Kelab Greenboc |
- [BONGKAR] Warga Siber Persoal Adakah Foto Ini Tulen?
- Tweet Anak Krew MH370 Dapat Simpati Umum
- Berbillion Beli Kapalselam, Tiba-tiba Tak Diguna Untuk Mencari & Menyelamat!
- "Tahyul & Khurafat Ini Bukan Ajaran Islam" - Dr.Asri
[BONGKAR] Warga Siber Persoal Adakah Foto Ini Tulen? Posted: 12 Mar 2014 12:45 AM PDT Semalam pihak polis telah mendedahkan foto dua individu yang menaiki pesawat MH370 pada dengan pasport curi. Namun, dua foto berkenaan diragui dan telah mendapat pelbagai ulasan dan kritikan di laman sosial. Gambar tersebut adalah "screencapture" dari video yang disebarkan. Begitu aneh, bagaimana dua individu yang berlainan, yang kelihatan badannya dan kepalanya berbeza, tapi kedudukan kaki dan latar lantainya sama. Tidak mungkin samasekali kedudukan kaki kedua-dua pemuda itu benar-benar kelihatan sama sedangkan muka masing-masing sedang menghadap arah berlainan. Bahagian kaki itu serupa sangat dan seperti di"photoshop"kan. Semalam polis mendedahkan identiti pemuda berkenaan, dikenalpasti sebagai Pouria Nour Mohmammad Mahrdad, 19, pemegang pasport dikeluarkan negara Austria yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya dan yang kedua juga warga Iran bernama Delajar Syed Mohamad Reza, 30. Selain dari foto yang mencerigakan itu, pemuda itu nampaknya tidak menepati dengan ciri-ciri yang didedahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang menyatakan "kedua-dua individu itu tidak kelihatan seperti orang Asia.". Malah mengikut Azharuddin, pemuda itu "berkulit hitam" dan tanyanya: "Kamu tahu pemain bola (bernama) Balotelli?" Pihak polis perlu tampil menjelaskannya sebelum lebih ramai membuat tanggapan bahawa ia adalah sekeping gambar palsu. Ini mengingatkan kita tentang Ahmad Zahid Hamidi (ketika itu Menteri Pertahanan) yang menunjukkan gambar mayat penceroboh Sulu yang dipertikaikan. Apa hal sebenar di belakang semua ini?
|
Tweet Anak Krew MH370 Dapat Simpati Umum Posted: 11 Mar 2014 08:24 PM PDT Satu tweet menyayat hati daripada Maira Elizabeth Nari kepada bapanya, ketua pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 Andrew Nari, merayu bapanya pulang segera, mendapat respons hebat orang ramai. Tweet kebimbangan beliau mengenai bapanya sejak berita pesawat MAS hilang sejak Sabtu lepas, setakat malam tadi, ditweet sekali lagi sebanyak 62,400 kali manakala akaun twitternya mendapat perhatian 28,000 pengikut. Satu daripada tweet itu berbunyi "Sudah lebih 48 jam. Di mana kamu, ayah? Mengeluh.." manakala satu lagi berbunyi "Ayah. Berita mengenai kamu tersiar dalam pelbagai akhbar. Baliklah segera, agar kamu dapat membacanya! Tidakkah kamu terasa teruja?" Dalam tweetnya semalam, remaja itu juga memuat naik gambar beliau dan keluarga semasa sambutan hari lahir dengan menulis: "dan sehingga hari ini, kami masih menunggu kamu, ayah". Maira juga tetap positif walaupun ketika pesawat MH370 masih belum ditemui melalui statusnya. "Memandangkan hampir semua orang bertanya khabar mengenai ibu saya, beliau sihat. Beliau tabah dan dengan sokongan yang kami terima, kami semua sihat". Beliau juga menerima banyak sokongan daripada orang ramai untuk tidak patah semangat dalam menghadapi saat kritikal ini. Seorang pemegang akaun twitter @DianaDanielleB berkata: "Hai si cantik manis, saya menghantar kiriman kasih sayang dan doa untuk anda dan keluarga anda. Jadilah seorang gadis yang berani dan tabah, seperti mana diri anda, dan sentiasa mengukir senyuman". Seorang lagi pemegang akaun twitter @__yaneshaaa berkata: "tabahkan hati anda, semuanya akan selamat. Saya doakan keselamatan bapa anda dan berharap dia selamat. Dalam tweetnya kira-kira 6.30 petang semalam, Maira juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepadanya. "Saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada anda semua. (atas segala) sokongan, kasih sayang dan kebaikan. Tuhan rahmati anda semua," kata beliau melalui tweet tersebut. Andrew merupakan seorang daripada 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat yang sedang dalam penerbangan ke Beijing yang hilang kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. - Bernama |
Berbillion Beli Kapalselam, Tiba-tiba Tak Diguna Untuk Mencari & Menyelamat! Posted: 11 Mar 2014 06:01 PM PDT MH370: Tiada kapal selam diguna untuk operasi mencari PETALING JAYA: Tiada kapal selam digunakan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Katanya, ini kerana kapal selam tidak sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad dan tidak berupaya mengesan objek statik di dasar laut. "Sonar yang dipasang pada kapal selam tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang berada di paras laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau yang mengeluarkan bunyi," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini hari ini. Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan. Abdul Aziz berkata, bagi mengesan objek di dasar laut ia selalunya dilakukan kapal yang dilengkapi sistem sonar lebih berkeupayaan tinggi dalam mengesan objek di paras laut seperti kapal selam penyelamat, kapal hidrografi dan kapal pengesan periuk api. Katanya, kapal yang mempunyai kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk kapal MV Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura. "Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi tohmahan ataupun pertanyaan mengenai kenapa kapal selam tidak digunakan dalam operasi mencari MH370 ini," katanya. Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. - Bernama ULASAN GB Berbillion wang rakyat dibelanjakan untuk membeli kapalselam dan beratus juta komisyen dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda, seorang teman karib Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiba-tiba dinyatakan kapalselam yang dibeli tidak digunakan dalam operasi mencari MH370 kerana alasannya ia tidak sesuai melakukan tugas itu dan hanya dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad serta tidak berupaya mengesan objek statik di dasar laut! Sedangkan berita AFP bertarikh 3 September 2009 menyatakan dengan jelas: GB ulangkan petikan perenggan itu: "Naval officials said the submarine would be based in Sabah state, on Borneo island, where it will undergo fine-tuning before it is deployed in search and rescue and military exercises." Terjemahan : pegawai tentera laut menyatakan bahawa kapal selam akan berpangkalan di Sabah, di pulau Borneo, di mana ia akan menjalani penambah-baikan sebelum ia d lancarkan dalam latihan 'mencari dan menyelamat' dan latihan tentera. Setelah 5 tahun, kapal selam itu belum bertambah-baik? Memang "haramjadah" punya alasan semata-mata untuk menutup skandal scorpene yang telah menyebabkan kematian Altantuya dan pembunuhnya masih terlepas! |
"Tahyul & Khurafat Ini Bukan Ajaran Islam" - Dr.Asri Posted: 11 Mar 2014 06:10 AM PDT Dr Asri bidas bomoh tahyul PETALING JAYA: Sehubungan pendedahan seorang bomoh bahawa pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas golongan tersebut. Melalui posting Facebooknya hari ini, bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu. "Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam," Mohd Asri berkata. Beliau turut menegaskan penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul. "Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam," tambahnya lagi. Semalam, seorang bomoh bernama Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa pesawat MH370 tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam kerana disembunyikan orang bunian. "Oleh itu, semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum perlu berdoa agar pesawat yang hilang muncul kembali. "Kita berharap dengan usaha ini, pesawat itu akan muncul dalam masa terdekat selewat-lewatnya minggu ini," Ibrahim dipetik sebagai berkata dalam Utusan Malaysia hari ini. Ibrahim turut dilaporkan melakukan ritual tarian mencari pesawat di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dengan menggunakan bubu buluh dan dua teropong buluh. -FMT
|
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan