Rabu, 19 Februari 2014

edyesdotcom

edyesdotcom


Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi

Posted: 19 Feb 2014 01:09 AM PST

Kenyataan Media
19 Februari 2014

Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi

Satu perkembangan yang pelik telah berlaku di sekitar Kajang apabila pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini.

Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA.

Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal? 

SAMM tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan.

SAMM turut menggesa supaya SPR meminimakan ruang-ruang manipulasi antaranya dalam soal jumlah pengundi awal yang begitu ramai. 

Menjadi persoalan, mengapa SPR menggunakan petugas dari pengundi DUN Kajang? Mengapa tidak SPR memanggil petugas dari sekitar Bangi, Semenyih dan Cheras untuk menjadi petugas pilihanraya? 

Jika SPR memanggil pengundi Kajang sebagai petugas maka ia membuka ruang manipulasi dengan peningkatan besar jumlah pengundi awal. Ini sepatutnya boleh dielakkan.

Sebagai sebuah badan yang tercalar teruk menafikan demokrasi dalam PRU lalu, SPR harusnya terarah untuk menjadi lebih bersih bagi mengembalikan keyakinan orang ramai. Namun pemerhatian SAMM setakat ini, SPR tetap tidak berubah dan tidak punya usaha yang nyata untuk perbaiki kelemahan. SPR terus diperkudakan pemerintah.

Sebelum ini SAMM telah mendesak pihak SPR memperinci anggaran perbelanjaan RM1.6 juta untuk PRK Kajang yang disifatkan agak tinggi. Ia ekoran operasi SPR yang kerap menggunakan orang tengah dalam pelbagai urusan secara tidak langsung berlaku ketirisan dan pembaziran.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada orang ramai dan semua aktivis demokrasi agar turun ke Kajang untuk memastikan pilihanraya kecil kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Harus diingat, Inilah 'turning point' bagi pihak Barisan Nasional maka tidak mustahil penipuan terbesar dalam sejarah bakal berlaku di Kajang.

Sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Jangan Tunduk Kepada Helah Perkauman

Posted: 18 Feb 2014 07:41 PM PST


Kenyataan Media
19 Februari 2014

Jangan Tunduk Kepada Helah Perkauman

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk perbuatan melempar bangkai ayam dan menabur cat merah di pejabat Teresa Kok. Perbuatan ini merujuk kepada politik perkauman melampau BN dan ia berlaku selepas cubaan sebelumnya tidak mendapat sambutan.

SAMM percaya tindakan ini juga adalah satu usaha menakut-nakutkan pihak YB Teresa Kok dengan harapan ada permohonan maaf akan dibuat. 

SAMM menegaskan bahawa Teresa tidak harus tunduk kepada tekanan ini kerana rakyat yang celik perpaduan tetap menjaga keharmonian negara. Hanya segelintir yang 'sakit' sahaja tergamak ingin melihat rusuhan antara kaum berlaku.

SAMM menggesa pihak berkemahiran supaya menyiarkan semula video yang diterbit Teresa Kok dengan sarikata berbahasa melayu, agar semua pihak memahami satira politik yang ditonjolkan tiada unsur penghinaan terhadap agama dan bangsa lain khususnya islam dan melayu. 

Apa salahnya kelemahan pemerintah itu ditonjolkan dalam bentuk satira selagi pihak kerajaan masih sombong dan bongkak tidak akui kelemahan diri?

Ia sinonim dengan aksi demo kangkung yang memperlihat kelemahan seorang Perdana Menteri, langsung tiada kaitan dengan penghinaan agama dan bangsa tetapi respon dari penyokong Umno berdemo dengan parang dan hasutan yang jelas, merupakan antara cubaan menimbul kebencian kaum.

Ternyata Umno terlalu lemah lantas mencari jalan perbalahan kaum maka apabila berlaku perbalahan apakah kononnya melayu akan bersatu? Ini satu dongeng dahulu kala, perpaduan yang diterap dengan baik oleh Pakatan Rakyat telah menjadikan rakyat tidak terpedaya dengan helah perkauman sepertimana YB Teresa Kok cuba dijadikan 'kambing hitam'.

SAMM seru semua rakyat bertenang dan SAMM yakin rakyat jauh lebih matang menilai permainan sentimen perkauman oleh pihak jahat.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: