DIALOG RAKYAT |
- Tampar RM500: Islam tidak ajar cara begitu
- Ingat kepincangan Umno negeri sebelum dedah kelemahan Anwar
- Kafe Perpustakaan Negara disamun
- Konsensus nasional untuk selamatkan Najib?
- Hospital Likas Beroperasi Seperti Biasa, Wad Pesakit H1N1 Dikuarantin
- PRK Kajang: MCA Buat Tinjauan Menyeluruh Sebelum Putuskan Calon
- Sepahtu Juara Maharaja Lawak Mega 2013
Tampar RM500: Islam tidak ajar cara begitu Posted: 07 Feb 2014 04:17 PM PST KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengutuk tindakan sekumpulan NGO Islam yang menawarkan sejumlah wang kepada orang ramai yang menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, tawaran tersebut sangat membahayakan kerana satu cara menggalakkan orang ramai melakukan jenayah selain memburukkan imej NGO Islam. "Saya anggap ini suatu tindakan yang memalukan kerana dilakukan oleh NGO Islam dan Islam tidak mengajar orang dengan cara begitu. "Bila mereka tawar nak bagi RM500 kemudian tambah jadi RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Teresa, bayangkan kalau aksi itu dibuat kerana nak dapat duit, itu akan mengundang bahaya dan satu jenayah," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini. Semalam, Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia menaikkan tawaran daripada RM 500 kepada RM1,200 kepada orang ramai yang menampar Teresa ekoran kontroversi video bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014' sempena sambutan Tahun Baru Cina. Suhaizan turut mengecam tindakan mereka menyembelih ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin DAP dan PKR. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan tidak berfaedah. "Apa yang mereka dapat bila lumur darah ayam pada kain rentang pimpinan Pakatan? Apa yang mereka dapat? "Apakah tak ada cara lain untuk menegur pemimpin kalau pemimpin itu barangkali melakukan perkara tak baik? "Kalau lumur dengan darah ayam apa yang dia dapat selain menimbulkan kemarahan?" soalnya. Sementara itu, Exco Pemuda PAS Malaysia, Abang Ahmad Kerdee berkata, individu yang membuat tawaran itu boleh didakwa di bawah Seksyen 507 kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. "Kalau ada laporan polis, orang yang buat tawaran itu boleh didakwa di bawah Seksyen 507 kerana melakukan ugutan janayah kepada orang lain," katanya yang juga Pengarah Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Malaysia. | ||||
Ingat kepincangan Umno negeri sebelum dedah kelemahan Anwar Posted: 07 Feb 2014 04:15 PM PST GEORGETOWN: Gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini bertekad akan mendedahkan kepincangan Umno Pulau Pinang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Mac ini bagi menyahut kenyataan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said yang mahu mendedahkan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada kempen PRK tersebut. Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Cabang Permatang Pauh, Amir Ghazali (gambar) berkata, pihaknya bersedia mendedahkan "Diari Jambu" Umno Pulau Pinang khususnya Umno Bahagian Permatang Pauh yang dikepalai Zaidi sepanjang kempen PRK Kajang nanti. Amir menyifatkan kenyataan Zaidi umpama bola tanggung untuk Pakatan Rakyat negeri. Antara isu yang bakal dibawa NGO Pulau Pinang pada kempen PRK Dun Kajang adalah tindakan pemimpin Umno negeri menggadai tanah milik orang Melayu di negeri tersebut. Antaranya, jelas beliau adalah isu penjualan tanah orang Melayu seluas 362 hektar di Kampung Terang, Balik Pulau oleh sebuah syarikat yang dimiliki pemimpin Umno negeri. Syarikat tersebut, ujarnya memperolehi keuntungan 'atas angin' berjumlah RM5.5 juta hasil penjualan tanah tersebut kepada pihak ketiga dengan harga RM13.5 juta. "Zaidi kena jelaskan terlebih dahulu penyelewengan syarikat milik pemimpin Umno ini sebelum berhasrat mendedahkan kelemahan Anwar di Kajang kelak, " saran beliau. Antara NGO negeri yang akan membantu kempen Pakatan Rakyat di Kajang adalah Bara, Turun, Ragas, Jingga 13, Hapus dan Langgar. Zaidi dalam satu kenyataan media baru-baru ini menyatakan kesediaan Umno Bahagian Permatang Pauh untuk menghantar 30 petugas sepenuh masa bagi membantu kempen BN di Dun Kajang. "Kami akan hadir di sana dengan segala maaklumat , bahan dan fakta mengapa Anwar tidak boleh dimenangkan di Kajang," kata Zaidi yang baru menerajui Umno bahagian September lalu. Menurut Zaidi, Umno Bahagian juga akan membentuk pasukan untuk berkunjung dari rumah ke rumah di kawasan Permatang Pauh bagi mengumpulkan masalah rakyat yang gagal diselesaikan Anwar. Beliau berharap "segala pendedahan , kejutan dan kempen" yang dilakukan sepanjang PRK Kajang akan membuka mata para pengundi Dun Kajang untuk menolak Anwar. | ||||
Kafe Perpustakaan Negara disamun Posted: 07 Feb 2014 04:00 PM PST KUALA LUMPUR - Kafeteria Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak di sini disamun dua lelaki bersenjatakan parang kira-kira 1.30 tengah hari ini. Pengusaha kafeteria itu Mahsuri Hassan, 50, berkata ketika kejadian, beliau sibuk menyediakan dokumen berkenaan urusan perniagaan sebelum dua lelaki memakai topeng dan berjaket biru memasuki kafeteria itu. "Dua lelaki itu memakai topi keledar berwarna merah mengacukan parang kepada saya sebelum cuba menarik gelang tangan dan rantai yang saya pakai. Saya jerit minta tolong dan ketika itu hanya 10 pelanggan dan pekerja wanita sahaja berada di sini. "Setelah saya enggan memberi barang kemas, seorang daripada suspek itu bertindak mengambil peti wang yang dipenuhi hasil jualan dari pagi hingga tengah hari hampir RM3,000," katanya kepada Bernama. Beliau yang menjalankan perniagaan di kafeteria itu sejak tiga tahun lepas, berkata selain duit, telefon bimbit dan cek yang disimpan di dalam peti itu turut dilarikan suspek. Mahsuri berkata, kedua-dua suspek memasuki kafeteria ketika waktu solat Jumaat apabila tiada lelaki di kawasan itu. Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak kira-kira pukul 2 petang. Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, ini kali pertama insiden itu berlaku di bangunan berkenaan. "Kita 30 ada pengawal di bangunan ini, di mana 18 pengawal bertugas pada siang manakala 12 pengawal pada malam, namun tiada pengawal ditugaskan khususnya di kafeteria," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata kamera litar tertutup dipasang di bangunan itu dan pihaknya akan membantu polis dalam siasatan kes itu. - Bernama | ||||
Konsensus nasional untuk selamatkan Najib? Posted: 07 Feb 2014 03:50 PM PST
Negara ditimpa krisis demi krisis. Bukan sekadar isu barang naik yang meresahkan rakyat. Sentimen perkauman dan agama juga ghairah dibakar. Perdana Menteri, Najib Razak bukan saja dilihat tidak berupaya menawarkan formula penyelesaian, malah menyebabkan masalah kian rumit. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN menemubual AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, 30 Januari lalu, termasuk menyorot persoalan Konsensus atau Rekonsiliasi Nasional, yang baru dikemukakan. HARAKAH: Tiba-tiba saja kita mendengar satu ungkapan baru, iaitu Konsensus Nasional. Apa yang sebenarnya Dr faham tentang hal ini? DR DZULKEFLY AHMAD: Apa pun istilahnya, konsensus atau permuafakatan atau rekonsiliasi atau muzakarah, ia dicetuskan ekoran kedudukan rakyat di negara ini. Tentunya saya lebih suka ungkapan Permuafakatan Kebangsaan sebab ia mudah difahami oleh semua, termasuk cerdik-pandai dan orang awam. Apabila tadbir urus normal atau secara biasa tidak lagi mampu untuk menangani pelbagai keberantakan yang dihadapi rakyat di sesebuah negara maka kepimpinan serta kerajaannya wajar cepat sedar bahawa 'pengurusan luar-biasa' mesti digerakkan segera. Nah, inilah yang difahamkan dengan maksud 'pengurusan luar-biasa' atau dengan kata lain 'pengurusan krisis' bagi menangani kemelut dan kegawatan yang semakin meruncing. Betulkah suasana negara ini telah menjadi satu kemelut atau ia sekadar satu mainan persepsi pembangkang yang sengaja mahu melihat negara ini huru-hara? Ya, mungkin ada pihak yang menuduh Pakatan atau NGO yang dilihat propembangkang sahaja yang bercakap tentang kemelut atau krisis. Atau ada yang kata ini semua salah Dato' Seri Anwar Ibrahim dan segalanya rekacipta Anwar! Saya bawa saudara ke pengamatan sebuah akhbar asing yang independen dan berwibawa, yakni portal Asia Sentinel yang berpangkalan di Hong Kong: "Najib is in the weakest position any prime minister in Malaysia has ever been," the businessman told Asia Sentinel, speaking on condition of anonymity. Terjemahannya."Najib berada pada kedudukan yang paling lemah berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lalu". Sampai begitu sekali? Tidak akan wujud persepsi ini kecuali kalau seorang PM dilihat sudah hilang kawalan dan keupayaan menangani masalah yang dihadapi rakyat. Lebih mencabar lagi, Asia Sentinel mendedahkan bahawa kenyataan itu dibuat oleh pimpinan Umno yang mahu namanya dirahsiakan. Mengapa Dato' Seri Najib yang menang PRU13 tiba-tiba mendapati dirinya dalam krisis? Saya kira sebab terpenting adalah kerana Najib berpatah balik dan memungkiri janji-janjinya dalam pilihan raya. Rakyat marah kerana mereka rasa tertipu. Semua pihak marah. Bukan sahaja pengundi yang 52 peratus menyokong Pakatan tetapi termasuk golongan 47 peratus yang menyokong Umno-BN pun marah. Kini pimpinan lama Umno atau 'warlords' Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin pun marah. Blogger Umno seperti Dato' Kadir Jasin dan Dato' Ahirudin Atan atau Rocky Bru pun turut mengkritik Najib. Masakan Najib sebegitu lemah? Najib dilihat sangat lemah dan gagal mendepani pelbagai masalah rakyat secara serius, berani dan konsisten. Najib dilihat macam tak ada tulang belakang. Bahkan ramai golongan bijak pandai menyebutkan sudah tidak ada kepimpinan di negara ini. Negara semacam pesawat yang dipandu sendiri atau 'auto-pilot'. Perbuatannya tak sekata dengan retorik besarnya pada setiap upacara dan hari keraian besar kaum dan agama. Seruannya ke arah perpaduan atau usaha membanteras rasuah atau anjuran berjimat ditanggapi dengan sinis. Kemuncaknya ialah cubaan beliau untuk meyakinkan rakyat tentang pentingnya kuasa pasaran 'permintaan-perbekalan' atau 'supply-demand' tidak dirosakkan oleh subsidi. Malangnya Najib menggunakan contoh kangkung! Sekarang Najib dikangkungkan dek rakyat. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air. Selemah-lemah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun, tak pernah dikangkungkan dek rakyat! Sebenarnya apaisu-isu besar sehingga mencetuskan krisis besar ini? Tidak sukar untuk kita fahami senario ini. Saya kira ada tiga isu besar. Satu, barang naik; dua, pertentangan agama, khasnya penggunaan Kalimah Allah; dan ketiga, keberantakan pendidikan nasional. Barang naik adalah krisis ciptaan Putrajaya. Najib adalah dalang kenaikan harga barang sekarang ini. Rakyat sudah mula faham. Subsidi ditarik balik dan dikurangkan sebab kerajaan pusat berhutang besar. Kerajaan berhutang besar sebab kerajaan BN khasnya Najib boros berbelanja dan banyak wang tiris kerana rasuah dan kecuaian serta memberi pelbagai projek kepada kroni termasuk konsesi air, elektrik dan lebuh raya yang terlalu menguntungkan suku-sakatnya. Sekarang rakyat pula yang dicekik untuk hutang dibayar dan perbelanjaan dikurangkan tapi pemimpin masih boros dan mewah berbelaja. Bagaimana dengan isu kalimah Allah yang nampaknya lebih panas dimainkan? Isu kalimah Allah lebih rumit dan lebih meruncing lagi. Pertentangan dalam tuntutan ini sekali gus mengheret rakyat yang beragama Islam dan Kristian, seolah-olah bersedia untuk 'bertempur'. Dengan pihak-pihak NGO seperti Perkasa, Isma dan Jati yang bersedia 'mengukur pedang' serta dibela oleh Umno yang mahu menjadi hero baru, maka suasana adalah sangat kritikal. Kes di mahkamah tentang penggunaan kalimah AlLah oleh akhbar The Herald tetap akan jadikan perlawanan kalah-menang atau 'zero-sum' oleh kedua-dua pihak. Pokoknya, tidak ada penyelesaian secara tuntas dan muktamad dengan pendekatan dialog untuk mewujudkan persefahaman. '10 Point' Kabinat Najib menjadi bahan lawakan yang tidak lagi bererti. Begitu juga pertentangan tuntutan pelbagai pihak dalam usaha kerajaan mencerakinkan sebuah blueprint Pendidikan Nasional. Pelbagai persoalan besar gagal digarap dan isu asas bersabit bahasa ppngantar dan konsep sekolah nasional masih dalam pertikaian. Tidak ada yang dapat disepakati dan masing-masing pihak tidak mahu berganjak dari posisi keyakinan masing-masing. Najib sekali lagi tidak mempunyai komitmen dan iltizam politik untuk merungkaikan semua masalah ini. Bukankah Najib telah setuju untuk mewujudkan satu "Konsensus Nasional" bagi menawarkan penyelesaian kepada isu-isu kritikal tadi? Saya kira Najib terpaksa bersetuju sebab dia tidak ada pilhan lagi. Kabinet Najib telah pun menyetujui saranan Pakatan Rakyat untuk Permuafakatan Nasional ini. Dalam kenyataan itu, ekoran mesyuarat mingguan kabinet, Najib berkata, beliau dan para menterinya "meneliti rancangan untuk menubuh dan mempromosikan suasana yang kondusif dan membantu mempromosikan rekonsiliasi nasional menerusi perpaduan dan konsensus dalam negara." Najib menggariskan empat kunci utama yakni sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa. Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dibuat lewat petang Rabu lalu, Najib berkata, rekonsiliasi nasional tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan. Namun, malangnya Najib sekadar menegaskan bahawa rancangan adalah untuk mampu dilihat menjadi lebih inklusif dalam aktiviti dan majlis. Apa pandangan dan harapan Dr tentang cadangan Konsensus Nasional Najib ini? Saya hendak ingatkan Najib supaya sudah cukup masa habis dengan flip-flop dan ketidaksungguhan beliau dalam mengurus negara ini. Cukup dengan slogan, sekadar nak 'showcase' atau peragaan semata-mata. Untuk apa kalau sekadar mahu dilihat 'inklusif dalam aktiviti dan majlis' atau untuk 'show' atau tayangan semata-mata? Najib masih tidak tahu denyut nadi rakyat berdepan dengan masalah besar yang saya tegaskan tadi. Buat apa bercakap dalam bahasa umum dan terawang-awangan, merujuk empat perkara yakni sosial, politik, kerajaan dan antarabangsa. Kita mahukan tiga perkara asas, iaitu ibu dari pelbagai masalah rakyat, untuk diberikan tumpuan dan fokas. Kenaikan harga barang, kalimah Allah, pertentangan agama dan isu pendidikan. Najib juga tekankan soal antarabangsa ... perlukah? Ya, tak payahlah buat ketika ini bercakap soal-soal antarabangsa dan sebagainya. Tak kiralah Najib tak mahu kerajaan perpaduan sebab kita pun tak mahu. Yang penting bagi kami, PAS dan Pakatan Rakyat adalah memberikan penyelesaian yang mampan di segi jangka panjang dan meringankan derita rakyat dalam masa dekat. Hal isu kalimah Allah dan isu pendidikan mesti didepani secara langsung dan matang serta berani. Jangan lagi berdolak dalik dan gunalah segala ruang Perlembagaan dan perundangan mencari penyelesaian termasuk hal pendidikan. Apa yang sepatutnya dibuat? Gerakkan ahli-ahli Parlimen untuk mewujudkan 'Caucus Group' di Parlimen dan wujudkan kumpulan pakar serta gemblengkan semua tenaga tempatan di kalangan ahli akademik, pemikir dan profesional serta mantan birokrat yang berpengalaman di luar Parlimen. Letakkan time-frame dan jangka masa yang jelas untuk mencapai 'targets' atau 'deliverables' (KPIs) yang perlu dinilai secara telus. Usaha dan program ini akhirnya mestilah memperkuatkan amalan demokrasi dan sistem serta institusi negara hingga ia semakin bebas dan berwibawa. | ||||
Hospital Likas Beroperasi Seperti Biasa, Wad Pesakit H1N1 Dikuarantin Posted: 07 Feb 2014 03:46 PM PST KOTA KINABALU: Operasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas di sini berjalan seperti biasa di kesemua wad di hospital yang dikuarantin berikutan wabak virus selesema influenza A (H1N1). Seorang pegawai hospital negeri berkata, mereka masih mengekalkan amaran dan mengamalkan langkah-langkah kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan kerap dan penggunaan topeng muka bagi mengelakkan penularan wabak itu. Pegawai itu juga berkata, kesemua tujuh pesakit yang dikesan dengan virus itu beransur sembuh, tanpa tanda-tanda ia merebak keluar dari wad. Beliau berkata, walaupun mereka mendapati virus itu tidak berbahaya, langkah-langkah pencegahan diambil bagi membendung sebarang kemungkinan. Difahamkan pemeriksaan terhadap pesakit, ibu bapa atau penjaga mereka dan kakitangan di hospital bermula sejak beberapa hari lepas. Dilaporkan wabak virus selesema H1N1 dikesan kira-kira dua hari lalu terhadap tujuh orang iaitu lima kanak-kanak dan dua dewasa yang ditempatkan di salah satu wad di hospital itu. Mereka yang berada di wad itu dikuarantin, manakala para pelawat yang datang ke hospital, terutama ke wad berkenaan, perlu melalui ujian saringan. Mereka yang menghidap selesema atau menunjukkan sebarang tanda selesema dinasihatkan untuk pergi membuat pemeriksaan dengan segera. | ||||
PRK Kajang: MCA Buat Tinjauan Menyeluruh Sebelum Putuskan Calon Posted: 07 Feb 2014 03:44 PM PST MSTAR ONLINE BENTONG: MCA akan mengadakan tinjauan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi sebelum memutuskan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini. Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu penting bagi memastikan hanya calon yang diterima masyarakat kawasan itu diketengahkan bagi menjamin kemenangan BN. Menurutnya, antara kriteria utama yang diberi penekanan ialah calon berkenaan mestilah berasal dari Selangor serta memahami kehendak masyarakat akar umbi dikawasan berkenaan. "Setakat ini kita masih belum putuskan dan saya juga tidak berhasrat untuk berbincang mengenai senarai calon di dalam media meskipun dikatakan MCA bahagian telah menyerahkan tiga nama kepada MCA pusat, sebaliknya kita akan terus melakukan tinjauan menyeluruh bagi mengenal pasti calon yang sesuai. "Memang kita mempunyai ramai calon berpotensi, tetapi kita hanya akan memilih calon yang mempunyai harapan dan peluang untuk menang. Calon ini akan diumumkan selepas tinjauan selesai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina MCA Bentong di Dewan Perhimpunan Cina di sini, Jumaat. Turut hadir Pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun. MCA Bahagian Hulu Langat sebelum ini dilaporkan telah menyerahkan tiga namakepada MCA pusat untuk bertanding. Mereka ialah Ketua Pemuda MCA Bahagian Hulu Langat, Pang Wai Hoong; Ketua Wanita MCA bahagian itu, Loh Lai Kuen dan bekas calon BN di kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Lee Ban Seng. Dua nama yang turut disenaraikan MCA pusat ialah Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon. Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata, MCA telah bersiap sedia dengan merangka pelbagai strategi bagi menghadapi pilihan raya kecil yang dijangka sengit itu. Menurutnya selain menyediakan bilik gerakan, MCA juga memberi latihan kepada pemimpin akar umbi bagi menggerakkan jentera parti dengan memberi tumpuan kepadakehendak masyarakat di Kajang. "Dalam tempoh ini saya yakin rakyat dapat melihat dengan lebih dekat lagi pencapaian BN berbanding pembangkang dan menganalisis maklumat-maklumat tidak benar yang disebarkan oleh mereka," katanya. Mengulas cadangan kerusi berkenaan (Kajang) diserahkan kepada Umno, Liow berkata, perkara itu terserah kepada formula BN yang selama ini dapat memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan semua kaum. - BERNAMA | ||||
Sepahtu Juara Maharaja Lawak Mega 2013 Posted: 07 Feb 2014 03:41 PM PST SHAH ALAM: Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) menjadi milik kumpulan Sepahtu yang dianggotai oleh Jepp, Rahim dan Shuib apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam Jumaat. Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro. Gelaran naib juara pula dimenangi oleh Shiro yang disertai oleh Shahrul dan Ajak. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi. Sementara itu kumpulan Bocey mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi. Bocey Turut memenangi kategori Man of the Match. Kumpulan Jambu menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi. Manakala peserta solo iaitu Nabil Ahmad berada di tempat kelima. Nabil mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi. Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan dengan bertemakan bebas dan muzikal. Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah. Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2013 akhir itu terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikal dan Nora Danish. Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Ketua Saluran Premium Astro, Nizam Sani. MLM 2013 bersiaran secara langsung bermula 15 November lalu, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134). |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan