mahkamah


PUTRAJAYA - Majistret mengendalikan inkues perlu membuat keputusan kukuh berhubung punca kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, dan tidak membuat keputusan terbuka, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
  
Peguam Gobind Singh Deo berhujah seorang majistret diberi kuasa mengikut Kanun Acara Jenayah untuk merumuskan dapatan bahawa punca kematian adalah kes bunuh atau kes bunuh tanpa niat.
  
Beliau mewakili Teoh Meng Kee, abang Beng Hock, 30, yang ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darahnya sendiri di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, tempat terletaknya Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai, 2009.
  
Gobind Singh berhujah dalam rayuan dikemukakan anak guamnya terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5 Jan, 2010 yang membuat keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan akibat bunuh diri atau dibunuh dan juga mendapati tiada penglibatan pihak ketiga dalam kematian itu.
  
Beliau berkata, adalah tidak betul untuk mencadangkan bahawa tugas menjalankan inkues hanya sekadar amalan mencari fakta.

Beliau berkata, tidak perlu Mahkamah Koroner mengguna pakai standard bukti melampaui keraguan munasabah semasa merumuskan dapatannya kerana ia bukan prosiding jenayah iaitu apabila seseorang itu dibicarakan dan akan disabitkan dan dihukum.
  
Sebaliknya, Gobind Singh berkata standard bukti imbangan kebarangkalian sepatutnya diguna pakai.
  
Sementara itu, panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan semua pihak dalam rayuan itu membuat hujahan lanjut berhubung Seksyen 328 Kanun Acara Jenayah, berkaitan bidang kuasa seorang majistret mengendalikan inkues dan apakah keputusan boleh dibuat majistret.
 
Panel itu menetapkan 18 April bagi pihak-pihak hadir di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan untuk menguruskan rekod rayuan dan memasukkan dokumen tertentu.
  
Mohamad Ariff juga berkata mahkamah akan menetapkan empat hari berturut-turut sambung bicara rayuan itu.
  
Selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak.
 
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan (Meng Kee) untuk semakan pada 1 Disember, 2011.
  
Beliau memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Feb, tahun lepas untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. - Bernama