. |
Hudud: Kerajaan Kelantan akan dapat lesen baru? Posted: 02 Apr 2014 07:20 PM PDT ULASAN PAGI
Dua private bil, itu meminta parlimen memberi laluan kepada kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II sesuai dengan peruntukan Perkara 6(A) Perlembagaan negara. Manakala satu lagi private bill memindah Akta Mahkamah Syairah (Bidangkuasa 1965) untuk memberi kuasa lebih kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkan hukuman sebagai mana ditetapkan dalam Hukum Hudud. Private bill itu nampak terlalu personally sangat. Ia nampak senang untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya bukan semudah yang difikirkan hasratnya tergamit. Sesiapa saja di kalangan ahli parlimen boleh mengemukakan private bill, tetapi ia terserah kepada Speaker sama ada hendak terima atau tidak. Sallahudin Ayub semasa menjadi ahli parlimen mengemukakan tidak kurang lima private bill menyentuh berbagai isu tetapi satu pun tidak dilayan. Pun begitu usaha kerajaan Kelantan dalam hal ini boleh dipuji, setidak-tidaknya ia memberi perkembangan terbaru mengenai hukum hudud. Usaha itu juga nanti akan dapat dijadikan modal dan bukti akan keseriusan kerajaan Kelantan dalam hal berkenaan. Tujuan keputusan itu diambil pun, jelas sebagai membalas bidasan politik daripada pihak UBN, bukan bertolak daripada kesungguhan yang hakikat. Kalau serius kenapa cadangan itu terfikir setelah berlalu 21 tahun. Pernyataan akhbar Ahmad itu juga menjelaskan, yang private bill itu dikemukakan sebagai menyahut cabaran menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrum yang meminta (cabar) kerajaan Kelantan mengemukakan deraf hudud di parlimen sekiranya kerajaan Kelantan serius untuk melaksanakannya. Saya tidak fikir kalau kerajaan Kelantan membentangkan deraf hudud ia mendapat sokongan semua ahli parlimen Umno seperti mana dijanjikan. Dewan Undangan Kelantan (DUN) telah meluluskan kanun Jenayah Syariah II pada tahun 1993. Tetapi disebabkan halangan dan bantahan daripada kerajaan Pusat menggunakan perlembagaan sebagai alasan, maka ia tertangguh. Surat yang dihantar Dr Mahathir Mohamad sebagai PM, kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjadi MB, yang membantah daripada melaksanakan hukum itu dijadikan lesen oleh kerajaan Kelantan untuk tidak melaksanakan hukum hudud berkenaan. Bertahun-tahun kerajaan Kelantan menjadikan surat Mahathir itu sebagai alasan dan modal politik. Hinggalah setelah Ahmad Yaakub jadi MB, dan desakan dibuat bertubi-tubui baik oleh pihak Umno yang persoalkan mengenai pelaksanaan itu, barulah ada usaha yang lebih cergas dan berbekas termasuk cadangan untuk mengemukakan private bill itu. Ia jadi lebih diperhati lagi apabila Adun Salor yang juga Naib Presiden Pas, Husam Musa semasa sidang DUN turut sama memberi pandangan dan saranan agar ia diusaha dilaksanakan kerana hudud adalah tuntutan agama. Bagaimana pun saya sedikit skeptikal dengan usaha kerajaan Kelantan itu. Usul pensendiri adalah salah satu cara untuk membolehkan hukum hudud dilaksanaka. Tetapi ia bukan mudah kerana bagi pemikiran (baca otak) kerajaan BN, hudud bukan sesuatu yang perlu disegerakan. Speaker parlimen akan menolak awal-awal lagi usul itu atasa alasan bukan perkara yang perlu disegerakan dan berkepEntingan awam dalam konteks 1Malaysia. Justeru kerajaan Kelantan tidak boleh bergantung kepada private bill itu sahaja sebagai persediaan ke arah melaksanakan hudud. Priveta bill itu hanya boleh dijadiklan lesen baru untuk tidak melaksanakan hudud sebagai mengganti surat Mahathir. Penolakan dua private bill nanti bolehlah diberitahu kepada rakyat, yang jahat dan menolak hudud adalah kerajaan BN dan bukan kerajaan Kelantan. Dalam hal ini bagi saya adalah lebih baik kalau kerajaan Kelantan khasnya Pas menyediakan prasarana serta mengumpulkan kekuatan ke arah perlaksanana hukum berkenaan. Prasanara itu ialah dari segi teknikalnya seperti menyediakan para hakim, pendakwa dan pegawai mahkamah syariah secukupnya. Untuk tujuan ini apakah kerajaan Kelantan telah berusaha untuk melahirkan para hakim, pendakwa dan pegawai itu? Apakah selama 20 tahun dahulu pihak kerajaan sudah menyediakan keperluan ini, seperti mewujudkan institusi khas yang akan mengeluarkan hakim, pendakwa atau pegawai mahkamah sesuai mengikut kehendak hukum hudud? Atau kerajaan negeri mengharapkan sumber manusia yang dilahirkan oleh pihak kerajaan pusat. Persediaan prasarana (man power) ini penting. Mungkin prasarana fizikal seperti bangunan mahkamah atau penjara sudah pun ada apabila bangunan baru Mahkamah Syariah di Tunjung sudah dirasmikan baru-baru ini. Dari segi fizikal ini ianya sudah siap sedia seperti mana diakui sendiri oleh Kadhi Besar Kelantan. Elok kalau kerajaan Kelantan menyediakan keperluan itu selengkap mungkin. Apabila tertakdir ada kebenaran dari kerajaan persekutuan untuk melaksanakan itu, ketidaan hakim, pendakwa atau penyebat tidak lagi menjadi alasan baru untuk tidak laksanakan hukum berkenaan kerana ketiadaan man power. Atas keyakinan parlimen tidak akan menerima private bill berkenaan dan sukar pula parlimen untuk meluluskannya nanti, maka wajar Pas juga berfikir untuk menguasai 2/3 suara di parlimen. Untuk tujuan ini Pas kena persiapan diri sebaik mungkin menjadi Pas sebagai sebuah parti alternatif terbesar di negara ini. Jalan ke arah itu, ialah Pas perlu ubah pendekatan dan gaya politiknya yang diamalkan kini. Fahaman lapok dan usang yang boleh mengurangkan sokongan awam hendaklah dibuang dan ditohok jauh-jauh dari Pas. Kepimpinan utama Pas hari ini juga perlu disalin kerana kalau diibaratlan kain lampin ianya sudah carik dan tidak selesa digunapakai lagi. Realiti politik perlu juga difahami dan jangan sesekali Pas cuba bergerak menenang arus tuntutan semasa sehingga Pas dianggap kolot dan parti ustaz-uatazan saja. Pas kena insaf bahawa perjuangan Islam yang dibawanya didalam Pas yang menggunakan pakai lurah sistem demokrasi perlulah rasional. Selagi Pas tidak memiliki kuasa 2/3 hasrat melaksanakan hudud dan lain-lain hanya jadi angan-angan sahaja. Perkara lain yang kerajaan Kelantan kena perjelaskan apakah Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan pada tahun 1993 itu sudah ditandatangani Sultan dan digezetkan. Setelah ianya digezet bolehlah undang-undang berkenaan dicetak dan diberikan kepada rakyat untuk menghadamnya. Khabarnya Tuanku Sultan masih belum menandatangani kanun berkenaan? Mungkin Dr Fadzli Hassan boleh memberi pencerahan. [wm.kl.9:53 am 03/04/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan