. |
205 rebut jawatan dalam PKR, tumpuan kepada Azmin dan Khalid? Posted: 01 Apr 2014 08:04 PM PDT ULASAN Bersemangat sungguh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi kongres melibatkan perebutan jawatan pada Mei nanti. Betapa tidak seramai 205 orang menawarkan diri untuk merebut berbagai-bagai jawatan. Dari jumlah itu dua berebut jawatan presiden, enam jawatan timbalan presiden, 16 naib presiden.
Untuk jawatan Ketua Wanita Pusat pula melibatkan dua orang, enam merebut naib ketua manakala 14 Ahli jawatankuasa. Rasanya inilah pertandingan melibatkan calon paling ramai pernah berlaku dalam parti tersebut. Perkembangan ini sesuai dengan peredaran masa dan keadaan parti itu yang semakin mendapat sambutan dan diyakini rakyat. Mungkin kehangatan ini ada kena mengena dengan nasib bakal menentukan ketua umumnya, Anwar Ibrahim yang sudah dijatuhi hukuman penjara enam tahun yang kini sedang menunggu rayuan dari peringkat Mahkamah Persekutuan. Keghairahan bukan apa, melainkan sebagai satu persiapan menghadapi segala kemungkinan. Ketiadaan Anwar kalau ditakdirkan dikenakan penjara memberi kesan spritual kepada PKR jadi para pemukanya harus menunjukkan yang mereka semua masing-masing bersedia memikul tanggungjawab. Bagi saya penawaran diri itu sesuatu yang positif menunjukkan ramai orang yang mahu memimpin parti berlambangkan mata itu. Mungkin orang Umno yang selamanya melihat PKR sebagai perosakan kedamaian dan pemecahan hegomeninya, ketawa menyaksikan ramainya calon yang bertanding. Tetapi orang tidak tahu rahsia disebalik itu, PKR dapat mengutip puluhan ribu ringgit hasil dari wang deposit daripada calon. Setiap calon dikenakan bayar deposit bertanding. Peraturan pemilihan yang digariskan PKR ini bolehlah dianggap bijak dan pratikal. Kalau pukul rata untuk semua jawatan dikenakan bayaran RM2,000 bermakna PKR dapat kutip RM410,000 ini satu angka yang besar dan sudah dapat menampung perbelanjaan kongres. PKR sebagai parti yang sukar mendapat penaja tidak seperti Umno sudah berpuas hati dengan kutipan itu. Bagaimana pun pertandingan tertumpu kepada beberapa jawatan penting saja. Jawatan yang dikira sengit ialah Timbalan Presiden. Enam calon yang mendaftar untuk bertanding ialah Mohammed Azmin Ali selaku penyadang, Abdul Khalid Ibrahim, Tian Chua, Saifuddin Nasution Ismail, K Ramanchadram dan Muril Subramaniam. Walaupun enam calon tetapi ramai melihat pertandingan sebenar antara Azmin dan Khalid. Pertandingan mereka ini adalah kesenimbungan 'pertandingan' sebelum ini di mana keduanya tidak sehaluan dan saling cabar mencabar penuh tektikal. Azmin sudah sekian lama berhajat untuk mendapat kerusi Menteri Besar Selangor yang kini ditakhtai oleh Khalid Ibrahim. Bagi Khalid tujuan beliau bertanding adalah tidak lain melainkan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai MB, dan jauh sekali untuk mengukuhkan parti. Kenapa dikatakan begitu kerana kemampuan dan stail politik Khalid tidak terarah untuk mengukuh parti, sebaliknya dia lebih selesa dengan kejayaan dia menguruskan kerajaan Selangor. PKR bukan saja bertapak dan berlabuh di Selangor, tetapi di seluruh tanah air inilah yang tidak difahami Khalid. Khalid tidak mempunyai semangat PKR, partilisme yang membanggakan. Dunia mengetahui track record kedua mereka. Dari segi sumbangan dan khidmat kepada parti atau pun membela Anwar, Azmin jauh lebih lama berbanding dengan Khalid. Bahkan kalau hendak diambil dan mencari dimanakah akar tunjang politik Anwar tatkala mengerak reformasi, Azmin adalah salah satu paksi utamanya. Semasa Azmin sudah mengakar umbi menyokong Anwar berdepan dengan serangan Umno, Khalid masih belum keluar dari rumah. Dari mana-mana sudut pun Azmin mempunyai kelebihan berbanding Khalid. Mereka yang mungkin tidak setuju dengan Azmin, bukan tidak memahami sejarah itu, tetapi kerana mereka kuat dibaluti rasa cemburu dan kecurigaan yang tidak menentu terhadap timbalan presiden PKR itu. Empat calon lain hanya menghiasi dewan pertandingan saja. Begitu pun jangan diperlekehkan dengan penampilan Tian Chua yang kini merupakan salah seorang Naib Presiden. Tian Chua juga tokoh reformasi dan aktivis yang berani mati yang sama detik lahir bersama Azmin. Mungkin apabila beliau mecalonkan dirinya sebagai calon timbalan presiden, Tian Chua ada filsafatnya sendiri dalam politik multiracial anutan PKR. Agak sukar untuk Tian Chua melewati pengaruh Azmin dalam PKR yang masih bertunjangkan kepada sokongan mengikut kaum. Kaum Melayu masih mendominasi dalam PKR dan ini memberi kelebihan kepada Azmin. Situasi ini menjadikan Azmin ke depan berbanding dengan Tian Chua. Walaupun politik terbuka tanpa dibatasi bangsa, agama dan mazhab yang hendak dibawa Tian Chua, tetapi itu masih diperingkat idealis tak mudah atau masih sukar dipraktikan waktu ini. Apapun kedudukan Tian Chua jauh lebih baik dari dua calon lain, K Ramanchandaram atau Muril Subramaniam ataupun Saifuddin Nasution sendiri. Saya tidak berani hendak mengatakan kemasukan Tian Chua dan Saifuddin sebagai memecah undi untuk Azmin bagi memenangkan Khalid? Tian Chua boleh menarik undi Cina manakala Saiufuddin undi Melayu dari tertompok kepada Azmin. Soalnya, pula apakah logik dan relevannya mereka mahu mengangkat Khalid sebagai timbalan presiden sedangkan dalam mata mereka Khalid bukan seorang partilisme? Permasalahan mereka dengan Azmin mungkin kerana karektor mereka yang berbeza. Azmin dilihat elitis dan berkelas, berbeza dengan Tian Chua yang humble dan miskin nilai-nilia kaya. Manakala Saifuddin kelihatan lebih intelektual, berpewatakan bergaya kerana sering tampil dengan fakta dan figure dalam perbahasan politiknya. Secara jujur orang yang sesuai untuk memimpin sebuah parti yang dibangunkan rakyat marhaen adalah Tian Chua. Manakala kalau mahu sebuah parti bersistemetik dan kemas, Azmin. Apapun dalam menentukan siapakah perlu dipilih sebagai presiden, perwakilan hendaklah mengambil kira siapakah yang dapat bekerja dengan presiden kelak dan benar-benar meletakkan PKR sebagai sebuah parti alternatif untuk masa akan datang dan tidak terlalu banyak memikirkan keperluan diri. Untuk jawatan lain dalam ulasan selanjutnya. [wm.kl.10:47 am 02/04/14] | ||||
Ismail Nuh: Pejuang yang taat dan ikhlas Posted: 01 Apr 2014 03:37 AM PDT BELASUNGKAWA
Ismail berhak atau layak diletak sekelompok dengan mereka itu. Ketinggian ilmu agamanya membolehkan beliau dikelompokkan di dalam barisan itu. Demikian juga dengan senioriti dan pengalamannya dalam parti. Tanpa banyak orang tahu Ismail juga turut sama memberi sumbangan menggerak Pas bernafas kembali selepas kalah berat tahun 1978. Beberapa jawatan di dalam parti dan kerajaan yang disandangnya melayakkan Allahyarham berada di kelompok kepimpinan Pas di Kelantan khususnya di era Nik Abdul Aziz. Allahyarham pernah dilantik memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelanyan (2003 - 2005), Allahyarham juga menjadi ahli Dewan Ulamak Pas Malaysia dan pernah memegang Naib Ketua Ulamak Pas Kelantan. Jawatan-jawatan disandang itu cukup untuk mengikhtirafkan bahawa beliau adalah seorang tokoh Pas Kelantan. Komitmen kepada Pas sebagai sebuah parti Islam begitu kuat sekali. Semasa Pas membentuk kerjasama dengan Semangat 46, beliau tidak bersetuju dan menentang tahaluf siyasi yang membawa kemenangan besar kepada Pas itu tahun 1990. Bagaimana pun beliau cepat sedar dan memahami akan tujuan, akhir menyokong tindakan berkenaan. Alalhyarham juga mempunyai jasa dalam bidang pengembangan pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menjadi Penolong Pengarah YIK (bahagian pendidikan), juga pernah dilantik menjadi Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, satu institusi yang dakwah yang digerakkan oleh parti. Manakala jasa dan bakti dalam pendidikan ditinggalkan ialah sekolah agama Slow Macahang. Pencapaian dalam politik Allahyarham boleh dibanggakan. Allahyarham pernah menjadi ahli parlimen Pasir Mas selama dua penggal, dari tahun 1999 hingga 2008. Penglibatan dalam politiknya menarik dan mencipta sejarah tersendiri serta sukar untuk diulangi sesiapa pun. Tahun 1999 beliau bertanding merebut kerusi parlimen Pasir Mas, berdepan dengan calon atau ahli politik paling 'babil' di Malaysia, Inchek Ibrahim Ali yang mewakili BN.
Dalam pilihan taua 2008 beliau tidak mempertahankan kerusi Pasir Mas kerana memberi laluan kepada 'musuhnya' Ibrahim Ali yang diberikan ihsan bertanding atas tikit Pas. Penyerahan kerusi Pasir Mas inilah dilihat satu pengorbanan besar Allahyarham kepada parti dan menjelaskan wala'nya sangat tinggi kepada parti dan pucuk pimpinan. Beliau sebagai penyandang dan juga selaku YDP Pas Kawasan, tidak membantah dan rela memberi laluan kepada Ibrahim. Sesuatu yang boleh dipuji dan diikuti beliau tidak membantah mengenai kejadian ini. Beliau tidak pernah tahu mengatakan 'heh' berhubung perkara ini. Kerana parti mengarahkan demikian, beliau ikut dengan penuh hormat dan melihatnya sebagai penuh hikmah. Apa dilakukan beliau sesuatu yang besar. Sebagai seorang pejuang Islam tulen, yang hidup bersama prinsip dan dasar Pas, tetapi tiba-tiba bila diminta menyerahkan kuasa dan membantu orang yang pernah melawannya dua kali dalam pilihan raya, Allahyarham ikut tanpa sebarang bantahan. Malangnya pengorbanan beliau tidak pernah dikenang oleh 'menantang' Ibrahim. "Pas lebih percayakan Ibrahim daripada ana," itulah sepatah kata yang boleh disifatkan sebagai rasa tidak puas hati Allahyarham di atas yang berlaku. Bagaimana pun 'keterkilan' beliau berhubung pemberian kerusi Pasir Mas kepada Ibrahim itu akhirnya seakan memberi kemenangan kepadanya apabila tidak sampai tiga bulan menang kerusi Pasir Mas atas tikit Pas, si Salentia itu menyerang Pas balik. Apa dilakukan Ibrahim itu semacam kifaraat Allah kepada pendosa dalam Pas. Kepatuhan Allahyarham bukan saja tidak membantah malahan beliau sendiri mengumumkan nama Ibrahim sebagai calon. Selepas itu mengetuai perarakan calon ke pusat penamaan calon di pejabat Jajahan Pasir Mas, kemudian malamnya berceramah untuk memastikan Ibrahim menang. Walaupun saya dan beliau dibezakan jarak usia tetapi masih bernasib baik kerana dapat bersahabat dan mengenali beliau dari dekat. Makan dan tidur bersama. Peluang ini saya perolehi ketika menunaikan Haji tahun 2007, kebetulan kami satu kapal dan berada dalam satu Muasasah. Tempoh mengerja Haji selama hampir dua bulan memberi ruang untuk saya mengenai serta menggali secara rengkas ilmu-ilmu agama dan politik daripada Allahyarham. Allahyarham juga merupakan seorang yang cukup menghormati Tokguru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin. Sepanjang malam perbualan, membincang hal ehwal politik Kelantan beliau tidak pernah lekang menyebut dan memuji kefatanah Nik Aziz dalam memimpin Kelantan. Baginya tidak ada dua atau tiga orang seperti Nik Aziz di Kelantan. "Tokguru Nik Aziz bagi ana ada maunah," begitulah akuinya. Allahyarham mengakui baja perjuangan Islam bersama Pas dipupuk daripada pekerti dan akhlak Tokguru Nik Aziz. Kerana meletakkan Tokguru ditangga seorang hamba yang mendapat maunah menyebabkan beliau bimbang akan nasib Pas selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz. "Abe Ti ambo tidak tahu apa akan jadi kepada Pas apabila Tokguru sudah tidak ada nanti," itulah antara kata-kata mejelaskan kebimbangan beliau kepada Pas Kelantan. Allahyarham juga percaya kepimpinan Nik Aziz yang boleh bertahan selama lebih 20 tahun bukan kerana ia didokong oleh rakyat yang cintakan Islam, tetapi oleh para malaikat seperti mana pernah disifatkan oleh Tokguru Nik Aziz. Allahyarham, walaupun usianya lebih tua daripada saya, tetapi beliau memanggil saya dengan Abe Ti. Saya tidak tahu apakah muslihatnya, walaupun berkali-kali saya jelaskan yang saya lebih muda daripadanya, tetapi dia tetap panggil saya Abe Ti. Kira-kira jam 2:40 malam tadi, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dalam usia 65 tahun. Sebagai seorang yang berjasa, pemergiannya hanya hilang dari padangan mata, tetapi perjuangannya tetap hidup. Ribuan anak-anak muridnya yang ditinggalkan itulah yang akan menjadi penerus dan pemikul amanatnya. Al Fatihah. [6:15 pm 01/04/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan