Jumaat, 18 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Karpal Singh walaupun sudah tiada, suaranya masih bergema

Posted: 18 Apr 2014 04:30 AM PDT

MSO

Kandati berkerusi roda Karpal tetap hadir parlimen.
 
Pagi ini tidak ada khabar paling menggempar dan menyedihkan melainkan berita kematian ahli Parlimen dan peguam kanan Karpal Singh, 74 akibat kemalangan jalan raya di kilometer 301.6 lebuh raya Utara-Selatan jam 12:45 pagi tadi. Kemalangan itu juga turut membunuh pembantunya Michael Cornelius manakala anaknya Ram Karpal dan pemandunya cedera parah.

Kematian Karpal merupakan suatu kehilangan buat negara dan ia dirasai oleh semua orang yang mengenali kehebatannya sebagai anggota parlimen dan juga sebagai peguam digeruni.

Nama Karpal Singh sinonim dengan dua institusi parlimen dan mahkamah. Menyebut parlimen tidak sah kalau tanpa menyebut namanya. Beliau tidak pernah menyepikan diri dalam parlimen atau hadir untuk mendapat elaun, tetapi akan bangun setiap kali ada isu-isu khasnya berhubung dengan berkaitan perundangan dan perlembagaan. Beliau seorang yang sangat pratikal dengan undang-undang.

Isu-isu kenegaraan akan tetap menjadi perhatiannya. Beliau seorang bukan saja, tegas tetapi berani dan berprinsip. Mendiang akan menegur dan mengkritik sama ada kawan atau pun lawan.

Walaupun beliau mengalami kecacatan, lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada tahun, 2004 dan terpaksa berkerusi roda, tetapi tidak pernah absent menghadiri sidang dewan. Beliau juga seorang ahli parlimen yang kompetem dan lantang untuk menyuarakan isu-isu mengenai kemanusiaan terutamanya dalam soal ketidakadilan, penganiyaan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.


Business card Karpal yang masih dalam simpanan saya.
Di mahkamah pula Karpal dikenali seorang peguam yang bijak dan berpengetahuan luas. Atas kejayaanya membela kes-kes berprofil tinggi menyebabkan beliau menjadi peguam idaman ramai walaupun terpaksa mengenakan bayaran yang tinggi. Justeru mereka yang tidak mampu tidak berani untuk membuka fail di pejabat guamannya.

Tetapi ramai orang tidak tahu yang mendiang seorang yang pemurah dan baik hati. Beliau sedia memberi khidmat kepada sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit secara percuma atau mengenakan bayaran minimum, atau mengikut kadar kemampuan. Bahkan beliau pernah membela seorang pelanggan tanpa mengenakan sebarang fee.

Saya tidak banyak mengenali ahli parlimen dan peguam ini secara peribadi. Sepanjang hayatnya saya hanya sempat mengadakan temuramah eksklusif dengannya sekali saja untuk mengisi sebuah penerbitan saya. Pertemuan itu berlangsung di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu adalah intraksi pertama saya dengan beliau selain di parlimen, sesekali saya terserempak dan menegurnya. Karpal seorang yang peramah dan mudah didekati dan senang diajak berbual walaupun kelihatan garang. Mendengar kisah-kisahnya di mahkamah sesuatu yang menarik. Melucukan satu cerita, beliau membela seorang pelanggan yang dituduh mencuri kerbau. Untuk memastikan apakah pelanggannya benar mencuri kerbau berkenaan, beliau meminta agar kerbau itu dibawa ke mahkamah untuk dicamkan oleh si penuduh.

Katanya, hakim bersetuju dengan cadangan itu dan kerbau yang dicuri itu diminta dicamkan oleh si penuduh. Selepas membuat pegecaman, si penuduh itu tidak dapat memastikan apakah ia kerbau miliknya atau tidak. Kegagalan si penuduh mengenali kerbau itu menyebabkan pelanggannya itu dilepas dan dibebaskan dari tuduhan mencuri.

Seperti mana diketahui umum, Karpal Singh seorang yang tegas dengan prinsipnya. Beliau juga seorang yang komited dan berpegang serta mengamal kepada apa yang dipelajarinya. Beliau sangat berpegang kepada undang-undang dan perlembagaan. Tentangan kepada pelaksaan hukum hudud sehinggakan menimbulkan kebencian umat Islam kepadanya, dihadapi secara tegas dan konsisten. Kerana kalau difahami kenapa beliau 'menentang' orang akan faham, apa yang ditentangnya bukan kerana ia hukum Islam tetapi kerana tidak dapat dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan. Tentangannya dari konteks perlembagaan negara ini.

Beliau menegaskan kalau hendak melaksanakan hudud kena langkah mayatnya dahulu, kerana beliau akan menentang berdasarkan undang-undang dan apa termaktub dalam perlembagaan. Kekeliruan mengenai anologi ini menyebabkan ia menjadi isu dan menyebabkan timbul kebencian berdendam kepadanya. Kebetulan pula ia diecer oleh musuh politiknya.

Sebagai seorang berprinsip dan tegas Karpal Singh tidak gentar beliau tetap dengan pendirian dan keyakinannya. Seperti difahami perbezaan pandangan dan pendapat Karpal adalah dari sudut perundangan dan perlembagaan sahaja. Sekiranya undang-undang dan perlembagaan membenarkan, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa kerana beliau ketiadaan hujah-hujah lagi.

Nah, hari ini orang yang dianggap menjadi penghalang hukum hudud nombor satu itu sudah tidak ada lagi dan apakah hukum hudud akan dapat dilaksanakan semudah dianggap sekiranya tanpa penentangannya?

Mengingati ahli parlimen yang tidak akan ada dua atau tiga itu, saya ada sesuatu yang boleh dijadikan cenderahati di antara saya dengannya. Entah kenapa sebaik isteri mengkhabarkan yang Karpal sudah mati Subuh tadi, saya teringat kepada sesuatu yang diberikan Karpal itu. Saya terus mencarinya yang tersimpan dalam sebuah kotak bersama ratusan yang lain. Entah kenapa dan mengejutkan pula, begitu diambil untuk mencarinya, jari terus tercapai apa diberikan Karpal itu. Ia adalah sekeping business card yang diberikan kepada saya kira-kira 25 tahun lalu.

Saya simpan business card Karpal ini bukan kerana apa melain kerana namanya turut ditulis dalam tulisan Jawi.  Kad ini diberikan Karpal sewaktu saya berjumpa dengnnya di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz, Subang. Takziah kepada keluarga Karpal Singh. Kehilangan mu amat menikam rasa

Mengikut jejak Sang Harimau

Posted: 18 Apr 2014 04:23 AM PDT



Oleh Izmil Amri

MATAHARI seakan tidak terbit di langit Kuala Lumpur hari ini. Mendung pagi seolah-olah memberi isyarat bahawa jam di dinding sedang menipu, dan langit yang gelap dan suram itu bagaikan sedang berduka. Titis-titis hujan yang terpercik ke cermin tingkap bilik bagaikan air mata. Di sisi katil saya duduk termangu dengan ingatan yang belum pudar sejak kejadian semalam.

Jarang sekali saya begitu terkesan dengan kematian. Kecuali dalam hal pemergian ahli keluarga terdekat, saya sukar merasa hiba. Maka rasa berat yang merundung rongga dada ini sejak lebih dua puluh empat jam lalu ibarat petanda bahawa ada ruang yang begitu besar, kelompangan yang begitu susah untuk diisi.

Demikian hebat sosok yang bergelar Harimau Jelutong itu sehinggakan saya yang tidak ada kena-mengena ini merasakan kehilangan yang sangat luar biasa. Bagaikan tercabut nafas seketika waktu berita itu saya terima, lalu bergegas mendapatkan pengesahan.

Kicauan twitter mengatakan 'Confirmed. The Tiger of Jelutong is no longer with us,' saya tulis dengan hati yang cukup berat. Susur-masa laman sosial itu kemudian bergerak laju dengan kicauan simpati dan terkejut tentang hal itu. Tulisan demi tulisan meluahkan rasa sedih, tidak kurang yang tenang menerima takdir seraya menyebutkan hal yang baik-baik tentang mendiang. Ternyata sang harimau telah banyak meninggalkan kesan dalam kehidupan ramai orang.

Ya, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Namun harimau nan seorang ini meninggalkan lebih dari sekadar nama dan belang sebagai legasi sosok pemimpin politik dan peguam ulung yang menjadi lagenda zaman-berzaman. Sepertimana banyak harimau lain yang menyusur denai di hutan, bekas tapak kakinya itu pasti menjadi ikutan bagi yang berani, atau dijauhi mereka yang tidak mahu bertemu mata dengannya.

Baru sahaja seminggu sang harimau mengaum di Parlimen. Dua puluh satu tahun lamanya sang harimau dirujuk sebagai 'Jelutong'; kawasan Parlimen saya di Pulau Pinang. Setelah sekian banyak ngaumannya mendiamkan rakan dan lawan yang berucap di dewan itu, Khamis 10 April lalu adalah kali terakhir Speaker Dewan merujuknya dengan nama kawasan Parlimennya, Bukit Gelugor.

Dalam ucapan itu, Bukit Gelugor diminta speaker untuk membantunya dalam hal usul mempertikai kredibiliti beberapa orang hakim sepertimana yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. Jadi Bukit Gelugor, meski terpasung ke kerusi roda dan tiada boleh banyak bergerak lantang sahaja bersuara 'Tuan Speaker jangan main-main dengan Perlembagaan'.

Itu pesannya yang terakhir kepada Parlimen Malaysia, supaya jangan main-main. Pesanan ini juga terpakai kepada sekalian yang mahu menjadi sepertinya, seorang pembela nasib rakyat dan suara lantang marhaen yang dipinggir pembangunan.

Namanya itu jadi sebutan orang, sebagai peguam yang handal, ahli politik yang tegas dan berani. Ini semua orang tahu. Kita tahu ini dari cakap-cakap orang ramai yang mendengar tentangnya dari mulut orang lain yang barangkali mendapat khabar dari sahabat handai mereka pula. Namanya itu sahaja sudah cukup untuk membuat kita menoleh dan mencuri dengar apa yang sedang dibualkan tentangnya.

Tidak kurang juga kita mendengar cemuhan tentang beliau. Ini kelaziman dan lumrah seorang figura politik yang sedemikian hebat. Hatta sehingga habis nyawa pun masih ada yang tidak puas hati dan melontarkan kata-kata kesat kepadanya. Begitu hebat sekali kesan yang dibawa oleh beliau sehinggakan musuh-musuhnya itu begitu obses dan sentiasa melompat apabila disebut sahaja namanya itu.

Namanya itu dihafal banyak anak muda mahasiswa yang menadah kitab-kitab undang-undang.
Sebagai peguam tersohor, namanya itu melekat dalam laporan-laporan kes berprofil tinggi dan menjadi rujukan peguam-peguam muda serta hakim-hakim bergelar yang arif. Sewaktu proses mitigasi kes hasutannya di mahkamah lebih sebulan lalu, anaknya yang juga peguamnya mengambil masa hampir sepuluh minit untuk membacakan senarai kes berprofil tinggi yang berpemberat namanya sahaja.

Itulah dia Karpal Singh; Pengerusi Kebangsaan DAP yang meletakkan jawatannya sebagai tanda kepatuhan kepada undang-undang yang menghalangnya memegang jawatan setelah disabit kesalahan di bawah Akta Hasutan. Hebat sosok ini, yang pada 73 tahun usia pun masih dipandang sebagai satu ancaman kepada pemerintah, dan kata-katanya dikira boleh menggugat kedudukan penguasa.

Karpal Singh, meski putih janggutnya itu menambahkan lagi ciri harimaunya, bukanlah sebengis yang disangka. Harimau nan satu ini lembut hati dan mudah tersenyum, dan menyambut celaan dan cabaran dengan dada yang lapang dan manis muka. Karpal Singh, insan yang benar pada kata-kata dan berkata-kata dengan benar, insan yang membahasakan orang lain sebagai 'kawan-kawan'.

Sudah sampai masanya barangkali untuk 'kawan-kawan' Karpal terus bergerak maju dan mengisi kekosongan yang telah beliau tinggalkan. Jejak sang harimau adalah untuk diikuti mereka yang berani. Satu Karpal pergi, seribu Karpal akan bangkit berdiri.

Terima kasih Saudara, atas segala jasa. Berehatlah dengan aman, tenang-tenanglah di sana. – Roketkini.com

Riwayat seorang harimau (bahagian II)

Posted: 18 Apr 2014 04:19 AM PDT


karpal harimau

Al-Mustaqeem M Radhi

Tulisan ini dikarang pada tahun 2012 untuk tujuan penerbitan dalam buku "Pantang Undur", sempena ulangtahun ke-70 Karpal Singh. Entah bagaimana, makalah ini tercicir daripada penerbitan buku tersebut dan baru hanya disedari pada hari ini, 17 April, hari Sang Harimau meninggal dunia. 

Kini ia diterbitkan buat pertama kali dalam Roketkini menurut edisi asal tanpa sebarang penambahan atau suntingan.

Zaman Muda

Sebagai peguam yang membuatkan saksi-saksi menggigil sebelum sempat dia membuka mulut dan sebagai salah seorang ahli perundangan paling pintar dalam negara, Karpal rupa-rupanya telah menghabiskan masa yang lama untuk menamatkan pengajian.

"Saya mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan pengajian. Semakin lama kita mengetuk besi, semakin ia kuat … itu alasan saya kerana mengambil masa lama! Sebenarnya saya banyak bermain dulu, tak hadir kuliah dan sebagainya.

Di tahun akhir pengajian, hanya Karpal seorang yang gagal, lalu dekannya, Tommy Koh, mengarahkannya duduk di depan kelas bersamanya. "Jadi saya tak boleh berlagak bodoh lagi, lalu saya lulus periksa!"

Melihat gambar-gambar Karpal sewaktu muda, dia berserban. Dalam wawancaranya dengan Martin Vengadesan untuk akhbar The Star, Karpal mendedahkan bahawa dia berserban sehingga tahun 1970.

"Malah, pada tahun 1969, di Pulau Pinang, saya telah bersedia untuk memotong rambut dan saya telah pun duduk di atas kerusi tukang gunting menunggu giliran saya ketika saya melihat ke luar tingkap dan melihat ayah saya berbasikal berhampiran kedai itu! Saya lari keluar.

"Tahun berikutnya, saya berada di Alor Setar. Cuaca di musim menuai panas. Saya baru saja memulakan kerja guaman. Banyak masa diambil untuk membasuh rambut dan membalut serban. Saya memutuskan untuk melakukan sesuatu.

Pada suatu hari Karpal membuat keputusan sukar. Ketika bersendirian dalam biliknya, berjalan bolak-balik sambil menimbang-nimbang keputusannya, dia akhirnya mengikat rambutnya dan memotong bahagian ekor rambut. "Setelah itu saya ke sebuah kedai gunting untuk mendapatkan guntingan yang betul."

Selesai satu bab. Seterusnya dia perlu berdepan dengan ibu-bapa. Dia memakai serban sewaktu pulang, tetapi ibunya terperasan setelah melihat kepalanya dari belakang. Ibunya mula menangis dan meraung. "Kamu memalukan keluarga!" katanya.

Dia bernasib baik kerana ayahnya ada. "Tenang-tenang saja, orang perempuan memang suka buat kecoh." Ayahnya menasihatkan Karpal untuk terus memakai serban untuk beberapa lama lagi sehingga ibunya terbiasa dengan langkah yang mahu diambilnya. "Saya memakai serban untuk setahun lagi sebelum membuangnya terus. Tapi untuk majlis-majlis istimewa, seperti perkahwinan anak-anak saya, saya pakai serban."

Buah Hati Pengarang Jantung

Pada tahun 1945 di Philadelphia, Meryll Frost, pemain quarterback bolasepak Amerika, telah dipilih sebagai "Most Courageous Athlete of the Year". Beberapa tahun sebelum itu Meryll telah terlibat dalam suatu kemalangan maut yang menyebabkan bahagian atas tubuhnya, termasuk leher dan kepalanya melecur teruk. Setelah pulih, dia kembali dan bermain dengan cemerlang untuk pasukannya. Sewaktu menerima pialanya, pemain asal Kanada itu berkata, "Kata orang di sebalik setiap lelaki hebat ada seorang wanita hebat. Saya bukan seorang lelaki hebat, tetapi di belakang saya ada seorang wanita hebat."

Kata-kata itu, konon pertama kalinya dicetak dalam akhbar di Texas, The Port Arthur News, pada Februari 1946, amat sajak untuk menggambarkan peranan Gurmit Kaur dalam kehidupan Karpal Singh.

Pasangan ini telah bersama sejak lebih 40 tahun lalu. Namun, seperti yang didedahkan dalam akhbar The Star pada September 2006, kisah pertemuan mereka telah bermula jauh lebih lama sebelum itu, iaitu sejak Gurmit bertemu dengan Karpal yang sedang membantu ayahnya mengembala lembu di Thean Teik, sebuah kawasan mundur di Pulau Pinang ketika itu. Bagaimanapun di waktu itu mereka hanya berkawan—Gurmit baru berusia lapan tahun dan Karpal enam belas.

Ibu bapa Gurmit berhijrah ke Narathiwat, di selatan Thailand, dari Punjab, India, pada tahun 1930an. Di sana Gurmit dilahirkan. Sewaktu umurnya tujuh tahun, keluarga mereka berhijrah pula ke Pulau Pinang dan menetap di Kampung Melayu, Air Hitam. Manakala Karpal pula ketika itu tinggal di MacAlister Road.

Karpal menjadi kawan baik bagi abang-abang Gurmit, menjadikannya "adik kecil" mereka.
Menurut Gurmit, mereka berkawan selama sepuluh tahun tanpa memikirkan tentang hubungan selain itu. "Hanya setelah saya tamat Tingkatan Lima dan Karpal kembali dari Singapura untuk membuat chambering barulah terasa ada kelainan."

"Dia telah lama memerhatikan saya, tetapi saya terlalu muda untuk menyedarinya.

Karpal rupa-rupanya telah lama memasang mata. Dia kadang-kadang duduk di hentian bas menunggu Gurmit keluar dari sekolah. Di perpustakaan yang sering dikunjungi Gurmit pula, Karpal diam-diam duduk di suatu sudut.

Gurmit mengagumi Karpal yang tidak mendekatinya sehinggalah dia cukup dewasa untuk memahami soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Setelah Gurmit tamat sekolah, Karpal mendekatinya. "Dia berkata, kurang lebih: 'Boleh aku berjumpa dengan ayah kamu? Sebab saya mahu mengahwini kamu!' Itu dia Karpal. Dia mahu mendapatkan persetujuan ibu-bapa saya sebelum kami terus berkawan."

Selama Gurmit menempuh pendidikan A-Level, mereka bertemu untuk minum kopi, bertukar-tukar hadiah harijadi dan 'bercintan-cintun'. Perpustakaan Pulau Pinang sering menjadi tempat mereka ber-dating.

"Apabila dia datang meminta restu ayah saya untuk perkahwinan kami, ayah sama berkata kepadanya, 'Tak ada orang lebih baik daripada kamu yang aku boleh dapatkan untuk anakku, tak ada menantu lebih baik yang aku mahukan.' Karpal selalu mengulang-sebut kata-kata ini kepada saya!"

Mereka berkahwin pada tahun yang sama Karpal menubuhkan firma guamannya sendiri dan menyertai DAP, pada tahun 1970. Tidak lama kemudian mereka menerima cahaya mata pertama Jagdeep, diikuti oleh Gobind, Ram, Sangeet dan Mankarpal.

Pasangan ini telah bersama-sama mengharung banyak kejayaan dan juga kepahitan. Antara yang paling memeritkan ialah kemalangan yang menimpa Karpal beberapa tahun lalu dan juga sewaktu dia ditahan di bawah ISA pada tahun 1987.

Beberapa bulan sebelum Karpal ditahan di bawah ISA, Gurmit melahirkan anak bongsu mereka. Man Karpal, satu-satunya anak Karpal yang tidak memasuki bidang guaman, pada awalnya dinamakan Karpal Singh, Jr. kerana dia dilahirkan pada tarikh yang sama dengan ulangtahun harijadi Karpal yang ke-47.

"Ketika itu banyak orang bercakap-cakap di kuil Sikh. Kata mereka tidak boleh ada dua harimau, sebab yang satu akan membaham yang lain. Setelah dibebaskan, saya dapati namanya telah diubah menjadi Man Karpal!" cerita Karpal.

Penahanan Karpal di bawah ISA memberi kesan besar kepada Gurmit. Ketika itu anak-anak mereka masih kecil dan beberapa orang daripada mereka sedang bersiap untuk menghadapi peperiksaan di hujung tahun. "Saya terpaksa tabah agar beban kami tidak [hanya] ditanggung olehnya," ujar Gurmit.

Tidak banyak orang tahu, salah satu hobi Karpal ialah melukis kartun-kartun kecil. Dia suka membuat kad ucapan harijadi untuk semua anaknya. Setiap satunya mengandungi cerita dan lukisan tangannya sendiri.

Karpal sedang ditahan di bawah ISA ketika harijadi Gurmit pada 10 Mei 1987. Pada hari itu Gurmt merasa sedih dan kehilangan arah. Lalu dia ke pejabat Karpal. Tiba-tiba salah seorang pembantu pejabat meluru masuk pejabat dan memberitahu bahawa ada kiriman untuknya daripada Karpal.

Dalam sampul itu ada sekeping kad kecil yang dilakar dengan lukisan. Ucapan pada kad itu bermula dengan "To my girl in blue…"

"Saya mempunyai sehelai baju warna biru yang cantik ketika saya berumur sembilan atau sepuluh tahun yang saya pakai ke mana-mana. Dia masih mengingatinya!"

Bagi Gurmit, itulah perkara paling manis pernah dilakukan Karpal untuknya, "hanya untuk memberitahu bahawa dia masih ada dan bahawa dia mencintai saya! Saya tak tahu bagaimana dia berjaya mempastikan kad itu dihantar pada masa yang tepat," ujar Gurmit. Kad itu disimpan dan dibingkaikannya. – Roketkini.com

Anwar: Ini mungkin pidato terakhir saya

Posted: 18 Apr 2014 04:10 AM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya bersedia untuk sebarang kemungkinan berhubung rayuan terhadap hukuman lima tahun kes penjara dalam kes liwat terhadapnya.
 
Berucap dalam ceramah Reformasi 2.0 di Seberang Jaya malam tadi, anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata: 
 
"Ini mungkin pidato terakhir saya di sini."
 
Beliau antaranya mengingatkan orang ramai terhadap "ketidakadilan" sekitar kesnya.
 
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman lima tahun terhadapnya selepas rayuan terhadap pembebasannya yang dibuat  di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu.
 
Ketua Umum PKR itu kini mempunyai sepuluh hari untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman itu. 
 
Beliau kini harus menjadi peguam baru ekoran kematian peguam yang mewakilinya Karpal Singh dalam kemalangan tragik semalam.
 
Beliau juga mengingatkan penonton supaya terus berdoa kepada Allah sementara menunggu hukuman.
 
Anwar juga berharap penyokongnya akan mempertahankan kerusi anggota Parlimen yang disandangkan di situ jika beliau hilang kelayakan ekoran keputusan mahkamah tidak memihak padanya.

Karpal tidak pernah mengambil bayaran – Anwar

Posted: 18 Apr 2014 04:04 AM PDT


1891417_827067573976849_311148481_o



SEBERANG JAYA: Hadirin Himpunan Reformasi 2.0 di Pulau Pinang malam tadi bertafakur selama seminit bagi memperingati mendiang Karpal Singh yang terkorban dalam kemalangan jalanraya awal pagi semalam.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang berucap juga tidak ketinggalan mengenang dan menyatakan penghargaan kepada negarawan itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas kembali kegigihan Karpal yang menjadi peguam bela dalam kes fitnah liwat 2.

"Karpal cuba hubungi saya empat kali pada 6.30 petang (Rabu lalu). Saya hubunginya semula dan beliau beritahu kami hanya ada sepuluh hari untuk hantar rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Beliau kata akan membuat permohonan dan lakukan yang terbaik untuk memenangi kes ini," katanya, seperti dipetik The Malaysian Insider.

Kata Anwar lagi, Karpal benar-benar bimbang akan hukuman penjara lima tahun dalam rayuan kes itu.

"Pemergiannya satu kehilangan peribadi kepada saya, (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga," katanya yang menyifatkan 'Harimau Jelutong' itu sudah seperti ahli keluarga sendiri.

Malah, kata Anwar lagi, Karpal tidak pernah mengambil sebarang bayaran sepanjang menjadi peguam bela dalam kes itu.

"Ketika saya dalam perbicaraan, wang dikumpul untuk membayarnya tetapi beliau tidak ambil.
Katanya, khidmat guaman bagi pertahankan saya adalah sumbangan kecil," katanya lagi kepada ratusan hadirin.

Antara pimpinan lain yang turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Karpal sememangnya sekian lama menjadi peguam bela Ketua Pembangkang itu, sejak kes fitnah liwat pertama yang menjadi pencetus kebangkitan rakyat dalam gerakan reformasi pada 1998. – Roketkini.com

SMS Fitnah Yang Kantoi, Dikatakan Dari KP PAS Sedangkan Suhaizan Kini Di Madinah

Posted: 18 Apr 2014 03:59 AM PDT


KELAB GREENBOC

Pemuda PAS nafi anjur majlis 'Langkah Mayat Karpal Singh'


Pemuda PAS menafikan akan menganjurkan satu upacara "melangkah mayat Karpal Singh" sebagaimana yang disebarkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Di saat kesedihan ramai pihak atas kematian Karpal dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi, SMS berhubung upacara yang dikatakan bakal dianjurkan sayap pemuda PAS itu tersebar.

Majlis ini dikatakan akan diadakan di rumah mayat Hospital Ipoh jam 1 tengahari tadi.

Upacara itu kononnya akan diketuai Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau menjemput pemuda dan ahli parti Islam yang berkelapangan menyertai majlis ini.

"Pihak media juga dijemput hadir untuk membuat liputan," tulis SMS itu.

Ia dikatakan ditulis oleh Suhaizan sedangkan Suhaizan kini berada di tanah suci Madinah untuk menunaikan umrah.


Ekoran itu, Setiausaha Pemuda PAS, Mohd Nasaie Ismail dalam satu kenyataannya menafikan SMS itu daripada Suhaizan.

"Ia fitnah dan satu laporan polis akan diadakan dalam masa terdekat,"
kata Nasaie dalam kenyataannya hari ini.

Karpal, 73, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ipoh dalam perjalanannya ke Pulau Pinang.

Sebelum ini, media melaporkan Karpal pernah berkata, "over my dead body" atau "langkah mayat saya dulu" sebelum wujudkan negara Islam.

Namun, Karpal pernah menjelaskan, kenyataan beliau itu diambil di luar konteks dan beliau hanya berkata, pelaksanaan undang-undang Islam khasnya hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang sekular.

Kematian Karpal menyebabkan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dari Barisan Nasional (BN) menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di laman Facebooknya.

Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.

"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis Nawawi di akaun Facebook 'Dato Ir Nawawi Ahmad' merujuk kepada keratan akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat saya dulu – Karpal Singh".

'Ahli kimia asing Anwar hanya 'pakar teori'

Posted: 18 Apr 2014 03:53 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
LIWAT II Mahkamah Rayuan menyifatkan kelayakan dua ahli kimia Australia yang menjadi saksi pembela dalam kes Liwat 11 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai hanya "pakar teori" dan berkata bahawa keterangan mereka kurang nilai pembuktian.

Dalam penghakiman 85 muka surat, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tidak berlaku pengubahan pada sampel yang diambil dari dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana menurut ahli kimia tempatan, Dr Seah Lay Hoong bahawa bekasnya masih dalam keadaan baik.

Panel Mahkamah Rayuan yang mendengar dan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan tidak bersalah terhadap Anwar, terdiri Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Menurut mereka, keterangan Dr Brian McDonald (kanan) dan Dr David Wells hanyalah pendapat semata-mata, sedangkan keterangan dua ahli kimia tempatan merupakan fakta dan berdasarkan analisis yang mereka lakukan ke atas sampel tersebut.

Pengetahuan McDonald dan Wells, menurut panel hakim itu, tidak berdasarkan pengalaman menjalankan sendiri ujian ke atas analisis tersebut, tetapi hanya dengan membaca manual protokol pengekstrakan DNA yang dikeluarkan.

Kerana itulah, kata panel itu lagi, pakar asing itu tidak dapat menghargai penjelasan yang diberikan oleh Seah mengenai pengekstrakan DNA yang dilakukannya kerana dua pakar Australia itu tidak pernah menjalankan prosedur itu sebelum ini.

Panel itu berkata mereka bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa keterangan pakar-pakar asing itu bersifat spekulasi dan teori jika tidak hipotetikal, dan oleh itu kekurangan nilai pembuktiannya.

Menurut panel itu lagi, mereka juga mendapati ada merit dalam kritikan pihak pendakwa terhadap pakar asing itu.

Pada pandangan mereka, komen dan kritikan dua pakar asing itu terhadap dua ahli kimia tempatan berkaitan analisis mereka dan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengambil sampel itu dan menyediakan laporan tersebut, tidak mempunyai nilai pembuktian yang dapat menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pihak pendakwaan atas berlaku penetrasi.

Macai UMNO Memfitnah: Mohd Said Bukan Ahli PAS

Posted: 18 Apr 2014 03:42 AM PDT

KELAB GREENBOC


 
Kesian pakcik nih kena fitnah dengan gerombolan macai syaitan dikenali. Asal kan nampak warak sikit ajek terus dicop ahli pas?

Beliau juga kesal dengan pihak yang menyebarkan salinan laporan itu. Sehingga ianya menjadi isu politik.

Beliau bukanlah anti azan. Jika siapa yang tidak berpuas dengan beliau, boleh jumpa beliau. Jangan label beliau yang bukan2.

Beliau juga ahli jemaah dimasjid tersebut. Kecaman yang tidak masuk akal sehingga beliau terima ugutan bunuh.

Admin amat hairan dengan sikap sesetengah umat islam yang suka menghukum. Admin yakin, yang sibuk label melabel ni sebenarnya diri mereka sendiri tidak lekat dimasjid berjemaah.

Tetapi mahu jadi hero!!! -Jeneral Yakuza Ogawa




Berikut DIpaparkan Fitnah Dari Blog Pro Umno

HOT!! Rupanya Ahli Pas yang Buat Laporan Polis, Kononnya Azan Masjid Bising!!



Susulan kes seorang ahli pas seumur hidup membuat laporan polis membantah bacaan tahrim dan laungan azan ketika waktu subuh di masjid berdekatan rumahnya..

Sekumpulan orang dari badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis telah datang ke rumah beliau untuk menasihati beliau akan perilaku buruk dan tak masuk akal itu.

Sebagai seorang ahli Pas yang mengagung- agungkan perjuangan Islam dan lebih penting sebagai seorang islam sendiri beliau tidak sepatutnya membuat perkara yang menunjukkan peribadi buruk seorang muslim di Malaysia.

Negara ini negara bertuah, rakyatnya berbilang kaum, berbagai agama bebas dianuti. Agama Islam sebagai Agama Rasmi.

Jika orang Islam sendiri gagal menghormati azan bagaimana kita hendak tengok penganut agama lain menghormati Islam itu sendiri seterusnya minat untuk mengetahui tentang islam?

Walau apa pun dalam setandan pisang pasti ada satu atau dua yang rosak. Kita harapkan PAS agar mengajar ahli ahlinya tentang ajaran Islam yang sebenar. Setidak tidaknya ajarlah mereka tentang erti hormat. Lazimnya mereka pandai membantah namun kali ini tidak kena tempat sejujurnya menunjukkan kejahilan sendiri.

Tuan rumah yang disewa oleh Pak Lebai ini telah memberi kata dua, jika tidak suka kepada bacaan tahrim dan laungan azan ketika waktu subuh di masjid Pak Lebai itu dipersilakan keluar daripada rumah sewa tersebut.

Kita sama sama berdoa agar perkara tidak masuk akal seperti ini tidak berulang lagi..

Pada yang nak tengok muka orang yang report polis pasal Azan ni, cer tengok kat bawah ni,
-siemens-melayumaju

Diantara blog-blog macai yang melaporkan fitnah yang sama:

terengganutoday.com
kedahkekl.blogspot.com
theunspinners.blogspot.com
sekupangduas.blogspot.com
pilihan-anda.blogspot.com
ibm-akusayangumno.blogspot.com
din.huluselangor.net/?p=49299


Keceluparan Md Alwi Terjawab, Rakannya ADUN Paloh Kemalangan

Posted: 18 Apr 2014 03:39 AM PDT

KELAB GREENBOC


Adun Paloh cedera, isteri maut dalam kemalangan di Simpang Pulai


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kawasan Paloh, Datuk Nozula Mat Diah mengalami cedera ringan manakala isterinya Datin Maziah Din maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di Ipoh hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata anak lelaki pasangan itu berumur 20-an turut berada di dalam kenderaan yang dipandu Nozula.

Beliau berkata mereka yang selamat kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat Maziah dibawa ke rumah mayat hospital yang sama untuk bedah siasat.

"Berdasarkan maklumat yang diterima kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano yang dipandu sendiri oleh Nozula dipercayai terbabas dan merempuh tebing bukit dalam kejadian pada pukul 6.30 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kesemua mangsa sedang dirawat dan masih mengalami trauma.

Pihaknya akan memastikan mangsa stabil sebelum mengambil maklumat lanjut kejadian, katanya. – Bernama




ULASAN GB

Sudah diberitahu dan sudah diajar supaya jangan menghina kematian, walaupun ke atas mayat orang bukan-Islam. Namun Md Alwi degil. Sekarang Allah swt bayar tunai juga, rakan seperjuangannya di dalam UMNO BN menghadapi kemalangan yang mana isterinya terkorban.

Itu rakannya, bukan ahli keluarganya atau dirinya sendiri. Itu sebab kena beringat. Jangan perlekehkan kematian orang lain hatta terhadap yang bukan Islam sekalipun.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Perlekehkan lagi, dan cabarlah Tuhan, kita tengok apa yang bakal terjadi. Kematian boleh tiba kepada kita pada bila-bila masa.

Dun Selangor 'diserang' sakit perut

Posted: 18 Apr 2014 03:14 AM PDT


Speaker Dun Selangor Hannah Yeoh,


SHAH ALAM - Lebih 20 orang ahli dewan termasuk Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh,Timbalannya Nik Nazmi Nik Ahmad mengalami sakit perut selepas menikmati hidangan makan tengah hari, semalam.

Ekoran insiden itu, kesemua mereka telah menerima rawatan yang disediakan oleh pihak Dun hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, katerer yang menyediakan makanan tersebut akan diberhentikan serta-merta dan akan digantikan dengan penyedia makanan yang baharu.

"Kami telah menyiasat dan mendapati berdasarkan aduan daripada wartawan, speaker dan timbalan serta kakitangan pejabat speaker, mereka memaklumkan mengalami sakit perut selepas menikmati  makanan tengah hari.

"Untuk makluman kita pilih katerer tersebut melalui tender terbuka selepas melepasi pemilihan teknikal dan memenuhi syarat harga terendah.

"Kami  memohon maaf kepada semua dan semua yang terjejas ekoran kejadian ini sudah dirujuk kepada pegawai perubatan di sini," katanya kepada pemberita selepas persidangan berhenti rehat, hari ini.

Antara menu yang disediakan semalam adalah nasi putih, ikan goreng berlada, gulai ayam, gulai pucuk paku dan tembikai.

Adun Paloh stabil tapi masih separa sedar

Posted: 18 Apr 2014 03:11 AM PDT


Nozula Mat Diah Gambar kiri: Kenderaan Nozula yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan isteri beliau. Gambar kanan: Keadaan Nozula yang cedera akibat kemalangan.


IPOH – Adun Paloh, Datuk Paduka Nozula Mat Diah dilaporkan stabil, namun berada dalam keadaan separa sedar selepas terbabit dalam nahas yang mengorbankan isterinya di Kilometer 23, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland, lewat petang semalam.

Nozula, 56, mengalami patah tulang rusuk kanan dan kiri serta lebam di paru-paru selepas kenderaan SUV Nissan Murano yang dinaiki bersama isteri, tiga anak serta seorang cucunya hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam longkang di laluan bertentangan.

Beliau yang sebelum itu dirawat di Hospital Pakar KPJ, di sini dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 3 pagi tadi bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pakar Bedah HRPB, Dr Basel Ebernesan berkata, meskipun berada dalam keadaan separa sedar, keadaan Nozula stabil, hanya membabitkan kesan ubat yang diambil.

Menurutnya, buat masa ini, Nozula diletakkan di bawah pengawasan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan akan sebarang kemungkinan memandangkan kesan nahas berkenaan turut menyebabkan paru-paru lebam.

"Kesan kemalangan itu, beliau mengalami patah tulang rusuk  hingga enam di bahagian kanan dan tulung rusuk ketiga di bahagian kiri, selain sakit di bahagian dada, paru-parunya juga terdapat kesan lebam.

"Masih terlalu awal untuk kita jangkakan sebarang kemungkinan kerana kecederaan di paru-paru agak sukar untuk dijangka, beliau kini hanya memerlukan rehat yang cukup dan kita akan lihat perkembangan lanjut dari masa ke semasa," katanya pada sidang media, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, wakil rakyat Kelantan itu masih belum dimaklumkan akan kematian isterinya, Datin Paduka Maziah Din, 56, yang maut ketika mendapatkan rawatan.

MH370: Masih tiada bukti daripada Bluefin-21

Posted: 18 Apr 2014 03:06 AM PDT

MH370


PERTH - Masih tiada lagi bukti kukuh tentang pesawat Malaysia Airlines MH370 ditemui daripada empat misi mencari dalam air kenderaan dalam air autonomi (AUV), Bluefin-21, di selatan Lautan Hindi sejak Isnin.

Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) berkata, AUV itu setakat ini telah mencari kira-kira 110 kilometer persegi.

Ia telah dihantar untuk misi kelimanya hari ini, menurut agensi itu dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Bluefin-21 yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan dikesan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu.

Ia menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan.

Menurut JACC, operasi mencari pada Jumaat yang masuk hari ke-42, akan melibatkan 11 pesawat tentera dan 12 kapal dengan kawasan pencarian visual meliputi kira-kira 51,870 km persegi, membabitkan tiga kawasan.

Berdasarkan ramalan cuaca hari ini, operasi akan berdepan dengan cabaran angin timur selatan dan hujan bertaburan di beberapa tempat, menurut agensi itu.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis berdasarkan data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Siling PWTC runtuh selepas demo bom

Posted: 17 Apr 2014 04:58 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Dua anggota tentera cedera ringan apabila sebahagian siling di tingkat dua Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) runtuh selepas demonstrasi letupan bom oleh pasukan tentera.

Menurut pusat operasi Jabatan Bomba Kuala Lumpur, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.59 petang ini.

Setibanya pihak bomba di tempat kejadian pada jam 5.06 petang mereka mendapati siling di kawasan beranda pusat itu telah runtuh.

Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan pecahan kaca dan siling yang runtuh itu.

Demonstrasi pengeboman itu adalah sebahagian daripada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 selama empat hari yang berakhir hari ini.

Pelajar tahfiz meninggal dunia selepas makan mi segera

Posted: 17 Apr 2014 04:56 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seorang pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama (SMA) As Siddiqiah Al Islamiah, Naka dekat Kuala Nerang, Kedah meninggal dunia selepas makan mi segera malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu Mohamad Daud Shariff, 18, sebelum itu dikatakan makan mi segera sebelum tidur di bilik asrama bersama beberapa rakan yang lain.

Rakan mangsa, Mohamad Hisham  Zainol, 17, berkata sebelum itu mereka terdengar bunyi dengkuran kuat dan menganggap ia perkara biasa kerana semua pelajar keletihan setelah bermain bola pada sebelah petang.

Katanya, mereka hanya mengetahui kejadian itu selepas guru mereka yang melakukan rondaan terdengar bunyi dengkuran yang kuat dan memeriksa bilik itu.

"Sebaik lampu asrama dihidupkan ternampak mulut arwah sudah berbuih dan mi segera yang dimakannya sebelum itu turut terkeluar. Kami cuba panggil nama dia beberapa kali tetapi dia tidak bergerak," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMA As Siddiqiah Al Islamiah, Mohd Sidek Junus, berkata mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia ketika tiba di sana.

Katanya, mangsa berasal dari Kampung Kuala Beris, Sik menuntut di sekolah itu sejak tiga tahun lalu dalam pengajian tahfiz sejak berusia 15 tahun.

Beliau berkata, allahyarham seorang pelajar yang baik dan aktif dan sepanjang belajar di sekolah itu beliau tidak pernah mengalami sebarang penyakit serius.

Ketua Polis Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi berkata pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. – Bernama

Azmin akan kekal jawatan kerana perpecahan undi pencabar, kata penganalisis

Posted: 17 Apr 2014 04:53 PM PDT

OLEH MD IZWAN DAN MOHD FARHAN DARWIS


Mohamed Azmin Ali mempunyai kelebihan berpolitik dan pengalaman dijangka berjaya mengenalkan jawatan timbalan presiden PKR yang kini jadi rebutan dalam pertandingan empat penjuru menerusi pemilihan parti hujung bulan ini. Gambar fail The Malaysian Insider.Mohamed Azmin Ali mempunyai kelebihan berpolitik dan pengalaman dijangka berjaya mengenalkan jawatan timbalan presiden PKR yang kini jadi rebutan dalam pertandingan empat penjuru menerusi pemilihan parti hujung bulan ini. Gambar fail The Malaysian Insider.




























Penganalisis meramalkan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan berjaya mempertahankan jawatannya walaupun mendapat tentangan sengit daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail kerana perpecahan undi daripada kelompok penentangnya.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa dikatakan mempunyai kelebihan daripada segi sokongan dan kemahiran berpolitik.

"Azmin merupakan penyandang timbalan presiden, sudah tentu mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh," kata Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada The Malaysian Insider.

Shaharuddin berkata, beliau menjangkakan, Azmin akan beroleh kelebihan dalam pertandingan empat penjuru itu memandangkan beliau bersama PKR sejak 15 tahun lalu berbanding Khalid yang menyertai parti itu sekitar 2007.

Selain Azmin, Khalid dan Saifuddin, jawatan timbalan presiden PKR turut ditandingi oleh Datuk K Ramachandram dari PKR cabang Hulu Langat.

Shaharuddin yang mengajar di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM berkata, penyertaan Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR, hanyalah untuk meredakan ketegangan antara Azmin dan Khalid yang akan memberikan kesan jangka panjang kepada PKR.

Dr Oh Ei Sun daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura pula meramalkan Azmin akan mengekalkan jawatan yang disandangnya berdasarkan pengalaman dan cara berpolitiknya.

"Khalid kurang dikenali dan tidak mahir berpolitik berbanding Azmin.

"Saifuddin seorang pekerja parti tapi tidak semahir Azmin," kata.

Khalid dan Saifuddin dianggap berada dalam satu pasukan sama dalam kempen "Asal Bukan Azmin" yang digerakkan oleh sesetengah kumpulan dalam PKR.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar menyifatkan keputusan Saifuddin secara mengejut masuk bertanding menyebabkan anggota PKR terkeliru sama ada memilih Khalid atau Saifuddin.

"Bagi mereka (yang tidak menyokong Azmin) berkongsi satu matlamat untuk melawan Azmin selaku timbalan presiden tapi apabila Saifuddin masuk, perkiraan umum akan melihat ini akan pecah undi.

"Mana-mana undi Azmin akan kekal, manakala undi yang menolak Azmin akan pecah kepada dua iaitu Khalid dan Saifuddin," katanya.

Hisomudin juga tidak menolak keputusan Saifuddin untuk mencabar Azmin mendapat sokongan pemimpin berpengaruh dalam parti tersebut.

"Ia menimbulkan persoalan, mengapa Saifuddin masuk bertanding juga.

"Sudah tentu anggota parti yang tidak menyokong Azmin akan membaca Saifuddin ini tidak akan mengambil keputusan yang begitu besar tanpa ada arahan ataupun isyarat daripada Anwar," katanya.

Hisomudin berkata, pemilihan PKR kali ini bergantung kepada empat negeri yang mempunyai anggota teramai bermula di Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Perak.

Walaupun Azmin dilihat defensif pada ketika ini, pengaruh akar umbinya di dua kubu PKR iaitu Selangor dan Sabah menyebabkan beliau sukar digugat.

Daripada 500,001 ahli PKR yang layak membuat pilihan kali ini, hampir separuh daripada mereka berada di Selangor dan Sabah.

Selangor mempunyai 144,020 ahli manakala Sabah mempunyai 86,955 ahli PKR. Azmin merupakan pengerusi PKR Selangor dan bekas pengerusi PKR Sabah sebelum ini.

Namun, berdasarkan rekod pemilihan 2010, hanya 14% sahaja keluar membuang undi daripada jumlah ahli yang layak. Dari manakah jumlah 14% itu bergantung kepada kempen yang mereka buat.
PKR akan mengadakan pemilihan secara langsung untuk memilih pemimpin di semua peringkat, termasuk jawatan tertinggi parti. Pemilihan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei.

Akhirnya Kerajaan Setuju Bayar Penduduk Pasir Putih

Posted: 17 Apr 2014 04:48 PM PDT

datuk Ku Ust M Nor1

BULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU – Setelah pelbagai kaedah yang dibawa oleh pemimpin PAS dan Jawatakuasa Bertindak Penduduk Kampung Pasir Putih, akhirnya kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said bersetuju untuk memberikan bayaran kepada penduduk yang terlibat.

Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua (Persidangan) Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir semalam, wakil rakyat PAS telah mengemukakan soalan dan menekan kerajaan berikutan keengganan kerajaan membayar wang pampasan berhubung projek pelebaran jalan Kuala Terengganu-Dungun.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah telah menyampaikan rayuan dan rintihan penduduk Kampung Pasir Putih ketika berucap membahasakan Titah Tuanku.

"mengenai kes projek pelebaran jalan dari Kuala Terengganu ke Kuantan melalui Kampung Pasir Putih, saya mahu menyuarakan rayuan dan rintihan rakyay yang telibat dengan projek itu,

"mereka mengharapkan jasa baik, budi bicara kerajaan, membayar sedikit untuk membantu mereka (kerana) rumah dan kedai yang terpaksa diruntuhkan,"ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Payong berkata, penduduk tidak bersalah kerana mereka tidak menyangka dan menyedari pengambilan tanah sebagaimana yang disebut oleh kerajaan dalam dokumen, sejak tahun 1964.

katanya, tanda batu rezab jalan tdak dialih dan geran baru tidak diberi oleh kerajaan serta kerajaan negeri membenarkan pemberian harta pusaka di pejabat tanah menggunakan geran lama.

Geran baharu telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran tersebut dan sebahagian telah pun dipindah milik kepada pemilik baharu, maknanya berlaku urus niaga jual beli.

pembinaan jalan kg pasir putih1Sehubungan itu, Ahmad Said turut mengakui, siasatan jabatan mendapati, pemilik baharu tidak dimaklumkan pengambilan tanah daripada milik asal.

Geran baharu menurutnya, telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran tersebut dan sebahagian telah pun dipindah milik kepada pemilik baharu, maknanya berlaku urus niaga jual beli.

ADUN PAS Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar turut bangkit mencelah, merayu agar Menteri Besar membuat keputusan serupa sebagaimana yang dilakukan kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya sebelum ini dengan kadar RM5,000 seorang.

Akhirnya, kerajaan akur dan Ahmad Said berkata, kerajaan dengan rela hati dan tiada masalah mempertimbangkan dengan satu kadar yang akan ditentukan bagi membayar penduduk yang terbabit dengan projek pelebaran jalan tersebut.

PGSM: Perintah mahkamah sivil tak atasi mahkamah syariah

Posted: 17 Apr 2014 04:41 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) tidak bersetuju dengan cadangan supaya mahkamah sivil mendengar dan memutuskan tuntutan hak jagaan anak bagi seseorang yang telah memeluk Islam.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

"Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.

"Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam isu Deepa vs Izwan Abdullah, PGSM menegaskan bahawa polemik dan salah faham berlaku kerana Mahkamah Tiinggi (sivil) Seremban telah mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April 2014 sedangkan Mahkamah Syariah Seremban telah pun mengeluarkan perintah yang sama pada tahun lepas lagi, iaitu pada 19 Mac 2013, dan perintah mahkamah syariah tersebut tidak pernah dibatalkan.

"Perintah mahkamah syariah tersebut memberikan hak jagaan kedua anak kepada bapa kandung mereka manakala ibu kandung diberikan hak lawatan pada bila-bila masa yang munasabah.

"PGSM menegaskan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak melampaui atau mengatasi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah kerana Perkara 121 (1A) Perlembagaam Persekutuan telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil," tambahnya.

Musa berkata, PGSM berpandangan bahawa masalah itu berlaku kerana mahkamah sivil tetap mendengar dan memutuskan perkara yang sama walaupun telah ada satu keputusan dibuat di mahkamah syariah, menyebabkan adanya dua perintah berjalan serentak.

"Jika mahkamah sivil mengambil pendirian tidak masuk campur dengan perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah tersebut, perkara ini tidak akan berlaku," tegasnya.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, katanya, PGSM menggesa supaya Ketua Hakim Negara dapat mengeluarkan Pekeliling kepada semua hakim mahkamah sivil agar tidak mendengar atau memutuskan apa-apa perkara yang telah pun diputuskan oleh mahkamah syariah.

"Dengan adanya arahan tersebut, masalah dan isu ini dapat diselesaikan," tambah Musa.

Aziz Bari: Kelantan masih keliru isu hudud

Posted: 17 Apr 2014 04:40 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari mendakwa PAS "keliru dan tidak jelas" berkaitan bidang kuasa dan cara pelaksanaan hudud di negeri itu ekoran hasrat mereka mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian berkaitannya di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, kenyataan pemimpinnya, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan exco Kelantan Dr Fadzli Hassan juga tidak membantu menjelaskan perkara itu.

"Kalau PAS Kelantan kata ini kuasa pusat - sebagaimana yang didakwa oleh Dr Fadzli - kenapa mereka luluskan enakmen itu pada 1993? Kalau dah sedar itu bukan kuasa negeri mengapa buat undang-undang itu?

"Saya tahu mereka akan jawab ini soal akidah dan tanggungjawab. Soalan saya kenapa hal itu tidak pernah dijelaskan? Ini yang saya kata Kelantan gagal merangka rangka dasar dan hala tuju untuk pelaksanaan hukum hudud ini.

"Pelik. Seperti yang saya katakan tadi kalau dah tahu awak tak ada kuasa apa yang awak buat benda itu?" soal ahli akademik itu dalam e-mel balasan kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya berhubung tindakan Kelantan mahu membawa rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat.

Abdul Aziz yang juga pensyarah Universiti Selangor (Unisel) berkata beliau sebelum ini pernah membangkitkan perkara itu dan menawarkan diri untuk membantu tetapi dipandang sepi.

'OK bila sampai Putrajaya'

Beliau sebaliknya berpandangan pelaksanaan hudud boleh dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan PAS perlu bersabar serta menjelas implikasi undang-undang dan politik daripada isu ini.

"Tapi mungkin kerajaan Kelantan ketandusan isu dan parti tertekan kerana gagal menjelaskan isu ini kepada ahli-ahli. Ini pun pelik juga. Kalau ahli sendiri pun tak boleh kawal, nak menang macam mana?" sindir Abdul Aziz.

Sementara itu, beliau juga turut mempersoal mengapa Umno sebagai parti kerajaan tidak membentang rang undang-undang persendirian itu atau parti itu dianggap masih belum mengubah sikap tidak mahu melaksanakan hudud seperti dimaklumi.

"Dengan kata lain Umno hanya buat gimik dan mahu PAS bergaduh dengan DAP dan PKR atau isu ini.

"Dan nasib tak baik PAS akan hilang banyak kerusi di luar Kelantan kerana insiden ini menampakkan yang PAS sanggup tikam dari belakang," katanya.

Dr Asri: Hormati pemergian Karpal

Posted: 17 Apr 2014 04:34 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta agar orang ramai menghormati pemergian tokoh DAP Karpal Singh.

Tokoh agama itu juga berkata hadis Nabi Muhammad SAW mengajar supaya menghormati jenazah tidak kira agama atau bangsa mereka semasa hidup.

"Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun nama atas akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya.

"Semoga Allah memberikan gantian dan keadaan yang lebih baik untuk mereka. Islam ini kebaikannya untuk semua," kata beliau dalam laman rasmi facebooknya.

Menurutnya, kegagalan orang Islam menunjukkan budi pekerti yang mulia bakal menimbulkan prasangka yang tidak baik di kalangan orang bukan Islam dan penganutnya mungkin dibenci.

Beliau memberi contoh sekiranya seseorang Muslim menolak pandangan tokoh agama tidak semestinya membenci agama Islam itu sendiri.

Selidik

"Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukanlah semestinya dia membenci Islam.

"Seseorang non-muslim yang menolak sesuatu berkaitan Islam hendaklah diselidiki apakah dia membenci Islam ataupun dia membenci versi atau tafsiran Islam yang dibawa oleh pihak tertentu," katanya.

Karpal dan pembantunya maut dalam kemalangan di kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampar awal pagi ini yang kemudiannya ramai mengucapkan takziah tetapi terdapat segelintir memberi komen negatif mengenai kematian Karpal.

Antaranya bekas naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin memberi reaksi seolah-olah lega dengan pemergian bekas pengerusi DAP itu.

Ini kerana pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaannya - yang diketahui umum menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad turut dikecam kerana menyiarkan gambar kemalangan itu dengan komen negatif.

Umno guna perisai Islam

Posted: 17 Apr 2014 04:32 PM PDT


Oleh Zulkifli Yahaya


JIKA Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei 2014 bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) atau isu-isu lain yang berkaitan pembelaan terhadap hak rakyat, maka kemungkinan yang tidak dapat disangkal ialah kerajaan BN akan menganjurkan program keagamaan bagi menyainginya. Ia mungkin program Cinta Rasul, Salawat Perdana atau forum keagamaan yang mengundang tokoh-tokoh hebat.

Baru-baru ini PAS Kedah menganjurkan Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0. Himpunan dirancang kira-kira dua bulan lalu.

Tak semena-mena dalam masa tidak sampai dua minggu, Umno menganjurkan program Cinta Rasul juga di Baling walaupun lokasi berbeza. Program kilat itu mengundang habib kecil untuk memimpin salawat ke atas junjungan Nabi s.a.w. serta penceramah pro Umno. Atas rasa ketidakyakinan bahawa program tersebut mendapat sambutan, mereka mengadakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motosikal baharu.

Sewaktu Pakatan mengadakan himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang bulan lalu, Umno pula mengadakan program salawat perdana di Putrajaya yang mengundang habib besar sebagai penarik kehadiran orang ramai.

'Trend' terkini, program-program berselawat sebegitu mendapat sokongan besar daripada umat  Islam khususnya yang mencintai agama. Mereka yang membanjirinya bukan anak-anak muda perempit atau yang ghairah menghadiri konsert maksiat tetapi golongan muda yang ikhlas mencintai Rasulullah s.a.w. serta perjuangan yang dibawanya. Golongan ini lebih selesa mengenakan jubah, serban dan ridak.

Maka para pemimpin Umno hadir 'tumpang tui' program sebegitu juga dengan watak golongan yang mencintai agama Allah. Perdana Menteri, menteri, menteri besar dan exco turut berjubah dan beridak, malah ada menteri besar yang turut berserban.

Isteri Perdana Menteri yang hadir juga kelihatan menutup aurat dengan sempurna.

Dahulu suasana seperti ini tidak pernah kelihatan. Imej Islam bagi para pemimpin Umno digambarkan melalui sepasang baju Melayu dan songkok hitam. Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Mahathir Mohamad hampir tidak pernah dilihat berjubah. Hanya sekali beliau dikesan berkopiah putih apabila hadir bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor di satu program yang diadakan di Darul Aitam Walmasakin, Alor Setar. Beliau dipaksakan memakai kopiah oleh penganjur. Khabarnya Tun tidak begitu menyenangi apabila foto beliau dan Ustaz Fadzil berketayap itu tersiar dalam media.

Suasana berubah kini. Jubah dan serban yang dianggap symbol ekstremis Islam suatu masa dahulu kini dipakai dengan selesa oleh para pemimpin parti sekular Umno termasuk anak Mahathir sendiri.

Biar apa pun niat yang terkandung dalam hati kecil si pemakai maka bukan tugas kita untuk mentafsirkannya kerana andai terselit niat untuk mengejeknya ia semacam menghina sunnah Rasulullah s.a.w., sedang orang yang menghina sunnah Rasulullah tempat yang layak baginya adalah neraka, waliyazubillah.

Cuma yang membuka persoalan di sebalik pakaian sunnah bahkan program-program berbentuk keIslaman itu ialah sikap istiqamah mereka. Hadir dalam program sebegitu dengan pakaian sunnah dan isteri menutup aurat, selepas itu hadir pula dalam program lain dengan anak perempuan dan isteri bertelanjang rambut. Hadir program cinta Rasul, selepas itu benarkan pula penganjuran program anti-Rasul. Dalam program cinta Rasul, luar program cinta rasuah – khazanah kekayaan negara dirembat semahunya untuk kroni dan sanak saudara. Isteri kenamaan dapat memakai cincin, jam tangan dan beg tangan yang mahal-mahal.

Memegang jawatan dalam parti yang memerintah adalah lesen untuk membina empayar kekayaan.
Rakyat daif dan marhaen terpaksa membayar kos yang tinggi apabila harga pengurusan negara dinaikkan dengan tidak munasabah demi untuk mendapat lebihan wang bagi disalurkan kepada para penyamun berlesen. Istilah lunaknya disebut ketirisan dan ungkapan kasarnya, rasuah! Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menganggarkan RM30 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan. Adakah ini perangai golongan cinta Rasul?

Separuh abad PAS yang membawa perjuangan Islam dicop sebagai golongan yang memperalatkan agama untuk tujuan politik, sekalipun PAS dan elemen Islam adalah sinonim dan tulen. PAS tidak pernah berlakon dengan amalan Islam. Apabila tiba-tiba Umno sebuah parti sekular yang memperjuangkan nasionalisme Melayu sempit mempamerkan elemen Islam, maka apakah mereka sebenarnya yang memperalatkan Islam untuk tujuan politik?

Sokongan majoriti masyarakat bukan Melayu/Islam terhadap Pakatan kini sangatlah jelas. Sukar untuk dipecahkan lagi. Umno sedar hal tersebut. Pilihan yang ada bagi Umno ialah menguat serta menambahkan sokongan orang Melayu terhadap mereka.

Dahulu Umno agak takut dengan serban dan jubah kerana ia simbol ekstremisme. Kini bagi bagi Umno, kalau PAS yang berserban dan berjubah pun boleh diterima oleh masyarakat bukan Islam sudah tentu Umno yang berketayap dan berjubah lebih-lebih lagi akan disukai oleh orang Melayu yang berjiwa Islam.

Tiada salahnya bagi umat Islam menyanjungi para pemimpin Umno yang mengenakan pakaian sunnah dan menganjurkan program cinta Rasul tetapi yang salahnya ialah cepat sangat mempercayai Umno hanya kerana perubahan luarannya. Jangan terpedaya, Umno tetap Umno.

Kalau dahulu BN-Umno menghadapi program besar Pakatan dengan pancutan air kimia dan gas pemedih mata kini tindakan tidak bertamadun itu bukan pendekatan terbaik bagi parti tua yang memerintah negara itu. Berkali-kali tembakan gas mereka hanya mampu membawa sokongan 47 peratus dalam PRU13.

Pendekatan kini ialah bersaing dengan Pakatan melalui penganjuran program berimej Islam. Saya percaya kaedah ini akan digunakan oleh BN sehingga PRU14 nanti.

Dalam perang Siffin antara dua kumpulan sahabat, satu kumpulan yang dikatakan hampir kalah menjulang al-Quran untuk menghentikan pertempuran. Apapun tindakan dibuat mereka adalah betul kerana berijtihad. Kita yang sudah terlalu jauh dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak berhak menilai pertikaian mereka.

Hari ini, jelas pemerintah yang batil sedang berhadapan dengan golongan rakyat yang menuntut hak dan keadilan. Dalam keadaan tenat dan hampir kalah tiba-tiba mereka menjadikan elemen Islam sebagai perisai maka orang yang cerdik jangan tertipu dengan permainan mereka

Tiada ulasan: