Khamis, 3 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Saya akan saman Papagomo – Rafizi

Posted: 03 Apr 2014 05:33 AM PDT

Oleh: Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR : Selepas kalah dalam dua tuntutan saman akibat fitnah, blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris bakal berdepan tindakan sama sekali lagi.

Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media di parlimen hari ini berkata, beliau akan memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri atas fitnah yang dibuatnya pada tahun 2012.

Ini berikutan pendedahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan lisannya bahawa Wan Muhammad Azri adalah Papagomo yang menaiki kapal selam Scorpene pada 2011.

"Dengan pendedahan terbaru identiti papagomo ini saya akan membuat satu laporan polis dan memfailkan fitnah saman terhadapnya.

"Saya telah difitnah kononnya dipecat dari Petronas kerana melakukan pecah amanah. Pada hujung 2012 saya telah tampil menafikan tuduhan tersebut secara terbuka," jelas Rafizi sambil menjelaskan proses tersebut akan dilakukannya dalam masa terdekat.

Wan Muhammad Azri sebelum ini diarahkan oleh mahkamah untuk membayar gantirugi kerana mmfitnah seorang ahli perniagaan.

Mahkamah juga baru-baru ini mengarahkan blogger Umno itu membayar ganti rugi kerana melakukan fitnah bagi mencemarkan nama baik Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat semula tragedi Memali

Posted: 03 Apr 2014 05:19 AM PDT


Oleh Lim Kiat Siang

Berikutan pendedahan minggu lalu oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam yang mengatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada dalam negara ketika kejadian dan bukannya di China seperti yang dipercayai sejak tiga dekad lalu, saya telah meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memastikan perkara sebenar memandangkan Mahathir telah mengelak dari memikul tanggungjawab atas kematian 18 nyawa, termasuk 4 pegawai polis. 

Sebab lain sebuah RCI perlu dibentuk untuk menyiasat semula Tragedi Memali adalah mereka yang terbabit masih hidup dan boleh memberi keterangan ke atas kejadian yang seharusnya boleh dielakkan.

Antaranya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir; bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam; bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar; bekas pemangku Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Mohd Amin Osman; Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Rais Yatim; Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad; Ketua Setiausaha Umno ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid; OCPD Baling ketika Tragedi Memali, Tunku Muszaffar Shah; dan seorang pengikut Ibrahim Libya yang sekarang adalah senator, Muhamad Yusof Husin, dari Baling, Kedah.

Testimoni OCPD Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah, adalah satu sebab tambahan yang kuat untuk membentuk sebuah RCI bagi menyiasat semula tragedi 1985 supaya kejadian sebenar boleh dirungkai untuk negara dan rakyat.

Dua tahun lalu, Tunku Muszaffar menulis sebuah buku yang menjelaskan bahawa peristiwa berdarah pada 19 November 1985 di Memali yang mengakibatkan kematian Ibrahim Libya, 13 pengikutnya, dan empat anggota polis, adalah hasil campur tangan politik dalam operasi polis, menyebabkan ibu pejabat polis Bukit Aman gagal membuat keputusan yang tepat dalam usaha menangkap Ibrahim Libya selepas cubaan kedua untuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 gagal.

Dalam buku beliau yang bertajuk 'Memali: Policeman Remembers', Tunku Muszaffar mengatakan bahawa kegagalan untuk buat keputusan yang tepat adalah disebabkan campur tangan politik dan kerana mengambil remeh keupayaan pengikut Ibrahim Libya.

Tunku Muszaffar menulis bahawa pegawai atasan di Bukit Aman tidak sepatutnya menerima arahan daripada "tuan politik" mereka dan menolak permintaan yang tidak sejajar dengan etika tugas polis atau prosedur kerja mereka.

"Budi bicara dan tindakan polis mengenai bagaimana mereka akan menjalankan sesuatu tugas sepatutnya mengikut situasi yang sedang terjadi," tulis beliau.

Menurut Kertas Putih kejadian Memali yang dibentangkan di Parlimen pada Februari 1986, percubaan kerajaan menangkap Ibrahim di bawah ISA adalah atas tuduhan menubuhkan Gerakan Revolusi Islam yang mensasarkan untuk menjatuhkan kerajaan pusat dengan kekerasan.

Walaupun Tunku Muszaffar tidak mendokumenkan sebarang contoh campur tangan politik, beliau mencatat bahawa Musa mengeluarkan arahan khas semasa percubaan penangkapan pertama pada 2 September, 1984. Dalam buku itu, beliau mencatat bahawa Musa telah mengarahkan Bukit Aman untuk memastikan bahawa tiada kekerasan digunakan dalam penahanan Ibrahim dan berundur jika menghadapi tentangan.

Diketuai oleh Ketua Cawangan Khas Daerah, pihak polis pergi ke rumah Ibrahim di Kampung Charok Puteh pada 2.45 pada hari itu, tetapi berundur selepas mereka bertembung dengan kira-kira satu dozen orang bersenjata buluh runcing dan senjata lain.



Menurut pengikut Ibrahim ketika itu, Muhamad Yusof Husin, yang menceritakan Tragedi Memali, yang dijadikan sebagai satu bab dalam buku itu, percubaan tangkapan pertama yang gagal menyebabkan pengikut-pengikut Ibrahim membuat keputusan untuk mengawal pemimpin mereka agar tidak ditangkap. Muhamad Yusof sekarang adalah Senator PAS mewakili Kedah sehingga 20 Mei.

Dalam buku itu, Tunku Muszaffar mengkritik pegawai atasan di Bukit Aman, termasuk Pemangku Ketua Polis (IGP), kerana memandang rendah pengikut Ibrahim. Cubaan menangkap Ibrahim dengan menghantar jumlah anggota polis yang ramai di rumah Ibrahim pada November 1985 menyaksikan pengikut Ibrahim bertindak-balas menyerang polis dengan senjata api dan senjata tajam, sehingga akhirnya pendakwah berkarisma itu terkorban.

Dalam buku itu, beliau menggambarkan orang-orang atasan itu sebagai "armchair jeneral" yang melihat bahawa tindakan yang tepat adalah menangkap Ibrahim di rumahnya, walaupun mengetahui bahawa penyokong-penyokong Ibrahim telah menunggu dan ada antara mereka mempunyai lesen senjata api.

Sebenarnya ada satu lagi sebab kuat untuk RCI ditubuhkan bagi menyiasat semula Tragedi Memali, iaitu untuk menentukan sama ada ia adalah campur tangan politik yang pertama dalam profesionalisme, kebebasan, dan integriti institusi negara dalam tempoh 22 tahun pemerintahan Mahathir, campurtangan yang bukan saja dilakukan ke atas polis tetapi juga telah merebak ke institusi lain, termasuk perkhidmatan awam, Jabatan Peguam Negara, Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dan yang paling utama sekali, adalah keperluan untuk mencari rumus dalam usaha menamatkan campur tangan politik di institusi negara ini sekaligus memulihkan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus yang baik di Malaysia

Pusat media MH370 di PWTC ditutup mulai 8 April

Posted: 03 Apr 2014 04:28 AM PDT

KUALA LUMPUR - Operasi pusat media mengenai kehilangan MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini akan dihentikan mulai 8 April.
  
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan hari ini, hari terakhir pusat itu beroperasi 7 April.
  
Kenyataan itu berkata keputusan menghentikan operasi pusat media berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Teknikal hari ini.
  
"Semua kenyataan akhbar (jika ada) mulai 8 April, akan dihantar melalui e-mel secara terus kepada media melalui alamat e-mel yang diberi kepada pusat media itu.
  
"Sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sidang akhbar, jemputan akan dihantar kepada media melalui notis sewajarnya," kata kenyataan itu.
  
Sidang media harian diadakan di PWTC sejak 23 Mac, selepas pusat media di Hotel Sama-Sama berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, ditutup berikutan komitmen hotel itu terhadap tetamunya yang mempunyai kaitan dengan Grand Prix Formula One Malaysia, minggu lepas.

Pusat media itu dibuka Kementerian Pengangkutan sejak hari pertama pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.
  
Wakil 48 media tempatan dan lebih 100 media asing membuat liputan mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat itu. - Bernama

MH370: Kenyataan Perdana Menteri di Perth

Posted: 03 Apr 2014 04:25 AM PDT

Najib Tun Razak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya, Tony Abbott ketika mengadakan kunjungan hormat di Pusat Komanwel, Pejabat Perdana Menteri Australia di Perth, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Berikut teks penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media di Perth, Australia, berhubung misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang:
    
"Saya ingin memulakan bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus berusaha mencari MH370.
      
"Sepanjang tiga minggu lepas, beratus-ratus orang telah mengharungi perjalanan beribu-ribu kilometer untuk membantu. Mereka telah melakukan pencarian dalam keadaan laut bergelora, berkabus dan suhu amat sejuk.
      
"Mereka belayar dalam keadaan ribut petir untuk mencari pesawat. Kita terhutang budi kepada setiap seorang daripada mereka.
      
"Ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan, telah menyatukan negara-negara dari seluruh dunia. Semasa MH370 didapati hilang, berpuluh-puluh negara menjawab seruan bagi bantuan. Komitmen mereka tidak akan dilupakan.
      
"Tatkala berdepan tragedi ini – bagi negara-negara yang warganegara mereka berada dalam pesawat ini, dan keluarga yang anggota keluarga tersayang mereka hilang -- kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita.
  
"Perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat.
  
Kehilangan MH370 merupakan insiden yang tidak pernah dialami sebelum ini; begitu juga dengan misi pencarian ini.
      
"Pagi ini saya berjumpa dengan anggota tentera laut dan tentera udara di Pangkalan Udara Pearce. Saya juga berbual dengan komander dari tujuh negara yang berada di sini untuk misi mencari MH370.
      
"Mereka memberitahu saya tentang kesukaran misi pencarian seperti ini; dari segi jarak, dan cuaca, dan untuk mengekalkan semangat jitu untuk tempoh yang lama.
      
"Ketika ini, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi mengesan sebarang petanda berhubung pesawat yang hilang. Kawasan pencarian amat luas, dan keadaannya bukan mudah.
      
"Tetapi kawasan pencarian baharu yang telah dikecilkan memberikan kita harapan baharu. Dan saya percaya semangat dan keberanian adalah setara dengan tugas itu.
  
Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka sedang lakukan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Tony) Abbott kerana menjadi hos kepada kami di sini di Perth; atas persetujuan untuk mengetuai operasi mencari di selatan Lautan Hindi; dan sudi menerima undangan kami untuk Australia turut serta sebagai Wakil Bertauliah dalam penyiasatan ini.
  
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Australia untuk mengggariskan persetujuan komprehensif berhubung pencarian ini.
  
"Pada waktu sukar ini, Australia terbukti sahabat yang amat bernilai. Pihak berkuasa Australia, seperti banyak negara lain, telah menawarkan bantuan mereka tanpa teragak-agak atau lewat. Saya dengan penuh ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Australia bagi semua yang mereka telah lakukan, dan sedang lakukan, untuk mencari pesawat.
  
"Kami juga amat berterima kasih kepada mereka yang telah membawa bersama-sama pakar mereka untuk merungkai apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri  Abbott sebagai 'satu daripada misteri paling luar biasa pada masa kini".
  
"Kehilangan MH370 telah menguji azam kolektif kita untuk menyelesaikannya. Berdepan dengan begitu sedikit bukti, menjadikan tugas amat sukar, para penyiasat dari Malaysia, AS, UK, China, Australia dan Perancis telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk mendedahkan pergerakan pesawat. Usaha kolektif mereka telah membawa kita ke sini.

"Kami berada di sini hari ini, tetapi ingatan kami berada beribu-ribu kilometer jauhnya. Di bandar raya-bandar raya dan negara-negara di seluruh dunia, tatkala anggota keluarga kepada mereka yang berada dalam pesawat sedang resah menunggu berita. Dan tentang betapa luasnya Lautan Hindi, tempat MH370 sedang menunggu.
  
"Saya tahu selagi pesawat itu tidak ditemui, banyak keluarga tidak boleh mula berkabung. Saya tidak dapat bayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui. Tetapi saya boleh berjanji kepada mereka yang kami tidak akan berputus asa dan mengalah.
  
"Terima kasih."- Bernama

Palsu keterangan: Lagi saman untuk Papagomo

Posted: 03 Apr 2014 04:23 AM PDT


Papa Gomo


KUALA LUMPUR - Blogger kontroversi, Papagomo bakal berdepan dengan tindakan mahkamah atas penafian bahawa dirinya sebelum ini pernah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini menafikan bahawa beliau telah menaiki kapal selam Scorpene tersebut dan dia boleh disaman kerana memberi keterangan palsu.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya di Parlimen semalam telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Wan Deris berada di atas kapal selam Scorpone pada 9 Disember lalu.

"Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Wan Deris.

"Semasa memberi keterangan di dalam kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

"Namun jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah.

"Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

"Oleh itu, saya dan Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan pada hari Selasa 8 April ini.

"Saya juga akan menfailkan saman terhadapnya atas fitnah di blognya yang mendakwa saya dipecat daripada Petronas kerana pecah amanah," katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini berkali-kali telah menafikan bahawa dirinya adalah Papagomo.

Guna semua sumber selesai kes culik di Semporna

Posted: 03 Apr 2014 04:19 AM PDT

Musa Aman Musa Aman


KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mahu segala sumber digembleng bagi menyelesaikan kes penculikan dua orang di Semporna.
  
Beliau berkata, pihak polis dan Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek telah memberi penerangan kepadanya berhubung kes itu.

"Saya telah mengarahkan pihak berkaitan untuk menggembleng segala usaha ke arah menyelesaikan kes ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lewat malam tadi, seorang pelancong China dan seorang warga Filipina hilang dari sebuah resot di Semporna yang dipercayai diculik kumpulan bersenjata.
  
Musa berkata keselamatan perlu diperketatkan lagi terutama menerusi Esscom.
  
"Kita mesti berwaspada setiap masa bagi memastikan keselamatan kita tidak dikompromi," katanya. - Bernama

Minum cuka getah: Anggota polis kritikal

Posted: 03 Apr 2014 04:17 AM PDT

GEORGETOWN - Seorang anggota polis dimasukkan ke hospital di sini selepas dipercayai meminum cuka getah di rumah sewanya di Balik Pulau awal hari ini.
  
Anggota polis lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan kritikal oleh rakan serumahnya pada kira-kira 1 pagi.
  
Jurucakap polis berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau sebelum dipindah ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
  
"Dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita hari ini.
  
Beliau berkata difahamkan anggota polis itu bertindak demikian berikutan masalah keluarga.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah, ketika ditanya berkaitan perkara itu, mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut. - Bernama

Mangsa terbakar seluruh badan berlari minta tolong

Posted: 03 Apr 2014 04:12 AM PDT

Keadaan kedai makan yang musnah dijilat api dalam kejadian malam semalam yang turut memusnahkan empat kereta dan tiga motorsikal.

ASLANI M 


GUA MUSANG: Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain turut bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa kebakaran di Dataran Kesedar di sini malam tadi.

"Seorang mangsa yang panik akibat terbakar di seluruh tubuh berlari bagi mendapat pertolongan sehingga ke belakang bangunan kedai.

"Kebetulan ketika itu saya berada tidak jauh dari situ dan terus turun dari kereta membantu mangsa dan menghantar mereka ke Hospital Gua Musang.

"Orang ramai juga menghantar mangsa-mangsa lain ke hospital. Dan seorang daripada mereka yang kritikal kemudiannya dihantar ke hospital di Kota Bharu," katanya di sini.

Pada kejadian tersebut 11 pelanggan yang sedang makan di sebuah kedai tidak jauh dari stesen minyak Shell disambar api selepas dipercayai minyak tumpah dari arah stesen minyak.

Tiga daripada mangsa kritikal. Kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu turut memusnahkan empat kenderaan termasuk milik pekedai dan pelanggan serta tiga motosikal.

Abdullah berkata, beliau difahamkan kejadian itu berlaku ekoran berlaku limpahan minyak dari tangki stesen minyak ketika sebuah lori sedang mengisi minyak.

Katanya, disebabkan kedudukan stesen minyak terbabit di kawasan agak tinggi menyebabkan minyak yang tumpah mengalir ke arah Dataran Kesedar.

"Minyak tersebut tiba-tiba menyambar sebuah gerai burger kemudian berjangkit kepada kenderaan dan motosikal yang terletak berdekatan.

"Keadaan itu menyebabkan api marak sehingga menjulang tinggi yang boleh dilihat dari jauh. Kejadian berlaku hanya dalam beberapa minit sebelum dapat dikawal sepenuhnya pasukan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Menurutnya juga beliau berada di Hospital Gua Musang sehingga jam 1 pagi bagi membantu mangsa dan keluarga mereka.

Sementara di Kota Bharu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Saya berkongsi rasa sedih di atas insiden tersebut dan Insya-Allah saya akan usahakan untuk melawat mereka terlibat dan menghulurkan bantuan.

"Buat masa sekarang saya dalam perjalanan ke Johor bagi mengikuti satu program di sana," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga berharap kejadian seperti itu tidak berulang dan semua pihak berhati-hati menguruskan bahan-bahan yang mudah terbakar.

Katanya, sebarang kecuaian akan mendatangkan akibat yang tidak diduga.


Kedai makan di Dataran Kesedar yang marak dijilat api akibat tumpahan minyak dari stesyen minyak berhampiran.

Tumpahan bahan kimia bukti Lynas gagal patuhi peraturan

Posted: 03 Apr 2014 04:07 AM PDT



Dari kiri Syed Rahman, Andansura, Lee, Fauzi dan Ali dalam sidang media di Semambu.

HELMI IBRAHIM 


KUANTAN: Kejadian tumpahan bahan kimia milik Lynas di Km 149 dekat Sungai Kepong, Lanchang 28 Mac lalu menimbulkan pelbagai persoalan baru tentang operasi kilang memproses nadir bumi Lynas dan sejauh mana kilang tersebut mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Kerisauan ini dibangkitkan wakil rakyat, parti politik  dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu sidang media di Pejabat PKR Semambu, baru-baru ini.

Dua aspek penting yang gagal dipatuhi Lynas ekoran insiden tersebut adalah penyampaian maklumat dan keselamatan pengangkutan.

Insiden ini juga menyerlahkan kegagalan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau perjalanan operasi syarikat tersebut.

Antara yang hadir pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato' Fauzi Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu, Adun Semambu, Lee Chean Chun, wakil PAS Pahang, Syed Abdul Rahman Syed Hussin, Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC), Ali Akbar dan  Pengarah Pusat Khidmat Dun Beserah, Mahmud Yaakub.

Menurut Andansura, ketika kejadian berlaku, Lynas tidak membuat sebarang pengumuman dan berita berhubung kejadian itu hanya memetik kenyataan Ketua Polis Temerloh dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Polis dan menteri terbabit hanya memaklumkan bahawa bahan kimia yang tumpah tidak merbahaya tetapi boleh mengakibatkan kegatalan jika terkena kulit.

Apa yang dikesalkan, ujar Andansura tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Lynas dan agensi terbabit bagi meredakan kerisauan penduduk setempat yang tinggal berhampiran kilang tersebut.

"Sepatutnya sebaik sahaja insiden tersebut berlaku, Lynas dan agensi terlibat mestilah membuat sidang media serta-merta untuk memaklumkan insiden yang berlaku dan apa yang perlu di buat oleh penduduk di sekitar tempat kejadian," tambahnya.

Tindakan menutup jalan utama ke Lanchang sejauh 1 kilometer dari jam 9 pagi hingga 2 petang turut menimbulkan kekecohan dan kerumitan kepada orang awam bukan sahaja di sekitar kilang Lynas bahkan kepada pengguna jalan raya.

"Tinjauan sehingga jam 1.00 tengahari, 30 Mac pada laman-laman web rasmi Lynas dan agensi terbabit juga gagal menemukan sebarang makluman dan penjelasan berhubung insiden itu," kata Andansura.

Beliau mengingatkan Lynas dan agensi terbabit berhubung Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) iaitu pada Section E (muka surat 58) No. 18. 4 (c & d), berhubung tanggungjawab sebenar Lynas iaitu:

# Menyediakan secara rutin semua maklumat yang berkaitan dengan     keselamatan LAMP dan memastikan bahawa orang awam tahu bagaimana untuk mendapat akses kepada maklumat ini; dan

# Lynas sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan LAMP     perlu digesa untuk meningkatkan komunikasi dengan pihak-pihak  berkepentingan untuk menunjukkan bagaimana syarikat memastikan keselamatan radiologi dan alam sekitar.

"Jelas Lynas dan agensi yang terlibat gagal untuk mematuhi tuntutan yang di kemukakan oleh pihak kerajaan sendiri apatah lagi jauh untuk menepati kehendak sebenar penduduk sekitar kilang tersebut," tegas beliau.

Dalam aspek keselamatan pengangkutan, Andansura mempersoalkan kewajaran treler tersebut menggunakan jalan lama berbanding Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

"Pertimbangan apakah yang di buat pengurusan Lynas dalam menentukan perkara ini? Adakah keuntungan sedikit di sebabkan Lynas sedang di himpit kerugian melampau maka keselamatan pengguna jalanraya serta penduduk sepanjang jalan kampung tersebut menjadi taruhan?" soal beliau.

Beliau mengingatkan Lynas supaya tidak berlepas tangan dalam isu ini dan hanya menyalahkan pemandu yang dituduh cuai.

"Sekiranya Lynas bertanggungjawab sudah tentulah semua kenderaan yang mengangkut bahan kimia mereka di mestikan melalui LPT yang jauh lebih selamat dan mempunyai pasukan yang mampu bertindak pantas sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.

"Alasan mungkin pemandu menipu laluan ataupun barangan mereka bukan bahan merbahaya tidak layak dan tidak terpakai untuk Lynas dengan kontroversi yang melingkari mereka," ujarnya.

Andansura menasihati Lynas supaya mempelajari prosedur operasi standard (SOP) sebuah kilang barangan tekstil di Gebeng yang mewajibkan semua lori yang membawa bahan siap mereka melalui LPT dan menyediakan pasukan khas yang mengawasi dan mengaudit perjalanan lori-lori tersebut.

"Di manakah standard dunia yang di canangkan oleh Lynas dan kerajaan selama ini?" katanya.

Pemandu treler juga, tambah Andansura tidak di bekali dengan maklumat yang cukup berhubung keterangan barangan yang di bawa dan tindakan yang perlu di lakukan sekiranya berlaku kemalangan.

Kegagalan ini, katanya mengakibatkan pihak berkuasa terpaksa menunggu sehingga 5 jam untuk memberikan bantuan yang sewajarnya dan keadaan pasti menjadi parah jika ia melibatkan kecederaan ataupun kematian orang awam.

"Jelaslah kini bahawa segala kebimbangan kita selama ini sememangnya semakin nyata dan mereka yang bertanggungjawab tidak pernah belajar dari kesilapan lalu. Mereka hanya menyalahkan orang awam yang berjuang untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya kesal.

Sehubungan itu, beliau menuntut satu siasatan terbuka dan telus terhadap insiden ini dibuat dan Lynas harus menghentikan operasinya serta-merta sehingga peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi.


Dr Mahathir sanggup bunuh hayat Umno - sarjana

Posted: 03 Apr 2014 04:05 AM PDT

ASLANI M 


KOTA BHARU: Seorang sarjana Sains Politik menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh "political animal" yang menepati banyak ciri pemerintah seperti disarankan Machiavelli.

Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, berdasar penelitian kerjaya bekas Perdana Menteri itu, ternyata beliau mampu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan segala matlamatnya tercapai.

Katanya, sebagai pengamal prinsip "matlamat menghalalkan cara", tiada perkara yang mustahil dalam kamus politik beliau.

"Contoh paling klasik kesanggupannya membunuh hayat Umno sebagai parti politik di mahkamah serta kesanggupannya mencipta pelbagai alasan untuk menamatkan kerjaya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas.

"Beliau mungkin merasakan matlamat untuk mengharamkan Umno boleh tergugat sekiranya Saleh Abas masih kekal sebagai Ketua Hakim Negara," katanya di sini.

Baru-baru ini pada program Diskusi anjuran kerajaan negeri di sebuah hotel di sini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendakwa beliau juga pernah cuba dipalitkan isu seks.

Menurutnya pihak yang lantang mengkritiknya ketika itu menuduh beliau melakukan seks dengan budak.

"Dakwaan Musa terlibat seks dengan budak. Itu gila... tidak betul. Kalau engkau tidak berhenti dikatakan ada orang mahu mengancam.

"Kalau saya lawan, maka saya akan dituduh seorang homoseksual malahan mengadakan hubungan jenis dengan binatang. Orang lain yang kata itu, bukan Dr Mahathir," kata Musa.

Dr Kamarul Zaman berkata, dakwaan sebagaimana disebut Musa tiada yang pelik kerana tragedy itu benar-benar berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi dalam kes ugutan menuduh rakan politik dengan tuduhan salah laku seks pada saya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

"Malah ia sesuatu yang normal untuk dilakukan seorang ahli politik yang tidak mempedulikan aspek moraliti dalam perjuangan," ujarnya.

Menurutnya juga Dr Mahathir diketahui umum menyimpan banyak rahsia musuh-musuh politiknya untuk digunakan sebagai senjata bagi memastikan mereka tidak menentangnya.

Dewan gamat, MP bertikam lidah bahas GST

Posted: 03 Apr 2014 04:03 AM PDT


 
SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 yang dibentang untuk bacaan kali kedua mengundang pertikaman lidah wakil rakyat sekaligus mengamatkan sidang Dewan Rakyat hari ini

Kedua-dua wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat dan BN masing-masing tetap mempertahankan hujah mereka.

Pakatan Rakyat dengan hujah dan penegasan mereka bahawa kerajaan BN akan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah jika terus berdegil untuk memperkenalkan GST.

Manakala BN pula dengan hujahnya mengatakan bahawa langkah kerajaan memperkenalkan GST untuk memberi kesenangan kepada rakyat sekali gus menambah kewangan negara.

Misalnya Ahli Parlimen Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah dalam perbahasannya menyalahkan Pakatan Rakyat yang memutarbelitkan fakta berhubung GST menyebabkan rakyat memandang serong kepada kerajaan.

Malah Ahmad turut mempertahankan beberapa barangan asas tidak akan dikenakan cukai seperti beras, minyak dan gula.

"Pakcik di kampung tidak akan terkena dengan cukai ini. Minyak, gula tidak ada GST. Saya tahu saya orang kampung," katanya.

Penghujahan wakil rakyat BN itu mengundang banyak celahan daripada wakil Pakatan Rakyat antaranya Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, dan  Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang masing-masing membantah apa yang dikatakan oleh wakil BN itu.

Suasana sesi perbahasan bertambah gamat apabila Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membidas kerajaan BN mengatakan GST tidak adil kepada rakyat terbanyak.

Rafizi berkata, alasan kerajaan memperkenalkan GST kerana kewangan negara berpanjangan mengalami defisit sejak tahun 1998 hinggalah 2014.

"Tidak ada satu tahun pun kerajaan BN  mampu ada lebihan wang, tiap-tiap tahun akan beri kesan kepada kedudukan kewangan.

"16 tahun kerajaan BN bergantung kepada beban hutang negara  dan tiap-tiap tahun kerajaan terbitkan bon untuk hutang baru,"tegas Rafizi ketika membahaskan rang undang-undang GST.

Hujahan Rafizi itu mengundang celahan tidak berpuas hati di kalangan wakil rakyat BN menyebabkan suasana terus gamat.

Rafizi juga memberi gambaran kerajaan BN akan tumbang selepas ini kerana memperkenalkan GST dengan memberi contoh kerajaan Australia di bawah pentadbiran John Harvard yang tumbang selepas perkenalkan GST.

Kenyataan Rafizi itu mengundang celahan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Raden yang mencabar Rafizi untuk melihat sama ada BN akan tumbang pada PRU-14 nanti.

"Kita lihat betul atau tidak kerajaan BN akan tumbang pada PRU-14 nanti selepas GST diperkenalkan tahun depan,"katanya.

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali yang mencelah turut membidas kerajaan BN yang mempunyai sindrom penafian walaupun hakikatnya GST tidak sesuai dilaksanakan kerana perkapita rakyat negara ini masih di tahap rendah.

Rafizi yang terus berhujah mengatakan kerajaan masih ada mekanisma lain untuk menambahkan pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan GST.

"Malaysia ada industri monopoli misalnya Astro. Semua tahu Astro mendapat untung berlipat ganda sepatutnya dikenakan cukai durian runtuh tetapi ia tidak berlaku di negara kita. Di luar negara cukai ini dikenakan kepada orang kaya,"katanya.

Justeru beliau mengajak Ahli Parlimen BN bersama-sama Pakatan Rakyat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik semula rang undang-undang ini demi keadilan rakyat.

"GST tidak adil untuk rakyat, selagi undang-undang ini tidak di tarik balik kita akan lawan di dalam dan luar dewan,"tegas Rafizi.

Akta Pencegahan Jenayah 2013 masih mundur - Suhakam

Posted: 02 Apr 2014 11:15 PM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merasa kesal dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang telah dirangka tanpa rundingan dengan Suhakam, telah bermula berkuatkuasa semalam (2 April) walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak berkepentingan terhadap ketidakpatuhan akta itu dengan prinsip hak asasi manusia.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, walaupun kerajaan telah mengulangi bahawa elemen hak asasi manusia telah diambilkira dalam menggubal pindaan berkenaan, Suhakam mengulangi kebimbangan ke atas peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penafian hak individu untuk perwakilan undang-undang dan kepada perbicaraan yang adil, serta hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dalam perbicaraan terbuka mengikut undang-undang.

Beliau dalam satu kenyataan semalam menambah, walaupun Suhakam menghargai hasrat murni kerajaan dalam memerangi jenayah yang serius dan terancang di negara ini, ia masih bimbang bahawa akta itu masih mundur dalam sifatnya dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Katanya, dalam mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa akta itu akan digunakan hanya sebagai pilihan terakhir dan mereka yang ditahan di bawah akta itu akan diberikan kaunseling, Suhakam berpendapat bahawa adalah penting bagi kerajaan untuk menterjemahkan jaminan itu ke dalam peruntukan undang-undang ke arah memastikan pelaksanaan akta yang efektif dan pemulihan bagi tahanan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Mari berhanana dan mari kita bersama berjuang!

Posted: 02 Apr 2014 11:13 PM PDT


DR AZMAN IBRAHIM


Semasa program bersama PAS Kawasan Sepang sabtu lepas, antara topik diskusi yang menarik untuk dikongsi bersama adalah fenomena 'Yaa Hanaanaa'…

Isunya, ada segelintir aktivis perjuangan Islam yang tak lagi menunjukkan komitmen dengan kerja-kerja dakwah, tarbiyah dan siasah kerana leka dan lebih berminat dengan 'Yaa Hanaanaa…'

Kononnya kata mereka, kami rasa lebih tenang, relaks, tak ada orang marah dan tak terkejar-kejar masa ke sana kemari.

Saya akui, ya! Tepat sekali! Bila kita sekadar 'Ya Hanaanaa' tak ada siapa pun yang akan marah dan bencikan kita. Kita pun boleh relaks. Duit pun tak habis, ada banyak masa lapang, tak perlu ke sana ke mari dan macam-macam lagi.

'Ya Hanaanaa' tak salah. Silakan saja siapa yang berminat. Cuma satu soalan mudah saya nak tanya, apakah Islam boleh tegak dengan hanya kita berhanaanaaa?

Sebab apa tak ada siapa yang marahkan kita? Sebabnya sekadar 'berhanaanaa', ia tak menggugat sesiapa. Tak ada kezaliman yang ditegur. Tak ada mungkar yang dicegah, amat malang sekali kalau ke arah makruf pun tak diajak.

Imam Hassan Al Banna ada menyebut, "Apabila pintu-pintu penjara mula dibuka, tali-tali gantung mula dipersiapkan untuk kita, itulah tandanya perjuangan kita mula menampakkan kejayaan."

Sekiranya Islam yang kita bawa tak dimusuhi oleh kuasa kebatilan bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan apa yang sedang kita perjuangkan. Sunnah Allah menentukan kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertembung. Apabila bertembung tentunya kita dibenci, dimusuhi. Apabila bertembung tentunya kita perlu berkorban demi apa yang kita yakini. Di sinilah wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran malah mungkin darah dan nyawa akan menjadi pertaruhan.

Pada zaman Salafus Soleh, para sufi berada di saf hadapan perjuangan Islam. Bukannya mereka sekadar leka dengan zikir dan tasbih. Di samping air mata mereka yang mengalir saat berzikir kepada Allah, peluh dan darah mereka juga mengalir di medan perjuangan.

Antara ulama sufi yang terkenal adalah Imam Hassan al-Basri. Saya sempat menziarahi makamnya di Basrah, Iraq. Pada hari kematiannya, Bandar Basrah seakan-akan sunyi sepi kerana hampir keseluruhan penduduknya menziarahi jenazah Hassan al-Basri.

Kalau Hassan al-Basri sekadar leka dengan zikir dan Yaa Hanaanaaa, nescaya dia tak akan dikasihi oleh manusia sebegitu rupa. Kenapa dia disayangi dan dikagumi? Kerana beliau adalah seorang ulama sufi, pejuang yang berjasa besar kepada Islam dan umat manusia.

Kepada peminat Yaa Hanaanaa, ajaklah saya sama untuk berhanaanaa kerana saya juga turut berminat. Dalam masa yang sama, saya juga nak mengajak saudara semua untuk kita bersama-sama berjuang demi ketinggian Islam!

Amerika belanja RM10.8 juta cari MH370

Posted: 02 Apr 2014 11:03 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pihak ketenteraan Amerika Syarikat telah membelanjakan lebih AS$3.3 juta (RM10.8 juta) untuk operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, menurut jurucakap Pentagon pada Rabu.

Kolonel Tentera Steve Warren berkata, Jabatan Pertahanan membelanjakan AS$3.2 juta antara 8 dan 24 Mac untuk mencari  Boeing 777-200ER yang hilang semasa penerbangan Kuala Lumpur-Beijing lebih tiga minggu lalu.

Peruntukan itu untuk kapal laut, helikopter dan pesawat carian, kata Warren kepada pemberita, lapor Reuters.

Dana itu diambil daripada dana AS$4 juta Tabung Kemanusiaan Bantuan Sivik dan Bencana Luar Negara Pentagon.

Pelancong China diculik lelaki bersenjata di Sabah

Posted: 02 Apr 2014 11:00 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seorang pelancong China dan seorang pekerja sebuah pusat peranginan telah diculik di Sabah oleh kumpulan lelaki bersenjata.

Menurut laporan West China Metropolis Daily, ia berlaku di Singamata Reef Resort malam tadi.

Akhbar tersebut memetik pengurus hotel tersebut yang hanya dikenali sebagai Vicky sebagai berkata lima hingga enam orang bersenjata menyerbu pusat peranginan itu pada kira-kira jam 10.30 malam dan lari dengan menaiki bot sejurus kemudian.

Pelancong wanita China itu dikenali sebagai Gao Huayun yang berusia dalam 20-an dari Shanghai manakala pekerja wanita hotel tersebut adalah rakyat Filipina.

Foto-foto di talian menunjukkkan para pelancong berkumpul di sebuah bilik makan, dan foto lelaki beruniform dengan rifel dan memakai baju kalis peluru, kemungkinan anggota pasukan keselamatan Malaysia.

MP: Jawapan menteri sahkan identiti Papagomo

Posted: 02 Apr 2014 10:45 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jawapan bertulis oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada MP Pandan Rafizi Ramli seolah-olah mengesahkan indentiti penulis blog prokerajaan Papagomo sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Rafizi membangkitkan perkara itu dengan membandingkan jawapan di Parlimen itu dengan laporan dan gambar Papagomo yang disebar meluas melalui blog Umno.

Menurutnya lagi, jawapan Hishammuddin itu sekali gus mengesahkan tarikh dan tujuan individu bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris menaiki kapal selam Scorpene di Langkawi pada 2011.

"Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menaiki kapal Scorepene pada 9 Disember 2011 sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.

"Beliau bersama wakil-wakil media menaiki kapal selam Scorpene tersebut bagi tujuan perkongsian maklumat," jawapan Zahid dipetik.

Wan Muhammad Azri sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia adalah Papagomo.

"Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris.

"Semasa memberi keterangan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

"Jawapan menteri pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah," kata Rafizi yang juga pengarah strategi PKR.

Badan pemikir selar cukai 'tak bermoral' GST

Posted: 02 Apr 2014 10:41 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Institut Rakyat mengkritik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai dasar "tidak bermoral" yang akan menjarakkan lagi jurang antara golongan miskin dan kaya.

Badan pemikir yang dekat dengan PKR itu membangkitkan Malaysia sebagai negara ketiga di Asean yang masyarakatnya paling tidak seimbang selepas Singapura dan Thailand.

Menurut Institut Rakyat, seperti cukai pengguna sebegitu, yang akan diperkenal tahun depan, akan membebankan golongan miskin berbanding kaya.

"Dengan anggaran keuntungan hasil cukai bersih RM3.87 bilion untuk kerajaan persekutuan, pengguna akan membayar lebih cukai berbanding sekarang," kata ahli ekonomi di institut itu Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Empat sebab perlu tubuh RCI Tragedi Memali Oleh Lim Kit Siang

Posted: 02 Apr 2014 10:30 PM PDT


memali



Kenyataan Media oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 2 April 2014.


TESTIMONI oleh OCPD Baling yang menyaksikan sendiri Tragedi Memali dan keperluan untuk menamatkan campur tangan politik ke atas institusi negara merupakan antara sebab yang kuat untuk menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat semula tragedi pada 1985 itu yang mengorbankan 18 nyawa.

Berikutan pendedahan minggu lalu oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam yang mengatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada dalam negara ketika kejadian dan bukannya di China seperti yang dipercayai sejak tiga dekad lalu, saya telah meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja memastikan perkara sebenar memandangkan Mahathir telah mengelak dari memikul tanggungjawab atas kematian 18 nyawa, termasuk 4 pegawai polis.

Sebab lain sebuah RCI perlu dibentuk untuk menyiasat semula Tragedi Memali adalah mereka yang terbabit masih hidup dan boleh memberi keterangan ke atas kejadian yang seharusnya boleh dielakkan.

Antaranya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir; bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam; bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar; bekas pemangku Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Mohd Amin Osman; Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Rais Yatim; Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad; Ketua Setiausaha UMNO ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid; OCPD Baling ketika Tragedi Memali, Tunku Muszaffar Shah; dan seorang pengikut Ibrahim Libya yang sekarang adalah senator, Muhamad Yusof Husin, dari Baling, Kedah.

Testimoni OCPD Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah, adalah satu sebab tambahan yang kuat untuk membentuk sebuah RCI bagi menyiasat semula tragedi 1985 supaya kejadian sebenar boleh dirungkai untuk negara dan rakyat.

Dua tahun lalu, Tunku Muszaffar menulis sebuah buku yang menjelaskan bahawa peristiwa berdarah pada 19 November 1985 di Memali yang mengakibatkan kematian Ibrahim Libya, 13 pengikutnya, dan empat anggota polis, adalah hasil campur tangan politik dalam operasi polis, menyebabkan ibu pejabat polis Bukit Aman gagal membuat keputusan yang tepat dalam usaha menangkap Ibrahim Libya selepas cubaan kedua untuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 gagal.

Dalam buku beliau yang bertajuk 'Memali: Policeman Remembers', Tunku Muszaffar mengatakan bahawa kegagalan untuk buat keputusan yang tepat adalah disebabkan campur tangan politik dan kerana mengambil remeh keupayaan pengikut Ibrahim Libya.

Tunku Muszaffar menulis bahawa pegawai atasan di Bukit Aman tidak sepatutnya menerima arahan daripada "tuan politik" mereka dan menolak permintaan yang tidak sejajar dengan etika tugas polis atau prosedur kerja mereka.

"Budi bicara dan tindakan polis mengenai bagaimana mereka akan menjalankan sesuatu tugas sepatutnya mengikut situasi yang sedang terjadi," tulis beliau.

Menurut Kertas Putih kejadian Memali yang dibentangkan di Parlimen pada Februari 1986, percubaan kerajaan menangkap Ibrahim di bawah ISA adalah atas tuduhan menubuhkan Gerakan Revolusi Islam yang mensasarkan untuk menjatuhkan kerajaan pusat dengan kekerasan.

Walaupun Tunku Muszaffar tidak mendokumenkan sebarang contoh campur tangan politik, beliau mencatat bahawa Musa mengeluarkan arahan khas semasa percubaan penangkapan pertama pada 2 September, 1984. Dalam buku itu, beliau mencatat bahawa Musa telah mengarahkan Bukit Aman untuk memastikan bahawa tiada kekerasan digunakan dalam penahanan Ibrahim dan berundur jika menghadapi tentangan.

Diketuai oleh Ketua Cawangan Khas Daerah, pihak polis pergi ke rumah Ibrahim di Kampung Charok Puteh pada 2.45 pada hari itu, tetapi berundur selepas mereka bertembung dengan kira-kira satu dozen orang bersenjata buluh runcing dan senjata lain.

Menurut pengikut Ibrahim ketika itu, Muhamad Yusof Husin, yang menceritakan Tragedi Memali, yang dijadikan sebagai satu bab dalam buku itu, percubaan tangkapan pertama yang gagal menyebabkan pengikut-pengikut Ibrahim membuat keputusan untuk mengawal pemimpin mereka agar tidak ditangkap. Muhamad Yusof sekarang adalah Senator PAS mewakili Kedah sehingga 20 Mei.

Dalam buku itu, Tunku Muszaffar mengkritik pegawai atasan di Bukit Aman, termasuk Pemangku Ketua Polis (IGP), kerana memandang rendah pengikut Ibrahim. Cubaan menangkap Ibrahim dengan menghantar jumlah anggota polis yang ramai di rumah Ibrahim pada November 1985 menyaksikan pengikut Ibrahim bertindak-balas menyerang polis dengan senjata api dan senjata tajam, sehingga akhirnya pendakwah berkarisma itu terkorban.

Dalam buku itu, beliau menggambarkan orang-orang atasan itu sebagai "armchair jeneral" yang melihat bahawa tindakan yang tepat adalah menangkap Ibrahim di rumahnya, walaupun mengetahui bahawa penyokong-penyokong Ibrahim telah menunggu dan ada antara mereka mempunyai lesen senjata api.

Sebenarnya ada satu lagi sebab kuat untuk RCI ditubuhkan bagi menyiasat semula Tragedi Memali, iaitu untuk menentukan sama ada ia adalah campur tangan politik yang pertama dalam profesionalisme, kebebasan, dan integriti institusi negara dalam tempoh 22 tahun pemerintahan Mahathir, campurtangan yang bukan saja dilakukan ke atas polis tetapi juga telah merebak ke institusi lain, termasuk perkhidmatan awam, Jabatan Peguam Negara, Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dan yang paling utama sekali, adalah keperluan untuk mencari rumus dalam usaha menamatkan campur tangan politik di institusi negara ini sekaligus memulihkan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus yang baik di Malaysia. – Roketkini.com

Negara beli aset pertahanan hanya untuk perhiasan?

Posted: 02 Apr 2014 10:07 PM PDT


ariff sakmongkol



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mempertikai tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) membeli aset pertahanan yang akhirnya tidak diguna apabila keadaan memerlukan.

Antara contoh yang beliau bangkitkan ialah tindakan kerajaan tidak menggunakan kapal selam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 walaupun membelanjakan berbilion ringgit.

Perbelanjaan pertahanan kerajaan meningkat setiap tahun, RM13.82 bilion pada 2011, RM13.71 bilion (2012), RM15.2 bilion (2013) dan RM16.1 bilion dalam belanjawan tahun ini.

"Mengapa kerajaan tidak menghantar kapal selam yang dibina Target Resources Sdn Bhd? Apa guna membayar RM6 juta sebulan kepada mereka tapi tidak menghantar kapal itu untuk operasi SAR?

"Ini membuktikan pasukan penyelamat kita tidak mempunyai kemampuan atau tidak terlatih. Jika benar, untuk apa membelanjakan berjuta ringgit?"

Apabila sesetengah pihak kemudiannya memberi respon bahawa kapal selam negara adalah berfungsi untuk 'search and destroy' (mencari dan memusnah), "Kita katakan kita hanya mahu fungsi mencari sahaja" ujar bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan itu.

"Ini masanya untuk menggunakan kapal selam kerana pesawat itu dikatakan berakhir di Selatan Lautan Hindi," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam proses mencari kerana pesawat itu milik Malaysia.

Namun, sebaliknya berlaku, negara luar dilihat lebih serius menghantar bantuan keselamatan dan pasukan mencari berbanding Malaysia sendiri.

Menurut laporan BBC, kapal selam Britain HMS Tireless turut serta dalam usaha mencari pesawat MH370. Kementerian pertahanan negara itu memberitahu kapal selam kelas Trafalgar itu tiba di Selatan Lautan Hindi untuk membantu mencari kotak hitam pesawat terbabit.

Terhempas atau tidak?

Mohd Ariff Sabri turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mencetuskan percanggahan.

"Kapten Kirk (Najib) kita tanpa ragu membuat kesimpulan ia berakhir di Lautan Hindi. Apa maksud 'berakhir' itu? Terhempas?

"Kemudian Hishammuddin pula menyatakan bahawa Najib tidak pernah mengatakan pesawat itu terhempas.

"Jadi kenapa Najib dalam sidang media 24 Mac lalu dilihat dalam 'mood' muram? Mengapa tidak perjelas dengan terperinci maksud 'berakhir' itu? Adakah ia terhempas dan tidak ada seorang pun terselamat?" soal beliau. – Roketkini.com

Tiada maaf jika Parlimen lalai dalam hal tragedi MH370

Posted: 02 Apr 2014 10:03 PM PDT


kit



KUALA LUMPUR: Parlimen akan dilihat lalai dalam melaksanakan tugas seandainya sidang kali ini ditangguhkan pada 10 April depan tanpa memutuskan sebarang langkah berkaitan peranan Ahli-ahli Parlimen dalam merungkai tragedi MH370.

Dalam mengulangi desakan agar Kabinet segera menyokong pembentukan Jawatankuasa Parlimen berkenaan MH370, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menegaskan bahawa kelalaian sedemikian tidak akan dapat dimaafkan kerana keputusan berkenaan peranan Ahli Parlimen bukan saja akan membantu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul berkenaan tragedi pesawat hilang itu, malah ia akan memulihkan keyakinan dunia terhadap Malaysia.

"Masa kian suntuk untuk menemui kotak hitam pesawat terbabit sebelum baterinya luput.

"Masa juga kian suntuk Parlimen Malaysia memainkan peranan yang begitu penting dalam merungkai tragedi MH370 sebelum sidang ditangguh Khamis depan," ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Kit Siang sebelum ini telah berulangkali menyeru supaya satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen diwujudkan bagi menyokong usaha-usaha mencari pesawat MH370 serta bersiap-sedia untuk melakukan siasatan penuh mengenai tragedi tersebut pasca operasi menyelamat.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu malah telah menulis terus kepada Perdana Menteri supaya kabinet menyatakan sokongan terhadap usul pembentukan jawatankuasa tersebut yang telah dikemukakan Ahli Parlimen DAP Seremban Anthony Loke.

Pakatan Rakyat telah menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen sekiranya pihak kerajaan sendiri mahu mengemukakan usul berasingan bagi mencadangkan pembentukan jawatankuasa terbabit.

Tragedi kehilangan pesawat MH370 masuk hari ke 27. Pesawat MAS Boeing 777-200 yang sepatutnya berlepas menghala ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal diumumkan mengakhiri penerbangannya di Selatan Lautan Hindi. Pencarian pesawat tersebut masih diteruskan. – Roketkini.com

Akhbar Pro-BN Sendiri Lapor MH370 Terhempas Di Lautan Hindi, Ada Tindakan?

Posted: 02 Apr 2014 09:53 PM PDT

KELAB GREENBOC


Pakatan: Apa maksud 'berakhir di Lautan Hindi?'


Pakatan Rakyat mendesak kerajaan menjelaskan maksud sebenar istilah pesawat MH370 "berakhir di Lautan Hindi" seperti dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 Mac lalu.

Pendirian itu digesa ekoran kenyataan pemangku menteri pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menafikan pesawat itu telah terhempas.

MP Gelang Patah, Lim Kit Siang juga mempersoal tindakan Najib membuat usul khas merakamkan simpati kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pada keesokan harinya selepas pengumuman.

"Beliau boleh sahaja menyatakan ada petunjuk atau kemungkinan (ia terhempas).

"Apa yang dinyatakan beliau sebelum ini tidak muktamad langsung," kata Lim pada sidang media di perkarangan Parlimen pagi ini.

Sementara itu, MP Pokok Sena turut menggesa kerajaan agar menyaman akhbar tempatan yang melaporkan pesawat MH370 terhempas, jika kerajaan serius mempertimbang untuk menyaman media luar negara kerana laporan tidak tepat.

"Banyak akhbar nampaknya memanipulasi kenyataan perdana menteri tentang MH370.

"Ada di antara akhbar-akhbar ini melaporkan pesawat itu telah terhempas dan (laporan) tentang 'pusara di lautan'," kata Mahfuz.


MH370: Perjelas maksud sebenar 'berakhir di Lautan Hindi'

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat meminta kerajaan menjelaskan maksud sebenar perkataan 'berakhir di Lautan Hindi' yang dikeluarkan Perdana Menteri berhubung insiden pesawat MH370, pada 24 Mac lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata penjelasan tersebut perlu dilakukan memandangkan pelbagai tanggapan dan kesimpulan ditafsirkan rakyat terhadap kenyataan tersebut.

"Apa sebenar yang dimaksudkan dengan 'berakhir di Lautan Hindi' itu? Ketika mengumumkan perkara tersebut, Datuk Seri Najib Razak menyatakan akan memperincikannya, bagaimanapun tiada sebarang perincian mengenainya sehingga hari ini," tegas beliau pada satu sidang media, di parlimen, hari ini.

Kenyataan tersebut, katanya menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan rakyat hingga kebanyakannya beranggapan seolah-olah pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi, walaupun kemudiannya dinafikan ia bermaksud sedemikian.

Ekoran spekulasi sedemikian, kerajaan dikatakan akan menimbang untuk mengambil tindakan terhadap media asing yang dikatakan memanipulasi kenyataan Najib seolah-olah pesawat MH370 terhempas.

Justeru, beliau dalam masa sama mempersoalkan adakah kerajaan akan turut berhasrat mengambil tindakan terhadap media dalam negara yang turut melaporkan perkara yang sama.

"Adakah kerajaan juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap media dalam negara, yang turut sama melaporkan perkara sedemikian? Sebagai contoh, Harian Metro yang meletakkan tajuk 'Pusara di Lautan'," tegas beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, turut mendesak agar kerajaan memaklumkan kepada umum berkenaan transkrip perbualan di kokpit pesawat berkenaan.

"Apa transkrip perbualan tersebut? Kenapa mahu tutup transkrip itu? Ia seolah-olah ada niat jahat dan dianggap tidak mahu berterus-terang, sedangkan ia sepatutnya diumum lebih awal," tegas beliau yang bersama pada sidang media tersebut.

Dalam pada itu, Kit Siang turut meminta kerajaan memberi perhatian yang serius terhadap tinjauan yang dilakukan Merdeka Centre yang mendapati kebanyakan rakyat Malaysia tidak gembira dengan cara kerajaan Malaysia menangani krisis MH370.

Tambah beliau, kerajaan perlu mendengar dan menerima pandangan mereka sebagai rakyat, sekaligus jangan menganggap mereka sebagai anti-nasional kerana menegur kerajaan.

Keadaan ini, katanya timbul ekoran terlalu banyak persoalan tentang isu-isu berbangkit berkaitan insiden ini yang berlaku pelbagai percanggahan di antara pihak berkuasa.
-HD

LIHAT VIDEO DI SINI

Kerajaan Nafi Khabar Angin Harga RON95 Naik 30 Sen - Ahmad Maslan

Posted: 02 Apr 2014 04:45 PM PDT




Ahmad Maslan
Ahmad Maslan.



PETALING JAYA: Kerajaan menafikan akan menurunkan subsidi harga petrol RON95 sebanyak 30 sen yang boleh menyebabkan harga bahan bakar itu meningkat kepada RM2.40 seliter mulai tengah malam Rabu.

"Tiada pengurangan subsidi 30 sen RON95 dan minyak naik kononnya tengah malam ini," kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menerusi tulisan di akaun Twitter miliknya pada Rabu.

"Saya ingin nafi khabar angin itu. RON95 masih ada 73 sen subsidi," katanya yang menjelaskan bahawa harga minyak petrol RON95 masih kekal RM2.10.



Kenyataan Ahmad Maslan di Twitter yang menafikan khabar angin kononnya harga minyak petrol RON95 naik 30 sen mulai tengah malam Rabu.


Khabar angin mengenai kenaikan harga minyak itu mencetuskan kekecohan orang awam, terutama di kalangan pengguna Internet di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ini berikutan satu kenyataan yang tersebar kononnya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersebar mengenai kenaikan petrol RON95 sebanyak 30 sen bermula tengah malam Rabu.

Ramai yang turut keliru mengenai kebenaran khabar angin itu yang dilihat sekadar bahan gurauan sempena Hari 'April Fool' pada 1 April (Selasa).

Kali terakhir Kerajaan menaikkan harga petrol RON95 adalah sebanyak 20 sen seliter pada 3 September tahun lalu.

Bank Rugi RM160 Ribu : 3 Lelaki Bawa Lari Mesin ATM

Posted: 02 Apr 2014 04:39 PM PDT

Rakyat News
Gambar Contoh
 
Radhi Razak 


KUALA LUMPUR- Tiga lelaki melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank, mengakibatkan kerugian RM160,000 di Putra Mahkota, Putra Heights di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, tiga suspek dipercayai menggunakan tali dan penyangkut untuk menarik keluar satu daripada mesin ATM di bank terbabit.

"Mereka menggunakan sebuah van dipercayai jenis Hiace berwarna putih untuk melarikan mesin ATM itu dalam tempoh lebih kurang 10 minit," katanya kepada ketika dihubungi.

Yahaya berkata, suspek melarikan diri dengan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran palsu.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua daripada tiga suspek lelaki itu didapati memakai topeng 'ski mask', bertopi 'besbol', menggunakan "overall" berwarna hitam atau merah tertera perkataan "ENEOS" dan bersarung tangan berwarna putih," katanya.

Beliau berkata polis turut menemui 19 cap jari di lokasi kejadian.

"Melalui maklumat awal yang diperoleh daripada saksi awam, kedua-dua kenderaan suspek dipercayai menuju ke arah Tol Putra Heights Lebuhraya Elite, pihak kami sedang meneliti rakaman CCTV tol tersebut," katanya.

Yahaya menambah, bank itu mempunyai 16 CCTV, namun hanya lima CCTV yang memfokuskan ke arah tempat terdapatnya mesin ATM.

10 Bilion Saham : ASB 2 Beri Jaminan Masa Depan Gen-Y

Posted: 02 Apr 2014 04:37 PM PDT

Rakyat News
 
Amirul Ashraff 


KUALA LUMPUR  - Kerajaan hari ini melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 10 bilion unit saham kepada generasi Y (Gen-Y) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Nasional Berhad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ASB 2 ini menawarkan dua bentuk akaun saham iaitu akaun bijak dan akaun dewasa.

"ASB 2 ini kita buka kepada pelabur bumiputera seawal-awalnya berumur 6 bulan melalui perlaburan yang dilakukan oleh ibu bapa yang dimasukkan kedalam akaun bijak sehingga pemilik akuan berumur 18 tahun.

"Manakala akuan ASB satu lagi, adalah akaun dewasa dibuka kepada mereka yang berumur 18 tahun keatas.

"Walaupun kumpulan sasarnya adalah Gen Y tapi kita tidak akan menghalang generasi bukan Y untuk melabur di dalam akuan dewasa,"katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Amanah Saham Bumiputera 2, di Pekarangan Stadium Merdeka, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis perasmian ini adalah Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Seri Datuk Hamad Kama Piah Che Othman.

Selangor, Pusat masih bincang kuat kuasa WSIA 2006

Posted: 02 Apr 2014 04:34 PM PDT

Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan sedang berbincang mengenai modus operandi menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
  
Katanya, perbincangan itu diadakan berikutan ia adalah pertama kalinya seksyen ini digunapakai di negara ini.
 
Beliau berkata pada Isnin lepas, kerajaan negeri dan agensi persekutuan termasuk Pejabat Peguam Negara telah mengadakan perbincangan intensif untuk menggunakan seksyen berkenaan bagi menjayakan penstrukturan semula industri air Selangor.
  
"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan saya telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan pada Jumaat ini.
 
"Ini bagi menyelaraskan proses untuk memastikan industri air akhirnya dipulangkan semula kepada kerajaan negeri menerusi anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.
  
Abdul Khalid berkata, walaupun proses perbincangan mengambil masa lama tetapi ianya perlu agar penguatkuasaan dibuat selari dengan undang-undang WSIA serta tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin mekanisme atau modus operandi yang digunapakai untuk mengambil alih perkhidmatan air akan menguntungkan kerajaan negeri kerana pampasan yang perlu dibayar kepada pemegang konsesi lebih murah iaitu RM7.65 bilion berbanding tawaran awal sebanyak RM9.65 bilion.
  
Ini berikutan suntikan RM2 bilion oleh Kerajaan Pusat.
  
Empat syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).
  
"Kerajaan negeri dan Persekutuan sedang mengkaji kaedah bersesuaian yang memenuhi keperluan seksyen berkenaan supaya penguatkuasaannya tidak membawa kesan buruk kepada pihak yang terlibat.
  
"Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan tinggi bahawa penstrukturan semula (industri) air akan diselesaikan...seperti yang dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dimeterai pada 26 Februari lepas," katanya.
  
Melalui MoU itu, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran kepada pihak pusat untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) di Selangor. - Bernama

Tiada ulasan: