Rabu, 26 Mac 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


PAS yakin MH370 dirampas

Posted: 26 Mar 2014 10:54 PM PDT

YAN - Pas yakin bahawa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dirampas oleh individu tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanda-tanda mengenai rampasan itu sudah ada.

"Kerajaan mesti mengesahkan bahawa MH370 telah dirampas, cuma kita belum tahu siapa yang lakukan perkara itu.

"Tanda-tanda terjadi itu ada sebab dia pesawat itu dibawa ke tempat yang sukar dan tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ijtimak Ulama Pas Kedah di Markas Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat.

"Saya doakan mudah-mudahan ada harapan untuk mereka selamat dan takziah kepada keluarga penumpang.

"Takziah bukan bermaksud kematian saja, tetapi bencana yang menimpa ahli keluarga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Mohd Zawawi Saleh mengharapkan supaya ahli keluarga mangsa tabah dan kuatkan semangat.

"Sekiranya ditakdirkan penumpang pesawat MH370 mati, kita harap ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka.

"Dalam situasi ini juga, penumpang-penumpang dan anak kapal itu dikira sebagai syahid akhirat," katanya. - SH

ARTIS : Datuk Ali Mamak meninggal dunia

Posted: 26 Mar 2014 08:50 PM PDT


  • Ali Mamak Ali Mamak
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pelawak terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Alllahyarham yang dikenali melalui sitkom 'Santan Berlada' meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Perkara ini juga disahkan oleh anak lelakinya, Shahrul Nizam melalui akaun Facebook (FB) peribadinya.

Alllahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah akan dibawa ke Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebelum Zohor.

Al-Fatihah.

Rogol anak tiri - penjara 24 tahun 16 sebatan

Posted: 26 Mar 2014 07:51 PM PDT


  • Empat kali rogol anak tiriTertuduh dipenjara 24 tahun dan dikenakan 16 sebatan selepas mengaku salah merogol anak tirinya sebanyak empat kali.
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Perbuatan jijik seorang buruh yang tergamak menjadikan anak tirinya sebagai tempat melampiaskan nafsu, menerima balasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 16 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas empat pertuduhan melakukan sumbang mahram iaitu merogol mangsa sebanyak empat kali di lokasi dan tarikh berasingan.

Tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan keempat merogol mangsa di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Padang Tapong, Jerteh, Besut, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 21 Ogos 2013, yang ketika itu mangsa sudah berusia 18 tahun.


Dengan itu, dia mengaku salah atas keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Berdasarkan fakta kes, pada Ogos 2007, kira-kira jam 10 malam hingga 11 malam, semasa tertuduh membawa pulang mangsa dari kelas malam dengan menaiki motosikal, dia telah memberhentikan motosikalnya di kawasan ladang getah sebelum bertindak merogol mangsa di situ sebanyak sekali.

Keesokannya, mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya dan terkejut mendengar berita tersebut, ibu mangsa bertindak memarahi suaminya, namun tertuduh telah memukul isterinya serta mangsa.

Pada pertengahan Mei 2011, kira-kira jam 7.30 pagi semasa ibu mangsa keluar bekerja menoreh getah, tertuduh sekali lagi merogol mangsa di ruang tamu rumah mereka.

Sejurus ibunya pulang, mangsa menceritakan perbuatan jijik bapa tirinya itu, namun selepas mendapat tahu perbuatannya disebarkan kepada isterinya, tertuduh sekali lagi memukul mangsa dan isterinya itu.

Pada pertengahan Mac 2012, jam 10 pagi, akur dengan arahan bapa tirinya itu yang menyuruh dia mengikutnya ke pekan Jerteh dengan menaiki motosikal, mangsa sekali lagi menjadi pemuas nafsu tertuduh.

Tertuduh memberhentikan motosikalnya di kawasan hutan dan di situ dia sekali lagi merogol mangsa.

Seterusnya, pada 21 Ogos 2013, semasa ibu mangsa berada di Hospital Besut kerana melahirkan anak bongsu, mangsa diajak tertuduh ke ladang kelapa sawit dan disebabkan takut dengan bapa tirinya itu, mangsa akur sebelum dirogol di situ.

Bagaimanapun, pada 3 September 2013, disebabkan tidak tahan lagi diperlakukan sedemikian, mangsa nekad menceritakan kejadian itu kepada rakan sekelasnya yang kemudiannya telah memaklumkan kepada guru kaunseling sekolah mereka.

Keesokannya, setelah dirujuk kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Besut, mangsa dibawa ke Balai Polis Kampung Raja untuk membuat laporan, sebelum tertuduh ditangkap di hadapan rumahnya hari sama laporan dibuat, iaitu kira-kira jam 8 malam.

MH 370 : Ayah masih hidup - Anak Kapt Zaharie

Posted: 26 Mar 2014 06:39 PM PDT

Subang Jaya: "Selagi tidak tengok dengan mata saya sendiri serpihan atau bukti pesawat berkenaan terhempas, saya percaya ayah masih hidup," demikian luahan anak bongsu juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Ahmad Seth Zahari, 26, berkata, dia tidak terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perjalanan MH370 yang sepatutnya tiba di Beijing berakhir di selatan Lautan Hindi memandangkan pesawat berkenaan sudah lebih dua minggu dilaporkan hilang.
"Saya tenang dan tidak terkejut. Itu yang boleh saya katakan sebaik mendapat berita perjalanan MH370 yang dikendalikan ayah berakhir di selatan Lautan Hindi.


"Ini mungkin kerana naluri saya kuat mengatakan ayah masih hidup. Walaupun saya tahu peluang itu (masih hidup) tipis tetapi selagi tiada bukti menunjukkan perkara itu, saya rasakan yang ayah masih ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Subang Jaya, kelmarin.
Foto
AHMAD Seth bersama kakak, Aishah (kiri) serta ibu, Faizah Khanum Mustafa Khan.

Walaupun bersikap tenang, namun riak wajah pelajar sebuah kolej bahasa asing itu gagal menyembunyikan seribu kesedihan kerana selepas 18 hari, misteri kehilangan pesawat dikendalikan bapanya belum menemui sebarang jawapan yang pasti.

Rabung Hindi Selatan lokasi MH370


KAPAL HMAS Success milik tentera laut Australia berada di Lautan Hindi bagi mencari serpihan pesawat MH370. - AFP


SYDNEY - Pakar geologi marin percaya bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) tenggelam di satu kawasan rantaian gunung berapi dasar laut yang sangat besar di Lautan Hindi, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.
Seorang pakar geologi marin dari Universiti James Cook Australia, Dr. Robin Beaman berkata, beberapa objek dipercayai serpihan pesawat MH370 tersebut dikesan di satu kawasan gunung berapi dasar laut yang tidak pernah dipetakan sebelum ini.
Katanya, hanya sedikit diketahui mengenai dasar laut di selatan Lautan Hindi dan usaha untuk mencari bangkai pesawat jenis Boeing 777-200 itu memerlukan teknik pemetaan tiga dimensi dengan menggunakan peralatan yang canggih.
"Bagaimanapun, Australia tidak lagi mempunyai kemampuan untuk membuat carta dasar laut sedalam lebih 3,000 meter kerana satu-satunya kapal yang mampu melakukan kajian itu, RV Southern Surveyor telah ditamatkan perkhidmatannya pada Disember tahun lalu.
"Sebuah kapal baharu bagi menggantikan kapal berkenaan kini sedang dibina di Singapura," katanya.
Menurutnya, untuk membuat carta dasar laut dalam mereka memerlukan sejenis alat yang dikenali sebagai Pemancar Berbilang Gema Bunyi yang menghantar denyutan bunyi ke dasar laut sebelum bunyi itu dipantulkan semula untuk dianalisis.
Pesawat berkenaan yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu.
Ia membawa 239 orang manakala 153 orang merupakan warga China.
Misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan lebih 2,000 kilometer dari Perth.
Beaman berkata, objek pertama yang dikesan oleh satelit milik DigitalGlobe pada 16 Mac lalu terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari barat daya zon aktif satu rantaian gunung berapi bawah laut yang dikenali sebagai Rabung Hindi Selatan.
Rabung Hindi Selatan yang mempunyai panjang lebih 1,700km bermula di barat daya Australia hingga ke New Zealand.
Satu lagi objek yang dipercayai serpihan MH370 di kesan oleh sebuah kapal terbang China di satu lokasi kira-kira 180km barat daya rabung tersebut.
Sebuah kapal terbang peninjau Australia pada Isnin lalu mengesan satu lagi objek kira-kira 200km timur laut rabung berkenaan.
"Berdasarkan penemuan tersebut kemungkinan pesawat ini terhempas di rusuk rabung itu dan di kawasan ini tiada carta dasar laut pernah dibuat," jelasnya.
Tambahnya, rabung itu mempunyai muka bumi yang kompleks dengan puncak setinggi berpuluh-puluh meter.
"Sangat sukar untuk mengesan bangkai pesawat di dasar lautan ini tanpa carta yang bagus dan pasukan mencari juga memerlukan kapal selam kawalan jauh.
"Tiada keraguan lagi kita perlu membuat peta dasar laut yang baharu di kawasan ini," jelasnya. - Agensi

CEO MAS: Hancur luluh hati saya

Posted: 26 Mar 2014 08:17 AM PDT

  • Ahmad Jauhari YahyaAhmad Jauhari Yahya
 1 / 1 
SEPANG - "Hancur luluh hati saya apabila mengenangkan kesedihan tidak tertanggung yang dialami keluarga terbabit dan tiada kata-kata yang dapat meredakan kesedihan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya.

Sejurus selepas sidang akhbar mengenai MH370 awal hari ini, Ahmad Jauhari berkata beliau bukan berkata demikian kerana kedudukannya sebagai CEO MAS, tetapi sebagai seorang bapa dan anak.

"Setiap anggota keluarga MAS mendoakan kesejahteraan 239 roh mereka yang menaiki MH370 dan orang yang mereka sayang pada hari yang memilukan ini. Kami (MAS) mendoakan kesejahteraan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," kata Ahmad Jauhari yang mengalirkan air mata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tentang nasib pesawat itu malam semalam.


Beliau berkata seluruh warga MAS turut berasa sedih dan pilu. "Sedih kerana kesemua mereka yang menaiki Penerbangan MH370 pada 8 Mac tidak akan dapat lagi berjumpa dengan keluarga masing-masing. Dan kini, keluarga terbabit terpaksa menjalani kehidupan tanpa orang yang mereka sayangi. Satu lagi perkara yang tidak patut dilupakan ialah 13 rakan kami dan rakyat Malaysia lain juga menaiki pesawat itu.

"Izinkan saya menyatakan dengan sejelas-jelasnya tentang peristiwa petang semalam bahawa satu-satunya motivasi bagi kami (MAS) ialah untuk memastikan bahawa dalam tempoh yang amat singkat, keluarga berkenaan dapat mendengar berita sedih itu sebelum dunia mendengarnya," kata beliau.

Beliau berkata dengan sedapat mungkin, MAS menyampaikan berita itu secara peribadi kepada keluarga terbabit atau melalui telefon dan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) hanya sebagai langkah susulan untuk memastikan hampir 1,000 anggota keluarga terbabit mendapat berita itu dari syarikat penerbangan tersebut sendiri, bukan dari media.

Ahmad Jauhari berkata seperti orang lain, MAS juga menunggu berita itu daripada pihak berkuasa.

"Kita tahu bahawa walaupun terdapat banyak petunjuk ketara, namun tidak terdapat pengesahan tentang identiti sebarang serpihan yang diperkatakan itu. Sukar untuk meramalkan berapa lama masa yang perlu diambil. Tetapi, selepas 17 hari, pengumuman yang dibuat malam tadi dan dikongsi dengan keluarga terbabit, merupakan hakikat yang perlu kita terima sekarang," katanya.

Beliau berkata apabila MAS mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penyiasatan, persiapan akan dibuat untuk membawa keluarga terbabit ke kawasan penemuan sekiranya mereka ingin berbuat demikian, tapi untuk  waktu ini, mereka akan terus membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Jauhari mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari yang benar-benar bersifat global ini.

"Peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan ini menjadikan 18 hari lepas sebagai tempoh yang paling mencabar dan terpaksa diharungi oleh seluruh pasukan kami di MAS. Saya amat terharu dengan ketekunan, dedikasi, rasa prihatin yang diutuskan serta sokongan yang diberi oleh pasukan kami yang hebat ini.

"Kami tidak tahu kenapa dan kami tidak tahu bagaimana tragedi dahsyat ini terjadi. Tapi, sebagai keluarga MAS, kami mendoakan kesejahteraan untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370," katanya. 

Setelah 17 hari gerakan mencari dan menyelamat dijalankan, semalam, Najib mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Beliau membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK dan Inmarsat, syarikat dari United Kingdom yang menyediakan data satelit berkenaan.

Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac. Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama

Ada ahli keluarga mangsa tidak mahu menerima ucapan takziah. - "...mangsa masih hilang dan bukan sudah tiada," katanya.

Posted: 26 Mar 2014 06:35 AM PDT

PUTRAJAYA: Di sebalik pengumuman rasmi kerajaan pada Isnin lepas bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, masih ada keluarga yang berharap pesawat Malaysia Airlines (MAS) berkenaan selamat.
"Kita masih mahu bukti kukuh diberikan dan tidak hanya diberitahu pesawat itu telah berakhir di Lautan Hindi," kata Sharil Shaari, sepupu Mohd Razahan Zamani, iaitu seorang daripada 227 penumpang MH370, kepada pemberita hari ini. 
Dia juga tidak mahu menerima ucapan takziah.


"...mangsa masih hilang dan bukan sudah tiada," katanya.

Mohd Razahan, 23, dan isteri Norli Akmar Hamid, 33, menaiki penerbangan MH370 ke Beijing untuk berbulan madu.

Sementara itu di BANGI, anggota keluarga penumpang dari China yang ditempatkan di Hotel Bangi-Putrajaya dikatakan enggan keluar dari bilik masing-masing sejak lewat malam Selasa.

Menurut seorang pegawai keselamatan yang enggan namanya didedahkan, mereka juga tidak mahu berjumpa dengan sesiapa melainkan jika ada maklumat baharu.

"Makan pun mereka guna khidmat 'room service'," katanya.

Sementara itu, Kam De Zheng iaitu Setiausaha Sulit Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, ketika dihubungi mengesahkan tiada taklimat dijadualkan untuk keluarga penumpang yang menetap di hotel itu hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai desas-desus keluarga terbabit akan dipindahkan ke Hotel Everly, Putrajaya untuk ditempatkan bersama-sama keluarga penumpang lain.

Sabtu lepas, kira-kira 20 anggota keluarga penumpang warga China dipindahkan ke hotel itu dari Hotel Cyberview yang telah ditempah awal sempena perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac ini di Litar Sepang.

Lobi hotel juga dikawal rapi oleh pengawal keselamatan MAS dan hotel selain meletakkan papan tanda 'No Media After This Point' di pintu utama.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dengan lebih 150 warga China serta 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac sebelum hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian.

Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 misi mencari dan menyelamat yang membabitkan 26 negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan rumusan data satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). - Bernama

Kapt Zaharie pernah beritahu kuburnya di Lautan Hindi?

Posted: 26 Mar 2014 03:29 AM PDT



Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah pernah bergurau kepada kenalan rapatnya bahawa rakannya itu tidak akan menjumpai pusaranya menjadi petanda yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.


Bernama melaporkan, Mohaza Mohaza, kenalan rapat kepada Zaharie berkata, dia tidak menyangka bahawa gurauan juruterbang itu pada Aidilfitri lalu di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang merupakan satu kiasan untuk pergi meninggalkan semua.

"Zaharie memberitahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa kubur atau pusaranya. Inilah rupa maksudnya. Baru saya mengerti. Pusaranya di Lautan Hindi.


"Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas rohnya dan juga muslimin muslimat pesawat MH370 kesemuanya serta ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin," katanya.

Anak kepada Zaharie, Ahmad Idris Zaharie turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan bapanya.

Di laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie MH370′, Ahmad Idris menulis;
"Terima kasih semua untuk sokongan yang diberikan. Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini. Al-Fatihah."

Tiada ulasan: