Khamis, 6 Mac 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Cucu paderi jadi imam ternama

Posted: 06 Mar 2014 08:04 PM PST


  • Suhaib WebbSuhaib Webb
 1 / 1 
DAHULU, dunianya agak 'hitam'.

Seorang yang hilang kepercayaan pada agamanya sendiri.

Terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.

Namun, itu semua berubah sejak beliau memeluk Islam pada usia 20 tahun.

Ya, perjalanan hidup William Webb atau nama Islamnya, Suhaib Webb sangat menarik.

Malah, Suhaib berjaya membuktikan bahawa Islam adalah milik semua, termasuk dirinya yang berkulit putih dan warga Barat.

Tidak cukup dengan itu, Suhaib juga mempunyai kualiti yang sangat cemerlang sebagai seorang Muslim.

Menyorot latar belakang Suhaib, siapa sangka beliau dilahirkan dalam keluarga Kristian (Prostestan) pada 1972 di Oklahoma. AS.

Sebelum memeluk Islam, beliau telah membesar sebagai cucu kepada paderi, menghadiri pertemuan di gereja tiga kali seminggu, sehinggalah tarikan beliau untuk mendalami Kristian semakin lemah.

Jelasnya, pada usia 14 tahun, akibat krisis kerohanian, dia hilang minat kepada mana-mana anutan agama.

"Pada usia itu juga, saya mula terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.

"Selain itu, saya juga adalah DJ Hip Hop dan sering merakamkan lagu dengan ramai artis ketika itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitu pun, kata Suhaib, melalui industri muzik juga, beliau mula diperkenalkan dengan agama Islam,

Ketika beliau berusia 17 tahun, seorang kenalan dalam industri itu menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan.

"Saya telah bekerja dengan artis Hip Hop dan sebahagian daripada mereka adalah beragama Islam dan mereka memperkenalkan saya kepada al-Quran.

"Sejak itu, al-Quran sedikit demi sedikit telah mula memberikan pengaruh cukup besar dalam hidup saya.

"Saya belajar al-Quran selama tiga tahun sebelum saya memeluk Islam," kata bapa kepada dua anak ini.

Tambahnya lagi, pada waktu sama, beliau juga semakin jauh terheret dalam kehidupan yang ganas akibat bergaul dengan kumpulan-kumpulan remaja liar.

'Paling berpengaruh di dunia'

Beliau adalah seorang yang suka berkongsi ilmu, jika dalam bahasa Arabnya perumpamaannya adalah Al Ilmu kal Usrati, iaitu ilmu itu bagai keluarga, mesti dikongsi bersama.

William Webb atau nama Islamnya, Suhaib Webb suka berkongsi ilmu tanpa mengira cara dan tempat di mana saja terutamanya dalam menggunakan sepenuhnya perkembangan teknologi maklumat (IT).

Bahkan, kenyataan ini disokong daripada kejayaan laman webnya sendiri, iaitu www.SuhaibWebb.com (Your Virtual Mosque), yang diiktiraf sebagai Blog Terbaik, The Best Blog Of The Year oleh Brass Crescent Awards dan di laman sosial Tweeter pula, dengan undian tertinggi untuk memenangi The Best Muslim Tweeter, setahun kemudian.

Tidak cukup dengan itu, di laman sosial Facebook miliknya, beribu-ribu likes dimilikinya dan beliau juga boleh dikenali sebagai Ustaz Youtube lantaran kepopularannya pada hari ini.

Selain itu, beliau turut dipilih sebagai salah seorang daripada '500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia' oleh Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam pada 2010.

Suhaib juga telah dinobatkan sebagai 'Pemimpin Islam Sederhana' oleh Kerajaan British pada 2010 dan 2013.

Malah, Suhaib turut menjadi penggerak sayap belia untuk Muslim American Society dan juga menjadi tenaga pengajar untuk Al Maghrib Institute, universiti maya yang beroperasi 24 jam di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom.

Insiden jenayah berkumpulan

Suhaib memeluk agama Islam pada 1992, ketika itu beliau berusia 20 tahun.

Insidennya dikejar oleh kereta peronda polis dan terselamat daripada ditembak atas jenayah berkumpulan yang mereka lakukan menjadi titik tolak akan penghijrahannya.

Baginya, kejadian berkenaan adalah satu 'siren amaran' yang kuat kepada buat dirinya agar sedar sebelum segala-galanya terlambat.

"Saya benar-benar sedar sejak kejadian itu dan tidak ada cara atau jalan lain kecuali memeluk Islam bagi memastikan saya tidak lagi terjerumus dalam kancah jenayah," katanya.

Setelah itu, beliau berhenti dari menjadi DJ dan mengambil keputusan untuk meneruskan pengajiannya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti of Central Oklahoma di dalam bidang pendidikan.

Pengajiannya kemudian diteruskan di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir selama enam tahun bermula pada 2004 dalam bidang Syariah.

"Saya mempelajari dan menghafal al-Quran di Mekah daripada seorang ilmu agama terkenal, Sheikh Abu Mustafa,

"Saya juga pernah menjadi guru agama dan mengajar di AS dan United Kingdom," kata pendakwah bebas ini.

Namun tidak sahaja beliau belajar di universiti bagi melengkapkan keperluan pendidikan rasmi, bagi yang tidak rasmi Suhaib belajar mengenai Islam dan bahasa Arab secara persendirian dengan seorang ulama dari Senegal.

Kini, beliau adalah Imam Masjid Boston di Pusat Masyarakat Islam dan Kebudayaan Boston (ISBCC), masjid yang terbesar di wilayah New England, Amerika Syarikat.

Hos Reflections

Menjadi antara peneraju awal bagi rancangan agama popular masa kini, Reflections di TV Al Hijrah (saluran 114), Suhaib berjaya mengumpulkan peminatnya tersendiri.

Maka tidak hairanlah, rancangan itu yang kini bakal memasuki musim ke-16 dan 17, sejak mula diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, masih lagi mengekalkannya sebagai hos rancangan.

"Dulu, saya membesar dengan pengaruh yang disiarkan oleh saluran TV MTV, maka tidak menghairankan yang lahir adalah generasi MTV.

"Jadi, kita perlu mengambil kesempatan sepenuhnya demi membentuk generasi Islam yang terbaik terutama daripada kalangan anak muda kita hari ini," katanya.

Sebagai bekas DJ, beliau masih lagi menggunakan kemahiran dalam berkomunikasi itu bagi menarik perhatian penonton.

Dalam rancangan itu, Suhaib mengupas surah-surah dalam al-Quran dari pelbagai aspek, terutama dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian umat Islam.

Beliau tidak sahaja mengeluarkan pendapat, malah berkongsi dengan ulama-ulama dan tokoh ilmuan Islam lain bagi memberikan perspektif lebih luas kepada penonton.

"Konsep dan pemahaman ajaran Islam secara terperinci dengan terjemahan ayat-ayat suci al-Quran akan didedahkan kepada semua penonton," katanya.

Reflections musim baharu akan ditayangkan menjelang Mei nanti. - SH 7/3/14

Adun PKR Berdepan Tindakan Saman Keluarga Anggota Polis

Posted: 06 Mar 2014 07:23 PM PST



Keratan status laman sosial Raja Nor Atiqa iaitu anak kepada Allahyarham Koperal Raja Aizam yang ingin mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menghina kematian bapanya semasa bertugas pada Khamis.
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berdepan tindakan saman daripada keluarga Allayarham Koperal Raja Aizam Raja Mohet, 54, berikutan tweetnya yang didakwa berunsur hinaan.
Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam entri tweeternya dilaporkan berkata, " penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah..." yang dipercayai merujuk kepada kejadian yang menimpa Raja Aizam.
Dalam kejadian pada Selasa, Allahyarham Koperal Raja Aizam meninggal dunia manakala rakan setugas beliau dari unit kereta peronda cedera selepas diserang dua lelaki, dipercayai warga Indonesia di Taman Sentosa, Klang.
Tindakan untuk menyaman Dr Afif telah dimuatnaik oleh anak perempuan Allahyarham menerusi status laman sosial Facebook Raja Nor Atiqa pada petang Khamis.
Menurut status tersebut Raja Nor Atiqa hanya berkata, "kami akan saman demi arwah abah."
Sebelum itu, pada tengah hari Khamis, Raja Nor Atiqa dalam statusnya turut memberi peluang kepada Dr Afif untuk meminta maaf secara terbuka sebelum keluarganya memutuskan untuk mengambil tindakan saman.
Bagaimanapun akibat tiada permohonan maaf, wanita terbabit mengeluarkan status terbaru untuk mengambil tindakan saman malu.
Status Raja Nor Atiqa selain itu turut mendapat sokongan moral pengguna laman sosial yang mahu keluarga Raja Aizam mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat PKR terbabit bagi memberi pengajaran kepada ahli politik lain.

Masa depan Anwar berkubur?

Posted: 06 Mar 2014 07:22 AM PST


Kini baru difahami mengapa tarikh penamaan calon dan hari pengundian pilihanraya kecil DUN Kajang dilewatkan sehingga menghampiri tempoh 60 hari yang dibenarkan oleh undang-undang. Walaupun SPR dimaklumkan mengenai tarikh kekosongan DUN Kajang pada 27 Januari 2014 tetapi tarikh penamaan calon hanya ditetapkan pada 11 Mac manakala hari pengundian pula pada 23 Mac.

Ini bermakna jarak masa antara tarikh kekosongan DUN Kajang dengan hari penamaan calon ialah selama 44 hari manakala dengan hari pengundian pula ialah 56 hari.

Walaupun kelewatan ini menimbulkan sedikit keanehan, namun Pengerusi SPR, Abdul Aziz Yusof memaklumkan ianya berlaku kerana SPR tidak menjangka langsung akan ada pilihanraya kecil ini manakala SPR pula sedang sibuk menumpukan kepada tugas-tugas lain.


Jika tanggalan dulu tarikh itu sengaja dilewatkan untuk meletih dan membuat Anwar kepenatan, rupa-rupanya terdapat agenda lain yang lebih besar disebaliknya.

Hari ini dan esok iaitu 6 dan 7 Mac akan berlangsung perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan berhubung pembebasan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. Oleh kerana perbicaraan hanya ditetapkan selama dua hari dan keputusan sama ada bersalah atau tidak akan diputuskan pada petang 7 Mac bersamaan hari Jumaat atau pada hari Isnin.
Tetapi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sin Tze Tzin meramalkan hakim hanya akan memberikan keputusannya pada petang Isnin kerana pada pagi Isnin, 10 Mac adalah hari pembukaan sessi Parlimen yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong di mana Anwar, peguam Karpal Singh dan beberapa yang lain terpaksa menghadiri berada di Parlimen pada sebelah paginya.

Bagi Sin Tze Tzin, dengan keputusan dijangka pada petang Isnin dan jika Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan, maka proses rayuan tidak dapat dilakukan pada petang tersebut kerana sudah melewati waktu pejabat. Ia seterusnya akan menyebabkan Anwar ditahan di penjara sehingga rayuan menangguhkan hukuman ke Mahkamah Persekutuan yang hanya akan dapat dilakukan pada keesokan harinya, 11 Mac.

Oleh kerana 11 Mac juga ditetapkan sebagai hari penamaan calon pilihanraya kecil Kajang dan Anwar harus menyelesaikan proses rayuannya terlebih dahulu, Sin Tze Tzin menjangkakan kebarangkalian adalah tinggi bahawa Anwar tidak sempat mengemukakan borang pencalonannya ssbagai calon pilihanraya tersebut.

Pada 11 Mac sebelah petang juga Anwar dijadualkan berucap di Parlimen membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong. Kiranya Anwar didapati bersalah, bermakna Anwar bukan saja tidak dapat menjadi calon di Kajang, bahkan juga terlepas daripada berucap di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.

Tanpa ragu-ragu juga Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata bahawa prosiding kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan di saat-saat akhir dan tarikh penamaan calon Kajang juga ditetapkan begitu lewat olrh SPR, ia seolah-olah langkah politik BN untuk menamatkan hayat politik Anwar.

Sekali imbas, pertembungan tarikh ini dilihat seperti disengajakan untuk menghalang Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Tergambar bahawa ada ketakutan di pihak BN dan Najib Razak terhadap langkah KajangMove yang dilakukan oleh Anwar ini.

Dan sekiranya benar seperti yang dijangkakan bahawa akhirnya Anwar didapati bersalah, maka sahihlah segala yang diramalkan itu. Cuma, apakah benar jika Anwar didapati bersalah, dipenjarakan sekali lagi dan dihalang daripada bertanding di Kajang, kebangkitan rakyat akan mati dan PR juga akan berkubur?

Atau mungkinkah dengan segala halangan ini akan menyebabkan kebangkitan rakyat lebih membara lagi?

Jika ini yang berlaku, sama ada Anwar dihalang atau tidak, riwayat Najib dan BN tetap tidak selamat juga?

Tetapi bagaimana pula jika keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar tidak bersalah? Sudah tentu semangat Anwar dan penyokong PR akan melonjak lebih tinggi, bukan saja untuk menghadapi pilihanraya kecil Kajang tetapi juga menuju Putrajaya menjelang pilihanraya 2018 nanti. Dalam masa yang sama, sudah tentu juga sekali lagi Najib dan BN didakwa mempunyai niat jahat membawa Anwar ke mahkamah dalam kes liwat ini kerana terbukti sudah dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya.

Meskipun mungkin ada yang beranggapan bahawa jika Anwar dipenjarakan sekali lagi, bukan saja masa depan politiknya akan berkubur, malah tempoh hayat politik BN diramalkan akan terus berkekalan tetapi jangkaan ini tidak semestinya betul. Dengan pelbagai masalah dihadapi rakyat, kebencian terhadap perangai pemimpin politik yang sudah membara sekian lama serta kesedaran rakyat makin meninggi sekarang ini, memenjara dan menghalangnya daripada bertanding mungkin juga akan menghasilkan natijah yang songsang.

Maknanya, lagi Anwar dihalang dan lagi beliau dipenjarakan, lagi membara kebangkitan rakyat. Ini kerana kebangkitan ini bukan lagi berkaitan dengan Anwar semata-mata tetapi sudah menyeluruh mengenai kesedaran rakyat mengenai hak yang sepatutnya lebih baik boleh diperolehi daripada sesebuah kerajaan berbanding sebelum ini. Anwar dan PR sebenarnya hanyalah alat kepada rakyat.

Sama ada keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah atau sebaliknya, ia sebenarnya tetap tidak berupaya memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap Najib serta kerajaan. (SH 06/03/2014) 

Teresa perlu sedia hadapi kemungkinan

Posted: 06 Mar 2014 03:18 AM PST

GEORGETOWN - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku berikutan tindakannya yang mengundang kemarahan rakyat.

Ketua Pembangkang Dun, Datuk Jahara Hamid berkata, Teresa perlu berani menghadapi cabaran daripada orang ramai kerana sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Beliau dah keluarkan kenyataan kontroversi, maka sekarang kena terimalah apa saja kemungkinan. Jangan tahu cakap saja, bila dimarahi rakyat, nak tuduh pihak lain pula.

"Kenyataan yang dibuat telah mengganggu emosi rakyat, jadi apa yang beliau jangkakan? Adakah beliau jangka orang akan gembira atau berdiam diri (dengan kenyataan itu)? Bila emosi terganggu, sudah pasti rakyat akan bertindak," katanya kepada media pada majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2014-2016 hari ini.

Malam kelmarin, ceramah PR di Taman Cermai, Permatang Pauh yang dihadiri Teresa Kok bertukar kecoh apabila beliau 'dihadiahkan' sebiji telur ayam  oleh  seorang lelaki tidak dikenali.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Teresa baru  selesai berceramah dan duduk bersebelahan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang turut hadir di bawah khemah di tepi pentas.

Beliau  kemudian dihampiri seorang lelaki yang mahu bersalam dengannya dan  ketika menghulurkan tangan, telur ayam yang berada dalam gengaman lelaki berkenaan pecah dan mengenai tangan Teresa yang juga Pengerusi DAP Selangor.

Keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai beranggapan Teresa ditampar dan penyokong pakatan pembangkang bertindak mengepung lelaki berkenaan dan memukulnya.

Teresa yang kelihatan terkejut dengan kejadian itu kemudian diiringi ke tandas berhampiran dengan kawalan ketat untuk mencuci tangan dan segera meninggalkan tempat berkenaan dengan sebuah kereta.

Terdahulu, ketika berceramah, Teresa turut menayangkan semula video ONEderfull Malaysia CNY 2014' yang mencetuskan kontroversi dan meminta kira- kira 200 orang yang hadir membuat penilaian terhadapnya.

Menurutnya, video berkenaan hanya menampilkan isu semasa yang  berlaku dalam negara dan disampaikan secara komedi dan tidak menghina mana- mana pihak. - SH 6/3/14

PR Sekat Khalid Tandatangan Perjanjian Air Dengan Pusat

Posted: 05 Mar 2014 11:26 PM PST

KUALA LUMPUR: Nasib Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian pengstrukturan semula air di Selangor dan Wilayah Persekutuan kini menjadi tanda tanya selepas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada Rabu mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan kerajaan pusat tanpa kelulusan mereka.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khalid perlu menjelaskan beberapa butiran perjanjian MoU serta mendengar pandangan-pandangan daripada Majlis Pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
"Kita minta Tan Sri Abdul Khalid lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatangani.
"(Khalid) Harus diberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, soal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ditandatangani...kalau lepas tandatangan (penjelasan) tak ada makna dah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini, Rabu.
Hadir sama Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kongres Khas DAP, Anthony Loke.
Anwar berkata, tiga wakil PR telah dihantar untuk mengadakan perbincangan dan menyatakan pandangan mengenai perjanjian air dengan Khalid.
Mereka ialah Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir pada mesyuarat sebelum sidang media diadakan.
"Ketiga-tiga mereka kini dalam perjalanan bertemu Tan Sri Abdul Khalid," katanya.
Anwar berkata, ketika sidang media berlangsung, Khalid sedang memberikan taklimat terperinci kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun di Selangor mengenai MoU penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, PR secara dasarnya menyokong rundingan penstrukturan semula air di Selangor dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau juga mengakui tanpa rundingan, kepentingan rakyat Selangor dari segi bekalan air akan terjejas dalam jangka masa panjang.
"Tetapi kita juga ada kebimbangan dan faktor-faktor yang perlu dipertimbang
"Pandangan bebas perlu dilihat. Ini bukan setakat MOU tetapi perjanjian dikepilkan bersama. Persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu, kita sokong secara prinsipnya," katanya.
Mengenai MoU tersebut, Anwar mengakui belum melihat kandungannya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau telah menasihatkan Khalid sebelum ini supaya berhati-hati dalam memeterai perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Selangor.
Tambahnya, PR tidak bermaksud untuk menyulitkan lagi keadaan.
"Jangan sulitkan lagi keadaan, bukan semua (perkara) kena rujuk (Majlis Pimpinan PR), kita tak pernah ganggu tetapi ini melibatkan manifesto, melibatkan Langat 2.
"Ada beberapa perkara perlu diteliti...peruntukan yang masih lagi samar-samar," tegasnya.
Dalam pada itu Anwar juga memberitahu bahawa beliau telah memaklumkan kepada Khalid supaya meminta tempoh daripada Kerajaan Persekutuan sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu munasabah dalam menetapkan tempoh perjanjian.
"Takkan malam pukul 11 telefon, esok pagi pukul 10 suruh tandatangan dokumen perjanjian yang melibatkan nilai RM9.6 bilion atau 11 bilion," katanya.  mStar 

Tiada ulasan: