Jambatan Kedua Pulau Pinang
GEORGETOWN - Kerajaan bersetuju untuk menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
 
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
  
"Kalau ada sebuah jambatan yang begini hebat dan orang akan sebut Jambatan Pulau Pinang Kedua, ia tak ada 'umph', tak signifikan...
  
"Semoga terbinanya jambatan ini dan dengan nama (Yang di-Pertuan Agong), Insya-Allah akan kekal abadi secara berpanjangan dalam lipatan sejarah Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan jambatan itu di sini.
  
Sambil menyifatkannya sebagai detik yang amat bersejarah dan penting dalam perjalanan negara, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pengguna jambatan itu tidak akan dikenakan tol selama sebulan.