.30 pagi dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan. Bagaimanapun, beliau berkata seorang pelajar sekolah terbabit dikenali sebagai Mohd Haris Shahrizam, 17, mengalami kecederaan ringan di kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Kajang, Selangor. "Sembilan lagi dibawa ke pusat kawalan bomba di Paradise Valley Resort berhampiran gunung itu sementara menunggu anggota keluarga datang untuk membawa mereka pulang," katanya. Sementara itu, ketika ditemui di pusat kawalan bomba itu, seorang mangsa, Mohd Zafran Mohd Azmir, 16, berkata dia mula mendaki gunung itu pada 3.30 pagi Sabtu. Mohd Zafran berkata disebabkan keadaan sejuk ketika itu mereka berhasrat untuk sampai ke puncak secepat mungkin tetapi dalam separuh perjalanan mereka gagal mengesan tanda arah menuju ke puncak itu. "Kami mula panik dan mencari-cari jalan untuk keluar. Nasib kami baik kerana dalam kekalutan kami terjumpa empat orang abang (mangsa) yang lain yang turut tersesat semasa pendakian," katanya. Selepas bergabung dengan kumpulan itu, mereka membuat keputusan meneruskan perjalanan untuk mencari tempat berteduh. "Sukar dibayangkan dengan kaki yang lenguh dan sejuk kami terpaksa gigihkan diri juga sehinggalah kami terjumpa sebuah rumah kongsi milik penduduk Orang Asli Kechau Dalam. "Di situ kami merehatkan diri sebelum ditemui pihak bomba pukul 10.30 pagi tadi," katanya. – Bernama, | ||
Pencarian MH370 dipertingkat untuk jejaki isyarat Posted: 06 Apr 2014 04:15 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi dipertingkat pada Ahad, hari ke-30 operasi, bagi menjejaki isyarat yang dikesan oleh sebuah kapal China semalam. Menurut kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), sebanyak 10 pesawat tentera, dua pesawat awam dan 13 kapal dikerah dalam misi pencarian MH370 hari ini. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) membahagikan pencarian kepada tiga kawasan dengan keluasan keseluruhan 216,000 kilometer persegi, di kedudukan 2,000 km barat laut Perth. "Cuaca dijangka baik dengan ketinggian awan pada 2,500 kaki manakala jarak penglihatan melebihi 10 km," kata kenyataan itu. Semalam, kapal Haixun 01 mengesan isyarat dengan frekuensi 37.5 kHz yang mungkin datang daripada kotak hitam pesawat tersebut. Dalam pada itu, JACC mengulangi bahawa isyarat yang dikesan oleh kapal China tersebut masih belum dapat disahkan. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memperhalusi analisis data, kata JACC dalam kenyataan berkenaan. Sementara itu media Australia, ABC24 memetik Menteri Pertahanan David Johnston sebagai menggesa pihak yang terbabit dalam pencarian agar lebih berhati-hati susulan timbul banyak petunjuk palsu. Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal. Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. – Bernama | ||
Kapal Ocean Shield kesan isyarat semasa pencarian MH370 Posted: 06 Apr 2014 04:12 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan satu isyarat ketika menyertai operasi mencari penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi pada Ahad. Perkembangan terbaharu ini menyusuli dua denyut pendek yang juga dikenali sebagai isyarat akustik yang dikesan 36 jam lalu dan pada petang Sabtu oleh kapal China, Haixun 01. Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata setakat ini belum dapat diputuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak petunjuk itu memandangkan siasatan masih berjalan. "Kapal HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air," katanya dalam sidang media di Perth hari ini. Katanya jarak antara Haixun 01 dan Ocean Shield ialah kira-kira 300 batu nautika. Houston menyifatkan Ocean Shield sebagai kapal terbaik untuk tugas itu memandangkan aset tersebut dilengkapi 'towed pinger' (alat pengesan isyarat yang ditunda) dan kenderaan bawah permukaan air kawalan jauh. Beliau bagaimanapun menjelaskan pengesahan isyarat itu boleh mengambil masa beberapa hari selain pencarian yang sukar kerana kedalaman di kawasan berkenaan ialah kira-kira 4.5 km di samping pelbagai cabaran lain. Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 239 orang hilang tanpa jejak ketika di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu. Analisis data satelit kemudian menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal dan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi. – Bernama | ||
Menteri Pula Bercanggah Dengan KPN, Penumpang Dibersihkan Atau Belum? Posted: 05 Apr 2014 10:48 PM PDT KELAB GREENBOCTiada Krew MH370 Yang Dibersihkan - Hishammuddin KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan penyiasatan ke atas anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 masih lagi berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan. "Saya tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan. "Sepanjang senarai yang ditunjukkan, ia termasuk juga anak-anak kapal. "Empat kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN) ingatkan kami, siasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi. "Itu, saya tahu masih berjalan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berkaitan siasatan anak kapal MH370 pada sidang media mengenai pencarian MH370 di ibu negara, Sabtu. Rabu lepas KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membersihkan kesemua penumpang MH370 daripada siasatan rampasan, sabotaj, psikologi dan masalah peribadi tetapi masih menyiasat anak-anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang. Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tiada masalah dalam mendapatkan maklumat tentera dan data radar dari negara-negara ASEAN terutama yang terlibat dalam operasi menyelamat yang kini masuk hari ke-29. Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari yang disertai oleh pelbagai negara pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan, tetapi setelah didapati pesawat itu melencong daripada haluannya, dan terbang sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan di koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Berikutan kaedah menganalisis data satelit yang tidak pernah digunakan sebelum ini, syarikat satelit komunikasi British Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan penerbangan MH370 terbang sepanjang koridor selatan and kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lepas, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi." Rakaman perbualan antara juruterbang MH370 dengan pengawal trafik udara tidak boleh dikeluarkan kerana ia masih lagi dalam siasatan. Hishammuddin berkata pencarian pesawat itu akan berterusan melampaui nilai wang. Ditanya mengenai peluang kesemua penumpang dan anak kapal selamat, beliau berkata itulah yang diharapkan oleh anggota keluarga mereka. "Walaupun tipis untuk selamat, itu masih jadi pegangan mereka (keluarga penumpang). Biarpun jika ianya satu keajaiban, biarpun ianya tidak mungkin tercapai. Jika itu adalah keinginan keluarga, saya fikir adalah wajar jika kami dapat menghormati keinginan mereka," katanya. Sementara itu ketika ditanya sama ada Malaysia bersedia memohon maaf untuk tragei MH370, beliau berkata itu bukan sebahagian daripada penyelesaian. Hishammuddin berkata mendapatkan pesawat itu dan kotak hitamnya untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku masih merupakan tugasan yang besar dan mencabar dan beliau berterima kasih kerana ramai yang dapat melihat insiden itu secara positif. "Itu adalah sesuatu yang memberikan kekuatan kepada kami kerana jika ia berlanjutan lebih lama, kami memerlukan segenap tenaga yang boleh kami dapat untuk mendapatkan kebenaran tentang apa sebenarnya berlaku kepada MH370," katanya. -BERNAMA
ULASAN GB Kenyataan menteri pula bercanggah dengan KPN. Inilah akibat dari terlampau banyak rahsia yang disorokkan dari pengetahuan rakyat. Ada agenda tersembunyi sehingga seorang kata bersih seorang lagi kata belum bersih. GB sudah ulas sebelum ini. Ini semua kerja gila. Sekejap begini sekejap begitu. Dari awal-awal lagi segala-segalanya bercanggah. Patut pun keluarga dari China berang dan marah, tak satu maklumat yang diterima boleh dipercayai. Mari kita akan terus berdoa agar kebenaran itu menjaid kenyataan! اللهم ارنا الØÙ‚ Øقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه 1) Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba'ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya). وقل رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا وقل جاء الØÙ‚ وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا 2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nasiiran wa qul ja alhaqqu wa zahaqal bathil innal bathila kana zahuqan Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. | ||
Lebih 50,000 hadiri Himpunan Baling 2.0 Posted: 05 Apr 2014 10:41 PM PDT IZWAN ABDUL HALIM BALING: Biarpun diberi gambaran negatif termasuk diadakan majlis saingan pada waktu sama serta hujan lebat pada sebelah petangnya, Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0 ternyata mencapai sasaran luar jangka. Pihak penganjur menganggar 10,000 hadir pada sesi program di sebelah petang, manakala pada malamnya dianggarkan lebih 50,000 orang membanjiri lokasi program di Padang Awam Keda, dekat sini, bagi mengikuti ceramah perdana disampaikan para pemimpin Pakatan Rakyat. Hujan yang turun dan keadaan tanah berair pada petangnya tidak menghalang orang ramai terus berpusu-pusu bersama keluarga sebagai tanda sokongan biarpun terpaksa berpayung. Ini membuktikan solidariti terhadap luahan rasa dan rintihan rakyat khususnya para penoreh getah yang turun berhimpun sebagai mengenang nostalgia 40 tahun dahulu Demonstrasi Baling 1974. Ucapan malam tadi dimulai dengan gimik dari badan bukan kerajaan (NGO) R (Royalti) diikuti pengkisahan oleh Mohd Kalam Md Hashim, 54 tahun iaitu penduduk Baling yang pernah menyaksikan peristiwa bersejarah 1974 itu. Berucap pada malamnya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Terdahulu pada petangnya diadakan sesi pidato oleh NGO-NGO antaranya R, Belatani, Turun dan ramai lagi. Bagaimanapun hujan lebat turun sekitar jam 5:30 petang menyebabkan hadirin berselerakan mencari tempat berteduh. | ||
MH370: KP Penerangan akui kelemahan SOP pusat media Posted: 05 Apr 2014 10:38 PM PDT KUALA LUMPUR: Peristiwa kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 sejak 8 Mac lepas, menguji kemampuan Malaysia dalam menguruskan media tempatan dan antarabangsa mendapatkan bahan liputan berita yang benar, tepat serta disahkan. Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata meskipun insiden itu menyatupadukan banyak agensi, namun beliau mengakui aspek prosedur operasi standard (SOP) di setiap agensi, termasuk Jabatan Penerangan, perlu diteliti semula agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada masa depan seiring cabaran yang dihadapi. "Semua agensi memainkan peranan dengan baik, mempunyai SOP tersendiri, namun melihat kepada besarnya permasalahan ini (insiden MH370) dan apa yang kita dapat daripada peristiwa ini, kita perlu meningkatkan dan menambah baik SOP dalam menguruskan pusat media," katanya kepada Bernama. Menyentuh cabaran yang perlu dihadapi Jabatan Penerangan, Ibrahim berkata sebagai pusat rujukan utama seluruh dunia bagi mendapatkan maklumat berhubung MH370, ketiadaan maklumat tambahan untuk disalur kepada wartawan adalah antara kesukaran yang dihadapi memandangkan hanya maklumat disahkan dibenar untuk disalur kepada mereka. "Proses penyampaian maklumat secara rasminya melalui beberapa peringkat, bermula dengan jawatankuasa teknikal yang akan melaksanakan penyiasatan, tapisan dan pengesahan maklumat, kemudian disalurkan kepada pasukan komunikasi yang akan merangka teks dan susunan maklumat sebelum dihebahkan di sidang media yang mana maklumat itu telah disahkan, sahih dan tepat," katanya. Ibrahim berkata pihaknya berperanan mengendalikan pusat media setelah menerima arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkoordinasi penyampaian maklumat dan membantu media melaksanakan liputan serta mendapatkan maklumat yang betul. "Selepas kita mendapat maklum balas daripada MKN mengenai krisis ini (MH370), kita terus menetapkan pusat media di Hotel Sama-Sama berdekatan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang) yang kemudian berpindah ke PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) untuk membantu media dari segi penghebahan maklumat melalui kenyataan akhbar dan e-mel selain mengadakan sidang media," katanya. Beliau berkata pihaknya juga menyediakan transkrip asal yang penuh dan terjemahan selain rakaman video penuh pada setiap sidang media di pusat berkenaan selain memuat naik ke laman sesawang rasmi, Facebook dan Twitter yang dikendali Jabatan Penerangan bagi mempertingkat kefahaman mereka tentang misi mencari dan menyelamat (SAR) serta memudahkan tugas media menyampaikan berita. "Bagi wartawan, khususnya dari negara China, yang mungkin tidak begitu memahami isi kandungan terjemahan dalam Bahasa Inggeris, pegawai kita juga cuba membantu dan memberi gambaran terbaik selain dibantu media Cina tempatan dari segi khidmat terjemahan," katanya. Ibrahim berkata jabatan itu juga berperanan memantau berita seluruh dunia dari peringkat permulaan kehilangan pesawat MH370 sehingga hari ini. tahap dinamik "Kami mengumpul sejumlah 170,000 'tajuk utama global' daripada setiap media cetak dan portal dari seluruh dunia sehingga kini berkaitan dengan berita MH370 dengan 'kata kunci' #MH370 menjadi keutamaan," katanya. Mengulas tahap dinamik media tempatan dalam melaporkan isu kehilangan pesawat MH370, Ibrahim berkata mereka memainkan peranan yang baik dalam memberikan fakta tepat serta tidak menokok tambah sehingga mewujudkan spekulasi. Beliau berkata walaupun media tempatan diberi kebebasan memperoleh pandangan berkaitan isu ini daripada pakar namun mereka tidak sampai melangkaui batas dan etika kewartawanan seperti dilakukan segelintir media asing yang hanya ingin mengejar 'rating'. "Ada berita daripada media asing yang menyatakan kononnya pesawat MH370 dirampas, namun setelah diteliti ia hanyalah dipetik daripada pandangan peribadi individu tertentu dan ternyata pihak yang menghasilkan berita itu mempunyai agenda mereka tersendiri untuk menarik perhatian umum. "Lebih melampau apabila mereka melaporkan bahawa maklumat itu disampaikan oleh individu tertentu tetapi sebenarnya mereka tidak menemuramah sendiri individu itu malah mereka-reka cerita menjadikan berita itu sensasi dan seolah-olah benar," katanya. Beliau juga menegaskan dalam menetapkan hala tuju editorial, media tempatan diminta memainkan peranan mempertahankan negara dalam menangkis sebarang maklumat salah, spekulasi, khabar angin, kecaman serta tuduhan tidak berasas pihak yang sengaja ingin mengeruhkan keadaan. "Hal ini bukan sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap keluarga penumpang dan anak kapal MH370 malah menjejaskan nama baik Malaysia dan para pemimpin yang terus komited dalam misi SAR," katanya. Ibrahim berkata walaupun pusat media bakal menamatkan operasinya pada 8 April, namun pihaknya akan tetap meneruskan peranannya menyalurkan maklumat kepada media menerusi e-mel dan kenyataan media. "Kami juga akan menghantar notis kepada media sekiranya sesuatu sidang media perlu diadakan. "Sepanjang pusat media beroperasi selama 24 jam, sebanyak 19 sidang media telah diadakan setakat ini dengan lokasi pertama di Hotel Sama-Sama bermula 8 Mac hingga 22 Mac, serta PWTC pada 23 Mac hingga 5 April," katanya. Sejumlah 50 pegawai penerangan ditugaskan setiap hari melalui pembahagian tiga syif bagi menguruskan pusat media itu. "Sejumlah 281 agensi berita serta 620 petugas media dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan pusat media yang disediakan oleh Jabatan Penerangan, dengan 76 agensi berita tempatan melibatkan 203 petugas media dari arus perdana dan portal serta 205 agensi berita asing melibatkan 417 petugas media dari 33 negara," katanya. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari yang sama. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 24 Mac lepas, mengumumkan bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi", pada hari ke-17 pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang. - Bernama | ||
Jika Johor ubah, seluruh Malaysia berubah - Kit Siang Posted: 05 Apr 2014 10:35 PM PDT NAZRI ABDULLAH MUAR: Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) berkata, beberapa tahun dahulu adalah sesuatu yang mustahil jika parti selain BN berharap untuk menang kerusi pilihan raya di Johor. Katanya, ini kerana ketika itu Johor dianggap sebagai penyumbang kerusi 'fix deposit' kepada BN. "Kalau enam tahun dahulu 'unthinkable' (tidak terfikir), 'impossible' (mustahil). Sekarang kalau ditanya kita boleh menangkah tidak, tentu boleh. "Sekarang rakyat Johor sudah ubah. Kita bukan mahu ubah Putrajaya sahaja, tetapi Nusajaya juga," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. Beliau berkata demikian di hadapan lebih 2,000 hadirin sempena ceramah Karnival 60 tahun PAS Johor di Parit Tarom di sini, malam tadi. Turut berucap malam tadi ialah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution serta Pesuruhjaya PAS Johor Aminul Huda Hassan. Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Johor sekarang menjadi 'front line state' di Malaysia di mana semua mata tertumpu di sini. "Semua orang tunggu apa berlaku di sini. Jika berlaku perubahan di Johor bermakna perubahan juga akan berlaku di Malaysia," katanya. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai 18 dari 56 kerusi DUN dengan masing-masing 13 DAP, 4 PAS dan 1 PKR. Untuk mendapat majoriti mudah, Pakatan Rakyat perlu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi. | ||
“BN mahu nyahkan Anwar,” kata Saifuddin Posted: 05 Apr 2014 10:32 PM PDT MUAR: Selagi batang tubuh Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas di pentas politik negara, selagi itu BN tidak akan senang duduk, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Beliau menjelaskan, Anwar bagi BN adalah ancaman paling besar, yang boleh menamatkan kekuasaan parti itu jika karier politik Ketua Pembangkang itu tidak dimatikan. Sebab itu katanya, pelbagai fitnah cuba dibuat ke atas Anwar, hanya semata-mata mahu Anwar nyah dari politik negara ini. "Sudah 16 tahun, tajuk liwat itu masih berjalan lagi. "Ini bukan soal fitnah itu, tapi dia nak Anwar nyah dari dunia ini," katanya sambil menambah ketakutan sebenar BN kepada Anwar adalah kerana beliau sudah 'mengubah' jutaan rakyat pada PRU13 lalu. Saifuddin berkata demikian pada ceramah Karnival 60 tahun PAS Johor di Parit Tarom di sini, malam tadi. Turut berucap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub, serta Penasihat DAP Lim Kit Siang. Menurut Saifuddin lagi, BN semakin lemas dengan sokongan rakyat terhadap PAS, PKR dan DAP. Bukan sahaja menang undi popular pada PRU13 tetapi sokongan Melayu yang meningkat pada PRK Kajang lalu turut membuatkan BN hilang punca untuk berdepan PRU14 nanti. "Kalau Anwar tak ada, barangkali tak ada lagi barang naik, tak ada lagi subsidi dipotong, tak ada lagi kapal terbang hilang sebab tak ada lagi kapten yang kenal Anwar. "Mereka ni nak kita faham begitu," kata Saifuddin sinis. | ||
Langkah Johor biar sentimental, tapi menusuk kalbu - Salahudin Posted: 05 Apr 2014 10:30 PM PDT MUAR: Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata, beliau yakin Pakatan Rakyat Johor akan mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Bercakap di hadapan lebih 2,000 hadirin sempena ceramah Karnival 60 tahun PAS Johor di sini malam tadi, beliau menegaskan derap langkah sedang diatur untuk mencapai matlamat itu. "Dahulu dengan angkuh dan sombong ada pemimpin Umno kata, bumi bertangkup dengan langit pun PAS takkan menang di Johor. "Sekarang kita sudah hantar empat orang wakil PAS dalam Dun Johor," kata beliau. Menyedari perubahan di Johor sedikit lambat berbanding negeri lain kerana ianya kubu kuat Umno pada satu masa dahulu, namun katanya rakyat Johor kini sudah mahu berubah. "PAS Johor lambat sedikit ibarat lagu sentimental, tapi menusuk kalbu," katanya lagi. Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada DAP dan PKR yang telah bersama PAS menguatkan lagi Pakatan Rakyat di negeri ini. Dengan kerja kuat ketiga-tiga parti ini, beliau yakin perubahan besar akan berlaku pada PRU14 nanti. | ||
Pemilihan PKR: JPP tolak satu pencalonan peringkat pusat ekoran isu displin Posted: 05 Apr 2014 10:14 PM PDT Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM: Selepas tempoh bantahan pencalonan bagi jawatan peringkat pusat ditutup semalam, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya menerima satu bantahan terhadap calon yang bertanding. Pengerusinya, Datuk Johari Abdul, berkata bantahan itu dibuat ke atas seorang calon yang bertanding bagi merebut salah satu kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu. "Bantahan itu menyatakan orang yang bertanding itu tidak layak kerana dia dikatakan mempunyai masalah disiplin dengan parti. Jawatan yang ditandingi adalah MPP dan tindakan sudah diambil parti dan tidak layak kerana ada isu penggantungan," katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu terbabit sehingga perkara berkenaan diumumkan secara rasmi nanti. Sementara itu, ketika menyentuh proses pencalonan bagi peringkat negeri, Johari memberitahu dua buah negeri, Kelantan dan Terengganu sudah selesai proses penamaan calon, manakala negeri lain iaitu Johor, Melaka dan Pahang akan mengadakan proses sama, hari ini. Katanya, Sabah yang dijadualkan berlangsung esok diadakan selama dua hari iaitu hari ini dan esok bagi memberi peluang kepada calon yang berada jauh dari pusat penamaan calon. "Pencalonan setakat ini berjalan lancar, tiada pihak yang bersikap negatif atau membuat kacau-bilau. Saya harap pemilihan nanti juga berjalan lancar yang akan bermula, pada 26 April ini. "Pihak JPP juga cukup bersedia dengan menyediakan peralatan yang secukupnya dan Prosedur Arahan Tetap (SOP) yang jelas dalam pemilihan kali ini," katanya.-NFN | ||
Keluarga Allahyarham Penolong Pengarah Kastam Selangor saman kerajaan, SPRM RM8 juta Posted: 05 Apr 2014 10:12 PM PDT Oleh: AFIX REDZUAN KUALA LUMPUR: Keluarga Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mengemukakan tuntutan saman ganti kepada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM8 juta. Jumlah ganti rugi berkenaan termasuk berkenaan kecuaian dan pembunuhan menyalahi undang-undang. Mereka memfailkan saman itu melalui peguam N Surendran di pejabat pendaftar awam Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM di Jalan Cochrane, di sini, pada 6 April 2011. Beliau dilaporkan pergi ke pejabat suruhanjaya itu untuk menemui pegawai penyiasat bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 orang pegawai. Mahkamah Koroner, pada September 26 2011 menyampaikan keputusan nasib malang atas kematian beliau yang tidak ada unsur bunuh diri, homisid atau pembabitan pihak ketiga. -NFN- | ||
Posted: 05 Apr 2014 10:04 PM PDT *ADA yang sengaja berniat jahat terhadap Sinar Harian. Mereka menggunakan logo akhbar berkenaan untuk menyebarkan fitnah di alam siber. Tujuannya hanyalah untuk memburukkan imej kami. Beberapa kali logo portal berita 'Sinar Harian Online' telah diciplak pihak tidak bertanggungjawab. Menggunakan logo Sinar warna merah dengan moto 'Telus & Tulus', mereka memuatkan bahan-bahan berunsur fitnah. Mereka memaparkan berita dan gambar untuk menunjukkan seolah-olah akhbar ini memihak, tidak beretika dan melaporkan berita secara semberono. Beberapa kali kami membuat penjelasan, tetapi masih ada pihak yang dengki. Terkini, dua tiga hari lalu, tersebar di laman sosial Facebook, kononnya muka depan akhbar ini dengan tajuk 'Apa Lagi Khadir Jasin Mahu?', dengan gambar besar bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, yang juga Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin. Turut disiarkan di muka depan itu ialah tajuk 'Rahsia Kekayaan Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin' berserta gambar. Setelah tujuh tahun dalam pasaran, kami masih mengekalkan prinsip awal penerbitan iaitu melaporkan yang benar dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sebahagian besar pembaca faham pendirian kami. Hanya ada seorang dua yang dengki dan menyebarkan Sinar Harian palsu di alam maya. Kami sedang menyiasat. *SUDAH terdengar cakap-cakap mengenai kemungkinan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan ditandingi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan tiga nama telah dicalonkan untuk jawatan berkenaan, oleh 20 badan gabungan bagi kongres kali ke-50 yang akan diadakan pada 25 Mei depan. Sebelum ini ada spekulasi bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim merupakan antara yang akan bertanding jawatan No.1 badan induk bola sepak negara itu. Jawatan penting lagi berprestij itu kini disandang oleh Sultan Ahmad Shah, dengan anakanda baginda iaitu Tengku Abdullah yang kini Timbalan Presiden. Kalau benar ada pertandingan bagi jawatan No.1 itu tentulah ini satu sejarah buat FAM khasnya dan bola sepak negara amnya. Selama tiga dekad tidak ada pertandingan, maka pertandingan kali ini membuka lembaran baharu dalam arena bola sepak kita. *AKHIR kalam, hujan sudah turun, empangan pun mula berisi, tetapi kerajaan PR Selangor masih meneruskan catuan air sehingga akhir April. Ertinya walaupun rata-rata sudah basah, banyak lagi kawasan di negeri termaju itu masih kering paip. Di satu lagi negeri PR, iaitu Pulau Pinang, tidak ada catuan air tetapi kerajaan negeri telah mengumumkan akan menaikkan tarif air tidak lama lagi. Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng langkah ini adalah untuk mengelakkan krisis air pada masa depan. Kata Guan Eng: "Ini bukan soal politik, tetapi untuk mengelak krisis air yang lebih buruk." Politik atau bukan politik, apabila tarif air naik rakyat juga yang susah. Apa boleh buat... | ||
Kelantan sedia beri penerangan isu hudud Posted: 05 Apr 2014 10:03 PM PDT KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia memberi penerangan kepada semua pihak berhubung pelaksanaan hudud di negeri ini. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sudah tiba masanya hukuman hudud yang bakal dilaksanakan di negeri ini diperjelaskan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan menimbulkan polemik sehingga menakutkan pelbagai pihak. "Dalam masa enam bulan ini, kita sudah bersedia menjelaskan isu ini, tidak kira kepada sesiapa pun sama ada umat Islam atau bukan Islam. "Dengan penerangan itu nanti, diharap dapat memberi pendedahan sebenar mengenai hukuman ini yang merupakan undang-undang Islam dan diperintahkan ALLAH SWT untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama," katanya pada sidang media di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini. Terdahulu, Ahmad menziarahi mangsa kebakaran dalam insiden di Dataran Shell, Gua Musang, Rabu lalu yang dirawat di hospital berkenaan. Beliau turut bertemu dengan keluarga mangsa terbabit dan menyampaikan sumbangan. Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan pimpinan DAP bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu, Ahmad berkata, setakat ini belum menerima sebarang permohonan. "Kita sudah sedia sepenuhnya dan dalam sedikit masa lagi, insya-ALLAH dengan keyakinan bersama, kita dapat laksanakan undang-undang jenayah syariah ini di Kelantan. "Kita juga akan usulkan perkara ini ke Parlimen dan marilah kita sama-sama berdoa kepada ALLAH SWT. Diharap perbincangan ini dipermudahkan," katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana golongan bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan tersebut. Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dari segi pelaksanaan, Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar dan akan melaksanakan undang-undang itu berlandaskan lunas Islam sebenar. | ||
MH370: Carian dipertingkat jejaki isyarat Posted: 05 Apr 2014 09:58 PM PDT PERTH - Usaha mencari pesawat MH370 yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi dipertingkat pada Ahad, hari ke-30 operasi, bagi menjejaki isyarat yang dikesan oleh sebuah kapal China semalam. Menurut kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), sebanyak 10 pesawat tentera, dua pesawat awam dan 13 kapal dikerah dalam misi pencarian MH370 hari ini. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) membahagikan pencarian kepada tiga kawasan dengan keluasan keseluruhan 216,000 kilometer persegi, di kedudukan 2,000 km barat laut Perth. "Cuaca dijangka baik dengan ketinggian awan pada 2,500 kaki manakala jarak penglihatan melebihi 10 km," kata kenyataan itu. Semalam, kapal Haixun 01 mengesan isyarat dengan frekuensi 37.5 kHz yang mungkin datang daripada kotak hitam pesawat tersebut. Dalam pada itu, JACC mengulangi bahawa isyarat yang dikesan oleh kapal China tersebut masih belum dapat disahkan. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memperhalusi analisis data, kata JACC dalam kenyataan berkenaan. Sementara itu media Australia, ABC24 memetik Menteri Pertahanan David Johnston sebagai menggesa pihak yang terbabit dalam pencarian agar lebih berhati-hati susulan timbul banyak petunjuk palsu. Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal. Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan