Selasa, 18 Februari 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Majlis Fatwa berani tegur Tony Pua, tapi tak berani tegur Nazri

Posted: 18 Feb 2014 10:26 PM PST

PETALING JAYA: Bekas calon Ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail mempersoal tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berani membidas Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua tetapi tidak berani membidas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang mempertikaikan keputusan majlis itu melarang umat Islam menyambut Hari Kekasih.
Katanya, tindakan double standard pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin menunjukkan bahawa Majlis Fatwa bersikap pilih kasih.
"Bagaimana orang bukan Islam nak hormati Majlis Fatwa kalau majlis itu hanya berani menegur orang bukan Islam sedangkan orang Islam yang membuat kenyataan yang sama terlepas," katanya kepada FMT.
Dalam akhbar harian hari ini, Dr Shukor menggesa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu supaya tidak menyerlahkan kejahilannya dalam isu berkaitan agama Islam.
Katanya, fatwa berkaitan Hari Kekasih adalah berdasarkan sudut Islam yang hanya terpakai kepada umat Islam sahaja justeru, tindakan Tony itu dilihat seolah-olah cuba memperlekeh fatwa berkenaan.
"Tindakan ini tidak kena dan dia (Tony) tidak memikirkan sensitiviti umat Islam. Ini adalah negara majmuk dan dia tidak boleh berbuat demikian kerana tidak tahu kesan terhadapnya kelak.
"Kalau tidak melibatkan dirinya, janganlah bising sebab semua ini adalah dari sudut agama Islam," kata Dr Shukor ketika dihubungi di sini hari ini.
Tony melalui laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini memuat naik satu kenyataan ketika berada di London bersama isterinya.
Kenyataan itu didakwa menyentuh larangan pihak berkuasa agama Islam di negara ini yang mengisytiharkan sambutan Hari Kekasih sebagai haram.
Mengulas lanjut, Abdul Shukor menegaskan, sebagai pemimpin bertaraf wakil rakyat, Tony sepatutnya mempunyai kesedaran sivik, saling menghormati dan bertanggungjawab terhadap segala kenyataannya.
"Saya fikir semua rakyat terutama yang berada di bandar mengetahui berhubung sensitiviti ini. Saya percaya umat Islam tidak akan sampai ke tahap itu untuk membuat provokasi agama," tegasnya.
Syed Rosli hairan kenapa Pengerusi Majlis itu tidak berani menegur Nazri.
"Adakah takut jawatannya terlucut?" soal beliau.
Nazri sebelum ini mempersoalkan mengapa orang Islam tidak dibenarkan meraikan Valentine's Day, selain berpandangan sambutan itu bukan sebagai satu bentuk sembahyang.
Nazri turut mengecam PAS atas tindakan parti itu melancarkan kempen menentang Valentine's Day dan menyifatkannya sebagai 'mengarut'.
Nazri dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melancarkan penguatkuasaan pencegahan secara besar-besaran di seluruh negara pada malam 14 Feb lalu.
Pada 22 hingga 24 Nov 2005, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day.
Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Putrajaya hanyut, dorong menteri cari jalan keluar

Posted: 18 Feb 2014 07:45 PM PST



Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman parti.
Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan Pacific Rim.
"Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat keluar daripada kerajaan Najib," kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang berkelayakan," katanya.
Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang konsesi tol sebagai ganti rugi.
Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan  menteri dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun lalu.
Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu lalu.
"Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.
"Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat. Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang," katanya.
Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.
Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.
Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri, terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata potong subsidi.
"Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan kadang-kadang, nampak tidak peduli.
"Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan Putrajaya terus berkuasa," kata seorang ahli Umno. – 19 Februari, 2014.- TMI

Sarang Seks Siber Kanak2

Posted: 18 Feb 2014 05:06 AM PST

Rasanya tidak salah untuk ibu bapa bersikap sedikit cerewet apabila memilih pusat jagaan harian. Selepas beberapa laporan kematian bayi tersedak susu, ada pula ibu yang membuat intipan cara moden dan terkejut apabila mendapati pengasuh memukul anak mereka.
Itu mungkin kes terpencil, tetapi tidak salah untuk kita lebih berhati-hati. Kita tidak mahu anak kecil ini 'diperdagangkan' secara sulit seperti yang berlaku di sebuah kampung pedalaman di Filipina. 
Ketika kanak-kanak kecil di sebuah pusat jagaan harian leka bermain, tiga kanak-kanak di rumah sebelah dipaksa menjadi pelakon untuk melakukan aksi seks yang ditayangkan secara langsung melalui Internet dan dapat disaksikan di seluruh dunia.


Aksi menjijikkan yang berlaku di rumah banglo itu turut diulang berkali-kali secara rahsia di kebanyakan rumah di Ibabao, kampung terpencil di Pulau Cebu di mana pornografi Internet kanak-kanak sudah memasuki 5,000 rumah penduduk dan dianggap aktiviti lebih menguntungkan berbanding menangkap ikan atau bekerja di kilang.
Foto
KANAK-KANAK daripada keluarga miskin sering jadi mangsa penderaan seks siber.

"Pada mulanya saya amat terkejut, tidak percaya perkara ini berlaku di bandar saya," kata Datuk Bandar, Adelino Sitoy, sejurus selepas polis mengumumkan mereka berjaya menjejaki rantaian pedofilia (keinginan melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak atau ada kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak) yang ditayangkan secara langsung. Paling mengejutkan, Ibabao menjadi penyumbang atau sumber pornografi kanak-kanak.

Ketika kampung terpencil itu mendapat perhatian, pihak berkuasa dan badan yang memperjuangkan hak kanak-kanak berkata, industri lucah itu berjangkit dan merebak dengan pantas di kebanyakan kawasan di Filipina khususnya membabitkan keluarga miskin apabila ribuan kanak-kanak sudah menjadi mangsa penderaan seksual.

Sekali imbas, Ibabao adalah kampung nelayan yang terletak 550 kilometer di selatan Manila. Penduduknya amat akrab kerana kebanyakannya ada pertalian persaudaraan atau mempunyai hubungan baik sejak dulu lagi dengan jiran. Mereka juga dilihat sering ke gereja.

Namun polis dan pihak berkuasa berkata, di dalam rumah separa kayu yang kecil, ramai ibu bapa mengarahkan anak mereka melakukan aksi seks di depan kamera web yang disambungkan ke Internet dan dijual kepada kaki pedofilia luar negara. Ada juga kanak-kanak yang diperdaya masuk ke rumah jiran dan akhirnya dipaksa melakukan aksi lucah itu, kata mereka.

Sitoy berkata, ada banyak faktor yang membuatkan perdagangan seks secara dalam talian itu berkembang dengan pesat antaranya kanak-kanak dikurung secara rahsia di rumah, kedudukan Ibabao yang terpencil dan sikap tidak peduli ketua kampung, apatah lagi jika mereka mempunyai saudara-mara yang terbabit dalam jenayah berkenaan.

Pemburuan besar-besaran hanya dilakukan apabila sesetengah daripada rakaman video itu sampai ke rumah warga Britain yang sememangnya terkenal sebagai kaki pedofilia. Pada Mac lalu, lelaki ini dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun.

Sejurus selepas itu, polis Filipina mengadakan serbuan di Ibabao dan kawasan berhampiran dengan bantuan pihak berkuasa Britain, Australia dan Amerika Syarikat. Dalam satu serbuan pada September tahun lalu, polis dan pekerja sosial memasuki rumah banglo di sebelah pusat jagaan harian berkenaan dan menahan sepasang suami isteri serta menyelamatkan tiga anak mereka yang berumur tiga, sembilan dan 11 tahun. Dua hari kemudian, 13 lagi kanak-kanak diselamatkan daripada beberapa rumah lain.

Penduduk Ibabao kini amat curiga dengan kemasukan orang luar, tetapi ada yang bersetuju untuk membuka mulut dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.

Mereka memberitahu 'sarang seks siber' masih terus beroperasi di kampung itu, tetapi tiada penduduk yang melaporkannya atas faktor keselamatan. Selain itu, budaya penduduk Filipina yang tidak suka menjaga tepi kain orang turut membantu jenayah itu terus dilakukan.

Seorang suri rumah, Jennifer Canete, 38, yang bersedia bercakap mengenai jenayah itu secara terbuka mengesahkan ramai penduduk yang terbabit dan dia bimbangkan keselamatan empat anaknya yang masih kecil, takut mereka juga menjadi mangsa. Ini kerana dia menghantar salah seorang anaknya di pusat jagaan bersebelahan banglo sarang seks siber itu.

"Kami berasa amat marah apabila mengetahui perkara ini. Macam mana mereka boleh lakukan jenayah di sebelah pusat jagaan harian? Kini kami mula bimbang, kami tidak tahu apa akan jadi pada anak-anak kami apabila mereka pergi ke sekolah kerana di sini ramai orang yang terbabit dalam jenayah ini," katanya.

Pihak berkuasa juga tidak pasti bila perdagangan seks kanak-kanak itu memasuki Ibabao. Namun menurut pekerja sosial, seorang wanita Filipina yang dipercayai menganggotai kumpulan penjenayah datang ke kampung berkenaan beberapa tahun lalu dan memperkenalkan skim cepat kaya kepada penduduk di situ.

Wanita itu juga mengajar penduduk cara mencari pelanggan daripada laman sembang pornografi dan menerima bayaran melalui pemindahan wang antarabangsa, kata salah seorang pekerja sosial yang meminta identitinya dirahsiakan demi keselamatannya.

Sesetengah operator memujuk kawan anak mereka untuk datang ke rumah dan menjadikan kanak-kanak ini sebagai mangsa. Mangsa diugut supaya menutup mulut jika tidak mahu ibu bapa mereka dicederakan.

Seorang ibu berkata, jirannya pernah mengajaknya untuk turut serta dalam jenayah berkenaan dan menawarkan RM320 untuk satu sesi - jumlah yang amat lumayan bagi penduduk yang kebanyakannya mempunyai pendapatan kira-kira RM22 sehari. Jirannya memujuk dengan mengatakan mereka tidak perlu mengadakan sebarang sentuhan fizikal.

"Saya berasa amat marah. Sejak dulu kami diajar untuk melindungi dan me-nyayangi anak kami. Kami memang bukan orang kaya, tetapi kami juga bukanlah terlalu miskin atau terdesak. Ini perbuatan terkutuk," katanya.

Bagaimanapun, seperti penduduk lain yang bimbangkan keselamatan mereka, dia juga tidak membuat laporan polis. Namun dia cuba sedaya upaya menjauhkan diri daripada mereka yang diketahui terbabit dalam jenayah itu bagi mengelakkan sebarang masalah.

Ketika mengumumkan kehancuran rangkaian pedofilia, Agensi Jenayah Nasional Britain berkata, 11 orang sudah ditangkap di Filipina pada pertengahan Januari lalu dan 18 lagi tangkapan dibuat di negara lain di seluruh dunia manakala 733 suspek masih ditahan untuk siasatan.

Andrey Sawchenko, Ketua Misi Keamanan Filipina (IJM) yang membantu dalam penangkapan berkenaan berkata, 39 kanak-kanak diselamatkan di Ibabao dan kawasan lain di negara itu.

Tetapi dia percaya, masalah sebenar jauh lebih besar dan serius. Masih ramai penjenayah yang bebas dan aktif menjalankan perdagangan seks siber membabitkan kanak-kanak. Agensi Jenayah Nasional Britain juga menyifatkan penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian itu sebagai 'ancaman yang semakin membimbangkan.'

Dalam satu kenyataannya berbunyi: kedaifan hidup, kewujudan perkhidmatan Internet yang semakin pantas dan adanya pelanggan kaya dari luar negara mendorong kumpulan penjenayah mengeksploitasi kanak-kanak demi mengaut keuntungan.

Kumpulan pejuang hak kanak-kanak Belanda, Terre des Hommes menganggarkan di Filipina saja 'berpuluh-puluh ribu' kanak-kanak dianiaya dalam industri seks siber ini. Tahun lalu kumpulan ini mencipta kanak-kanak perempuan warga Filipina berumur 10 tahun secara maya dan dia 'dihantar' ke laman sembang bagi menarik minat kaki pedofilia.

Dalam tempoh 10 minggu, 20,000 orang daripada 71 negara cuba berkenalan dengan gadis maya ini dan memintanya melakukan aksi atau persembahan seks. Maklumat kaki pedofilia itu dikumpulkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mungkin jenayah seperti ini tidak berlaku di negara kita, tetapi tidak rugi jika ibu bapa meluangkan lebih masa dan memantau pergerakan anak-anak kita demi keselamatan mereka. - myMetro

Surat terbuka kepada Dr Kassim Ahmad

Posted: 18 Feb 2014 03:01 AM PST


Saya menulis surat ini kepada Tuan doktor selepas saya membaca beberapa petikan daripada kenyataan Tuan di akhbar dan media internet. Entah mimpi apa tiba-tiba Tuan kembali bersuara setelah sekian lama bagai diam bertapa.
Rasanya sudah lama Tuan tidak bersuara. Kali terakhir kita bertemu kira-kira enam tahun lalu di Permatang Pauh.
Sewaktu Tuan duduk bersendirian, saya memberanikan diri untuk berteman bicara dengan tuan. Tidak mengapa jika Tuan tidak mengingati saya. Itu tidak penting.
Yang penting waktu itu, Tuan menyebut bahawa tuan tidak menolak hadis kecuali hadis palsu. Sayapun setuju. Tuan juga menyebut bahawa Tuan tidak anti hadis.
Bahkan Tuan menyebutkan bahawa perlunya al-Quran dijadikan rujukan. Itupun tiadalah siapa yang ingin menyangkalnya.
Di penghujung bicara kita waktu itu, Tuan sangat menghargai kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Akupun teruja mendengarnya. 
Walaupun dalam masa yang sama Tuan juga menghargai kepimpinan Dr Mahathir Muhamad.
Tuan berasa cukup jelek dengan politik Umno. Waktu itu. Saya hanya mencatatkan semua itu dalam kertas otak saya.
Betapa saya sangat menghargai keintelektualan Tuan dalam bidang kesusasteraan dan politik tidaklah saya berani pada bidang keagamaan khususnya yang melibatkan persoalan aqidah dan syariah.
Meski kita mempunyai jalur yang sama dalam sastera namun persoalan agama yang Tuan nyatakan adalah suatu yang sukar dan saya memilih tidak bersama Tuan.
Saat orang Melayu mendewa-dewakan Hang Tuah bagai wira mereka, tiba-tiba Tuan dengan berani menongkah arus dan menukilkan bahawa lelaki tampan itu sebenarnya pengkhianat dan tidak layak dianggap sebagai wira.
Wira yang menegakkan keadilan adalah Hang Jebat yang beratus tahun mati sebagai penderhaka. Mati penuh kehinaan.
Hidup Tuan penuh pemberontakan seperti hidupnya Hang Jebat. Malangnya Tuan lupa akan adab susila orang Melayu yang penuh berbudi. Melayu tidak akan hidup dengan nafas revolusi Bolshevik atau amuk Jebat derhaka. Melayu ada caranya yang tersendiri.
Saya bukanlah ulama yang boleh mengatur ayat al Quran dan hadis (yang tentunya yang shahih) untuk menentang hujah Tuan. Saya hanya orang Melayu yang ingin hidup pada lingkungan Islam yang indah dan harmoni.
Jika kelompok ulama seperti kasta paderi, tentu kelompok pemikir seperti Tuan berkeinginan membina kasta tersendiri yang belum tahu apa istilahnya.
Bukan semua ulama akan menjurus kepada kebaikan. Sebab itu Imam Ghazali membahagikan ulama kepada dua; ulama baik dan ulama jahat. Sewaktu dulupun, Tuan pernah menjadi pejuang kelas bawahan.
Tetapi tidak wajar untuk Tuan menghukum kelas bourjuis semua sebagai "mustakbirin" dan kelas proletariat sebagai "mustaafin". Kejahatan itu bukan terletak pada kelas atau ilmunya. Memang ada ulama tinggi ilmunya tetapi hidungnya panjang seperti Pinocchio atau "musang berjanggut" dalam filem P. Ramlee.
Bagaimanapun, menganggap ulama sebagai suatu kelompok elit dalam agama merupakan kekeliruan yang nyata.
Tuan akan menjadi menjadi fokus nasional. Nama Tuan semakin kerap dalam media massa hingga memungkinkan orang kita lupa tentang kenaikan harga barangan, ketegangan antara agama dan kaum dan timbunan permasalahan nasional, rasuah, hutang negara yang membimbangkan, ketirisan dan kegagalan kerajaan memerintah.
Orang Melayu akan mengamuk semacam Jebat bila agama dan bangsa mereka dilihat dihina. Barangkali elok saya peringatkan kembali puisi Usman Awang, "maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan".
Pada umumnya,kenyataan Tuan itu satu penghinaan. Kebijaksanaan orang Melayu akan tenggelam. Orang Melayu akan turun berdemonstrasi, mengecam dan menghukum Tuan hingga stamina orang Melayu lemah untuk menentang syaitan besar yang sedang bertakhta menyusun skrip buat sandiwara yang tidak berkesudahan.
Kerana itu, saya mencadangkan pada rakan-rakan saya yang marah pada Tuan; jalan yang paling mulia menentang Dr Kasim Ahmad, jangan dirampas saxophone dari mulutnya tapi bawalah tali gambus keramat kalian!
Harap Tuan memahaminya dan kembali ke pangkuan jalan al Rahman. Amin. – 18 Februari, 2014.

Erra Fazira & Engku Emran Cerai Talak Satu

Posted: 17 Feb 2014 11:20 PM PST


Erran dan Emran akhirnya bercerai talak satu.
SHAH ALAM: Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa.
Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.
Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi.
Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida.
Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.
Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian.
Hasil perkahwinan pertama itu mereka tidak mempunyai cahaya mata. - 18/2/14 mStar

NURUL IZZAH  &  RAJA AHMAD

KUALA LUMPUR: Tarikh sebutan kes perceraian yang melibatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang difailkan terhadap suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar ditetapkan pada 11 Mac ini.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Syariah Ab Malek Awang selepas bertemu peguam itu di ruang Mahkamah Syariah Rendah, Jalan Sri Hartamas Selasa.
Peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah memberitahu pemberita bahawa mereka sedang membincangkan perkara itu dengan harapan untuk menyelesaikannya secara baik, tetapi prosiding perceraian bersama masih berterusan di bawah Seksyen 47 Akta 1984 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) .
Suami Nurul, Raja Ahmad Shahrir Iskandar tiba sendirian pada 10.30 pagi.
Nurul Izzah, 33, memohon untuk bercerai dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar,35, dalam petisyen yang difailkan pada bulan Disember.
Rendah Syariah Mahkamah di Jalan Sri Hartamas telah mengesahkan bahawa Nurul Izzah, anak perempuan sulung kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan petisyen di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Kes tersebut 14001-055-0023-2014, pertama kali disebut di hadapan Hakim Syarie Ab Malek Awang pada 21 Jan.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003, dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan anak lelaki berusia lima tahun.
Laporan awal berkata keluarga pasangan itu telah memujuk mereka untuk berdamai.
Pada tarikh tersebut merupakan hari penamaan calon bagi Kajang pilihan raya kecil di mana bapanya bertanding di situ.- mtar 18/2/14

Tiada ulasan: