DIALOG RAKYAT |
- Tak maklum perjanjian air kepada pemimpin PKR kerana terikat undang-undang, kata Khalid
- Air percuma di KL ringankan beban warga kota
- Air: Yayasan Amal S'gor bantu bina 'telaga tiub'
- 159 hektar hutan simpan Bukit Tagar masih terbakar
- Politik Air Di Selangor, Siapa Bakal Kuyup?
- Fitnah Murtad: Rakyat kesal Polis Tidak Bertindak Ke Atas Macai UMNO
- Kassim Ahmad Jatuh Sakit Sebelum Debat Bermula!
- 38 korban denggi antara Jan-Feb
- Tiada lagi tolak ansur pada suar
- CEC kekal keputusan Jawatankuasa Disiplin gugur keahlian Adun Pujut
- “Sumbangan” terbesar UMNO – Oleh Ben Nizari
- MP PAS menangi pujian paderi
- Air percuma sekurang-kurangnya 5 tahun lagi
- Anugerah: NGO gesa PM pecat Zahid Hamidi
Tak maklum perjanjian air kepada pemimpin PKR kerana terikat undang-undang, kata Khalid Posted: 02 Mar 2014 06:14 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata tindakannya tidak memaklumkan perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor kepada pemimpin PKR adalah disebabkan terikat dengan undang-undang. Beliau berkata peruntukan undang-undang melarangnya membuat kenyataan berhubung perkara itu, dan jika perlu, hendaklah dilakukan secara tertib bagi mengelak syarikat yang mengendali air di Selangor, terjejas di pasaran saham. "Syarikat yang mengendalikan air di Selangor tersenarai di pasaran saham dan tidak boleh dibincang secara terbuka kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU dengan kerajaan negeri Kelantan hari ini. Khalid diminta mengulas dakwaan pemimpin PKR bahawa beliau tidak memaklumkan perkara itu terlebih dahulu sebelum memeterai MoU dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor. Pada 26 Februari lepas, kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008. MoU antara Kelantan dan Selangor ialah bagi kerjasama kepakaran membabitkan tujuh perkara iaitu Pendidikan, sistem gadaian Islam Ar Rahn, Pusat Makanan Halal, Perundangan, Pembangunan Siber, Pemasaran Produk dan Air. Kelantan diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob manakala Selangor oleh Khalid. – Bernama, |
Air percuma di KL ringankan beban warga kota Posted: 02 Mar 2014 05:50 AM PST KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor yang memberikan komitmen untuk memperluas pemberian air percuma kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pengerusi Lajnah Tanah dan Bandar, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata langkah itu tentunya menguntungkan warga kota yang kini dihimpit dengan kos kehidupan di bandar yang sangat tinggi. Katanya, peluang itu lebih cerah apabila kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat bagi membolehkan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu. "Jika (pemberian air percuma) ini berlaku, Tan Sri Khalid menempa suatu lagi kejayaan dengan memastikan penduduk KL juga mampu menikmati kemudahan sama seperti rakyat di negeri Selangor. "Sememangnya warga KL memerlukan kemudahan-kemudahan seperti ini bagi meringankan bebanan hidup mereka terlebih lagi dengan kenaikan kos hidup," kata beliau dalam satu kenyataan. Dalam pada itu beliau turut memuji langkah kerajaan Selangor yang akhirnya dapat mencari penyelesaian isu air yang tidak berkesudahan, dengan pengambil alihan syarikat konsesi air tersebutmelalui MoU dengan kerajaan pusat. "Bagi saya, sudah tiba masanya kerajaan (pusat) meletakkan kepentingan rakyat di hadapan melebihi kepentingan parti dan perbezaan politik. "Dengan demikian, semua rakyat mendapat manfaat sekiranya pemimpin negara mampu bermuafakat dan duduk semeja menyelesaikan masalah rakyat," katanya. |
Air: Yayasan Amal S'gor bantu bina 'telaga tiub' Posted: 02 Mar 2014 05:48 AM PST KUALA LUMPUR: Yayasan Amal Selangor mengambil inisiatif membantu penduduk di beberapa kawasan yang terjejas teruk ekoran ketiadaan air di negeri ini dengan membina 'telaga tiub' untuk mengambil air bawah tanah. Pengerusinya, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya sebelum ini telah membina telaga tiub itu di Olak Lempit di Hulu Langat bagi membantu masyarakat mendapatkan air. Kawasan itu antara beberapa kawasan di Selangor terjejas teruk ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi berikutan pencemaran ammonia di Sungai Langat. "Kita juga buat tube well (telaga tiub) itu di kawasan Balakong, yang kita kira antara kawasan yang sangat padat penduduk. "Ini antara tindakan Yayasan Amal Selangor yang kita boleh buat untuk bantu sedikit masyarakat dalam isu ini," katanya. Isu air melanda kebanyakan negeri di Malaysia ekoran cuaca kering dan tiada hujan sejak dua bulan lalu. Keadaan kering ini dijangka melanda negara sehingga penghujung Mac ini. Beberapa negeri telah melaksanakan catuan air berdepan masalah ini. |
159 hektar hutan simpan Bukit Tagar masih terbakar Posted: 02 Mar 2014 05:46 AM PST KUALA SELANGOR: Pasukan Bomba dan Penyelamat masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di hutan simpan Bukit Belata dan Hutan Rizab Raja Musa, semalam. Penguasa Bomba Zon 6 Selangor, Penguasa Bomba Haikal Md Kasri berkata, kebakaran hutan berkenaan bermula sejak 24 Februari dan berpunca daripada kebakaran di kebun kelapa sawit sebelum merebak ke kawasan hutan berkenaan. Menurutnya, pada mulanya, kebakaran itu seluas 156 hektar sahaja namun meningkat sehingga kira-kira 159 hektar semalam. "Kawasan kebakaran meningkat disebabkan faktor-faktor seperti angin, keadaan cuaca kering dan pelbagai faktor lain," katanya dipetik Sinar Harian. Haikal berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengelak kebakaran daripada merebak dengan menggunakan pelbagai teknik. Di antara teknik yang digunakan ialah melakukan kaedah 'fire break' iaitu menghilangkan sebarang bahan yang boleh menyebabkan kemerebakan kebakaran ke kawasan baru dan 'direct attack' iaitu memadamkan kebakaran secara terus. Menurutnya, seramai 120 anggota termasuk pegawai daripada balai bomba dan penyelamat Kuala Kubu Bharu, Ampang, Kajang, Selayang dan Zon Ulu Selangor terlibat dalam operasi pemadaman kali ini. "Kami juga menerima banyak bantuan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan Ulu Selangor, Pejabat Daerah Kuala Selangor dan Ulu Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta agensi lain. "Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang sudi membantu bomba untuk operasi pemadaman ini," katanya. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan kebakaran secara terbuka pada musim panas ini. |
Politik Air Di Selangor, Siapa Bakal Kuyup? Posted: 02 Mar 2014 05:41 AM PST Sejak Menteri Besar Selangor menandatangani memorandum persefahaman atau MOU secara tergesa-gesa dengan kerajaan Pusat yang menyaksikan pertelingkahan yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menemui titik penyelesaiannya, gelora politik di negeri paling kaya dan menjadi rebutan antara BN dan PR seolah-olah memasuki gerbang baru yang makin sukar diramalkan. Ia bukan saja kerana MOU itu ditandatangani secara terburu-buru dan diluar pengetahuan pimpinan PR terutamanya Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat Ekonomi negeri itu, malahan ia kemudian disusuli dengan tindakan Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya sedia ada, Azmin Ali. Dengan pengumuman bertanding itu bukan saja mengesahkan krisis antara Khalid dengan Azmin selama ini tetapi persoalan juga timbul juga ialah apakah Khalid bersedia berundur daripada jawatannya untuk diserahkan kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini? Bagaimana jika Khalid selepas ini berkeras mahu kekal sebagai Menteri Besar dan tidak lagi mempedulikan Anwar? Bagaimana dengan masa depan Anwar dan PR jika akhirnya Anwar gagal menjadi Menteri Besar, sedangkan ura-ura itu merupakan langkah yang paling ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU 14? Dari segi Khalid pula, dengan mengumumkan bertanding jawatan nombor dua itu, ia secara langsung menggambarkan beliau mahu terus kekal sebagai Menteri Besar. Ini kerana jika beliau sudah mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, buat apa lagi mahu bertanding Timbalan Presiden? Bagaimanapun di pihak BN, ketakutan terhadap KajangMove yang klimaksnya bertujuan menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar yang dilihat langkah paling praktikal mengekalkan negeri itu di tangan PR dan mencerahkan lagi harapan menawan Putrajaya, tetap tidak berubah. Rata-rata pemimpin BN, melalui komen yang diluahkan lebih memperlihatkan kebimbangan mengenai peluang BN mempertahankan kuasanya dengan gerakan terbaru PR ini. Dalam hal ini, sementara pimpinan PR berusaha sedaya mungkin untuk mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding keputusan PRU 13 lalu, pimpinan BN pula tidak henti-henti menakutkan rakyat Selangor mengenainya. Terbaru, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah bergayut dibawah dagu Anwar ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, menasihatkan agar Selangor diselamatkan daripada Ketua Pembangkang itu selepas usahanya untuk menawan Putrajaya sebelum ini menemui kegagalan. Tanpa menyebut apa sebenarnya yang perlu diselamatkan jika Anwar berjaya menjadi Menteri Besar, yang tersirat daripada kenyataan itu ialah BN akan menjadi semakin tidak selamat kerananya. Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga berkata, dengan menjadi Menteri Besar Selangor, ia akan menjadi tangga untuk Anwar melangkah ke Putrajaya. Beberapa serangannya terhadap Anwar selepas itu jelas memperlihatkan kebimbangannya, lebih-lebih lagi melihatkan watak Najib yang semakin lemah, tidak bermaya dan semakin dijauhi rakyat. Secara umumnya, langkah Anwar bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar selepas itu adalah langkah untuk maju ke hadapan mencapai cita-cita menguasai Putrajaya bersama janji-janji untuk memberi erti kehidupan yang lebih bermakna kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini. Namun, isu air di Selangor nampaknya telah menggugat sedikit kelancaran menuju matlamat yang mahu dituju itu. Bermula dengan MOU, pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden, ketidakpastian jawatan Menteri Besar Selangor dan perpecahan dalam PKR yang mulai kelihatan sekarang, semuanya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya berbanding kepastian. Khalid yang sekarang juga juga bukan lagi seperti Khalid yang dulu. Dalam masa yang sama, UMNO dan BN pula mulai membuat pujian melambung terhadap kepimpinan Khalid. Jika selama ini beliau dikutuk dan dihina dengan pelbagai label, kini Khalid adalah "primadona" bagi UMNO dan BN. Bukan saja beliau dipuji kerana kesediaannya menandatangani MOU air yang dilihat mengutamakan kepentingan rakyat negeri itu, malah ramai yang mahukan beliau terus kekal sebagai Menteri Besar. Jika Khalid terpedaya dan puji-pujian itu juga menyebabkan beliau perlu memakai songkok yang lebih besar, tidak mustahil beliau akan berkeras untuk kekal sebagai Menteri Besar dan enggan menyerah kalah kepada kemahuan Anwar. Walaupun akhirnya jawatan itu perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR tetapi sekiranya Khalid tetap berkeras, ia akan menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan di Selangor. Krisis ini bukan saja boleh menyebabkan negeri Selangor jatuh ke tangan BN akhirnya tetapi juga meleburkan sama-sekali harapan untuk menawan Putrajaya. Jika ingin menuju ke Putrajaya, Selangor adalah penggeraknya. Gagalnya Anwar menjadi Menteri Besar melalui apa yang dinamakan KajangMove ini, bukan saja gerbang Selangor akan roboh, malah tiada harapan lagi menguasai Putrajaya. Tetapi jika KajangMove ini berjaya sepertimana yang dirancangkan, bukan saja hayat politik Najib bakal disingkatkan lebih awal tetapi juga akan menyebabkan BN semakin lemah menuju PRU 14 nanti. Segala-galanya kini tergantung kepada penyelesaian yang bermula dengan isu air di Selangor. Sama ada BN atau PR, Najib atau Anwar, Khalid atau Azmin - salah satunya akan basah dan mungkin kuyup kerana isu air ini. |
Fitnah Murtad: Rakyat kesal Polis Tidak Bertindak Ke Atas Macai UMNO Posted: 02 Mar 2014 05:31 AM PST KELAB GREENBOCSeorang aktivis hak wanita terkejut apabila mengetahui bahawa gambarnya dan beberapa orang lain yang menghadiri satu majlis kerajaan, telah tersebar di ruang siber sebagai 'bukti' orang Islam di negara ini menjadi Kristian. Gambar tersebut yang tersebar di dalam blog sejak 2012 menunjukkan dia berada di kalangan satu kumpulan duduk di bangku kayu, kebanyakannya wanita yang memakai tudung. Dalam satu kenyataan menafikan dakwaan di blog tersebut, pegawai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Yu Ren Chung berkata gambar itu sebenarnya dirakamkan di dewan utama Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, dan bukan di sebuah gereja seperti yang didakwa oleh blog itu. Katanya, majlis itu dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari 2012 untuk membincangkan Dasar Keluarga Negara, dan dihadiri terutamanya oleh kakitangan awam dan juga sebilangan kecil wakil-wakil NGO. Bagaimanapun, blog di Malaysia dan Indonesia itu telah menggunakan gambar tersebut dengan mendakwa ia menunjukkan orang Islam baru sahaja dibaptiskan, dengan sesetengahnya menyalahkan DAP dan PAS berhubung isu itu. -mk ULASAN GB "Fitnah" sudah menjadi darah daging para macai UMNO. Tak serik-serik sekalipun Raja Fitnah mereka, papaomo namanya, telah dihukum beberapa kali oleh mahkamah. Pihak polis semacam sengaja membiarkan fitnah macai itu bermaharajalela, tetapi begitu effisyen apabila melibat anggota Pakatan Rakyat sepertimana kes video satira Teresa Kok. Akibat darinya, maka berlaku ketegangan di kalangan rakyat dengan hal-hal agama dan rasisma. Kerajaan UMNO BN persis merestuinya kerana ia memberikan "political mileage" terhadap partinya terutama apabila pihak media yang begitu berat sebelah sentiasa memaparkan kononnya pihak PR sentiasa sebagai pihak yang bersalah. Namun hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Yang memfitnah akan tetap menerima hukumannya sekalipun polis tidak bertindak ke atas mereka. Tunggu dan lihat! |
Kassim Ahmad Jatuh Sakit Sebelum Debat Bermula! Posted: 02 Mar 2014 05:28 AM PST KELAB GREENBOC Kulim: Pemikir dan penulis kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kegemparan dengan kemunculan semula mengkritik hadis di Seminar Pemikiran Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim sejak Rabu lalu kerana kesukaran bernafas. Rombongan media MySuara yang sepatutnya menemubual beliau secara eksklusif semalam di rumahnya dimaklumkan oleh isterinya, Sharifah Fawziah bahawa beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan dan ditahan wad. "Dia agak penat kerana selepas seminar tempoh hari, ramai orang datang ke rumah dan menerima banyak panggilan telefon. Anak kami mungkin akan membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," jelasnya sambil membawa kami meninjau bilik pejabat Dr Kassim di dalam rumah mereka.. Di bilik bacaan dan penulisan itulah Dr Kassim menghabiskan masa emasnya dalam usia 80 tahun untuk menghasilkan tiga karyanya iaitu Mencari Jalan Pulang, Islamic Renaissance dan Jalan Yang Lurus. Masing-masing diterbitkan ZI Publications, Brainbowpress dan Pekan Ilmu. Dr Kassim sebelum ini menyewa di Tanjung Bunga, Pulau Pinang sebelum berpindah ke rumah baru yang dibelikan anaknya Shauqi Kassim di Kulim pada 2006. MySuara kemudian menziarahi beliau di Hospital Kulim ketika waktu melawat sebelah petang. Dr Kassim kelihatan sedang berehat dengan dibekalkan tiub oksigen untuk membantu penafasannya. "Pagi tadi saya sudah pesan roti canai tetapi sampai lewat dan saya sudah minum pagi. Selera makan saya baik walaupun sudah tua. Nasinya sedap cuma lauk ikannya tidak berapa sangat," jelasnya yang sedang menikmati makan tengahari. "Saya boleh berdialog lagi 3 jam," seloroh Dr Kassim dalam suara perlahan, serak dan batuk ringan. Dalam pertemuan ringkas selama 30 minit itu, Dr Kassim sempat menerangkan pandangannya dan menjawab soalan-soalan tambahan dengan bersemangat. Penampilan Dr Kassim seperti pesakit lain menyebabkan kelibatnya di Hospital Kulim tidak disedari. Malah sepanjang temubual berlangsung beberapa orang doktor yang lalu lalang teruja apabila melihat buku Jalan Yang Lurus dan mengetahui pesakit mereka adalah penulis buku tersebut. -mysuara.net ULASAN GB Debat belum pun bermula, Kassim Ahmad dah jatuh sakit. Kita tidak tahu samada Kassim Ahmad sebelum yang dikatakan menolak hadith "mempelajari" apa yang menimpa ke atasnya. Sakit - kemudian kena berjumpa doktor. Kita tidak duduk di rumah dengan semata-mata berdoa. Kenapa kena pergi hospital dan bertemu doktor. Kerana dengan ilmu dan kepakaran yang ada doktor itu, penyakit boleh diubati sekalipun yang menyembuhkan tetap Allah swt jua. Ada hadith Nabi juga yang mefhumnya, jika kamu sakit bertemulah tabib (donktor). Bukankah Kassim Ahmad kini juga tanpa disedari terpaksa mengikut anjuran hadith berkenaan sekalipun beliau mengisytiharkan beliau anti-hadith? Begitu juga dalam hal agama. Memang Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan hidup manusia. Tetapi Al-Quran itu ialah garis panduan kasar yang kemudiannya diperincikan oleh Rasulullah saw melalui hadith-hadithnya. Sebagai contoh Al-Quran memerintah manuisa "aqimussolah" - dirikan solat - tetapi bagaimana rupa solat yang hendak didirikan? Iktidalnya bagaimana, rukuknya bagaimana, sujudnya bagaimana malah kiblatnya ke mana? Penjelasan dan perinciannya itu tiada di dalam Al-Quran. Itu sebab mengapa Rasulullah diturunkan sebagai contoh tauladan untuk manusia, bukan sahaja menunjukkan bagaimana untuk mendirikan solat tetapi juga penjelasan untuk bermacam hal dari aspek tauhid, ibadah, muamalat, munakahat, siyasah dan lain-lain. Begitulah hal-hal yang lain selain dari doktor, iaitu jika kereta anda rosak, pergilah cari foreman kereta, jika anda ingin menempah baju, carilah tukang jahit, jika anda kebingungan dalam hal agama, carilah ustaz/ulamak yang mahir - bukan mentafsir ikut kefahaman sendiri-sendiri. Maka tidak wajar untuk menyatakan ulamak sebagai kasta paderi. Jika hadith di tolak dan masing-masing hanya berpegang kepada Al-Quran semata-mata, seribu orang membaca Al-Quran maka akan wujud seribu pentafsiran... apakah akan jadi kepada umat Islam? Seribu kiblatlah jawapannya! Semuga "sakit" yang dialami itu membuka mata kumpulan anti-hadith ini. |
38 korban denggi antara Jan-Feb Posted: 02 Mar 2014 05:26 AM PST MALAYSIAKINIMenteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas. Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 18,047 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 4,250 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan peningkatan itu antara lain berpunca kurang kerjasama dalam memastikan kawasan bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Katanya, sikap menyerahkan tanggungjawab membersihkan sesuatu kawasan kepada pihak tertentu atau menyalahkan antara satu sama lain disebabkan peningkatan kes denggi, tidak akan menyelesaikan masalah itu. "Kita perlukan kerjasama dalam isu ini, buat semburan sahaja tak boleh selesaikan masalah ini. Semua pihak kena faham tanggungjawab masing-masing," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program gotong royong "Jom Hapus-Tempat Pembiakan Aedes" di Taman Desa Jenaris Kajang, di Kajang hari ini. Beliau berkata denggi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini, hanya dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dr Subramaniam juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan pemungutan sisa pepejal dilakukan mengikut jadual selain memastikan infrastruktur seperti longkang bersih dan tiada tempat takungan air yang membolehkan pembiakan nyamuk aedes berleluasa. Menurutnya, peningkatan wabak denggi dengan angka kematian tinggi turut mempunyai kaitan dengan perubahan serotaip dominan iaitu daripada serotaip virus den 4 kepada den 2. Jelasnya, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi yang dilaporkan kerana serotaip DEN-2 dikaitkan dengan manifestasi klinikal yang lebih teruk. Katanya sehingga bulan lalu, sebanyak 2,670 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku atau lebih dikenali COMBI telah diadakan di seluruh negara yang dianggotai 53,806 sukarelawan untuk mengurangkan wabak denggi. Konsep diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku manusia turut digunakan bagi mencegah dan mengawal denggi, katanya. Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata selain di Kajang, gotong royong membersihkan kawasan turut dilakukan serentak hari ini di sembilan lagi kawasan daripada 110 kawasan panas denggi di seluruh negara. Sembilan lokasi panas itu ialah Taman Meru Indah Klang; Taman Batu Gajah Perdana, Perak; Taman Seri Impian, Seberang Perai; Taman Desa Cempaka Fasa 2, Nilai; PPR Desa Rejang, Titiwangsa Kuala Lumpur; Taman Johor Jaya, Johor; Taman Desa Baru, Melaka; Taman Sempelang Sembulan, Kota Kinabalu dan Taman Tasik Indah (Jln Tasik Indah 1/7) Kuala Lumpur.- Bernama |
Tiada lagi tolak ansur pada suar Posted: 02 Mar 2014 05:24 AM PST MALAYSIAKINIPersatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang untuk meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan skuad kebangsaan dengan pasukan pelawat. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan. "Kita kena ingat soal keselamatan. Selama ini saya bertolak ansur kerana pembakaran suar, bom asap dan mercun tidak mengganggu perlawanan dan mengancam keselamatan. Tetapi apa yang berlaku semalam sudah lebih sangat dan perlu diambil tindakan tegas," katanya di George Town hari ini. Beliau diminta mengulas kekacauan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Selayang semalam dihentikan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung. Kedua-dua pasukan akhirnya seri tanpa jaringan. Khairy mahu PDRM mengemukakan laporan kepada FAM berkaitan punca kejadian tersebut. "Bagi saya kalau pembakaran suar dan bunga api sudah sampai tahap boleh ganggu perlawanan, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima dan sekiranya sudah sampai tahap ganggu perlawanan dan keselamatan ia adalah serius," katanya. Beliau melancarkan program berbasikal 'Wheel's For All' anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) menuju Universiti Songkla, Thailand. Ia disertai 30 pelajar USM dari 1 hingga 3 Mei depan.- Bernama |
CEC kekal keputusan Jawatankuasa Disiplin gugur keahlian Adun Pujut Posted: 02 Mar 2014 05:13 AM PST KUALA LUMPUR: DAP sentiasa tegas kepada mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan parti, tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang dipegang. Justeru, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin pada 17 November lalu, yang menggugurkan keahlian parti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Fong Pau Tek. Ia ditetapkan dalam satu mesyuarat pada 26 Februari lalu selepas mengambil kira pelbagai aspek. Fong dilucutkan keahlian kerana melanggar Fasal IV Perenggan 12 (a) yang antaranya menyatakan: "(Ahli yang menjadi Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Pihak Berkuasa Tempatan)…untuk mencarum kepada dana parti, sebahagian gaji atau elaun sebagai ahli pihak berkuasa tempatan, DUN atau Parlimen, di mana jumlah caruman hendaklah ditentukan daripada semasa ke semasa oleh CEC." Sebelum ini, bekas Adun Teratai, Janice Lee turut digugurkan keahliannya, kerana bertanding sebagai calon bebas pada PRU-13 selepas namanya digugurkan sebagai calon di kawasan berkenaan. -Roketkini.com |
“Sumbangan” terbesar UMNO – Oleh Ben Nizari Posted: 02 Mar 2014 05:08 AM PST Disebabkan itu saya terdorong untuk menulis mengenai kejayaan UMNO yang sering saja dilupakan oleh anak-anak Melayu terutamanya. Harap dapatlah membetulkan persepsi terhadap sumbangan UMNO-BN yang sering dilupakan. Namun sebelum saya pergi lebih jauh, saya optimis punca kepada gejala lupa ini datangnya daripada orang UMNO juga. Ingat lagi frasa 'Melayu mudah lupa'? Dikhabarkan frasa ini merupakan sejenis hipnosis atau subconscious technique yang digunakan seorang pemimpin tertinggi negara pada waktu itu bertujuan mahu melimitasikan daya ingatan dan fikiran anak-anak Malaysia terutamanya Melayu. Apabila frasa ini sering saja dilafazkan anak-anak Melayu itu sendiri maka hasilnya sangat memberangsangkan. Anak-anak Melayu memang benar-benar sedang lupa. Lupa yang bagaimana? Lupa bahawasanya Malaysia itu tidak dihuni oleh satu bangsa sahaja, yakni bangsa Melayu. Lupa bahawa kekayaan Malaysia bukannya untuk dimonopoli oleh orang tertentu sahaja. Dan lupa bahawasanya Malaysia ini sebenarnya hak milik kita bersama. Sumbangan Terbesar UMNO Hari ini, pemikiran sebahagian besar anak-anak Melayu seolah-olah mengalami fasa kegelapan. Yang ke hadapan menyuarakan pendapat dan menuntut hak sebagai rakyat itu hanya minoriti. Yang minoriti itu juga sibuk dan bertungkus lumus mencari pencerahan. Bahkan wujud keadaan yang memaksa minoriti bergelut melawan dan berhadapan dengan penindasan aparat. Misal paling mudah apabila baru-baru ini, seorang pencetak T-shirt diburu kerana T-shirtnya didakwa mengancam keselamatan negara. Sama juga halnya dengan seorang penulis novel yang kelima-lima novelnya diharamkan sekaligus, bukan satu, tapi lima. Anak-anak Melayu yang lain, sebenarnya mereka bukan hidup selesa sangat. Hakikatnya, mereka juga sering naik angin jika segala harga barang asyik naik, jika kerajaan tiba-tiba begitu cekap dan efektif berkempen mengenai pembayaran cukai, jika Pusat Zakat cukup lantang tentang hukum membayar zakat, jika intimidasi dan penindasan yang sering dilakukan rakan-rakan UMNO seperti NGO sembelih ayam tidak mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Jauh di sudut kalbu mereka marah. Namun apa yang mampu dilakukan anak-anak Melayu ini selain menconteng status beremosi di Facebook, Twitter dan sebagainya. Hendak keluar protes nanti dikata gila, hendak melawan nanti ditangkap pula, hendak bersama DAP nanti apa kata keluarga, saudara mara dan orang kampung. Ini merupakan realiti situasi yang wujud hampir di mana-mana sahaja, baik di bandar apatah lagi di luar bandar. Walaupun keterbukaan minda di dalam proses pemulihan demokrasi ini sedang berlangsung, ia sebenarnya berlangsung dengan pemfasaan yang perlahan. Jika ditanya kepada saya mengenai sumbangan terbesar UMNO terhadap pemikiran anak-anak Melayu, jawapan saya tentulah kejayaannya mengindoktrinasikan bahawa adalah satu dosa yang tidak terampun jika tidak mahu menyokong perjuangan UMNO. Alasannya, walau apa pun terjadi kita dilarang melupakan UMNO kerana hanya UMNO pejuang tulen, ikhlas dan suci. Malah dosa ini turut mempunyai tahap tertentu, di mana klimaks kepada dosa ini penganugerahan kalimah 'pengkhianat bangsa'. Perhatikan bagaimana sumbangan UMNO terhadap pembentukan pemikiran anak-anak baru Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, amanah dan cintakan negara, sememangnya tidak boleh ada ruang atau sebab untuk kita melupakan sumbangan UMNO yang begitu besar ini. Teruskan Mengenang Sumbangan UMNO Dengan ikhlas dan sepenuh rasa rendah diri, saya mahu mengajak kita semua untuk terus bersama-sama mengenang sumbangan UMNO terhadap pembentukan pemikiran kita sebagai anak-anak Malaysia. Jangan kita terus asyik menuduh UMNO sebagai merosakkan pemikiran anak bangsa, tanpa UMNO kita tidak akan mampu berfikir dengan lebih cerah dan matang. Tanpa UMNO barangkali kita masih duduk di dalam daerah kegelapan. Saya juga mahu mengajak anak-anak baru Malaysia agar jangan sekali-kali melupakan jasa UMNO. Taat dan wala' kepada pemerintah UMNO ini berkali-kali diulang sebut oleh pakar agama dalam UMNO. Bukankah terbukti daripada segi keamanan dan keselamatan kita adalah yang terbaik? Ini bukan retorik, kita yakin akan kebenaran ini melalui ketelusan laporan media arus perdana kita. Misalnya, kita tahu yang pihak berkuasa akan tembak sahaja anak muda yang tiada lesen memandu malah pihak berkuasa juga berhak memukul sampai mati tahanan di lokap jika enggan beri kerjasama, ini semua adalah jasa yang patut dikenang sampai bila-bila dan kita patut sentiasa bersyukur kerana sehingga hari ini Malaysia ternyata masih aman. Sekali lagi, siapa kita untuk menafikan sumbangan UMNO sebagai parti paling berpengalaman di dunia? Bersyukurlah, anak-anak Malaysia. Bersyukurlah Malaysia masih aman. Ben Nizari adalah Alumni Sekolah Demokrasi |
Posted: 02 Mar 2014 04:24 AM PST MALAYSIAKINIAnggota Parlimen PAS Mujahid Yusof Rawa mendapat sanjungan seorang paderi Katholik ekoran kenyataannya bahawa parti itu tidak boleh berdiam diri apabila orang Kristian di Malaysia terus dicerca. Biskop Katholik Paul Tan Chee Ing (kanan) berkata, kenyataan itu menunjukkan standard luar biasa bagi seorang ahli politik Malaysia, lebih-lebih lagi memandangkan beliau sendiri seorang Islam. Ketua gereja Katholik Melaka dan Johor itu berkata, siri menghentam golongan Kristian menjadi amalan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan oleh itu kenyataan Mujahid menggambarkan "detik bersejarah". Tan juga berkata, PAS sendiri menunjukkan perubahan besar daripada sebuah parti yang pemimpinnya pada suatu masa menganggap Kristian sebagai ancaman lebih besar berbanding komunis. |
Air percuma sekurang-kurangnya 5 tahun lagi Posted: 02 Mar 2014 04:21 AM PST MALAYSIAKINIMenteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan penduduk Selangor bakal memperolehi air percuma dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ekoran termeterainya perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan persekutuan, 26 Febuari lalu. Khalid juga mewar-warkan rakyat Selangor akan menerima aset air berbentuk saham. Katanya, apabila negeri maju rakyat mewah pendapatan negeri mesti dilimpahkan semula kepada rakyat. "Alhamdullillah air percuma 20 meter padu untuk setiap rumah yang ada meter akan diberi sekurang-kurangnya 3 tahun atau 5 tahun yang akan datang. "Dan kita berjanji apabila kita selesai melancarkan masalah air ini kita juga kan memperkenalkan satu konsep baru dalam pemilikan harta. "Kita akan memberikan aset air dalam bentuk saham kepada seluruh rakyat Selangor," katanya ketika berucap dalam perasmian Fiesta Sate Selangor di Stadium Kajang semalam. Khalid mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor, berkat doa kerajaan negeri berhasil memiliki hak menguruskan bekalan air sendiri. Justeru itu, melalui persefahaman itu krisis air dijanjikan tidak berlaku lagi. "Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana atas doa saudara-saudara, kita telah selesai menandatangani mengambil aset air untuk menjadi milikan negeri dan milikan rakyat Selangor. "Jadi kita tidak ada masalah air lagi," katanya. Sebelum ini dilaporkan, Khalid Ibrahim menandatangani MOU antara kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan, membolehkan kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air, yang akan menerima pampasan RM 9.65 bilion. Kerajaan persekutuan pula menyuntik dana berjumlah RM 2 bilion bagi membantu negeri ini menguruskan syarikat-syarikat berkenaan. Sebagai balasan, Selangor akan membenarkan kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji rawatan air Langat 2. |
Anugerah: NGO gesa PM pecat Zahid Hamidi Posted: 02 Mar 2014 04:15 AM PST MALAYSIAKINIPresiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Mohd Ali Baharom mahu Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengundurkan diri dari kabinet. Beliau turut mengatakan Zahid tidak menjaga maruah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan menyampaikan penghargaan kepada Malaysiakini. "Saya terkejut juga dengan pemberian anugerah menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) Zahid Hamidi kepada Malaysiakini. "Itu kami sedih dan rasa marah kepada menteri KDN yang tidak peka, tidak celik dan tidak bijak yang boleh dipanggil bodoh," kata beliau dalam sidang media di Hotel Midah hari ini. Ali berkata tidak patut seorang menteri kabinet seperti Zahid memberi penghargaan kepada Malaysiakini tidak sampai sehari selepas mengeluarkan berita berhubung kesibukan Rosmah yang tiada masa untuk hobi, anaranya bermain badminton. Ali (atas, berbaju kuning) hari ini ditemani gabungan 14 NGO lain di bawah payung Sekratariat Gabungan Sahabat 1Malaysia (SAHABAT). Malaysiakini mendapat hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu. Bagaimanapun anugerah bukanlah dari Zahid yang hanya hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah. Anugerah kepada Malaysiakini itu hasil undian awam (80 peratus) dan selebihnya penilaian juri. Ali yang lebih dikenali sebagai "Ali Tinju" juga mendakwa Zahid telah menunjukkan prestasi buruk sepanjang menerajui KDN sejak tahun lalu. Kerja separuh jalan Ali mendakwa Zahid hanya melakukan kerja setengah jalan termasuk dalam isu membabitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan isu kalimah Allah, kerana tiada pendakwaan dibuat ke atas Mohamad dan paderi Lawrence Andrews. "Saya ulang sekali lagi mohon jasa baik PM Datuk Seri Najib Razak supaya pecat Zahid Hamidi. "Beliau buat pelbagai masalah, buat kerja setengah jalan dan tak habiskan kerja beliau. Conotohnya isu Mat Sabu, Dia 'gempak' dalam dewan (perhimpunan agung) Umno tetapi tiada tindakan (susulan) Ali turut mempertikaikan kenyataan Zahid dalam isu video kontroversi anggota Parlimen DAP Teresa Kok yang disifatkan Ali sebagai 'membahayakan' negara. "(Dalam) isu Teresa Kok, dia katakan tampar orang tak salah. Ini yang bahaya ini. Harap PM bijak untuk buat penukaran," kata beliau. Sementara itu seorang pemimpin NGO AKS Ramesh Rao pula mendakwa Malaysiakini didanai oleh badan yang menyokong revolusi 'Arab Spring' di Timur Tengah dan sebahagian dari agenda zionis. Beliau turut mempertikai pemberian hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu. "Penerima dana zionis tidak layak jadi media portal terbaik. Banyak lagi portal baik di Malaysia ini," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan