Khamis, 27 Mac 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


MH370 Terbang 23 Minit pada Ketinggian Maksimum, Sebabkan Hipoksia - Pakar

Posted: 27 Mar 2014 02:30 PM PDT

[TMI] Analisis yang dibuat terhadap data satelit mendapati pesawat MH370 mengambil masa selama 23 minit pada ketinggian sehingga 45,000 kaki - di atas dari ketinggian maksimum biasa - dan ini mungkin menyebabkan semua orang di atasnya tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen, lapor tabloid British Daily Mail.

Ketinggian pesawat maksima adalah 43,100 kaki tetapi radar tentera mengesan pesawat itu terbang antara 43,000 ke 45,000 kaki sebaik sahaja selepas komunikasi terakhir juruterbang dari kokpit pesawat.

"Ia dikesan terbang selama 23 minit pada ketinggian itu sebelum menjunam. Oksigen akan habis selepas 12 minit (dalam kabin) dan menyebabkan penumpang tidak sedarkan diri," kata sumber.

Pakar berkata, walaupun Boeing 777-200ER boleh terbang setinggi 43,000 kaki maksimum, ia mungkin terbang dengan selamat untuk ketinggian yang lebih lagi.

Tetapi pada ketinggian itu, apabila atmosfera menjadi nipis secara drastik, ia akan mengambil masa seminit sahaja kalau bukan satu saat untuk hipoksia - kekurangan oksigen berlaku, kata Daily Mail.

Corong oksigen akan jatuh dengan sendiri, tetapi ia boleh membekalkan antara lima ke 10 minit gas sahaja.

Profesor Aerodinamik Gunaan dan Eksperimen Universiti Highlands and Islands, Andrew Rae memberitahu Daily Mail: "Letupan tekanan dalam kabin akan menjadi masalah pada ketinggian 10,000 kaki, 30,000 kaki atau 43,000 kaki, tetapi ketinggian yang lebih mungkin menyebabkan perkara itu berlaku lebih cepat.

"Fakta pesawat itu terbang pada ketinggian 43,000 kaki tidak sepatutnya menggerakkan bekalan oksigen kecemasan pesawat," katanya.

Udara yang menyebabkan tekanan kepada pesawat datang daripada enjin dan sayap dan ia ditapis sebelum memasuki persekitaran penumpang.

Sistem tekanan mungkin perlu ditutup jika pesawat itu memasuki udara kotor, tetapi penyiasat melihat kepada kemungkinan ia dipadam kerana sebab jahat, kata laporan Daily Mail.

Sementara itu, seorang juruterbang Kanada dengan 20 tahun pengalaman, Chris Goodfellow, berkata dalam satu posting di Google Plus, beliau percaya berlaku kebakaran dalam pesawat itu.

Dalam posting itu yang turut disiarkan di Reddit dan dilaporkan secara meluas, beliau mendakwa juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan pada waktu kecemasan – cuba untuk mendaratkan pesawat di lapangan terbang terhampir.

Goodfellow berkata, dalam kes ini, ia adalah 13,000 kaki di atas Pulau Langkawi, dan ia adalah di mana pesawat itu sedang tuju ketika ia kali terakhir dikesan.

Beliau percaya anak kapal terhidu asap dan pesawat itu terbang seperti "pesawat hantu" untuk beberapa jam melepasi lapangan terbang yang dipilih itu sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi berhampiran Maldives.

"Kami juruterbang tua dilatih untuk selalu tahu lapangan terbang yang paling hampir ketika ia terbang. Selalu.

"Gerak hati saya, saya tahu ia menuju ke lapangan terbang apabila pesawat itu pusing ke kiri," kata Goodfellow.

Katanya, beliau kemudian terus membuka Google Earth dan menemui landasan, yang mempunyai kurang rintangan yang menghalang pendaratan pesawat itu berbanding jika Zaharie cuba kembali ke Kuala Lumpur.

"Juruterbang itu melakukan segalanya dengan betul. Beliau dimaklumkan mengenai kejadian besar yang berlaku di atas pesawat yang menyebabkan beliau patah balik secara serta merta untuk ke lapangan terbang terdekat," katanya.

Juruterbang bersara, Eric Moody yang mengetuai kejadian pada 1982 membabitkan pesawat British Airways 9 yang mengalami kegagalan enjin ketika ia terbang merentasi awan dengan abu gunung berapi berkata, jika ada kebakaran, juruterbang pasti mahu mendaratkan pesawat secepat mungkin berbanding terbang untuk tujuh jam lagi.

Beliau berkata, ia kelihatan komunikasi dipadamkan secara sengaja dan keadaan itu tidak berlaku ketika kecemasan.

Pada 1982, semua empat enjin British Airways pesawat 9 yang dipandunya dari London ke Auckland, New Zealand gagal ketika ia terbang menembusi awan dengan abu gunung berapi.

Awan itu datang daripada letusan Gunung Galunggung di Jawa Barat, Indonesia.

Moody terpaksa mengambil tindakan kecemasan dan berjaya menyelamatkan semua 248 penumpang dan 15 anak kapal dengan jatuh dari ketinggian 37,000 kaki kepada 12,000 kaki untuk menghidupkan enjin.

Pesawat itu membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Indonesia.

Walaupun dia mengawal, beliau masih tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku sehingga laporan didedahkan 11 tahun kemudian.

Moody yang tinggal di Chilworth berhampiran Southampton, Hants, percaya orang awam tidak diberitahu cerita penuh.

"Apa yang saya dapat katakan adalah beberapa agensi tahu sesuatu yang lebih daripada apa yang diberitahu dan saya mempunyai pengalaman dalam hal ini.

"Ia mengambil masa 11 tahun untuk mengetahui bagaimana Boeing dapat menghubungi seorang jurutera di Jakarta yang datang kepada kami selepas kira-kira 15 hingga 20 minit mendarat.

"Satu panggilan telefon dibuat apabila enjin saya mula berhadapan dengan masalah. Ini bermakna mereka tahu apa yang berlaku kerana mereka memantau kami menerusi satelit.

"Stesen pemantauan satelit oleh Alice Springs dan Guam mengekori kami apabila kami mengetahuinya daripada fail yang didedahkan beberapa tahun kemudian.

"Walaupun sekarang banyak perkara yang tidak diketahui tetapi seseorang akan mengetahuinya dengan lebih terperinci dan ia boleh jadi pada mana-mana negara.

"Kita tidak tahu apa yang mereka saksikan," kata beliau seperti yang dilapor Daily Mail.

Pesawat MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac dan walaupun operasi pencarian secara besar-besaran dilakukan oleh banyak negara, tiada tanda ia dijumpai.

Analisis data satelit oleh Inmarsat Britain memberi pengesahan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam Isnin.

Ia didedahkan semalam bahawa isyarat elektronik akhir daripada pesawat itu diterima pada 08:19 (waktu Malaysia) pada 8 Mac.

"Terdapat bukti yang agak bercanggah antara pesawat dan menara kawalan pada 0019 UTC (GMT)," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada media semalam.

"Pada masa ini, transmisi ini tidak difahami dan tertakluk kepada kajian lanjut yang berterusan," kata beliau sambil menambah selagi serpihan tidak ditemui, tidak akan ada pengakhiran bagi semua keluarga terlibat. – 26 Mac 2014.


Satelit Thailand Kesan 300 Objek, Mungkin Milik MH370

Posted: 27 Mar 2014 02:26 AM PDT


[MK] Satelit Pemerhatian Bumi Thailand (Thaichote) mengesan 300 objek di Lautan Hindi, kira-kira 200 kilometer daripada Barat Daya tempat carian pesawat hilang MH370.

Thailand menjadi negara kelima mendedahkan imej satelit objek terapung di kawasan sama selepas Australia, Perancis, United Kingdom dan China.

Akhbar Thailand The Nation melaporkan, imej itu diserahkan kepada perdana menteri sementaranya sebelum dimajukan kepada pihak Malaysia.

Menurut AFP, objek yang terapung itu dikenalpasti oleh Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo- Informatics Thailand.

Menurutnya, objek tersebut yang berukuran dua hingga 15 meter, bertaburan di kawasan kira-kira 2,700km barat daya Perth.

Imej-imej tersebut diambil pada 24 Mac, laporan The Wall Street Journal.

Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan satelit Perancis mengesan 122 imej dalam kawasan carian, yang berkeluasan lebih besar sedikit daripada Sabah.

Operasi mencari yang membabitkan pelbagai negara yang disambung pagi ini, dibatalkan selepas kira-kira empat jam kerana cuaca buruk di kawasan tersebut. Kapal-kapal, bagaimanapun, kekal berada di lautan itu.

The Nation melaporkan bahawa Thaichote adalah satelit 'remote sensing' untuk pemantauan sumber asli. -27/3/14


Raja Bomoh Seru "Mayat", PAS Kritik, Bila Kerajaan Akan Bertindak????

Posted: 27 Mar 2014 01:26 AM PDT


[MK] Pemuda PAS Perak kecewa terhadap aktiviti 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin yang menurut mereka masih berleluasa dengan perbuatan "khurafat dan syirik", terbaru di negeri itu.

Ketuanya Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob berkata, perbuatan itu masih diamalkan walaupun mufti Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria sendiri sudah memintanya bertaubat.

Justeru Raja Ahmad  mempersoalkan peranan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dalam mencegah dan menghalang amalan itu.

"Kami mendesak agar JAIPk bertindak dan menghentikan perbuatan yang jelas bercanggah dengan Islam tersebut.

"Jika Ibrahim tidak diambil tindakan, ia seolah-oleh Ibrahim 'amat kebal' dan tidak 'boleh disentuh'!" katanya.

Ibrahim sebelum ini mencuri perhatian ekoran gaya tersendirinya bagi merungkai kehilangan pesawat MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Aktiviti itu mengundang kecaman meluas pelbagai pihak termasuk menteri dan mufti. Beliau juga menjadi bahan lawak jenaka di Internet.

Dalam kenyataannya hari ini, Raja Ahmad berkata, Ibrahim yang didakwanya mempunyai ramai kenalan daripada "pembesar negeri" tidak harus terlepas.

Azan di pinggir laut

Sementara itu, sebuah saluran di laman perkongsian video Youtube dikesan memuat naik aktiviti yang dirujuk itu, kononnya untuk 'menyeru mayat' MH370 di Pulau Sembilan, Perak.


Ditonton lebih 75,000 kali, video itu antaranya memaparkan Ibrahim dan empat lagi lelaki menaiki bot sambil seorang daripadanya membuat gaya meneropong.

Sedutan videoSuara.TV itu juga memaparkan aksi menguis kayu berbentuk seperti tongkat ke dalam air seolah-olah mencari sesuatu.

Dalam babak yang lain, dipaparkan pula dua lelaki merentang buluh panjang yang digantung dengan beduk dan diketuk berapa kali sebelum diikuti Azan di pinggir laut. - 27/3/14


P/s: Bertindaklah sebelum bomoh mesra UMNO ini memudaratkan lagi imej negara dan agama.


Datuk Ali Mamak Meninggal Dunia

Posted: 26 Mar 2014 06:34 PM PDT


[Mstar] PETALING JAYA: Pelawak dan penyanyi veteran Datuk Ali Mamak meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi Khamis di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat penyakit lukemia.

Rakan baik Allahyarham iaitu pelakon dan pelawak Abon ketika dihubungi mStar Online berkata, Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, 63, mengalami pelbagai komplikasi dua hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya.

"Pada asalnya arwah dimasukkan ke hospital akibat penyakit gout yang dihidapinya tetapi kesihatannya tiba-tiba merosot sehinggalah doktor mengesahkan beliau menghidap lukemia.

"Malah beliau sempat menjalani rawatan kimoterapi sebelum mengalami pelbagai komplikasi lain akibat penyakit itu," katanya.

Sementara itu, Abon berkata, Allahyarham masih berada dalam keadaan baik pada Rabu (semalam) selain mampu bercakap dan memberikan isyarat tangan apabila ada tetamu yang datang menziarahinya.

Sebagai sahabat dia tidak menyangka Ali berada dalam keadaan kritikal kerana sebelum dimasukkan ke hospital keadaan beliau sihat selain sempat mengadakan persembahan di Melaka.

"Keadaan arwah semalam (Rabu) masih baik dan mampu memberi respon sekiranya ada tetamu datang menziarah selain masih boleh bercakap seperti biasa walaupun keadaannya lemah.

"Saya balik sebentar untuk solat Maghrib di rumah dan apabila saya kembali ke hospital keluarganya memberitahu dia sudah tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad CCU (Unit Rawatan Kritikal)," katanya.

Allahyarham yang juga anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun dan telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa.

Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dekat sini dan akan dikebumikan sebelun solat Zohor pada Khamis.

Al-Fatihah. - 27/3/14


P/s: Takziah.


Petunjuk Baharu MH370: Lebih 100 Objek Dicerap Satelit

Posted: 26 Mar 2014 06:07 PM PDT


[MK] Pasukan penyiasat Malaysia mengumumkan imej satelit baru menunjukkan sebanyak 122 objek di dikesan di permukaan selatan Lautan Hindi dalam kawasan operasi pencarian.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, objek berkenaan – ada diantaranya sebesar 23 meter panjang berwarna cerah – kini sedang diteliti.

Bagaimanapun, buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada ia benar-benar berpunca daripada pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu, katanya.

"Namun, kita berharap petunjuk baru ini akan membantu operasi pencarian," katanya dalam sidang media dipancarkan secara langsung di TV hari ini.

Katanya, imej yang dirakam pada 23 Mac itu diterima oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA) dari Airbus Defence dan Space semalam.


"MRSA menganalisis imej tersebut - dalam satu kawasan lautan seluas 400 kilometer persegi - dan berjaya mengenalpasti 122 objek berpotensi.

"Ada di antaranya sepanjang satu meter, yang lain ada yang sepanjang 23 meter.

"Ada di antaranya kelihatan berkilat, mungkin menunjukkan objek pejal," kata Hishammuddin yang membaca satu kenyataan.

Tambahnya, objek berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 2,557 kilomter dari Perth.

Kesemua imej berkenaan dihantar serta merta kepada Pusat Koordinasi Penyelamat Australia di Perth semalam, katanya.

Hishamuddin berkata kesemua petunjuk itu bakal membantu pasukan penyelamat dari 26 negara yang kini menumpu perhatian di selatan Lautan Hindi itu.

"Kita sudah mempunyai empat petunjuk satelit berbeza, termasuk dari Australia, China dan Perancis yang menunjukkan kemungkinan objek.

"Paling penting sekarang kita cuba padankan objek itu dengan MH370.

"Ini akan membantu mengecilkan kawasan carian dan mengesan lebih banyak objek dari pesawat itu," kata beliau.

Menurut beliau lagi Australia kini mengetuai usaha mencari dan menyelamat di selatan lautan itu, dan membahagikan kawasan pencarian kepada sektor timur dan barat.

Sementara itu Malaysia menyelia kerjasama antara negara dan agensi dalam membantu usaha mencari ini, katanya.

Dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bukti-bukti sedia ada mencadangkan kedudukan terakhir MH370 di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia. 27/3/14


Tiada ulasan: