DIALOG RAKYAT |
- Tuduhan Biadab, Najib Dan Kerajaan Wajib Minta Maaf Kepada Keluarga Zaharie
- TAWAS: Peserta bawah 18 tahun layak terima skim baru khairat RM1,500
- Selangor laksana sukan luar sekolah, elak guru jadi mangsa Kerajaan Pusat
- Inspektor didakwa terima rasuah
- Papagomo: Mahkamah kurangkan jumlah ganti rugi
- MAS bukan harta benda Umno-BN
- BOMOH
- Tribunal Rakyat : BN kalah PRU13 jika tiada undi awal
- Wan Azizah: Bas pengantara projek khas elak kesesakan trafik Kajang
- Manifesto anak muda tumpuan pertama Wan Azizah di Kajang
- MH370: Taklimat Kepada Ahli Parlimen Pembangkang Selasa Depan
- MH370: Tuntutan Saman RM4.9 Bilion Sedang Dalam Proses
- Kerajaan perkenal inisiatif baharu untuk pesara
- PRK Balingian: PAS sasar tingkat undi Pakatan Rakyat
- Atlet muslimah melakar impian di dunia antarabangsa
- Munajat solidariti 529 penyokong Ikhwan malam ini
- Ilmam ucap takziah buat keluarga Ali Mamak
- Menteri sahkan tentera AS buat latihan di Kelantan
- Penswastaan Pelabuhan PP melanun harta rakyat
- Speaker tolak usul hukuman mati 529 penyokong Ikhwan
- Kassim Ahmad didakwa di mahkamah pagi ini
Tuduhan Biadab, Najib Dan Kerajaan Wajib Minta Maaf Kepada Keluarga Zaharie Posted: 27 Mar 2014 05:49 AM PDT KELAB GREENBOCParti DAP mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan memohon maaf terhadap tindakan keterlaluan menyalahkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah berhubung insiden pesawat MH370. Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, untuk memulihkan maruah dan menghormati dedikasi tinggi mereka, Najib tidak boleh mendiamkan diri terhadap pelbagai serangan negatif yang dibuat sepanjang kehilangan pesawat itu, sejak 8 Mac lalu. "Setiap inci kehidupan Kapten Zaharie kini disiasat. Polis juga mengambil simulator beliau, membuka dan meletaknya di Bukit Aman. Ahli keluarganya juga disoal siasat termasuk oleh FBI. "Adakah kerajaan sudah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa dengan membuang serangan ke atas reputasi atau integriti beliau?," soalnya dalam kenyataan, hari ini. Beliau juga kesal dengan tindakan kerajaan yang menjadikan Kapten Zaharie sebagai kambing hitam dalam tragedi MH370 apabila mengaitkan beliau dengan pelbagai andaian tidak masuk akal. "Pesawat itu sememangnya terhempas ke dalam laut tetapi apa yang menyedihkan adalah cubaan menghubungkan peristiwa itu dengan cerita rekaan mengenai kecenderungan membunuh diri, fanatik dan lainnya. "Ini jelas menunjukkan kerajaan mahu mewujudkan satu kambing hitam dan percubaan jahat untuk menutup kelemahan sendiri. Beliau juga bimbang dengan keluasan Lautan Hindi yang tentunya memakan masa lama untuk mencari pesawat MH370, ia sekaligus memberi ruang luas untuk lebih menaratifkan cerita rekaan mengenai Kapten Zaharie jika tidak segera ditangani. "Sekarang, naratif rekaan ini berfungsi untuk meningkatkan syak wasangka bahawa MAS dan kerajaan cuba menyalahkan Kapten Zaharie serta juruterbang bersamanya. "Tindakan meletakkan kesalahan ketika beliau tidak mampu mempertahankan diri adalah amat tidak berhati perut. Kerajaan dan Najib wajib menyatakan permohonan maaf segera," tegasnya. -roketkini
LIHAT VIDEO DI SINI | |||
TAWAS: Peserta bawah 18 tahun layak terima skim baru khairat RM1,500 Posted: 27 Mar 2014 05:40 AM PDT Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM: Kerajaan Selangor terus komited membela kebajikan rakyat negeri itu dengan memperkenalkan satu lagi skim khairat kematian. Skim yang dinamakan Manfaat Khairat Kematian YAWAS itu membolehkan ibu bapa peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun menerima sumbangan RM1,500 daripada Nerajaan Negeri. Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Mohd Noor Mohd Zain, berkata skim terbabit mula diperkenalkan, pada 1 Mac lalu. "Manfaat ini diperkenalkan kepada anak kelahiran Selangor yang mendaftar sebagai Ahli TAWAS. Dengan manfaat terbaru ini, jika peserta TAWAS itu meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun, ibu bapanya boleh menuntut khairat kematian bernilai RM1,500. "Tuntutan itu boleh dibuat di pejabat YAWAS dengan membawa Sijil kematian, Kad SiManja dan Penyata Simpanan TAWAS jika ada," katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini. Mohd Noor berkata, rakyat Selangor digalakkan mendaftarkan anak mereka dalam Skim TAWAS bagi membolehkan anak terbabit tidak keciciran dalam menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri. Apabila seorang anak yang baru lahir didaftarkan dalam Skim TAWAS mereka akan dihadiahkan tabung simpanan RM100 dan pada usia 18 tahun, peserta berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan dalam TAWAS. Pendaftaran TAWAS boleh dibuat di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu/Ketua Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpilih atau terus ke pejabat Yawas di alamat A1-11-2 & A1-11-3 Jalan Multimedia 7/AH, Park City, I-City, Shah Alam. Sebelum ini,di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Kerajaan Selangor memperkenalkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang membolehkan waris peserta skim itu menerima sumbangan khairat kematian bernilai RM2,500 dari Kerajaan Negeri.-NFN- | |||
Selangor laksana sukan luar sekolah, elak guru jadi mangsa Kerajaan Pusat Posted: 27 Mar 2014 05:38 AM PDT Oleh: NAEEM RAFFI SHAH ALAM,: Kerajaan Negeri mempunyai pendekatan tersendiri untuk berdepan dengan sikap Kerajaan Pusat yang kurang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan di Selangor. Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri memilih untuk tidak bersikap konfrontasi dalam situasi berkenaan bagi memastikan tidak ada pihak yang terbabit terjejas terutama guru. Katanya, setakat ini belum ada sebarang program pembangunan sukan dilakukan secara langsung dengan pihak sekolah. "Kita mengambil sikap ini bagi menjaga semua pihak. Pada masa sama, program pembangunan sukan terus giat dijalankan. "Kita juga tidak mahu apabila Kerajaan Negeri bersama sekolah terbabit secara langsung, guru pula dijadikan mangsa oleh Kerajaan Pusat. "Mungkin mereka dikenakan tindakan disiplin, surat tunjuk sebab atau ditukarkan hanya kerana bekerjasama dengan Kerajaan Negeri," katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini. Perkara itu dibangkit Yunus apabila wujudnya halangan yang tidak membolehkan Kerajaan Negeri terbabit secara langusung bersama sekolah dalam pembangunan sukan. "Contohnya, Sekolah Sukan Seksyen 11 sebelum Pakatan Rakyat ambil alih Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Exco Sukan ketika itu boleh masuk. Tetapi, kini secara tidak rasminya kita tidak dibenarkan masuk. "Namun, Kerajaan Negeri melalui MSN masih lagi berhubung dan memberi bantuan keperluan pembangunan sukan di sekolah terbabit," katanya. Beliau berkata, pihaknya mengariskan beberapa komitmen sebagai jalan keluar dalam usaha memastikan program pembangunan sukan di negeri itu terus terlaksana. "Saya cuba mencari jalan yang terbaik untuk anjurkan kejohanan sukan. Tahun lepas, saya berjaya anjurkan kejohanan bola sepak bawah 16 tahun, yang mana ia tidak dipertandingkan di peringkat sekolah. "Sebaliknya, masih membabitkan pelajar apabila mereka menyertai kejohanan terbabit ketika cuti sekolah. Dengan cara itu, kita masih mempunyai ruang mencungkil bakat pelajar yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak," katanya.-NFN- | |||
Inspektor didakwa terima rasuah Posted: 27 Mar 2014 05:30 AM PDT SHAH ALAM - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM10,000, Mac lalu. Raja Mohamad Izzudin Raja Kamarulzaman,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya itu didakwa memperoleh wang tersebut daripada seorang lelaki warga Bangladesh, Md Harun UR Rashid, 42, sebagai dorongan untuk melepaskan rakan senegaranya, Nazrul Islam,38, daripada tindakan pengusiran Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Lelaki yang berkhidmat selama lapan tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 2, IPD Serdang, Jalan Bandar Kinrara 5, Puchong, Selangor jam 8.45 malam pada 14 Mac 2014. Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim mencadangkan jaminan kepada mahkamah RM10,000 dengan seorang penjamin. Ridha Abdah Subri, yang bertindak sebagai peguam bela memohon agar mahkamah membenarkan jaminan dengan jumlah minima atas faktor anak guamnya menyara kedua ibu bapanya yang uzur serta tiga adik beradiknya yang masih bersekolah. "Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak ditangkap sehinggalah siasatan selesai ke atasnya," katanya. Hakim, Slamat Yahya bagaimana pun membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 10 April depan untuk sebutan. | |||
Papagomo: Mahkamah kurangkan jumlah ganti rugi Posted: 27 Mar 2014 05:12 AM PDT PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM500,000 kepada RM300,000 untuk dibayar Wan Muhammad Azri Wan Deris kepada seorang ahli perniagaan berhubung artikel berunsur fitnah yang dimuatkan dalam blognya dikenali sebagai Papagomo. Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan sebahagian daripada rayuan Wan Muhammad Azri mengenai jumlah ganti rugi tetapi menolak rayuannya tentang liabiliti. Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dengan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Wan Muhammad Azri disabitkan memfitnah Abdul Razak Mohd Noor. Pada 13 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengenal pasti Wan Muhammad Azri sebagai blogger Papagomo dan memerintahkan dia (Papagomo) membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Abdul Razak. Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Abdul Razak tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi teladan kepada RM100,000. Hakim Ariff juga memerintahkan Wan Muhammad Azri, 31, membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Abdul Razak. Abdul Razak, 60, menyaman Wan Muhammad Azri, menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi berhubung artikel berunsur fitnah dimuatkan dalam blognya pada 11 Disember, yang secara tersirat membawa maksud beliau (Abdul Razak) seorang penipu yang memperoleh jutaan ringgit melalui kontrak pada Sukan Komanwel. Wan Muhammad Azri diwakili oleh peguam Mohd Arief Emran Arifin dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya sementara Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto. - Bernama | |||
Posted: 27 Mar 2014 05:09 AM PDT TABLOID Britain, Daily Mail bertarikh 15 Mac lalu membuat spekulasi bahawa juruterbang pesawat MAS MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, seorang "fanatik politik" dan "aktivis sosial yang lantang". Di laman sosial pula telah tersebar bahawa Zaharie adalah ahli seumur hidup KeADILan. Selepas Dato' Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa MH370 disyaki sengaja menukar laluan penerbangan, tiga anggota polis berpakaian preman dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggeledah kediaman Zaharie di Shah Alam, juga 15 Mac lalu. Zaharie didapati memasang simulator Boeing 777 di rumahnya. Gambar yang disiarkan oleh juruterbang berpengalaman itu di laman Facebooknya menunjukkan sebuah simulator dengan tiga monitor komputer. Menurut sumber polis, pegawai-pegawai mereka hanya mencari beberapa bahan yang boleh membantu siasatan untuk mengesan MH370. Terlalu banyak masa dihabiskan untuk menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie. Walau bagaimanapun, polis gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa ke dalam kokpit pesawat penerbangan ke Beijing itu. Kata Najib, penyiasat mengesahkan pesawat yang dikesan oleh radar tentera adalah MH370 selepas komunikasinya mungkin dimatikan sebelum sampai ke pantai timur Malaysia. Penyiasat, tambah Perdana Menteri, percaya seseorang di dalam pesawat tersebut sengaja menutup sistem komunikasi dan pengesanannya, membawa ia berpatah balik dan terbang selama hampir tujuh jam selepas ia dilaporkan hilang. Sebagaimana yang didedahkan oleh Najib, MH370 mungkin berada di koridor utara, iaitu sempadan di antara Turkmenistan dan Kazakhstan sehingga ke utara Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur dari Indonesia ke Lautan Hindi. Polis turut memeriksa rumah pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid selama kira-kira sejam sebelum beredar dengan sekurang-kurangnya dua beg kertas perang. Terdapat spekulasi meluas bahawa Zaharie dan Fariq bertanggungjawab terhadap lencongan MH370 walaupun menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, mereka tidak memohon untuk terbang bersama. Walaupun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengatakan BN tidak pernah mengaitkan KeADILan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kehilangan MH370, Dato' Mahfuz Omar berkata ia berpunca daripada Najib yang boleh dianggap sebagai kesilapan. Ketua Penerangan PAS Pusat itu menyifatkan Perdana Menteri bertanggungjawab memberi "isyarat" kepada polis untuk menyiasat dan menggeledah rumah Zaharie. Tindakan itu, kata beliau, menyebabkan penyiasatan kini beralih sepenuhnya kepada juruterbang termasuk kru penerbangan yang didakwa ada kaitan dengan kehilangan MH370. Tambah Mahfuz, kenyataan Najib dalam sidang media itu akan memberi kesan negatif kepada MAS dan banyak pihak akan hilang kepercayaan kepada sistem penerbangan kita. Lebih buruk, Najib bergegas keluar selepas membaca kenyataan dan tidak mahu menjawab soalan para wartawan. Tindakan tersebut amat dikesali dan menjadi persoalan. Mahfuz turut mencabar kerajaan agar membuktikan benar atau tidak dakwaan beliau bahawa rundingan sedang diadakan di antara Menteri Luar dengan perampas MH370. Katanya, rundingan mungkin telah bermula kerana menterinya, Dato' Seri Anifah Aman langsung tidak kelihatan pada sidang Dewan Rakyat sejak beberapa hari kebelakangan ini. KeADILan mengaku Zaharie merupakan ahli parti itu, tetapi pemimpinnya meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan MH370. Menurut Ketua KeADILan Cabang Subang, Sivarasa Rasiah, beliau mengenali Zaharie sejak juruterbang itu menyertai parti tersebut, 23 Januari tahun lalu. Baginya, laporan Daily Mail itu langsung tidak merujuk mana-mana sumber. Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Subang, tabloid itu mengaitkan Zaharie dengan mengetengah dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta. Pertama, mendakwa Zaharie menghadiri keputusan rayuan kes Liwat II Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan MH370. Kedua, Zaharie dilaporkan lantang bersuara hal-hal sosial. Zaharie, kata Sivarasa, sama seperti ahli-ahli parti politik lain. Dua fakta itu digunakan untuk menggelarnya sebagai "fanatik politik". Kesimpulan tidak boleh dibuat kerana tiada bukti. Naib Presiden KeADILan, Tian Chua pula berkata partinya tidak mahu terheret dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa manfaat. Katanya, tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370. Tian Chua berharap semua pihak, terutamanya media dan parti-parti komponen BN menghormati keluarga serta penumpang MH370 dan tidak membuat terlalu banyak andaian yang akan menjejaskan siasatan, dan menyinggung perasaan ahli keluarga terbabit. Tegas beliau, adalah tidak relevan untuk mengaitkan insiden tersebut dengan Anwar dan KeADILan, malah mendakwa maklumat yang disiarkan itu palsu dan hanya bersifat tanggapan tanpa bukti kukuh. Katanya, ia isu keselamatan MAS. Daily Mail turut mendedahkan Zaharie didakwa berada di Mahkamah Rayuan, 7 Mac lalu untuk memberi sokongan moral kepada Anwar dan menyaksikan detik-detik hukuman lima tahun penjara dijatuhkan. Selepas mahkamah berakhir pada jam 7 malam, Zaharie pulang ke rumah, dan dua jam kemudian bertolak ke KLIA untuk tugasan menerbangkan MH370 ke Beijing. Masalahnya, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro-Umno tanpa segan-silu serta mempedulikan perasaan isteri dan ahli keluarga Zaharie, terus mengaitkan dengan hukuman penjara terhadap Anwar sebagai punca kehilangan MH370. Zaharie didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya dengan melakukan sabotaj. Jika itu benar, adakah dia seorang yang tidak berfikir panjang kerana tindakan tersebut tidak mampu mengubah apa-apa, malah membahayakan nyawa penumpang, dan mengancam masa depannya sendiri? Justeru, cadangan agar penapisan ketat perlu dibuat untuk memastikan hanya mereka yang menyokong kerajaan Umno-BN sahaja diambil berkhidmat dengan MAS adalah tidak bijak dan keterlaluan. Ideologi politik dan kelayakan bekerja adalah perkara berbeza. Sesiapa sahaja yang layak boleh berkhidmat dengan MAS tanpa mengira anutan politik. Zaharie tidak wajar dituduh mensabotaj MH370 kerana perbuatan tersebut membahayakan bukan sahaja orang lain, malah diri sendiri dan mengancam masa depannya. Tidak logik. Bagi Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Saifuddin Nasution Ismail, laporan Daily Mail adalah khayalan luar biasa dan perkara terbabit mustahil berlaku kerana membabitkan nyawa ramai manusia yang tidak berdoa, selain satu teori konspirasi politik tidak logik walaupun Zaharie ahli seumur hidup parti itu. Anwar juga berkata tidak wajar mengaitkan kehilangan MH370 dengan dirinya. Beliau menafikan kehilangan pesawat itu akibat kesedihan Zaharie ekoran keputusan kes Liwat II. Pada mulanya Anwar menyangka MH370 hilang kerana juruterbang kecewa beliau dijatuhi hukuman penjara hanya sekadar gurauan. Rupa-rupanya ia tuduhan serius. Agensi-agensi media asing seluruh dunia mendakwa Zaharie begitu sedih dan bertindak melarikan MH370 kerana Anwar dihukum penjara lima tahun. Jelas Anwar, kesedihan kerana beliau disabitkan bersalah dikongsi oleh jutaan rakyat Malaysia, bukan hanya Zaharie seorang. Sementara itu, Aishah, anak Zaharie, menyifatkan spekulasi media antarabangsa yang mengaitkan bapanya dengan misteri kehilangan pesawat itu melukakan hati keluarganya. Menurut laporan beberapa portal berita Australia, Aishah, 27, memberitahu rakan-rakannya bahawa spekulasi mengenai bapanya oleh media antarabangsa tidak benar. | |||
Posted: 27 Mar 2014 05:01 AM PDT Petikan 1, 2, 3 LEKUP HARAKAH ARKIAN tersebutlah perkataan Raja Bomoh Sedunia. Tiada ketahui sesiapa akan adanya ia sebelum ghaib kapal terbang kita. 'Top-top' meletup saja munculannya justeru tolong 'ngesan' akan 'ghaiban' si pesawat itu. Akan bomoh itu adalah benda yang tidak pernah tidak dalam hidupan orang Melayu. Selagi tidak hilang Melayu di dunia macam yang diramal Hang Tuah, adalah sang bomoh di sana dan di sini. Tiada kira ia Banjar, Minangkabau, Bugis bahkan Melayu Peranakan, adalah bomohnya. Tiada Melayu ia jika tidak bermomoh itu. Akan tetapi tiadalah yang raja sekalian bomoh. Rupanya Raja Bomoh Sedunia daripada orang Melayu. Jantan hebatnya Melayu. BUBU Maka mencarilah semuanya akan kapal terbang yang ghaib itu. Ada mengguna mereka itu radar. Ada mengguna teropong. Ada yang guna satelit dari langit. Akan Raja Bomoh Dunia itu mengguna ia bubu, teropong buluh dan tikar terbang macam ada cerita dalam kisah 1001 malam. Berkata bomoh, nampak ia pesawat tersangkut. Ertinya jumpa ia. Tetapi ilmunya tak termasuk membaca peta dunia, tiada tahu ia tempat tersangkut. Jika mengaji ia akan ilmu peta dan jalur garis lindang dan jalur membujur, mungkin jumpa ia. Jantan kata saja. MASYHUR Atas hilang pesawat itu, jadi dua yang Malaysia masyhur setengah bulan lalu. Pertamanya, kapal terbang yang hilang itu. Jadi heboh semua TV dunia. Jika ada TV di kutub, nescaya tahu orang Eskimo akan negeri Jantan. Akan keduanya, si bomoh yang cari kapal terbang dengan bubu, tikar dan teropong buluh. Masyhur juga negeri Jantan olehnya. Meskipun dekat tamat Wawasan 2020 negeri Jantan, ada buluh kosong boleh nampak benda jauh dan radar dan satelit tak nampak. Itulah yang dinamai ia transformasi. Jantan informasi. KARUT Maka dalam ramai-ramai orang di negeri Jantan adinda Khairy Pak Lah saja yang kata karut saja ia dan bunyinya ada yang kata disuruhnya tangkap Raja segala bomoh itu. Terasa Jantan bukan Khairy ini macam budak Temasik yang kata karut pada orang Singapura tahan betis pada todak yang melanggar. Semua todak tak tuju betis. Ia tuju dada. Disuruh itu budak bawa batang pisang. Habislah todak lekat pada batang pisang. Selamatlah Temasik daripada todak. Akan tetapi dibunuh mereka akan budak itu. Jangan Khairy senasib dengan budak Singapura itu sudahlah. Jantan ho! Ho! Ho! TAMPAR Hendak menampar tok bomoh akan Khairy yang cabar itu. Maka membalas Khairy, kalau Raja Bomoh tampar dia nescaya sekalian orang di negeri Jantan akan tampar tok bomoh. Jika semua orang negeri Jantan nak tampar dia penyeklah ia. Tak perlu tampar, sikit seorang 28 juta orang usik pun lembuklah ia. Jantan kira malulah Khairy, ajak ramai-ramai orang tampar orang yang menamparkan. Orang muda layaknya tampar seorang sama seorang. Bomoh tak ajak orang lain tampar Khairy. Dia seorang saja nak tampar Khairy. Dia tu tua, Khairy muda. Sanggup Khairy ajak semua orang tampar orang tua. Jantan memalukan. | |||
Tribunal Rakyat : BN kalah PRU13 jika tiada undi awal Posted: 27 Mar 2014 04:57 AM PDT LYN NASIRSUBANG 26 MAC : BN akan kalah jika tiada undi awal, kata Yash Phal Ghai dalam Pembentangan LaporanTribunal Rakyat berhubung Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 lalu di Subang, semalam. Pengerusi Tribunal Rakyat itu memetik laporan Merdeka Centre, BN akan kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 sekiranya tiada undi awal. Jelasnya lagi, kemenangan BN dalam PRU lalu yang dipengaruhi undi awal memberi implikasi besar kerana majoriti rakyat tidak mengiktiraf kemenangan tersebut. "Seseorang calon yang tidak menang dapat membuktikan tentang kehilangan 1605 undi di kawasannya, sedangkan lawannya hanya menang dengan majoriti yang kecil. "Dia kalah dengan 460 undi, sudah tentu jika peti undi tidak hilang, perbezaan keputusan sudah pasti besar," jelasnya. Sementara itu, beliau turut menegaskan agar suruhanjaya yang mengendalikan pilihanraya untuk bertindak bebas dan tudak menyebelahi mana-mana parti dalam setiap pilihanraya. "Undang-undang perlu diubah untuk memastikan suruhanjaya Pilihanraya benar-benar bebas dari pengaruh kerajaan. "Suruhanjaya juga perlu melaksanakan sesuatu pilihanraya bukan mengikut arahan kerajaan, sebaliknya pilihanraya harus dijalankan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang," ujarnya lagi | |||
Wan Azizah: Bas pengantara projek khas elak kesesakan trafik Kajang Posted: 27 Mar 2014 04:27 AM PDT Oleh Basyar Abd Kadir KAJANG : Kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan bas pengantara (feeder bus) sebagai alternatif menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik di Kajang. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek khas itu sebagai penyelesaian masalah trafik yang dijangka akan meningkat ekoran pembinaan stesyen Aliran Transit Massa (MRT) di Kajang. "Antara masalah apabila MRT ini siap nanti, tiada penghubung khas untuk penduduk ke stesyen itu. "Untuk mengelakkan kesesakan bertambah teruk, terutama pada waktu pagi dan petang, kita buat satu sistem pengangkutan awam iaitu sistem pengangkutan baru (feeder system). Sistem ini ke arah menyelesaikan masalah trafik," katanya kepada media, hari ini. Menjelaskan lebih lanjut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi berkata, sistem baru ini akan menghadkan penggunaan kereta untuk mengelakkan kesesakan. Katanya, sistem ini juga akan lebih menumpukan dari aspek keberkesanan pengangkutan awam itu sendiri selain memudahkan pengguna. "Orang ramai akan menaiki bas, tidak perlu guna kenderaan sendiri untuk ke stesyen tersebut. "Bas akan bergerak sentiasa dalam jarak satu hingga dua kilometer. Jadi pengguna tidak perlu bawa kenderaan untuk ke stesyen tersebut. "Tetapi jika yang bawa kereta daripada jauh, seperti Kuala Lumpur, tempat parkir akan disediakan. "Kita jangkakan pengguna akan jalan kaki dalam jarak 400 meter untuk ke stesyen tersebut," kata Hassan menambah pengurusan projek ini bakal mendapat kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Pengangkutan Awam Selangor. Kajang yang sering berdepan masalah kesesakan, dijangka akan bertambah sesak apabila projek MRT siap dijangka antara 2016-2018. Pendekatan bas pengantara dirancang untuk memastikan kesesakan dapat dikurangkan, termasuk memudahkan penduduk mendapat akses perhubungan ke stesyen terdekat. Ini merupakan inisiatif awal Wan Azizah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sebagai pelaksanaan 'Manifesto Kajang' oleh calon KEADILAN itu sempena Pilihan Raya Kecil DUN tersebut. | |||
Manifesto anak muda tumpuan pertama Wan Azizah di Kajang Posted: 27 Mar 2014 04:25 AM PDT Oleh Basyar Abd Kadir KAJANG : Setelah memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tanpa berlengah terus memfokuskan mengenai pembangunan belia bagi melaksanakan manifesto untuk anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu. Menurutnya, perkara itu sedia digerakkan dalam waktu terdekat memandangkan peruntukan untuk pelaksanaannya sudah tersedia. "Peruntukan sememangnya sudah disediakan oleh PeBT (Penggerak Belia Tempatan) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). "Berkenaan pembangunan anak muda, PeBT sudah ada peruntukan setiap zon, jadi perkara tersebut boleh digerakkan sekarang secepat mungkin," kata Adun Kajang itu pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Yang Dipertua (YDP) MPKj, di Menara MPKj, di sini hari ini. Sementara itu, YDP MPKj, Datuk Hassan Nawawi menjelaskan, pihaknya sedia menyalurkan sumbangan kepada setiap zon untuk tujuan pembangunan belia. "Di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) ada 24 zon, setiapnya diberi RM5,000 setahun. "Kalau hendak memohon kena buat kertas kerja dahulu, peruntukan memang ada," katanya. Pertemuan kali pertama ini selepas Wan Azizah menjadi Adun kawasan itu pada Ahad lalu bertujuan bagi membincang dan mengutarakan beberapa idea penambahbaikan di Kajang. Antara hasil perbincangan tersebut adalah mengenai pemantauan bagi memastikan keberkesanan komunikasi antara penduduk dengan wakil rakyat dan beberapa isu tempatan yang lain. Sebelum ini, Wan Azizah dalam manifesto PRK Kajang menyentuh empat teras utama meliputi pembangunan anak muda dan usahawan kecil, banteras jenayah dan tingkatkan keselamatan, pembangunan penyelenggaraan perbandaran dan kesesakan lalu lintas. | |||
MH370: Taklimat Kepada Ahli Parlimen Pembangkang Selasa Depan Posted: 27 Mar 2014 04:22 AM PDT KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH370. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata satu pertemuan telah diatur pada malam Selasa depan antara anggota Parlimen pembangkang dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Tempoh hari anggota pembangkang ada mengadu kita buat sesi taklimat tak ajak mereka, jadi saya telah atur pertemuan dan semua anggota Parlimen pembangkang dijemput hadir. "Setakat ini semuanya (anggota Parlimen pembangkang) setuju untuk hadir kecuali Anggota Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang daripada DAP)," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis. Shahidan berkata pertemuan ini membuktikan kerajaan terbuka kepada semua pihak dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berhubung tragedi MH370 seperti didakwa pembangkang. Shahidan berkata pada sesi pertemuan itu, pemangku menteri pengangkutan dan wakil daripada pihak terlibat akan menerangkan secara terperinci mengenai tragedi MH370. "Anggota Parlimen pembangkang pula boleh menghuraikan segala syak wasangka mereka terhadap kerajaan mengenai tragedi itu," katanya. Menyentuh tentang keputusan kerajaan yang hanya akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai tragedi MH370 selepas menemui kotak hitam pesawat itu, Shahidan berkata setakat ini kerajaan tetap dengan pendirian itu. "...kerana selagi kotak hitam tidak ditemui adalah sukar untuk siasatan lanjut dijalankan, dan kita pasti banyak perkara telah dipertimbangkan oleh pemangku menteri pengangkutan sebelum keputusan ini dibuat," katanya. Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis data satelit oleh pengendali satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di UK. | |||
MH370: Tuntutan Saman RM4.9 Bilion Sedang Dalam Proses Posted: 26 Mar 2014 11:58 PM PDT MSTAR ONLINE Firma yang berpangkalan di Chicago, Ribbeck Law Chartered yang bertindak untuk ahli keluarga terlibat telah memfailkan petisyen penemuan di mahkamah Illinois, Chicago. Monica Kelly, peguam utama dari Ribbeck Law berkata firma itu yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang penerbangan telah didatangi oleh ahli keluarga dari China dan Indonesia. Daripada 239 orang di atas kapal MH370, terdapat 153 warga China, 50 rakyat Malaysia dan tujuh warga Indonesia. Kelly berkata, mereka telah bercakap dengan ahli keluarga dari kebanyakan negara dan menjangka kira-kira separuh daripada mereka yang terlibat akan turut mengambil bahagian dalam saman itu. "Kami telah menyelesaikan banyak kes di mana bangkai telah musnah sepenuhnya, atau tiada mayat ditemui, atau bangkai ditemui tetapi kotak hitam tidak berfungsi. Kami tidak bergantung kepada perkara-perkara ini untuk memulakan proses undang-undang," kata Kelly, semasa taklimat kepada media di sini. Beliau berkata saman itu boleh mengambil masa antara empat bulan hingga lima tahun, tetapi menjangkakan kes ini mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun. Firma itu akan memberi tumpuan saman terhadap Boeing, kerana mereka percaya ini adalah kes peralatan tidak berfungsi tetapi boleh menambah defendan termasuk pengilang komponen lain atau orang-orang yang terlibat dalam melatih anak-anak kapal. Manuel Von Ribbeck dari Ribbeck Law berkata, dalam undang-undang, penumpang tidak pernah bersalah dan tindakan ini adalah sekadar memastikan keluarga diberi pampasan sepenuhnya. "Kami berharap keajaiban boleh berlaku, tetapi berdasarkan data yang kami lihat setakat ini, ia tidak kelihatan baik sama ada untuk penerbangan dan penumpang," kata Ribbeck. Boeing, pengeluar pesawat 777-200 telah menerima beberapa tindakan undang-undang pada masa lalu. Tuntutan terbaru adalah pada Januari tahun ini oleh sekumpulan penumpang penerbangan Asiana Airlines yang membuat pendaratan kecemasan di San Francisco pada 6 Julai tahun lepas, juga diwakili Ribbeck Law. Tiga orang terbunuh dan lebih 180 yang lain cedera. | |||
Kerajaan perkenal inisiatif baharu untuk pesara Posted: 26 Mar 2014 11:55 PM PDT Dr Ali Hamsa menyampaikan cenderahati kepada Pesara Kanan Prof Sharifah Hapsah pada Majlis Khidmat Bakti 2014 di Hotel Palace of The Golden Horses di Serdang, malam ini. - Foto Bernama SERDANG - Kerajaan akan memperkenalkan satu inisiatif terbaharu untuk menjaga kebajikan pesara penjawat awam yang dikenali sebagai "1Malaysia Civil Service Retirement Support". Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, inisiatif dibawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). "Inisiatif ini merupakan satu bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada pesara penjawat awam dimana ia lebih tertumpu kepada beberapa perkara seperti kesejahteraan dan kebajikan pesara, keusahawanan, pengurusan kewangan dan penjagaan kesihatan," katanya. Ini secara tidak langsung memberikan gambaran yang jelas dan nyata bahawa kerajaan tetap memelihara dan tidak meminggirkan penjawat awam walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan mereka, katanya ketika berucap pada Majlis Khidmat Bakti Bil.1 2014 di sini malam ini. Katanya menerusi hasil kajian mengenai perspektif pesara yang dilaksanakan di bawah JPA, menunjukkan 80.76 peratus pesara menitikberatkan isu kesihatan, 53.18 peratus mengutamakan soal kebajikan dan 48.94 peratus memerlukan bantuan mengenai pelan perancangan kewangan selepas bersara. Ali berkata bagi mengerakkan inisiatif terbaharu itu, satu laman sesawang yang mengkhususkan kepada pesara penjawat awam sedang dibangunkan oleh JPA dan laman ini dijangka akan dilancarkan pada bulan hadapan. Majlis Khidmat Bakti pada malam ini bertujuan untuk meraikan 58 pegawai-pegawai kanan penjawat awam yang telah bersara dan turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi. - Bernama | |||
PRK Balingian: PAS sasar tingkat undi Pakatan Rakyat Posted: 26 Mar 2014 11:52 PM PDT MUKAH: Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Sarawak yang diketuai Mohd Fizuan Zaidi meneruskan gerak kerja kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Balingian bermula hari penamaan calon dan dipertingkatkan lagi dengan kehadiran jentera PRK Kajang yang berakhir minggu lalu. Bendahari PAS negeri, Mohd Azwani Abdul Rani berkata, fokus PAS adalah di beberapa UPU seperti Judan, Tellian dan Litong yang majoriti pengundi adalah Melayu Melanau. Untuk rekod, katanya undian bagi UPU itu amatlah rendah bagi calon Pakatan Rakyat sebelum ini sama ada semasa pilihan raya negeri 2011 dan PRU 2013 dengan undi kurang lima peratus daripada jumlah pengundi. "Sasaran Pakatan dalam PRK Balingian kali ini ialah meningkatkan peratusan undi Pakatan kepada 30 peratus," ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Justeru, jelasnya PAS negeri mengadakan beberapa program seperti tahlil, ceramah kelompok dan pertandingan dart. Menurutnya, dengan calon anak tempatan yang dikenali ramai, berkeperibadian baik, serta sentimen peralihan kuasa kepada Ketua Menteri baru yang masih baru di Mukah dan Balingian, potensi itu mampu dicapai. "Setakat ini lebih 40 jentera tempatan dari Bintulu, Kakus, Miri, Sibu, Tupong dan Petrajaya hadir membantu gerek kerja JPRK Mukah serta rakan Pakatan di samping kehadiran pimpinan PAS Pusat diketuai Timbalan Presiden dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat, Pemuda dan Muslimat," jelasnya. Sehubungan itu, katanya kepada yang berhajat menyumbang kepada jentera PAS Sarawak boleh berhubung dengan beliau atau menyalurkan melalui akaun Bank Islam 11013010023984. | |||
Atlet muslimah melakar impian di dunia antarabangsa Posted: 26 Mar 2014 11:47 PM PDT Saiful Islam SUKAN adalah antara medium terpenting dalam kehidupan. Minda yang cerdas berteraskan badan yang cergas. Islam sendiri menuntut dan tidak menghalang aktiviti ini jika diamalkan selagi berteraskan syariat. Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh menggalakkan umatnya untuk bersukan. Antara sukan yang disarankan baginda adalah memanah, bergusti dan berkuda. Pada masa kini apabila dikaitkan negara Islam dan sukan, mungkin tidak sehebat negara-negara Eropah yang memonopoli aktiviti ini baik di peringkat benua hingga antarabangsa. Tidak kita nafikan bersukan juga merupakan jalan untuk memperkenalkan Islam ke seantero dunia, malah sebagai kaedah berdakwah. Keutuhan dan kesungguhan atlet beragama Islam bertanding membuktikan mereka setaraf dengan atlet antarabangsa yang lain diserikan lagi dengan kelengkapan beronakan Islam dengan menutup aurat, memberi contoh dan pandangan terbaik terhadap Islam dan keanjalan syariatnya. Begitulah penakrifan tentang indahnya bersukan dalam syariat Islam, biarpun banyak isu yang dibangkitkan tentang pakaian yang menutup aurat ini tetapi atlet muslim dan muslimah tetap kukuh dengan pendirian mereka. Sukan Olimpik dan Sukan Asia merupakan pentas antarabangsa yang dihiasi beribu atlet dari pelbagai negara yang bertanding termasuk negara-negara Islam. Sukan Asia Doha 2006, pentas di mana Roqaya Al Ghasara membuka perhatian seluruh dunia, tatkala siaran lansung acara lari 200 meter melihatkan seorang atlet muslimah memenanginya dengan penuh bergaya menewaskan atlet lain. Perhatian terhadap pelari Muslimah ini kerana pakaiannya yang berjilbab dan menutup aurat. Pelari muslimah dari Bahrain ini turut memenangi pingat gangsa acara pecut 100 meter, kebanggaan buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Beliau bukan sahaja menyangkal pendapat memakai pakaian menutup aurat akan menggugat kepantasan dan keselesaan atlet malah memberi gaya yang lebih sesuai dengan pakaian sukan (sports wear) yang menutup aurat untuk dijadikan contoh atlet beragama Islam yang lain. Roqaya Al Ghasara role model atlet Islam sedunia, hebat di trek sehebat pendiriannya. Atlet negara kita juga mempamerkan contoh yang tersendiri. Nor Suryani Mohd Taibi dan rakan sepasukannya Nur Ayuni berjaya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel pada 2010. Kedua atlet negara ini mengenakan pakaian yang mengikut syariat Islam dan berjilbab. Secara tidak langsung ia memberi inspirasi kepada atlet muslim negara lain. Pemakaian atlet yang mengikut syariat Islam banyak memberi pengaruh dan pandangan positif terhadap Islam. Keanjalan syariat Islam dan kepatuhan penganutnya memberi motivasi kepada atlet muslim untuk mempromosi nilai murni Islam itu sendiri ke seluruh masyarakat dunia untuk mengenali keindahan Islam. Faktor kemenangan atau kekalahan bukan bergantung kepada pemakaian, tetapi kesungguhan yang dironakan lagi dengan berpandukan syariat Islam. Insyaallah akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Nur Ayuni atlet air rifle negara membuka perhatian atlet negara tentang kepentingan menutup aurat. Iran adalah salah satu negara Islam yang bertanding di sukan peringkat antarabangsa. Atlet muslimahnya mengenakan jilbab ketika bertanding. Ia memberi gambaran jelas bahawa penutupan aurat oleh para atlet diuruskan dengan sempurna olen badan atau pertubuhan sukan negara mereka. Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan mengikuti jejak langkah tersebut. Presiden Iran sendiri mengkritik dasar atau peraturan etika pemakaian yang digariskan oleh persatuan bola sepak dunia atau FIFA yang menghalang penyertaan pasukan bolasepak wanita Iran atas alasan berjilbab dan melanggar etika pemakaian. FIFA juga merupakan badan sukan dunia yang menunjukkan bantahan terhadap pemakaian atlet di sukan Olimpik. Atlet Iran yang berjaya melakar nama di pentas dunia ialah Khadijeh Azadpour. Atlet muslimah ini memenangi pingat emas di kejohanan Sukan Asia di 2010. Beliau yang mengungguli sukan wushu ketika mengulas kemenangannya mendedahkan cita-cita beliau untuk menjadi wanita Iran pertama memenangi pingat emas dunia dalam acara olahraga tersebut. Beliau merupakan salah seorang daripada atlet muslimah yang wajar menjadi contoh dan ikutan kepada atlet muslim seluruh dunia. Khadijeh Azadpour, atlet Iran yang menjuarai acara wushu di Sukan Asia 2010. | |||
Munajat solidariti 529 penyokong Ikhwan malam ini Posted: 26 Mar 2014 10:51 PM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengarahkan Dewan Ulamak PAS negeri-negeri dan Urusan Ulamak PAS kawasan-kawasan mengadakan solat hajat dan munajat malam ini (27 Mac). Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menerusi facebook semalam menyatakan solat hajat dan munajat itu solidariti kepada 529 mangsa kezaliman rejim as-Sisi. Katanya, majlis itu diadakan selepas solat Isyak di seluruh masjid, surau dan markaz tarbiyah PAS. Pada 24 Mac lalu, mahkamah di selatan Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Presiden negara itu yang sah, Dr Mohamed Morsi termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamad Badie. Menurut Al-Jazeera, hukuman mati yang dijatuhkan itu telah mencetuskan kritikan banyak pihak kerana ramai mempertikaikan prosiding perbicaraan terbabit yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan. Pakar undang-undang memaklumkan keputusan mengejut itu mungkin boleh ditarik balik dengan mengemukakan rayuan. Sementara itu, Amnesty International turut mengecam keputusan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan. Bagaimanapun hukuman kepada 683 lagi penyokong Ikhwan pada perbicaraan kedua hari berikutnya ditangguhkan kepada 28 April ini. | |||
Ilmam ucap takziah buat keluarga Ali Mamak Posted: 26 Mar 2014 10:49 PM PDT KUALA LUMPUR: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) mengucapkan takziah buat keluarga Datuk Osman Jantan (gambar) atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak atas pemergian beliau ke rahmatullah pagi ini. Menurut Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre, Almarhum pernah bersama Ilmam dalam Pray 4 Live in Concert di Bandar Baru Bangi, tahun lalu. "Beliau dan Abang Abon, sanggup bergegas pulang dari Johor, untuk bersama memberi sumbangan untuk rakyat Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya pada malam tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, nasihat santai Almarhum pada malam tersebut diselitkan dengan lawak jenaka sangat memberi kesan kepada yang hadir. "Buat keluarga Almarhum, Ilmam mengucapkan, moga Allah besarkan pahala kalian, diperbaiki urusan takziah, dan diampunkan dosa Almarhum," katanya lagi. Ali merupakan pelawak era 1980-an dilaporkan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua. | |||
Menteri sahkan tentera AS buat latihan di Kelantan Posted: 26 Mar 2014 10:47 PM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam dimaklumkan bahawa sememangnya tentera Amerika Syarikat hadir ke Kelantan pada awal bulan ini. Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kehadiran mereka dari 18 hingga 21 Mac sebagai membuat latihan tahunan. "Sememangnya kehadiran tentera Amerika Syarikat di Kelantan dua minggu pada tahun ini. "Aktiviti latihan tahunan 3 strikes bermula 18 hingga 21 Mac dan akan diadakan lagi pada 17 hingga 29 September 2014," kata beliau. Menurutnya lagi, kehadiran tentera USA RPAC itu juga menjalankan latihan bencana alam seperti banjir dan junggle wellfare. Turut terlibat dalam latihan itu termasuk pasukan Markas 8 Briged serta Markas Tentera Darat. Isu kehadiran tentera Amerika Syarikat sebelum ini dibangkitkan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang mendakwa ianya mendatangkan kecurigaan yang besar di kalangan rakyat Kelantan. Berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, beliau telah meminta penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung isu itu. | |||
Penswastaan Pelabuhan PP melanun harta rakyat Posted: 26 Mar 2014 10:45 PM PDT GEORGE TOWN: Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang secara misteri di bawah tender terhad menimbulkan persoalan serius mengenai kepentingan awam, kebertanggungjawaban dan ketelusan, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Ini, katanya berikutan pendedahan dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen beliau daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar bahawa perjanjian antara pembida yang berjaya, Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd telah dimuktamadkan dalam perjanjian tambahan pada 23 November 2013. "Melainkan pengumuman penuh dibuat oleh Kementerian Pengangkutan, penswastaan ini akan dilihat sebagai satu lagi tindakan melanun harta rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat konsesi tol lebuh raya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. Katanya, keengganan Kementerian Pengangkutan setakat ini untuk membuat sebarang penjelasan awam bagaimana penswastaan ini bermanfaat untuk kepentingan awam jelas memperlihatkan keangkuhan, kerahsiaan dan salah urus yang merangkumi etos BN yang penuh dengan pilih kasih, politik naungan dan konspirasi. Ini, jelasnya berdasarkan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac lalu. | |||
Speaker tolak usul hukuman mati 529 penyokong Ikhwan Posted: 26 Mar 2014 10:43 PM PDT NAZRI ABDULLAH KUALA LUMPUR: Usul bagi membincangkan isu hukuman mati terhadap 529 pemimpin dan ahli Ikhwan Muslimin Mesir ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat. Usul tersebut dikemukakan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) di bawah peraturan mesyuarat 18 (1), pada 25 Mac lalu dan dibaca hari ini. Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun menolak usul itu dalam kamar. Kamarudin berkata, beliau menghormati keputusan itu namun kecewa dengan sikap Wisma Putra yang berdiam diri dalam isu ini. Sedangkan kata beliau, Amerika Syarikat serta bahagian Hak Asasi PBB pun menyatakan kecaman terhadap keputusan mahkamah tentera itu. Ketika menjelaskan penolakan itu, Pandikar bagaimanapun berkata ia dibuat sebagai menghormati perundangan negara tersebut dan berpendapat usul itu tidak perlu disegerakan. Mencelah kemudian, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun dan meminta Pandikar menimbang semula agar isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat. "Yang Dipertua, bagaimana tidak perlu disegerakan, ini hukuman gantung, kezaliman mahkamah tentera, tak kan ini pun nak hormat juga," kata beliau. Sementara itu, Kamarudin dalam sidang media selepas itu turut mengulangi desakan agar kerajaan Malaysia tidak berdiam diri dalam isu berkenaan. Menurut beliau, Malaysia perlu menggerakkan negara-negara OIC dan PBB untuk segera mengambil tindakan terhadap kerajaan kudeta Mesir. | |||
Kassim Ahmad didakwa di mahkamah pagi ini Posted: 26 Mar 2014 10:34 PM PDT Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu. - Foto ihsan Twitter Marina Mahathir PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Sasterawan dan pemikir, Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu. Kassim @ Osman Ahmad, 81, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Ummamuddin Yunus. Bagi pertuduhan pertama, Kassim didakwa menghina, atau menyebabkan Agama Islam dipandang hina oleh lain-lain agama dengan mencemuh amalan yang berhubungan dengan Agama Islam dalam seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'. Kassim didakwa membentangkan skrip bertajuk Ucapan kepada Konferensi Politik Nasional untuk Menentukan Hala tuju Negara Malaysia untuk tiga puluh tahun akan datang. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, Kassim didakwa menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama; dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti melalui fatwa iaitu Fatwa Wilayah-wilayah Persekutuan berkenaan golongan anti hadis dalam seminar yang sama. Beliau didakwa membentangkan satu skrip ucapan yang mempunyai petikan daripada dua buah buku bertajuk 'Hadis Satu Penilaian Semula' (terbitan Media Intelek Sdn Bhd 1992) dan 'Hadis: Jawapan Kepada pengkritik' (terbitan Media Indah Sdn Bhd 1992) yang telah diharamkan melalui fatwa-fatwa Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 8 Februari 1966 berkenaan Golongan Anti Hadis. Bagi kesalahan itu, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No 1 Jalan PBH, Presint 8, di sini antara jam 9 pagi hingga 5 petang, 16 Februari lalu. Terdahulu Ketua Pendakwa Syarie, Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris mencadangkan waran penahanan sementara diberikan kepada tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan. Ibrahim turut mencadangkan bon jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan, namun bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskannya. Kassim bagaimanapun memohon jaminan diberikan kepadanya kerana faktor usianya dan dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap. "Saya juga tiada pencen. Hanya bergantung terhadap bantuan tiga orang anak,"katanya. Mahkamah membenarkan Kassim diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin yang bermastautin di Wilayah Persekutuan dan menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes itu. Kassim yang berbaju berwarna cerah dan bertongkat, membayar jaminan tersebut. Sementara itu, pada seminar berkenaan, Kassim mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat, kerana menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut yang menyebabkan rambut menjadi busuk. Semalam, Kassim ditahan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) di rumahnya di Kulim Golf and Country Resort kira-kira jam 2.30 petang semalam. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan