Ahad, 9 Mac 2014

.

.


Sah, Dr Wan Azizah calon PKR di Kajang

Posted: 08 Mar 2014 10:48 PM PST


BARU SAKNI                                                                                      

Petang semalam saya menyusupkan catatan kemungkinan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Ismail akan dicalonkan sebagai calon pilihan raya kecil Kajang sebagai menggantikan Anwar Ibrahim yang ternafi haknya untuk bertanding selepas dijatuhi hukuman lima tahun penjara.

Catatan yang saya lepaskan petang semalam.
Catatan saya itu berdasarkan maklumat dalaman yang diperolehi semasa menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat petang semalam. Dan tengah hari ini ramalan itu menjadi kenyataan apabila Anwar Ibrahim mengumumkan isterinya itu sebagai calon di Kajang.

Pengumuman itu dikira tepat untuk memastikan PKR meraih kemenangan besar dalam pilihan raya berkenaan. Dr Wan Azizah dikira dapat menarik sokongan undi kaum wanita dan pengundi atas pagar yang bersimpati dengan nasib diterima oleh suaminya.

Sukar untuk diramalkan, apakah Dr Wan Azizah akan memenuhi pelan transisi sebagai MB Selangor seperti dirancangkan melalui Kajang Move?


Persoalan mengenai itu mungkin tidak wajar buat masa ini dan seluruh kepimpinan, ahli parti dan pendokong Pakatan Rakyat menumpukan kepada pilihan raya berkenaan. Jangan  pula ada budak-budak Pas yang mempertikaikan pemilihan Dr Wan Azizah ini.

Pilihan raya Kajang itu akan dianggap memberi signifiken besar kepada PKR sekiranya undi diraih Azizah nanti mencecah apa yang disasarkan, 10,000. Untuk merealisasikan ini semua peringkat dalam komponen Pakatan harus berkerja keras.

Bagaimana pun PKR khasnya dan Pakatan amnya tidak boleh merasa selesa dan berkeyakinan lebih dengan pencalonan Azizah itu serta dengan senario yang ada waktu ini kerana politik itu penuh dengan jerangkap sama dan orang-orang yang tidak boleh dipercayai. Pertemuan Wan Azizah dengan Chew Mei Fun dikira pertemuan kapas dengan kekabu. Hendaknya jangan ada calon-calon liar lain menganggu game di Kajang. [wm.kl.2:40 pm 09/03/14]

Pengertian daripada sebuah kecelakaan

Posted: 08 Mar 2014 06:57 PM PST

JALA SIMPATI                                                                                   

Sudah hampir 35 jam kehilangan dari radar pesawat B777-200 yang membawa 239 penumpang masih belum terjawab. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengesan dan mencari pesawat MH 370 berkenaan sedang bertungkus lumus untuk mendapat cerita di sebaliknya. Sudah pasti juga kepala para pemerintah diserabuti dengan pelbagai persoalan sebaik saja ia dimaklumkan secara rasmi. Mereka juga sudah pasti tidak nyenyak tidur kerana tragedi itu terpikul di atas pundak mereka.

Semua orang yang waras melahirkan rasa terkejut, simpati dengan kejadian. Ada yang menjadi 'angau' sendiri membuat berbagai spekulasi dan mengemukakan berbagai teori, mengira apa sebenarnya yang berlaku. Apakah kerana kerosakan teknikal atau pun ada elemen keganasan.

Pokoknya tragedi kedua yang menimpa pesawat syarikat penerbangan nasional negara (MAS) itu membingungkan. Kejadian seperti itu boleh dikatakan jarang sekali berlaku. Sesuatu kejadian (aircrash) tidak lama untuk diketahui lokasi dan tempat kejadiannya.


Kali pertama MAS menghadapi tragedi pesawatnya terhempas ialah pada 4 Disember 1977 di Tanjung Kupang Johor yang menyebabkan 100 orang penumpang terbunuh. Ia termasuk seorang menteri, Menteri Pertanian Ali Haji Ahmad.

Dalam kita menanti penuh debaran kepada pengakhiran apa sebenar terjadi dengan pesawat ini, kita hendaklah bersabar dan bertakwa kepada Allah. Serahkan sepenuhnya keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan. Sama-sama kita tunggu pengumuman dan perkembangannya yang dibuat dari masa ke sama.

Media sosial mungkin membantu memberi maklumat segera kepada kita. Tetapi jangan mudah percaya kerana di sebalik kesegeraan dan kepantasan maklumat itu banyak keciciran fakta dan tidak benarnya. Apa lagi kalau 'hantu-hantu gila' menjadi lebih aktif tangannya menaik di keyboard membuat lawak-lawak dan menyusupkan berita tidak benar. Kita sedia maklum keterujaan orang kita dengan media sosial ini yang membolehkan mereka jadi iseng dan tergamak memasukan apa sahaja termasuk kemaluan diri sendiri.

Titik komanya, semua kena reda dan pasrah dengan kejadian itu. Itulah kata-kata dan saranan terbaik pada masa ini. Reda atas kejadian itu dan kena terima tragedi itu adalah atas kehendak Allah s.w.t. yang ada hikmahnya. Hikmah boleh disunting dari berbagai sudut atau 'jerun'.

Kejadian itu adalah tragedi malang ke atas negara yang perlu ditanggung oleh semua orang. Ia sangat memerlukan simpati dan sokongan semua orang. Kita rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa harus menabur simpati selebat mungkin. Jangan mengira siapa dia terlibat, bangsa apa, negara mana atau orang negeri mana, tetapi terimalah mereka sebagai insan yang malang yang harusi diiktibari. Terima juga tragedi adalah bala yang diturunkan Allah untuk dijadikan iktibar sepanjang masa.

"Tidak bergerak sesuatu itu kalau bukan atas kehendak Allah."

Justeru kita perlu bersikap tasamuh, prihatin dan penuh diplomasi. Jangan emosi dengan apa yang berlaku jauh sekali mempersenda-sendakan mana-mana pihak. Kita semua kena bertanggungjawab. Dan cubalah meletakkan diri kita bersama di dalam pesawat yang malang itu?

Saya merasa sedih dan geram dengan individu tertentu yang tidak ada peri kemanusiaan dengan menulis yang bukan-bukan dalam facebook, memperolok-olokkan kejadian itu. Mereka seolah tidak mempunyai hati yang tersudut rasa simpati dan sedih. Misalnya salah seorang pemegang akaun facebook, cuba mengambil kesempatan atas kejadian itu untuk memburukkan seseorang dan menghina negeri kelahirannya. Sekuat mana dia mempunyai semangat kenegerian tetapi tidak akan sampai gila untuk membunuh diri sendiri. Bagi saya mereka yang tergamak menghina begitu adalah mereka yang dalam proses untuk berjumpa dengan psikiatri.

Masa kelukaan dan kesebakan ini, marilah berkabung, dan bergabung serta mengongsikan kesediaan. Jangan ada elemen-elemen politik dalam setiap status atau pun perbicaraan kita mengenai kemalangan itu. Rahmat disebalik sesuatu kecelakaan dan kesedihan adalah celah dan ruang terbaik untuk kita menenangkan keadaan dan menjernih sengketa jiwa. Masa susahlah untuk kita bersatu dan menyedari mahalnya sebuah perasaan simpati dan doa.

Janganlah kita menjadi bahlul dan tolol dengan keadaan yang ada. Kita cubalah mengislahkan diri dan perwatakan kita yang selama ini senantiasa curiga kepada pihak-pihak tertentu. Terimalah kejadian menimpa MH370 itu sebagai masalah kita dan musbiah bersama, sebagai bala yang ditujukan Allah kepada kita, dengan meletakan rasa ia adalah bagi menginsafkan kita.

Bukan sahaja kita sebagai rakyat dan sengketa kerana fahaman dan idelogi politik, sebaliknya mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan syarikat penerbangan nasional itu. Apa-apa pun ternyata tragedi yang menimpa MAS itu yang mungkin merangkut 239 penumpang adalah lebih besar dan tertekan daripada kerugian yang dialami oleh syarikat itu sejak ke belakangan ini, buat waktu ini.
[wm.kl.10:10 am 09/03/14]

Penjara Anwar melingkupan Umno

Posted: 08 Mar 2014 05:51 PM PST

LAPORAN LEWAT                                                                           

Keputusan Mahkamah Rayuan mesabitkan lima tahun penjara ke atas Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat bukan saja menyekat peluang Ketua Umum PKR itu untuk bertanding dalam pilihan raya Kajang 23 Mac ini, tetapi ia juga memberi kesan negatif dan risiko kepada Umno dan BN.

Seorang pegawai bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, berkata rakyat akan makin membenci dan meluat kepada Umno dengan apa yang berlaku kerana mereka melihat tektik politik Umno memenjarakan Anwar itu sebagai mengulangi perkara sama yang menjijikkan.

Katanya rakyat tidak memahami proses mahkamah, prosuder perbicaraan dan sebagainya, tetapi apa yang diterima Anwar itu dianggap satu kezaliman yang sukar untuk diterima.

"Sebab itu bagi saya, rakyat akan makin membenci Umno. Rakyat akan melihat Umno menggunakan tektik buruk dan jahat untuk mempertahankan kuasa," jelasnya. Tambah pegawai itu lagi, dalam keadaan orang ramai celik politik dan dapat menghidu bau bom dan mortar dan cocktail Umno, rakyat dapat membaca hujung jatuh motif kes berkenaan.

"Saya bukan penyokong Anwar tetapi saya mengkagumi perjuangannya. Sepatutnya permainan politik kita tidak mencampur aduk di antara masalah peribadi dengan kepimpinan. Apa yang kita kena nilai ialah idealisme perjuangan seseorang itu apakah logik dan membawa kebaikan kepada rakyat atau tidak," katanya.

Katanya, sama ada Anwar bersalah, meliwat atau tidak, hanya dia dan Tuhan saja yang tahu dan ia tidak perlu dihakimkan menerusi mahkamah politik. Baginya kata pegawai itu sikap mengeksploitasikan sesuatu kaedaan yang jijik untuk mencari keuntungan politik ia adalah perbuatan yang huduh.

"Mahkamah politik sangat kotor dan penuh degan kesadisan," katanya. Bekas pegawai ini merupakan tokoh Umno di sebuah bahagian, kurang senang dengan penyelesaian sesuatu isu menerusi mahkamah yang dilihat ianya dibuat secara terdesak.

"Umno atau Najib dan Muhyiddin perlu berani dan gentleman berdepan dengan rakyat. Berpolitiklah secara berani dan tidak menyalahgunakan instrument kerajaan yang ada," katanya lagi.

Beliau juga mempertikaikan kalau pemimpin Umno hendak mengambil kira keperibadian pemimpin Malaysia yang ada untuk dijadikan modal kepentingan diri, ramai pemimpin Umno yang mempunyai moral lebih buruk daripada apa dituduhkan terhadap Anwar. Memang, bahkan sesetengah kerat pemimpin yang ada hari ini kebusukan mengenainya bukan saja dihindari manusia tetapi ia juga turut dihidari oleh kerbau dan babi. Kenapa tidak mereka bukan sahaja memberi gambaran buruk dengan perbuatannya tetapi turut menyapu dan menyamun harta rakyat.

"Kita tahu bahkan Najib sendiri tahu sejauh mana keputihan dan kebersihan moral politik para meterinya?" Soalnya lagi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Anwar satu penganiyaan berterusan dan ianya terkeluar dari lunas-lunas agama dan adat budaya.

"Bagi saya apa yang dilakukan ke atas Anwar satu penganiyaan, dan terkeluar dari landas-landas politik sebenar," ujarnya lagi.

Untuk menyelamatkan keadaan sarannya, Najib harus melakukan sesuatu terhadap Anwar bukan saja untuk tidak menganiaya Ketua Pembangkang itu, tetapi juga demi masa depan Umno. Sekiranya Najib pengecut untuk berbuat sesuatu nescaya Umno dan beliau sendiri akan lingkup dalam pilihan raya umum akan datang. 

Menurutnya 'sesuatu' yang dimaksdukan itu ialah memulihkan keburukan yang dilakukan ke atas Anwar yang memberi kesan buruk kepada Umno itu, dengan memohon pengampunan terhadap Anwar apabila beliau dipenjara kelak.  "Saya percaya kalau Najib sedia dan berani mengambil langkah ini beliau akan dilihat sebagai pemimpin bermaruh dan samping itu juga Najib dapat mengawal tekanan ke atasnya," tegasnya.

Beliau juga memberi peringatan Najib atau Muhyiddin Yassin dan orang Umno jangan  merasa sedap dengan apa yang dilakukan ke atas Anwar. "Orang Umno boleh bersorak, tetapi rakyat belum tentu lagi," katanya. Beliau yang kini sudah bersara dari aktif dalam Umno menjangka pilihan raya kecil Kajang nanti, calon PKR, letaklah siapa saja akan menang besar kerana rakyat Kajang sama sekali tidak dapat menerima tindakan ke atas Anwar.

Dalam pada itu pegawai itu juga juga bekas wartawan memberi ingatan kepada Najib, agar mengenal siapa sebenar musuhnya. "Bagi saya musuh Najib bukan Anwar tetapi orang didalam Umno sendiri. Orang ini hendaklah dikenali kerana dia jugalah yang menjadi musuh dan menyusahkan pentadbiran Abdullah Badawi dahulu,".

Memahami apa dimaksudkan bekas pegawai itu, individu yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan dia adalah Dr Mahathir Mohamad. [wm.kl.9:50 am 09/03/14]

Tiada ulasan: