DIALOG RAKYAT |
- Terkena Batang Hidung: Rumah Anak Menteri Berlaku Kecurian, Jenayah Menurun?
- Nampak hantu naik bas
- Obama datang ke negara ini bukan hendak tengok panorama
- MH370: Pencarian di udara, permukaan laut ditangguh
- Rumah aktivis Unit Amal Hulu Langat musnah terbakar
- 3 pelajar UIA kritikal selepas bas terjunam
- Hudud: Kelantan boleh jadi contoh
- Hudud: PAS sedia terima keputusan undian di Parlimen
- Uthaya ambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa penjara
- Ahmad Zahid sahkan kecurian di rumah anaknya
- Dalam kemeriahan ada kepahitan
- Program Khas Mesra Rakyat beri peluang rakyat kemuka masalah
- Selamanya masa untuk laksana hudud tidak ada dalam Umno
- PAS sedia bermuzakarah tentang hudud
- PAS P Pinang ikrar bantu DAP kekalkan Bkt Gelugor
- MB: Penjadualan air dijangka tamat minggu depan, air lombong selamat
- PKR bidas IGP masih mahu notis 10 hari PAA
- Majlis Pakatan didesak selesai segera isu hudud
- Polis cadang lokasi alternatif perhimpunan bantah GST
Terkena Batang Hidung: Rumah Anak Menteri Berlaku Kecurian, Jenayah Menurun? Posted: 27 Apr 2014 05:08 AM PDT KELAB GREENBOCZahid sahkan berlaku kecurian di rumah anak sulungnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan berlaku kecurian di rumah anak sulungnya, Nurul Hidayah, di Country Heights Kajang. Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu. "Ya (ada kecurian), barang sahaja yang hilang, tapi pintu tidak pecah, tingkap juga tidak pecah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di Kuala Lumpur. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dan berkata antara barang yang hilang ialah dua jam tangan serta wang tunai RM1,000. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. Nurul Hidayah, 35, yang merupakan Naib Presiden Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Perumahan Negara Berhad dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta politik, juga pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada Mac lalu, sebelum menarik diri. – Bernama ULASAN GB Berulang kali GB sudah katakan tapi Menteri KDN, Pemandu dan KPN masih bertegas menyatakan kadar jenayah dah turun. Petikan ulasan GB yang lalu Sekarang satu demi satu terkena batang hidung, beberapa hari lepas Bekas ketua Wanita UMNO Bukit hangus mati ditikam, pada bulan lalu banglo Rahim Tamby Chik diceroboh, dari berita di atas rumah bekas Ketua Polis Melaka dan jirannya di Taman Sentosa kena rompak dan kini rumah exco di pecahmasuk. Beberapa rumah artis juga menjadi sasaran seperti Wardina, Mawi dan terbaru rumah Aznil dan Imuda. PDRM nampak gayanya lebih memberi tumpuan untuk menyekat demonstrasi aman GST oleh rakyat pada 1 Mei akan datang ini. Sedangkan persoalan jenayah diabaikan dan dipandang remeh. Kita bukan nak mentertawakan menteri berkenaan apabila rumah anaknya mengalamai kecurian, tetapi kita ingin mengingatkan polis yang berada di bawah kementeriannya supaya berkhidmat mengekang jenayah, bukannya menyekat demonstrasi aman oleh rakyat yang kini begitu tertekan kehidupannya oleh dasar-dasar kerajaan. | ||||
Posted: 27 Apr 2014 04:24 AM PDT KUALA KANGSAR - Seramai 27 pekerja sebuah pasar raya besar di Ipoh gempar apabila enam rakan mereka berusia lingkungan 18 ke 28 tahun diserang histeria ketika berada dalam bas dalam perjalanan ke tempat kerja. Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan pemandu bas terpaksa memberhentikan bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Ipoh itu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak kerana keadaan dalam bas semakin kelam-kabut. Saksi yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, kejadian bermula ketika bas itu berada di Bukit Gantang apabila salah seorang daripada mereka menjerit dipercayai mengalami histeria dan keadaan semakin teruk apabila beberapa penumpang lain turut mengalami gangguan sama. Salah seorang penumpang bas pula berkata, dia ada terlihat kelibat lembaga hitam masuk ke dalam bas semasa dia berseorangan dalam bas tersebut kerana menunggu rakan lain ketika di Kamunting. Begitu pun, dia tidak mengesyaki apa-apa pada waktu itu kerana beranggapan mungkin tersalah pandang atau mungkin perasaannya sahaja. "Bila saya lihat rakan-rakan saya mengalami histeria, saya yakin kelibat yang saya nampak pada awal pagi tadi ada kena mengena dengan insiden yang berlaku hari ini (semalam). "Kejadian berlaku semasa kami dalam perjalanan ke tempat kerja. Mula-mula seorang saja kemudian berjangkit ke orang lain pula," katanya. Seorang lagi penumpang bas berkata, sebelum kejadian, salah seorang mangsa ada bercerita tentang kisah hantu dan memberitahu rakannya pernah mengalami histeria. "Sebaik saja dia habis cakap, dia terus menjegilkan matanya dan mula meracau. Keadaan masa itu memang menakutkan sebab pertama kali saya mengalami situasi seperti ini. "Bila sampai saja di kawasan R&R Sungai Perak, kami membawa mereka turun dari bas. Kawan-kawan lelaki penat kerana terpaksa menahan mangsa sebab ada mangsa yang menari dan ada juga yang cuba melarikan diri," ujarnya. Sempat hantar SMS Dalam pada itu, salah seorang ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya yang berusia 18 tahun sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakaknya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Menurutnya, anaknya pernah mengalami gangguan sama ketika pulang dari kerja, kelmarin, namun gangguan tersebut tidak begitu teruk seperti semalam. Malah, katanya, gangguan itu sudah bermula sejak Rabu lalu, namun pada hari tersebut, hanya seorang pekerja yang mengalami histeria. "Dia ada hantar mesej pada kakaknya beberapa minit sebelum jam 8 pagi dan mengatakan berasa sakit kepala, mata tidak boleh buka dan bahu terasa berat. Kakak dia hantar mesej pada saya dan saya terus ke sini (R&R Sungai Perak) bila dapat tahu anak saya berada di sini," ujarnya. Tindakan pantas pemandu Menurut pemandu bas yang dikenali sebagai Tan, 60, dia terkejut melihat salah seorang daripada penumpang tiba-tiba menjerit dengan kuat seolah-olah dirasuk sebaik tiba di persimpangan jalan Kuala Kangsar. Katanya, gangguan tersebut merebak kepada beberapa penumpang lain selang beberapa minit kemudian dan menyebabkan suasana dalam bas menjadi kelam-kabut. "Kalau ikutkan saya ingin berhenti di tepi lebuh raya sebaik saja mereka menjerit, namun bila difikirkan semula, berhenti di tepi jalan mungkin mengundang lebih banyak bahaya. "Jadi, saya membuat keputusan untuk berhenti di kawasan rehat dan rawat berhampiran. Sepanjang 30 tahun saya membawa bas, kejadian ini pertama kali terjadi pada saya. Tidak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya pada waktu itu," katanya. Sementara itu, seorang pengamal perubatan Islam dari Darul Syifa yang membantu merawat mangsa berkata, dia mendapat panggilan mengatakan ada beberapa orang mengalami histeria di kawasan itu. "Sebaik saja saya tahu berita tersebut, saya bergegas menuju ke tempat kejadian. Bila saya sampai, saya lihat beberapa mangsa menjerit-jerit dan meracau. "Saya tidak pasti gangguan tersebut berpunca daripada mana tapi bolehlah dikatakan mereka diganggu makhluk halus," jelasnya. Dalam pada itu, seorang daripada mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menerima rawatan dan selebihnya dibawa pulang oleh keluarga masing-masing. | ||||
Obama datang ke negara ini bukan hendak tengok panorama Posted: 27 Apr 2014 04:10 AM PDT Oleh Mohd Sayuti Omar Kunjungan Presiden Barack Obama ke negara "tigatujuhkosong" ini disambutkan hebat oleh sesetengah rakyat Malaysia. Bagi pemimpin kerajaan pula kesudian Obama menyinggahi negara ini satu sejarah dan memberi kredit besar kepada Najib Razak selaku perdana menteri dan kerajaannya. Mengapa tidak, sejak tahun 1963, pertama kali seorang presiden Amerika, Lyndon B Johson menjejak kaki ke bumi ini, inilah pula presiden Amerika (Obama) ke dua yang datang ke sini
Sudah tentulah kedatangan dianggap bersejarah itu diraikan demikian rupa, ia bagaikan sebuah "jenawari" besar. Kedatangan Obama itu bagaikan hadirnya seorang maharaja yang menguasai seluruh lautan yang datang dengan kapal besar. Ia disambut bak kata orang tua-tua tidak cukup telapak tangan dengan nyiru ditadahkan. Semua orang kampung dan bandar teruja dengan kehadiran itu. Maka berlumba-lumbalah untuk menyambut kedatangan serta melihat-lihat akan rupa parasnya. Yang buta datang dipimpin, yang kudung datang digendung. Ibu yang sedang mengeram anak di atas "gerai berdiang" pun datang meninggalkan anak semata-mata hendak menyambut kedatangan Obama. Demikianlah yang berlaku di mana-mana negeri dan negara yang miskin yang tidak mempunyai kuasa super power dan bergantung harap kepada negara-negara atau kuasa besar seperti Amerika itu. Apabila pembesar negara itu berkunjung akan diberikan penghormatan sebanyak yang termampu. Samalah kalau pembesar negara kita mengunjungi negara miskin di Afrika sana, mereka akan disambut dan tapak kasut disapu-sapu agar tidak terlekat pasir dan tahi unta dan anjing. Tidak cukup itu setesen telivesyen pula membuat siaran langsung. Para pengulas jenis pemakan jengko dan genuat bukan sahaja memperkatakan kehebatan Obama yang menjadi presiden dalam usia yang muda dan kehebatannya menggunakan kemudahan jaringan sosial (media baru) mencari pengaruhnya, tetapi lebih jauh dari itu bermadah dan bernasyid tentang segala kehebatan dan keistemewaanya. Kononnya Obama adalah seorang presiden yang berbeza dengan presiden Amerika sebelum ini yang suka mengeksplotasikan keadaan demi bumi Amerika dan mahu menunjukkan kekuasaan Amerika. Kononnya Obama seorang presdien yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan tidak suka kepada kontroversi, membenci peperangan dan penganiayaan kepada manusia. Perbandingan dibuat kononnya Obama yang dari parti Demokrat lebih lembut berbanding dengan preiden Amerika daripada parti Rupblikan. Pendeknya semua sudut dicari untuk memuji dan memuja Obama sebagai hebat. Kolar baju atau seluar dalam Obama pun, kalau boleh juga hendak dipuji sebagai cantik dan sendak? Apakah saiz seluar dalam Obama sama besar dengan saiz seluar dalam Setiausaha Agung Pas? Keterujaan rakyat negara ini termasuk pemimpin sendiri, bukan saja kepada kehebatan kepimpinan Obama tetapi sampai kepada kapal terbang dan kereta rasmi yang dibawa dari Amerika juga dipuji kehairan-hairanan. Diberi ulasan dan penghuraian terperinci mengenai kehebatan dan kecanggihan kereta Bluefin-21 yang siap dengan sonar dan boleh menyelam ke dalam laut dan dilengkapi dengan segala kemudahan, keselamatan dan kesihatan untuk Obama. Di atas kereta itu juga ada bank darah yang sama jenis dengan darah Obama. Jenis XXO. Mengenang lagak berlebihan diberikan kepada Obama, samalah orang kampung yang baru pertama kali melihat kapal atau jong yang terdampar dipantai. Di tilik segenap jerung, dijamah, dielus dan gosok bahkan ada yang menghidu-hidu dan mencium. Aummmm.... Saya percaya kalau Bluefin itu dibenarkan didekati oleh anak-anak negara "tigatujuhkosong" ada yang akan mengosok tayar dan menngucup-ngucupknya penuh kebangaan. Demikianlah bangsa yang tidak tamadun sepenuhnya, akan mudah teruja dengana kehebatan orang lain hingga lupa kepada diri sendiri. Walhal di antara Obama dan Amerika dengan kita, jauh lebih bermaruah dan mulia kita, kerana kita menerima Islam sebagai agama. Kunjungan seorang pembesar atau raja seperti Obama itu adalah sebahagian daripada tatacara sebuah negara. Hubungan diplomatik sebahagian daripada kehidupan bernegara. Kita akan mendapat manfaat daripada kelebihan yang ada kepada negara berkenaan. Dan sebagai negara kecil kita perlu mendapat bantuan negara besar. Ia tidak salah. Tetapi memberi kredit yang begitu besar dan melayani secara berlebih-lebihan, sehingga menampakkan sangat kebodohan kita, sesuatu yang tidak wajar dan bijak. Kita kena tiru juga ketinggian budi dan prinsip yang diamalkan oleh Mahatma Gandhi. Beliau tidak akan membuang caparnya sewaktu menghadap ketua kolonial. Apabila orang bertanya kepadanya kenapa beliau tidak pakai "lawa-lawa" smrat, katanya itulah identiti dia dan bangsanya dan dia sangat mengkagumi kepada budayanya. Ternyata pertemuan tanpa mengikut costom Inggeris itu berjalan dengan lancar juga. Dan pendiriannya itulah menjadikan Mahatma Gandhi dikenang hingga ke hari ini. Obama atau sesiapa boleh ke negara ini atas dasar persahabatan dan kedamaian. Tetapi kalau kita menerimanya tanpa ada apa-apa requets di dalam kepala sesuatu yang bahaya. Kita perlu berbangga dengan bangsa dan identiti kita sendiri. Era tunduk dan kagum kepada kolonial sudah berakhir. Kedudukan kita hari ini walaupun tidak sama taraf dari segi kekayaan, tetapi kita sudah punya aset sendiri. Hanya masalah kita tidak bijak menguruskan aset. Ingatlah, walaupun siapa Obama dia tetap presiden Amerika. Kita kena perlu kenal siapa dia Amerika, sebuah negara yang dianggap sebagai polis dunia. Amerika menggunakan kekuataanya untuk menakluki negara-negara kecil demi kepentingannya. Ingat seperti mana kenal Umno itu walaupun siapa menjadi presidennya, ia tetap Umno. Mengenai kesudian Obama singgah dan tidur di negara "tigatujuhkosong" ini perlu dilihat lebih jauh dari tujuan beliau yang hendak menjalinkan persahabatan dalam hal ehwal perdagangan dan kemanusiaan. Apa yang perlu dilihat apakah tujuan disebalik kemurahan itu. Yang jelas dan pastinya Obama tidak akan datang ke sini kalau bukan kerana sesuatu tujuan. Dari apa yang saya nampak, dengan menyusuli perjalanannya di Korea, China, Filipina adalah perjalanan untuk mencari kekuatan dan sokongan. Perjalanan Obama bukan untuk melihat keindahan panorama di Asia. Tanpa menyebut, hari ini Amerika begitu takut kepada China yang bangkit dalam kuasa perdagangan baru. Sebagai sebuah negara yang membentuk empayar, Obama dapat merasakan apakah akan berlaku unhtuk 50 dekad akan datang. Unjuran yang dibuat oleh pakar ekonomi meletakkan China akan berada diatas Amerika dari segi ekonomi pada 2028 menjadi bayangan ketakutan Obama. Sebagai presiden yang akan tamat tempoh perkhidmatnya tidak lama lagi menjadi tugas Obama meletakkan Amerika di atas landasan benar sekiranya dia mahu dikenang oleh rakyat Uncle Sam itu. Hari ini China sedang mengembangkan perdagangannya dalam serba serbi bidang. Negara-negara Asean sudah ditakluki dengan kuasa ekonominya. Bahkah penyumbang kepada perbendahraan kedua kepada Ameria juga ada perdagangan dari China. Semangat dua haiwan menjadi lambang kemuliaan dan kekuatannya, harimau dan naga sedang digerakkan. Obama sangat bimbang dengan apa yang sedang dilakukan China. Justeru beliau sudah dapat menghidu apa nasib diterima Amerika. Dalam keadaan Amerika sendiri ekonominya sedang berantakan, maka sesuatu perlu disiap-sediakan dari sekarang. Dalam bacaan orang seperti Obama, bahawa penjajahan dan peperangan tidak akan berhenti. Perang dan penindasan akan berkembang selari dengan kemajuan manusia. Bagi falsafahnya peperangan dihalalkan untuk meneruskan keagungan. Peperangan merupakan jalan untuk survive sesebuah negara. Tidak mustahil apabila ketenataan Amnerika sudah sampai ke paras leher, peperangan harus dilancarkan juga. Untuk tujuan itu, Amerika dan Obama harus membuat persiapan ke arah kesimpulan dan keputusan yang amat dibenci dunia itu. Jadi kedatangan presiden Amerika ke negara ini adalah dalam rangka kempen untuk menguatkan kedudukannya atau dalam kata lain mengenal pasti dimanakah beliau hendak tumpang meletakkan meriamnya untuk berhadapan dengan perang. Apa yang hendak disampikan di sini jangan rakyat negara ini menerima kedatangan Obama itu seperti kehadiran binntang bola sepak atau filem star bollywood atau hollywodd, kerana kedatangan seorang presiden membawa mesej peperangan bukannya kemanusiaan. http://msomelayu.blogspot.com | ||||
MH370: Pencarian di udara, permukaan laut ditangguh Posted: 27 Apr 2014 03:58 AM PDT PERTH: Operasi pencarian di udara dan pemukaan laut bagi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ditangguhkan hari ini berikutan cuaca buruk. Bagaimanapun, pencarian dalam air menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik, Bluefin-21, dijangka meneruskan misi ke-15 pada Ahad pagi. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menyelia operasi itu berkata Bluefin-21 dijangka melengkapkan baki pencarian di kawasan yang dikenal pasti dan terus meneliti kawasan berhampiran dalam misi itu. Tiada perkara yang mempunyai kaitan dengan pesawat itu ditemui sejak operasi pencarian dimulakan 51 hari lepas, menurut JACC. Kenyataan itu menyebut sebarang maklumat lanjut akan diumumkan, jika dan apabila diperoleh. Bluefin-21 dikerah menjalankan misi pertama pada 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat itu dalam air berikutan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat Pengesan Pinger Ditunda sejak 8 April. Ia dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik bagi menghasilkan peta 3D di dasar laut dan mengambil masa minimum 24 jam untuk menyelesaikan setiap misi termasuk empat jam untuk muat turun data dikumpul. Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'. - Bernama | ||||
Rumah aktivis Unit Amal Hulu Langat musnah terbakar Posted: 27 Apr 2014 03:56 AM PDT JEPIARDY HULU LANGAT: Bekas Komandan Unit Amal PAS Kawasan Hulu Langat Rusli Abdullah dan keluarga yang menetap di Kampung Jalan Enam Kaki tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran malam tadi. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Beliau menjelaskan keluarganya kehilangan banyak barangan peribadi akibat kebakaran tersebut. "Mereka kini amat memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai, terutamanya keperluan barangan sekolah untuk anak-anaknya meneruskan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, buku sekolah dan alat tulis," kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat. Rusli bersama isteri dan enam orang anaknya yang berumur antara setahun hingga 19 tahun kini menumpang sementara di bilik gerakan PAS berhampiran sementara menanti bantuan untuk membina semula rumahnya. Selain Ahli Parlimen Hulu Langat, jiran-jiran sekampung dan rakan taulan turut menghulurkan bantuan kepada mangsa. Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang barangan berbentuk pakaian dan makanan. Bagi tujuan sumbangan kewangan untuk keluarga berkenaan, boleh menghubungi Pengarah PAS Dun Semenyih, Nazar Abd Latiff di talian 019-275 4151. Segala sumbangan kewangan boleh dimasukkan ke akaun Maybank PAS MTD Beranang 555087100220. | ||||
3 pelajar UIA kritikal selepas bas terjunam Posted: 27 Apr 2014 03:54 AM PDT KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilaporkan kritikal selepas bas universiti yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke tempat takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di KM25.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lima pelajar lagi turut dilaporkan parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas cedera ringan. Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur ASP Mohd Fadhli Daud berkata kesemua pelajar berusia antara 19 dan 24 tahun itu adalah warga tempatan dan dipercayai dalam perjalanan ke Bukit Cerakah, Shah Alam untuk program ukhwah Kelab Student Facilitating Front (STUFF) UIAM. "Kesemua pelajar yang kritikal berusia antara 21 dan 22 tahun dihantar bersama 26 yang lain ke Hospital Sungai Buloh, seorang dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi iaitu pemandu bas dirawat di Klinik UIAM Gombak," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Mohd Fadhli berkata sebelum kejadian pemandu bas berusia 39 tahun ada mengadu kurang sihat namun polis sedang menjalankan siasatan punca kejadian. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Che Ku Mohd Azizan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum mengerahkan empat jentera bersama 16 anggota ke tempat kejadian. "Setiba di tempat kejadian, ada antara mereka terperangkap di celah kerusi namun kesemuanya berjaya dibawa keluar kurang sejam kemudian," katanya. Seorang pelajar Mohd Farhan Affendi Yunos, 21, berkata dia sedang berbual-bual bersama rakannya ketika kejadian sebelum bas berkenaan tiba-tiba tergelincir ke tepi jalan lalu terbabas. "Saya ingatkan tidak apa-apa akan berlaku namun sangkaan saya meleset apabila bas itu kemudian terjunam pula ke takungan air di tapak pembesaran jalan itu," katanya. Mohd Farhan berkata rakan di sebelahnya cedera di muka apabila terkena tingkap bas sewaktu bas terbalik manakala dia hanya cedera di kaki akibat terhimpit di antara rakannya dan kerusi bas. - Bernama | ||||
Hudud: Kelantan boleh jadi contoh Posted: 27 Apr 2014 03:51 AM PDT SHAH ALAM – Pas wajar meneruskan perjuangan melaksanakan hudud di Kelantan agar dijadikan pelopor kepada negeri lain, walaupun mendapat tentangan rakan komponen PR. Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika Pas berjaya melaksanakan hudud di negeri itu, masyarakat akan faham keindahan hudud, manakala negeri lain akan turut berminat melaksanakannya. "Pandangan negatif terhadap hudud oleh orang bukan Islam juga akan terpadam kerana dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 hukum hudud hanya untuk orang Islam. "Saya juga yakin Pas telah lakukan penyelidikan (sebelum) kanun itu diluluskan sebulat suara," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata, peluang dan ruang yang diberikan Umno juga perlu digunakan sebaiknya oleh Pas bagi membuktikan yang mereka boleh laksanakan hukum itu. "Parti itu sepatutnya tidak gentar dengan penolakan daripada rakan komponen PR, terutama DAP, jika benar-benar mahu menjayakan perjuangan asal Pas ketika mula ditubuhkan dahulu. "Adakah mereka lebih takutkan DAP daripada hukum ALLAH? Jangan jadikan alasan tentangan daripada DAP itu untuk mengetepikan pelaksanaan hudud di Kelantan," katanya. Sementara itu, Sekretariat Majlis Ulama Isma, Dr Mohd Isa Hamzah berkata, Pas tidak perlu endahkan halangan daripada pihak tertentu salam usaha pelaksanaan hukum hudud. "Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh usaha Pas untuk menegakkan syariat Islam. Dalam masa sama usaha itu merupakan perjuangan asal mereka. "Sebelum ini, ia telah lama tertangguh. Mungkin mereka fikir sekarang adalah masa yang sesuai ia dilaksanakan," katanya. Beliau menganggap halangan daripada DAP sebagai dilema kepada Pas. "Pastinya parti itu (Pas) akan memikirkan cara terbaik bagi menyeimbangkan prinsip parti dengan gabungan rakan komponen PR lain agar terus diyakini. "Selain itu, akan tiba masanya isu hudud ini memperlihatkan wajah sebenar ahli parti Islam itu sendiri yang terdiri daripada kalangan ulama, profesional dan aktivis," katanya. | ||||
Hudud: PAS sedia terima keputusan undian di Parlimen Posted: 27 Apr 2014 03:46 AM PDT KUALA LUMPUR: Presiden Umno wajar menyatakan pendirian dan sikap sebenar dengan ikhlas dan berhenti dari berdolak dalik berhubung rang-rang undang-undang yang ingin dibawa PAS di Parlimen. Justeru, Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS bersedia memberi laluan kepada kerajaan untuk membawa cadangan pindaan undang undang untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 secara demokratik dan sedia menerima apa pun keputusan undian di Parlimen. Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menyatakan demikian dalam satu kenyatan hari ini, sebagaimana di bawah. Lanjutan dari pengumuman yang dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan berhubung keputusan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private member's bill) bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau undang-undang hudud dikuatkuasakan di Kelantan, pelbagai pihak tampil memberikan pandangan, sama ada pro atau kontra. Sebagai sebuah parti yang sejak dari awal penubuhannya bergerak di atas landasan demokrasi, PAS menghormati dan mengalu-mengalukan apa jua pandangan dan kritikan yang diberikan. Dalam hal ini, PAS juga ingin menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan penjelasan atau memberikan kritikan, teguran atau pandangan terhadap rang undang-rang undang yang ingin dibentangkan dan juga terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (hudud) yang ingin dikuatkuasakan. Meskipun undang-undang hudud adalah undang-undang Allah yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis, namun lantaran penguatkuasaannya dilaksanakan oleh manusia, PAS akur bahawa sudah tentu terdapat ruang-ruang yang boleh diperbaiki, baik dari aspek undang-undang substantif mahupun dari aspek prosedural. Dalam masa yang sama, PAS juga menyeru kepada pihak-pihak yang menentang atau tidak bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang hudud ini supaya sekurang-kurangnya menghormati hak demokratik PAS untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen. PAS berulangkali menegaskan bahawa apa jua agenda dan dasar yang hendak di bawa PAS, ianya tidak akan dipaksakan ke atas rakyat atau di laksanakan secara 'pintu belakang' melalui cara-cara yang di luar dari kaedah Perlembagaan dan undang-undang. Jika sekiranya ketentuan proses demokrasi tersebut tidak menyebelahi kehendak PAS, kami akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan. Jika dilihat dalam konteks penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 ini, PAS sebenarnya mempunyai pilihan untuk terus menguatkuasakan Enakmen tersebut di Kelantan oleh kerana Enakmen ini telah diluluskan melalui proses perundangan yang sewajarnya di dalam Dun Kelantan lebih 20 tahun yang lalu. Apatah lagi ianya hanya terpakai di Kelantan untuk orang Islam sahaja. Bahkan terdapat pakar undang-undang seperti Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpandangan bahawa undang-undang hudud yang diluluskan ini adalah berada di dalam bidang kuasa negeri sebagaimana Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu ianya tidak menceroboh bidang kuasa Persekutuan dan tidak tidak timbul keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Namun, PAS menyedari bahawa amat perlu suatu langkah yang besar ini mendapat legitimasi demokrasi melangkaui badan perundangan negeri Kelantan di samping untuk memberi peluang kepada ruang perbahasan nasional yang melibatkan semua pihak di dalam negara ini. Oleh kerana itu, PAS memilih untuk membentangkan rang undang-undang di bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Parlimen sendiri memberikan kebenaran kepada Dun Kelantan untuk melulus dan seterusnya melaksanakan Enakmen hudud tersebut. Fakta ini sewajarnya direnungkan dan tidak disembunyikan oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai pejuang demokrasi tetapi begitu bersungguh untuk menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen. PAS juga menghormati ketetapan yang dibuat oleh parti dalam kompenan Barisan Nasional dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan undang-undang hudud ini atas alasan ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat, PAS sedia maklum pendirian Rakan rakan pakatan rakyat tentang hudud dan Rakan rakan pakatan rakyat juga telah sedia tahu bahawa hudud adalah antara perincian kepada agenda perjuangaan Islam PAS yang mustahil untuk dikompromikan. Namun, kerjasama yang dibina adalah berteraskan kepada agenda-agenda yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan agenda tunggal hudud (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993) yang merupakan agenda PAS secara solo yang diperjuangkan PAS jauh lebih awal sebelum pembentukan kerjasama politik di dalam Pakatan Rakyat. Oleh kerana itu, PAS tidak mempunyai sebab untuk memusuhi rakan-rakan Pakatan Rakyat sekiranya Mereka tidak bersetuju dengan PAS dalam soal hudud ini dan Mereka berhak untuk tidak menyokong rang undang-undang yang akan PAS bawa di Parlimen kelak. Perbezaan dalam soal hudud dengan rakan Pakatan Rakyat adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan komitmen dan iltizam Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pemerintahan negara. Justeru, kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam soal hudud ini namun ianya tidak akan sesekali memecahkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang membawa amanah yang diberikan oleh rakyat. Akhir sekali, PAS masih tertanya apakah sebenarnya pendirian Umno terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 (undang-undang hudud) peringkat awal dulu mereka begitu bersungguh mencabar PAS dan menyatakan sokongan padu sekiranya PAS membawa perkara ini (rang undang undang) ke Parlimen. Tetapi hipokrasi Umno terserlah apabila Kerajaan Terengganu di bawah Umno menyekat usaha PAS untuk membawa usul perlaksanaan undang-undang hudud di Dun Terengganu baru-baru ini. Inilah sikap sebenar Umno terhadap Islam yang hanya menjadikan agama sebagai alat politik dan juga bahan untuk melagakan seteru politik mereka. Dalam hal rang-rang undang-undang yang ingin dibawa PAS di Parlimen ini, Presiden Umno wajar menyatakan pendirian dan sikap sebenar dengan ikhlas dan berhenti dari berdolak dalik. PAS bersedia memberi laluan kepada kerajaan untuk membawa cadangan pindaan undang undang untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 secara demokratik dan sedia menerima apa pun keputusan undian di Parlimen | ||||
Uthaya ambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa penjara Posted: 26 Apr 2014 11:56 PM PDT MALAYSIAKINIPemimpin Parti Hak Asasi Manusia dan Hindraf P Uthayakumar membuat permohonan di mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap pengarah penjara Kajang dan dua pegawai lain. Uthayakumar memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, dengan mendakwa bahawa pihak berkuasa penjara tidak mematuhi perintah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Husin supaya membenarkan peguam tahanan untuk bertemu dengannya. Beliau menamakan pengarah penjara Kajang Abdul Wahab Abdul Kassim, inspektor Sajideh Samin dan seorang lagi inspektor yang hanya dikenali sebagai Mackenzie sebagai responden. Dalam notis usul yang difailkan melalui firma guaman M Manogar dan Co , Uthayakumar , yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun enam bulan bagi sabitan bagi kesalahan hasutan, berkata Azman juga telah mengarahkan supaya dia diletakkan di dalam sel yang berasingan bagi banduan politik. Dalam afidavit Uthayakumar bagi menyokong permohonan itu, dia berkata semasa pendengaran di hadapan Azman, dia (Uthayakumar) telah berhujah bahawa pemimpin-pemimpin politik seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditempatkan di blok hospital penjara atas sebab-sebab keselamatan. Menurutnya, ekoran permohonan peguamnya M Manoharan, mahkamah, dalam surat bertarikh 12 Disember tahun lepas, membenarkan supaya dia diasingkan daripada banduan lain, dan diletakkan di suatu tempat khas untuk bantuan politik, dan bahawa dia dibenarkan untuk bertemu dengan Prof Dr Shanmugarajah dari hospital UKM untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, menurut permohonan tersebut, perintah mahkamah itu tidak dipatuhi dan sekitar bulan Februari tahun ini, Uthayakumar telah membawa perkara itu kepada perhatian ketua inspektor untuk memaklumkan kepada pengarah penjara mengenai perkara tersebut. Bagaimanapun, menurut permohonan itu lagi, pengarah penjara tidak mematuhi arahan itu. Berikutan itu, firma guaman Manoharan telah mengeluarkan surat bertarikh 4 Mac tahun ini untuk memaklumkan kepada hakim bahawa syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi, demikian menurut permohonan itu lagi. | ||||
Ahmad Zahid sahkan kecurian di rumah anaknya Posted: 26 Apr 2014 11:53 PM PDT KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bahawa berlaku kecurian di rumah anak sulungnya, Nurul Hidayah, di Country Heights Kajang dekat sini. Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu. "Ya (ada kecurian), barang sahaja yang hilang, tapi pintu tak pecah, tingkap juga tak pecah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dan berkata antara barang yang hilang ialah dua utas jam tangan serta wang tunai RM1,000. Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. Nurul Hidayah, 35, yang merupakan Naib Presiden Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Perumahan Negara Berhad dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta politik, juga pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada Mac lepas, sebelum menarik diri. Diminta mengulas laporan akhbar yang mendakwa 95 peratus pembantu rumah memasuki negara ini menggunakan ejen haram, Ahmad Zahid berkata laporan itu dilihat tidak tepat. "Ada kemungkinan syarikat pengambilan pembantu rumah ini berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, namun telah disalah ertikan sebagai ejen haram," katanya. Beliau berkata, proses pengambilan pembantu rumah, sama ada melalui ejen atau individu, dan setiap permohonan termasuk Journey Performed Visa (JP Visa) yang dilakukan individu sentiasa dipantau serta perlu melalui beberapa tapisan sebelum diluluskan. - Bernama | ||||
Dalam kemeriahan ada kepahitan Posted: 26 Apr 2014 07:12 PM PDT AKHIRNYA, selepas 48 tahun, Presiden Amerika Syarikat (AS) menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Kedatangan Barack Obama, pemimpin kuasa besar dunia itu ke Malaysia disambut meriah, sama seperti kedatangan pemimpin negara lain. Kemeriahan itu terzahir semasa beliau disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet serta pemimpin lain di Dataran Parlimen, semalam. Obama juga seperti biasa tersenyum lebar sepanjang masa, tidak menampakkan kepenatan beliau selepas lawatan tanpa henti ke Jepun dan Korea Selatan sebelum ke sini dan seterusnya akan ke Filipina. Namun kemeriahan itu tidak bermakna tiada kegusaran terpendam dalam hati. Bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi pemimpin dan bekas pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamed juga ada sedikit kebimbangan mengenai tujuan tersirat lawatan Obama ke negara kita. Pastinya kebimbangan utama berkisar kepada rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang berlangsung kini. Kedatangan Obama dikhuatiri memberi tekanan kepada Najib dan kerajaannya untuk bersetuju dengan perjanjian yang dianggap ramai sebagai berat sebelah itu. Penasihat Keselamatan Nasional AS, Susan Rice semasa mengumumkan lawatan Obama ke rantau ini berkata, lawatan ke Malaysia dan Jepun, dua negara anggota TPP akan memberi peluang kepada Obama untuk terus menggerakkan perjanjian itu. Ini pastinya menambah keresahan kumpulan penentang TPP yang terdiri daripada badan bukan kerajaan, ahli politik dan bekas pemimpin yang sudah bersuara mengaitkan kedatangan Obama dengan TPP. AS telah lama mengakui TPP akan membantu menaikkan ekonomi negara itu dan menghasilkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Tentu sekali AS mahukan yang terbaik untuk negara mereka. Tetapi bagaimana dengan Malaysia? Adakah Malaysia akan mendapat manfaat daripada TPP sama seperti AS? Malaysia seolah-olah diberi perhatian istimewa oleh pentadbiran Obama, dengan negara ini tahun lalu dipilih menjadi tuan rumah pertama di Asia Pasifik bagi Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Kali Ke-4, iaitu inisiatif yang dicetuskan Obama sendiri. Pentadbiran Obama kini berusaha menambat hati negara Asia Pasifik sehingga dasar luarnya diubah untuk memfokus kepada rantau ini. Walaupun diakui dasar Malaysia yang berbaik-baik dengan semua pihak memberi manfaat kepada negara, perlu juga diingat kata-kata Perdana Menteri Britain pada kurun ke-19, Henry John Temple bahawa sesebuah negara tidak mempunyai kawan tetap atau musuh tetap, ia hanya mempunyai kepentingan tetap. Dengan kekuatan China, negara kuasa besar Asia yang semakin hari semakin menyengat, AS dilihat terdesak untuk mencari sahabat di rantau ini, dan lawatan kelima Obama ke Asia Pasifik ini mungkin antara petandanya. Di sebalik kemeriahan sambutan kedatangan beliau, di sebalik senyuman tidak putus-putus yang meniti di bibir Obama, banyak hati yang gundah, mungkin termasuk Obama sendiri. | ||||
Program Khas Mesra Rakyat beri peluang rakyat kemuka masalah Posted: 26 Apr 2014 07:09 PM PDT Oleh: AFEEQA AFEERA KLANG : Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) dilaksanakan sejak 2011 di setiap daerah memberi peluang rakyat meluahkan masalah, kehendak, rungutan atau rasa tidak puas hati mereka secara terus kepada Kerajaan Negeri. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebarang masalah atau kehendak penduduk yang dapat diatasi segera akan diselesaikan atau dipenuhi dengan cepat. Manakala katanya mana-mana masalah penduduk yang perlu diteliti dengan lanjut terutama melibatkan duit atau peruntukan akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) untuk dibincangkan dan diputuskan seterusnya dilaksanakan dengan kadar segera. "Kami akan mencuba sedaya upaya mengurangi hal birokrasi atau soal 'remeh-temeh'. "Oleh itu semasa sesi bersama rakyat pada pagi ini hingga ke petang, kerajaan negeri mahu mendengar segala masalah dan kehendak anda semua selain menjelaskan pelbagai program serta skim bantuan kepada rakyat pelbagai peringkat," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena PKMR daerah Klang di Dewan Hamzah, hari ini. Hadir sama, ahli Exco negeri antaranya Dr Daroyah Alwi, Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Datuk Teng Chang Khim dan Iskandar Abdul Samad, ahli Majlis, Ketua Kampung dan pimpinan masyarakat. Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha mengatasi permasalahan rakyat yang berlanjutan lama khususnya berkaitan urusan tanah kediaman. Katanya ia dibuktikan apabila seramai 86 orang penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan 2 diberikan suratan hak milik tanah oleh Kerajaan Negeri hari ini. "Mereka yang diberi milikan tanah ini adalah mereka yang sudah menetap lebih 30 tahun," katanya lagi.EZY | ||||
Selamanya masa untuk laksana hudud tidak ada dalam Umno Posted: 26 Apr 2014 07:02 PM PDT Sewaktu Najib Razak membuat pernyataan sikapnya mengenai hasrat kerajaan Kelantan hendak mengemukakan perundanagn persendirian (private bill) di parlimen bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II (hukum hudud) dilaksanakan, saya berada di Alor Star. Najib juga ketika itu berada di Kedah dan kenyataan itu dibuat dalam perhimpunan apa dinamakan Himpunan Para Ulamak Kedah. Ia berlangsung di kediaman MB di Mantaloon, Alor Star. Kelmarin rupa-rupanya Najib mengadakan lawatan sehari ke Kedah, selain menghadiri majlis ulamak itu beliau juga merasmikan RTC Kedah di Changloon. Jet peribadinya tiba sejam lebih awal dari ketibaan saya. Himpunan ulamak itu diadakan dua hari dan Najib hadir pada hari penutup. Khabarnya beberapa orang tuan guru yang mempunyai pondok, yang sebelum ini menjadi kubu Pas turut sama hadir menyertai himpunan berkenaan. Tidak pasti berapa orang tuan guru yang hadir, kata lima orang guru utama, dan setengah qaul kata hanya seorang sahaja, selebihnya anak-anak buahnya saja. Tetapi menurut lebel yang diletakkan di meja ia menggambarkan semua kawasan menghantar wakil masing-masing. Semua kerusi yang disediakan penuh. Apapun majlis itu memberi merkah tinggi kepada Umno, khasnya kerajaan Kedah dibawah pimpinan Mukhriz anak Mahathir. Mereka yang hadir semuanya berkopiah dan bersemutar (serban). Ia laksana multaqa ulamak anjuran Pas. Kenapa saya katakan ia memberi merkah tinggi, kerana, golongan ulamak atau ustaz yang sebelum ini agak sumbang untuk hadir dalam majlis bersama pemimpin Umno kini sudah tidak ada rasa 'semen malu' lagi. Mereka sudah boleh duduk bersila dan makan beradap dengan pemimpin Umno. Apakah kesediaan para ustaz atau wakil-wakil tuan guru hadir itu mereka diupah dan diangkut dengan bas berhawa dingin? Atau pun mereka hadir kerana sebagai melepas hajat untuk merasai nyaman dan indahnya kediaman MB Kedah kerana semasa orang mereka menjadi MB Kedah (Allahyarham Azizan Razak) dulu mereka tidak pernah dipanggil ke majlis berkenaan? Mungkin? Penegasan Najib dihadapan golongan ulamak semalam, beliau tidak menolak hukum hudud. Maksudnya Umno tidak menolak hukum hudud tetapi cuma tidak sampai masa lagi untuk dilaksanakan. Kononnya masih ada makenisme yang perlu diselesaikan sebelum ia dilaksanakan. Kenyataan sikap Najib itu sudah pasti melunakkan telinga yang mendengar. Ia lebih lunak daripada kenyataan dan ulasannya terhadap hudud sebelum ini yang agak arrogant yang berbunyi "no hudud in Malaysisa". Nada Najib sudah berbeza dalam hal hudud ini. Kali ini bukan tolak hudud tetapi, belum sampai masanya. Bagi mereka yang cetek ilmu politik dan bersikap lapang dada akan menerima penjelasan Najib itu dengan baik. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Amar Abdullah sendiri memberi komen kenyataan Najib itu sebagai positif. Kalau orang seperti Nik Amar menerima baik, apalah dengan pak cik dan mak cik di kampung yang menerima BR1M, tentu akan menerima kenyataan Najib itu dengan baik. Tidak mustahil kalau Najib membuat kenyataan itu dan majlis dihadiri sama oleh Nik Amar dan Ahmad Yaakub mungkin ada yang menjulang Najib seperti mana para penyokong "gedebe merah" (Red Warriors) menjulang Annuar Musa setiap kali Kelantan menjadi juara. Najib akan diidolakan sebagai pejuang Islam tulen. Saya bukan pesimis kepada penerimaan Nik Amar itu, tetapi mencari dari sudut mana dia menerima kenyataan Najib itu sebagai positif. Apakah dia lupa yang Najib bercakap atas sifatnya selaku orang politik? Mungkin ia akan boleh dianggap positif kalau selepas ini Najib menyiapkan segala keperluan untuk mejayakan pelaksanaan hukum hudud itu. Pertamanya, Najib memberi jaminan yang Umno akan menyokong private bill yang akan dikemukakan di parlimen. Kedua, memberi arahan agar Jakim dibawah Jamil Khir Bahrum menubuhkan jawatankuasa teknik pelaksanaan bersama dengan kerajaan negeri Kelantan. Sejumlah wang, tak kira diambil dari wang royalti minyak diperuntukan untuk jawatankuasa berkenaan. Juga sebuah badan khas dibentuk untuk memberi penjelasan mengenai keperluan dan keutamaan hukum hudud kepada semua pihak terutamanya mereka yang masih keliruan mengenai hukum berkenaan dan menolak mentah-mentah atas sentimen kaum, bangsa dan kepentingan politik. Kalau hal itu diarahkan Najib barulah ia boleh dianggap sebagai positif. Kalau setakat Najib hanya mengatakan tidak tolak, tetapi usaha ke arah melaksanakannya tidak ada ia tidak memberi apa-apa erti. Ia hanya bagaikan menukar arak ke dalam botol oren sahaja, dimana ia tetap haram untuk "ditogok" oleh orang Islam. Seperti mana singgung Husam Musa, pendirian Najib itu juga jelas sudah bertentangan dengan jaminan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir sebelum ini yang mana beliau kononnya akan sedia memberi laluan termasuk menyokongnya di parlimen. Apabila Najib menyebut belum sampai masanya, secara automatik pengakuan Jamil itu mampus. Kongkalikong Najib dan Jamil seperti dipersoalkan Husam perlulah diteliti dengan bijaksana. Jangan cepat masuk ke dalam jerat ketika umpan masih pun lagi diletak ke dalam jerat. Pemimpin Pas jangan mudah teruja dengan sikap dan kata-kata pemimpin Umno mengenai hukum hudud ini. Jangan pula kerana terlalu mempercayai jaminan Umno menyebabkan persepakatan politik yang membawa Pas ke tahap hari ini relai di tengah jalan. Misalnya kenyataan presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menegaskan parti itu akan tetap laksanakan hukum walaupun tanpa sokongan PKR dan DAP adalah kenyataan yang bengis. Abdul Hadi tidak perlu ego untuk melasakanakan tuntutan Islam dalam sebuah negara seperti Malaysia ini. Sikap menarik rambut dalam tepung hendak dijadikan amalan. Perhatikan kepada Umno, saya yakin ada juga ulamak mujtahid (bukan tahi) di dalam Umno yang inginkan melaksanakan Islam, tetapi mereka lebih berhati-hati kerana menyedari realiti politik. Mereka tidak pun bercakap sebaliknya mencari hujah dan dalil untuk memaafkan mereka. Satu segi cara itu adalah bijaksana. Pas boleh melaksanakan hukum, dengan syarat mereka tidak menggunakan kuasa politik untuk melaksanakannya. Mereka perlu mencari kekuatan dan power dengan cara lain. Selagi mereka berusaha menerusi kuasa politik ia perlu berhati-hati. Pas, khasnya presiden kena sedari Pas tidak mempunyai 21 kerusi parlimen kalau bukan mengadakan "tahaluf syiasi" dengan PKR dan DAP dalam pilihan raya lalu. Kalau tidak percaya Pas boleh mencuba untuk pilihan raya ke 14 nanti, bertanding secara bersendirian dan tenguk sejauh mana pencapaian Pas. Selagi Pas bergantung sokongan politik dengan pihak lain, Pas tidak boleh mengabaikannya, suka atau tidak perlu mengambil kira pandangan dan teguran mereka sama. Atau pun sikap idealis sesetengah pihak dalam Pas untuk laksanakan hudud itu dengan menggunakan makenisme politik tidak perlu tunggu selepas pilihan raya ke-14, Pas boleh bergabung dengan dengan Umno, dan cubalah. Umno kini ada 88 kerusi dan bila dicampur dengan Pas 21 berjumlah 109 kerusi. Apakah lalauan mudah untuk laksanakan hudud kandati bersama Umno akan berjaya atau tidak? Cubalah. Bagi saya masa depan hukum hudud tidak akan ada ditangan Umno buat selama-lamanya kerana Umno itu sendiri adalah anti hukum hudud. Yang bercakap menyokong hudud itu bukan Umno tetapi Najib secara peribadi. Kalau ia merupakan sokongan Umno, sudah tentu parti itu akan mendesak pemimpinnya untuk melaksanakan hudud dengan bermaufakat dengan Pas. Keseriusan ini akan jelas sekiranya Umno mengadakan perhimpunan khas untuk membincang ke arah membantu Pas itu. Kepada Pas jangan orang hanya melambai kita sudah berlari ke arahnya! | ||||
PAS sedia bermuzakarah tentang hudud Posted: 26 Apr 2014 07:00 PM PDT MALAYSIAKINI PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan di negeri itu. "Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak," katanya apabila diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan Umno perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai. Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk "Wisma Ilmuan Kelantan" di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata: "Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan". Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, PKR menolak pelaksanaan hukum hudud, Abdul Hadi berkata: "Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi." Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang pada tahun 2011. PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini. Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudahpun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.- Bernama | ||||
PAS P Pinang ikrar bantu DAP kekalkan Bkt Gelugor Posted: 26 Apr 2014 06:57 PM PDT MALAYSIAKINI Atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, PAS Pulau Pinang mengerahkan jenteranya "semaksima mungkin" membantu DAP mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gelugor 25 Mei depan. Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu berkata Dewan Harian PAS negeri yang bermesyuarat menubuhkan jawatankuasa pilihan raya kecil bagi membantu calon DAP mempertahankan kerusi parlimen itu. Beliau adalah kawan rapat dan teman sepanjara dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. "Jentera kita mula bekerja dari sekarang sehingga 25 Mei untuk memenangkan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Mohamad yang mesra dipanggil 'Abang Mat' berkata beliau dilantik sebagai penasihat, manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengetuai jawatankuasa pilihan raya kecil bagi PAS negeri itu. Mohamad juga menepis desas-desus bahawa namanya disebut-sebut menjadi calon dalam pilihan raya kecil parlimen itu, sebaliknya beliau menegaskan kerusi itu merupakan kerusi milik DAP. "Berita itu daripada cakap-cakap di bawahan. Kita (PAS) akan bantu calon DAP," katanya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 25 Mei, penamaan calon pada 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lepas. Dalam pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh, 74, menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam. Abdul Aziz berkata bagi Pilihan raya kecil (PRK) itu, Dewan Sri Pinang, Georgetown dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi. Sebanyak 21 pusat pengundian akan dibuka, 17 daripadanya untuk pengundian biasa dan selebihnya untuk pengundian awal. Seramai 82,431 pemilih berdaftar terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara | ||||
MB: Penjadualan air dijangka tamat minggu depan, air lombong selamat Posted: 26 Apr 2014 06:56 PM PDT Oleh: AFEEQA AFEERA KLANG : Kerajaan Negeri dijangka menamatkan penjadualan air di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu depan sekiranya projek pengepaman air dari kolam bekas lombong ke empangan Sungai Selangor mendapat hasil positif. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebarang perkembangan akan diumumkan Exco negeri, Dr Yunus Hairi yang dilantik sebagai jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai status air mentah dan air terawat di Selangor. "Saya jangka catuan ditamatkan minggu depan jika keadaan ini baik dan akan diumumkan Yunus sebagai jurucakap kerajaan negeri," katanya dalam sidang media pada Program Khas Mesra Rakyat Daerah Klang di Dewan Hamzah, di sini. Sementara itu, Abdul Khalid berkata penggunaan air dari bekas lombong sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor dijamin selamat untuk digunakan berdasarkan hasil kajian mendalam daripada pakar. Katanya pakar juga mendapati air dari bekas lombong adalah jauh lebih baik lebih-lebih lagi lombong berkenaan berusia puluhan tahun. "Kita sudah menguji tahap kimia dalam air tersebut dan pakar berpandangan ia dibenarkan dan jauh lebih baik kerana air lombong ini adalah dari lombong lama, bukan lombong dua atau tiga tahun (usianya). "Lombong ini sudah berusia 30 tahun dan airnya jauh lebih bersih daripada air sungai," katanya lagi. Abdul Khalid turut memaklumkan pihak jabatan kesihatan sudah dimaklumkan mengenai usaha berkenaan dan mendapati tiada masalah dengan langkah kerajaan negeri itu. Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri sudah memiliki lapan buah mesin berkeupayaan tinggi yang mampu mengepam air sekurang-kurangnya 400 juta liter sehari (JLH) dan berharap ia boleh ditingkatkan sehingga 700 ke 900 JLH. "Jadi saya rasa kita akan capai ke tahap itu dan sekiranyan paras empangan di Sungai Selangor mencatat peningkatan, catuan akan ditamatkan," katanya.EZY | ||||
PKR bidas IGP masih mahu notis 10 hari PAA Posted: 26 Apr 2014 06:45 PM PDT MALAYSIAKINI Naib Presiden PKR N Surendran menyifatkan pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa mereka yang mengadakan perhimpunan awam masih perlu memberi notis 10 hari, sebagai 'tidak bertanggungjawab ', 'angkuh ', dan 'mengingkari' mahkamah Surendran berkata ekoran keputusan Mahkamah Rayuan bahawa adalah tidak sah untuk menghukum mereka yang gagal berbuat demikian, maka tidak ada undang-undang untuk menguatkuasakan keperluan tersebut. Alasan mahkamah, tegas Surendran, ialah hak orang ramai untuk berhimpun secara aman tidak boleh tertakluk kepada 'criminal sanction'. Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Khalid perlu membaca penghakiman penuh sebelum membuat komen yang mengelirukan. Surendran , yang merupakan peguam perayu dalam kes tersebut, menjawab komen Khalid mengenai Akta Perhimpunan Aman PAA ) 2012 yang disiarkan oleh The New Straits Times online hari ini. Khalid dilaporkan berkata walaupun mahkamah telah membatalkan Seksyen 9 ( 5) PAA berkaitan hukuman kerana tidak memberi polis notis 10 hari, tetapi keperluan itu, katanya, masih kekal dalam Seksyen 9 (1) undang-undang yang sama,. Khalid dilaporkan berkata bahawa keperluan undang-undang itu perlu dipatuhi kerana ia menyatakan bahawa notis 10 hari hendaklah dikemukakan (sebelum mengadakan sebarang perhimpunan). Surendran berhujah bahawa tanpa Seksyen 9 (5), maka tidak ada kewajipan undang-undang untuk orang ramai memaklumkan kepada pihak polis tentang perhimpunan yang akan diadakan dan oleh itu, pemakluman tersebut adalah sukarela semata-mata. "Pemakluman kepadapihak polis mungkin boleh membantu dari segi kawalan trafik dan logistik yang lain, dan perlu digalakkan. Malah, katanya, adalah diharapkan kebanyakan penganjur perhimpunan besar akan terus secara sukarela memaklumkannya kepada pihak polis mengenai tarikh dan tempat perhimpunan | ||||
Majlis Pakatan didesak selesai segera isu hudud Posted: 26 Apr 2014 06:43 PM PDT MALAYSIAKINI Ketua Pemuda Sosialis DAP, Teo Kok Seong hari ini mendesak Majlis Tertinggi Pimpinan Pakatan Rakyat supaya bertindak pantas untuk menyelesaikan isu perlaksanaan hudud di Kelatan agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan. Katanya, Pakatan yang dianggotai tiga komponen parti - PKR, PAS dan DAP - mendapat sokongan kerana manifesto bersama dan dasar bersama yang dipersetujui ketiga-tiga parti itu, dapat diterima majoriti rakyat Malaysia. "51 peratus pengundi di Malaysia memberi sokongan dan mandat kepada Pakatan Rakyat dengan 89 ahli Parlimen mewakili suara mereka di Dewan Rakyat," kata Teo yang juga ahli Parlimen Rasah dalam satu kenyataaan. "Selain itu, sokongan rakyat terhadap dasar bersama Pakatan Rakyat telah berjaya membolehkan Pakatan mempertahankan kerajaan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. "Saya amat yakin semangat bermuafakat di antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan dapat menyelesaikan segala perbezaan fahaman serta pandangan," katanya.. Pada masa yang sama, katanya, Pakatan seharusnya menumpukan kepada usaha menyelesasaikan masalah ekonomi dan sosial yang sudah semakin parah ketika ini. "Apatah lagi kelak apabila GST dilaksanakan. Saya tak dapat membayangkan bebanan hidup rakyat ketika itu sedangkan kita sesama sendiri berbalah hal hudud. "Seharusnya ketika ini kita mencari titik penyatuan,bukan perbezaan. "Jangan kita lupa, BN ditolak majoriti rakyat Malaysia kerana mereka gagal menepati janji mereka. Maka adalah wajib bagi Pakatan Rakyat untuk terus berusaha demi menunaikan janji-janji yang telah kami tawarkan. "Akhir sekali, kenyataan Sdr Lim Kit Siang pada 24 April 2014 haruslah dijadikan rujukkan dan juga peringtan yang penting kepada kita semua," tambahnya. | ||||
Polis cadang lokasi alternatif perhimpunan bantah GST Posted: 26 Apr 2014 06:41 PM PDT MALAYSIAKINI Polis meminta penganjur perhimpunan bagi bantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini, dipindah ke lokasi baru yang lebih sesuai. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata penganjur perlu mengambil kira banyak isu keselamatan dan ketenteraman awam di bandar raya ini sebelum meneruskan perhimpunan itu di Dataran Merdeka, lapor Bernama. "Kita khuatir jika diteruskan di situ, ia akan mendatangkan ketegangan dan mengganggu keselesaan orang awam. "Lagi pula buat masa ini, Dataran Merdeka tidak boleh digunakan kerana masih menjalani proses menaik taraf padang dan tidak sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti memandangkan terdapat mesin dan bahan binaan seperti besi dan kayu-kayan di sekeliling padang," katanya dalam sidang media hari ini. Beliau berkata pihaknya pernah mengadakan mesyuarat bersama penganjur perhimpunan, yang dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S.Arutchelvam, berhubung perkara itu. "Mereka kata hanya akan dapat bagitahu keputusan (pindah lokasi) Isnin ini selepas berbincang dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu), namun kita berharap mereka bersetuju dan kemudian mengadakan perhimpunan itu di Padang Merbok atau Stadium Merdeka," katanya. Zainuddin turut menjangkakan kesesakan jalan raya di Jalan Raja, Jalan Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut pada hari perhimpunan. Setakat ini, polis menerima 31 laporan membantah cadangan mengadakan perhimpunan itu, katanya. - Bernama Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap jawatankuasa perhimpunan bantah GST 1 Mei, S Arutchelvan berkata penganjur akan bermesyuarat esok bagi membincangkan tempat alternatif. Arutchelvan telah bertemu dengan Zainuddin petang ini selama kira-kira 20 minit. "Pada dasarnya mereka menunjukkan kepada kita gambar padang di Dataran Merdeka di mana pembinaan telah dijalankan dan kita bersetuju untuk tidak turun ke padang," katanya. Menurutnya, mereka mencadangkan menggunakan jalan di hadapan Dataran Merdeka atau mungkin ruang awam lain dan pihak polis memberitahu akan menemui mereka semula. Arutchelvan yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata mesyuarat dengan pihak polis yang bermula jam 4.10 petang tadi berjalan dengan baik. "Polis berkata mereka mahu membantu kami seperti menempatkan kakitangan perubatan dan ambulans, jadi mereka perlu tahu lokasi sebenarnya," katanya. Arutchelvan berkata jawatankuasa itu dijangka akan membuat keputusan tengah hari esok. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan