DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN 
SHAH ALAM - Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini menasihati masyarakat agar tidak menjadikan tragedi MAS sebagai bahan jenaka, sebaliknya menyeru agar semua rakyat Malaysia terus berdoa bagi keselamatan mangsa.

Menurutnya, sekalipun kita (rakyat) tiada semangat patriotik, kita wajar mampunyai nilai kemanusiaan serta merasa simpati terhadap tragedi yang menimpa itu.

"Tragedi MAS yang terhempas bukan bahan lawak ataupun senda gurau.

"Hanya yang dangkal perasaan yang boleh menjadi ia satu mainan. Islam mengajar kita semua berdoa untuk keselamatan dan takziah bagi yang kemalangan," tulisnya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

MH370 hilang dari radar dengan 239 orang berada di atas kapal dalam penerbangan ke Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.

Ia kemudiannya hilang dari radar pada pukul 1.30 pagi.

Sehingga kini, mangsa dan pesawat MH370 masih belum ditemui.