Rabu, 19 Mac 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Pakar IT India Dakwa Jumpa Imej Satelit Kemungkinan Pesawat MH370

Posted: 18 Mar 2014 11:25 PM PDT

Imej satelit yang didakwa pesawat Malaysia Airlines yang hilang

[Bernama] NEW DELHI: Seorang penganalisis IT India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu.

Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej itu ialah pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, lapor akhbar itu.

Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.

Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka.

Saya yakin imej itu ialah pesawat yang hilang berkenaan atas pelbagai sebab. Satu daripada penunjuknya ialah imej itu dilihat hanya berada di atas sedikit daripada kawasan hutan dan begitu hampir dengan landasan kapal terbang Shibpur Kepulauan Andaman.

"Landasan kapal terbang itu digunakan secara eksklusif oleh angkatan tentera dan tidak memberikan kebenaran kepada pesawat awam berada di kawasan itu.

"Jika diamati secara teliti terhadap imej itu, akan menunjukkan ia terbang begitu rendah sehinggakan awan berada di atasnya, yang menunjukkan ia dilakukan untuk mengelak daripada dikesan radar.

"Yang paling penting ialah ukuran skala standard dan warna pesawat yang hilang itu berpadanan dengan imej kapal terbanag berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan The Hindu itu.

Anoop mendoakan keselamatan penumpang dan merayu kepada mereka yang pakar dalam IT sesebuah pesawat supaya menyiasat lebih lanjut imej itu bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan, menurut laporan itu.

Pesawat MAS MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 8 Mac. Penyiasat memberitahu bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluanya.

26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar.

Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi. --19/3/14




MH370: 12 Hari, 7 Teori

Posted: 18 Mar 2014 11:20 PM PDT



[TMI] Masa semakin suntuk bagi penyiasat untuk mengesan kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines MH370 sebelum baterinya habis dalam masa 18 hari, dan kini debat antara pakar dan mereka yang mengikuti siasatan ini semakin berkisar sekitar tujuh teori yang muncul sejak 12 hari ini.

Ketujuh-tujuh teori tersebut yang disenaraikan oleh akhbar Australia, The Age, termasuklah teori juruterbang MH370 berpatah balik ke Pulau Langkawi kerana kecemasan di dalam kapal terbang hinggalah ke rampasan kapal terbang.

The Age menyenaraikan beberapa teori yang paling menarik perhatian setakat ini:

1. SUMBER: Chris Goodfellow, mendakwa diri seorang juruterbang yang berpengalaman.

TEORINYA: Goodfellow menulis di Google Plus bahawa dia mempercayai juruterbang MH370 mungkin menuju ke arah pulau Langkawi untuk mencari tempat bagi pesawat itu mendarat selepas transponder radar mereka dirosakkan oleh api.

"Arah tuju ke kiri adalah penting di sini. Ini seorang kapten yang sangat berpengalaman dengan jumlah masa penerbangan 18,000." tulisnya.

"Mungkin juruterbang lebih muda yang diwawancara CNN tidak nampak arah tuju ini. Juruterbang lebih senior sentiasa ditetapkan untuk mengetahui lapangan terbang yang manakah paling dekat semasa penerbangan.

"Serta-merta apabila saya nampak hala tuju kiri itu saya tahu dia menuju ke lapangan terbang. Sebenarnya dia mengambil jalan terus ke Pulau Langkawi, mengikut jalur sepanjang 13,000 kaki dengan pendekatan atas air waktu malam tanpa halangan. Dia tidak berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana tahu di sana akan ada rabung 8,000 kaki untuk dilintas. Dia tahu muka bumi di sekitar Langkawi lebih mudah dan pendek.

"Lihat lapangan terbang ini pada Google Earth. Juruterbang ini melakukan semua yang sepatutnya. Dia berjumpa kejadian tidak diingini di dalam kapal terbang yang membuatkannya berpatah balik ke lapangan terbang yang paling dekat.

"Apa yang saya rasa berlaku adalah mereka mungkin dilitupi asap dan pesawat itu terus berjalan menggunakan George (autopilot) sehingga kehabisan minyak, atau api merosakkan papan kawalan sehingga ia terhempas. Saya sudah katakan empat hari lalu anda boleh jumpainya sepanjang jalan itu – mencari pesawat itu di tempat lain membuang masa sahaja.

2. SUMBER: Desmond Ross, juruterbang Australia komersil dan pakar keselamatan penerbangan.

TEORINYA: Ross memberi teori yang hampir sama dengan Goodfellow. Dia berkata pesawat tersebut mungkin kekurangan tekanan selepas sesuatu kejadian, kemungkinan sebuah letupan yang membentuk lubang di kotak fius.

"Para juruterbang menyedari mereka perlu turunkan pesawat tersebut," kata Ross yang pernah menjalankan kajian keselamatan pada Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada tahun 2005.

"Salah satu daripada mereka mula memprogramkan semula sistem penerbangan dan meletakkan altitud yang rendah, dan mulai meletakkan semula program untuk kembali ke Kuala Lumpur... tetapi dia pengsan sebelum dapat memprogramkan semula pesawat tersebut.

"Pesawat itu kemudian berada di luar kawalan kerana letupan awal itu, dan mula jatuh tetapi pada ketinggian 45,000 mulai lambat.

"Ia hilang kawalan untuk sementara pada ketinggian yang ditetapkan juruterbang sebentar tadi, tetapi tidak melengkapkan arahnya ke Kuala Lumpur kerana juruterbangnya tadi hanya sempat memasukkan separuh nombornya sebelum pengsan. Kini ia terbang entah di mana..."

3. SUMBER: Keith Ledgerwood, peminat penerbangan dan 'hobbyist' juruterbang daripada Amerika Syarikat

TEORINYA: Teori ini berdasarkan premis seseorang merampas pesawat tersebut.

Ledgerwood mengatakan MH370 boleh sahaja menutup radar mereka, kemudian secara senyap mengikut belakang pesawat lain – Singapore Airlines dengan nombor penerbangan SQ68 dalam perjalanan dari Singapura ke Barcelona – sebelum mendarat di utara India atau Afghanistan.

Saya percaya MH370 mungkin mengikut di belakang SIA68 melalui ruang udara India dan Afghanistan," tulis Ledgerwood dalam Tumblr.

"Disebabkan MH370 sedang terbang secara tersembunyi tanpa transponder atau keluaran ADS-B, SIA68 tidak akan perasan kehadiran MH370 di mana-mana, dan apabila ia memasuki ruang udara India ia akan muncul sebagai satu blip sahaja pada radar dengan data daripada transponder SIA68 sahaja yang menerangi ATC dan skrin radar tentera."

4. SUMBER: Diterangkan oleh akhbar The Independent.

TEORINYA: Pesawat tersebut kemungkinan dirampas dan diterbangkan ke pengkalan Taliban.

The Independent melaporkan kebenaran diplomatik penuh diperlukan supaya dapat menolak teori yang mengatakan pesawat tersebut mungkin terbang di bawah kawasan radar Afghanistan dan Pakistan yang tidak dikawal kerajaan.

Sebahagian besar kawasan selatan Afghanistan diperintah oleh Taliban, sementara kawasan di utara barat Pakistan berdekatan adengan sempadan Afghanistan yang dikawal oleh Taliban.

Pegawai penerbangan awam Pakistan berkata mereka sudahpun meneliti rakaman radar mereka dan tidak menjumpai pesawat tersebut.

Seorang komando Taliban berkata kumpulannya yang berbelah bahagi itu hanya mampu mimpi sahaja tentang rampasan sebegitu.

"Kami harap sahajalah dapat peluang merampas pesawat seperti itu," katanya kepada Reuters.

5. SUMBER: Penyiasat

TEORINYA: Pihak berkuasa sedang menyiasat samada juruterbang atau penumpang membuat keputusan bunuh diri adalah penjelasan bagi misteri kehilangan pesawat itu.

Adanya contoh bersejarah bagi teori ini.

Pada 1997, penerbangan SilkAir 185 terhempas di Sumatera, membunuh semua 97 penumpang apabila juruterbangnya menjunamkan pesawat itu ke dalam sungai.

Juruterbang membunuh diri juga disyaki dalam penerbangan EgyptAir yang terhempas pada 1999, walaupun ia belum dibuktikan.

Teori ini dapat menjelaskan mengapa tiada serpihan jika MH370 terhempas ke dalam laut. Kapal terbangnya tidak akan bercerai sebelum impak, dan akan tenggelam dengan cepat.

6. SUMBER: Emel kepada wartawan mendakwa daripada Chinese Martyr's Brigade

TEORINYA: Kumpulan dikenali sebagai Chinese Martyr's Brigade mendakwa bertanggungjawab atas kehilangan pesawat MH370 dalam sebuah emel kepada wartawan China.

Emel yang dilindungi itu tertulis, "Anda bunuh salah seorang daripada kami, kami akan bunuh 100 daripada kamu sebagai balas dendam."

Tetapi mesej itu tidak memberi sebab mengapa pesawat itu hilang.

Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau sangsi dengan kenyataan tersebut.

"Tiada asas kukuh atau sebab yang mengesahkan dakwaan mereka," katanya.

7. SUMBER: Polis Malaysia dikatakan sedang menyiasat teori ini

TEORINYA: Letupan mungkin disembunyikan di dalam kargo pesawat itu dalam barangan buah-buahan eksotik.

Pihak berkuasa Malaysia mengatakan satu-satunya kargo di dalam MH370 adalah muatan manggis, buah yang terkenal di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata ada sebanyak 3 ke 4 tan manggis di dalam pesawat itu.

Beliau berkata kargo tersebut sudahpun dikesan semasa rutin sebelum dimasukkan ke dalam pesawat, tetapi pihak berkuasa sedang menyiasat jika letupan boleh dimuatkan bersama buah-buahan tersebut.

"Ini hanya satu lagi teori," seorang polis yang tidak dinamakan memberitahu Daily Mail. "Tetapi kita tidak menolak apa-apa kemungkinan." – 19 Mac, 2014.


‘Knights Templar’ Culik Budak untuk Jual Organ

Posted: 18 Mar 2014 08:25 PM PDT

Sekadar hiasan.
[HM] Michoacan (Mexico): Polis di negeri ini semalam mendakwa anggota kartel Knights Templar menculik kanak-kanak bagi tujuan mengambil dan menjual organ mereka. 

Setiausaha Keselamatan Awam Michoacan, Carlos Castellanos Becerra berkata, Manuel Plancarte Gaspar adalah sebahagian daripada rangkaian kartel penyeludupan organ.

Menurut Becerra, rangkaian itu menculik kanak-kanak dan membawa mereka ke sebuah kediaman yang dilengkapi peralatan perubatan bagi mengambil organ mereka.

"Kami mempunyai bukti yang menunjukkan cara mereka menjalankan kegiatan itu, termasuk cara mengenalpasti mangsa melalui ciri-ciri tertentu dan kemudian menculik mereka," katanya.

Carlos berkata kes itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tetapi dia tidak boleh mendedahkan butirannya kerana siasatan masih dijalankan.

Plancarte Gaspar, 34, ditahan bersama seorang lagi suspek minggu lalu. Menurut Becerra Plancarte adalah sepupu kepada pemimpin kanan Knights Templar, Enrique Plancarte Solis. 

Beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, pemimpin satu kumpulan bersenjata tempatan yang ditubuhkan di Michoacan tahun lepas bagi mencabar penguasaan kartel memberitahu sebuah stesen radio, penduduk di situ tahu pembabitan kartel itu dalam sindiket penyeludupan organ. Mereka mendakwa berjaya menyelamat beberapa kanak-kanak ketika dibawa dalam peti sejuk yang diletakkan di dalam sebuah van. - AP/19/3/14


Pasukan Pencari Tinggal 18 Hari untuk Cari KOTAK HITAM MH370 Sebelum...

Posted: 18 Mar 2014 06:53 PM PDT



[TMI] Pada hari ke 12 misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 masih lagi gagal memberikan sebarang petunjuk kukuh mengenai lokasi pesawat tersebut, akhbar melaporkan hanya tinggal 18 hari untuk kotak hitam pesawat itu terus hidup sebelum kehabisan baterinya.

ABC News melaporkan pasukan mencari dan menyelamat perlu segera mencari kotak hitam itu yang hanya mampu bertahan untuk memberikan isyarat selama 30 hari.

Laporan tersebut mengatakan, kotak hitam itu sudah kehilangan tiga daripada jangka hayat baterinya sejak pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lalu dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Menurut ABC News, lebih mudah bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk mencari kotak hitam itu sebelum ia kehabisan bateri, kerana kawasan carian mereka seluas 600,000 kilometer persegi.

Laporan ABC News mengatakan jika pesawat terhempas ke kawasan perairan, satu beacon pencari air akan menghantar satu nadi ultrasonik yang tidak boleh didengar oleh telinga manusia tetapi boleh dikesan oleh sonar dan peralatan mencari akustik.

Terdapat satu sensor tenggelam di sebelah beacon, dan apabila sensor itu menyentuh air, beacon akan diaktifkan.

Beacon kemudian menghantar denyutan pada 37.5 kilohertz (kHz) dan boleh menghantar bunyi sedalam 4,267 meter.

Setelah beacon memberikan isyarat "ping," isyarat ping akan dikeluarkan sekali sesaat selama 30 hari.

Dalam keadaan jarang berlaku kemalangan teruk, beacon boleh terputus isyarat jika berlanggaran berimpak tinggi, kata laporan itu.

Pasukan mencari dan menyelamat mesti berada kira-kira 25km di kawasan beacon untuk mencari kotak hitam itu.

Keadaan bumi dalam laut seperti parit dalam juga boleh menjejaskan pengesanan isyarat beacon itu, tambah laporan tersebut. – 19 Mac, 2014.

Tiada ulasan: